Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KL MRT: Persiaran KLCC, Jln Binjai ditutup mulai 1 Okt

    mrt_klcc

    Klik untuk besarkan

    MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan jangka panjang di sebahagian laluan Persiaran KLCC/Jalan Binjai serta penyusunan semula Jalan Lumba Kuda. Ia membabitkan penutupan laluan sejauh 180 meter antara persimpangan lampu isyarat di hadapan PNB Darby Park hingga lampu isyarat memasuki tempat letak kereta bawah tanah KLCC.

    Penutupan itu bermula 1 Oktober ini, selama lima tahun iaitu sehingga 1 Disember 2021. Manakala penyusunan semula Jalan Lumba Kuda pula akan dilaksanakan sehingga 28 Februari 2017.

    Menurut kenyataan terbabit, pelaksanaan pengurusan trafik itu adalah bagi melancarkan pembinaan Stesen S17 Transit Aliran Massa (MRT), antara 11 stesen bawah tanah bagi jajaran Sungai Buluh-Serdang-Putrajaya (SSP).

    Sepanjang penutupan itu, pengguna dari Persiaran KLCC/Jalan Binjai yang mahu ke Jalan Tun Razak perlu menghala ke Jalan Ampang dan melakukan pusingan U di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Yap Kwan Seng sebelum ke Jalan Tun Razak.

    Trafik dari Lorong Kuda pula tidak dibenarkan membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat ke tempat letak kereta bawah tanah KLCC untuk ke Jalan Binjai. Sebaliknya pengguna perlu melakukan pusingan U di persimpangan itu untuk ke Jalan Tun Razak dan melalui Jalan Ampang sebelum ke Jalan Binjai.

    Manakala trafik dari Jalan Stonor tidak boleh menghala terus ke Jalan Binjai. Mereka perlu membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat tempat letak kereta bawah tanah KLCC menghala ke Jalan Tun Razak dan melalui Jalan Ampang ke Jalan Binjai

    Pengguna yang keluar dari tempat letak kereta bawah tanah KLCC pula tidak boleh membelok ke kiri untuk ke Jalan Binjai, sebaliknya perlu menghala ke Jalan Tun Razak dan memasuki Jalan Binjai menerusi Jalan Ampang.

    Kenderaan yang keluar dari jalan di belakang Menara PNB dan di sisi PNB Darby Park tidak boleh membelok ke kiri untuk ke Jalan Binjai bagi menghala ke Jalan Tun Razak atau Jalan Stonor, sebaliknya perlu membelok ke kanan ke Jalan Binjai menghala ke Jalan Ampang.

    Sementara itu, penyusunan semula Jalan Kuda membabitkan laluan sejauh 170 meter, dengan laluan dua hala itu diubah menjadi sehala dari Persiaran KLCC menuju lampu isyarat berhampiran The Troika, dan laluan dua lorong itu akan dikecilkan menjadi satu lorong.

    Kenderaan tidak boleh membelok ke kanan untuk ke Jalan Binjai menuju Jalan Tun Razak atau Jalan Stonor. Sebaliknya, pengguna hanya boleh membelok ke kiri di lampu isyarat berhampiran The Troika menuju ke Jalan Ampang.

    Manakala yang ingin ke Hotel The Zon dan Masjid As-Syakirin, hanya boleh masuk menerusi Jalan Ampang dan Persiaran KLCC.

    Sepanjang penutupan itu, pengguna dinasihatkan untuk mengikut arahan papan tanda sepanjang penutupan dan penyusunan semula laluan itu.Malahan Pasukan Tindakan Kecemasan Projek akan ditempatkan di situ bagi melancarkan aliran trafik.

     
     
  • Penyeragaman sepenuhnya plat nombor pendaftaran kenderaan dalam masa tiga tahun – JPJ

    perfect-number-plate-malaysia

    Isu nombor pendaftaran yang tidak seragam dan dibuat sewenang-wenangnya tidak mengikut spesifikasi oleh pemilik-pemilik kenderaan bakal berakhir tidak lama lagi. Dalam satu bengkel khas yang diadakan bersama pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklumat dan cadangan semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan penyelesaian masalah ini akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun 2017, lapor The Sun Daily.

    Jika langkah tersebut diluluskan, polisi nombor pendaftaran baharu akan dikuatkuasakan untuk semua kenderaan baharu termasuk motosikal dan diikuti kenderaan lain secara berperingkat dalam masa tiga tahun.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, bengkel satu hari bertajuk “Penyeragaman Plat Nombor Pendaftran Kenderaan” berkenaan adalah untuk membincangkan kelemahan dalam pengeluaran plat nombor pendaftaran di seluruh negara yang menyebabkan penggunaan plat dengan spesifikasi yang tidak dibenarkan.

    “Kami juga turut mencari jalan bagaimana untuk menyeragamkan plat nombor dan mengeluarkan plat yang standard di seluruh negara,” kata beliau kepada portal berita berkenaan.

    Tambah beliau lagi, mekanisma baharu tersebut perlu membolehkan pihak berkuasa memantau peniaga kecil atau vendor-vendor di seluruh negara untuk mengeluarkan plat nombor pendaftaran yang berpandukan Undang-undang Kenderaaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959.

    “Kami mahu peniaga untuk berdaftar dengan JPJ dan daripada situ, kami, bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, boleh mengambil tindakan jika perlu,” kata beliau dalam ucapan pembukaan bengkel tersebut semalam.

    licence plate

    Selain itu, beliau juga mahu kesemua 50 peserta bengkel berkenaan yang terdiri agensi kerajaan berkaitan dan industri automotif, mempertimbangkan pengguna material yang tahan lasak dan kuat seperti logam tekan (metal stamping) dan kos mekanisma untuk pengeluaran plat baharu ini juga perlulah efektif. “Material sedia ada, seperti plastik, tidak tahan lama dan boleh ditukar dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau.

    Aziz menjelaskan penyeragaman plat berkenaan adalah penting dalam memerangi jenayah dan menguatkuasakan keselamatan jalan raya serta kerajaan agak fleksibel dalam menangani isu ini.

    “Selama ini, pihak berkuasa dan orang ramai terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk mengenalpasti plat nombor yang terlalu fancy atau tidak jelas.

    “Kami mahu mencari jalan penyelesaian yang tidak melibatkan kos yang tinggi dan membebankan rakyat. Kami juga mahu memastikan tiada monopoli untuk tujuan ini,” kata beliau.

    Dalam bengkel yang diadakn semalam, sebuah syarikat telah membentangkan cadangan untuk rekaan plat nombor pendaftaran baharu dan juga material yang digunakan selama 45 minit serta sistem pendaftaran dinamik yang dapat mengelakkan penyalahgunaan oleh vendor dan pemilik kenderaan.

    Bengkel serupa telah dijalankan oleh kementerian berkenaan dua tahun lalu untuk menyelesaikan isu cermin gelap. Hasilnya tahap ketelusan cahaya (VLT) untuk bahagian penumpang belakang kini dikurangkan kepada 30% berbanding 50% sebelum ini dan undang-undang lebih ketat digazetkan pada Januari lalu di bawah Undang-undang Kenderaan Bermotor (Larangan Penggunaan Terhadap Berberapa Jenis Cermin) (Pindaan) 2016.

     
     
  • Chevrolet Colorado facelift sudah semakin hampir – penampilan ringkas di FB; enjin lebih berkuasa

    colorado-teaser-bm-850x478

    Teaser bagi Chevrolet Colorado facelift terbaharu sudah pun ditunjukkan di laman Facebook Chevrolet Malaysia. Ini mungkin menjadi petunjuk sahih bahawa model berkenaan tidak akan mengambil masa yang lama untuk diperkenalkan secara rasmi di sini.

    Dari generasi kedua trak pikap berkenaan, Colorado facelift yang tampil dengan rekaan yang lebih segar pertama kali diperkenalkan diperingat ASEAN pada April lalu. Di Malaysia, pengedarnya, Naza Quest sudah pun mempamerkan unit terbaharu ini di Naza Automall, Petaling Jaya.

    Antara perubahan yang dapat dilihat dengan jelas ialah wajah hadapan baharu, dengan rekaan gril, hood bahagian enjin, bampar serta lampu utama yang kini lebih tirus. Bagaimanapun, unit yang dipamerkan sebelum ini, yang digelapkan cerminnya, mencadangkan mungkin diberi perubahan yang penting juga pada ruang dalamannya.

    Chevy_ColoradoFL-2

    Daripada spesifikasi yang tertera pada cermin hadapan, model bagi pasaran Malaysia akan menampilkan skrin sentuh bersaiz lapan-inci bagi sistem infotainmen. Ia dijangka akan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto.

    Paparan instrumen turut ditukar dengan rekaan baharu. Ciri-ciri lain yang turut dipadankan termasuk sistem penghawa dingin automatik, lampu nyalaan siang LED, kamera undur, sensor parkir hadapan dan belakang serta penghidup enjin kawalan jauh.

    Trak pikap Chevrolet terbaharu ini akan dilengkapi dengan enjin 2.5 liter Duramax empat silinder turbodiesel, kini dengan ciri Variable Geometry Turbo (VGT). Janaan kuasa dari enjin piawaian Euro 4 itu ialah 177 hp pada 3,600rpm dan 440 Nm pada 2,000rpm. Ini lebih output berbanding yang lama; 161 hp dan 380 Nm. Selain itu, varian 2.8 liter juga akan ditawarkan di sini.

     
     
  • Malaysia, Korea meterai perjanjian sefahaman bagi tingkatkan keselamatan jalan raya di negara ini

    Road-dividers-01

    Projek Garuda Sdn Bhd, syarikat tempatan, telah memeterai perjanjian sefahaman (MoU) dengan Shindo Industry Co LTD dari Korea Selatan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

    Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Perjanjian ditandatangani Pengarah Projek Garuda Sdn Bhd, Leong Khai Ric dan Presiden Shindo Industry, Hwang Dong Hyeak. Yang turut hadir, Naib Gabenor Gyeonggi-DO, Yang Bok-Wan dan Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yu Hyun-Seok, laporan Berita Harian.

    Menurut Fadillah, kerjasama itu bagi menaik taraf besi penghadang jalan terutama di jalan Persekutuan adalah bagi meminimumkan impak kemalangan. Malah menerusi perjanjian tersebut, Shindo Industry dapat menyalurkan terus produk atau kepakaran mereka untuk menaik taraf laluan yang sibuk di Malaysia.

    “Dalam masa yang sama, pihak kementerian akan menilai produk yang dicadangkan terlebih dahulu. Jika penggunaannya didapati mempunyai kesan yang positif, kita juga akan membantu memasarkannya ke negara Asia lain,” katanya kepada pihak media.

    Walau bagaimana pun, buat setakat ini, tiada perincian lanjut mengenai teknologi yang bakal digunakan oleh syarikat Korea Selatan terbabit.

     
     
  • Proton Saga 2016 – saksikan lintas langsung pelancarannya mulai 2:45pm, eksklusif di paultan.org

    Model ketiga yang akan dilancarkan oleh Proton untuk tahun ini selepas Perdana 2016 dan Persona 2016. Proton Saga 2016 ternyata bakal mengundang debaran dan memahami rasa teruja itu, kami akan membawakan lintas langsung pelancaran sedan segmen-A ini, eksklusif menerusi paultan.org. Jangan lupa untuk bersama kami esok, 28 Sept 2016, mulai jam 2:45pm untuk menyaksikan pelancaran Saga 2016 ini.

    Saga 2016 telah pun mula dibuka tempahan sejak 24 September lalu, dan bakal dijual pada harga jangkaan bermula RM37,000 hingga RM46,000 (harga sebenarnya akan diumumkan pada majlis pelancarannya). Enam warna ditawarkan iaitu hitam, merah, putih, kelabu (baharu), biru (baharu) dan perak. Setiap pembelian turut dilindungi waranti 3 + 2 tahun atau 150,000km yang mana tiba dahulu.

    Ia ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard (MT), Standard (AT), Executive (AT) dan Premium (AT). Kesemuanya akan menggunakan enjin sama seperti yang ada pada model Iriz iaitu unit 1.3 liter VVT (menggantikan enjin lama IAFM+), dengan kemampuan 94 hp pada 5,750 rpm dan 120 Nm tork pada 4,000 rpm. Pilihan transmisi pula terdiri daripada manual lima-kelajuan (Standard sahaja) dan CVT (semua varian).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian spesifikasi setiap variannya, sila KLIK DI SINI.

    Malah kami juga telah diberi peluang untuk menguji Saga 2016 ini di trek ujian Proton, Subang Jaya, pada pagi Khamis lalu. Ternyata ia berbeza dengan model Saga terdahulu. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, sila baca ulasan pandu uji Saga 2016 ini.

     
     
  • Isuzu D-Max V-Cross diperkemaskini di Thai – auto 6-kelajuan baharu, lebih banyak elemen keselamatan

    new-isuzu-d-max-v-cross-thailand-1

    Isuzu D-Max V-Cross telah pun diperkemaskinikan di Thailand, dengan beberapa peningkatan bagi gaya, senarai elemen dan penjana kuasanya. Versi tertinggi bagi D-Max ini mampu memberikan persaingan hebat buat Chevrolet Colorado High Country dan Ford Ranger Wild Trak di sana.

    Di bawah hudnya, V-Cross ini dijanakan oleh enjin 3.0 liter 4JJ1-TCX empat-silinder turbodiesel, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Tidak seperti model facelift D-Max 1.9 Ddi, penjana kuasa ini tidak menerima pilihan manual enam-kelajuan, tetapi masih mengekalkan kotak gear lima-kelajuan, dan juga menerima transmisi automatik enam-kelajuan baharu, termasuk sistem melahu start/stop.

    Bagi luarannya, D-Max ini telah direka semula bahagian lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED yang lebih kurang sama dengan saudaranya 1.9 Ddi. Selain itu, ia turut diberikan elemen baharu termasuk hiasan tambahan pada bonet dan gerbang roda, pelindung bampar hadapan, cargo bed-liner dan roda enam-jejari 18-inci.

    Untuk ruang dalamannya pula, pikap ini kini didatangkan dengan upholstery kulit dua-tona, kekemasan plastik baharu, kawalan kelajuan, dua port pengecas USB dan sistem hiburan Kenwood bersama navigasi dan juga aplikasi Isuzu Connect World.

    Selain itu, bagi varian V-Cross dengan manual lima-kelajuan turut dilengkapi elemen Genius Sport Shift iaitu sebahagian daripada paparan pelbagai-informasi kenderaan. Ciri ini juga telah ditampilkan pada D-Max 1.9 Ddi, bagi mengindikasikan pemandu melakukan pemilihan gear dan bila gear perlu ditukar.

    Bagi varian spesifikasi tertinggi, kit keselamatan yang ditambah termasuklah hill-hold assist dan traction control (yang tidak terdapat pada varian rendah), di samping beberapa elemen standard termasuk dua beg udara SRS di hadapan, ABS dengan EBD dan BA.

     
     
  • Kia Picanto jalani ujian audit ANCAP – masih kekal 5-bintang; risiko kecederaan pemandu kini lebih tinggi

    2016-kia-picanto-ancap-1_bm

    Berikutan penarafan 0-bintang yang diterima oleh Kia Morning (atau dikenali juga sebagai Picanto) tanpa sebarang beg-udara dalam Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP), pihak Program Penilaian Kereta Baharu Australiasian (ANCAP) telah pun mendedahkan keputusan ujian audit yang dijalankan terhadap Kia Picanto yang dijual pada pasaran benua berkenaan.

    Tidak seperti Picanto yang dijual di Indonesia dan diuji oleh ASEAN NCAP sebelum ini, Picanto spesifikasi pasaran Australia dilengkapi dengan enam beg udara, ESC, ABS, Kawalan Tarikan serta lain-lain ciri keselamatan. Ciri-ciri berkenaan turut dilengkapi pada Picanto pasaran Malaysia yang telah pun menerima penarafan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

    Ujian audit ini hanya melibatkan ujian pelanggaran offset bahagian hadapan, dan Picanto menerima markah 12.95 dari 16 markah penuh, kurang dari markah 15.12 yang diperolehi sebelum ini – diuji oleh Euro NCAP pada 2011. Walau bagaimanapun, markah berkenaan masih lagi dalan lingkungan penarafan lima-bintang ANCAP yang diperolehi pada bulan Mei lalu. Markah berkenaan juga dilihat hampir sama dengan markah yang diperolehi oleh model pasaran Malaysia dalam ujian ASEAN NCAP iaitu 12.67.

    2016-kia-picanto-ancap-2_bm

    Walau bagaimanapun, ujian audit ini mendedahkan risiko untuk kecederaan pada pemandu kini lebih tinggi, dengan bahagian dada dan perlindungan pada kaki kini dikelaskan sebagai “Marginal”, menandakan risiko sederhana untuk berlaku kecederaan serius.

    “Ujian audit ini dilakukan kerana terdapat perbezaan pada prestasi struktur yang dilihat pada Picanto yang dijual di Indonesia, kami mahu memastikan kesahihan pada penarafan sedia ada kami untuk keselamatan pengguna di Australia dan New Zealand dengan sebab utama bagi memberikan jaminan agar mereka boleh bergantung harap pada maklumat dari ANCAP semasa membeli kereta baharu,” kata CEO ANCAP James Goodwin.

    “Markah yang diperolehi dalam ujian audit ini masih lagi dalam lingkungan lima-bintang tetapi ia adalah penting kerana pengguna sentiasa mengambil tahu dengan hasil ujian ini supaya mereka dapat membuat keputusan dalam segmen pasaran yang sangat kompetitif ini,” tambah beliau.

     
     
  • Ducati buka semula muzium sambut ulang tahun ke-90

    ducati-museum-room-3-bm-850x513

    Sempena sambutan ulang tahun ke-90, Ducati hujung minggu lalu membuka muzium baharunya bertempat di Borgo Panigale, Bologna, Itali. Muzium berkenaan menempatkan 44 buat motosikal dari era berbeza dari sejarah panjang jenama itu – 26 jentera lumba dan 18 jentera jalanan – yang mempamerkan pencapaian tersendiri bagi Ducati.

    Menjadi daya tarikan utama muzium yang menjadi saksi kepada perkembangan reka bentuk, kejuruteraan dan kejayaan dalam sukan lumba motosikal itu ialah sebuah Ducati 916, satu-satunya jentera yang menjadi simbol kebangkitan Ducati dalam era moden pembangunan motosikal dunia.

    Selain daripada itu, turut dipamerkan ialah hasil kerja rekaan oleh Massimo Tamburin, individu yang bertanggungjawab ke atas sebahagian reka bentuk yang ikonik yang dikeluarkan oleh Ducati. “Pembukaan semula muzium ini selepas diubah suai adalah sangat penting untuk kami. Dengan sambutan ulang tahun ke-90 ini, ia menjadi sumber kekuatan kepada jenama Ducati untuk terus maju,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

     
     
  • Nissan GT-R Track Edition 2017 – lengkap dengan suspensi Bilstein Damptronic talaan perlumbaan

    nissan-gt-r-track-edition-04_bm

    Nissan telah mendedahkan satu lagi varian dalam barisan model GT-R, iaitu Nissan GT-R Track Edition. Model yang diasaskan dari model GT-R 2017 ini diletakkan diatas varian Premium, Prestige dan Black Edition, tetapi dibawah model tertinggi GT-R Nismo.

    Track Edition dibangunkan oleh satu pasukan di Nismo untuk mereka yang gemar memandu di litar, dengan prestasi yang lebih tinggi berbanding GT-R standard.

    Antara perubahan yang dilakukan adalah menambahbaik dinamik pemanduan R35 menerusi pemadanan suspensi Bilstein Damptronic dengan talaan perlumbaan untuk kestabilan yang lebih pada laluan lurus serta di selekoh. Bar anti-oleng pada bahagian belakang juga telah dipadankan untuk memberikan ketegaran badan yang lebih baik serta mengurangkan berat.

    Model khas untuk litar ini turut diberikan roda aloi forged Nismo Black Racing berdiameter 20-inci dan bampar hadapan yang lebih lebar. Walau bagaimanapun, spesifikasi sebenar yang lain adalah berlainan mengikut pasaran.

    nissan-gt-r-track-edition-03_bm

    Track Edition untuk pasaran Jerman menerima tempat duduk Recaro dengan bahagian belakang karbon bersama spoiler belakang karbon ditawarkan sebagai opsyen. Untuk pasaran UK pula, GT-R Track Edition dipadankan dengan tempat duduk Recaro berwarna merah/hitam yang diambil dari GT-R Black Edition, manakala spoiler karbon hadir sebagai ciri standard.

    Penutup but gentian-karbon dan bahagian belakang tempat duduk karbon merupakan ciri opsyenal. Satu ciri standard yang sama untuk semua pasaran adalah lencana Track Edition yang dipadankan pada papan pemuka.

    Walau bagaimanapun, model Track Edition ini bukanlah model perlumbaan istimewa yang diringankan dengan menanggalkan pelbagai ciri (seperti Renault Megane 275 Trophy R), jadi, ia masih dilengkapi dengan sistem infotainmen NissanConnet bersama skrin sesentuh dan 11-pembesar suara Bose, serta pelbagai ciri lain.

    Nissan GT-R Track Edition masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama dengan model standard tanpa apa-apa perubahan, berkuasa 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa dari enjin juga masih dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar enam-kelajuan. Penghantaran kepada pelanggan yang menempah model ini akan dimulakan pada awal November ini.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • Sejumlah 33,652 kes direkodkan sejak penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada 2011

    LORRY_PT_BM

    Sejak penubuhannya pada 2011 hingga Ogos tahun ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah merekodkan sejumlah 33,652 kes melibatkan pelbagai jenis kenderaan, menurut laporan The Star.

    Menurut pengurus besar jabatan penguatkuasaan SPAD Datuk Paduka Che Hasni Che Ahamd, dari angka berkenaan, pemandu lori merekodkan kesalahan paling tinggi. Kesalahan yang paling kerap dilakukan termasuk membabitkan keselamatan (5,000 kes), lebih muatan (2,807 kes) dan tayar botak.

    Manakala teksi pula merekodkan kesalahan kedua tertinggi selepas pemandu lori dengan 10,547 kes. “Ramai pemandu teksi didenda kerana beroperasi tanpa permit dan tidak menggunakan meter,” kata beliau, dan menambah bandar besar seperti Kuala Lumpur mempunyai kekerapan lebih tinggi dalam kes yang direkodkan.

    Che Hasni turut menjelaskan bahawa 98% kertas siasatan telah diselesaikan manakala yang lain masih lagi dalam proses. “Dari 60% kes yang telah diselesaikan, sebahagiannya telah disaman dan sebahagian yang lain telah didakwa di mahkamah,” kata beliau.

     
     
  • Benarkah ibupejabat AAM di Shah Alam sudah dijual?

    AAM logo-1

    Susulan daripada masalah kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) yang pernah dilaporkan sebelum ini, khabarnya kini sudah ada perkembangan terbaharu.

    The Sun melaporkan bahawa badan itu sudah menjual aset berharga mereka; ibu pejabatnya di Shah Alam. Menurut laporan itu lagi, MAA sudah pun menerima 10% daripada jumlah jualan aset berkenaan berjumlah RM7.5 juta pada Mei lalu.

    Sejak itu, badan berkenaan sudah memanggil mesyuarat khas (SGM) bagi ahli-ahlinya untuk meluluskan resolusi yang membenarkan pemegang amanah persatuan itu untuk meneruskan segala proses yang perlu untuk memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian jual-beli berkenaan.

    Bagaimanapun, ada kalangan ahli-ahlinya mendakwa AAM membelakangkan mereka dan terlebih dahulu membuat tawaran dan melantik agen untuk menerima hasil pendapatan daripada itu. Menurut mereka, SGM berkenaan hanya bertujuan sebagai formaliti semata-mata, padahal perjanjian sudah ditandatangani sebelum itu.

    Ahli persatuan ini, yang pernah mencatatkan angka sehingga 400,000 ahli pada era kegemilangannya kini hanya tinggal 36,000 keahlian sahaja dan mereka ingin tahu ke mana hilangnya dana yang ada. Enam tahun lepas, AAM memiliki banyak hartanah dengan kedudukan kewangan yang mantap.

    Jadi, ke mana perginya wang dan dana AAM, soal mereka.

     
     
  • Jeep Compass 2017 – imej, perincian awal didedahkan

    jp017_071cpvaoamtoaomeh1r8iftrs9df4co-e1474946913435_bm

    Jeep telah menyiarkan imej awalan untuk SUV kecil terbaharunya iaitu Jeep Compass 2017. SUV ini bakal dijual dipasaran Amerika Utara pada suku pertama tahun hadapan, sebelum dibawa ke lebih 100 negara lain seluruh dunia.

    SUV kecil ini menerima rekaan gaya seperti abang-abangnya yang lebih besar iaitu Cherokee, Grand Cherokee dan Renegade. Ia tidak menerima lampu hadapan dua tingkat seperti Cherokee sebaliknya dilengkapkan dengan lampu lebih konvensional seperti pada Grand Cherokee. Bumbung model ini telah dihitamkan, seperti gaya yang dikenakan pada Renegade.

    Bahagian dalaman pula, Compass menampilkan gaya baharu dalam barisan model Jeep dimana ia menampilkan skrin sesentuh pada bahagian tengah, diapit liang penghawa dingin yang direka secara menegak.

    Maklumat terperinci masih lagi belum diumumkan tetapi maklumat awal yang diperolehi Compass bakal ditawarkan dengan pilihan 17 unit janakuasa berbeza, serta kemampuan off road 4×4 terbaik dalam kelasnya, dinamik pemanduan yang bagus diatas jalan raya biasa dan berberapa ciri keselamatan dan teknologi.

    Jeep turut menjanjikan “kebebasan udara terbuka”, menandakan SUV ini mungkin dipadankan dengan bumbung panaromik atau panel bumbung yang boleh dibuka seperti pada Renegade.

    Lebih imej dan perincian berkenaan Jeep Compass 2017 ini akan didedahkan hampir pada pengenalan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2016 pada November nanti.

     
     
  • Renault-Nissan jalin kerjasama dengan Microsoft

    Renault-Nissan and Microsoft partner to deliver the future of connected driving

    Apabila kebanyakan model kereta makin memerlukan perkhidmatan hubungan, membuatkan pengeluar kenderaan harus menyediakan platform untuk menampilkan pelbagai ciri terkini. Terbaru, Renault-Nissan Alliance telah mengumumkan perjanjian kerjasama dengan Microsoft bagi membangunkan perkhidmatan hubungan generasi akan datang.

    Menggunakan Azure sebagai platform utama, objektif Renault-Nissan Alliance ialah ingin menambah baik perkhidmatan sedia ada di samping menawarkan lebih banyak ciri yang berkaitan termasuk bagi sistem navigasi yang lebih terkini, jangkaan penyelenggaran dan perkhidmatan kenderaan sentrik, pengawasan dari jarak jauh ciri-ciri kenderaan dan pengalaman mobiliti luaran.

    Di mana perkhidmatan baharu ini memudahkan pengguna untuk mempersonalisasi dan menghantar tatapan dari satu kereta ke kereta yang lain, sentiasa kekal berhubung dengan kenalan, memantau kereta mereka dari jarak jauh dan memperluaskan lagi pengalaman digital dalam urusan kerja dan peribadi menerusi sistem di dalam kereta.

    “Sesebuah kereta perlu dipertingkatkan elemen hubungan, pintar dan keperibadian. Kerjasama dengan Microsoft membolehkan kami untuk membangunkan teknologi ini bagi kemudahan kepada para pelanggan kami, yang mungkin tidak pernah terbayang ia akan diwujudkan. Kami mensasarkan untuk menjadi pembekal hubungan mobiliti kepada semua dalam satu platform global tunggal,” ujar Ogi Redzic, timbalan presiden Renault-Nissan Alliance.

    Ciri hubungan yang dipertingkatkan ini akan dibangunkan menerusi kerjasama antara kedua-dua pihak tersebut, malah akan menonjolkan teknologi pemanduan sendiri Alliance, di mana lebih daripada 10 buah kenderaan pemanduan sendiri dijangka akan dilancar menjelang tahun 2020.

     
     
  • VIDEO: Audi Q5 2017 – teaser dedahkan sistem suspensi udara adaptif bakal ditawarkan

    Audi telah menyiarkan video teaser baharu untuk model Q5 generasi kedua – kali ini mendedahkan sistem suspensi udara adaptif yang dilengkapkan pada SUV berkenaan.

    Sistem baharu ini tiada pada model sedia ada dan Audi memadankan sistem berkenaan untuk menambahbaik kebolehan off-road untuk Q5. Seperti yang disiarkan pada video ini, pemandu boleh mengubah ketinggian SUV ini bergantung pada permukaan jalan yang di lalui, sama ada pada permukaan lasak atau tar.

    Tiada perincian lagi berkenaan mod pada suspensi yang dipadankan pada Q5 ini tetapi ia pasti seiras dengan sistem yang dipadankan pada Q7. Sistem pada Q7 hadir dengan lima mod yang boleh dipilih iaitu Standard, Allroad (+25 mm), Offroad/Lift (+60 mm), Dynamic (-15 mm) dan Loading (bahagian belakang diturunkan sebanyak -55 mm untuk mengisi barang).

    Teaser untuk Q5 sebelum ini telah didedahkan ia akan dipadankan dengan lampu belakang dan lampu hadapan matrix LED serta ruang but yang lebih besar. SUV ini dibina dengan platform MLB Evo, memberikan berat yang lebih rendah serta saiz yang lebih besar bagi memberikan ruang kabin yang lebih besar.

    GALERI: Foto spyshot Audi Q5 2017

     
     
  • Distinguished Gentleman’s Ride 2016 edisi Malaysia berlangsung meriah; turut berjaya kumpul USD3,921

    distinguished-gentlemans-ride-penang-2016-bm03

    Acara perhimpunan peminat motosikal seluruh dunia yang tidak berasaskan keuntungan, Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) edisi Malaysia berlangsung Ahad lalu di Georgetown, Pulau Pinang dengan gaya tersendiri. Ia merupakan acara yang kian mendapat perhatian di seluruh dunia dengan penyertaan di pelbagai negara setiap tahun.

    Ia dianjurkan oleh Jeremy Leong dari Riders Garage dan Wan Zamani Ahmad, pengasas Rotten Motorcycles dan disokong oleh Art Of Speed; acara ini bertujuan untuk mengumpul dana diperingkat global dan disalurkan melalui Movember Foundation. Acara di Pulau Pinang ini berjaya mengumpulkan USD3,921 untuk tujuan itu.

    Perhimpunan bermula di Hin Bus Depot di tengah-tengah Georgtown sebelum konvoi peserta yang berpakaian kemas dan menunggang pelbagai jenis motosikal ‘menakluk’ jalan-jalan di kota warisan UNESCO itu, bermula dari pagi hingga tengah hari sebelum acara penutup di Gurney Paragon.

    DGR awalnya diasaskan oleh Mark Hawwa di Sydney, Australia pada 2012. Dengan sambutan yang semakin menggalakkan setiap tahun, ia kemudiannya bekerjasama dengan Movember Foundation, sebuah badan yang memberi tumpuan menyediakan dana bagi kajian terhadap barah prostrate dan program pencegahan bunuh diri dalam kalangan masyarakat dunia. Bagi edisi tahun ini, mereka mensasarkan dapat mengumpul USD $5 juta.

    Edisi di Pulau Pinang turut memberikan anugerah kepada peserta seperti berikut; Sumbangan Terbanyak Dikumpulkan – menerima sebuah helmet Hedon; Wong Woon Cheow melalui sumbangan USD2203; “Most Dapper Gentleman” – Ahmad Azlan; “Most Dapper Gentlewoman”- Wani; “Best Dapper Bike” – KF 900 Suzuki Panther, Mohd Rozaimi Mohd Radzi; “Best Beard” – Aqasha dan “TryHarder Award” – Wong Pak Hong.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025