
Bagi model tahun 2024, Triumph memperkenalkan beberapa warna baru untuk model Rocket 3 GT, Rocket 3 R, Speed Triple 1200 RS, Tiger Sport 850, Tiger Sport 660 dan Trident 660. Warna baru ini diberitahu sudah boleh ditempah oleh pelanggan.
Bermula dengan model yang diangkat sebagai model produksi dengan enjin berkapasiti paling tinggi di dunia, iaitu Rocket 3, warna baru Sapphire Black/Carnival Red/Silver Ice diperkenal untuk kedua-dua Rocket 3 R dan Rocket 3 GT, sebagai pilihan tambahan kepada warna Matt Silver Ice (R sahaja) dan Sapphire Black sedia ada.
Speed Triple 1200 RS yang merupakan model naked paling berkuasa jenama ini mendapat warna baru yang lebih menyerlah, iaitu Carnival Red, sebagai tambahan kepada kepada warna Matt Silver Ice dan Sapphire Black sedia ada. Ia kemudiannya diserikan lagi dengan grafik Aluminium Silver RS.
Turut mendapat pilihan warna baru adalah model jelajah/kembara yang lebih fokus kepada penggunaan atas jalan biasa, iaitu Tiger 850 Sport. Warna Graphite/Diablo Red sebelum ini masih ada, tetapi ia ditambah dengan pilihan Graphite/Jet Black. Model yang menggunakan enjin lebih kecil, Tiger Sport 660 mendapat pilihan warna baru Snowdonia White & Jet Black.
Akhir sekali untuk model paling mampu milik daripada Triumph, iaitu Trident 660, ia mendapat pilihan warna baru Jet Black/Triumph Racing Yellow, sebagai tambahan kepada warna lain seperti Silver Ice/Diablo Red, Matt Jet Black/Silver Ice dan Sapphire Black.














