Toyota GR Corolla kini di Thailand – bermula RM500k, 1.6L Turbo 300 PS/370 Nm, 6MT; M’sia tak lama lagi?

Toyota GR Corolla kini di Thailand – bermula RM500k, 1.6L Turbo 300 PS/370 Nm, 6MT; M’sia tak lama lagi?

Nampaknya khabar angin yang bertiup bulan lalu adalah benar – Toyota GR Corolla secara rasmi telah masuk pasaran ASEAN, diperkenalkan di Thailand terlebih dahulu! Model tersebut membuat kemunculan rasminya di Thailand International Motor Expo 2022 yang kini sedang berlangsung dan diumumkan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352).

Dengan harga yang begitu tinggi, GR Corolla ini dibawa dalam jumlah yang sangat terhad ke Thailand. Menurut laporan portal automotif Headlightmag, hanya sembilan unit GR Corolla akan diimport ke Thai untuk permulaan.

Pengenalan GR Corolla di pasaran tersebut adalah serentak dengan sambutan ulangtahun Toyota Motor Thailand yang ke-60, menyaksikan beberapa model edisi khas turut diperkenalkan sebelum ini. Berbanding GR Yaris yang dijual di Thailand pada harga 2.69 juta baht (RM341,021) ketika diperkenalkan pada Disember 2020, harga GR Corolla ini jelas adalah 46.8% lebih mahal.

Di Malaysia, GR Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 (RM286,896 ketika tempoh cuti cukai jualan) ketika dilancarkan juga pada Disember 2020. Jadi berdasarkan harga jualan di Thailand, GR Corolla ini kelak mungkin akan dijual di sini pada harga sekitar RM439k.

Toyota GR Corolla kini di Thailand – bermula RM500k, 1.6L Turbo 300 PS/370 Nm, 6MT; M’sia tak lama lagi?

Corolla yang jauh lebih liar ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba di fasiliti GR Factory di Jepun bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.

GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

Toyota GR Corolla kini di Thailand – bermula RM500k, 1.6L Turbo 300 PS/370 Nm, 6MT; M’sia tak lama lagi?

Namun apa yang berbeza, GR Corolla turut diberikan mod “4WD” yang mengawal agihan desakan pemanduan, dan mod “Drive” yang mengawal respon pendikit dan stereng serta lain-lain aspek yang telah diasingkan bagi membolehkan talaan dibuat lebih spesifik mengikut kemahuan pemandu dan keadaan pemanduan yang lain.

Bagi model pasaran Thailand ini ia menerima bonet hadapan berliang dan juga bumbung gentian karbon – perincian yang sama diberikan pada GR Corolla Circuit Edition pasaran Amerika Syarikat. Ia hanya ditawarkan dengan dua warna badan iaitu Ice Cap White dan Precious Black. Kabin dengan tema Black Smoke adalah standard, tetapi pembeli boleh memilih tema Ignition Red dengan bayaran tambahan 10,000 baht (RM1,268).

Perincian-perincian standard lain yang turut diberikan termasuk lampu hadapan LED automatik, rim aloi 18-inci, upholsteri kombinasi Brin Naub asli dan kulit sinteik, sistem infotainmen dengan skrin tujuh-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, paparan instrumen digital 12.3-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tujuh-beg udara dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense 3.0.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required