Bugatti Chiron Super Sport diperkenalkan – 1,600 PS, capai kelajuan 440 km/j, dijual pada harga RM16 juta

Bugatti Chiron Super Sport diperkenalkan – 1,600 PS, capai kelajuan 440 km/j, dijual pada harga RM16 juta

Bugatti telah mendedahkan satu lagi versi untuk hypercar Chiron mereka, kali ini diberi nama Chiron Super Sport. Berbeza dengan Chiron Pur Sport yang dihasilkan dengan fokus terhadap prestasi litar dan dinamik mengambil selekoh diperkenalkan sebelumnya, Chiron Super Sport ini adalah model yang disifatkan sebagai “ultimate grand tourer” yang “menggabungkan kelajuan maksima dan kemewahan sebenar”.

Chiron Super Sport ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan Chiron Super Sport 300+ iaitu model edisi terhad yang meraikan kejayaan Bugatti Chiron mencatatkan rekod kelajuan maksima 490.484 km/h (304.773 bsj) pada 2019. Antara perincian berkenaan termasuk muka hadapan lebih unik yang diberikan tirai udara sisi bagi memberikan aliran udara lebih baik pada ruang roda.

Juga, sembilan liang udara di atas kedua-dua fender hadapan Chiron Super Sport 300+ turut di bawa ke Chiron Super Sport ini, yang bukan sahaja berfungsi untuk membebaskan tekanan udara pada ruang roda hadapan, malah ia juga adalah rekaan inspirasi dari Bugatti EB 110 Super Sport.

Bugatti Chiron Super Sport diperkenalkan – 1,600 PS, capai kelajuan 440 km/j, dijual pada harga RM16 juta

Satu perincian yang unik pada Chiron Super Sport ini adalah rim aluminium lima-jejari-Y, ditawarkan dalam opsyen kemasan diamond cut dan binaan magnesium.

Perincian Super Sport 300+ juga dapat dilihat banyak dibawa terus ke bahagian belakang Super Sport ini, terutamanya bahagian ekor yang dipanjangkan 25 cm berbanding Chiron biasa bagi mengoptimakan keberkesanan aerodinamik, bersama diffuser dan tip ekzos serupa.

Sebagai sebuah model grand tourer, bahagian kabin Super Sport ini dihasilkan dengan tema mewah seperti Chiron standard. Ia menerima banyak kemasan aluminium yang digilap, balutan kulit serta kemasan-kemasan gentian karbon. Bugatti menyifatkan kabin kereta ini sebagai “sangat sesuai untuk perjalanan merentas benua berkelajuan tinggi”.

Bugatti Chiron Super Sport diperkenalkan – 1,600 PS, capai kelajuan 440 km/j, dijual pada harga RM16 juta

Bugatti menyatakan bahawa enjin W16 8.0 liter dengan empat pengecas turbo pada Super Sport ini menampilkan pelbagai ubahsuai unik berbanding enjin yang sama pada Chiron biasa. Antara yang disentuh semula adalah pengecas turbo, pam minyak pelincir, dan juga kepala silinder.

Angka penghasilan kuasa masih tidak berubah iaitu 1,600 PS/1,600 Nm, sama seperti Chiron Super Sport 300+, atau 100 PS lebih berkuasa dari Chiron Sport. Tetapi ubahsuai yang dibuat ini membolehkan enjin tersebut berputar 300 rpm lebih tinggi bagi mencapai 7,100 rpm, manakala tork maksima 1,600 Nm dapat dicapai digunakan dalam lengkung kuasa lebih luas iaitu seawal 2,000 rpm sehingga 7,000 rpm, berbanding hanya 6,000 rpm sebelum ini.

Nisbah gear pada transmisi juga ditala semula bagi disesuaikan dengan karekter baharu enjin berkenaan. Nisbah gear tujuh sekarang adalah 3.6% lebih panjang yang membolehkan pemandu menukar gear enam ke gear tujuh ketika kelajuan mencecah 403 km/j, manakala kelajuan maksima pula dihadkan secara elektronik pada 440 km/j.

Talaan baharu rangkaian kuasa ini juga membolehkan Chiron Super Sport ini 7% lebih pantas dalam pecutan 0-400 km/j berbanding Chiron biasa. Pecutan 0-200 km/j kini hanya mengambil masa 5.8 saat, dan kelajuan 300 km/j boleh dicapai dalam masa 12.1 saat.

Menurut Bugatti lagi, walaupun kelajuan Chiron Super Sport ini dihadkan pada 440 km/j, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang dipadankan sebenarnya mampu menampung kelajuan sehingga 500 km/j secara konsisten.

Produksi Bugatti Chiron Super Sport ini akan dimulakan tidak lama lagi di fasiliti syarikat tersebut yang terletak di Molsheim, Perancis. Penghantaran kepada pelanggan terawal pula akan bermula pada awal 2022 nanti. Model ini dijual pada harga asas bermula 3.2 juta euro (sekitar RM16 juta).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required