Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai umum transmisi klac berkembar lapan-kelajuan kini sedia untuk model-model N Performance

    hyundai-rn30-concept-1-e147522091180_bm

    Menurut ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai, Albert Biermann, kerja-kerja pembangunan untuk kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan syarikat berkenaan kini sudah pun lengkap sepenuhnya.

    Biermann memberitahu CarAdvice, kotak gear berkenaan akan digunakan pada model pacuan hadapan, dan boleh juga dilengkapkan pada barisan model berprestasi tinggi N Performance – enam model bakal diperkenalkan menjelang 2019. Hyundai i30 N berkemungkinan besar model pertama di bawah jenama talaan tersebut, dan akan dilancarkan tahun hadapan.

    “(Ia) lapan-kelajuan, (klac) basah, dan boleh dikatakan kotak gear yang baik, dan saya harap satu hari nanti, walaupun belum disahkan, transmisi ini akan wujud kerana ia juga boleh dipadankan pada kereta Hyundai lain,” kata Biermann. “Kami mempunyai perancangan untuk, atau idea bila kami mahu memasangnya, tetapi ia masih belum disahkan (lagi). Setelah ia disahkan, kami akan melakukannya secepat mungkin.”

    Walaupun Biermann belum pasti sama ada i30 akan dilengkapi kotak gear baharu ini atau tidak, tetapi beliau telah mengesahkan kotak gear baharu ini dengan mudah dapat menangani kuasa sehingga 394 PS dan tork 450 Nm, yang hampir dengan kuasa dihasilkan oleh enjin turbo 2.0 liter empat silinder menjana model konsep RN30 pacuan semua roda.

    Secara kebetulan juga, model konsep RN30 berkenaan turut dilengkapi kotak gear klac berkembar, walaupun tidak dinyatakan adakah ia kotak gear lapan-kelajuan yang sama disebut oleh Biermann. “Walaupun kuasa yang dihasilkan setinggi 290 kW (394 PS), 450 Nm, ia masih dalam lingkungan kuasa yang boleh ditangani oleh transmisi baharu ini,” kata Biermann.

    GALERI: Hyundai RN30 Concept

     
     
  • MBJB giat jalankan operasi tundaan dan sitaan khas di Johor Bahru untuk atasi masalah sikap pemandu

    Public-Parking-Lots

    Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang giat menjalankan operasi tundaan dan sitaan khusus di kawasan pusat bandar ibu negeri berkenaan untuk mengatasi masalah sikap pemandu yang gemar meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, menurut laporan Sinar Harian.

    Sehingga September lalu, sejumlah 1,311 kereta telah ditunda dengan nilai kompaun berjumlah RM344,575 dikutip oleh MBJB. Menurut Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu adalah meletakkan kenderaan mereka di atas siar kaki, kaki lima, landskap, garisan kuning, luar petak parkir, tempat pemunggahan barang dan laluan bas.

    “Perkara ini terkandung di bawah peruntukan Seksyen G(i)(g) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 2004 iaitu menyebabkan dan membenarkan mana-mana kenderaan diletakkan di mana-mana tempat awam yang menyebabkan halangan,” katanya pada Mesyuarat Penuh (September) 2016, semalam.

    Tambah beliau lagi, sejajar dengan bidang kuasa MBJB, tindakan kompaun, tunda dan sita telah dikenakan kepada mana-mana pemilik yang ingkar dengan arahan dinyatakan.

    A Rahim menegaskan, tindakan tunda dan sita diambil berikutan rungutan dan aduan orang ramai berhubung kesulitan khususnya untuk pergerakan kenderaan di samping turut merosakkan laluan pejalan kaki.

    “Perlu ditekankan di sini, tindakan menunda bukanlah alternatif yang terbaik untuk mengatasi masalah ini.

    “Kesedaran sivil daripada orang ramai memainkan peranan yang penting di dalam memastikan kenderaan diletakkan di tempat yang betul dan mematuhi tanda-tanda larangan meletakkan kenderaan.

    “Sikap enggan membayar parkir dan ‘malas berjalan’ hendaklah dikikis di kalangan warga bandar raya,” katanya.

     
     
  • Renault Megane Sedan – model untuk pasaran global

    renault-megane-sedan-53-bm-e1475766256520

    Renault telah mengeluarkan lebih banyak maklumat dan imej tambahan bagi model Megane Sedan, yang pertama kali muncul Julai lalu. Ia merupakan model Megane dari generasi keempat, tetapi dengan tambahan bahagian but belakang. Tiada lagi model Fluence selepas ini.

    Renault Megane Sedan bakal menjadi model global jenama itu dan akan dibina di kilangnya di Bursa, Turki. 30 negara diseluruh dunia bakal menerima model ini untuk pasaran mereka, 30 negara semuanya.

    Ini termasuklah Algeria, Australia, Bahrain, Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Mesir, Estonia, Hungary, Ireland, Israel, Itali, Kuwait, Latvia, Lithuania, Moldovia, Maghribi, Oman, Poland, Qatar, Romania, Saudi Arabia, Serbia, Slovakia, Slovenia, Tunisia, Ukraine dan Emiriah Arab Bersatu.

    Bagaimana dengan Malaysia? Setakat ini masih tiada dalam senarai berkenaan. Namun, memandangkan ada negara di dalam senarai berkenaan yang menggunakan pemanduan sebelah kanan, adalah tidak mustahil untuk model berkenaan tiba juga di sini nanti.

    Direka serentak dengan Megane versi hatchback dan estate, ia menggunakan pendekatan binaan Renault-Nissan Alliance CMF C/D yang sama dengan model lain Renault, seperti Espace, Talisman dan Koleos.

    Binaannya adalah 4,632 mm panjang dan 1,814 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,711 mm; ia nampak tegap, menawan dan sekaligus garang bagi sebuah kenderaan dalam segmen C. Kedudukannya dari permukaan jalan mungkin memberikan kesan ini; jarak legaan dari permukaan tanahnya adalah 136 mm.

    Bagi pilihan enjin, ia dimulakan dengan SCe 115, sebuah enjin 1.6 liter dengan kuasa 115 hp dan 156 Nm. Ia digandingkan sama ada dengan kotak gear manual lima kelajuan atau pun automatik CVT Xtronic dari Nissan.

    Seterusnya, ada enjin Energy TCe 130 EDC. Ia terdiri daripada enjin 1.2 liter turbo dengan janaan 130 hp dan 205 mm, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau EDC klac berkembar tujuh-kelajuan automatik.

    Selain dua enjin berkenaan, terdapat tiga lagi varian enjin diesel yang turut dijadikan sebagai pilihan; 90 hp/220 Nm (6MT), 110 hp/260 Nm (6MT atau EDC enam-kelajuan dengan 250 Nm) dan enjin 1.6 liter (130 hp dan 320 Nm) dengan transmisi manual sahaja.

    Antara ciri lain yang melengkapinya adalah saiz ruang barangan yang sangat luas – 550 liter – dan mampu mengekalkan pendekatan rekaan ala coupe. Kemasan krom pada gril, jalur tingkat pada pintu, pemegang pintu serta hujung bahagian ekzos mungkin mencadangkan bahawa ia adalah varian dengan spesifikasi yang paling tinggi.

    Dalam ruang kabin, rekaan papan pemukanya mirip yang ada pada model hatchback; skrin sentuh 8.7 inci bagi sistem infotainmen R-Link 2. Turut ditawarkan ialah paparan TFT LCD serta sistem Multi-Sense dengan lima mod pemanduan untuk dipilih; ciri yang sudah pun ditawarkan pada Espace dan Talisman, membolehkan pemandu mengubah antaranya maklum balas dari pedal minyak dan enjin.

    Tidak lagi memberi penumpuan sebagai kenderaan yang khusus untuk pasaran Eropah seperti versi hatchbacknya – yang menjadi seteru kepada model Volkswagen Golf – model sedan ini dibangunkan untuk pasaran global dan perlu serasi dengan cuaca dan keadaan di negara-negara di mana ia akan dipasarkan itu.

    Untuk memastikan ketahanannya, sedan ini diuji dengan jarak perjalanan sejauh 276,000 km di litar ujian Renault dalam keadaan dan set ujian menyeluruh. Ia bersamaan dengan jarak 828,000 km bagi penggunaan nyata. 24 kenderaan digunakan untuk ujian ini, meliputi jarak sejuta km dalam usaha untuk mengesan sebarang masalah yang mungkin ada.

     
     
  • Uber perlu mohon permit untuk beroperasi di Sabah

    uber-x-car_BM

    Hujung September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri menegaskan bahawa tindakan bakal diambil terhadap Uber di Sarawak dan Sabah kerana modus operandinya adalah sama seperti “teksi lanun” di kedua-dua negeri.

    Semalam Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah pula mengingatkan semua pengusaha perkhidmatan Uber di negeri itu tampil memohon permit sebelum menjalankan operasi, laporan Bernama.

    Menurut pengerusi LPKP Datuk Raime Unggi, permohonan permit itu penting kerana operasi perkhidmatan Uber dianggap sama seperti ‘kereta sapu’ dan selagi tiada permit, pengusaha perkhidmatan tersebut tetap dianggap beroperasi secara haram.

    Katanya, Seksyen 33 Akta LPKP jelas menetapkan larangan ke atas penggunaan kenderaan perkhidmatan awam yang tidak berlesen. Di mana membawa penumpang tanpa permit akan sentiasa dipantau polis termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Tindakan boleh diambil ke atas pemandu termasuk menyita dan melucut hak ke atas kenderaan seperti diperuntukan dalam Seksyen 51 Akta LPKP,” katanya.

    Raime turut berkata LPKP hanya mahu pengusaha Uber dan Grabcar mematuhi undang-undang demi memastikan keselamatan dan kepentingan penumpang sentiasa diberi keutamaan.

    “LPKP Sabah bersama JPJ dan polis akan terus memantau operasi perkhidmatan kenderaan pengangkutan haram termasuk Uber,” katanya sambil menambah adalah penting bagi pengguna mendapatkan perkhidmatan teksi berlesen.

     
     
  • Diesel Euro 5 Petronas akan dikembangkan lagi ke 18 stesen pada akhir Okt; 50 stesen pada akhir tahun

    Petronas Dynamic Diesel Euro5 BM 012

    Setelah memperkenalkan diesel bergred-Euro 5 di enam stesennya di Lembah Klang pada Ogos lalu, Petronas kini mengumumkan Diesel Dynamic Euro 5 kini boleh didapati pula di 18 stesen Petronas seluruh negara menjelang akhir bulan ini. Sehingga September tahun ini, bahan bakar berkenaan telah pun boleh diperolehi di 15 stesen.

    Terkini, Dynamic Diesel Euro 5 Petronas boleh didapati di stesen-stesen berikut:

    • Lebuhraya Pasir Gudang
    • Linkedua arah-selatan
    • NKVE Damansara
    • Technology Park Malaysia 1
    • KM0.7 Besraya arah-utara (Solaris Serdang)
    • KM 305 Plus arah-selatan (Solaris Putra)
    • Lebuhraya Persekutuan (KM 12.3)
    • NKVE arah-Klang
    • USJ 20
    • Lebuhraya Persekutuan FAS
    • Mutiara Damansara
    • Lebuhraya Sprint
    • Taman Melati
    • MRR2 arah-Kepong
    • RnR Bentong

    Orang ramai boleh mendapatkan Diesel Euro Petronas ini di tiga lagi lokasi – Lingkaran Tengah 2 di Wilayah Persekutuan, Lebuhraya Silk di Selangor dan Mambau di Negeri Sembilan – pada pertengahan Oktober ini.

    Menjelang akhir tahun ini, Petronas akan mengembangkan diesel Euro 5 hingga ke 50 stesen, dan akan meliputi lebuhraya utama yang menghubungkan Lembah Klang di kedua-dua arah, serta lokasi terpilih di kawasan selatan untuk memenuhi permintaan kenderaan yang memasuki Singapura, kerana undang-undang emisi yang lebih ketat dikenakan di Republik berkenaan.

    Langkah ini juga merupakan usaha Petronas kearah gazet implementasi diesel Euro 5 oleh kerajaan Malaysia keseluruh negara menjelang 2020.

    Usaha Petronas ini juga tidak terhad hanya kepada penawaran bahan bakar fosil, di mana syarikat petroleum nasional ini juga telah mengumumkan kerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) untuk membuka 66 stesen pengecas kenderaan elektrik di stesen-stesen Petronas dalam semenanjung Malaysia.

     
     
  • World Car Awards 2017 – calon-calon kini diumumkan

    Menjelang penganugerahan World Car Awards 2017, senarai rasmi calon-calon untuk setiap lima kategori yang dipertandingkan kini sudah pun diumumkan. Calon-calon ini kemudiannya akan disenarai pendek sehingga hanya tiga finalis untuk setiap kategori seterusnya bakal diumumkan pada Geneva Motor Show 2017. Pemenang untuk setiap kategori kemudiannya akan diumumkan semasa berlangsungnya New York International Auto Show 2017.

    Calon-calon untuk setiap kategori untuk anugerah kali ini nampaknya terdiri dari banyak model-model penting, termasuk Audi Q5, Honda Civic, Toyota C-HR, Mercedez-Benz E-Class, Bentley Bentayga, Volvo S90 dan banyak lagi.

    Untuk anugerah yang sama tahun lalu, Mazda membawa pulang hadiah utama apabila model MX-5 mereka dinobatkan sebagai World Car of the Year 2016, menewaskan Audi A4 B9 dan Mercedes-Benz GLC.

    Roadster berkenaan juga memenangi anugerah “World Car Design of the Year” mengalahkan Mazda CX-3 dan Jaguar XE. Anugerah kereta mewah pula dimenangi oleh BMW 7 Series G11 menewaskan Audi Q7 dan Volvo XC90. Dalam kategori kereta hijau pula, 73 orang juri yang terdiri dari jurnalis automotif memilih Toyota Mirai yang dikuasakan oleh hidrogen, menewaskan dua kereta hibrid iaitu Toyota Prius baharu dan Chevrolet Volt generasi kedua.

    Senarai penuh untuk kategori dan calon adalah seperti berikut:

    World Car of the Year 2017

    • Audi A5/S5 Coupe
    • Audi Q2
    • Audi Q5
    • Buick Envision
    • Buick LaCrosse
    • Chevrolet Cruze
    • Chrysler Pacifica
    • Fiat/Abarth 124 Spyder
    • Honda Civic
    • Hyundai Elantra
    • Hyundai Genesis G80
    • Infiniti Q60
    • Jaguar F-Pace
    • Kia Cadenza
    • Kia Rio
    • Kia Sportage
    • Mazda CX-9
    • SEAT Ateca
    • Skoda Kodiaq
    • SsangYong Tivoli Air/XLV
    • Subaru Impreza
    • Toyota C-HR

    World Luxury/Performance Car 2017

    • Audi R8 Spyder
    • Bentley Bentayga
    • BMW 5 Series
    • Cadillac CT6
    • Cadillac XT5
    • Honda/Acura NSX
    • Hyundai Genesis G90
    • Lexus LC500
    • Lincoln Continental
    • Mercedes-AMG GT Roadster
    • Mercedes-Benz E-Class
    • Porsche Boxster Cayman
    • Range Rover Evoque Convertible
    • Volvo S90/V90

    World Urban Car 2017

    • BMW i3 (94 Ah)
    • Citroen C3
    • Citroen E-Mehari
    • Ford Ka+
    • Smart Brabus range
    • Smart Cabriolet
    • Suzuki Baleno
    • Suzuki Ignis

    World Car Design of the Year 2017

    • Kesemua calon World Car of the Year secara automatik layak untuk anugerah rekaan ini
    • Mercedes-Benz S-Class Cabriolet

    World Green Car 2017

    • Audi Q7 e-tron 3.0 TDI quattro
    • BMW 740e iPerformance
    • Chevrolet Bolt
    • Chevrolet Malibu Hybrid
    • Honda Clarity Fuel-Cell
    • Hyundai Ioniq
    • Kia Niro Hybrid
    • Mercedes-Benz GLC 350e
    • Tesla Model X
    • Toyota Prius Prime
    • Toyota RAV4
     
     
  • KTM 1290 Super Adventure R 2017 – enduro buas

    153137_ktm-1290-super-adventure-r-my-2017-730x487bm

    Jika anda fikir KTM Super Duke R sudah cukup gila dengan enjin dua silinder V 1,301 cc dan badan naked, kini KTM menyediakan sesuatu yang lebih. Enjin tersebut dibawa kepada model kembara lasak dikenali sebagai 1290 Super Adventure R, khas untuk mereka yang gemar cabaran lasak.

    Tetapi, KTM menjadikan enjin itu sedikit jinak dengan menghadkan kuasa kepada 160 hp (kuasa asal 173 hp) dan 140 Nm tork. Kemudiannya, ia juga mendapat intake expansion chamber baharu yang menghasilkan kuasa lebih lancar terutamanya di kadar rpm rendah dan pertengahan.

    Pakej kuasa ini dipadankan pada casis enduro lasak, dengan kerangka berwarna oren, fork hadapan WP Suspension, penyerap belakang WP Progressive Damping System (PDS), tempat duduk berketinggian 35 inci dan rim jenis lidi (21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang). Tayar yang disediakan dari kilang pula adalah sama ada Continental Trail Attack II atau Continental TKC 80, dan kedua-duanya adalah jenis tanpa tiub.

    Dari aspek elektronik, KTM menyiapkan 1290 Super Adventure R dengan pakej Bosch MSC tertinggi yang termasuk sistem C-ABS sensitif kepada sudut kecondongan, Motorcycle Traction Control (MTC) dan mod tunggangan Sport, Street, Rain dan Off-road. Dalam mod Off-road, brek belakang masih boleh mengunci tayar tetapi di bahagian depan ABS dikekalkan.

    Selain itu, terdapat juga sistem tanpa kunci yang membolehkan pengguna menghidupkan enjin, membuka tangki minyak dan mengunci pemegang tanpa mengeluarkan kunci, penghadang angin yang boleh dilaras, ruang simpanan kalis air soket pengecas USB serta skrin TFT 6.5 inci yang memaparkan pelbagai informasi.

    Sekiranya pemilik memilih Travel Pack, mereka akan mendapat ciri sambungan Bluetooth untuk menjawab panggilan dan audio, Hill Hold Control dan quickshifter.

     
     
  • Petronas bakal sediakan kemudahan ChargEV di 66 stesen kendaliannya di sepanjang lebuhraya utama

    petronas_chargev-1-bm

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) menjadi rakan kongsi terbaharu Greentech Malaysia dalam usaha organisasi itu mengembangkan potensi pasaran teknologi hijau di Malaysia. Kerjasama ini adalah selari dengan matlamat untuk memberdayakan Malaysia sekali hab bagi kenderaan elektrik (EV).

    Ia bakal menyaksikan 66 kemudahan stesen pengecas yang diusakan oleh Greentech Malaysia, ChargEV akan dipasang di stesen Petronas seluruh negara. Perjanjian persefahaman berkenaan ditandatangi di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) ke-tujuh yang sedang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

    “Bagi Petronas, ini merupakan satu pencapaian terbaharu kerana bertindak selaku syarikat petroleum pertama di Malaysia yang memberikan komitmen terhadap perkara ini. Dengan menyediakan kemudahan mengecas kenderaan elektrik di 66 stesen Petronas di sepanjang lebuhraya utama Malaysia, PDB memainkan peranan penting di dalam kitaran perkembangan kenderaan elektrik di sini,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

    Kerjasama ini disifatkan sebagai sokongan PETRONAS terhadap pelan National Electric Mobility Blueprint dalam mempromosikan penggunaan kenderaan hibrid dan EV. Ia juga sebagai persediaan awal terhadap perkembangan positif bagi penggunaan EV dalam masa terdekat.

    Kedua-dua syarikat ini juga akan memulakan kaji selidik terhadap Energy Efficient Stations (E2S) untuk melihat kemungkinan bagi menambah baik prasarana dan kemudahan bagi pemilikan kenderaan elektrik dan penggunaannya di Malaysia.

     
     
  • Ducati SuperSport dan SuperSport S 2017 diperkenal – untuk kegunaan harian, guna enjin 937 cc Hyperstrada

    9-intermot-2016-press-conference_04-850x589bm

    Ducati secara rasminya telah memperkenalkan dua buah motosikal yang dibangunkan untuk kegunaan harian tetapi mempunyai karekter sports iaitu SuperSport dan SuperSport S 2017. Ia cukup berkuasa tetapi mudah dikawal dan selesa.

    Enjin yang digunakan pada model ini diambil daripada Hyperstrada iaitu unit Testastretta 11-degree dan ditala untuk mendapatkan 113 hp. Walaubagaimanapun, SuperSports mempunyai tork yang boleh didapati pada kadar rpm lebih rendah dan nisbah gear final drive dijadikan lebih panjang.

    Ducati Safety Pack didatangkan standard pada SuperSports dan ini termasuk sistem brek ABS Bosch dan kawalan cengkaman yang boleh diubah mengikut mod tunggangan sama ada Sport, Touring atau Urban.

    Selain tunggangan harian, Ducati juga ingin menjadikan SuperSport mesra jelajah, jadi, kedudukan tunggangannya dijadikan selesa dengan pemegang yang tidak terlalu rendah dan penghadang angin hadapan boleh dilaras kepada beberapa kedudukan (jarak perubahan sehingga 50mm). Tangki minyak pula boleh menampung 16 liter dan ini boleh membawa SuperSport ke jarak sehingga 200 km.

    Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk SuperSports – asas dan SuperSport S. Varian SuperSports asas menggunakan fork Marzocchi 41 mm dan penyerap Sachs di belakang tetapi bagi varian SuperSports S, ia dinaik taraf dengan suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya di hadapan dan belakang, quickshifter untuk penukaran gear naik dan turun, serta penutup bagi tempat duduk penumpang.

    Barangan standard lain yang ada pada SuperSports adalah sistem brek Brembo – cakera 320 mm dan angkup M4.32 di hadapan, skrin informasi TFT, lampu siang LED dan soket USB di bawah tempat duduk yang kalis air.

    Selain itu, Ducati juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan lain untuk SuperSports seperti ekzos Akrapovic, damper stereng Ohlins, penghadang tangan, lampu penunjuk arah LED, modul Bluetooth untuk sistem multimedia dan pelbagai barangan gentian karbon.

     
     
  • VIDEO: Pelumba Formula 1 Red Bull Racing bersiar-siar di Tokyo dengan Datsun Skyline C210 Bosozoku

    Setelah menamatkan Grand Prix Malaysia hujung minggu lalu dengan kedudukan 1-2, pasukan Formula 1 Red Bull Racing serta pelumba mereka, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen kini sudah pun tiba di Jepun untuk Grand Prix Jepun hujung minggu ini.

    Sebelum memulakan sesi latihan bebas yang dijadualkan pada 7 Oktober iaitu Jumaat ini, kedua-dua pelumba berkenaan mengambil keputusan untuk bersiar-siar dahulu di sekitar Shibuya, Tokyo menggunakan jentera old school Datsun Skyline 210 Coupe yang diubahsuai dengan tema Bosozoku atau dikenali juga dengan nama Kaido Racers.

    Model C210 merupakan generasi ketiga dalam keluarga Nissan/Datsun Skyline (tidak termasuk dari generasi Prince), diproduksi bermula 1977 hingga 1981, dalam versi sedan empat pintu short-nose (model ini dipasarkan di Malaysia dengan nama Datsun 180K), sedan empat pintu long-nose, serta Coupe dua-pintu – iaitu model yang digunakan oleh kedua-dua pelumba ini.

    Skyline berwarna oren-perak ini juga telah diubahsuai dengan tema Bosozoku, iaitu budaya pengubahsuai berasaskan kumpulan gangster di Jepun pada era 1980’an.

    Kereta-kereta dengan gaya Bosozoku ini diubahsuai dengan mengambil inspirasi rekaan dari jentera-jentera perlumbaan Super Silhouette pada era 80’an, menampilkan spoiler hadapan dan spoiler belakang yang sangat besar serta keempat-empat ruang roda yang sangat lebar. Ia juga dipadankan dengan roda aloi yang sangat lebar serta badan kereta yang diturunkan serapat yang mungkin dengan permukaan jalan.

    Kemenangan 1-2 Red Bull di Sepang Ahad lalu telah menyekat pasukan Mercedes AMG Petronas daripada mengesahkan kejuaraan kategori pengeluar untuk musim ini. Daniel Ricciardo kini berada di tempat ketiga dalam pungutan mata keseluruhan, 84 mata ketinggalan berbanding pendahulu kejohanan Nico Rosberg dari pasukan Mercedes AMG, dan 61 mata di belakang Lewis Hamilton di tempat kedua, juga dari Mercedes AMG.

     
     
  • Ford Fiesta ST 2017 guna enjin 1.0 liter EcoBoost?

    ford-fiesta-st-7-e1466599059223_BM

    Berdasarkan laporan Auto Express, Ford Fiesta ST 2017 terbaharu selepas ini mungkin tidak lagi menggunakan enjin EcoBoost 1.6 liter untuk beralih kepada enjin yang lebih kecil; 1.0 liter.

    “Kami menyedari lebih banyak perkara dan kemungkinan yang boleh dilakukan dengan enjin 1.o liter yang sedang dibangunkan ketika ini. Ia enjin yang bagus – menghasilkan bunyi yang menarik dan banyak tork ketika turbo berfungsi,” jelas Ketua Kenderaan Kecil Ford Europe, Darren Palmer.

    Langkah ini sudah dijangkakan susulan daripada pengumuman Ford untuk mengurangkan kapasiti pengeluarannya kepada separuh kilangnya di Bridgend, Wales, yang menghasilkan enjin empat silinder sebelum ini.

    Ini dilihat bertujuan untuk memberi lebih banyak ruang bagi pengeluaran enjin tiga silinder di sana, yang mungkin akan digunakan oleh Fiesta ST baharu nanti. Dengan menggunakan enjin baharu ini yang semestinya akan lebih ringan, aspek pengendalian Fiesta ST baharu nanti akan mempunyai satu lagi kelebihan.

    Setakat ini, enjin 1.0 liter EcoBoost tiga silinder memberikan janaan 123 hp dan 170 Nm. Tetapi, pada jentera lumba Formula Ford, enjin turbocaj berkenaan sudah dilakukan modifikasi untuk membolehkannya mengeluarkan 202 hp kuasa. Jika Fiesta ST baharu nanti mampu mencapai angka yang sama, ia adalah lebih tinggi jika dibangdingkan dengan enjin sedia ada yang digunakannya; dengan kuasa 180 hp dan 240 Nm tork (tidak mengambil kira ST200).

    “Masih terdapat permintaan yang tinggi terhadap ST. Ia agak jelas jika melihat kepada sambutan yang diterima oleh ST200. Tetapi kami ingin menawarkan lebih lagi; jadi jangkakan prestasi dan penjimatan yang lebih baik,” tambahnya lagi.

     
     
  • Mercedes-AMG E63 W213 bakal dilengkapi ‘Drift Mode’

    mercedes-e63-amg-001_bm

    Pernah dilaporkan sebelum ini, Mercedes-AMG E 63 W213 akan dipadankan dengan sistem pacuan semua roda 4Matic secara standard. Namun Pengerusi AMG Tobias Moers menyatakan, jentera baharu berkenaan masih mempunyai karekterisktik pengendalian seperti jentera pacuan roda belakang, serta dilengkapi dengan fungsi ‘drift mode‘ yang baharu dibangunkan.

    “Ia pacuan empat roda dan kami akan mewujudkan drift mode,” kata beliau kepada Autocar semasa berlangsungnya Paris Motor Show 2016. Sistem dari Mercedes ini tidak sepenuhnya sama seperti pada Ford Focus RS, di mana mod drift rekaan Mercedes ini menggunakan agihan tork dari sistem kawalan stabiliti elektronik untuk menghantar kesemua 100% kuasa dari enjin ke roda belakang, membolehkan pergerakan power oversteer terhasil, walaupun dilengkapi sistem pacuan semua roda.

    amg-e63-black-series-5_bm

    “Ia akan berkuasa di bawah dan di atas 600 hp,” tambah Moers dan menyatakan jentera E-Class berprestasi tinggi berkenaan akan mencabar model seperti Audi RS6 dan BMW M5 terbaharu. Angka 600 hp berkenaan dijangka akan diperolehi pada varian E 63 S, mengikuti trend yang diwujudkan pada barisan model C 63.

    Model baharu tersebut bakal dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter dengan pengecas turbo yang diolah semula oleh AMG, menggantikan enjin berkapasiti 5.5 liter sedia ada. Walaupun dengan kapasiti lebih kecil, enjin berkenaan dijangka dapat menghasilkan prestasi yang lebih baik. “Ia lebih laju di (Litar Nurburgring) Nordschleife dari sebelum ini,” kata Moers lagi dan menyimpulkan bahawa “ini merupakan langkah paling besar yang kami ambil dengan E-Class.”

    GALERI: Imej spyshot Mercedes-AMG E63 W213

    GALERI: Imej spyshot AMG E63 wagon Black Series

     
     
  • Kawasaki Ninja 650 dan Z650 2017 – pengganti ER-6

    ninja-650-green-1bm

    Walaupun adalah sebuah model yang menghidupkan kembali pasaran motosikal berkuasa tinggi beberapa tahun dahulu, Kawasaki ER-6 memerlukan pembaharuan supaya dapat terus bersaing dalam pasaran yang semakin kompetitif. Jangan takut, Kawasaki ada penggantinya – Z650 untuk ER-6n dan Ninja 650 untuk Er-6f.

    Paling penting adalah gayanya dan Kawasaki membuat dua model ini lebih garang dengan Ninja 650 mempunyai bahagian hadapan lebih tajam dan menyerupai barisan model ZX-6R dan ZX-10R, manakala Z650 pula membawa gaya naked unik model Z.

    Enjin asas masih lagi sama iaitu unit 649cc dua silinder selari tetapi ditala semula (paip ekzos atas lebih panjang, throttle body 36 mm, injap kemasukan dan ekzos baharu) supaya menghasilkan penyampaian kuasa lebih lancar, tork rpm rendah dan pertengahan lebih baik dan penggunaan bahan api lebih cekap.

    z650-z650-absbm

    Hasilnya, Ninja 650 dan Z650 mematuhi tahap Euro4 tetapi kuasanya sedikit menurun berbanding sebelum ini, menjadi 69 hp (-2 hp). Walaubagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana kedua-dua Ninja 650 dan Z650 mendapat kelebihan daripada nisbah kuasa dan berat, di mana beratnya berkurangan sehingga 19 kg hasil daripada casis Trellis besi dan lengan ayun aluminium yang baharu.

    Kawasaki Ninja 650 sudah pun dipertonton kepada umum semasa INTERMOT yang masih lagi berlangsung kini di Cologne, Jerman tetapi Z650 sekadar disiarkan melalui gambar dan akan membuat penampilan semasa EICMA di Milan bulan depan.

     
     
  • Apa khabar Proton PERT, juara PWRC 2002?

    A photo posted by DRRally (@drrally) on

    Mungkin ramai yang tidak tahu, Malaysia sebenarnya mempunyai seorang juara dunia dalam sukan permotoran. ‘The Flying Sikh‘ Karamjit Singh telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Production Car (PWRC) pada tahun 2002, menjadikan beliau bukan sahaja rakyat Malaysia pertama, bahkan beliau merupakan orang Asia pertama merangkul gelaran peringkat dunia tersebut. Apa yang lebih manis, kejayaan berkenaan dikecapi dengan penyertaan pertamanya dalam WRC, serta memandu untuk pasukan Petronas EON Racing Team (PERT).

    Fakta ini mungkin kurang diketahui oleh kebanyakkan rakyat tempatan dan diberi pendedahan yang luas oleh media kerana semasa Karamjit berjuang merebut kejuaraan, seorang lagi pelumba negara iaitu Alex Yoong, juga sedang diberi perhatian dalam persaingannya di kancah kejuaraan Formula 1.

    Untuk perlumbaan-perlumbaan di sekitar Asia Pasifik, Karamjit menggunakan jentera rali Proton/Mitsubishi Lancer Evo (Mitsubishi telah mendaftarkan nama Lancer sebagai model yang dibina bersama Proton bagi membolehkan Proton bertanding dalam kejohanan anjuran FIA menggunakan jenamanya) yang dibina oleh PERT sendiri dengan nombor pendaftaran Malaysia “PROTON 1784”.

    Manakala pada kejohanan WRC untuk pusingan-pusingan di Eropah, PERT menggunakan Mitsubishi Lancer Evo VI dengan nombor pendaftaran UK “WU02 XFB” yang disediakan oleh Mellor Elliot Motorsport, syarikat yang sama membina Satria Neo S2000 dan juga baru-baru ini menyiarkan imej teaser Proton Iriz R5.

    Baru-baru ini, laman instagram DRRally iaitu akaun penganjur Rally Day 2016 – acara pertunjukkan kereta-kereta Rali terbesar di Eropah – telah menyiarkan jentera juara PWRC 2002 berkenaan, menyertai pertunjukkan tersebut. Evo VI yang pernah dipandu Karamjit itu kini dimiliki oleh seorang pemandu rali persendirian di UK, masih lagi mengekalkan livery asal pasukan PERT, serta masih mampu untuk bertanding dalam mana-mana perlumbaan rali.

    Ini tentunya khabar gembira buat peminat sukan permotoran tempatan kerana jentera lagenda yang pernah mengharumkan nama negara berkenaan masih dalam keadaan baik, dan dijaga oleh orang yang sepatutnya.

     
     
  • Honda Malaysia beri tawaran istimewa sepanjang Oktober; tujuh model terlibat, jimat sehingga RM7k

    Honda airbag

    Nampak gayanya, hampir semua jenama pengeluar kenderaan yang utama mengadakan promosi jualan pada Oktober ini. Honda Malaysia tidak ketinggalan; syarikat itu memberikan tawaran istimewa bagi tujuh modelnya, dengan pengurangan sehingga RM7,000 daripada harga asal.

    Mereka yang membeli model City, Jazz, Accord facelift, HR-V dan Odyssey berpeluang menerima bonus hujung tahun yang bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000. Semua model ini, termasuk Civic, turut akan menerima kad Touch n’ Go dengan nilai sedia ada RM1,000.

    Bagaimanapun, menurut Honda Malaysia, jumlah pada kad Touch n’ Go berkenaan boleh juga dipilih sebagai jumlah tunai. Ini bermakna, jumlah keseluruhan yang boleh dinikmati oleh pelanggan adalah seperti berikut:

    RM7,000 bagi model Jazz dan CR-V; RM6,000 bagi City; RM3,000 bagi Accord, HR-V dan Odyssey; dan RM1,000 bagi Civic. Turut menanti ialah hadiah istimewa kepada pembeli, bergantung kepada stok. Promosi ini sah sehingga 31 Oktober.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025