Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemandu teksi kumpul dana untuk menentang SPAD

    KL06_181115_PEMANDU_TEKSI

    Kemelut antara pemandu teksi dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan iaitu Uber, Grab dan Blacklance, masih berlarutan dan sehingga kini tiada keputusan muktamad mengenainya.

    Pada 30 Disember lalu, sekumpulan pemandu teksi seramai 102 orang telah memfailkan injunksi menentang SPAD kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

    Walau bagaimana pun, keputusan Mahkamah Tinggi yang diumumkan pada 26 September lalu bahawa SPAD berjaya membatalkan saman yang difailkan terhadapnya.

    Menurut hakim Mahkamah Tinggi Su Geok Yiam, keputusan itu dibuat atas alasan pemandu teksi sepatutnya memfailkan saman berkenaan melalui semakan kehakiman, dan bukan writ saman bersama-sama dengan pernyataan tuntutan.

    Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, kumpulan pemandu teksi di sekitar Lembah Klang nekad untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi menentang terus SPAD. Malah mereka turut bekerjasama mengumpul dana sebanyak RM7,000 bagi tujuan tersebut, laporan The Sun.

    Menurut presiden Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isa Usuludin berkata, keputusan ini diambil kira-kira empat hari yang lalu untuk mengumpul dana tersebut.

    “Kami telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi bagi membayar RM5,000 kepada SPAD ekoran kes kami digugurkan pada bulan lalu. Malah kami juga memerlukan dana sebanyak RM2,000 untuk yuran guaman bagi kes rayuan kami diproses,” ujarnya kepada akhbar berkenaan.

    Zailani berkata, jawatankuasa yang mewakili lebih kurang 3,000 pemandu teksi, tidak akan berhenti daripada mencari kebenaran dengan mengheret SPAD ke mahkamah bagi menentang perkhidmatan Uber, Grab dan Blackline di seluruh negara.

    Dijangkakan SPAD bakal membentangkan pelaksanaan undang-undang bagi membenarkan perkhidmatan e-hailing yang melibatkan ketiga-tiga aplikasi berkenaan di Parlimen pada bulan hadapan.

     
     
  • Volkswagen pindah hab khidmat selepas jualan ke Malaysia untuk edaran alat ganti yang lebih pantas

    2016-volkswagen-puchong-service-centre- 010

    Volkswagen Group mengumumkan bahawa pusat khidmat jualannya untuk rantau Asia Pasifik akan dipindahkan dari Singapura ke Malaysia, dalam usaha mereka untuk menyediakan fasiliti yang lebih efisien dalam membekalkan alat ganti. Bermula 2018, hab baharu di Johor Bahru berkenaan akan berkhidmat untuk 28 pasaran dalam rantau ini.

    Hab serantau komponen alat ganti berkenaan akan dibina di kawasan perdagangan bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bermula Januari, dan akan dihubungkan terus ke pelabuhan, menyisihkan proses penghantaran peringkat pertengahan. Oleh itu, proses logistik akan menjadi lebih efisien dan mesra alam.

    Dengan pusat serantau baharu di PTP itu juga, alat ganti akan dibekalkan ke pasaran Asia Tenggara dengan lebih cepat, dan outlet serantau akan menerima sehingga dua penghantaran sehari apabila ia beroperasi sepenuhnya. Pelan aktiviti khidmat selepas jualan untuk jenama lain dalam Volkswagen Group juga sedang dirancang untuk disepadukan dengan hab ini, serta pusat pengumpulan rantaian penghantaran untuk alat ganti asli.

    2016-volkswagen-puchong-service-centre-005_BM

    “Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, rantau Asia-Pasifik telah merekodkan pertumbuhan yang stabil. Pengembangan dan peralihan lokasi pusat alat ganti serantau kami dari Singapura ke Malaysia mencerminkan signifikan dan potensi pasaran yang sedang berkembang ini dan menjadi asas untuk pertumbuhan yang lebih besar. Malaysia akan menjadi hab baharu untuk logistik khidmat selepas jualan dalam rantau ini,” kata Imelda Labbé, ketua khidmat selepas jualan Volkswagen Group.

    Marcus Edelmann, pengarah khidmat selepas jualan Volkswagen Group Asia Tenggara pula berkata, “Pusat logistik serantau baharu kami akan membolehkan kami membekalkan alat ganti keseluruh rantau lebih pantas dari sebelum ini. Bermula 2018, pengedar di Singapura dan Malaysia yang dihubungkan secara terus akan menerima dua penghantaran sehari. Ini akan meningkatkan perkhidmatan pelanggan kami secara signifikan dalam rantau ini dan dalam masa yang sama menjadi asas untuk pertumbuhan yang lebih besar.”

     
     
  • DBKL nafi bakal kenakan caj kemasukan kenderaan ke pusat bandar KL selepas MRT Line 1 mula beroperasi

    dbkl parking tow bernama pix

    Pada 6 Oktober lalu, sebuah media tempatan, The Edge, melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempertimbang untuk melaksanakan sistem caj kesesakan di pusat bandaraya selepas perkhidmatan mass rapid transit (MRT) Line 1 mula beroperasi kelak.

    Menurut laporan akhbar tersebut, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar DBKL, Nik Mastura Diyana Nik Mohamad, DBKL sedang melihat kepada perincian pelaksanaannya, namun kadar harga bagi jenis-jenis kenderaan masih belum ditentukan.

    Walau bagaimana pun, kenyataan itu telah disangkal oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, yang berkata laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

    Memetik laporan Bernama, beliau berkata, “Setakat ini tiada perancangan untuk mengimplementasikan sistem caj kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandaraya selepas perkhidmatan mass rapid transit (MRT) Line 1 mula beroperasi kelak. Laporan media berkenaan adalah tidak benar sama sekali.”

    Sebelum ini, Nik Mastura berkata, rancangan pelaksanaan caj laluan berkenaan memang sudah termasuk di dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2020, dengan matlamat untuk menggalakkan orang-ramai menggunakan pengangkutan awam.

    Polisi ini bertujuan untuk mengelakkan orang ramai daripada menggunakan kenderaan persendirian di dalam pusat bandaraya yang menjadi punca kesesakan. Ia adalah sama seperti yang diimplementasikan oleh negara jiran, Singapura.

     
     
  • Honda Malaysia lanjutkan operasi hab-hab sementara; usaha untuk mudahkan pelanggan tukar inflator Takata

    04_honda_technician_replacing_abm

    Sebagai usaha berterusan untuk menampung keperluan pelanggannya yang terlibat, Honda Malaysia hari ini mengumumkan akan melanjutkan perkhidmatan penukaran inflator beg udara Takata di hab perkhidmatan pusat (Service Central Hubs) sementaranya sehingga 31 Disember 2016.

    Sejak pembukaan pusat servis sementara untuk tujuan khusus penukaran alat inflator berkenaan, hab sementara ini sudah melakukan penukaran terhadap 4,200 unit kenderaan Honda yang terlibat, sementara hab sama di Utara dan Selatan masing-masing telah menyelesaikan penukaran bagi 3,200 unit dan 3,800 unit kenderaan bagi tempoh 1 Ogos hingga 30 September 2016.

    Berdasarkan rekod kenderaan Honda yang terlibat, bahagian Sentral mencatatkan angka tertinggi bagi kenderaan yang masih belum hadir untuk aktiviti menggantikan alat berkenaan; sejumlah 23% masih gagal berbuat demikian. Sementara di Utara dan Selatan pula, masing-masing mencatatkan peratusan 9% dan 8% bagi kenderaan yang masih belum hadir untuk aktiviti ini.

    honda-sentral-hub-bm

    Untuk ini, Honda Malaysia menggesa pemilik kenderaan yang terlibat, terutama di bahagian Sentral, untuk membuat temujanji segera secapat mungkin. Selain pusat sementara, Honda Malaysia turut akan melanjutkan operasi hab bergerak (Mobile Hubs) di pusat-pusat beli-belah utama di bahagian Sentral.

    Ini sebagai langkah untuk memudahkan pengguna untuk hadir dan menukar inflator beg udara Takata berkenaan. Hab bergerak ini akan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad dari pukul 10 pagi hingga tujuh malam, dan dibuka di pusat-pusat beli-belah terpilih di sekitar Lembah Klang. Sila rujuk rajah yang dilampirkan untuk mengetahui maklumat terperinci berkaitan hab Sentral dan hab bergerak yang beroperasi sepanjang Oktober ini.

    Secara keseluruhannya, bagi tempoh 1 Ogos hingga 30 September 2016, Honda Malaysia sudah menukar lebih daripada 62,200 inflator beg udara Takata, di mana sejumlah 11,300 unit daripadanya dilakukan di hab-hab sementara ini.

    honda-mobile-hub-bm

    Seperti yang diumumkan pada Ogos lalu, Honda Malaysia sudah menempah 100% alat berkenaan bagi menampung keseluruhan jumlah kenderaan yang terlibat dalam aktiviti panggilan semula ini. Jumlah alat ganti inflator beg udara Takata yang sedia ada dijangka mencecah 55% dalam stok tersedia menjelang Disember nanti.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan stok, pelanggan boleh melayari statusnya di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my. Notis makluman juga akan dikirimkan kepada pelanggan berkenaan hal ini. Untuk maklumat lanjut berkaitan hal ini, pelanggan juga boleh menghubungi talian bebas tol Honda (1-800-88-2020). Kerjasama pelanggan dan pemilik amat dihargai.

     
     
  • Hyundai akan bawa dua Santa Fe ganas ke SEMA

    HYUNDAI TEAMS WITH ROCKSTAR PERFORMANCE GARAGE TO CREATE NITROUS

    Pengeluar kenderaan dari Korea iaitu Hyundai akan membawa dua buah Santa Fe yang diubah suai ke pameran SEMA bulan hadapan. Satu daripadanya dihasilkan melalui kerjasama dengan Rockstar Performance Garage, menampilkan gaya offroad radikal manakala satu lagi hasil bersama Bisomoto yang lebih kepada perlumbaan di atas jalan bertar.

    Bagi Santa Fe Hyundai – Rockstar, ia menggunakan enjin V6 Lambda 3.3 L Hyundai yang diubah suai pada bahagian sistem penyejukan, salur udara dan ekzos. Ini adalah bagi menampung kuasa enjin tinggi yang terhasil apabila enjin tersebut ditambah dengan sistem NOS.

    Kedudukan Santa Fe ini ditinggikan dengan suspensi offroad King, rim 17 inci KMC dan tayar Mickey Thompson Baja Claws 35 inci, dan kemudiannya dilengkapkan lagi bersama pelbagai lampu tambahan, penghadang lumpur yang tebal dan rak bumbung khas.

    hyundai-santa-fe-santa-fast-bisimoto-semabm

    Santa Fe Hyundai – Bisomoto pula diubah suai lebih kepada untuk kegunaan perlumbaan di atas jalan bertar, melihatkan kedudukan yang rendah dan rim 19 inci Tarmac R40. Kuasa yang dihasilkan lebih tinggi berbanding Santa Fe Rockstar hasil daripada penggunaan enjin V6 3.8 L yang ditambah dengan kit pengecas turbo berkembar khas dan transmisi manual enam kelajuan. Keseluruhannya, ia mampu mencecah sehingga 1,040 hp.

    Daripada lukisan yang disiarkan juga boleh dilihat Santa Fe Bisomoto ini mempunyai gril tersendiri, tempat duduk Momo Daytona Evo dan 4 point roll-cage bagi melindungi pemandunya.

     
     
  • VIDEO: Ford Fiesta WRC 2017 sedang diuji – lebih agresif, dibina dari model generasi berikutnya

    Menjelang Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk musim hadapan dengan undang-undang baharu yang membenarkan jentera yang bertanding dibina lebih berkuasa, Volkswagen dan Citroen sudahpun mendedahkan jentera baharu mereka. Begitu juga dengan Toyota yang akan kembali bertanding setelah menyepi selama 18 tahun, bakal mempertaruhkan Yaris WRC 2017. Terkini, Ford dilihat masih lagi menguji jentera baharu – Ford Fiesta WRC 2017.

    Dalam video ujian yang dilakukan M-Sport (syarikat yang membina jentera WRC untuk Ford) ini, dapat diperhatikan, jentera baharu berkenaan dibangunkan menggunakan Ford Fiesta tiga-pintu generasi berikutnya, dimana versi jalanan biasanya juga masih belum diperkenalkan.

    Berdasarkan undang-undang baharu FIA untuk musim hadapan, penghad (restrictor) pengecas turbo berdiameter 33 mm dinaikkan kepada 36 mm tetapi kapasiti enjin maksimum kekal pada tahap 1.6 liter dan tekanan boost maksima juga ditetapkan kekal pada 2.5 bar.

    Undang-undang berkenaan juga menetapkan berat keseluruhan jentera dikurangkan sebanyak 25 kg dan juga lebar keseluruhan ditambah sebanyak 50 mm serta unit-unit differential pintar kawalan elektronik boleh digunakan semula untuk mengagihkan tork ke setiap roda dengan lebih tepat. Ini akan menjadikan jentera musim hadapan lebih berkuasa, dan diberikan kit aero lebih agresif, dan dijangka tahap keterujaan pada era Group B bakal dikembalikan dalam WRC.

    Jika dibandingkan dengan imej-imej spyshot Fiesta generasi berikutnya yang kami siarkan sebelum ini, jentera WRC ini lebih lebar serta agresif, tetapi bentuk rekaan utama seperti lampu dan gril hadapan serta lampu two-piece pada bahagian belakang kelihatan seiras.

    Model Fiesta generasi berikutnya masih dibina berdasarkan platform Global B Ford, sama seperti model generasi sedia ada. Oleh itu, rupa keseluruhan Fiesta baharu berkenaan dilihat tidak banyak berubah, dengan rombakan paling besar untuk bahagian luaran adalah pada bahagian bampar. Model baharu itu juga dijangka akan diberikan perincian yang diperhalusi dan ciri-ciri yang seiring dengan permintaan pelanggan masa kini.

    GALLERY: Spyshot Ford Fiesta (tiga pintu) 2017

    GALLERY: Spyshot Ford Fiesta (lima pintu) 2017

    GALLERY: Spyshot Ford Fiesta ST (lima pintu) 2017

     
     
  • Ford Ranger mula diproduksi di Ford Thailand Manufacturing bagi memenuhi pasaran Asia Pasifik

    Ford Ranger 2.2 XLT AT-02

    Ford Motor Company mengumumkan bahawa produksi trak pikap Ranger yang mendefinisikan semula segmennya telah dimulakan secara rasmi di kilang Ford Thailand Manufacturing (FTM). Ia bagi membantu memenuhi keperluan luar biasa terhadap trak pikap tersebut di rantau Asia Pasifik.

    Ranger turut dihasilkan di kilang kerjasama Ford, AutoAlliance Thailand (AAT) yang kekal menjadi kemudahan pengeluaran utama Ford untuk model Ranger di Asia Pasifik.

    Memandangkan AAT dijangka beroperasi pada atau hampir dengan kapasiti maksimumnya tidak lama lagi, maka Ford telah membuat pelaburan tambahan sebanyak US$186 ke atas kemudahan FTM bagi meningkatkan produksi Ranger.

    Ranger ialah trak pikap paling laris Ford di rantau Asia Pasifik. Ia juga menjadi trak terlaris secara keseluruhannya di pasaran New Zealand, Vietnam, Taiwan, Kemboja dan Myanmar. Selain kedua terlaris di Australia, Malaysia dan Filipina.

    Sebagai trak pikap nombor tiga di Thailand, Ranger dilihat terus meningkatkan penguasaan dalam segmennya sejak Ranger serba baharu dilancarkan pada tahun 2011. Ini termasuklah menguasai perkongsian pasaran paling tinggi dalam segmen trak pikap pda Ogos dengan lebih 10 peratus.

    “Peningkatan volum Ranger akan membolehkan kami memenuhi permintaan pelanggan yang kukuh di seluruh rantau ini terhadap trak Built Ford Tough. Pelaburan tambahan kami ke atas FTM juga membuktikan keyakinan terhadap Thailand, serta kualiti bertaraf dunia yang diberikan oleh semua tenaga kerja kami,” kata Presiden Ford ASEAN, Mark Kaufman.

    Ford Ranger test drive Tadom hills-07

    Ford merupakan salah sebuah pelabur automotif terbesar di Thailand. Ia telah melabur lebih US$2.7 bilion ke atas kemudahan-kemudahan pengilangan yang dimiliki sepenuhnya dan pemilikan bersama.

    Ford melancarkan Ranger baharu tahun lalu. Ia menawarkan keselesaan dan kehalusan buatan ke satu tahap baru ke dalam segmen trak pikap tanpa berkompromi dengan warisan ‘Built Ford Tough’ yang lasak.

    Melalui rangkaian teknologi pintar yang digabung dengan kemampuan di laluan off-road dan penjimatan bahan api, Ranger baharu terus menetapkan penanda aras dalam segmen trak pikap dari segi reka bentuk, keselesaan serta kehalusan buatannya.

    Ford Ranger kekal menjadi trak yang paling berkeupayaan dalam kelasnya. Dengan kemampuan mengharung air sedalam 800mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 230mm yang mendahului kelasnya. Ia juga direka untuk mengharung laluan paling ekstrem dengan mudah.

    Dilengkapi dengan rangkaian teknologi pintar, ciri-ciri Ranger yang intuitif membuatkan apa jua tugas menjadi semakin mudah. Varian berprestasi tinggi WildTrak menampilkan sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 yang terdiri daripada satu skrin sentuh berwarna bersaiz lapan-inci untuk mengawal telefon, hiburan dan suhu dengan menggunakan sistem arahan suara yang mudah.

    Pada Mei lalu, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar rasmi Ford di Malaysia telah membuat keputusan untuk menaikkan harga jualan bagi model Ranger baharu yang dilancarkan pada Oktober 2015. Walau pun tiada perubahan daripada segi spesifikasi, namun harga baharu ini mengalami peningkatan antara RM800 hingga RM5,300.

    Peningkatan harga yang paling tinggi ialah melibatkan model 3.2L Wildtrak iaitu sebanyak RM5,300 di mana harga terdahulu ialah RM132,188, kini menjadi RM137,488.

    Manakala varian 2.2 XLT MT pula kini berharga RM102,268 (berbanding harga terdahulu RM101,388) dan 2.2 XLT AT pula daripada RM108,788 telah dinaikkan sebanyak RM900 iaitu RM109,688.

    Bagi varian 3.2 XLT MT pula, peningkatan sebanyak RM920 menjadikan harga baharunya RM111,808 (berbanding harga terdahulu RM110,888) dan 3.2 XLT AT pula kini RM119,238 berbanding RM118,388 iaitu naik sebanyak RM850.

    Namun hanya satu varian sahaja yang masih dikekalkan harga jualannya iaitu 2.2L XL iaitu RM91,588.

     
     
  • Hypercar Mercedes-AMG bakal guna enjin F1 sebenar

    mercedes-amg-hypercar-850x446_bm

    Pada Paris Motor Show 2016 yang lalu, Mercedes-AMG menyatakan mereka akan membina sebuah hypercar (jentera yang lebih gila dari supercar) yang akan dilengkapi pelbagai teknologi yang disadur terus dari kereta Formula Satu.

    Menurut laporan CarAdvice, Ketua Eksekutif Mercedes-AMG, Tobias Moers berkata “Kami tidak memperkatakan berkenaan ‘mengambil inspirasi.” Maksud Moers disini, jentera hyper yang dibina untuk jalan raya biasa berkenaan akan menggunakan terus unit janakuasa dari kereta Formula 1 F1 W07 pasukan Mercedes-AMG Petronas iaitu enjin 1.6 liter turbo V6 90-darjah bersama sistem janaan elektrik dan Energy Recovery System (ERS).

    Moers juga menyatakan binaan gentian-karbon adalah “mandatori” dan dijangka sistem aerodinamik aktif juga akan diberikan. Tambah Moers, “kami akan memastikan (enjin F1) tersebut beroperasi sehingga mungkin pada takat 15,000 rpm, dan mungkin kami akan mengurangkannya sedikit untuk kegunaan di jalan raya.” Enjin berkenaan juga dijangka akan ditala untuk menghasilkan kuasa sekitar 1000 hp agar ia boleh bersaing dengan hypercar keluaran Aston Martin dan Red Bull Racing.

    2015-mercedes-amg-f1-petronas-social-media-2

    Ketika ditanya tentang kesesuaian enjin berkenaan digunakan pada kereta produksi jalanan, khususnya ketahanannya serta penggunaan petrol komersial RON98, Moers menjawab “Kami akan melakukan perubahan pada berberapa perkara, tetapi jika anda lihat dengan lebih dekat pada enjin Formula 1 dan keperluannya – apa yang mereka ada sekarang ada dalam buku spesifikasi – dan anda membandingkan beban pada kereta F1 yang kami gunakan untuk berlumba di litar… . bandingkan dengan kereta yang sah di jalan raya yang kami gunakan di mana anda gunakan di litar, sudah pasti ia berbeza tetapi ia tidak jauh.”

    Sistem ERS yang bakal digunakan untuk hypercar ini juga dijangka lebih agresif dan Moers menyatakan “Tugas kami sekarang adalah untuk mempunyai kereta hybrid yang paling efisien pernah dibangunkan”.

    Kereta ini dijangka akan ditampilkan sebagai model konsep pada tahun hadapan sempena ulangtahun ke-50 AMG, dan pembinaannya akan melibatkan pelumba F1 Mercedes-AMG Petronas Lewis Hamilton untuk pembangunan dinamiknya. Hypercar dua tempat duduk yang masih belum mempunyai nama ini akan dibina eksklusif dengan pemanduan sebelah kiri dan Moers menyatakan ia akan dihasilkan tidak lebih dari 300 unit.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Vios 2016 makin progresif – lebih radikal dengan kehadiran ‘jantung’ baharu, VSC

    5d3_2597

    Toyota Vios atau jika ikut sebutan dalam bahasa Jepun ‘Toyota Vu-iosu’ mula diperkenalkan di pasaran dunia khususnya Asia Pasifik, sejak tahun 2002. Ia adalah menggantikan model Tercel atau pun lebih dikenali sebagai Soluna di pasaran Thailand, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

    Diletakkan di bawah segmen-B, nama Vios yang diambil dari bahasa Latin yang bermaksud “to move forward” ini ternyata meledak di pasaran Malaysia. Ia seakan menjadi antara model kereta kegemaran bagi golongan pertengahan terutamanya yang berusia akhir 20an hingga 50an. Selain model pesaing terdekatnya iaitu Honda City, Vios turut memiliki kelompok peminatnya yang tersendiri.

    Cuba perhatikan di jalan raya di seluruh Malaysia, memang Vios kelihatan di mana-mana. Popularitinya boleh dikatakan hampir sama dengan ‘abang sadonya’ iaitu Hilux, walau dalam kategori yang berlainan.

    Walau pun dahulunya, ada mulut-mulut yang mengatakan bahawa Vios kurang sesuai untuk generasi muda kerana memiliki rekaan yang agak skema. Malah ada juga yang mengaitkannya dengan rupa ikan dugong. Namun selepas kelahiran generasi ketiganya pada tahun 2013, gelaran ‘dugong’ itu mula lenyap, bagai telah lapuk ditelan zaman.

    Model pertama bagi Vios generasi ketiga yang dilancarkan di Malaysia pada 2 Oktober 2013 hadir dengan rekaan yang lebih dinamik. Gabungan imej ranggi dan sporty cukup membantu menyerlahkan lagi paras rupa model ini. Malah secara tidak langsung memberikan impak yang jauh berbeza berbanding adik-beradik Vios yang terdahulu.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Mitsubishi dahului indeks kepuasan pengguna di Malaysia tahun ini; perkembangan positif – JD Power

    2016-jd-power-slide-5-bm-e1475811282987-850x587

    Diasak oleh suasana ekonomi yang tidak menyebelahi pasaran sebelum ini, industri automotif – atau setidak-tidaknya angka jualan kenderaan – bagi beberapa bulan kebelakangan ini sedikit memberi harapan.

    Seperkara lagi yang turut menampakkan perkembangan positif bagi industri berkenaan dapat dilihat daripada kajian Indeks Kepuasan Jualan 2016 di Malaysia (Sales Satisfaction Index; SSI) yang dikeluarkan oleh JD Power, hari ini.

    Kajian berkenaan mendapati, dengan jumlah jualan yang menurun jika dibandingkan tempoh sama dari tahun ke tahun, industri automotif tempatan kini memberikan tumpuan terhadap penambahbaikan pengelaman pembelian untuk pelanggan mereka.

    Ini dapat dilihat daripada peninkatan di dalam pencapaian kepuasan jualan keseluruhan – 789 daripada 1,000 mata – dengan 37 mata peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Kajian ini juga memberi petunjuk bahawa pengenalan model-model baharu memberikan kepuasan yang lebih tinggi kepada pemiliknya berbanding mereka yang membeli model-model sedia ada; mencatatkan 804 mata berbanding 787 mata.

    2016-jd-power-slide-4-bm-850x432

    Dari segi jenama, Mitsubishi menggungguli kedudukan teratas kajian ini, dengan perolehan mata yang hampir sempurna bagi semua kategori yang dinilai. Antaranya ialah dari segi kepuasan pelanggan, usaha jualan, pengedaran, tawaran, jurujual serta jangka masa serahan dan proses yang terlibat.

    Mengikuti rapat di belakang Mitsubishi adalah Mazda, dengan Nissan ditempat ketiga sementara jenama tempatan, Perodua mendahului Proton ditempat ke enam. Berdasarkan kaji selidik berkenaan, 92% pelanggan dilaporkan melalui proses pembelian tanpa sebarang masalah, mewakili 11% peningkatan berbanding tahun 2015.

    94% pembeli kenderaan pula mengatakan bahawa jurujual lebih memberi penumpuan di dalam memberikan penjelasan terperinci terhadap ciri-ciri dan kelebihan kenderaan yang dijual. “Keriuhan yang terhasil daripada pengenalan model-model baharu ternyata menarik perhatian pengguna untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan berkunjung ke bilik pameran,” ujar Naib Presiden Serantau JD Power, Mohit Arora.

     
     
  • Renault Captur ditawarkan dengan rebat hingga RM8k

    renault-captur-campaign-bm-06

    Pengedar sah kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) hari ini melancarkan kempen terbaharu bagi model SUV crossover Renault Captur. Bagi pelanggan yang membuat pembelian bagi model berkenaan sepanjang Oktober ini, mereka akan menerima rebat sehingga RM8,000.

    Tawaran yang sah hingga 31 Oktober ini turut akan disertakan dengan pakej khidmat penyelengaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km (yang mana dahulu). Promosi Capture Life, Capture Style, Capture Deals ini hanya bagi pembelian model Captur yang dibuat dalam tempoh yang dinyatakan sahaja.

    Renault Captur dikuasakan oleh enjin turbocaj baharu TCe 120 yang dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan yang mampu menyamai prestasi yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter. Penggunaan minyak yang diberikan adalah cekap; 5.4l/100 km.

    print-adsfa_r2-01-cropped-bm-850x515

    Model ini menjadi antara model utama yang laris dipasaran dunia oleh Renault, dengan hampir 500,000 unit sudah terjual diseluruh dunia dan menjadi SUV kompak paling laris jualannya di Eropah sejak 2013. Bergaya dan sekaligus praktikal, Renault Captur memenuhi keperluan dan kehendak pengguna urban, tertamanya golongan muda.

    Sama seperti semua model Renault yang dijual di Malaysia, Captur didatangkan dengan jaminan lima tahun oleh pengeluar tanpa had perbatuan. Jaminan ini diberikan sepenuhnya oleh Renault dan bukan oleh syarikat-syarikat insurans lain. Ini bermakna, terma dan syarat serta alat ganti yang terangkum di dalamnya adalah konsisten dari tahun pertama pemilikan hinggalah ke penghujung tempoh jaminan.

    Renault Captur dijual pada harga RM117,200 (atas jalan termasuk GST, tanpa insurans; bagi Semenangjung Malaysia dan pendaftaran persendirian sahaja).

     
     
  • Renault mungkin mahu jalin kerjasama dengan Proton

    RENAULT KOLEOS II (HZG) - PHASE 1

    Dalam sidang media selepas majlis pelancaran Proton Saga 2016 pada 28 September lalu, CEO DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar telah mendedahkan pihaknya telah menyenarai pendek lima cadangan daripada syarikat asing yang mahu membeli kepentingan di dalam Proton.

    Menurut Syed Faisal, pihaknya sedang berada di peringkat memahami cadangan strategik yang diusulkan ini sebelum membuat keputusan jumlah pegangan yang boleh dilepaskan oleh DRB-Hicom.

    Baru-baru ini, menerusi temubual bersama Bloomberg TV, Pengerusi Renault bagi Rantau Asia Pasifik, Gilles Normand mengakui pihaknya sedang mengkaji kerjasama dengan Proton bagi meluaskan peluang pertumbuhannya di Asia. Katanya, Renault memiliki penguasaan pasaran yang rendah di Asia Pasifik manakala Proton pula kini sedang membuka ruang kerjasama dengan pengeluar asing, laporan Berita Harian.

    Dalam temubual tersebut, Normand berkata, rakan strategik Renault iaitu Nissan, tidak lama lagi bakal memuktamadkan perjanjian dengan Mitsubishi Motors, dengan tujuan memperkukuhkan lagi kedudukannya di rantau Asia Pasifik. Justeru, menerusi kerjasama tersebut, ia dilihat seakan mampu memberikan NIssan lebih banyak peluang berbanding risiko.

    Jadi, dengan kerjasama yang mungkin terjalin bersama Proton, mampu membantu menguatkan kedudukan Renault di pasaran Asia Pasifik. Namun pelbagai kajian perlu dilakukan bagi memastikan peluang ini lebih memberikan pelbagai perkara positif dan kepentingan bersama kedua-dua belah pihak.

    Selain Suzuki Motors dan Renault SA, Proton turut menyenarai pendekkan lagi tiga calon sebagai rakan strategik berpotensi mereka iaitu Volkswagen AG, Groupe PSA dan Geely. DRB-Hicom turut berharap untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi menjelang tahun depan dan menyelesaikan langkah-langkah ini sekurang-kurangnya pada pertengahan tahun depan.

    Proton yang mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion daripada kerajaan digesa untuk menjadi rakan strategik asing yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

     
     
  • Audi Q7 baharu kini di Malaysia – ditawarkan dengan enjin 2.0 TFSI quattro, harga bermula RM525k

    Static photo  Colour: Tofana White

    Sebelum ini, Audi Q7 dijanakan oleh enjin 3.0 TFSI dengan supercharged V6, yang diperkenalkan di pasaran pada tahun lalu. Terbaru, Audi Malaysia membawa varian baharu Q7 dengan pilihan 2.0 TFSI quattro bersama pacuan semua roda.

    Bagi varian baharu ini, ia dilengkapi enjin 2.0 TFSI empat-silinder dengan suntikan terus bahan api dan pengecas turbo. Ia dipadankan dengan transmisi tiptronic lapan-kelajuan, gabungan tersebut membantu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp dan tork puncak 370 Nm antara 1,600 hingga 4,500 rpm.

    Audi Q7 2.0 TFSI quattro ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dengan hanya 7.1 saat, iaitu 0.8 saat lebih pantas berbanding varian Q7 3.0 TFSi generasi terdahulu. Audi turut mendakwa penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 7.4 liter bagi setiap kilometer dan emisi bagi CO2 pula lebih kurang 172 g/km.

    Ia turut ditawarkan dengan pengendalian yang lebih berdinamik dan penuh karakteristik, sesuai dengan sifatnya sebagai SUV bersaiz besar. Malahan ia turut memiliki ruang dalaman yang luas dalam kelasnya, serta telah dikurangkan beratnya sebanyak 325 kg berbanding generasi sebelumnya. Selain itu, ia turut dibina dengan menggunakan komponen alumnium dan rekaan pelbagai-material pintar bagi memberikan ia lebih ringan tanpa berkompromi soal ketegaran dan kestabilannya.

    Static photo  Colour: Tofana White

    Bagi pengendalian yang lebih dinamik, Q7 2.0 TFSI quattro ini turut dilengkapi dengan suspensi udara adaptif sebagai standard berserta sistem peredam gegelung udara kawalan elektronik boleh laras berterusan bagi memberikan keselesaan pengendalian.

    Selain itu, ia turut dilengkapi pelarasan Auto, Dynamic, Efficiency, Comfort dan Individual sebagai standard, serta mod Allroad dengan ketinggian pengendalian 25 mm yang membolehkan jentera dipacu dalam keadaan apa jua permukaan jalan. Serta mod Lift/Offroad dengan ketinggian maksimum 60 mm. Bukan itu sahaja, gandar belakang juga direndahkan lebih kurang 45 mm bagi menambahkan kebolehcapaian bagi ruang penyimpanan barang di belakang.

    Bagi imej yang ditampilkan, ia lebih kurang sama dengan varian 3.0 liter, kecuali dipadankan dengan roda aloi rekaan jejari-V 19-inci, berbanding 20-inci. Selain itu, ia masih mengekalkan gril bingkai tunggal yang lebar dengan lampu utama LED dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

    Q7 2.0 TFSI quattro ini mampu memuatkan tujuh-penumpang dalam satu masa, turut dilengkapi dengan papan pemuka dua-tona berwarna kelabu perak serta kekemasan berlian, selain roda stereng empat-jejari dengan butang pelbagai-fungsi, pedal penukar gear, sistem infotainmen sentuhan MMI dengan navigasi MMI, kluster instrumen, sistem bunyi dengan sembilan-saluran amplifier dan 10-pembesar suara.

    Dynamic photo  Colour: Tofana White

    Turut ditampilkan tempat duduk hadapan boleh laras secara elektronik dengan sokongan belakang empat-cara, tempat duduk barisan kedua dengan ruang kaki yang besar dan konfigurasi tempat duduk barisan ketiga dengan boleh lipat secara nisbah 50:50 bagi memberikan ruang yang lebih besar pada bahagian kargo dari 770 liter menjadi 1,955 liter.

    SUV ini turut didatangkan dengan sistem start/stop dengan pemulihan tenaga, indikator tekanan tayar, kawalan mendaki bukit, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, EBD< ABS dan lapan beg udara. Ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Glacier White, Floret Silver, Argus Brown, Ink Blue, Graphite Grey, Orca Black dan warna istimewa Daytona Grey dengan efek mutiara.

    Sudah mula dibuka tempahan, Audi Q7 2.9 TFSI quattro yang merupakan model import sepenuhnya (CBU) ini ditawarkan dengan harga bermula RM524,900 tanpa insurans. Ia turut ditawarkan dengan pakej pilihan S line yang lebih sporty dengan bampar hadapan dan belakang, diffuser, roda aluminium 20-inci serta roda stereng S line, tempat duduk sport dan kesemua pakej ini bernilai RM15,000.

    Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai spesifikasi Audi Q7 2.0 TFSI quattro ini, sila layari carbase.my.

     
     
  • Ford keluarkan gambar ‘teaser’ empat trak F-150 buatan khas yang akan dibawa ke pameran SEMA

    ford-f-150-2016-sema-show-04bm

    Ford adalah antara pengeluar terawal yang mengeluarkan teaser bagi kenderaan yang mereka akan bawa ke pameran barangan aftermarket SEMA di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat 1 hingga 4 November ini. Lebih 50 buah kenderaan binaan khas Ford akan dipamerkan tetapi mereka cuba membawa perhatian kepada empat variasi trak F-150 yang diubah suai untuk kegunaan yang berbeza.

    Sudah tentu, bagi sebuah trak pikap, kegunaan lasak adalah antara kelebihannya dan Ford bekerjasama dengan Bojix Design untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang menggunakan enjin V6 3.5 liter EcoBoost dan dinaik taraf dengan unit turbo Borg Warner EFR dan sistem pemasukan udara Full Race untuk prestasi mengujakan.

    F150 berwarna kelabu Nardo dan oren ini juga tampil dengan gaya bersesuaian – dinaikkan sehingga 7 inci, mempunyai lampu Radius 30-, 40- dan 50- inci, penghadang lumpur di bawah enjin dan rim buatan khas.

    Bagi yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa, F150 EraThr3 oleh Hult Customs disiapkan dengan suspensi beg udara yang boleh menjadikan ia duduk rendah dan nampak padat dengan rim 26 inci. Kuasa enjin V8 5.0 liter pada trak ini turut dinaik taraf dengan unit supercas Whipple dan ekzos CGS Performance, menjadikan keseluruhannya berjumlah sehingga 750 hp.

    Seterusnya, adalah versi BMX Lariat SuperCrew yang juga membabitkan penggunaan unit supercas Whipple, tetapi disasarkan kepada penggemar sukan lasak dengan kelengkapan seperti kamera GoPro, rangka basikal Ssquared dan alat ganti basikal Answer. Akhir sekali adalah trak projek oleh A.R.E Accessories yang berwarna emas dan menggunakan asas daripada XLT SuperCab dengan enjin V6 3.6 liter EcoBoost.

     
     
  • GIVI lancar produk baharu di INTERMOT – sudah boleh didapati di Malaysia pada harga bermula RM1,700

    bmw_f700gs-13-16_retro_dlm30a

    Turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan produk baharu semasa pameran motosikal INTERMOT di Jerman adalah pengeluar aksesori dan kelengkapan menunggang, GIVI. Buat pertama kalinya, mereka memperkenalkan tiga produk baharu – dua kotak simpanan yang diletakkan di atas dan sepasang kotak simpanan sisi. Barisan produk ini dikenali sebagai Trekker Dolomiti.

    Semua produk baharu ini menggunakan kemasan akhir aluminium, mempunyai kunci keselamatan, pemegang yang memudahkan pengguna membawanya apabila dicabut dari motosikal dan cangkuk untuk mengikat barang lain di atasnya menggunakan tali getah.

    Bagi kotak simpanan atas, terdapat dua saiz berbeza iaitu 46 liter dan 30 liter namun kedua-duanya boleh bertahan beban sehingga 10 kg. Bagi beg sisi, masing-masing berkapasiti 36 liter, boleh bertahan beban sehingga 10 kg dan mempunyai bukaan ke atas.

    Menurut pengedarnya di Malaysia, Givi Asia Sdn Bhd, produk Trekker Dolomiti sudah boleh didapati di Malaysia pada harga bermula RM1,700 dan anda boleh terus ke ibu pejabatnya di Jalan Ipoh atau menguhubungi pejabatnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025