Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

Sebelum dilancarkan bulan hadapan dan mula dijual pada musim panas akan datang, Nissan telah mendedahkan varian baharu untuk Nissan Skyline sedan V37 bagi pasaran Jepun – ini dia Nissan Skyline Nismo 2024! Seperti biasa, ini merupakan model khas hanya untuk pasaran domestik Jepun (untuk eksport V37 dikenali sebagai Infiniti Q50), dan ia hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit, termasuk 100 unit daripadanya adalah versi edisi lebih terhad.

Untuk enjin, Skyline Nismo ini berkongsi unit VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang sama dengan varian paling berkuasa V37 iaitu 400R. Namun ianya ditala semula bagi menghasilkan kuasa 420 PS (414 hp atau 309 kW) dan tork maksima 550 Nm, berbanding 405 PS/400 Nm untuk 400R standard.

Menurut Nissan, sama seperti enjin VR38DETT pada GT-R R35, setiap satu enjin VR30DDTT ini juga turut dipasang dengan tangan oleh seorang ‘Takumi’ di kilang pemasangan enjin Takumi di Yokohama. Bagi model edisi terhad, nama Takumi serta nombor siri khas turut ditampal pada enjin berkenaan.

Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan automatik, yang turut mendapat talaan semula dari Nismo bagi memberikan respon lebih tajam dalam mod Sport dan Sport+.

Selain itu, Nismo Skyline ini juga diberikan rim aluminium eksklusif 19-inci dari Enkei yang lebih ringan, lebar dan lebih tegar, dibalut dengan tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600 bersaiz 245/40R19. Suspensi juga telah ditala semula serta dipadankan dengan bar anti oleng istimewa bagi mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh dan kekal stabil pada permukaan jalan yang tidak rata.

Bukan itu sahaja, Nismo turut memberikan bahan pereka yang sama seperti R35 GT-R Nismo pada cermin hadapan dan belakang Skyline V37 Nismo ini yang didakwa memberikan ketegaran badan lebih baik tanpa meningkatkan berat keseluruhan kereta.

Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

Brek V37 ini turut mendapat perhatian sayap perlumbaan rasmi Nissan ini dengan memberikan set pad baharu yang lebih tahan panas bagi mengelakkan masalah brake fade, dan sistem ABS juga ditala bagi memberikan jarak brek yang lebih dekat.

Pada bahagian luar, gril V-Motion yang menyerupai gril GT-R R35 serta lampu belakang dengan grafik bulat berkembar seperti model-model Skyline sebelum ini masih dikekalkan. Model Nismo ini diberikan bampar hadapan dengan perumah lampu lampu nyalaan siang dan lampu kabus serta gril bawah yang diinspirasikan dari GT-R R35 Nismo 2024.

Menurut Nissan, rekaan berkenaan bukan hanya bersifat kosmetik, malah ia turut memberikan aliran udara lebih baik kepada radiator dan juga penyejuk minyak enjin. Selain itu ia turut menerima skirt sisi dan bampar belakang baharu rekaan Nismo yang turut diberikan serlahan jalur merah di bahagian bawah sama seperti model-model Nismo yang lain.

Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

Bagi model edisi terhad yang hanya dihasilkan 100-unit, ia diberikan perincian bagi memperingati kereta lumba pertama Prince Skyline GT S54A-1 sempena ulangtahun ke-60 Skyline. Ia termasuk jalur badan berkembar pada sebelah tengah, lencana GT pada fender hadapan, rim yang dilayangkan dengan warna Gun Metal, serta emblem-emblem GT Limited pada tempat-tempat sepatutnya.

Pada sebelah dalam pula, kabin Skyline Nismo ini masih sama seperti varian 400R, tetapi diberikan beberapa perincian isitimewa dan unik dari Nismo. Antaranya tanda pukul 12 pada roda stereng berwarna merah, meter rpm Nismo dengan ‘gelang berwarna merah, meter kelajuan yang memberi bacaan sehingga 280 km/j, dan juga opsyen tempat duduk bucket Recaro berwarna hitam dengan kemasan merah di tengah dan juga upholsteri sued.

Di Jepun Nissan Skyline Nismo V37 2024 ini dijual pada harga bermula 7,880,400 yen (RM251,421), manakala model edisi terhad pula dijual pada harga 9,479,800 yen (RM302,439). Lima warna badan ditawarkan, termasuk warna eksklusif Nismo Stealth Gray yang sama seperti GT-R Nismo.

Mungkin sampai sekarang ada lagi yang keliru apa beza V37 ini dengan R35 bukan? Untuk yang masih tertanya-tanya, selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, manakala Skyline hanya kekal dikenali sebagai model sedan keluarga, crossover dan coupe lebih jinak dikenali dengan kod casis V.

Bermula dari V35 kemudian ke V36 dan V37, nama Skyline hanya digunakan pada model JDM, manakala di luar Jepun model yang sama dijual menggunakan logo divisi mewahnya iaitu Infiniti. Untuk model generasi selepas ini, ada khabar menyatakan Skyline bukan hanya akan dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), malah ia mungkin hanya hadir dalam versi crossover/SUV.

Mungkin Skyline Nismo ini adalah model ‘selamat tinggal’ sebelum Skyline benar-benar berubah menjadi SUV EV sepenuhnya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required