Tata Punch dilancarkan di India – RM31k-RM51k, SUV sub-4 meter, 1.2L 3-silinder NA jana 86 PS/113 Nm

Tata Punch dilancarkan di India – RM31k-RM51k, SUV sub-4 meter, 1.2L 3-silinder NA jana 86 PS/113 Nm

Jenama automotif dari India, Tata Motors secara rasminya telah melancarkan SUV kompak baharu yang digelar Tata Punch pada pasaran negara tersebut. Model berkenaan bakal memberi cabaran dalam segmen SUV sub-empat meter yang kini sedang meriah di sana, dengan saingan seperti Maruti Suzuki Ignis, Mahindra KUV100, Nissan Magnite dan Renault Kiger.

Tata Punch ditawarkan dalam empat varian kemasan iaitu Pure, Adventure, Accomplished, dan Creative, dengan harga bermula INR5.49 lakh (RM31k) bagi model asas Pure MT sehingga INR9.09 lakh (RM51k) bagi model tertinggi Creative AMT. Walau bagaimanapun, harga yang dinyatakan ini adalah harga pengenalan istimewa yang hanya ditawarkan sehingga 31 Disember ini.

SUV ini dihasilkan dari platform Agile Light Flexible Advanced (ALFA) binaan Tata sendiri, sama seperti hatchback Tata Altroz. Dari segi saiz, Punch diukur dengan dimensi 3,827 mm panjang, 1,742 mm lebar, 1,615 mm tinggi, jarak roda 2,445 mm bersama jarak kelegaan tanah setinggi 187 mm.

Bagi memudahkan anda membayangkannya, Tata Punch adalah 238 mm lebih pendek, 32 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah serta jarak roda 80 mm lebih dekat berbanding Perodua Ativa. Kecil bukan? Namun menurut Tata, Punch menampilkan saiz yang paling besar berbanding lawan sekelasnya yang lain di pasaran negara berkenaan.

Tata Punch dilancarkan di India – RM31k-RM51k, SUV sub-4 meter, 1.2L 3-silinder NA jana 86 PS/113 Nm

Punch menampilkan elemen penggayaan yang sama seperti model-model SUV baharu Tata yang lebih besar seperti Safari dan Harrier (Tata Harrier ya, tiada kaitan dengan Toyota Harrier), terutamanya pada rekaan lampu hadapan.

Ia menampilkan lampu projektor utama yang diletakkan pada bampar hadapan, bersama lampu nyalaan siang LED tirus di atas yang bersambung dengan gril utama. Manakala lampu kabus bulat (dengan fungsi lampu membelok) diletakkan pada bahagian bawah apron, selari dengan gril bampar dengan elemen anak panah tiga mata.

Selain dari kesemua fender yang direka seakan berotot, Tata Punch juga diberikan pelindung badan plastik tanpa warna pada kesemua ruang roda dan bahagian bawah pintu yang kelihatan bersambung dengan bampar hadapan dan belakang bagi memberikan imej sebuah SUV lasak.

Tata Punch dilancarkan di India – RM31k-RM51k, SUV sub-4 meter, 1.2L 3-silinder NA jana 86 PS/113 Nm

Model ini turut menerima rekaan pintu dengan sudut bukaan 90 darjah, serta diberikan warna badan dua tona menerusi bumbung dalam kemasan hitam, pembuka pintu belakang yang diletak tinggi bagi memberikan imej seakan model dua-pintu dan juga dilengkapi rel bumbung.

Rupa bahagian belakang SUV ini pula seakan mendapat inspirasi dan Tata Nexon, namun menerima rekaan lampu LED belakang lebih unik dengan grafik anak panah tiga mata. Elemen anak panah yang sama turut diberikan pada kemasan sisi bampar, yang turut menempatkan reflektor yang diposisikan secara menegak.

Dalam kabin, Punch menampilkan rekaan papan pemuka yang ringkas, bersama elemen-elemen berkotak dan kemasan sekeliling liang pendingin hawa berwarna, serta skrin sesentuh sistem infotaimen berdiri sendiri diletakkan di tengah. Skrin berkenaan hadir dengan saiz antara 3.5- hingga 7-inci, bergantung pada varian kemasan.

Skrin dengan saiz paling besar dibekalkan secara standard pada model Accomplished dan Creative, dan ia sebenarnya dibangunkan oleh Harman serta diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay. Skrin 3.5-inci pada varian Adventure pula hanya menampilkan fungsi-fungsi asas, manakala varian Pure tidak didatangkan dengan sebarang sistem hiburan.

Bagi paparan instrumen, Punch diberikan meter kelajuan analog pada sebelah kanan bersama skrin digital dalam saiz 4- atau 7-inci pada sebelah kiri yang memberikan pelbagai info lain termasuk takometer. Model tertinggi Creative menerima sistem pendingin hawa automatik, manakala model lain hanya diberikan sistem manual.

Kelengkapan lain yang turut ditampilkan pada Tata Punch ini termasuk rim bersaiz 15- atau 16-inci, upholsteri fabrik, tempat duduk manual, suis penghidup enjin, lampu hadapan automatik, pengelap cermin automatik, dua beg udara, kamera undur, cruise control, glove box dengan fungsi penyejuk, serta sistem brek ABS dan EBD. Kapasiti ruang but pula dicatatkan pada 366 liter.

Tata Punch dilancarkan di India – RM31k-RM51k, SUV sub-4 meter, 1.2L 3-silinder NA jana 86 PS/113 Nm

Tata turut menawarkan tiga pakej opsyen iaitu Rhythm, Dazzle dan iRA. Pakej-pakej ini membolehkan pelanggan mendapatkan berberapa perincian dari model varian tinggi untuk model varian rendah. Contohnya pelanggan model Adventure yang memilih pakej Rhythm akan menerima sistem infotaimen Harman dari model varian Accomplished. Pakej iRA pula akan memberikan tambahan fungsi servis terhubung kepada sistem berkenaan, namun pakej ini hanya ditawarkan pada model varian Creative.

Kesemua varian Tata Punch dijana oleh enjin petrol Revotron 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 86 PS (84 hp) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 113 Nm pada takat 3,300 rpm. Enjin tersebut digandingkan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau transmisi manual automatik (AMT), bersama dua mod pemanduan iaitu Eco dan City.

Tata turut menyatakan Punch hadir dengan kebolehan off-road yang agak baik bagi disesuaikan dengan keadaan jalan di negara berkenaan, menampilkan sudut approach 20.3 darjah, sudut berlepas 37.6 darjah, sudut rampover 22.2 darjah serta boleh meredah air dengan kedalaman 370 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required