Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KTM Malaysia lancar model motocross dan enduro 2017 – 250/350/450 cc, harga bermula RM38,160

    2017-ktm-350-exc-f-1-850x567bm

    Barisan motosikal kegunaan lasak model tahun 2017 keluaran jenama dari Austria iaitu KTM kini sudah tiba di Malaysia dan dilancarkan untuk jualan. Kesemuanya ada enam model yang diimport penuh (CBU), dengan pilihan enjin 250 cc, 350 cc dan 450 cc.

    Secara keseluruhan, model 2017 ini adalah lebih ringan dan mempunyai ergonomik yang lebih baik. Bermula dengan model enduro empat lejang EXC-F, kerangka baharu berjaya mengurangkan berat sehingga 550 gram, manakala suspensi WP Progressive Damping Geometry (PDS) di belakang pula adalah 602 gram lebih ringan.

    Pada bahagian enjin pula, EXC-F 250 dan EXC-F 350 berjaya mengurangkan masing-masing 1.5 kg dan 1.9 kg manakala EXC-F 450 mempunyai enjin yang lebih ringan 2.4 kg. Kemudiannya, bateri lithium-ion yang digunakan pada semua model turut mengurangkan berat sebanyak 1 kg lagi.

    Juga baharu bagi model 2017 adalah fork terbalik hadapan WP Suspension XPLOR 48 dengan pelarasan 30 tahap dan dibahagikan antara kiri dan kanan untuk lantunan (rebound) dan serapan (damping). Pemula elektrik juga didatangkan standard manakala kit untuk pemula kaki boleh didapatkan sekiranya mahu.

    Tugas membrek dilaksanakan angkup Brembo dan cakera Galfer di hadapan dan belakang sementara rekaan kotak udara baharu dengan Computational Fluid Dynamics (CFD) memberikan prestasi lebih baik dan lebih mudah untuk menukar penapis udara. ECU dan throttle body pula dari Keihin.

    Selain yang biasa, model 2017 ini turut didatangkan dengan versi istimewa Six Days, yang ditambah dengan pelarasan pra-beban pada fork hadapan, Traction Control dan dua pilihan pemetaan pendikit yang boleh dipilih melalui suis di tempat pemegang.

    Model KTM 2017 terdiri daripada tiga yang berenjin 250 cc – EXC-F 250 pada harga RM41,870, EXC-F 250 Six Days RM45,050 dan EXC 250 (dua lejang) RM38,160. Model yang menggunakan enjin 350 cc pula ada dua – EXC-F 350 berharga RM42,400 dan EXC-F 350 Six Days RM45,580. Paling tinggi pula adalah model berenjin 450 cc, EXC-F 450 yang dijual pada harga RM42,930 dan EXC-F 450 Six Days RM46,110. Semua ini adalah model yang mempunyai lampu dan boleh didaftar untuk kegunaan di atas jalan biasa.

    Untuk perlumbaan, KTM Malaysia menawarkan model SX-F 450 yang dijual pada harga RM39,750. Semua harga yang disebutkan di atas adalah termasuk GST tetapi tanpa insurans.

     
     
  • Uber di Sarawak, Sabah dikenakan tindakan – Nancy

    uber-x-car_BM

    Tindakan bakal diambil terhadap Uber di Sarawak dan Sabah kerana modus operandinya adalah sama seperti “teksi lanun” di kedua-dua negeri, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.

    Menurut Nancy, sehingga kini, Uber masih belum memohon sebarang permit kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di kedua-dua negeri berkenaan, laporan The Star.

    “Di bawah Seksyen 33 Akta LPKP adalah jelas menyatakan negeri berkenaan tidak membenarkan perkhidmatan kenderaan awam tanpa lesen daripada beroperasi. Justeru, JPJ dan pihak polis berhak untuk menyita kenderaan tanpa lesen itu di bawah Seksyen 51 Akta LPKP,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Nancy turut berkata, LPKP, JPJ dan polis akan terus memantau operasi dan perkhidmatan pengangkutan yang beroperasi tanpa sah ini. Ini adalah untuk memastikan bahawa keselamatan dan kepentingan penumpang diberi keutamaan oleh pengendali teksi berlesen yang mematuhi peraturan sekarang.

    Kenyataan Nancy ini adalah susulan berita yang melaporkan LPKP Sarawak, JPJ dan polis yang akan mengambil tindakan terhadap pemandu Uber yang masih terus beroperasi di negari berkenaan.

    Baru-baru ini, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Alexson Naga Chabu berkata, pemandu Uber boleh disaman antara RM1,000 dan RM10,000 serta kenderaan mereka juga akan disita di bawah Akta LPKP.

     
     
  • Renault Trezor didedahkan – model konsep GT elektrik

    TREZOR (Z32) CONCEPT-CAR

    Renault memperkenalkan kereta konsep terbaharunya pada Paris Motor Show 2016 iaitu Trezor. Rekaan pada Trezor ini akan menjadi rujukan kepada rekaan kereta-kereta keluaran pengeluar automotif dari Perancis berkenaan untuk masa akan datang, seperti kereta konsep Renault DeZir yang diperkenalkan pada 2010.

    Rekaan pada Trezor ini lebih ringkas dari DeZir, menampilkan muka tanpa sebarang elemen gril, dan sepasang lampu hadapan yang nipis. Liang kemasukan udara yang besar diletakkan di kedua-dua sisi bampar hadapan. Rekaan lampu nyalaan siang LED yang bersambung dari lampu hadapan hingga ke bampar pada Trezor, sudah pun diaplikasikan pada model-model baharu Renault seperti Megane dan Koleos.

    Menurut Renault, gaya yang hangat dan ciri-ciri yang ditumpukan untuk keselesaan pada Trezor ini merangkumi visi mobiliti masa hadapan dan semangat meriah yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.

    Bahagian dalaman kereta konsep ini didominasi dengan warna merah dan menggunakan material berkualiti tinggi termasuk kayu dan kulit sebenar serta digabungkan dengan hasil kerja, teknologi dan sentuhan sebenar masyarakat Perancis. Bahagian kokpit kereta ini juga menggambarkan rekaan lebih anggun dan perincian bahagian dalaman diperhalusi untuk model-model Renault akan datang.

    Trezor turut dilengkapi dengan skrin ultra HD terkini, pengenalan dan hubungan dari telefon pintar, dan paparan antara-muka skrin sesentuh yang boleh dipersonalisasikan.

    Tiga mod pemanduan disediakan pada Trezor iaitu Neutral, Sport dan pemanduan automatik. Mod pemanduan automatik boleh diaktifkan menggunakan menu MULTI-SENSE. Kereta konsep ini juga menggunakan unit janakuasa elektrik sepenuhnya (EV) yang diambil dari jentera Renault e.dams yang menjuarai kejohanan Formula E dua kali berturut-turut dan mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya empat saat.

     
     
  • Mercedes-Benz SLC Roadster dilancar dalam dua varian – SLC 200 RM398,888 dan SLC 300 RM468,888

    mercedes-benz-slc-bm-1

    Turut dilancarkan pada majlis yang sama dengan C-Class Cabriolet adalah sebuah lagi kenderaan dengan bumbung boleh buka dan terletak dalam kategori ‘Dream Cars’ oleh Mercedes-Benz iaitu roadster Mercedes-Benz SLC. Gaya kenderaan ini diambil daripada model SLK dan kini adalah wakil pengganti bagi penawaran kenderaan roadster saiz kecil Mercedes-Benz.

    Kesemuanya ada dua varian bagi SLC iaitu SLC 200 yang dijual pada harga RM398,888 dan SLC 300 AMG Line pada RM468,888 (termasuk GST, tanpa insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama empat tahun tanpa had batuan. Kedua-duanya menggunakan enjin sama – empat silinder 1,991cc petrol dan padanan transmisi automatik 9G-TRONIC namun mempunyai kuasa berbeza; 184hp dan 300Nm untuk SLC 200 dan 245hp dan 370Nm bagi SLC 300.

    Bahagian hadapan kenderaan telah direka semula daripada model SLK dengan lampu utama bentuk baharu (LED Intelligent pada kedua-dua model) bersama gril ‘diamond’ baharu, sementara tiga corong udara yang lebih agresif turut digunakan pada bahagian bampar hadapan.

    Pada bahagian belakang pula, terdapat lampu LED serta kemasan yang disepadukan bersama corong ekzos. Kedua-dua model menggunakan rim aloi 18 inci – lima cabang berpecah pada SLC 200 dan AMG dua tona pada SLC 300. Selain itu, SLC 300 juga mendapat bahagian hadapan serta bampar belakang AMG, Night Package dengan kemasan hitam berkilat dan pin krom pada gril.

    Pada bahagian dalam, tidak banyak yang berubah, dengan penambahan paparan tengah COMAND lebih besar (daripada 5.8 inci ke 7.0 inci), stereng AMG, paparan pelbagai informasi warna baharu dan tombol gear daripada model A 45 AMG. SLC 200 menggunakan kemasan aluminium gelap dengan corak seperti gentian karbon sementara SLC 300 menggunakan panel hitam berkilat.

    Bumbung besi pada SLC boleh beroperasi sehingga pada kelajuan 40km/j dan bahagian penghadang but belakang semi automatiknya pula kini boleh menggunakan sistem Keyless-GO.

    Pakej standard pada SLC 200 adalah suspensi sports, kemasan kulit dalam AMG Line, tempat duduk, stereng dan cermin memori, pengawal suhu dua zon Thermotronic dan penghadang angin Airguide.

    Kelengkapan lain termasuk sistem informasi dan hiburan 20 CD bersama navigasi Garmin Map Pilot dan Apple CarPlay, kamera undur, Adaptive Highbeam Assist Plus, Pre-Safe dan Active Brake Assist. SLC 300 mempunyai penambahan sistem kemasukan tanpa kunci Keyless-GO, kemasan kulit Nappa, bumbung panoramik elektrokromik Magic Sky Control, sistem bunyi Harman Kardon dan navigasi COMAND Online.

    Mercedes-Benz SLC 200



    Mercedes-Benz SLC 300


     
     
  • Aston Martin Kuala Lumpur kembali; perkenalkan model DB11 dan bilik pameran baharu di Jalan Pinang

    astonmartinkl-1

    Jenama automotif mewah British, Aston Martin kini kembali ke Malaysia dengan kerjasama pengedar baharu, Wearnes. Sebagai menandakan perkembangan terkini berkenaan, Aston Martin Kuala Lumpur membuka bilik pameran terbaharu di pusat bandar, bertempat di bangunan Etiqa Twins, Jalan Pinang.

    Turut diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia ialah Aston Martin DB11, yang membuat penampilan global sulung Mac lalu di Pameran Permotoran Geneva. Jentera ini dilengkapi enjin V12 Twin-Turbocharge 5.2 liter baharu yang mampu membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 322 km/j dan bacaan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sahaja.

    DB11 merupakan model paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh Aston Martin. Sejak pengenalan DB9 pada 2003, versi terbaharu jentera DB ini juga kini lebih jimatkan bahan api serta bertambah dinamik, sepanjang sejarah penubuhan dan pengeluaran kenderaan syarikat itu.

    “Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi kami di rantau ini. Pelaburan terbaharu oleh Wearnes di Kuala Lumpur menjadi petunjuk kepada kepada perkembangan dan kedudukan kukuh jenama ini di Asia,” jelas Presiden, Aston Martin Asia Pacific, Patrick Nilsson.

    Aston Martin DB11 menjana sejumlah 600 hp kuasa dan 700 Nm tork melalui enjinnya. Mod pemanduan yang tersedia pula adalah terdiri daripada GT, Sport dan Sport Plus. Sistem transmisi yang menyalurkan kuasanya ialah transmisi lapan-kelajuan buatan ZF.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class Cabriolet dilancar di Malaysia dalam tiga varian, harga bermula daripada RM358,888

    mercedes-benz-c-class-cabriolet-bm-1

    Mercedes-Benz C-Class kini boleh didapati di Malaysia dalam variasi bumbung boleh buka apabila Mercedes-Benz Malaysia melancarkan C-Class Cabriolet dalam tiga varian iaitu C 200 Cabriolet, C 250 Cabriolet dan C 300 Cabriolet. Harganya masing-masing adalah RM358,888, RM388,888 dan RM443,888 (termasuk GST, tanpa insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama empat tahun tanpa had batuan.

    Kesemuanya menggunakan enjin empat silinder 1,991cc petrol tetapi mempunyai kuasa yang berlainan iaitu 184hp bagi C 200 Cabriolet, 211hp bagi C 250 Cabriolet dan 245hp bagi C 300 Cabriolet. Transmisi yang dipadankan pada semua enjin ini adalah unit automatik 9G-TRONIC.

    Selain itu, bagi C-Class Cabriolet untuk pasaran Malaysia ini, Mercedes-Benz Malaysia juga menyiapkannya dengan pakej AMG Line yang lebih agresif pada bahagian hadapan, belakang, sisi dan juga gril ‘diamond’.

    Bumbung yang digunakan pada C-Class Cabriolet adalah daripada bahan fabrik dan ia boleh dibuka sepenuhnya secara elektronik dalam 20 saat dan pada kelajuan sehingga 50km/j. Sebaik dibuka, ia akan terlipat masuk ke bahagian dalam but belakang namun masih mempunyai ruang simpanan sebanyak 285 liter (360 liter jika bumbung tertutup).

    Jika dibandingkan dengan C-Class sedan, versi cabriolet ini mempunyai suspensi 15mm lebih rendah – dengan sistem penyerapan boleh pilih dan spring besi bagi C 200 Cabriolet manakala C 250 Cabriolet dan C 300 Cabriolet pula boleh didapati dengan spring dan penyerapan lebih keras, bersama sistem Sports Direct-Steer untuk kawalan lebih tangkas. Melalui suspensi ini, pemandu boleh memilih sama ada sporty, selesa atau cekap bahan api (Dynamic Select).

    Semua C-Class Cabriolet juga dilengkapi dengan Active Park Assist, Agility Control suspension, Dynamic Select system, Pre-Safe dan Active Brake Assist.

    Pada C 200, ia dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance, rim aloi AMG 18 inci, kemasan kulit sintetik Artico, kemasan dalam berwarna hitam, lampu suasana, plet tepi pintu berlampu, tempat duduk berkuasa elektrik bersama simpanan memori, sistem informasi dan hiburan 20 CD, navigasi Garmin Map Pilot dan kamera undur.

    Pada C 300 pula, ia mempunyai perubahan dengan rim aloi AMG 19 inci, kemasan kayu hitam, jam analog, sistem pewangi Air Balance, sistem navigasi COMAND Online dan sistem bunyi Burmester.

    Layari berkenaan spesifikasi dan kelengkapan Mercedes-Benz C 250 Cabriolet di www.carbase.my.

    Mercedes-Benz C 250 Cabriolet


    Mercedes-Benz C 300 Cabriolet


     
     
  • Renault umum ZOE EV bakal dilengkapi bateri Z.E 40, mampu dipandu dalam jarak 400 km dengan sekali cas

    renault-zoe

    Pada Paris Motor Show 2016 yang sudah pun di buka untuk media, Pengerusi dan CEO Groupe Renault Carlos Ghosn mengumumkan kenderaan elektrik sepenuhnya Renault Zoe bakal dilengkapi dengan bateri baharu Z.E 40 dan model dipertingkat berkenaan akan mula dijual dalam masa terdekat.

    “Bulan ini angka jualan kenderaan elektrik Renault telah melangkaui 100,000 dan kini ZOE mampu berjalan sehingga 400 km tanpa di cas semula. Kami akan terus memacu lapangan dimana hal innovasi menjadi keutamaan untuk pelanggan Renault. Membolehkan mereka mudah untuk memilih (kenderaan) elektrik, dengan servis perhubungan baharu untuk menambahbaik pengalaman memandu mereka, merupakan keutamaan kami dan pelanggan ZOE.” kata Ghosn.

    Dengan bateri Z.E 40 berkenaan, Renault ZOE mampu bergerak sejauh 400 km dalam kitaran ujian NEDC Eropah (bersamaan 300 km untuk perjalan dalam bandar atau kawasan pinggir bandar dalam dunia sebenar) dengan hanya satu cas penuh. Jarak tersebut juga telah meningkat sebanyak sekali ganda dari jarak perjalanan model ZOE asal yang boleh dipandu sejauh 210 km dengan satu cas penuh. Model dipertingkat ini masih lagi akan diproduksi di Kilang Renault Flins, Perancis.

    Selain itu, ZOE untuk pasaran Eropah turut diberikan peningkatan dari segi perkhidmatan perhubungan. Sistem infotainmen R-LINK pada kereta ini akan dilengkapi dengan fungsi Z.E Trip yang memberikan maklumat kedudukan semua stesen mengecas terdekat.

    Sistem Z.E Pass pula akan memberi kebenaran untuk mengecas pada kebanyakkan stesen mengecas tanpa mengira operator serta memudahkan pembayaran menggunakan telefon pintar. Aplikasi telefon pintar Z.E juga akan ditawarkan pada awal 2017 nanti, memberikan perkhidmatan navigasi dari pintu-ke-pintu.

    ZOE turut diberikan peningkatan pada ciri lain dan juga lebih pilihan untuk pelanggan. Model edisi terhad ZOE Edition One untuk pasaran Perancis dan model yang diberikan kelengkapan Bose pada pasaran Eropah lain akan menerima upholsteri kulit premium, sistem audio Bose serta warna badan eksklusif.

    Ciri-ciri baharu lain yang turut ditawarkan pada varian lain termasuk dua warna badan tambahan, tema bahagian dalaman baharu untuk versi Zen, cermin sisi boleh lipat berkuasa elektrik, rim baharu serta kemasan baharu untuk versi Intens.

    Tiada perincian lain didedahkan, tetapi jika mengikut spesifikasi ZOE sedia ada, ia menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik tunggal berkuasa 87 hp pada takat 3,000 hingga 11,300 rpm dan tork 220 Nm bermula seawal 250 hingga 2,500 rpm. Ini membolehkan Zoe mencapai 48 km/j dari kedudukan pegun dalam masa empat saat dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksima 135 km/j.

    Sebelum ini, pengedar Renault di Malaysia iaitu TC Euro Cars telah membawa hatchback segmen-B elektrik sepenuhnya berkenaan ke pasaran tempatan dan dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM145,888.

    GALERI: Renault ZOE di Malaysia

     
     
  • Ferrari GTC4Lusso T diperkenalkan di Malaysia – 3.9L V8 Turbo, 601 hp/760 Nm, harga asas bermula RM1.09j

    ferrari_gtc4lussot_ext-1

    NAZA Italia, pengedar utama Ferrari di Malaysia, telah pun melancarkan Ferrari GTC4Lusso T petang ini. Mengetengahkan konfigurasi empat tempat duduk, GTC4Lusso juga menampilkan pacuan semua roda dan bentuk badan jenis shooting brake sama seperti FF. Ia disasarkan untuk memenuhi kehendak pemandu yang mahukan Grand Tourer selesa tanpa mengorbankan prestasi sebuah Ferrari sebenar.

    Buat pertama kalinya, Ferrari memadankan penjana kuasa 3.9 litre V8 turbo lapan-silinder dari keluarga enjin F154 untuk jenteranya bagi menggantikan unit 6.3 liter F140 V12. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 601 hp (atau 610 cheval vapeur) pada 7,500 rpm dan tork puncak 760 Nm dari 3,000 hingga 5,250 rpm. Berbanding 680 hp pada 8,000 rpm dan tork 697 Nm pada 5,750 rpm pada F140 V12, menjadikan GTC4Lusso lebih berkuasa, tetapi kurang tork.

    ferrari_gtc4lussot_ext-3

    Ferrari berkata, karakteristik V8 Turbo adalah bersesuaian dengan pemanduan setiap hari termasuk memandunya di kawasan urban. Malah enjin ini juga pernah mendapat pencalonan bagi Enjin Antarabangsa Tahunan Terbaik tahun 2016.

    Ia juga dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan F1 DCT, membolehkan GTC4Lusso T memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 320 km/j. Dengan berat keseluruhan 1,920 kg, kereta sport ini menggunakan 15 liter petrol untuk setiap 100 km perjalanan.

    Sistem pacuan empat-roda 4RM turut dirombak semula. Kini dikenali sebagai 4RM-S di mana ia turut dilengkapi dengan sistem stereng semua-roda.

    Bukan itu sahaja, GTC4Lusso T turut dilengkapi dengan sistem Side Slip Angle Control, yang membolehkan pecutan lebih awal dilakukan semasa keluar dari selekoh di mana sistem tersebut menggabungkan kawalan dari unit differential elektronik (E-Diff) dan penyerap hentak aktif SCM-E.

    Ferrari GTC4Lusso T memiliki ukuran dimensi 4,922 mm panjang, 1,980 mm lebar dan bertinggian 1,383 mm.

    Pada bahagian luaran, ia menampilkan lampu hadapan baharu yang direka hampir seiras dengan lampu hadapan 488 GTB. Gril hadapan baharu dengan liang kemasukan bersepadu mampu untuk meningkatkan kecekapan pada unit radiator. Begitu juga dengan liang udara pada kedua-dua fender hadapan yang diinpirasikan dari rekaan pada 330 GTC. GTC4Lusso T dilengkapi dengan roda 20-inci, dibalut dengan tayar berukuran 245/35R20 di hadapan dan 295/35R20 pada bahagian belakang.

    Manakala bahagian belakang GTC4Lusso dilengkapi dengan spoiler belakang baharu, diffuser tiga bahagian baharu, dan juga sepasang lampu belakang berkembar yang lebih segar. Rekaan semula ini memberikan rupa baharu untuk GTC4Lusso T yang lebih menarik dan dinamik.

    ferrari_gtc4lussot_int-2

    Menjengah bahagian dalaman GT empat-tempat duduk ini, ternyata ia masih kekal dengan konsep mewah. Material dan kemasan yang digunakan juga adalah lebih premium dan lebih diperhalusi. Ia mengetengahkan rekaan binaan dual-cockpit selain turut menampilkan skrin sentuhan HD bersaiz 10-25-inci bagi melengkapkan lagi sistem infotainmen.

    Sistem infotaimen juga diperbaharui dengan skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci, manakala susunan suis-suis kawalan utama pada papan pemuka juga direka semula agar ia lebih mudah untuk digunakan. GTC4Lusso turut menampilkan roda stereng yang lebih kecil, seiring dengan pemadanan beg udara yang turut dikecilkan.

    Untuk pasaran Malaysia, GTC4Lusso T dijual pada harga asas bermula RM1,088,000.00 (tidak termasuk cukai eksais, insurans).

     
     
  • BHPetrol sahkan Diesel Infinity Euro 5 kekal dengan adunan B7 jika mandat biodiesel B10 dilaksanakan

    biodiesel1

    Semasa pelancaran Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M yang dipertingkatkan oleh BHPetrol pagi tadi, kami sempat bertanya kepada pihak pentadbiran tertinggi syarikat berkenaan berhubung perkembangan implementasi biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) di Malaysia, yang terpaksa ditangguhkan kerana mendapat bantahan dari berberapa pihak.

    Menurut Pengarah Urusan BHPetrol KT Tan, perbincangan isu berkenaan masih berlangsung antara kerajaan, pembekal bahan api serta pelbagai pihak lain yang berkaitan.

    Walau bagaimanapun beliau mengesahkan, sekiranya polisi biodiesel B10 berkenaan diimplementasi, ia tidak akan melibatkan diesel bergred Euro 5 dimana diesel bersulfur rendah berkenaan akan terus dijual dengan adunan biodiesel B7 (7% minyak kelapa sawit metil ester dengan 93% diesel petroleum).

    Implementasi biodiesel mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak dalam industri. Berberapa pengeluar menerusi Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan kesan sampingan bahan bakar berkenaan dan dikhuatiri kerosakan tidak akan dilindungi oleh waranti, manakala Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menyangkal dakwaan tersebut.

    Biodiesel B10 sepatutnya mula dijual pada 1 Jun lalu tetapi telah ditangguhkan atas sebab perkara-perkara yang dibangkit tadi.

    Sebelum ini, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari dalam video temubualnya bersama Bloomberg TV Malaysia berkata, perbincangan masih dibuat dengan semua pihak yang terlibat dan diharap akan menyelesaikan isu berkenaan. Pemerhati industri pula percaya bahawa pelaksanaan penggunaan biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan akan dimulakan pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Mazda3 Hatchback MS MazdaSport diperkenal untuk pasaran Malaysia – tambahan RM9,880, lebih bergaya

    mazda3-mazdasports-bm-22

    Bermula 28 September 2016 hingga 3 Oktober 2016, Mazda Malaysia mengadakan Jelajah Jualan Mega di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya. Selain promosi jualan dan pelbagai aktiviti lain, Mazda juga ada memperkenalkan sebuah model khas yang lebih sporty iaitu Mazda3 Hatchback MS MazdaSport.

    Ia dijual pada harga tambahan RM9,880 daripada harga asal RM124,754.39 (atas jalan dengan insurans) bagi Mazda3 Skyactiv 2.0L Hatchback dan ditambah dengan kelengkapan yang menjadikannya lebih sporty. Enjin pula masih sama iaitu unit Skyactiv 2.0L dan transmisi automatik Skyactiv Drive enam kelajuan, berkemampuan 162hp dan 210Nm tork.

    Pada bahagian luar, Mazda3 Hatchback MS MazdaSport ditambah dengan kit badan menyeluruh – hadapan, sisi dan belakang, bersama penghadang angin di atas pintu but belakangnya. Kit badan ini berwarna hitam dan mempunyai garisan merah. Cermin sisi pula diwarnakan dengan warna merah. Selain itu, dua muncung ekzos yang terdapat pada kenderaan ini juga diperkemas dengan unit berjenama MS dan rimnya kini berwarna metalik lebih gelap.

    Bahagian dalam juga lebih sporty, di mana tempat duduknya dibalut dengan kulit serta kemasan suede, bersama jahitan benang berwarna merah. Konsep sama turut digunakan pada trim pintu, stereng, tombol gear dan penarik brek tangan.

    Menurut wakil Mazda yang berada di acara Jelajah Jualan Mega itu, Mazda3 Hatchback MS MazdaSport akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad dan setakat ini ia hanya boleh didapati bagi varian Mazda3 Hatchback berwarna putih sahaja.

     
     
  • BHPetrol lancar Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M dipertingkat dengan aditif generasi baharu

    bhpetrol-improved-infiniti-diesel-1_bm

    BHPetrol boleh dikatakan sebagai syarikat perintis yang membawa diesel bergred Euro 5 dalam pasaran tempatan di mana mereka telah memperkenalkan diesel dengan kandungan sulfur rendah berkenaan di Malaysia pada November 2014. Dengan kehadiran diesel ini, pengeluar automotif dalam negara kini lebih berani untuk menawarkan lebih banyak model yang dijana oleh enjin ‘clean diesel‘ moden seperti Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D dan Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Turbodiesel, yang masing-masing menggunakan enjin diesel dengan blok aluminium.

    Hari ini, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd telah melancarkan Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M yang dipertingkatkan dengan aditif generasi baharu. Enjin clean diesel generasi baharu seperti yang digunakan pada dua model yang disebutkan tadi menggunakan sistem commonrail diesel dilengkapi nozel bahan api dengan lubang sehalus 0.090 mm (anda perlu menggunakan mikroskop untuk melihat lubang ini secara jelas) dan pam pengagih bahan api dengan tekanan sehingga 2,500 bar.

    Ini membolehkan suntikan yang diberikan nozel tersebut menjadi sangat halus, seterusnya memberikan pembakaran yang sempurna untuk menghasilkan kuasa yang optimum serta lebih mesra alam. Diesel yang berada dalam pasaran sekarang, walaupun dengan gred Euro 5, diadun dengan aditif lama yang tidak dapat membersihkan deposit karbon dihasilkan semasa pembakaran dan deposit karbon yang telah pun melekat pada nozel bahan api, walaupun dengan kadar rawatan adunan aditif diletakkan pada tahap maksimum.

    Aditif lama berkenaan tidak lagi berkesan kerana enjin dengan sistem suntikan bahan api terus masa kini menghasilkan tekanan dalam kebuk pembakaran yang lebih tinggi dari enjin diesel lama yang dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api tidak terus (diesel disuntik di kebuk pra-pembakaran), justeru menghasilkan suhu yang lebih tinggi.

    bhpetrol-improved-infiniti-diesel-2_bm

    Dengan pencemaran karbon deposit yang berlaku pada nozel penyuntik bahan api, lubang-lubang halus pada nozel berkenaan akan menyebabkan ia tersumbat. Apabila lubang-lubang pada nozel bahan api tersumbat, corak semburan bahan api ke dalam kebuk pembakaran akan ditala semula oleh kotak komputer, seperti yang telah dilaras oleh pengeluaran peralatan OEM atau pengeluar berkenaan sendiri. Ini akan menyebabkan enjin mengalami kekurangan kuasa dan penggunaan bahan api yang tidak ekonomi serta masalah lain seperti enjin sukar dihidupkan, kelajuan melahu yang tidak betul, asap hitam berlebihan dan mungkin kerosakan pada enjin.

    Aditif baharu yang diadun pada Infiniti Diesel Euro 5 dan Euro 2M bertindak dengan lebih efisien yang bukan sahaja mampu membersihkan deposit karbon yang terhasil semasa pembakaran, malah turut menyingkirkan karbon deposit yang sedia ada pada nozel berkenaan.

    Spesifikasi dari pengeluar OEM menyatakan kekurangan kuasa pada enjin diesel moden perlulah kurang dari 2%. Ini dapat dicapai dengan hanya mengadun aditif generasi baharu ini kepada Infiniti Diesel Euro 5 pada kadar rawatan minima yang disarankan oleh pengeluar dari Jerman. Walau bagaimanapun, BHP mengadun aditif baharu ini kedalam diesel keluaran mereka pada kadar rawatan maksimum, iaitu 2.5 kali lebih tinggi dari kadar rawatan minima, membolehkan diesel yang dipertingkatkan berkenaan memulihkan sepenuhnya kehilangan kuasa yang terjadi.

    Keberkesanan aditif baharu ini telah dibuktikan dalam ujian standard industri yang dijalankan berdasarkan prosedur ujian diformulasikan oleh Coordinating European Council (CEC) menerusi ujian XUD 9 CEC 23-01 (untuk enjin diesel lama dengan sistem kebuk pra-pembakaran) dan ujian DW 10 CEC F 98-08 (untuk enjin diesel baharu dengan sistem suntikan bahan api terus).

    Infiniti Diesel baharu ini kini boleh didapati di lebih 105 stesen servis BHP seluruh negara dan dijual pada harga pasaran yang sama seperti ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

     
     
  • Statistik jualan kenderaan bagi Ogos 2016; pasaran positif – Perodua catat jumlah tertinggi, naik 40.5%

    Perodua_Bezza_Ext-4

    Setelah suasana pasaran automotif tempatan mencatatkan prestasi jualan yang suram Julai lalu, situasinya agak berbeza bagi bulan Ogos 2016. Perkembangan pasaran nampak positif; kebanyakan jenama utama juga mencatatkan peningkatan angka jualan yang memberangsangkan.

    Paling senang hati tentunya Perodua. Syarikat kenderaan nasional itu mencatatkan jumlah jualan tertinggi berbanding jenama-jenama lain dengan 21,251 unit kenderaan pada Ogos, mengatasi angka jualan pada Julai lalu, iaitu 15,121 unit. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 40.5% jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya. Ini sudah pasti disumbangkan oleh model Bezza yang dilancarkan pada Julai.

    Honda berada dikedudukan kedua, dengan mencatat 8,283 unit jualan, berbanding 7,827 unit pada Julai. Ini memberikan peningkatan sebanyak 5.8%. Baki kedudukan lima teratas bagi Ogos seterusnya diikuti oleh Toyota yang mencatatkan jualan 6,563 unit (peningkatan 30.5%), Proton dengan jualan 4,436 unit (peningkatan 14.6%) dan Nissan denga jualan 3,133 unit (peningkatan 2.1%).

    Antara jenama lain yang turut mencatatkan prestasi jualan yang meningkat jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya ialah Mazda dengan 1,032 unit (peningkatan 50.4%), Volkswagen dengan 316 unit (peningkatan 35%) serta peratusan peningkatan paling tinggi oleh Renault, dengan 107 unit (naik 118.4% berbanding Julai 2016).

    Namun begitu, beberapa jenama lain turut mencatatkan prestasi menurun ada Ogos, walaupun pada kadar yang sangat kecil. Ataranya ialah Subaru (379 unit berbanding 591 unit, turun 35.9%) , Audi (40 unit berbanding 51 unit, turun 21.6%), Kia (433 berbanding 468 unit, turun 7.5%), Peugeot (126 berbanding 130 unit, turun 3%), Hyundai (430 unit berbanding 453 unit, turun 5%) dan Chevrolet (56 unit berbanding 66 unit, turun 15.1%).

    august-2016-car-sales-data-by-brand-bm

     
     
  • SPAD rekod 4,876 kesalahan sehingga Ogos tahun ini

    LORRY_PT_BM

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memaklumkan bahawa sebanyak 4,876 kes pelanggaran undang-undang melibatkan pelbagai kesalahan di jalan raya dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas di seluruh Semenanjung.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, daripada jumlah tersebut, lori dan trak mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 2,326 kes, diikuti bas (1,267 kes), teksi (1,133 kes) dan selebihnya melibatkan lain-lain kesalahan, laporan Bernama.

    “Antara kesalahan yang melibatkan lori termasuklah melebihi panel, tayar botak, muatan tidak diikat dengan kemas,” katanya kepada pihak media semalam.

    Kesalahan melibatkan teksi pula antaranya tidak memiliki kad memandu iaitu 472 kes dan gagal menggunakan meter sebanyak 290 kes.

    Bagi bas pula, kesalahan paling kerap dilakukan ialah mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan iaitu 369 kes.

     
     
  • Honda Civic Type R Prototype tidak sabar ke Paris

    honda-civic-type-r-prototype-1-bm

    Honda bakal mempertontonkan model Civic Type R Prototype di Paris Motor Show 2016 yang bakal berlangsung beberapa hari lagi.

    Jika model biasa Civic hatch juga memang kelihatan agresif, Type R ini lebih daripada itu. Ia menampilkan splitter hadapan yang besar, corong tambahan pada sudut bampar hadapan dan belakang serta di belakang roda hadapan, bonnet scoop dan dapra hadapan dan belakang yang menempatkan roda aloi yang besar dan terletaknya brek Brembo tersembunyi di situ.

    honda-civic-type-r-prototype-3-bm

    Selain itu, ambang sisinya kelihatan dalam, aero strakes pada bahagian bumbung dan peresap belakang yang besar dengan tiga paip ekzos di tengah. Bukan itu sahaja, wing belakangnya juga kelihatan sungguh garang, dengan lencana Type, membuatkan mata tidak terlepas dari ralit memerhatikannya.

    Setakat ini, tiada perincian teknikal yang dimaklumkan. Cuma hot hatch baharu ini sepatutnya memanfaatkan enjin 2.0 liter VTEC Turbo dari model FK2 Civic Type R. Di mana ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 hp pada 6,500 rpm dan tork 400 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm, dengan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi manual enam-kelajuan. Namun dijangkakan output kuasanya akan dipertingkatkan bagi bersaing dengan model terdekatnya seperti Ford Focus RS.

     
     
  • Toyota C-HR – spesifikasi awal untuk Jepun didedah

    toyota-c-hr-1-bm

    Toyota C-HR yang diperkenalkan pada Mac, setelah didedahkan spesifikasi umumnya bagi pasaran United Kingdom dan Australia. Kini tiba gilirannya diperkenalkan di pasaran Jepun pula. Menurut Toyota, tempahan menerusi dalam talian bagi SUV segmen-B ini bakal bermula awal November, dan dijangka akan dilancarkan akhir tahun ini juga.

    Di Jepun, C-HR ditawarkan dengan empat varian iaitu G dan S bagi sistem hibrid 1.8L serta G-T dan S-T dengan penjana kuasa 1.2L turbo. Walau bagaimana pun, syarikat ini tidak mendedahkan lagi hamburan kuasa bagi kedua-dua penjana kuasa berkenaan.

    C-HR yang dibina berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) diukur dengan dimensi 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Untuk membayangkan saiznya, ia 56 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar dari Honda HR-V, tetapi 55 mm lebih rendah. Jarak roda CH-R juga 30 mm lebih panjang.

    Untuk pasaran Jepun, Toyota Safety Sense P akan ditawarkan secara standard bagi semua varian. Manakala pakej bantuan elak pelanggaran termasuk sistem pra-pelanggaran, yang boleh mengesan kehadiran pejalan kaki, kawalan kelajuan radar dengan pengesan semua-kelajuan, Lane Departure Alert (dengan kawalan stereng) dan Automatic High Beam (AHB) turut ditawarkan. Selain, Paparan Tititk Buda dan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang.

    Sebanyak lapan warna pilihan bagi C-HR termasuk Radiant Green Metallic dan Metal Stream Metallic dengan roda aloi 18-inci. Bagi warna di dalam kabin, pembeli diberikan dua pilihan iaitu hitam dan coklat perang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025