BMW telah memilih Goodwood Festival of Speed sebagai tempat untuk mendedahkan kepada dunia buat kali pertama 2 Series Coupe serba baru. Pengganti kepada model generasi pertama F22 ini akan didedahkan pada hari pertama acara, iaitu 8 Julai 2021, dan kemudiannya juga akan ‘membelasah’ laluan mendaki terkenal di situ bersama M5 CS.

Melalui teaser sebelum ini, BMW telah mendedahkan beberapa perincian 2 Series Coupe. Ia dibina atas platform Cluster Architecture (CLAR), yang sudah digunakan pelbagai model termasuk Z4 G29, 3 Series G20 serta 5 Series G30, dan akan mempunyai jarak roda lebih panjang (+51 mm) serta lebih lebar.

Buat masa sekarang, BMW memberitahu akan terdapat varian M240i xDrive yang menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris turbo 3.0 liter (B58) bersama gabungan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghantar kuasa sehingga 374 PS (369 hp) kepada semua roda (AWD) dan menggunakan differential M Sports.

Varian yang tinggi ini kemudiannya akan disertai beberapa lagi varian seperti 220i yang menggunakan pacuan roda belakang sahaja, 225i (pasaran tertentu), 230i dan 220d. Varian prestasi tinggi M2 juga dilapor bakal membuat kemunculan pada masa akan datang.

Melalui gambar yang didedahkan sebelum ini, 2 Series Coupe dilihat tidak menggunakan gril yang begitu besar dan mempunyai lampu DRL berbentuk tajam. Bahagian belakang mempunyai dua muncung ekzos berbentuk bulat serta spoiler kecil di atas penutup but.