Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?

Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?

Sebelum ini berberapa lakaran digital telah dibuat bagi membayangkan rupa SUV baharu yang sedang dibangunkan oleh Perodua, setakat ini dikenali dengan kod projek D66B. Lakaran-lakaran tersebut dibuat secara rawak tanpa rujukan dari unit prototaip sebenar, dan hanya mengambil elemen-elemen dari model-model terbaharu Perodua yang telah dijual dalam pasaran.

Namun selepas Toyota Yaris Cross didedahkan di Indonesia bulan lalu, bayangan untuk rupa sebenar SUV D66B Perodua ini makin jelas. Ini kerana Yaris Cross yang sebelum itu dikenali dengan kod projek D03B berkemungkinan besar adalah kembar kepada D55B, kerana kedua-duanya merupakan SUV segmen-B yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dari varian DNGA-B.

Seperti biasa, bayangan Perodua Nexis berasaskan Toyota Yaris Cross ini dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin. Mana datang nama Nexis ni? Nama berkenaan sebenarnya sudah dilihat didaftarkan oleh Perodua bersama satu lagi nama iaitu ‘Traz’ di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebelum Perodua Alza 2022 dilancarkan lagi. Walaupun nama berkenaan masih belum diumumkan secara rasmi akan digunakan oleh Perodua, sudah ramai yang meramalkan bahawa ia akan digunakan pada SUV baharu Perodua ini kelak.

Bagi Nexis yang dibayangkan oleh Theo ini, seperti lazimnya model kembar Toyota-Daihatsu-Perodua yang lain, ia berkongsi rupa asas badan yang sama. Jadi Theo mulakan merubah Yaris Cross kepada Nexis dengan merubah bahagian hadapan, menerapkan rekaan gril hadapan, lampu nyalaan siang LED yang diletakkan secara berdiri, menonjolkan bentuk-X pada muka seperti Myvi.

Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?

Di belakang, kluster lampu Yaris Cross masih dikekalkan tetapi Theo menambah bar lampu untuk merentangi sepenuhnya pintu taligate. Logo-logo Toyota juga telah ditukar kepada logo Perodua, dan Theo turut ‘menampal’ emblem Nexis pada sebelah kiri pintu tailgate berkenaan.

Berdasarkan spesifikasi yang telah dikeluarkan oleh Toyota, Yaris Cross dihasilkan dengan dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm.

Berdasarkan saiz ini, Yaris Cross/Nexis merupakan SUV yang lebih besar dari Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa
dengan perbezaan 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh. Jadi SUV baharu Perodua ini kelak bakal berhadapan terus dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V.

Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross adalah 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan.

Toyota Yaris Cross 2023 pasaran Indonesia

Bagi varian asas, Yaris Cross pasaran Indonesia dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 106 PS (105 hp atau 78 kW) dengan tork maksima 138 Nm, iaitu enjin yang sama boleh ditemui pada Perodua Myvi dan juga Alza. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear CVT dan juga manual lima kelajuan, bergantung pada penawaran varian.

Jadi dengan hanya enjin 1.5L NA, bagaimana Nexis boleh menjadi saingan terus terhadap X50 yang dijana enjin 1.5L Turbo? Di Indonesia, Yaris Cross juga sebenarnya ditawarkan dalam versi hibrid untuk varian tertinggi. Unit rangkaian kuasa tersebut menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 2NR-VEX 1.5 liter NA berkuasa 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan tork 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

Tidak mustahil Nexis akan menjadi model pertama Perodua yang menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid ini (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua).

Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada.

Di Indonesia, Yaris Cross ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas Yaris Cross G dijual pada harga 351 juta rupiah (RM109k), diikuti Yaris Cross S berharga IDR407.7 juta (RM126.7k) dan varian tertinggi Yaris Cross S HV dijual pada harga IDR440.6 juta (RM136.9k).

Berdasarkan konteks tersebut dan mengambilkira kedudukan barisan produk Perodua (Ativa dijual pada harga bermula RM62,500 sehingga RM72,600), kami jangkakan Nexis mungkin dijual pada harga asas RM73,000 atau lebih murah dari varian paling murah Proton X50 yang dijual pada harga RM86,300.

Perincian-perincian pada Yaris Cross juga mungkin boleh membayangkan apa yang akan diterima oleh Nexis di Malaysia kelak. Bagi varian tertinggi Yaris Cross S HV, ia dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sembilan inci menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan brek parkir elektronik (dengan auto brake hold).

Yaris Cross dengan kelengkapan paling lengkap di Indonesia itu juga diberikan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem seperti Amaran dan Brek Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik), Amaran dan Pengelak Keluar Lorong, cruise control adaptif, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Kawalan Kekal Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.

Setakat ini bagaimana? Adakah anda berharap rupa SUV D55B nanti kelak tidak jauh dari apa yang dibayangkan oleh Theo ini? Dan adakah mahu ia kekal dengan nama Nexis atau Perodua perlu memberikan nama lain untuk SUV yang lebih canggih ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required