Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Malaysia, Brunei rancang Lebuhraya Pan Borneo

    Pan-Borneo-Highway

    Bagi memudahkan rakyat kedua-dua buah negara, Malaysia dan Brunei sedang bersiap sedia untuk memulakan rundingan bagi perancangan membina rangkaian Lebuhraya Pan Borneo.

    Dalam kenyataan bersama Malaysia-Brunei dikeluarkan bersempena Perundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mereka mengimbau kembali perbincangan mereka mengenai mustahaknya menambah baik dan menaik taraf rangkaian lebih raya di kedua-dua negara demi memudahkan kesaling-hubungan antara Sabah dan Sarawak, dengan Brunei, laporan Bernama.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo sejauh 2,325km dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak dan dari Sindumin ke Tawal di Sabah dijangka siap menjelang 2021.

    Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menyatakan sukacita dengan ketibaan jumlah pelancong yang menggalakkan di kedua-dua negara dan menggesa pegawai-pegawai mengukuhkan lagi kerjasama pelancongan.

     
     
  • Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid dilancarkan secara rasmi di M’sia – CKD, harga bermula RM290k

    mercedesbenz_c350e-1-bm

    Setelah dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Ogos lalu, Mercedes-Benz hari ini dengan rasminya melancarkan model plug-in hybrid terkini jenama itu, Mercedes-Benz C 350 e pemasangan tempatan (CKD). Ia dijual pada harga bermula RM289,888.

    Untuk pasaran Malaysia, tiga varian dengan perbezaan tahap kemasan ditawarkan; Mercedes-Benz C 350 e Avantgarde (RM289,888), Mercedes-Benz C 350 e Avantgarde (dengan kemasan dalaman AMG Line; RM294,888) dan Mercedes-Benz C 350 e AMG Line (dengan tambahan kemasan dalaman dan luaran AMG; RM299,888).

    Seperti yang dapat dilihat daripada model yang dipamerkan pada majlis penlancarannya ini, unit di Malaysia turut didatangkan dengan perincian khas berwarna biru, misalnya pada bahagian lampu utama, brake caliper, pelekat hias serta emblem yang digunakan.

    Ini merupakan susulan kepada langkah sama yang diambil oleh sebuah lagi jenama automotif Jerman, BMW yang memperkenalkan model dengan teknologi sama, BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid, juga pada penghujung Ogos lalu.

    Model ini dilengkapi enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo yang talaannya mirip enjin yang ada pada model C 250, dengan janaan kuasa 211 hp dan tork 350 Nm. Selain itu, ia juga mempunyai kuasa tambahan 80 hp/340 Nm yang dihasilkan oleh motor elektrik yang turut melengkapi sistemnya; menjadikan gabungan kuasa maksimum yang mampu dikeluarkan ialah 279 hp dan 600 Nm.

    Dengan semua angka ini, Mercedes-Benz C 350 e boleh bergerak dari keadaan pegun 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Penggunaan bahan apinya pula berada pada kadar yang sangat menjimatkan; 2.1 liter bagi setiap 100 km/j berdasarkan kitaran European NEDC. Dalam mod elektrik sepenuhnya, ia dapat meliputi jarak 31 km, dengan kelajuan maksimum 130 km/j.

    Bagi motor elektrik, ia menggunakan bateri lithium-ion sejukan cecair dengan voltan 6.2kWh yang terletak pada bahagian ruang barangan di belakang; kapasiti but pada model ini berkurangan daripada 475 liter kepada 335 liter.

    Untuk caj sepenuhnya, ia memerlukan masa sekitar 1 jam 45 minit menerusi wallbox (ia dijual secara berasingan pada harga RM7,500, tidak termasuk pemasangan) khusus, atau kira-kira dua jam setengah jika menggunakan soket domestik standard 230 V seperti yang ada di rumah kediaman. Port pengecasnya terletak dibahagian bawah sebelah kanan pada lampu belakang.

    Selebihnya, model ini meminjam kebanyakan ciri daripada Mercedes-Benz C 300. Antaranya, sunroof, sistem bunyi Burmester dengan 13 pembesar suara serta kawalan suhu automatik tiga zon Thermotronic.

    Kit tambahan yang turut disediakan pula ialah suspensi udara Airmatic sebagai ciri standard serta Pre-Entry Climate Control (yang membolehkan pendingin hawa diprogramkan untuk dihidupkan pada masa-masa tertentu yang ditetapkan).

    Turut ditawarkan ialah pakej pembiayaan kewangan daripada Mercedes-Benz Financial; ia menawarkan bayaran bulanan RM3,888 sebulan dengan tempoh tiga tahun bagi Agility Financing, termasuk Comprehensive Motor Insurance bagi tahun pertama. Dibandingkan dengan kaedah pembiayaan konvensional bagi tempoh lima tahun tanpa insurans pada kadar RM4,695 sebulan, pembiayaan ini lebih murah.

    Bagi mendapatkan perincian lanjut berkaitan Mercedes-Benz C 350 e, sila layari laman Carbase.my.

     
     
  • Chevrolet Colorado facelift kini sudah mula boleh ditempah – lima varian ditawarkan, harga dari RM95k

    2017 Chevrolet Colorado High Country 2

    Setelah diprebiu di Naza Automall Petaling Jaya dan imej ‘teaser‘nya disiarkan di laman Facebook, Naza Quest selaku pengedar sah kenderaan jenama Chevrolet di Malaysia mengumumkan trak pikap Chevrolet Colorado versi facelift kini sudah mula ditempah. Ia akan dijual di pasaran Malaysia dengan harga bermula RM95,000, tidak termasuk cukai jalan dan insuran.

    Untuk pasaran Malaysia, Colorado ditawarkan dengan tiga jenis enjin dalam lima varian berbeza. Enjin 2.5L turbodiesel Duramax berkuasa 161 hp/380 Nm masih dibawa untuk model facelift ini, digabungkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Enjin kedua ialah enjin 2.5L turbodiesel Duramax versi dipertingkat dengan penggunaan pengecas turbo Geometri Bervariasi (VGT). Enjin ini memenuhi spesifikasi Euro 4 dan mampu menghasilkan kuasa 177 hp pada takat 3,600 rpm serta tork maksima 440 Nm pada takat 2,000 rpm,

    Enjin paling berkuasa dalam barisan enjin Colorado ini ialah enjin 2.8L Duramax turbodiesel. Enjin ini masih menghasilkan kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu 193 hp/500 Nm, tetapi menerima sedikit rombakan untuk memperbaiki aspek NVH.

    Versi facelift ini menampilkan muka hadapan yang direka semula dengan pemadanan sepasang lampu hadapan yang lebih nipis mengapit gril hadapan rekaan baharu. Dua warna badan baharu ditawarkan iaitu Pull Me Over Red dan Blue Mountain. Summit White, Black Meet Kettle, dan Switchblade Silver masih kekal dalam pilihan warna Colorado.

    Pada bahagian dalaman pula, Colorado menerima papan pemuka rekaan baharu dan juga kemasan yang telah diperhalusi dan materialnya lebih lembut ketika dipegang. Konsol tengah yang diolah semula menampilkan skrin sesentuh dan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ciri-ciri lain yang turut dipadankan pada varian tertinggi termasuk sistem penghawa dingin automatik, lampu nyalaan siang LED, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta penghidup enjin kawalan jauh yang mana sistem ini membolehkan pemandu menghidupkan enjin dengan hanya menggunakan kawalan jauh pada kunci, membolehkan kabin disejukkan dahulu dengan penghawa dingin sebelum penumpang masuk kedalamnya.

    colorado-usp_bm

    Colorado juga dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik untuk memberikan stereng yang lebih responsif. Tingkap sisi trak pikap ini juga akan terturun sedikit secara automatik ketika pintu ditutup, untuk memudahkan pintu dirapatkan, dengan mengurangkan rintangan udara.

    Untuk keselamatan, Colorado dilengkapi dengan Kawalan Tarikan, ESC, dan juga dua beg udara hadapan serta beg udara lutut pemandu. Trak pikap ini turut dilengkapi (sekurang-kurangnya pada varian tertinggi) dengan Amaran Keluar Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan serta Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar.

    Menurut Naza Quest, 100 pelanggan Colorado terawal akan menerima servis penyelenggaraan tiga tahun percuma termasuk kos upah dan alat ganti. Setiap pembelian trak pikap ini juga akan dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu.

    GALERI: Prebiu Chevrolet Colorado facelift di NAZA Automall PJ

     
     
  • Honda CBR1000RR Fireblade SP 2017 sasar kepuasan pengendalian, lebih banyak sistem canggih dan moden

    80968_nicky_hayden_testing_the_17_ym_cbr1000rr_fireblade_sp-850x567bm

    Motosikal berkapasiti 1,000 cc adalah platform untuk pengeluar menunjukkan kemampuan serta teknologi kejuruteraan yang mereka miliki. Bagi Honda, mereka mempnyai model CBR1000RR dan bagi model tahun 2017, ia diberi peningkatan mengujakan supaya tidak kalah dengan pesaing lain.

    Kesemuanya ada tiga variasi CBR1000RR Fireblade 2017 iaitu yang standard, SP dan SP2. Butiran lanjut CBR1000RR Fireblade 2017 standard masih lagi dibiarkan misteri tetapi Honda sudah menyebarkan perincian bagi model SP dan SP2.

    Enjinnya masih sama seperti sebelum ini iaitu unit 999 cc DOHC empat silider sebaris tetapi setelah diubah, ia kini mampu menghasilkan sehingga 189 hp @ 12,500 rpm dan 111 Nm @ 10,500 rpm bagi model SP. Ini bersamaan lebih 11 hp berbanding model sebelum ini dan lebih ringan sebanyak 2 kg.

    Juga didatangkan secara standard pada CBR1000RR Fireblade SP 2017 adalah quickshifter untuk menaikkan gear dan Downshift Assist untuk membantu penurunan gear berserta blip tanpa menggunakan klac.

    Namun, Honda lebih mensasarkan kepuasan mengendalikan mesin ini. Disebabkan itu, naik taraf yang diberikan agak menarik, bermula dengan sistem pengiraan inertia 5 paksi (5 axis IMU) yang dapat mengesan apa sahaja perbuatan atau kedudukan motosikal tersebut.

    Dari situ, data yang ada boleh dikumpul untuk membantu pengiraan sistem lain seperti Suspension Control Unit (mengawal tekanan dan lantunan suspensi), Rear Lift Control (mengelakkan tayar belakang terangkat semasa membrek kuat) dan Cornering ABS. Bagi tetapan Suspension Control Unit, pemilik boleh memilih sama ada tiga tahap Active (pengiraan dan campur tangan automatik mengikut keadaan) ataupun tiga tahap manual (tetapan sendiri)

    79214_17ym_cbr1000rr_fireblade_sp-e1475596182668-850x542bm

    CBR1000RR Fireblade SP 2017 adalah motosikal Honda yang pertama dilengkapi dengan suspensi hadapan dan belakang Ohlins S-EC – fork NIX30 di hadapan dan penyerap TTX36 di belakang.

    Selain itu, CBR1000RR Fireblade SP 2017 juga adalah motosikal Honda berenjin empat silinder yang pertama menggunakan sistem ride-by-wire – menawarkan tiga mod dengan tetapan tertentu bagi penyampaian kuasa, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Engine Brake (EB) dan penyerapan hentakan. Satu lagi mod, USER membolehkan penunggang menetapkan sebarang kedudukan yang diingini.

    Berat keseluruhan CBR1000RR Fireblade SP 2017 juga dapat dikurangkan sehingga 14 kg, menjadi 197 kg, hasil penggunaan aluminium pada bahagian tertentu termasuk sub-frame, penutup enjin magnesium, ekzos titanium dan tangki minyak titanium.

    Jika ini semua masih tidak mencukupi, orang ramai boleh memilih model CBR1000RR Fireblade SP2 2017 yang mempunyai injap lebih besar pada bahagian head, palam pencucuh lebih panjang, kebuk pembakaran yang dioptimakan seperti model lumba RC213V, rim Marchesini dan corak gentian karbon pada badannya. Turut diberikan sebagai pilihan adalah dua kit lumba untuk SP2.

     
     
  • BMW R nineT Racer bawa kembali gaya lumba retro

    p90232553-highresbm

    Sebaik model BMW R nineT diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2014, ia telah menerima sambutan yang baik di serata dunia kerana dianggap sebagai model asas untuk diubah suai. Terbaru, semasa INTERMOT 2016, BMW memperkenalkan sebuah lagi model yang menggunakan asas R nineT, tetapi mempunyai gaya retro yang berlainan. Lebih tepat lagi, cafe racer. Ia dinamakan sebagai BMW R nineT Racer.

    Paling jelas adalah fairing hadapan gaya Imola yang serba kemas, dengan cermin sisi tidak merosakkannya kerana dilekatkan pada kerangka yang terdapat di bahagian dalam fairing tersebut. Jadi, jika ada pemilik yang ingin menukar cermin sisi, ia tidak akan meninggalkan sebarang lubang.

    Membawakan konsep cafe racer yang selari dengan prestasi, R nineT Racer menggunakan pemegang jenis clip-on, satu tempat duduk dan peletak kaki yang ke belakang, sementara jarak roda lebih pendek (-2 mm berbanding R nineT Pure) dan sudut head angle lebih condong (+0.2 darjah) menjadikan ia lebih lincah.

    Enjin yang digunakan pada R nineT Racer masih lagi adalah unit 1,170 cc Boxer sama seperti R nineT biasa tetapi ia kini sudah mematuhi tahap emisi Euro4 dan mampu menghasilkan 110 hp @ 7,750 rpm dan 116 Nm @ 6,000rpm. Ekzosnya diperbuat daripada besi tahan karat yang digilap dan mempunyai injap akustik yang menghasilkan bunyi Boxer yang lunak.

    Selari dengan konsep retro, R nineT Racer menggunakan panel meter analog berbentuk bulat (dua unit) dan selain had laju dan kitaran rpm, informasi lain dipaparkan pada bahagian digital kecil di dalamnya. Ini termasuk tahap minyak, jarak perjalanan, kedudukan gear, waktu servis, kelajuan purata dan penggunaan bahan api.

    Suspensinya pula biasa sahaja, iaitu fork RWU 43 mm tanpa sebarang pelarasan, manakala di bahagian belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan yang dilekatkan pada lengan ayun tunggal Paralever. Brek ABS dan Automatic Stability Control (ASC) didatangkan secara standard. Setakat ini BMW masih belum mengeluarkan harga bagi BMW R nineT Racer.

     
     
  • Kawasaki Ninja H2 Carbon 2017 – terhad 120 unit

    ninja-h2-carbon-rf-e1475575347799bm

    Motosikal keluaran Kawasaki yang mencetuskan fenomena iaitu H2 kini mempunyai satu lagi tambahan varian bagi tahun 2017 – H2 Carbon. Model ini adalah edisi terhad sebanyak 120 unit sahaja dan ia menggunakan panel badan atas bahagian hadapan (upper fairing cowl) yang diperbuat daripada gentian karbon polimer diperkuat (CFRP) dan mempunyai kemasan cat seperti H2R, tetapi tidak berkilat (matte).

    Ini seterusnya meletakkan H2 Carbon di antara H2 biasa dan H2R (untuk kegunaan litar sahaja), tetapi masih boleh didaftar untuk kegunaan di atas jalan biasa.

    H2 Carbon juga menerima peningkatan lain yang dilakukan pada kesemua varian H2 bagi pasaran 2017 – paling utama adalah suspensi belakang Ohlins berserta reservoir bagi memberikan pengendalian yang lebih baik. Pada unit penyerap hentakan ini, terdapat 22 tahap pelarasan lantunan dan tekanan, dan ia dipadankan bersama penyambung (linkage) yang direka semula.

    Seterusnya, penunggang juga boleh mengetahui sudut kecondongan semasa mengambil selekoh apabila Kawasaki melengkapkan motosikal berenjin supercas ini dengan ‘bank angle display’. Ia juga mampu menyimpan rekod berapa sudut maksimum yang pernah dicapai.

    Selain itu, Kawasaki H2 2017 turut diperlengkap dengan unit pengira inertia (IMU) daripada Bosch, sama seperti ZX-10R dan sekaligus memberikan ia kebolehan sistem ABS semasa motosikal condong membelok.

    Enjin barisan H2 2017 tidak diusik dan masih sama seperti sebelumnya – 998cc, empat silinder sebaris dengan unit supercas tetapi diberi peningkatan pada bahagian penukar gear, di mana quickshifter padanya dilengkapi dengan ciri auto-blip semasa menurunkan gear. Bahagian ekzos juga diberi sedikit perubahan supaya ia dapat mematuhi tahap Euro 4.

     
     
  • Perodua jalankan kempen promosi hujung tahun ‘Jom Beli’; Myvi jimat sehingga RM4.2k, Alza sehingga RM2k

    perodua-october-promo

    Sepanjang bulan Oktober ini, Perodua turut tidak ketinggalan mengadakan kempen promosi bagi dua modelnya, iaitu Myvi dan Alza. Kempen promosi hujung tahun ‘Jom Beli’ ini melibatkan penjimatan sehingga RM4,200 bagi Myvi, manakala penjimatan sebanyak RM2,000 bagi Alza.

    Namun begitu, ia hanya ditawarkan bagi varian terpilih sahaja, dengan kadar yang berbeza antara satu dengan yang lain. Bagi Perodua Alza, hanya satu varian sahaja yang terlibat, iaitu Alza AT Standard yang membolehkan pembeli menerima penjimatan RM2,000.

    Sementara itu, bagi Myvi, tiga variannya sah bagi tawaran yang dijalankan ini. Kepada pembeli yang memilih Myvi Advance, mereka akan jimat sehingga RM2,200. Myvi SE (MT) pula akan memberikan penjimatan RM3,820 sementara varian yang paling banyak menawarkan penjimatan ialah Myvi SE (AT) dengan RM4,200.

    Promosi ini sah sehingga 31 Oktober 2016.

     
     
  • Renault Megane RS generasi berikutnya kekal dengan pacuan roda hadapan dan kotak gear manual?

    megane-rs-4th-gen-spied-3-1_bm

    Khabar terbaharu berkenaan Renault Megane RS generasi berikutnya yang kami terima, jentera berkenaan bakal diberikan ‘resipi kejayaan’ yang sama seperti model sebelum ini iaitu dengan suapan turbo, digandingkan dengan kotak gear manual memacu roda hadapan. Berita ini sama sekali berlawanan dengan berita sebelum ini yang menyatakan hothatch berkenaan akan diberikan sistem pacuan semua roda.

    Walau bagaimanapun, Megane RS generasi baharu berkenaan menggunakan sistem stereng empat roda 4Control dan ia mungkin ditawarkan sebagai opsyen untuk model berprestasi tinggi ini.

    Penggunaan semula kotak gear manual untuk Megane RS generasi seterusnya ini adalah kerana maklum balas yang diberikan oleh pelanggan Clio RS terkini yang menangguhkan pembelian mereka kerana ketiadaan kotak gear manual. Pembeli Megane RS generasi berikutnya ini bakal diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan transmisi manual atau transmisi klac-berkembar automatik.

    Untuk transmisi manual, ia akan hadir dengan ciri ‘rev-match‘ seperti sistem yang dibekalkan pada transmisi manual Nissan Fairlady 370Z, yang membolehkan anda menurunkan gear dengan lancar walaupun tanpa kemahiran ‘heel and toe‘ di mana blip pada pedal pendikit akan dilakukan oleh komputer.

    megane-rs-4th-gen-spied-8_bm

    Dilaporkan juga, jurutera Renaultsport telah pun menjumpai kaedah untuk membuatkan model dengan transmisi manual ini memecut lebih pantas dalam pecutan 0-100 km/j berbanding model transmisi klac berkembar yang turut dibekalkan dengan sistem launch control. Kaedah tersebut dikatakan ada kaitan dengan berat yang lebih ringan pada kotak gear manual berbanding transmisi klac berkembar. Untuk transmisi klac berkembar pula, ia mempunyai kelebihan ketika merekodkan lap terpantas di litar.

    Berat keseluruhan juga menjadi isu kerana bukan sahaja dimensi Megane generasi baharu ini lebih besar dari sebelum ini, ia juga hanya ditawarkan dengan bentuk badan lima-pintu, berbanding model terdahulu yang hanya menampilkan bentuk badan tiga-pintu. Sistem stereng empat roda 4Control juga dikatakan akan menambah berat sebanyak 40 kg, walau bagaimanapun, jurutera Renault mengatakan lebihan berat pada sistem ini akan ditampung dengan kelebihan pengendalian yang diberikan oleh sistem berkenaan.

    Jurutera Renaultsport juga tidak mensasarkan jumlah kuasa yang sangat tinggi untuk model ini di mana mereka lebih menumpukan terhadap aspek “prestasi sebenar”, khasnya pada aspek nisbah kuasa-kepada-berat serta penghantaran tork. Ia akan dijana oleh enjin turbo 2.0 liter, dibina berasaskan enjin turbo F4R pada model sedia ada dan dijangka menghasilkan kuasa standard sekitar 300 hp.

    Renault Megane RS generasi keempat ini dijangka akan membuat penampilan sulung pada Frankfurt Motor Show tahun hadapan. Nampaknya Volkswagen Golf GTI Clubsport bakal menghadapi saingan getir dalam mempertahankan rekod kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar Nurburgring kerana bukan sahaja Renault menerusi model baharu ini mensasarkan untuk memecahkan rekod berkenaan, Honda menerusi model Civic Type-R generasi berikutnya dilihat berikrar untuk melakukan perkara yang sama.

    GALERI: Spyshot Renault Megane RS generasi keempat

     
     
  • Nissan Micra 2017 tunjuk semangat dalam segmen B

    1mdh15274-850x567bm

    Salah satu model yang menarik perhatian semasa di Paris Motorshow adalah Nissan Micra 2017. Sebabnya, sebelum ini Nissan Micra (juga dikenali sebagai March) hanya nampak seperti kenderaan biasa tetapi bagi model baharu yang akan mula dijual di Eropah pada tahun 2017 ini, ia mempunyai gaya lebih sporty dan agresif.

    Konsep rekaannya banyak diwarisi daripada model konsep Sway yang dipamerkan semasa Geneva Motor Show tahun lepas, namun sudah tentu beberapa bahagian tertentu disesuaikan untuk kereta produksi.

    Ramai pengkritik yang mengatakan Micra 2017 mempunyai bahagian yang kelihatan seperti kenderaan pesaing seperti Ford Fiesta dan Peugeot 208 tetapi yang nyata, Nissan mempunyai cara untuk meletakkan identiti sendiri seperti gril hadapan V yang sudah menjadi tanda unik Nissan, tiang tengah yang diwarnakan hitam, dan apabila bersambung dengan cermin belakang menimbulkan visual bumbung seperti terapung dan lampu belakang bentuk boomerang.

    Untuk memacu Micra 2017, Nissan menyediakan tiga pilihan enjin iaitu tiga silinder petrol turbo 900cc (90 hp / 140 Nm), tiga silinder NA petrol 1.0 liter (73 hp / 95 Nm) dan empat silinder diesel 1.5 liter (90 hp / 220 Nm). Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan secara standard namun kotak gear CVT turut diberikan sebagai pilihan.

    Selain enjin, Nissan Micra 2017 turut mempunyai kelengkapan teknologi baharu lain iaitu Active Ride Control dan Active Trace Control. Dengan adanya sistem ini, keselesaan di dalam kenderaan dapat dipertingkat, understeer dapat dikurangkan dan pengendalian lebih ‘tajam’.

    Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemandu pula, Nissan Micra 2017 dilengkapi Lane Departure Prevention, Intelligent Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Intelligent Around View Monitor, Traffic Sign Recognition, High Beam Assist dan Blind Spot Warning..

    2017-nissan-march-12-850x446bm

    Daripada laporan media Amerika Syarikat, Micra 2017 tidak akan memasuki pasaran itu kerana Nissan sudah ada model Versa (dikenali sebagai Almera di Malaysia) dan ia mempunyai kos yang sama, tetapi Versa menawarkan lebih ruang dan lebih kuasa. Walaubagaimanapun, Nissan Micra 2017 nampak lebih menarik dan jika dijual pada harga sama seperti Almera di Malaysia, pastinya akan menarik minat orang ramai, seterusnya memberi cabaran kepada Honda Jazz, Peugeot 208, Renault Captur, Ford Fiesta, Chevrolet Sonic dan banyak lagi kereta di dalam segmennya.

    Untuk menjadikan keadaan lebih menarik, seorang pereka dari Hungary, X-Tomi Design telah mereka lukisan komputer bagi Nissan Micra 2017 versi Nismo. Lukisan digital ini dihasilkan berdasarkan rupa asas March 2017 dan identiti Nismo. Macam mana? Cukup menarik?

    Nissan Micra 2017 tunjuk semangat dalam segmen B

     
     
  • Proton akan hasilkan produk yang lebih berkualiti dan lebih kompetitif dengan kerjasama asing – Menteri

    protonsaga_bm_premium_ext-1

    Kerjasama Proton dengan rakan kongi dari luar akan membolehkan pengeluar automotif nasional berkenaan menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan membolehkan ia lebih berdaya saing dalam pasaran, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam laporan oleh Bernama.

    Tambah beliau, kerjasama tersebut akan menyokong pembiayaan penyelidikan dan pembangunan Proton. “Jika kita bekerjasama dengan syarikat besar atau negara besar, kualiti kereta kita akan menjadi kompetitif dengan bantuan jenama antarabangsa lain,” katanya kepada pemberita.

    Bagaimanapun, Ong menambah, keputusan itu terletak kepada Proton yang kini dimiliki DRB-Hicom Bhd dan kerajaan tidak akan campur tangan dalam jualan kepentingannya. Semasa pelancaran Proton Saga 2016 minggu lalu, DRB-Hicom mendedahkan mereka telah menyenarai pendek lima cadangan daripada syarikat asing yang mahu membeli kepentingan di dalam Proton.

    CEO DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, terdapat tiga kategori utama yang akan diambil kira dalam membuat memilih rakan kongsi iaitu strategik, operasi serta budaya dan perjanjian mengenainya dijangka akan dibuat pada suku pertama 2017.

     
     
  • Isuzu MU-X dibina sebagai ‘Monster’ buat pertama kali untuk cabaran 4×4 ‘hardcore’ Borneo Safari 2016

    the-isuzu-mu-x-monster-is-set-for-its-debut-in-borneo-safari-2016_2-2

    Untuk cabaran 4×4 yang diklasifikasikan sebagai hardcoreBorneo Safari International Offroad Challenge – di Sabah edisi-edisi sebelum ini bermula dari tahun 2005, Isuzu sebagai penaja utama (kali ini sudah masuk tahun ke-10 berturut-turut) akan menyediakan kenderaan 4×4 yang diubahsuai digelar ‘Monster’ untuk digunakan oleh Pasukan Media Isuzu bagi menempuh cabaran yang diberikan pihak penganjur.

    Berbeza dengan cabaran-cabaran sebelum ini di mana Monster dibina berasaskan trak pikap D-Max, buat pertama kali Isuzu turut menyediakan SUV tujuh-tempat duduk MU-X yang dijelmakan sebagai Monster bagi mengharungi cabaran Borneo Safari edisi ke-26 yang diadakan bermula 30 Oktober hingga 6 November tahun ini.

    Tiga lagi Monster D-MAX akan menyertai MU-X berkenaan dalam cabaran 4×4 yang bakal berlangsung di sekitar kaki Gunung Kinabalu dan akan merentasi daerah-daerah sekitar Ranau dan Kota Marudu. Laluan berkenaan adalah termasuk 40 km laluan hardore yang terdiri daripada laluan pembalakan yang telah ditinggalkan serta beberapa lintasan sungai.

    Bagi memastikan MU-X mampu untuk melepasi semua halangan pada Borneo Safari 2016, berberapa ubahsuai dilakukan pihak Isuzu termasuk roda dengan offset yang lebih terkeluar dari badan, tayar untuk permukaan ekstrim, bampar hadapan keluli untuk perlindungan dan sudut approach yang lebih baik, kelengkapan winching, unit snorkel bagi membolehkan ia menyelam semasa menyeberangi sungai tanpa masalah serta pelindung logam untuk bampar belakang.

    the-isuzu-mu-x-monster-is-set-for-its-debut-in-borneo-safari-2016-2

    Monster MU-X masih lagi dijana oleh enjin 4JK1-TCX empat-silinder diesel 2.5 liter VGS Turbo Intercooler tanpa apa-apa ubahsuai berkuasa 136 PS dan tork 320Nm bermula 1,800 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lima-kelajuan dengan sequential shift.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah Faez A Nordin mengucapkan terima kasih kepada Isuzu kerana menjadi Penaja Berlian untuk Borneo Safari 2016. “Kami berterima kasih kepada pihak Isuzu kerana telah memberikan sokongan kepada acara untuk tahun ke-10 berturut-turut. Sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap acara ini merupakan antara sebab utama mengapa kami dapat mengembangkan acara berkenaan sehingga ke tahap ini. Kami mempunyai 400 kenderaan yang mengambil bahagian tahun ini, iaitu penyertaan tertinggi yang dicatatkan dalam sejarah Borneo Safari. Dan angka ini bertambah setiap tahun!” kata beliau.

    Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd Hajime Machimura pula menzahirkan keyakinannya terhadap kebolehan Isuzu MU-X untuk melepasi segala permukaan di laluan dan cuaca mencabar sepanjang Borneo Safari 2016. “Walaupun ianya merupakan SUV gaya hidup, Isuzu MU-X berkongsi DNA yang teguh sama seperti trak pikap Isuzu D-Max kami, yang mana ia terus membuktikan kebolehannya dalam setiap edisi Borneo Safari sejak ia menyertainya buat pertama kali pada 2005. Ia semestinya sudah ditetapkan untuk memberikan lebih lagi,” kata beliau.

     
     
  • VIDEO: Ford tunjuk kepentingan pelekat ‘camouflage’

    Industri automotif adalah sangat kompetitif dan apabila membangunkan sesebuah model baharu, pengeluar tidak mahu orang ramai serta paling penting, saingannya melihat produk mereka. Walaubagaimanapun, ini adalah agak sukar kerana kereta baharu yang belum dilancarkan tersebut masih perlu untuk diuji dalam suasana sebenar.

    Ditambah pula hampir semua orang memiliki telefon pintar yang boleh mengambil gambar, rahsia mereka sukar disimpan. Bahagian dalam mungkin sukar dilihat oleh orang awam tetapi, rekaan luar juga memainkan peranan penting untuk membezakan kelebihan sesebuah produk.

    Penyelesaian standard adalah mengenakan pelekat samar atau ‘camouflage’ pada kenderaan tersebut apabila ia melakukan ujian di jalan biasa. Pelekat ini mempunyai rekaan yang mengelirukan dan tujuannya adalah menyembunyikan garisan-garisan badan dan rekaan luar kenderaan tersebut.

    Ford Europe telah mengeluarkan video pendek ini tentang bagaimana mereka menghasilkan rekaan pelekat camouflage terbaharu yang akan digunakan pada kenderaan ujian syarikat itu, serta kelebihannya.

     
     
  • Toyota – Daihatsu wujudkan syarikat dalaman untuk bina kenderaan kompak bagi pasaran penting baharu

    toyota-and-daihatsu-logo

    Toyota Motor Corporation dan subsidiari penuhnya Daihatsu Motor Co., Ltd merancang untuk mewujudkan sebuah syarikat dalaman baharu yang akan bertanggungjawab keatas kereta kompak untuk pasaran baharu yang penting, dari perancangan produk hingga ke proses penyediaan produksi.

    Ini merupakan hasil persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua syarikat berkenaan peranan masing-masing dalam memperkasakan operasi kenderaan kompak mereka di pasaran baharu yang penting, bagi membantu mereka mencapai matlamat bersama untuk mencapai pertumbuhan yang mampan.

    Syarikat dalaman berkenaan akan beroperasi pada Januari 2017 dengan objektif utamanya untuk membangunkan kenderaan kompak yang kompetitif berdasarkan pendekatan Daihatsu yang memproduksi produk mampu milik dan berkualiti tinggi untuk pasaran baharu penting, di mana potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran tersebut di lihat tinggi tetapi saingan kini dilihat lebih sengit.

    Dalam syarikat baharu berkenaan, Daihatsu berperanan untuk melakukan pembangunan bersepadu, perolehan dan penyediaan pengeluaran bagi kenderaan kompak untuk pasaran tersebut berdasarkan platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Toyota pula akan memberikan sokongan terhadap usaha ini dengan membekalkan pengetahuan dan pelbagai sumber.

    Kedua-dua syarikat berkenaan akan berkongsi produk dan rancangan perniagaan yang sama serta meletakkan pengkalan pengeluaran sedia ada masing-masing untuk digunakan secara efektif bagi kedua-dua pihak.

    Daihatsu dijangka akan mengetuai syarikat dalaman baharu ini, yang akan menghubungkan kawasan antara Daihatsu dan Toyota. Oleh itu, syarikat dalaman baharu ini akan diletakkan berasingan dari pihak yang dipanggil sebagai “syarikat” dari sistem produk yang dibina sendiri oleh Toyota – diperkenalkan untuk inovasi dalam proses kerja mereka pada April 2016.

    Semasa menerangkan faedah untuk Toyota dalam inisiatif ini, Timbalan Presiden Eksekutif Toyota Shigeki Terashi berkata, “Dengan kewujudan syarikat dalaman ini, Toyota mahu untuk belajar asas-asas Daihatsu yang kompetitif dan mengubah cara kami berkerja.”

    Presiden Daihatsu Masanori Mitsui pula memberikan komen, “Kami akan memperkembangkan lagi pengetahuan yang kami perolehi sebelum ini dalam memproduksi kenderaan mini dan sebagai penggerak dalam Kumpulan Toyota, bukan sahaja untuk kenderaan mini, malah untuk kenderaan kompak bagi pasaran baharu yang penting. Untuk Daihatsu, inisiatif ini melambangkan peluang yang penting bagi pertumbuhan yang sangat besar dan mampan. Selain itu, kedua-dua syarikat hari ini telah mengesahkan Daihatsu akan terus mengetuai pembangunan untuk jenama Daihatsu.”

    Toyota dan Daihatsu akan menggunakan seluruh kekuatan yang telah mereka perolehi sebelum ini dan akan mengimplemantasi strategi “pemilihan dan konsentrasi” untuk memantapkan pembuatan kereta yang lebih baik secara global.

     
     
  • Tork T6X motosikal elektrik India pertama – 26 Nm tork

    t6x-12-min

    Pengeluar motosikal dari India, Tork Motorcycles telah mengeluarkan model terbaharu mereka dan ia adalah sebuah motosikal elektrik sepenuhnya yang mampu menghasilkan 26 Nm tork. Ia adalah motosikal elektrik produksi pertama yang dikeluarkan oleh Tork Motorcycles dan juga dari India sendiri.

    Membawa nama Tork T6X, motosikal ini boleh bergerak sehingga 100 km dengan sekali cas penuh dan bateri lithium-ion yang digunakan boleh dicas sehingga tahap 80 peratus dalam masa satu jam sahaja.

    Menjadikannya lebih pintar, Tork T6X dilengkapi dengan sistem TIROS yang membolehkan penunggang menukar mod penyampaian kuasa sama ada sport ataupun santai. Turut dipasang pada Tork T6X adalah skrin sesentuh 4.3 inci yang memaparkan pelbagai informasi termasuk navigasi, ruang yang mencukupi di bawah tangki untuk menyimpan helmet, brek ABS dan sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi khas.

    Tork T6X mempunyai berat 130 kg dan akan mula dijual di Pune, Bangalore dan Delhi terlebih dahulu, pada harga Rs 1.25 lakh (RM9,296). Tork juga telah menyediakan enam tempat mengecas di Pune dan meletakkan sasaran menjadikannya 100 menjelang Disember 2016.

     
     
  • Perodua umum taja Nabil Jeffri, bintang muda sukan perlumbaan negara – sasar layak sertai F1 pada 2018

    nabil-jeffri-arden-sepang2016-bm-0248

    Perodua mengumumkan penajaan bagi bintang lumba muda negara yang semakin meningkat naik, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri atau lebih dikenali sebagai Nabil Jeffri yang ketika ini bersaing di dalam perlumbaan Siri GP2 2016. Siri berkenaan merupakan batu loncatan bagi kebanyakan pelumba sebelum layak bersaing di dalam Formula One.

    Nabil, 22, memulakan “perjalanannya” melalui sukan go-kart apabila muncul juara di dalam Kejuaraan Kart Terbuka Asean 2004 pada usia 10 tahun sebelum pada 2009 pula mengungguli Malaysian Rotax Max Junior. Beliau kemudiannya menyertai Formula BMW Pacific pada 2010, berlumba untuk Eurasia Motorsport.

    Pada 1 September 2010, Nabil menjalani ujian aerodinamik bagi pasukan Lotus Racing Formula One, memandu Lotus T127 di lapangan udara Muzium Perang Imperial Duxford. Beliau menjadi pemandu ujian termuda dalam sejarah F1. Dengan pencapaian membanggakan itu, Nabil dinobat sebagai Ikon Belia Negara 2010. Beliau juga menjadi warga Malaysia pertama yang terpilih mengikuti FIA Institute Young Drive Excellence Academy.

    Dengan prestasi meyakinkan hampir 14 tahun penglibatannya di dalam program pembangunan sukan permotoran, Nabil mensasarkan untuk berlumba di dalam Formula One pada 2018. “Kami melihat ada persamaan antara Nabil dan Perodua; kedua-duanya bermula dari bawah dan berusaha untuk sampai ke peringkat global dengan cara yang tersendiri,” ujar Pengarah Urusan, Perodua Sales Sdn Bhd, Dr. Zahari Husin.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025