Yamaha R9 diperkenal – enjin tiga silinder 119 PS MT-09, pelbagai kelengkapan canggih dan berprestasi

Setelah lama ditunggu, Yamaha akhirnya memperkenalkan sportsbike berasaskan MT-09 yang dipanggil secara ringkas sebagai R9. Ia diletakkan di antara R1 dan R6, sambil melengkapi R7, R25 dan R15 yang sudah sedia berada di pasaran.

Sebagai permulaan, enjin sama seperti MT-09 digunakan pada model ini, iaitu unit CP3 tiga silinder DOHC 890 cc, dengan kuasanya juga masih 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Ia digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, dan quickshifter dengan dua mod diberikan secara standard. Unit penggerak ini kemudiannya digantung pada kerangka Deltabox khas yang dikatakan sebagai kerangka paling ringan pernah digunakan oleh Yamaha pada sebuah model supersport (9.7 kg).

Bentuk badan yang digunakan oleh Yamaha untuk R9 ini telah dibangunkan dengan pembangunan aerodinamik teliti, termasuk mengujinya dalam terowong angin. Winglet hadapan sebagai contoh, diberitahu boleh mengelakkan tayar hadapan daripada terangkat semasa memecut di jalan lurus sehingga tujuh peratus, dan apabila digabungkan bersama spoiler di muncungnya, boleh meningkat sehingga 10% sewakt mengambil selekoh.

Perhatian turut diberi pada bahagian suspensi dengan perkakasan daripada Kayaba, yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock dibelakang – kedua-duanya datang dengan pelarasan penuh.

Untuk brek, Yamaha meletakkan cakera berkembar 320 mm dengan angkup monobloc Brembo Stylema empat piston di hadapan, dan prestasinya dipertingkat lagi dengan master cylinder juga daripada Brembo serta hos stainless steel braided.

Sistem elektronik serba lengkap untuk motosikal sports diberikan pada R9, bermula dengan tiga tetapan mod tersedia, dua mod boleh ubah dan empat mod trek. Kemudiannya, ia ditambah lagi dengan sistem Power Delivery (PWR), Traction Control (TCS), Slide Control System (SCS), Brake Control (BC), Back Slip Regulator (BSR), Engine Brake Management (EBM), cruise control, Lift Control (LIF) dan Launch Control.

Yamaha R9 diperkenal – enjin tiga silinder 119 PS MT-09, pelbagai kelengkapan canggih dan berprestasi

Semua sistem ini boleh dikawal melalui butang di bahagian pemegang dan dipaparkan pada panel instrumen TFT lima inci yang disediakan di bahagian kokpit – juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide.

Tidak cukup dengan itu, pengguna juga boleh menyambungkan motosikal ini dengan aplikasi Y-Trac yang dapat memberikan pelbagai data tunggangan berserta GPS. Melaluinya, pengguna dapat mengetahui informasi seperti sudut condong, tahap rpm, kelajuan, kedudukan gear, bukaan pendikit serta pelbagai lagi dalam sesuatu masa semasa dalam litar.