Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

Selepas membuat kemunculan sulung global di Indonesia bulan lalu, Toyota Yaris Cross untuk pasaran ASEAN yang dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) kini sudah mula dijual di negara berkenaan secara rasmi.

Yaris Cross tersebut ditawarkan dalam tiga varian di Indonesia, bermula dengan varian asas Yaris Cross G dijual pada harga 351 juta rupiah (RM109k), diikuti Yaris Cross S berharga IDR407.7 juta (RM126.7k) dan varian tertinggi Yaris Cross S HV dijual pada harga IDR440.6 juta (RM136.9k).

Bagi varian G dan S, ia menerima enjin petrol penuh 2NR-VE DOHC Dual VVT-i 1.5 liter empat-silinder NA. Enjin yang sama boleh ditemui dalam perut Perodua Myvi dan Alza tersebut menjana 106 PS (105 hp atau 78 kW) dan tork maksima 138 Nm.

Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan, tetapi untuk varian asas G Yaris Cross ini turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

Untuk varian tertinggi S HV pula, ia menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 2NR-VEX 1.5 liter NA berkuasa 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan tork 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

Konfigurasi ini hanya menampilkan padanan kotak gear CVT automatik, manakala motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri lithium ion. Model dengan penggunaan bahan api lebih rendah ini diberikan tangki bahan api 36 liter, berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan tangki berkapasiti 42 liter.

Secara spesifik, Yaris Cross ini merupakan SUV Segmen-B yang menggunakan platform DNGA-B, iaitu varian yang sama digunakan kembar MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza serta Toyota Vios.

Platform berkenaan memberikan Yaris Cross ini dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm.

Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan. Manakala berbanding dengan ‘adiknya’ iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh.

Kesemua varian Yaris Cross pasaran Indonesia ini mempunyai radius pusingan 5.2 meter. Ia menggunakan sistem stereng berkuasa elektrik (EPS), dengan kedudukan roda stereng yang boleh dilaras atas-bawah dan teleskopik. Model ini menggunakan topang McPherson untuk suspensi hadapan dan torsion beam untuk suspensi belakang. Brek cakera hadapan dan belakang juga standard untuk semua varian.

Bagi pecahan kelengkapan pula, varian G menerima perincian standard seperti rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17, lampu hadapan LED, lampu kabus hadapan, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci dan sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sembilan-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple Carplay hubungan tanpa wayar.

Model paling asas ini juga menerima perincian lain seperti brek parkir elektronik dengan fungsi auto brake hold, sistem pendingin udara manual, upholsteri fabrik, enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan mula mendaki, penderia parkir, serta sistem kestabilan elektronik.

Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

Varian S pula menerima tingkat taraf seperti rim aloi 18-inci dengan tayar 215/55R18, pintu tailgate elektrik dengan akses tanpa sentuhan, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pedal penukar gear, pilihan mod pemanduan (Eco, Normal dan Power), dashcam, upholsteri kulit, penghawa dingin automatik, sistem Display Audio dengan skrin 10.1-inci, pemantau pandangan panaromik dan juga kawalan salah pijak pedal.

Model varian pertengahan ini juga dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense, yang memberikan sistem seperti Amaran dan Brek Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik), Amaran dan Pengelak Keluar Lorong, cruise control adaptif, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Kawalan Kekal Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.

Untuk varian S HV pula, ia ditambah dengan bumbung panaromik bersama pelindung cahaya matahari berkuasa, paparan sistem hibrid pada skrin infotainmen, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta lampu suasana kabin.

Pelanggan yang membeli model S dan S HV tutut ditawarkan dengan kit GR Parts Aero Package yang menampilkan kemasan tambahan pada gril hadapan, dan berlakang serta pemadanan spoiler ‘ekor itik’ di belakang. PT Toyota-Astra Motor turut menawarkan beberapa aksesori asli seperti jaring kargo, penyegar udara dan juga dashcam untuk varian G yang tidak datang standard dengan kamera tersebut.

Kesemua varian ditawarkan dengan warna badan Super White II, Greenish Gunmetal, Attitude Black Mica dan Dark Red, manakala warna Silver Metallic hanya untuk model bukan Hybrid. Varian S pula boleh dipilih dengan warna eksklusif Platinum White Pearl dan Spicy Scarlet.

Istimewa untuk pembeli varian S HV pula, ia boleh dipilih dalam skema warna dua-tona dengan bumbung berwarna Attitude Black Mica, namun hanya untuk warna badan Platinum White Pearl, Silver Metallic dan Spicy Scarlet sahaja.

Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN ini sebelum ini dilaporkan dibangunkan dengan kod projek D03B, dan ia dikhabarkan merupakan kembar kepada SUV yang sedang dibangunkan oleh Perodua dengan kod projek D66B. Jadi tidak mustahil ini merupakan model pertama dari Perodua yang menampilkan teknologi hibrid elektrik (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua).

Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana D66B dilaporkan dibangunkan menggunakan asas platform DNGA-B dan akan dilancarkan pada tahun hadapan, manakala Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada. Jika benar ia akan dijelmakan sebagai Daihatsu, agaknya berapa pula harga jualannya di sini kelak?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required