Perodua Axia 2023 Vs Axia generasi pertama – patut ke model generasi baru dijual pada harga lebih mahal?

Perodua Axia 2023 Vs Axia generasi pertama – patut ke model generasi baru dijual pada harga lebih mahal?

Setiap kali Perodua hadir dengan model baharu, pastinya ramai yang skeptikal apa yang jenama automotif nasional kedua tersebut tawarkan kepada pengguna. Begitu juga dengan Perodua Axia 2023 yang dilancarkan hari ini – walaupun sudah diwar-warkan ini merupakan model serba baharu yang menampilkan teknologi dan perincian yang jauh berbeza dari model generasi pertama, menyebabkan harganya lebih mahal dari Axia sebelum ini, masih ramai ragu-ragu dengan kenyataan tersebut.

Jadi dalam artikel ini, kami akan memperincikan lebih lagi apa perbezaan antara Perodua Axia 2023 dan juga Perodua Axia generasi pertama, yang mungkin akan lebih memahamkan lagi berkenaan model paling mampu milik yang dijual oleh Perodua ini.

1. Platform DNGA

Asas untuk Perodua Axia generasi kedua ini bukannya menggunakan casis yang sama dari Axia generasi pertama, dan ia adalah 100% lain. Untuk Axia 2023, ia menggunakan platform terkini dari Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

DNGA merupakan platform modular yang dihasilkan berdasarkan platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA). Sebagai pakar penghasilan model-model kompak, Daihatsu merubah platform berkenaan agar ia lebih sesuai digunakan untuk model-model lebih kecil.

Sebelum digunakan pada Axia, platform ini sudahpun menjadi asas kepada dua model baharu Perodua yang lebih mahal iaitu Ativa dan juga Alza 2022. Malah Toyota Vios generasi baharu yang sudah pun diperkenalkan di Thailand dan Indonesia (bakal masuk ke Malaysia tahun ini) juga menggunakan platform DNGA yang sama.

Platform ini bukan sahaja menjadikan Axia lebih selesa dan memberikan prestasi pemanduan lebih baik, malah memberikan saiz yang lebih besar dari model generasi sebelumnya.

2. Saiz yang lebih besar

Seperti yang disebutkan tadi, Perodua Axia 2023 ini adalah lebih besar dari model sebelum ini. Berapa besar? Atas kertas, Perodua Axia menampilkan dimensi 3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar, 1,505 tinggi dan juga jarak roda sejauh 2,525 mm.

Jadi berbanding model generasi sebelumnya, Axia generasi kedua ini adalah 100 mm hingga 115 mm lebih panjang (bergantung pada varian), 65 mm lebih lebar serta jarak roda 70 mm lebih panjang. Namun ia kini 15 mm lebih rendah dan menyumbang kepada rupa yang nampak lebih stabil dan sporty.

Bukan itu sahaja, jarak roda Axia 2023 ini juga sebenarnya adalah 25 mm lebih jauh dari Myvi dan menyumbang kepada ruang kabin yang jauh lebih besar dari sebelum ini. Dengan ruang yang lebih luas, membolehkan Perodua memberikan kedudukan pemandu yang lebih baik dari model generasi pertama.

Perodua Axia 2023 (atas) vs. Axia generasi pertama (bawah)

Kedudukan kolum dan roda stereng kini berada pada sudut lebih optimum sebagai sebuah kereta berbanding seperti sebuah van sebelum ini, dan kaki pemandu juga dapat ‘menjulur kehadapan’ dengan pedal pendikit berada pada kedudukan lebih optimum pada kaki.

Jika sebelum ini dua orang berbadan besar seakan hampir “bertemu bahu” jika duduk sebelah-menyebelah di dalam Axia, ia kini semakin baik dengan ruang dalaman lebih lebar dengan jarak pasangan 40 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun jarak antara penumpang hadapan dan belakang masih tidak berubah iaitu 910 mm – jarak ini sebenarnya sudahpun memberikan jarak kelegaan lutut yang baik pada model terdahulu.

Perodua Axia 2023 (kiri) vs. Axia generasi pertama (kanan)

Menurut Perodua lagi, dengan jarak roda lebih jauh ini juga membolehkan penumpang masuk dan keluar dari kabin dengan mudah. Dan dengan ukuran keseluruhan yang lebih panjang, ruang but di belakang juga dapat dihasilkan lebih besar dari Axia sebelum ini.

Jarak antara tempat duduk belakang hingga ke pintu tailgate kini adalah 610 mm, atau 47 mm lebih panjang dari sebelum ini. Dengan ruang berkenaan Perodua mendakwa empat beg pakaian boleh diletakkan, atau sebuah kereta sorong kanak-kanak boleh dimuatkan dalam but Axia 2023 ini.

3. Penggayaan dan perincian elektronik terkini

Dengan badan yang lebih lebar dan rendah, Axia kini nampak lebih sporty dari model terdahulu. Seperti biasa, Axia masih mempunyai kembarnya di Indonesia iaitu Toyota Agya dan juga Daihatsu Ayla. Ketiga-tiga model ini biasanya akan menampilkan rekaan asas badan yang sama, tetapi dibezakan pada muka di mana ia lebih tersendiri mengikut DNA rekaan jenama masing-masing.

Untuk Axia, Perodua menyatakan bahawa ia direka oleh pereka dari Malaysia, dan ia disesuaikan dengan citarasa tempatan dan juga rantau ASEAN. Axia menerima muka yang diberikan konsep rekaan berbentuk-X seperti Myvi, Ativa dan Alza, sementara Toyota Agya yang telah didedahkan semalam nampaknya diberikan muka dengan pengaruh dari Toyota Yaris pasaran Jepun dan Eropah.

Lampu hadapan LED diberikan standard untuk varian X dan ke atas. Manakala varian SE dan AV dapat dibezakan menerusi pemadanan lampu nyalaan siang LED. Kesemua varian Axia 2023 ini diberikan kawalan elektrik, tetapi hanya varian SE dan AV menerima fungsi auto-lipat.

Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin juga adalah standard untuk varian X dan ke atas. Apa yang menarik, kunci boleh dibuka menerusi penderia elektrostatik pada pembuka pintu seperti pada Ativa, lebih canggih dari Myvi yang masih menggunakan butang hitam.

Perodua Axia 2023 (kiri) vs. Axia generasi pertama (kanan)

Bahagian kabin untuk Axia generasi baharu ini juga memberikan rasa lebih premium dari model generasi sebelum ini. Papan pemukanya direka dengan elemen mendatar dan sekali tengok nampak sama seperti papan pemuka pada Perodua Ativa. Rekaan ini memberikan rasa pemanduan yang lebih rendah berbanding rasa ‘bertenggek’ pada Axia lama dengan papan pemuka yang nampak tinggi.

Axia juga kini berkongsi roda stereng bukan sahaja sama dengan Myvi, Ativa dan Alza, malah roda stereng berkenaan turut digunakan oleh Toyota Vios 2022. Malah bagi model tertinggi Axia AV, ia diberikan skrin infotainmen berdiri sendiri sembilan-inci yang sama dengan Ativa, dan menerima paparan instrumen digital sepenuhnya juga sama seperti Ativa, Alza dan Vios.

Tombol gear dan juga tuil brek tangan Axia baharu ini juga diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dan dekat dengan tangan. Jadi tidaklah anda rasa seperti memandu bas ketika mahu menukar gear dan juga menurunkan tuil brek tangan pada Axia 2023 ini.

4. Prestasi dan penjimatan bahan api

Perodua Axia 2023 Vs Axia generasi pertama – patut ke model generasi baru dijual pada harga lebih mahal?

Perodua Axia 2023 masih dibekalkan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i yang sama dengan model generasi sebelumnya, menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm. Tetapi enjin berkenaan tidak lagi dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 4AT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear Dual Mode CVT (D-CVT) yang sama seperti pada Ativa, Myvi facelift dan juga Alza 2022.

Kotak gear ini merupakan ‘senjata’ terbaharu dari Daihatsu untuk kesemua model-model baharunya. Ia jauh lebih canggih dengan menggabungkan sistem CVT yang menggunakan tali sawat bersama gear sebenar bagi memberikan penggunaan bahan api, pecutan dan juga tahap kesenyapan yang lebih baik.

Kotak gear D-CVT ini akan berfungsi seperti kotak gear CVT dengan torque converter biasa, memberikan nisbah gear menerusi tali sawat yang berubah kedudukan pada pulley yang memacu dan dipacu. Namun untuk kelajuan lebih tinggi, kuasa akan disalurkan kepada set ‘split gear’ yang turut mengandungi set planetary gear bagi menyalurkan kuasa dengan efisien tanpa banyak kehilangan kuasa. Untuk lebih perincian bagaimana kotak gear ini berfungsi, anda boleh membacanya pada PAUTAN INI.

Perodua Axia 2023 Vs Axia generasi pertama – patut ke model generasi baru dijual pada harga lebih mahal?

Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelum ini. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.

Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.

Ketika dilancarkan nanti kesemua empat varian Axia 2023 iaitu G, X, SE dan AV akan hadir dengan kombinasi unit rangkaian kuasa yang sama. Axia baharu ini masih akan menampilkan versi yang diberikan kotak gear manual, namun ia hanya akan muncul selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sistem Eco Idle hanya diberi untuk Axia SE dan AV. Dua varian tertinggi ini juga diberikan mod Power, iaitu mod yang memberikan penghantaran kuasa lebih agresif menerusi butang yang diletakkan pada jejari kanan roda stereng sama seperti Ativa.

5. Keselamatan

Perodua Axia 2023 Vs Axia generasi pertama – patut ke model generasi baru dijual pada harga lebih mahal?

Seperti dilaporkan sebelum ini, Perodua Axia 2023 menerima penarafan empat bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP. Namun ingin ditekankan, ujian berkenaan dibuat menggunakan protokol baharu yang lebih ketat dari sebelum ini, dan ia hanya menggunakan model varian SE, iaitu varian tertinggi yang ditawarkan untuk Axia 2023 ini.

Axia SE berkenaan hanya dibekalkan dengan dua beg udara, dan perincian keselamatan lain yang standard untuk semua varian termasuk sistem brek ABS, kawalan kestabilan elektronik, dan pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk pemandu serta penumpang hadapan dan belakang.

Perodua Axia 2023 Vs Axia generasi pertama – patut ke model generasi baru dijual pada harga lebih mahal?

Manakala bagi varian tertinggi untuk Axia 2023 iaitu AV, ia dibekalkan dengan enam-beg udara dan hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 yang terdiri dari amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan juga amaran lintasan trafik belakang.

Kesemua kelengkapan keselamatan berkenaan lazimnya dipadankan standard pada model segmen-C, dan hadir sebagai perincian eksklusif untuk varian tertinggi model-model segmen-B. Dengan perincian yang diberikan pada Axia AV ini sudah tentu akan memaksa pengeluar lain memberikan spesifikasi yang sama untuk model-model lebih mampu milik masing-masing.

6. Harga

Perodua Axia 2023 ini dijual pada harga atas jalan bermula dari RM38,600 untuk Axia G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 untuk Axia AV. Ia sememangnya lebih lebih tinggi berbanding model genarasi sebelumnya – sebagai rujukan, harga pelancaran bagi Axia facelift 2019 adalah RM34,990 bagi GXtra dengan VSC dan RM43,190 bagi AV.

Dengan perincian yang jauh lebih canggih seperti yang telah kami huraikan di atas, anda masih lagi rasa Perodua Axia 2023 ini dijual pada harga yang terlalu mahal? Kenapa? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau pada ruang komen di laman sosial kami.

Kami sudahpun membuat uji pandu ringkas terhadap Perodua Axia 2023 ini, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

GALERI: Perodua Axia AV 2023

GALERI: Perodua Axia G 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required