Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda 2 – harga semua versi pasaran Malaysia kini meningkat, sehingga RM3,180 dari sebelum ini

    2016-Mazda-2-Deep-Crystal-Blue-2_BM

    Harga untuk Mazda 2 di Malaysia telah pun meningkat sehingga RM3,180 untuk semua versi. Ini termasuk model hatchback dan sedan, sama ada dilengkapi dengan lampu hadapan LED atau tidak.

    Mazda 2 standard dengan lampu hadapan halogen reflektor kini dijual pada harga RM87,586, naik RM2,120 dari sebelum ini (RM85,466). Manakala untuk model dengan lampu hadapan LED pula dijual pada harga RM93,946, naik RM3,180 dari sebelum ini (RM90,766).

    Warna badan signatur Mazda – Soul Red masih kekal dengan tambahan RM530, jika pembeli berhajat untuk memilih warna berkenaan. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Namun, ciri-ciri pada model ini masih kekal seperti sebelum ini tanpa sebarang penambahan.


    Klik untuk besarkan

    Mazda juga masih mengekalkan pilihan aksesori pada model 2 ini, dengan Sports Kit (lip bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler belakang) masih kekal dengan harga RM2,300 (sedan) dan RM2,370 (hatchback). Aksesori lain termasuk tip ekzos krom (RM70), boot tray (RM130), scuff plate logam tahan karat dengan lampu LED (RM275) dan sistem navigasi untuk sistem Mazda Connect.

    Setiap pembelian Mazda 2 juga masih dilindungi waranti pengeluar selama tiga-tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dulu) serta pakej servis berkala percuma tiga tahun atau 60,000 km (yang mana sampai dulu).

     
     
  • KL MRT: Penutupan laluan di LDP dan Persiaran Utama pada tengah malam mulai 13 Okt hingga 5 Nov ini

    MRT_Sg_Buloh

    MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd telah memaklumkan laluan di Lebuhraya Damansara-Puchong (Lebuhraya LDP) dan Persiaran Bandar Utama akan ditutup dari 12 tengah malam hingga 6 pagi dari 13 Oktober sehingga 5 November ini bagi kerja-kerja pembinaan Stesen MRT Bandar Utama.

    Ia adalah bagi melancarkan pergerakan kenderaan pembinaan, pemasangan jambatan penghubung dan kerja lain di stesen MRT itu, laporan Bernama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara jalan yang terjejas selama 23 malam itu ialah satu lorong di depan Damansara Utama SS21 (arah Kepong, Persiaran Bandar Utama (kedua-dua hala) dari Dataran Bandar Utama ke susur keluar ke Lebuhraya LDP dan sepanjang Lebuhraya LDP dari persimpangan Sri Pentas ke persimpangan One Utama (New Wing).

    Sepanjang penutupan itu, pengguna jalan raya dari SS2 dan Jalan Damansara yang mahu ke Persiaran Bandar Utama perlu memandu 250m ke depan dan pusing ke kiri ke Persiaran Surian untuk akses ke kawasan Bandar Utama dengan membuat satu lagi pusingan ke kiri di Dataran Bandar Utama.

    Pengguna jalan raya dari Lebuhraya Sprint yang mahu ke Bandar Utama juga perlu terus memandu di Lebuhraya Sprint dan menghala ke One Utama dari jalan masuk selatan.

     
     
  • Skim pembeli kereta kali pertama dalam bajet 2017 – tiada duti eksais untuk kereta pemasangan tempatan

    Perodua_Axia_Bezza-3

    Ini adalah sesuatu yang pasti memberi kesan terhadap industri automotif dan sudah tentu menggembirakan mereka yang ingin membeli kereta buat kali pertama. Menurut laporan oleh Sin Chew Daily, Bajet 2017 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan memasukkan perlepasan cukai terhadap pembeli kereta kali pertama.

    Akhbar harian berbahasa Cina tersebut melaporkan bahawa skim ini adalah untuk generasi muda dalam lingkungan umur tertentu, tetapi tidak terhad kepada pembelian kereta jenama Proton dan Perodua sahaja – kenderaan jenama luar yang dipasang di Malaysia (CKD) juga termasuk dalam skim ini.

    Sumber yang tidak dinamakan dalam laporan tersebut memberitahu bahawa pihak kastam akan menamakan model kenderaan yang akan terlibat dalam skim ini, bersama kapasiti enjin. Walaubagaimanapun, dengan beberapa kenderaan mewah dan prestasi yang semakin banyak menggunakan enjin berkapasiti kecil (tetapi dengan pengecas turbo), ‘had kapasiti’ boleh ditembusi dengan kereta antaranya seperti BMW 318i (1.5L), Mercedes-Benz C180 (1.6L), Volkswagen Jetta (1.4L) dan Peugeot 208 GTi (1.6L). Sudah pasti akan ada lebih banyak tapisan dalam senarai akhir skim ini.

    Laporan tersebut turut menambah bahawa skim ini akan meratakan cukai bagi semua kenderaan pemasangan tempatan, tidak kira sama ada jenama tempatan atau luar. Pada masa ini, semua kenderaan CBU dan CKD dikenakan duti eksais pada tahap berbeza – import CBU, CKD jenama luar dan buatan tempatan. Skim ini bagaimanapun tidak akan memberi manfaat kepada kenderaan import CBU.

    Sekiranya skim ini menjadi kenyataan, pengeluar dan pembeli akan lebih senang hati dan keadaan pasaran yang lemah sekarang akan menerima rangsangan buat sementara, tetapi pakar memberi amaran ia akan mencipta penyelewengan pasaran. Jika tidak dilaksanakan dengan baik, ia juga akan menambah hutang isi rumah rakyat, yang mana sudah berada pada tahap antara yang tertinggi di rantau ini.

    Juga, ledakan sementara seperti ini boleh memberi kesan kepada permintaan masa hadapan kenderaan. Pasaran Thailand sebagai contoh, menguncup secara teruk selepas skim untuk pembeli kali pertama ini tamat pada Disember 2012. Ia dimulakan pada September 2011. Kerajaan Thailand memberi pulangan cukai 100,000 baht kepada pembeli pertama yang memilih kenderaan buatan tempatan pada harga di bawah satu juta baht, dan enjin tidak lebih daripada 1.5 liter.

    Driven_Web_Series_2014_Honda_City_vs_Toyota_Vios_vs_Nissan_Almera_003

    Ini juga bukan pertama kali kita mendengar tentang “skim kereta pertama”. Pada tahun 2014, menteri belia dan sukan, hairy Jamaluddin mencadangkan “Skim Kereta Pertama Belia”, di mana anak muda yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan boleh membeli kenderaan pertama mereka (kereta pemasangan tempatan) tanpa cukai.

    Di sini, kami melakukan kira-kira penjimatan yang boleh didapati melalui skim ini untuk pembeli kenderaan kali pertama dari aspek bayaran bulanan, berdasarkan bayaran muka biasa sebanyak 10% dan kadar faedah 3.5% untuk tempoh tujuh tahun.

    Kita membayar tiga jenis cukai berbeza pada kenderaan – duti import, duti eksais dan GST. Harga di bawah adalah antara di Semenanjung Malaysia dan Langkawi (bebas cukai) untuk beberapa model kenderaan jenama tempatan dan luar (varian asas dan paling tinggi ditunjukkan). Untuk Perodua, ia adalah harga Sabah/Sarawak berbanding harga bebas cukai di Labuan memandangkan kami tidak mempunyai harga P2 Langkawi.

    Dalam keadaan paling sesuai ini, yang membatalkan semua tiga cukai yang ada (versi laporan terkini membuang hanya duti eksais), penjimatan bulanan boleh menjadi antara RM22 hingga RM253. Sudah tentu, penjimatan cukai untuk Honda dan Toyota CKD adalah lebih tinggi daripada untuk Perodua dan juga Proton.

    first-time-car-buyers-incentive-malaysia-850x281bm

    Jadi, adakah langkah ini betul-betul akan memberi kebaikan kepada semua? Juga pernah dilaporkan bahawa langkah sama yang diambil oleh kerajaan Thai telah mengorbankan pendapatan dari cukai sebanyak USD2.5 bilion (RM10.48 bilion), menurut anggaran oleh Bank Dunia.

    Ia juga mengakibatkan lebih 100,000 pelanggan yang masih berhutang bergelut dengan pinjaman yang diberikan kerana mereka tidak mampu untuk membeli kenderaan baru di bawah keadaan normal. Sudah tentu, memiliki kenderaan bukan setakat memerlukan bayaran bulanan, malah juga melibatkan kos lain seperti insurans, minyak dan bayaran meletakkan kenderaan. Itupun hanyalah sebahagian daripadanya.

    Keadaan mungkin akan menjadi hampir sama atau lebih teruk jika skim ini diperkenalkan di Malaysia. Seperti yang ditunjukkan, kita tidak mahu menambahkan hutang (hutang isi rumah adalah berjumlah RM1.03 trilion atau 89.1% daripada GDP dan semakin bertambah) dan memberikan “alasan” kepada mereka yang baru sahaja keluar daripada universiti untuk membeli kenderaan baru mungkin akan memberi kesan buruk kepada keadaan kewangan mereka. Dengan wang simpanan berkurang sebanyak RM1,000 setiap bulan, mereka juga akan semakin sukar untuk memiliki rumah yang harganya juga semakin mahal dan tidak masuk akal.

    Juga, harga kenderaan yang lebih rendah juga tidak bermakna orang muda akan mempunyai duit lebih. Besar kemungkinan ramai yang akan mengambil kesempatan untuk menggunakan bajet yang ada untuk kenderaan yang lebih besar dan mahal (contohnya, daripada memilih Myvi, mereka akan pergi kepada Jazz). Jadi persoalannya, adakah skim pembeli kali pertama ini akan membawa manfaat kepada pasaran yang disasarkan?

     
     
  • VIDEO: ‘Jiwa’ Ayrton Senna dalam Honda NSX NA1

    Honda NSX generasi pertama (NA1) diperkenalkan buat pertama kali kepada umum pada tahun 1989, dan mula menembusi pasaran pada tahun 1990. Pada era tersebut juga, karier lagenda dunia Formula Satu, Ayrton Senna sedang berada di puncak – bergelar juara dunia untuk musim 1988, 1990 dan 1991 dengan memandu untuk pasukan McLaren Honda.

    Jadi, apa kaitan Senna dengan NSX? NSX dibina dengan kerangka dan panel badan aluminium sepenuhnya, dilengkapi dengan enjin 3.0 liter V6 DOHC VTEC berkuasa 270 hp dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan manual yang diletakkan pada bahagian tengah kereta berkenaan. Ia juga menggunakan sistem suspensi Double Wishbone yang diinspirasikan dari teknologi Formula 1.

    Pada peringkat akhir pembangunan NSX, Honda meminta Ayrton Senna menguji sendiri jentera tersebut untuk mendapatkan maklum balasnya, dan hasilnya, talaan akhir pada NSX versi produksi merupakan talaan yang memenuhi sepenuhnya kehendak corak pemanduan Senna. Secara tidak langsung, NSX generasi pertama berkenaan ‘hidup’ dengan ‘jiwa’ Ayrton Senna di dalamnya.

    Video yang disiarkan diatas merupakan video yang dihasilkan oleh Robbert Albas, menampilkan NSX NA1 berwarna merah dipadankan bersama rim aloi forged Desmond Regamaster Evo, dengan paparan aksi-aksi serta bait-bait ayat yang pernah dilontarkan oleh Senna, untuk memperingati beliau sebagai lagenda Formula Satu. Ia turut diselang-selikan dengan aksi NSX berkenaan di jalan raya bersama ngauman VTEC DOHC V6 yang begitu mengujakan.

    Senna turut dijemput untuk menguji NSX Type-R (video di bawah, yang turut memperlihatkan kemahiran memandu Senna yang sangat lancar dan mengkagumkan) yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1992 setelah jentera berkenaan siap sepenuhnya. Selain itu, Senna juga dilihat sebagai ikon Honda ketika dijemput untuk memandu uji Honda Civic dan CRX SiR (video paling bawah), di mana kedua-dua jentera tersebut turut diberikan suspensi Double Wishbone dan enjin 1.6 liter B16A DOHC VTEC.

    NSX generasi pertama kemudiannya hadir dengan enjin V6 lebih besar berkapasiti 3.2 liter berkuasa 290 hp dan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan pada tahun 1997. Versi facelift terakhir NSX generasi pertama ini hadir pada tahun 2002 (dikenali dengan kod casis NA2) dan pengeluarannya ditamatkan sepenuhnya pada tahun 2005, sebelum model generasi kedua muncul dalam pasaran secara rasmi pada tahun ini.

    GALERI: Honda NSX generasi kedua di Tokyo 2015

     
     
  • Mazda 2 dikemaskini muncul dalam risalah di Jepun

    mazda-2-facelift-brochure-feat

    Jika berdasarkan risalah terbaharu yang dikeluarkan di Jepun seperti dilaporkan oleh CarDrive, nampaknya sudah sampai masa model Mazda 2 yang dipertingkatkan diperkenalkan. Apa pun, seperti yang dapat dilihat daripada imej yang tersebar ini, tidak terlalu banyak perubahan ketara yang kelihatan.

    Dari sudut luaran, semuanya kekal seperti versi sebelumnya, kecuali kemasan perincian pada bahagian lampu kabus. Kini, ia hadir dalam kemasan warna perak berbanding warna hitam. Perubahan yang lebih jelas bagaimanapun dilakukan di bahagian dalam, antaranya dengan penggunaan stereng tiga jejari seperti yang ada pada CX-9 dan Mazda 3 facelift sebelum ini.

    Selebihnya, perincian pada kemasan tempat duduk yang dikenali dengan nama “Demio Tailored Brown” digunakan. Pada bahagian papan pemuka, ciri yang ada pada versi sebelum ini masih lagi sama; skrin sentuh 7 inci dan tombol Commander Control masih dikekalkan.

    Selain itu, khabarnya terdapat dua lagi peningkatan yang dilakukan; warna badan bagi varian paling tinggu kini termasuk Machine Grey, serta termasuk juga ciri baharu G-Vectoring Control. Maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja model berkenaan diperkenalkan secara rasmi kelak.

     
     
  • Proton Saga Aeroback – imej render bayangan

    saga-wagon-theo-1_bm

    Proton Saga generasi pertama yang dilancarkan pada tahun 1985 hadir dengan bentuk badan sedan empat pintu, dan tiga tahun selepas itu, Proton menawarkan pula Saga Aeroback, model istimewa dengan bahagian but lebih pendek, tiang-C lebih landai tetapi dipadankan dengan pintu tailgate tambahan, menjadikan ia sebuah model dengan lima pintu secara keseluruhan.

    Selain dari bentuknya yang kelihatan lebih sporty – lebih-lebih lagi model Saga Knight dengan warna badan hitam, spoiler belakang getah bersaiz besar dan pelekat jalur oren-merah-kelabu serta lencana Knight pada cermin belakang – bentuk badan istimewa berkenaan direka khas oleh Proton, dan tiada dalam barisan model Lancer Fiore iaitu model asas binaan Saga.

    Agaknya, bagaimana pula jika Saga generasi terbaharu ditawarkan juga dalam versi Aeroback? Pakar render residen kami, Theophilus Chin, menterjemahkannya dalam bentuk imej render bayangannya, bagaimana rupa Saga Aeroback generasi baharu sekiranya Proton berhajat membawanya kembali ke pasaran.

    Theo memberikan tiang-C, tiang-D, cermin tambahan belakang serta pintu tailgate yang diinspirasikan dari wagon Skoda Rapid Spaceback kepada Saga ini. Lampu belakangnya pula direka dengan bentuk seakan lampu belakang Kia Rio lima pintu generasi pertama. Rekaan kemasan bawah bampar belakang diambil dari Saga sedan, tetapi lampu kabus tunggal pada bahagian tengah telah digantikan dengan sepasang lampu kabus di kedua-dua sisi bampar.

    Akhir sekali, bumbung Saga Aeroback ini diberikan warna hitam serta diberikan spoiler pada bahagian atas pintu tailgate untuk melengkapkan rupa keseluruhannya.

    Theo turut menyatakan, rekaan ini “tidak mungkin muncul untuk pasaran Malaysia”, berdasarkan trend permintaan oleh pembeli kenderaan di Malaysia. Namun, sebelum ini pernah didedahkan, Proton ada membina prototaip wagon yang diasaskan dari model Saga BLM.

    Menurut sumber dalaman Proton, model prototaip wagon ini adalah sebagai kajian permulaan, namun buat masa ini, ia tidak ada dalam perancangan untuk dibangunkan. “Proton sudah memiliki terlampau banyak model, jadi kena merasionalisasikannnya. Lagi pun Proton tidak pernah membuat sebarang pengumuman untuk varian ini (wagon),” ujar sumber terbabit.

    Sebagai pengguna pula, adakah anda akan memilih model ini sekiranya ia benar-benar dipasarkan?

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

     
     
  • 5 asas menunggang dalam litar bersama pelumba MSS dan pelatih BMW Motorrad Malaysia, Nasarudin Yusop

    nasa-52-1

    Bagusnya sekarang ini, sudah semakin banyak sesi di dalam litar diadakan dan ia mendapat sambutan baik pemilik motosikal, terutamanya jenis sports. Sudah tentu, apabila anda mempunyai sebuah motosikal sports, litar adalah tempat terbaik untuk menikmatinya dan dalam persekitaran yang lebih selamat.

    Penulis berpeluang menyertai sesi ringkas untuk wakil media semasa BMW Motorrad Track Day dan mencuba beberapa model semasa BMW seperti S1000RR dan S1000XR. Pada hari itu juga, terdapat beberapa orang pelatih berpengalaman dan penulis mendekati Nasarudin Yusop (Nasa 52) yang namanya bukan asing lagi dalam perlumbaan litar tempatan termasuk Malaysian Super Series (MSS).

    Tunggangan di dalam litar memerlukan banyak persiapan dan cara, tetapi di sini kami kongsikan 5 yang asas dan sekurang-kurangnya ia dapat memberi panduan kepada mereka yang masih lagi baru.

    Pastikan diri dan motosikal bersedia

    Persiapan ini dilakukan sebelum anda memasuki litar. Untuk diri penunggang, pastikan kesihatan serta stamina bagus manakala motosikal pula perlu berada dalam keadaan terbaik dan telah diperiksa secara teliti. Anda tidak mahu setelah membayar untuk sesi penuh, anda hanya mampu melakukan beberapa pusingan sahaja disebabkan sama ada terlalu penat ataupun motosikal mengalami masalah. Lebih teruk jika ada pula sesuatu yang tidak diingini berlaku.

    Kelengkapan menunggang untuk litar

    Apabila berada dalam litar, keselamatan adalah perkara penting walaupun masing-masing memerah jentera sehabis mungkin. Oleh itu, kelengkapan yang terbaik diperlukan termasuk helmet fullface (bukan jenis open face atau flip-up), sut penuh (berserta slider di lutut), sarung tangan panjang dan kasut jenis lumba (bukan touring atau street).

    ‘Race Line’

    Mereka yang ingin laju dan selamat perlu tahu tentang ‘race line’. Asasnya, mengambil selekoh dari bahagian luar, masuk ke dalam ‘apex’ dan membuka kembali laluan seluas mungkin supaya dapat mencapai kelajuan lebih tinggi. Jika masih belum biasa, anda boleh melakukan kajian terlebih dahulu berkenaan litar tersebut dengan melihat bentuknya dan video yang banyak terdapat di dalam internet.

    Kedudukan badan

    Secara asasnya, terdapat dua kedudukan badan yang penting iaitu semasa di jalan lurus dan mengambil selekoh. Di jalan lurus, penunggang harus tunduk dan meletakkan dagu helmet rapat ke tangki, kedua-dua peha mengepit tangki manakala kaki pula ditempatkan pada kedudukan dengan batang peletak tersebut berada di tengah tapak kaki.

    Semasa mengambil selekoh pula, hanya separuh bahagian punggung diletakkan di atas tempat duduk, badan direndahkan, kaki bahagian dalam seperti menjengket di atas tempat peletak kaki dan kepala menoleh sambil melihat ke arah yang mahu dituju. Walaupun bergantung kepada keselesaan masing-masing, Nasa selesa meletakkan satu jari bersedia di tuil brek dan klac. (rujuk gambar selebihnya dalam galeri di bawah)

    Membrek

    Barang bahagian brek motosikal mungkin berbeza mengikut model. Oleh itu, anda harus tahu tahap membrek motosikal yang ditunggang; sama ada masih boleh membrek pada jarak 200 m, 150 m atau 100 m sebelum selekoh. Lagi lambat anda membrek, lagi pantas masa keseluruhan setiap pusingan yang boleh dicatat. Ia perlu dilakukan semasa motosikal masih tegak sebelum memasuki selekoh dan bagi yang lebih berpengalaman, mungkin masih boleh mengawalnya semasa sudah mula condong. Brek hadapan memainkan peranan penting sementara untuk brek belakang, bergantung kepada penunggang. Ada yang tidak menggunakannya langsung dan ada yang menggunakan sedikit brek belakang bagi menstabilkan motosikal.

    Akhir sekali, Nasa memberitahu, jangan pedulikan jika ada orang yang memberitahu pengalaman di dalam litar tidak penting. Sebaliknya, ia adalah sangat penting bagi setiap penunggang sebagai tempat berlatih cara yang betul dan selamat, seterusnya dipraktikkan di atas jalan raya biasa.

    Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna anda perlu menggesek lutut setiap kali selekoh di atas jalan raya biasa dan harus diingat, jalan biasa dikongsi bersama ramai lagi pengguna, bukan tempat berlumba dan mempunyai ancaman lebih bahaya. Tempat terbaik untuk menikmati prestasi maksimum motosikal tetap adalah di dalam litar.

    Diharapkan juga, pengendali litar dapat menawarkan harga yang lebih mudah diterima bagi kebanyakan golongan kerana ramai yang memberi alasan sesi di dalam litar adalah terlalu mahal dan memerlukan kos tinggi.

     
     
  • Pengusaha yang tidak memasang GPS bakal hadapi masalah untuk memperbaharui permit bas ekspres

    express-bus-coach-1

    Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memberi amaran untuk semua pengusaha bas ekspres supaya memastikan bas masing-masing dipasang dengan alat Sistem Pengesanan Global (GPS) dalam usaha memastikan pemanduan yang selamat.

    Menurut Ketua (SPAD) Wilayah Timur, Mohd Tamizi Shafiin dalam laporan Bernama berkata walaupun telah banyak bas ekspres dipasang dengan GPS sejak ia dikuatkuasakan pada 2013, namun dipercayai masih terdapat bas ekspres yang tidak dipasang dengan alat berkenaan.

    “Mereka wajib pasang GPS sekiranya tiada, ia akan mempengaruhui proses pembaharuan permit bas terbabit,” katanya dan menyatakan kira-kira 200 buah bas ekspres beroperasi di Pantai Timur yang membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan pelbagai laluan utama setiap hari.

    “Operasi mereka perlu dipantau termasuk dari aspek kaedah pemanduan selamat, kelajuan sesebuah bas, layanan berhemah dan tidak melencong daripada laluan yang ditetapkan, ini semua bagi memastikan keselamatan penumpang,” katanya.

     
     
  • Chevrolet Colorado facelift untuk Malaysia didedahkan dengan spesifikasi sebelum dilancarkan secara rasmi

    chevrolet-colorado-facelift-bm-02a

    Bakal dilancarkan secara rasmi pada 18 Oktober nanti, Naza Quest Sdn Bhd selaku pengimport tunggal dan pengedar kenderaan Chevrolet di Malaysia mendedahkan buat pertama kali perincian bagi Chevrolet Colorado facelift dalam sesi pandu uji media yang berlangsung hari ini.

    4 Oktober lalu, Naza Quest turut mengumumkan tempahan bagi model berkenaan sudah mula dibuka kepada orang ramai, dengan harga jualannya bermula dari RM95,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Sebagai tambahan, pelanggan yang membuat 100 tempahan pertama akan turut menerima khidmat servis dengan tenaga buruh dan alat ganti percuma selama tiga tahun (tertakluk kepada terma dan syarat).

    Melalui pendedahan hari ini, spesifikasi yang ditawarkan bagi Chevrolet Colorado terbaharu ini juga sedikit-sebanyak sudah dapat dipastikan. Trak pikap ini akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 2.8L Duramax empat silinder turbodiesel dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) dan 2.5L Duramax empat silinder turbodiesel (VGT) kecuali bagi varian paling asas dengan transmisi manual. Kedua-duanya telah diberikan peningkatan dari segi prestasi dan penggunaan petrol.

    Bagi enjin 2.8L, ia kini menawarkan kuasa sebanyak 193 hp dengan tork 500 Nm. Bagi versi 2.5L pula, ia kini menjana 180 hp dan 440 Nm tork. Lima varian ditawarkan keseluruhannya; bagi 2.5L, ia terdiri daripada varian LT (dengan transmisi manual), LT (AT) dan LTZ (AT). Bagi 2.8L pula, hanya ada dua varian; LTZ (AT) dan High Country.

    chevrolet-colorado-facelift-bm-26

    Dari segi penggayaan luaran, Chevrolet Colorado baharu ini menampilkan imej yang lebih gagah. Wajah bahagian depan yang nampak kukuh antara lain disumbangkan oleh rekaan hudnya. Ini dilengkapi pula dengan ciri lampu utama automatik dengan lampu nyalaan siang LED dan sistem Follow Me Home, Sports Bar baharu, rim aloi dan kemasan krom pada pemegang pintu memberikan kelainan padanya.

    Trak pikap ini juga kini turut dilengkapi dengan ciri Remote Engine Start. Ia membolehkan enjinnya dihidupkan melalui kawalan jauh agar sistem penghawa dingin dapat berfungsi untuk menyejukkan kabin terlebih dahulu dalam keadaan pintu masih kekal terkunci sepenuhnya.

    Turut menjadi ciri standard bagi semua varian Colorado ini ialah Chevrolet MyLink dengan paparan skrin sentuh serta capaian Bluetooth serta aplikasi Apple Carplay; yang pertama bagi segmennya. Ia membolehkan pengguna telefon pintar Apple memaparkan versi ringkas skrin telefon mereka pada skrin sentuh kederaan ini. Ia juga melibatkan ciri Siri Eyes Free dan perisian pengecaman suara untuk menerima input daripada pengguna.

    Kecuali varian dengan transmisi manual, pengenalan ciri Electric Power Steering (EPS) menjadi satu lagi kelebihan bagi Colorado; kendalian stereng lebih ringan dalam kelajuan rendah dan semakin berat ketika kelajuan bertambah. Ia juga memberikan maklumbalas yang lebih peka. Untuk memudahkan pemandu, Colorado ini juga dilengkapi dengan sensor Park Assist di bahagian depan dan belakang, berserta kamera undur.

    Comfort Closing Window pula menjadi satu ciri yang akan membuatkan cermin tingkap turut sedikit ketika pintu dibuka atau dikunci. Ini bagi mengelakkan terhasilnya ruang vakum dan membolehkan pintu ditutup dengan mudah dan lembut.

    Dari sudut keselamatan, Chevrolet Colorado baharu ini menerima penarafan lima bintang bagi ANCAP dan ASEAN NCAP. Antara ciri keselamatan aktif yang melengkapinya ialah (bergantung kepada varian tertentu):

    Beg udara bahagian depan termasuk beg udara bagi lutut pemandu, Traction Control System (TCS), Anti-lock Braking System (ABS), Panic Brake Assist (PBA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Stability Control (ESC), Hill Descent Control (HDC), Hill Start Assist (HSA), Anti-Rolling Protection dan Trailer Sway Control.

    Perincian lengkap berkaitan penawaran Chevrolet Colorado facelift ini akan dimaklumkan pada majlis pelancaran rasminya nanti.

     
     
  • Proton Saga-4k unit ditempah, 500 unit diserahkan; Proton Persona-14k unit ditempah, 2k unit diserahkan

    protonsaga_bm_premium_ext-4

    Pengeluar automotif nasional – Proton kini dilihat berada dalam landasan pemulihannya. Proton Saga yang baharu sahaja dilancarkan dua minggu lalu kini sudah pun mendapat tempahan sebanyak 4,000 unit, dan 500 unit daripadanya telah diserahkan pada pelanggan. Manakala untuk sedan segmen-B Proton Persona yang dilancarkan akhir Ogos lalu kini telah menerima 14,000 unit tempahan di mana 4,000 unit sudah pun sampai ke tangan pelanggan.

    Setakat ini, angka-angka yang dicatatkan ini dilihat mencapai sasaran yang diumumkan Proton sebelum ini di mana Saga dijangka bakal dijual sebanyak 5,000 unit sebulan, manakala Persona pula disasarkan dapat dijual sebanyak 3,000 hingga 4,000 unit sebulan.

    Proton telah menyusun semula strategi mereka tahun ini untuk memulihkan kembali prestasi mereka dengan pelan untuk melancarkan empat model baharu. Setakat ini, tiga model telah dilancarkan bermula dengan sedan premium segmen-D Proton Perdana, sedan segmen-B Proton Persona dan diikuti dengan sedan segmen-A Proton Saga. Dalam masa terdekat, Proton dijangka akan melancarkan pula MPV segmen-B yang diasaskan dari Suzuki Ertiga.

    Proton_Persona_Premium_Ext-3

    Proton juga telah menyusun semula pasaran modelnya agar tidak membunuh sesama sendiri di mana Proton Saga kini hanya ditawarkan dengan pilihan enjin 1.3 liter VVT dan Persona hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 liter VVT. Kedua-dua model ini tampil dengan tiga varian bagi memberikan pilihan lebih luas untuk bajet pengguna, di mana varian paling asas diberikan pilihan transmisi manual dan CVT, sementara varian lebih tinggi hanya diberikan transmisi CVT.

    Kami sudah pun menguji Persona 2016 di litar ujian Proton dan juga sesi pandu uji media ke Kuantan, manakala untuk Saga pula, kami telah pun mengujinya pada sesi pandu uji prebiu di litar ujian Proton. Anda juga boleh menyemak spesifikasi terperinci Persona baharu di sini dan Saga 2016 di sini. Bagi mereka yang berminat tentang perincian pembelian model-model baharu Proton ini pula, anda boleh menyemaknya dengan mengunjungi Carbase.my.

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT dengan kit badan

     
     
  • BMW keluarkan model ‘bagger’ K1600B di Amerika

    2017-bmw-motorrad-k1600-b-10-e1476146826277-850x586bm

    Sesetengah pasaran mempunyai kemahuan yang unik dan jika permintaannya cukup tinggi, pengeluar akan menghasilkan model yang bersesuaian. Di Amerika Syarikat model bagger cukup terkenal dan BMW tidak mahu ketinggalan, seterusnya memperkenalkan model khas K1600B.

    Asas motosikal ini adalah dari model K1600 GT, menggunakan enjin enam silinder berkemampuan 160 hp dan 175 Nm tork. Cuma, ia dijadikan sebuah bagger untuk pasaran Amerika Syarikat dengan kedudukan yang rendah, kedudukan menunggang santai dan beg sisi yang mengikut bentuk belakang motosikal tersebut.

    Beg sisi ini, mempunyai penutup yang lebih nipis bagi mendapatkan ruang dalam yang luas dan ia dilengkapi dengan lampu LED supaya mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain di belakangnya. Sementara itu, penghadang lumpur yang menyembunyikan tayar pula boleh dilipat ke atas bagi memudahkan tayar dibawa keluar apabila perlu.

    BMW turut melengkapkan motosikal ini dengan suspensi semi aktif Dynamic ESA oleh BMW Motorrad sendiri, yang datang dengan penyerapan automatik. Penunggang boleh memilih antara mod ‘Road’ atau ‘Cruise’ bagi menyesuaikan hentakan suspensi dengan jenis tunggangan yang dimahukan.

    Berat keseluruhan motosikal ini masih belum disiarkan oleh BMW tetapi ia kelihatan seperti tidak jauh beza dengan K1600 GT yang mencatat 319 kg. Jadi, keputusan untuk meletakkan gear undur pada motosikal ini sememangnya berguna.

    BMW K1600 B turut didatangkan dengan pelbagai aksesori dan antaranya termasuk penghadang udara hadapan yang boleh dikawal secara elektronik dan quickshifter, yang dipanggil oleh BMW sebagai Shift Assist Pro. Barangan lain adalah seperti tempat letak kaki berserta tuil pengawal yang lebih ke hadapan dan tempat letak kaki yang lebih selesa bagi penumpang.

    Masih belum ada harga untuk K1600 B tetapi jika di Malaysia, K1600 GT dijual pada harga RM159,900, sementara GTL dan GTL Exclusive pula masing-masing RM167,900 dan RM185,900 termasuk GST.

     
     
  • Michelin ganti Pilot Super Sport dengan Pilot Sport 4 S

    michelin-pilot-sport-4-s-zoom-vue-45-avec-jante-fond-blanc_bm

    Pada Paris Motor Show 2016 lalu, Michelin telah mengumumkan tayar berprestasi-ultra paling tinggi dalam barisan produknya – Pilot Super Sport – akan digantikan dengan siri tayar baharu yang diberi nama Pilot Sport 4. Michelin Pilot Sport 4 akan berada di pasaran Eropah bermula Januari 2017 dan di Amerika Syarikat bermula Mac, ditawarkan dalam 34 saiz, dari diameter rim 19-inci hingga 20-inci.

    Sama seperti Pilot Super Sport, siri tayar baharu ini turut akan digunakan pada kereta sport dan sedan berprestasi tinggi seperti BMW M, Ferrari, Mercedes-AMG dan Porsche. Di reka untuk meningkatkan ketepatan stereng dan kestabilan ketika menukar arah, Pilot Super Sport 4 dikatakan akan memberikan prestasi maksimum dan keselamatan diatas semua permukaan, dengan bunga tayar yang telah dioptimakan.

    Dengan teknologi dwi-kompaun, prestasi membrek pada keadaan kering dan basah kini dipertingkatkan. Kompoun hibrid pada bunga bahagian luar meningkatkan cengkaman pada permukaan kering, manakala pada bunga bahagian dalam yang dibina menggunakan kompaun dengan silika dan elastomer memberikan cengkaman yang konsisten pada permukaan basah. Tayar Pilot Sport 4 S ini merupakan antara tayar pertama yang mendapat markah yang diklasifikasikan dalam kelas A pada skala label Eropah dalam brek ketika basah.

    michelin-pilot-sport-4-s-longevity_bm

    Menerusi ujian yang dilakukan organisasi bebas TÜV SÜD di Jerman, Pilot Sport 4 S mendahului pencabarnya seperti Continental SportContact 6, Bridgestone Potenza S001, Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3, Dunlop Sport Maxx RT 2 dan Pirelli P Zero Nero GT dalam empat faktor utama, termasuk brek ketika kering dan basah dan lap terpantas. Pilot 4 S juga merupakan tayar yang mendahului aspek ketahanan di mana ia satu-satunya tayar yang melepasi ujian 50,000 km di Pusat Ujian Dekra.

    Seperti juga tayar berprestasi-ultra Michelin yang lain, Pilot Sport 4 turut dibina dengan Premium Touch Technology dari Michelin, dengan kemasan akhir seperti baldu pada bahagian sidewall. Tayar ini juga direka dengan pelindung rim yang membantu mengelakkan kerosakan rim berdiameter besar dari rosak jika terlanggar lubang dan bendul.

     
     
  • Naza serah ganjaran buat atlet paralimpik Rio 2016

    Naza Corporation Holdings telah memberi ganjaran kepada empat atlet Malaysia yang memenangi pingat emas dan gangsa di Sukan Paralimpik Rio 2016. Di mana atlet paralimpik negara yang berjaya membawa pulang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Mohamed Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, masing-masing menerima unit suite kediaman di Trion 888, Equine Park dan Kia Sportage baharu.

    Manakala Siti Noor Radiah Ismail yang memenangi pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 pula dihadiahkan seunit Kia Rio Sedan.

    “Untuk prestasi yang luar biasa dan memecah rekod mereka di Paralimpik Rio 2016, juara-juara ini layak untuk diiktiraf dan diberikan ganjaran dengan suite kediaman di Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 sebagai tambahan kepada Kia Sportage baharu bernilai RM121,888 dan Kia Rio Sedan bernilai RM72,888 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1.5 juta,” kata SM Nasarudin SM Nasimuddin, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings.

    Sambungnya lagi, “Kami juga turut memberikan ganjaran kepada ketiga-tiga jurulatih Paralimpik, Jaganathan Ramasamy, Mohd Faizol Bin Harun dan Mohd Syahrul Amri Bin Mohd Suhaimi di atas usaha dan dedikasi mereka yang melatih atlit paralimpik sehingga menjadi seorang juara.”

    Dengan pencapaian ini di Rio, SM Nasarudin berharap kejayaan ini dapat dilakukan di Sukan Paralimpik di Tokyo 2020. “Saya amat gembira dan berbangga kerana kejayaan ini merupakan kejayaan yang terbesar di dalam sejarah sukan para negara. Sebagai wakil Naza dan juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, perasaan bangga yang saya rasai amat berlainan sekali kerana saya diberi peluang untuk memberi penghargaan kepada individu-individu yang menakjubkan.”

    Naza Corporation Holdings sebelum ini telah menaja pertandingan terbesar di peringkat antarabangsa dalam skuasy wanita, Kejohanan Skuasy Naza-PSA Dunia Wanita. Mereka juga akan menjadi penaja platinum untuk Sukan Kuala Lumpur 2017 yang akan datang.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Mustang Convertible facelift 2018

    2017-ford-mustang-convertible-spy-2_bm

    Untuk pasaran Malaysia, kita baharu sahaja menerima Ford Mustang S550 yang dilancarkan pada Jun lalu. Hakikatnya, untuk pasaran global, Mustang generasi keenam ini sudah pun berada dalam pasaran hampir tiga tahun, selepas didedahkan pada penghujung tahun 2013. Oleh itu, pembangunan untuk versi facelift model ini dilaporkan sedang dijalankan, dan bakal membuat kemunculan sulungnya sama ada pada Los Angeles Auto Show bulan hadapan, atau di Detroit Januari nanti, serta dijangka menembusi pasaran pada tahun hadapan sebagai model tahun 2018.

    Jururgambar risikan kami telah pun mendapat imej Mustang facelift ini yang sedang diuji dijalan raya, dan yang terbaharu dari versi convertible, dikesan sedang diuji di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat. Unit yang sedang diuji ini mengenakan penyamaran yang agak berat, menandakan mungkin tidak banyak perubahan yang dilakukan pada bahagian luaran, tetapi bentuk pada gril hadapan berkemungkinan akan dirombak semula.

    Rekaan pada bahagian luaran juga dikhabarkan tidak akan mengalami perubahan kepada bentuk lebih radikal. Edisi istimewa juga akan ditawarkan dan pilihan pakej kemasan lebih banyak turut akan diberi kepada pelanggan. Kebanyakkan rombakan besar akan dilakukan pada bahagian mekanikal model ini.

    2017-ford-mustang-convertible-spy-11_bm

    Model facelift ini dikhabarkan akan menerima kotak gear 10R80 automatik 10-kelajuan dari Ford, menggantikan kotak gear 6R80 enam kelajuan dari ZF yang digunakan pada model sedia ada. Transmisi baharu ini merupakan hasil usahasama dengan GM, di mana model dari GM seperti Chevrolet Camaro sudahpun mula menggunakannya. Kotak gear enam-kelajuan Getrag MT-82 berkemungkinan akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan.

    Sebelum ini dinyatakan kotak gear baharu ini belum lagi disahkan sama ada akan digunakan atau tidak bagi pasaran Eropah, tetapi dilaporkan ia akan dipadankan pada model pasaran benua berkenaan berberapa bulan kemudian. Setakat ini, model Cyclone 3.7 liter V6 masih lagi belum dipasarkan di Eropah (dan pasaran lain seperti Malaysia) yang diletakkan diantara model paling rendah 2.3 liter EcoBoost dan model tertinggi Cayote 5.0 liter V8.

    Untuk pasaran Malaysia, Mustang 2.3 liter EcoBoost dijual pada harga RM489k manakala untuk model GT 5.0 liter V8 pula dijual pada harga RM599k.

     
     
  • Nissan perkenal peranti perakam video DVR baharu

    02-nissan-almera-with-dvr-recorder-bm

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) kini memperkenalkan perkam video pemanduan (DVR) baharu yang boleh diperolehi bagi semua model keluarannya. Mudah digunakan, ia memaparkan visual sudat pandangan 150 darjah melalui lensa enam lapisan.

    Dengan kemampuan kualiti rakaman video HD 1296 piksel, sensor yang digunakan juga membolehkan rakaman dalam keadaan yang malap tetap boleh dilihat dengan jelas. Dipasangkan pada cermin pandang belakang, ia mudah digunakan – sambungan tanpa wayar untuk paparan di telefon pintar juga boleh dilakukan.

    01-all-new-dvr-bm

    Ia serasi dengan penggunaan peranti IOS mahupun Android menerusi aplikasi TCAT DVR yang membolehkan pengguna untuk melakukan konfigurasi, paparan secara langsung serta muat turun video yang dirakam.

    Peranti ini akan diaktifkan secara automatik dan akan terus merakam visual sebaik sahaja enjin kenderaan dihidupkan. Ia turut dilengkapi dengan alat pengesan graviti binaan dalaman untuk kekal merakam dengan terang dan jelas sekiranya kenderaan yang dipandu terlibat di dalam perlanggaran, membelok atau menukar arah dengan mengejut atau ketika membrek dalam kecemasan.

    Jika dibeli secara berasingan, ETCM menawarkannya pada harga RM999 termasuk GST dan kos pemasangan. Namun, bagi tempoh promosi “Millionaire Drive” yang sedang berlangsung sepanjang Ogos, peranti berkenaan ditawarkan pada harga istimewa; tambahan hanya RM1 pada Nissan Almera, selain daripada promosi Aerokit NISMO dan sistem navigasi multimedia 6.5 inci yang turut ditawarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025