Tahun lalu Perodua melancarkan satu model baharu dan satu model kemaskini kecil, bermula dengan Axia generasi kedua muncul pada Februari 2023, diikuti dengan Axia E manual atau ‘Axia Rahmah’ pada Jun iaitu model generasi pertama yang disambung produksi dengan spesifikasi ‘kosong’ dan juga kotak gear manual.
Model tersebut dilancarkan semula dengan harga lebih rendah dengan hanya RM22,000, bagi mengisi kekosongan model paling mampu milik Perodua kerana bagi model generasi kedua yang diasaskan dari platform DNGA, Axia dijual pada harga bermula RM38,600 untuk varian G tanpa pilihan transmisi manual.
Kalau diikutkan, pada tahun 2023 Perodua tidak menggunakan kapasiti penuh mereka yang mampu untuk melancarkan satu model serba baharu dan dua model facelift setahun. Namun ia sudah cukup membuatkan pekerja-pekerja kilangnya di Rawang sangat sibuk – pada akhir Oktober 2023, Perodua sudah pun mencatatkan produksi tahunan mencecah 280,452 unit, naik 22% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, membolehkan sasaran produksi keseluruhan 2023 dinaikkan dari 314,000 unit kepada 330,000 unit.
Jadi untuk 2024, agak-agaknya apa pula model baharu yang akan dilancarkan oleh Perodua bagi mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran yang sangat tinggi ini? Di sini kami jangkakan beberapa halatuju model-model Perodua sepanjang tahun ini.
Perodua Aruz
Dari kesemua enam model dalam barisan model Perodua, Aruz merupakan model yang paling lama tidak dikemaskini oleh jenama tersebut. SUV dengan tujuh tempat duduk ini dilancarkan pada 2019 tetapi tidak pernah diberikan sebarang facelift sepanjang lima tahun dijual. Ia cuma pernah menerima perubahan kecil pada 2021 dengan beberapa perincian dan pilihan warna baharu.
Kembar Aruz di Indonesia iaitu Daihatsu Terios baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift pada Jun tahun lalu, jadi ada kemungkinan Perodua turut akan membuat kemaskini yang sama tahun ini. Walaupun Aruz dilihat tidak canggih seperti Alza, model ini tetap mempunyai pasarannya tersendiri kerana ia mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi dengan kebolehan seperti SUV.
Perodua Bezza
Bezza juga merupakan antara model Perodua yang sudah lama berada dalam pasaran. Sedan ini diperkenalkan sekitar lapan tahun lalu iaitu pada pertengahan 2016. Model yang dibangunkan oleh Perodua dan tiada kembar Daihatsu atau Toyota ini sudahpun diberikan facelift pada Januari 2020, genap empat tahun dalam masa beberapa hari lagi.
Kalau diikutkan kitaran hayat produksinya, Bezza sepatutnya sudahpun perlu dihasilkan dalam versi generasi kedua. Namun momentum jualan sedan segmen-A ini bukan sahaja tidak pudar, malah semakin meningkat dengan menjadi model Perodua paling laris tahun lalu mengatasi jumlah jualan Myvi.
Ditambah dengan beberapa pengumuman dari Perodua sebelum ini, dapat disimpulkan Bezza generasi baharu sudah pasti tidak akan dilancarkan pada 2024. Ia masih lagi dalam peringkat pembangunan dan mungkin akan diperkenalkan dalam beberapa tahun lagi. Jadi ada kemungkinan model generasi sedia ada akan diberikan beberapa pembaharuan tahun ini bagi membolehkan ia relevan dalam tempoh setahun-dua sebelum model serba baharu diperkenalkan.
Perodua Myvi
Rasanya macam baru lagi Myvi generasi ketiga dilancarkan kan? Namun model ini juga sebenarnya sudah tujuh tahun dalam pasaran selepas ia muncul pada tahun 2018. Jika dilihat pada dua generasi sebelumnya, dengan jualan yang begitu tinggi Myvi dijual hanya dalam masa enam tahun setiap generasi (2005-2011 untuk generasi pertama dan 2011-2017 untuk generasi kedua). Jadi bukankah sepatutnya model generasi keempat akan muncul tak lama lagi?
Walau bagaimanapun, hayat Myvi G3 ini mungkin masih lama dalam pasaran dengan versi facelift baru sahaja diperkenalkan dua tahun lalu. Ia bukan sahaja menampilkan perubahan rekaan luaran, malah turut menerima kotak gear baharu dengan peningkatan yang agak besar pada pelbagai perincian.
Model generasi sedia ada ini dibangunkan sendiri oleh Perodua di Rawang, dan mungkin proses yang sama juga akan dibuat bagi model generasi keempat kelak. Myvi serba baharu nanti sudah pasti bakal diasaskan dari platform DNGA dan mungkin akan menjadi model pertama Perodua yang ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV), tetapi ia mungkin tidak akan muncul tahun ini. Jadi untuk Myvi, kami jangkakan tiada sebarang pembaharuan besar akan dibuat tahun ini.
SUV segmen-B penuh D66B
Ini merupakan model paling dinantikan dengan hype sebenarnya sudah bermula tahun lalu. Sehingga kini ia hanya dikenali dengan nama kod projek D66B, tetapi ada yang menggelarnya sebagai Perodua Nexis kerana nama tersebut telah didaftarkan oleh Perodua di MyIPO. Namun hakikatnya masih belum ada petunjuk berat bahawa nama Nexis ini akan diberikan pada model baharu berkenaan.
Berbanding Ativa yang dihasilkan dengan saiz hampir kepada segmen-A, D66B pula adalah SUV segmen-B penuh yang akan berhadapan dengan model seperti Honda HR-V, dan paling penting ia adalah jawapan Perodua kepada Proton X50. Juga tiada sebarang gambaran sebenar bagaimana rupa D66B ini, tetapi dengan pelbagai petunjuk, ia adalah kembar kepada Toyota Yaris Cross yang sudahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand tahun lalu.
Di Indonesia, varian asas Yaris Cross ditawarkan dengan enjin 1.5L NA yang sama boleh ditemui pada Alza, Myvi dan Toyota Vios. Tak cukup canggih? Bagi model tertinggi, SUV tersebut turut ditawarkan dalam versi 1.5L dengan sistem hibrid penuh.
Jadi untuk D66B nanti, dijangkakan ia bukan sahaja akan menjadi model pertama produksi Perodua yang dijual dengan menawarkan unit rangkaian kuasa hibrid, malah ia juga boleh menjadi alternatif lebih moden dan efisien berbanding enjin 1.5L Turbo pada Proton X50. Malah ia juga sejajar dengan sasaran Perodua sebelum ini yang mengumumkan bahawa model hibrid pertamanya akan muncul pada 2024.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.