Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

Walaupun tidak berjaya meletakkan nama sebagai salah satu pengeluar automotif yang bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada penghujung era 90’an dengan Putra WRC yang dibina oleh Prodrive, Proton tidak berputus asa untuk melangkah ke aras tertinggi perlumbaan lasak tersebut.

Pada tahun 2008, Proton telah mendedahkan jentera rali Satria Neo S2000 yang dibina oleh satu lagi firma kejuruteraan British iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM). Jentera berkenaan dibina berdasarkan undang-undang FIA Super 2000, iaitu spesifikasi yang akan digunakan pada WRC dalam kategori kedua tertinggi kejohanan berkenaan dikenali sebagai FIA Super 2000 World Rally Championship (SWRC) bermula pada musim 2010.

Jentera ini mula berlumba di Kejohanan Rali Antarabenua (IRC) di Eropah pada pertengahan musim 2009, dan berada di garis permulaan bersama jentera-jentera WRC lain di Rally Monte Carlo untuk pusingan permulaan WRC 2010. Namun Satria Neo S2000 ini benar-benar menyerlah dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) apabila adik kepada lagenda WRC Colin McRae iaitu Alister McRae yang memandu untuk pasukan Proton R3 dinobatkan juara keseluruhan APRC untuk musim 2011.

Bukan itu sahaja, tempat kedua APRC untuk musim berkenaan adalah milik bekas pemandu pasukan rali dunia Subaru (SWRT) dari Australia, Chris Atkinson yang juga memandu untuk pasukan Proton R3, membolehkan Proton dinobatkan juara untuk kategori pengeluar dalam kejohanan berkenaan untuk kali ketiga.

Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

Bagi meraikan kemenangan tersebut, Proton R3 merancang untuk melancarkan model edisi khas yang dihasilkan dari model produksi Satria Neo 1.6 CPS . Dan ketika berlangsungnya pusingan keempat APRC 2012 yang diadakan di Johor, model konsep Proton Satria Neo S2000 Concept didedahkan di garis mula perlumbaan tersebut iaitu di Plaza Angsana Johor Bahru.

Model konsep berkenaan adalah pra-tonton kepada model produksi Satria Neo S2000 yang dirancang untuk dihasilkan dan dijual di bilik-bilik pameran Proton. Ia dikhabarkan hanya akan dihasilkan sebanyak 300 unit, di mana enjin Campro CPS 1.6 asal akan disumbat dengan unit Supercharger dari Sprintex membolehkan kuasa asal 125 PS/150 Nm, melonjak ke sekitar 180 PS/200 Nm!

Selain dari model penuh edisi terhad Satria Neo S2000 ini, Proton R3 turut merancang untuk menjual kit badan istimewa Neo S2000 Concept tersebut secara berasingan bagi membolehkan pemilik-pemilik Satria Neo sedia ada membeli dan memadankan kit berkenaan pada kereta masing-masing. Walau bagaimanapun, tidak ada satupun dari rancangan tersebut direalisasikan oleh Proton R3.

Namun projek berkenaan nampaknya disambung oleh pakar restorasi model-model legenda Proton iaitu Dream Street Restoration (DSR), dan hasilnya anda boleh lihat pada Satria Neo S2000 Concept yang kini dipamerkan di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang sempena Art of Speed 2023 yang akan bermula esok hingga 30 Julai 2023.

Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

Menurut pengasas DSR, Suriya Sankaran, Satria Neo S2000 Concept yang disudahkan oleh syarikatnya ini adalah unit pembangunan sebenar model berkenaan, namun ia bukanlah unit yang dipamerkan di Plaza Angsana pada 2012.

Suriya menyatakan walaupun projek dari Proton R3 tersebut terhenti pada 2012, pembuat kit badan Satria Neo S2000 ini iaitu Proreka berhasrat untuk menjadikannya kenyataan. Jadi Proreka membangunkan sendiri terlebih dahulu model tersebut menggunakan Satria Neo R3 Executive pada tahun 2014, tetapi ia tidak berjaya menyakinkan Proton untuk membawa model ini ke peringkat produksi.

Jadi kereta pembangunan Satria Neo S2000 Concept ini tersadai di gudang Proreka sejak sekian lama. Namun pada 2021, Proreka yang memang mengenali Suriya kerana beliau sendiri memang salah seorang ahli pasukan R3 ketika projek ini diumumkan dahulu menghubunginya dan menawarkan unit pembangunan ini untuk dijual kepada DSR.

Ketika kereta ini diterima, kit badan yang dipadankan sebenarnya masih menggunakan tanah liat. Dengan menggunakan kit badan prototaip tersebut, DSR menghasilkan acuan bagi menghasilkan produk akhir sebenar yang menggunakan bahan FRP. Manakala bonet hadapan juga kini sudah menggunakan bonet yang dibuat dari material gentian karbon kevlar (CFKRP) yang sama seperti Satria Neo R3 Lotus Racing yang dibangunkan semula oleh DSR.

Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

Jadi kit badan Satria Neo S2000 Concept dan juga bonet hadapan karbon yang dihasilkan oleh DSR ini bukan hanya dipadankan pada kereta ini, tetapi DSR turut menjualnya kepada pemilik-pemilik Satria Neo lain yang berminat.

Seperti biasa, kereta-kereta yang direstorasi oleh DSR harus dibaraikan untuk dicat semula. Badan Satria Neo yang sudah dikenakan kit yang terdiri dari bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang dan spoiler bumbung tersebut dilayangkan dengan warna yang sama seperti jentera rali Satria Neo S2000 sebenar iaitu Traffic Yellow.

Trivia untuk anda yang belum tahu, warna kuning ini bukan sahaja warna rasmi untuk Proton R3, malah kuning adalah “warna perlumbaan rasmi untuk Malaysia” seperti merah untuk kereta lumba dari Itali, hijau gelap untuk kereta lumba British dan warna perak untuk kereta lumba dari Jerman. Sebab itulah Alex Yoong juga menggunakan warna kuning untuk pasukan Malaysia dalam perlumbaan “world cup of motorsport” A1 GP yang disertai pada 2005 hingga 2008.

DSR turut memberikan ‘laurel wreath’ kemenangan Proton Satria Neo dalam APRC 2011 pada pintu tailgate belakang kereta ini dalam bentuk air brush. Malah jika anda lihat dengan teliti, Satria Neo ini juga diberikan airbrush jenis holografik di sekeliling kereta yang hanya boleh di lihat menerusi pantulan cahaya.

Holografik berkenaan adalah logo Proton pada bonet hadapan, grafik kepala harimau pada bahagian sisi, tulisan ‘Proton’ pada spoiler belakang (ketiga-tiga ini adalah seiras dengan grafik pada kereta rali sebenar Satria Neo S2000) dan juga satu lagi laurel wreath besar pada bumbung.

Manakala pada sebelah dalam, Satria Neo ini menerima sentuhan menarik ala-DSR sendiri. Anda boleh lihat ia diberikan serlahan-serlahan kuning pada papan pemuka, panel pintu, konsol tengah dan juga tuil brek tangan. Tempat duduk bucket R3 asal dibuka dan digantikan dengan tempat duduk Recaro SR4 Tomcat.

Upholsteri tempat duduk itu pula menampilkan sulaman “S2000 Concept” pada perehat kepala dan juga corak fabrik unik kuning hitam yang turut diberikan pada tempat duduk belakang dan juga pada panel fabrik pada pintu. Semua tali pinggang keledar asal juga telah ditukar ke warna kuning, dan pemandu menerima roda stereng deep dish tiga jejari balutan kulit Momo Mod 08.

Kabin Satria Neo ini turut diberikan aksesori-aksesori asli dari DSR termasuk karpet kaki, set pedal aloi, tombol gear Delrin.

Suriya turut menyatakan bahawa Neo S2000 Concept ini dibina oleh DSR dengan spesifikasi yang relevan untuk masa sekarang. Oleh sebab itu ia kini diberikan lampu projektor LED dengan lampu rendah dan tinggi, lampu nyalaan siang LED serta sistem infotainmen lengkap dalam kabin.

Bercakap mengenai sistem infotainmen yang dipasang pada Neo S2000 Concept ini, DSR memberikan pemain utama dengan skrin Android 10-inci dari Dynavin yang turut memaparkan logo DSR ketika kunci diputar serta paparan untuk kamera undur, bersama sistem bunyi menampilkan empat pembesar suara dari Infinity serta satu subwoofer Basslink.

Dan yang paling penting, unit rangkaian kuasa pada Satria Neo S2000 Concept ini juga adalah sama seperti dirancang oleh Proton R3 dulu – enjin Campro CPS tersebut disumbat dengan unit Supercharger dari Sprintex! Bukan itu sahaja, DSR turut memadankan aci sesondol dengan sudut bukaan lebih agresif bersama pulley boleh laras dan kotak udara gentian karbon keluarannya sendiri serta sistem ekzos prestasi keluli tahan karat dari R3.

Namun komponen dalaman enjin pada blok termasuk omboh, rod penghubung, aci engkol dan sebagainya masih lagi kekal standard. Bagi memastikan unit Supercharger tersebut tidak ‘menghancurkan’ omboh dan komponen lain, kotak komputer asal tidak lagi digunakan dan pengurusan enjin kini dibuat dan ditala menerusi ECU jenis stand alone Links AtomX G4X.

Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

Hasilnya, Satria Neo S2000 ini mencatatkan kuasa 200 HP pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 220 Nm pada takat 4,500 rpm di atas mesin dynometer. Kuasa dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan manual dengan nisbah rapat serta nisbah akhir lebih besar 4.625.

Ini membolehkan Satria Neo S2000 Concept ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat – jauh lebih pantas dari Satria Neo 1.6 CPS yang hanya mampu mencatatkan 10.5 saat untuk pecutan sama!

Bagi memastikan kuasa berkenaan mampu ditangani oleh casis, seperti biasa DSR memadankan penyerap hentak boleh larasan dari Fawster Motorsport. Semua set bushing pada cagak-cagak enjin dan suspensi juga kini telah ditukar dengan komponen yang padan dengan karekter kuasa yang dihasilkan.

Set roda juga penting untuk menampung jumlah kuasa lebih besar yang dihasilkan oleh enjin Campro CPS Supercharged ini. Oleh itu DSR memberikan set rim aluminium Enkei Tuning SC22 bersaiz 17-inci dengan lebar 7jj, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 5 bersaiz215/45ZR17.

Di sebalik set rim yang besar tersebut anda turut boleh lihat Satria Neo ini menerima set brek Brembo lebih besar, terdiri dari angkup enam omboh bersama cakera dilarik berdiameter 330 mm, dan juga angkup omboh tunggal pada sebelah belakang.

Menurut Suriya, kereta ini telah mendapat pembeli ketika projek berjalan selama dua bulan, dan pemilik baharu tersebut membawanya pulang kerumah setelah ia siap sepenuhnya. Namun disebabkan pemilik berkenaan kerap tidak berada di Malaysia, dia merasakan kereta ini perlukan tuan baharu untuk dijaga sepenuhnya.

Harga yang dipinta? RM188,000 – ia bukanlah jualan yang mendesak kerana tuan punya kereta ini masih berat untuk melepaskannya. Kalau anda rasakan harga ini terlalu mahal, jangan risau kerana kebanyakkan aksesori yang terdapat pada Satria Neo S2000 ini masih dijual oleh DSR.

Dan istimewa untuk Art of Speed 2023 yang berlangsung sehingga Ahad ini, anda boleh ke reruai DSR yang turut berada di Dewan C MAEPS bagi mendapatkan komponen-komponen tersebut dengan harga diskaun 20% lebih murah dari hari biasa.

Selain dari Proton Satria Neo S2000 Concept ini, DSR turut membawa dua buah lagi kereta untuk dipamerkan di AOS 2023 iaitu Proton Wira 1.8 ‘tiang gol’ yang digunakan oleh Suriya dalam Kejohanan Rali Malaysia serta pernah dipandu uji oleh Michael Schumacher, serta replika Proton Putra WRC yang dihasilkan oleh DSR.

GALERI: Proton Satria Neo S2000 sebenar yang didedahkan di Plaza Angsana Johor Bahru pada 2012

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required