Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

Selepas Honda Civic Type R FL5 mula dijual di Jepun pada September tahun lalu, laman automotif Jepun Creative311 melaporkan bahawa sehingga Disember lalu Honda kini menerima tempahan mencecah 20,000 unit hot-hatch berkenaan untuk pasaran domestik, dan ia seterusnya menyebabkan tempoh menunggu kini mencecah dua tahun!

Dengan tempahan yang begitu banyak ini, Creative311 menyatakan bahawa Honda telah mengeluarkan notis kepada pengedar pada 19 Disember lalu untuk membekukan seketika tempahan Type R FL5 berkenaan bermula pada 19 Januari ini. Honda dijangka bakal mengumumkan secara rasmi langkah untuk menghentikan sementara tempahan untuk Civic Type R berkenaan pada akhir bulan ini.

Laman berkenaan turut melaporkan bahawa selepas orang ramai mengetahui Honda bakal menghentikan seketika tempahan model itu, semakin ramai pelanggan mula menempah FL5 tersebut lebih dari satu unit terutamanya bagi kegunaan syarikat, malah ada yang mula menempah unit ketiga mereka.

Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

Tidak seperti model FK8 sebelum ini yang diproduksi di kilang Honda Swindon, United Kingdom, FL5 kini diproduksi semula di Jepun. Secara spesifiknya produksi Civic Type R 2023 ini dibuat di kilang Honda Yorii yang berada di Saitama. Ia bukanlah kilang yang sama menghasilkan Civic Type R EK9 dan dan Civic Type R FD2 sebelum ini kerana kedua-dua model berkenaan dihasilkan di kilang Mie Honda yang terletak di Suzuka.

Laporan Creative311 menyebut bahawa pelanggan yang menempah FL5 pada minggu pertama September hingga minggu pertama Oktober 2022 akan menerima kereta mereka pada tahun ini atau sekitar Januari hingga Mac 2024. Pelanggan yang menempah pada bulan Oktober 2022 pula akan menerima kereta mereka sama ada pada separa pertama atau separa kedua 2024.

Manakala pelanggan yang menempah Civic Type R FL5 mereka pada November 2022 pula hanya akan menerima kereta mereka sama ada pada separa pertama atau separa kedua 2025.

Jumlah tempahan yang begitu banyak diterima untuk pasaran Jepun ini juga nampaknya telah menjejaskan bekalan untuk pasaran eksport lain kerana ia hanya dihasilkan oleh satu kilang untuk pasaran seluruh dunia. Di Australia misalnya, pasaran itu hanya menerima 600 unit Type R FL5 untuk tahun pertama, dan kesemuanya habis dijual dalam masa 24 jam, manakala pelanggan yang menempah perlu menunggu selama 18 bulan hingga dua tahun, lapor Drive.com.au.

Manakala di Kanada, Honda hanya memperuntukkan 546-unit Civic Type R FL5 ini untuk tempoh masa tiga tahun, atau 182-unit setahun. New Zealand pula hanya menerima beberapa ratus unit dalam tempoh masa sama, lapor Drive.com.au lagi.

Di Jepun, Civic Type R ditawarkan pada harga 4,997,300 yen (RM162,337) atau lebih mahal dari Civic Type R FK8 sebelumnya yang dijual pada harga 4,500,360 yen (RM146,203). Manakala di Australia pula, model ini dijual pada harga AUD72,600 (RM220,049), atau AUD12,000 (RM36,373) lebih mahal berbanding Type R FK8 yang dijual pada harga AUD60,000 (RM166,672).

Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

Honda Civic Type R generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih dijana enjin KC20C1 2.0 liter turbo empat-silinder, tetapi menerima kemaskini membolehkan ia menghasilkan kuasa hingga 330 PS dan tork maksima 420 Nm bagi model pasaran Jepun, dan 320 PS untuk pasaran lain – naik 10 PS (9 hp atau 7 kW) dan 20 Nm berbanding Type R FK8.

Enjin tersebut juga masih hanya menerima transmisi enam-kelajuan lengkap dengan LSD untuk memacu roda hadapan. FL5 tidak lagi menerima rim 20-inci, diganti dengan set berdiameter 19-inci tetapi menerima tayar yang lebih lebar (265/30 berbanding 245/30).

Antara kelengkapan standard untuk FL5 ini termasuk upholsteri sued hitam dan merah, karpet merah, tombol gear aluminium, sistem data logger untuk litar Honda LogR, kluster instrumen digital 10.2-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci, penghawa dingin dua zon, pengecas tanpa wayar dan lampu suasana kabin.

Ia turut menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengenal tanda trafik. Lima warna ditawarkan iaitu Championship White, Rally Red, Sonic Grey, Crystal Black dan juga Boost Blue.

GALERI: Honda Civic Type R 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required