Video viral TikTok – ini bukan Perodua Myvi EV generasi baharu, tapi sebenarnya Peugeot 308 2022!

Video viral TikTok – ini bukan Perodua Myvi EV generasi baharu, tapi sebenarnya Peugeot 308 2022!

Baru-baru ini tular satu video 10-saat di TikTok, yang menunjukkan sebuah hatchback berwarna merah dengan lampu belakang nipis dan tirus serta logo yang ditutup sedang diuji di Malaysia. Apa yang menarik, kapsyen pada video tersebut menyebut bahawa kereta tersebut adalah Perodua Myvi generasi baru. Betul ke ni?

Untuk adik-adik Tiktok sekalian, ingin kami maklumkan bahawa kereta tersebut bukan Myvi, tetapi ia jelas sebuah Peugeot 308 2022. Sehingga artikel ini ditulis, video berkenaan sudahpun mencapai jumlah tontonan lebih dari 2.1 juta serta lebih 1,000 komen – jadi berkemungkinan ramai yang sudah terkeliru dengan maklumat yang disampai oleh video tersebut.

Juga untuk pengetahuan adik-adik Tiktok sekalian, tidak seperti Proton, bukan mudah untuk kita lihat Perodua menguji model-model baharu mereka di atas jalanraya awam – dengan pelekat penyamaran pun susah, apatah lagi dengan tanpa sebarang pelekat penyamaran seperti ini. Biasanya, tahu-tahu Perodua dah keluarkan teaser untuk dilancarkan.

Lakaran digital imaginasi Perodua Myvi EV oleh Saharuddin Busri, bukan rasmi dari Perodua

Malah dengan jelas, tertera pelekat ‘LEFT HAND DRIVE’ pada bahagian belakang kereta berkenaan, menunjukkan ia unit ujian dari Eropah. Turut kelihatan adalah sebuah lagi hatchback dari Stellantis di hadapannya iaitu Citroen DS Crossback.

Mungkin pemilik akaun Tiktok ini terkeliru dengan lakaran digital Myvi EV yang pernah kami kongsikan sebelum ini. Juga untuk pengetahuan adik-adik Tiktok semua, rekaan Myvi EV tersebut bukanlah lakaran rasmi dari Perodua, tetapi dihasilkan oleh pereka tempatan, Saharuddin Busri. Perincian berkenaan lakaran Myvi EV itu boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Berbalik pada Peugeot 308 yang dilihat sedang diuji tersebut, ia adalah unit yang sama dilihat sedang diuji di Pulau Pinang awal tahun ini. Namun menerusi set imej yang baru kami terima ini, perician-perincian yang dipadankan dapat dilihat dengan jelas termasuk cermin suria panaromik bersaiz besar, rim aloi 16-inci dua tona dengan tayar Continental PremiumContact 6 bersaiz 205/60R16, sistem kemasukan tanpa kunci untuk semua pintu, penutup cermin sisi hitam berkilat, serta kit penggayaan GT Line.

308 merupakan model pertama Peugeot yang mengenakan logo ‘kepala singa’ baharu Peugeot yang lebih ringkas, dilekatkan pada gril hadapan, kedua-dua fender hadapan dan juga pada pintu tailgate belakang. Model ini masih diasaskan dari Efficient Modular Platform (EMP2) seperti model sebelum ini, tetapi telah menerima rombakan besar bagi membolehkan ia direka 20 mm lebih rendah, 11 mm lebih panjang serta jarak roda 55 mm lebih jauh.

Buat masa sekarang, 308 hasilkan dengan tiga pilihan enjin iaitu versi petrol dengan enjin 1.2 liter PureTech, versi diesel dengan enjin 1.5 BlueHDI, serta versi hibrid dengan unit rangkaian kuasa 1.6 PureTech Hybrid. Model-model dengan enjin 1.2 liter hadir dengan talaan kuasa bermula 110 PS hingga 130 PS, manakala versi dengan sistem plug-in hybrid ditawarkan dengan talaan kuasa bermula 180 PS hingga 225 PS.

Juga sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk diberikan oleh pengedar Peugeot di Malaysia iaitu Bermaz Auto Alliance (BAA) berkenaan bila Peugeot 308 generasi terkini ini akan dilancarkan di Malaysia.

@rayyanarilz seriuslah ini KING OF THE ROAD Myvi tu!! smart demo #perudua #produamyvi #berandatiktok #fyp #car #myvi #malaysia #kingofroad ? Apakah Itu Cinta – Andikprasetyoo

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required