Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia K2 2017 – sedan berdasarkan Rio untuk China

    kia-k2-1-bm

    Selepas Kia Rio 2017 didedahkan pada bulan lalu, baru-baru ini laman portal automotif China, autohome.com.cn mendedahkan foto model Kia K2 sedan, yang dikatakan hanya akan dijual di negara berkenaan sahaja. Dikatakan bakal dilancarkan pada November ini, K2 2017 ini seakan memberikan gambaran bagaimana imej bagi Rio empat-pintu baharu.

    Kia K2 sedan ini juga memiliki bonet yang lebih panjang, ketinggian yang dikurangkan dan beltline yang lebih melintang, dengan memberikan rekaan yang lebih bersepadu pada K2 berbanding model semasa Rio sedan dan pesaingnya yang lain.

    Apa pun ia ada sedikit perbezaan dengan Rio hatch. Bahagian hadapannya lebih konvensional, dengan lampu utama projektor yang dibentuk semula disambung pada gril “hidung harimau” yang lebih besar. Selain itu, gril bawah pula lebih kecil, dan dipadankan dengan corong udara luaran yang lebih lebar berserta dengan lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

    Pada bahagian sisinya, garisan tingkap turut direka semula dengan garisan karakter melintang yang digantikan rekaan jejalur ke bawah. Manakala pada bahagian belakangnya pula, lampu LED berbentuk-L turut dipadankan dengan palang melintang, bersama valence berwarna hitam yang turut menempatkan plat nombor dan lampu kabus.

    Bagi kabinnya pula, kekemasan hitam berkilat menjalari bahagian papan pemuka. Kekemasannya diambil sedikit daripada Rio, walau bagaimana pun, ia turut menempatkan roda stereng tiga-jejari, panel kawalan suhu dan instrumen dwi-meter disusun semula. Malahan tempat duduknya turut tampil dengan rekaan yang sama, namun menggunakan kekemasan upholstery kulit yang berbeza.

    Menurut laporan tersebut, K2 tidak akan menggunakan enjin Rio baharu iaitu 1.0 liter pengecas turbo T-GDI, sebaliknya akan terus memadankan enjin 1.4 liter dan 1.6 liter naturally-aspirated, yang menghasilkan kuasa 107 hp dan 123 hp. Manakala transmisi dijangkakan automatik enam-kelajuan.

     
     
  • GrabCar umum kadar tambang baharu di Lembah Klang, bermula tengah malam ini – kini RM1.10 per km

    NPL new fare

    Aplikasi perkongsian kenderaan atas talian, GrabCar hari ini mengumumkan kadar baharu bagi perkhidmatannya; penurunan daripada RM1.30 per km kepada RM1.10 per km. Ini adalah sebahagian daripada pendekatan perkhidmatan itu untuk menawarkan pengalaman yang lebih baik kepda pelanggannya.

    Kadar baharu itu adalah bagi perkihdmatan di Lembah Klang, dihujung minggu (sepanjang hari) dan hari bekerja di luar waktu puncak (sepanjang hari kecuali dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 8 malam), bermula tengah malam ini.

    “Dengan struktur kadar tambang baharu ini, Grab menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang paling kompetetif dengan permintaan tinggi bagi kenderaan persendirian di Lembah Klang dengan menawarkan kadar tambah tetap yang lebih rendah, tetapi tahap perkhidmatan yang jauh lebih baik kepada pengguna,” jelas Ketua, Grab Malaysia, Jaygan Fu.

    Struktur tambang baharu di Lembah Klang itu bertujuan membantu pengguna dan pemandu sekaligus. “Pelanggan boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih baik untuk mengelak waktu kemuncak dan menikmati tambang yang lebih rendah ini. Tanpa bergantung kepada keadaan lalu lintas semasa, perjalanan yang lebih selesa pada kadar yang lebih berpatutan adalah satu jaminan,” tambah beliau.

    Sebagai contoh, perlajanan dari Bangsar ke KLCC kini hanya RM11. Jika dibandingkan dengan pesaingnya, ia mungkin mencecah antara RM12 dan RM17, seperti dinyatakan oleh GrabCar. Langkah ini juga akan memberi manfaat kepada pemandu separuh masa yang berkerjaya dan cenderung untuk memandu pada waktu puncak (sebelum atau selepas waktu bekerja) dan membantu mereka untuk meraih pendapatan lebih.

     
     
  • Pakatan Renault-Nissan bakal umum rancangan besar untuk Mitsubishi, termasuk di pasaran Amerika

    nissan carlos ghosn

    Pakatan Renault-Nissan bakal mengumumkan pelan yang besar untuk Mitsubishi, termasuk di Amerika Syarikat selepas pihak berkuasa meluluskan pengambilalihan 34% pegangannya dalam syarikat tersebut bernilai US$2.2 billion (RM9,118,670,000) akhir tahun ini, lapor Automotive News.

    “Ini bukan urus janji di mana kami katakan, ‘Ok, kita telah membuat urus janji, jadi mari fikirkan apa yang kita boleh lakukan bersama,” kata CEO Renault-Nissan Carlos Ghosn. “Tidak. Pada hari kami mengumumkan urus janji berkenaan, kami terus memberitahu apa sebenarnya yang akan dilakukan bersama. Dan ianya besar. Ia besar antara Mitsubishi dan Nissan. Dan juga, ia mungkin sangat signifikan antara Renault dan Mitsubishi.”

    Tambah beliau lagi, rancangan berkenaan belum lagi memperincikan bagaimana tiga pengeluar automotif ini akan bekerjasama di Amerika Syarikat, tetapi ia akan menjadi lebih besar, bukan sekadar urus janji seperti Mitsubishi membekalkan kereta kecil untuk Nissan di Jepun.

    Ghosn berminat untuk menjadikan Mitsubishi sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan, yang telah dihubungkan dalam pembelian, pentadbiran, pembangunan kenderaan dan penyelidikan selama 17 tahun. “Mitsubishi dalam hal ini akan menyertai Pakatan. Pakatan ini adalah semua berkenaan pembinaan sinergi. Kami tahu bahawa banyak sinergi dengan Mitsubishi dan secara strategiknya kami mempunyai banyak hubungan,” kata beliau.

    April lalu, Mitsubishi dilanda skandal berkaitan manipulasi keputusan ujian penggunaan bahan api kenderaan jualannya dan membawa kepada perletakkan jawatan Persidennya, Tetsuro Aikawa. Kejatuhan nilai saham Mitsubishi akibat krisis ini menyaksikan 34% pegangan sahamnya di beli oleh Nissan.

     
     
  • Ford tutup kilang pengeluarannya di Australia – Holden, Toyota bakal ikut jejak pada 2017 dan 2018

    ford-territory

    Pada tahun 1925, Ford Motor Company menjadi pengeluar automotif terbesar pertama yang mula memproduksi kenderaan di Australia. Namun setelah 91 tahun bertapak di sana, kilang pengeluaran bagi model Ford Falcon dan SUV Territory yang terletak di utara Melbourne akhirnya ditutup. Sebelum ini, Ford turut menamatkan operasi bagi kilang pengeluaran enjin di sana.

    Pesaing Ford di Australia, Holden, turut menamatkan pengeluaran bagi Chevrolet Cruze generasi sebelumnya, namun masih meneruskan penghasilan model Commodore tetapi turut dijangka akan menutup operasinya pada akhir 2017 ini.

    Manakala Toyota yang turut memiliki kilang pengeluaran bagi model Camry di negara berkenaan juga, dijangka akan menamatkan operasinya pada tahun 2018.

    Menurut Motor Authority, penutupan ketiga-tiga kilang pengeluaran berkenaan juga pastinya menjejaskan periuk nasi hampir 15,000 hingga 20,000 tenaga kerja.

    Ford dan Holden Australia, kedua-duanya telah mencatatkan keuntungan yang tidak memberangsangkan sejak beberapa yahun ini, disebabkan faktor permintaan yang berkurangan serta kos pengeluaran yang semakin tinggi. Manakala Toyota yang menerima faedah daripada program bagi eksport untuk Camry pemasangan Australia, pula berkata permintaan bagi rantaian bekalan mula berkurangan.

    Menurut Ford, buat masa ini mereka belum membuat sebarang keputusan untuk menggantikan model Falcon, tetapi akan terus mengimport model Edge dan Everest bagi menggantikan Territory. Menurut rekod, sejak tahun 1960, Ford telah menghasilkan sebanyak 3.4 juta unit Falcon.

     
     
  • KTM RC390, RC200 dan RC125 2017 berwarna baharu

    2017-ktm-rc390bm

    Pengeluar motosikal jenama dari Austria, KTM mengeluarkan gambar studio bagi model KTM RC390, RC200 dan RC125 2017. Seperti yang boleh dilihat, ia kini menggunakan warna baharu, dan akan membuat penampilan semasa pameran motosikal EICMA di Itali bulan hadapan. Walaubagaimanapun, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan pada barisan motosikal ini.

    Awal tahun ini, KTM mengeluarkan KTM RC390 yang dipertingkat bagi tahun 2016 dengan kelengkapan antaranya seperti ride-by-wire, pematuhan tahap Euro 4, ekzos di tepi dan klac jenis slipper.

    Penggunaan skema warna baharu ini dilakukan bagi memastikan barisan model RC terus segar sehingga model generasi seterusnya dikeluarkan menjelang akhir tahun hadapan. Kebiasaannya, selepas beberapa bulan dilancarkan di pasaran antarabangsa, barulah ia akan tiba di Malaysia.

    Di Malaysia, KTM RC ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu RC390, RC250 dan RC200 dengan harga di dalam lingkungan RM15,000 hingga RM23,000.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia lantik CEO baharu efektif 28 Okt

    new-ceo-of-mmm-mr-tomoyuki-shinnishi

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melantik Tomoyuki Shinnishi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 28 Oktober ini.

    Shinnishi memulakan kerjayanya di Mitsubishi Corporation (MC), Tokyo, sejak tahun 1997 dan telah memegang jawatan tinggi di syarikat berkenaan.

    Sebelum ini, dari tahun 2001 hingga 2008, Shinnishi berkhidmat dengan PT. Krama Yudha Tiga Belian Motors (KTB) iaitu pengedar rasmi bagi Mitsubishi di Indonesia. Beliau bertindak sebagai penasihat bagi bahagian Produksi dan Kejuruteraan sebelum mengetuai bahagian Jualan dan Pemasaran.

    Pada tahun 2008 hingga 2012 pula, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus bagi Motor Vehicle ASEAN dan South West Asia Department di MC.

    Selepas itu, beliau berpindah ke Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Tokyo, mengendalikan bahagian jualan dan pemasaran bagi Mitsubishi Motors Rusia.

    “Shinnishi memiliki pengalaman yang luas selama hampir 20 tahun di dalam industri automotif dan dengan komitmen yang tinggi terhadap Mitsubishi Motors, kami percaya beliau mampu memacu lagi jenama ini di serata Malaysia,” ujar Tan Sri Marzuki Mohd Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah MMM.

    Manakala CEO MMM sebelum ini iaitu Yang Won-Chul akan kembali ke MC, Tokyo.

     
     
  • Mercedes AMG Petronas rangkul juara kategori pengeluar F1 musim 2016 – kali ketiga berturut-turut

    petronas-championship-1

    Pusingan perlumbaan F1 di Litar Suzuka, Jepun yang baru berakhir semalam menyaksikan pasukan Mercedes AMG Petronas dinobatkan sebagai juara pengeluar bagi musim 2016 ini. Walaupun dianggap lebih manis jika ia berlaku semasa pusingan di Litar Sepang minggu sebelumnya, anugerah ini tetap bermakna kerana ia adalah kali ketiga berturut-turut Mercedes AMG Petronas mendapat gelaran ini.

    Anugerah ini diberikan dengan perlumbaan masih lagi berbaki empat pusingan dan setelah pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg menjuarai pusingan di Suzuka manakala seorang lagi pemandu pasukan itu, Lewis Hamilton mendapat tempat ketiga walaupun berhadapan permulaan yang tidak lancar. Rosberg kini berada di tempat teratas bagi kategori pemandu dengan jumlah mata 313 manakala Hamilton pula di tempat kedua dengan 280 mata.

    petronas-championship-8

    Peristiwa bermakna ini turut diraikan pekerja Petronas di KLCC dan pagi tadi, satu sesi fotografi diadakan sebagai satu kenangan untuk syarikat. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Petronas, Md Ariff Mahmood.

    “Kami cukup bangga dengan kejayaan ini kerana penglibatan Petronas bukan setakat sebagai penaja tetapi juga rakan kongsi teknikal. Semua pelincir yang ada pada kereta F1 itu adalah produk Petronas,” tambah beliau.

    Mercedes AMG Petronas adalah pasukan kelima yang berjaya mendapatkan gelaran juara tiga kali berturut-turut ini selepas Ferrari, Williams dan Red Bull. Rekod tertinggi adalah empat kali berturut-turut yang dicatat oleh McLaren (1988-1991) dan Red Bull (2010-2013). Mungkinkah Mercedes dapat melakukannya musim hadapan?

     
     
  • Jerman usul cadangan larangan penjualan kenderaan dengan enjin bahan api konvensional menjelang 2030

    mercedes-benz-eg-bm-3

    Pemerintah di Jerman sudah meluluskan resolusi untuk melarang penjualan kenderaan yang menggunakan enjin petrol atau diesel konvensional (pembakaran dalaman) di Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2030, lapor Der Spiegel. Selepas tempoh berkenaan, hanya kenderaan sifar pembebasan sisa pembakaran enjin (zero-emission vehicle; kenderaan elektrik atau fuel-cell hidrogen) dibenarkan untuk dijual dalam pasaran.

    Resolusi berkenaan diluluskan di Bundesrat, majlis persekutuan negara itu, tetapi masih tidak mempunyai kesan perundangan setakat ini. Bagaimanapun, mereka mahu Suruhanjaya Eropah untuk menguatkuasakan larangan berkenaan di seluruh EU, dan peraturan atau perundangan di Jermanlah yang secara tradisinya membentuk amalan di EU dan juga peraturan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE).

    Majlis berkenaan juga mahukan Suruhanjaya Eropah untuk “menilai semula amalan semasa berkaitan cukai berkaitan pendekatan serta rangsangan terhadap pergerakan sifar sisa pembebasan dari kenderaan.” Ini mungkin bermaksud agar EU memberikan lebih banyak insentif bagi pembelian kenderaan terlibat, serta mengakhiri era kelebihan cukai bagi kenderaan diesel bagi negara-negara kesatuan itu.

    mercedes-benz-eg-bm-2

    Harga diesel yang rendah serta kemampuannya memberikan jarak perbatuan yang lebih tinggi menjadi sebab kenapa kebanyakan kenderaan di sana dikuasakan oleh bahan api itu. Namun, dengan perkembangan teknologi, serta cabaran dari segi kos untuk memastikan enjin diesel menepati piawaian semasa yang lebih ketat memberi satu keperluan baharu untuk memansuhkan tangga cukai sedia ada terhadap kenderaan diesel.

    Kebanyakan pengeluar kenderaan kini juga sedang memberikan penekanan yang lebih kepada pembangunan kenderaan sifar pembebasan sisa pembakaran enjin. Sebagai contoh, jenama-jenama seperti Mercedes-Benz, Volkswagen dan Renault ketika berlangsungnya pameran permotoran di Paris, memperkenalkan model-model konsep terbaharu dengan ciri pacuan elektrik.

     
     
  • Volkswagen Scirocco R Wolfsburg – 150 unit edisi terhad tanda ucap selamat tinggal pasaran Australia

    vw-scirocco-r-wolfsburg2

    Selepas mengambil keputusan untuk tidak menyambung jualan bagi Scirocco di pasaran Australia, sebelum mengucapkan selamat tinggal pada negara berkenaan, Volkswagen mengambil keputusan untuk memperkenalkan edisi terhad untuk model tersebut.

    Hanya dikeluarkan sebanyak 150 unit, Scirocco R Wolfsburg didatangkan dengan dua pilihan transmisi. Iaitu hanya 30 unit daripadanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, selebihnya dilengkapi dengan transmisi DSG dengan dwi-klac enam-kelajuan yang lebih pantas.

    Malahan pelanggan juga boleh memilih sama ada warna Rising Blue Metallic atau Oryx White Pearl Effect, yang kedua-duanya turut ditampilkan dengan rim aloi hitam 19-inci, perumah cermin sisi dengan kekemasan yang lebih kurang sama. Dengan kos tambahan sebanyak $1,750 (RM5,500) pula, pelanggan juga boleh memilih bumbung berkaca panoramik.

    vw-scirocco-r-wolfsburg1

    Bagi rekaan dalam kabin pula, ia turut didatangkan dengan elemen istimewa termasuk tempat duduk boleh laras ketinggian, tanpa beg udara sisi. Malah plak istimewa turut dipasang di dalamnya bagi menandakan ia bukanlah Scirocco biasa.

    Scirocco R Wolfsburg dijual pada harga $49,490 (RM58,618) bagi manual dan $51,990 (RM163,481) untuk DSG. Model edisi terhad ini dipadankan dengan enjin yang sama iaitu 2.0 liter yang mampu menghamburkan kuasa 252 hp pada 6,000 rpm dan tork 330 Nm dari 2,400 rpm, sama seperti model biasa Scirocco R.

    Dengan hamburan kuasa tersebut, varian manual mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat, iaitu 0.2 saat lebih perlahan berbanding varian DSG.

    Dijadualkan bakal memulakan jualannya pada 14 November ini, VW Scirocco R Wolfsburg edisi istimewa ini hanya untuk pasaran Australia, dan bakal disusuli dengan lain-lain model prestasi dan edisi Wolfsburg baharu pada tahun hadapan.

    Sebelum ini, model Scirocco generasi ketiga telah berada di pasaran Australia sejak lebih lapan tahun, dan tiada model gantinya sehinggalah Volkswagen mengambil keputusan untuk menamatkan pasaran model ini di sana.

     
     
  • Mercedes dedah lampu hadapan LED piksel-pintar

    Neues Autolicht revolutioniert Sicherheit im Verkehr

    Mercedes-Benz telah mendedahkan teknologi terbaharu lampu hadapan adaptif dengan sistem lampu hadapan LED piksel-pintar. Sistem berkenaan dibangunkan bersama Osram, Fraunhofer, Hella dan Infineon serta dibiayai oleh Kementerian Pendidikan dan Penyelidikan Persekutuan Jerman (BMBF) dimana ia telah lengkap sepenuhnya selepas proses produksi dan diuji oleh penguji lampu hadapan selama tiga setengah tahun.

    Lampu hadapan dengan tekologi baharu ini menampilkan tiga cip LED, yang mana setiap satunya mempunyai 1,024 titik pencahayaan yang boleh dikawal secara individu, membolehkan pencahayaan yang lebih tepat diberikan pada setiap masa.

    Sistem ini berbeza dengan lampu hadapan LED sedia ada dalam pasaran seperti sistem Lampu LED Multibeam pada Mercedes-Benz E-Class W213 – menggunakan 84 komponen LED individu yang disusun dengan tiga barisan dalam pemasangan lengkap lampu berkenaan, dimana ia memerlukan komponen elektronik berasingan untuk mengawal on/off setiap LED terbabit, kerana ruang yang terhad.

    Teknologi baharu ini pula menampilkan cip kawalan bersepadu untuk setiap LED berkenaan yang bukan sahaja menyelesaikan masalah ruang, tetapi juga memberikan pencahayaan yang beresolusi lebih tinggi.

    mercedes-smart-led-1-e1476065657520_bm

    Lampu hadapan LED piksel-pintar ini juga dilengkapi dengan penderia baharu – menjadikan ia lebih pintar, sesuai dengan namanya. Titik pencahayaan yang lebih banyak akan diberikan kepada bahagian sisi jalan agar tiada kawasan yang gelap pada pandangan pemandu di bahagian berkenaan. Sistem ini juga mampu mengesan trafik dari arah bertentangan, tanpa mengganggu pemandu kenderaan di hadapan.

    Walaupun sebahagian ciri berkenaan telah pun dipadankan pada sistem sedia ada, resolusi yang lebih tinggi pada sistem baharu ini menawarkan prestasi pencahayaan dengan pelarasan yang lebih tepat, membolehkan ia beroperasi dengan lebih sempurna dalam apa jua situasi trafik dengan menawarkan pencahayaan optimum tanpa mengganggu pemandu kenderaan lain.

    “Buat masa sekarang kami mahu membangunkan sumber pencahayaan LED beresolusi tinggi baharu ini bagi membolehkan ia sedia untuk siri produksi dan kami nampak potensi yang sangat besar untuk menggunakannya pada lampu hadapan,” kata Stefan Kampmann, ketua pegawai teknologi di OSRAM Licht AG.

     
     
  • VIDEO: Teaser generasi terbaharu BMW 5 Series G30 sebelum didedahkan sepenuhnya pada 13 Oktober ini

    Sebelum didedahkan sepenuhnya pada 13 Oktober ini, BMW telah menyiarkan video teaser terbaharu model 5 Series generasi berikutnya (G30), yang turut memaparkan pelbagai teknologi terkini yang dipadankan pada sedan eksekutif berkenaan. BMW akan menyiarkan lima video untuk siri teaser ini sebelum ia didedahkan sepenuhya khamis nanti, walau bagaimanapun hanya dua video baharu disiarkan pada hujung minggu lalu.

    Ciri yang ditampilkan pada video kali ini adalah Remote 3D View dan Steering and Lane Control Assist. Untuk Remote 3D View, ia digunakan untuk memaparkan pandangan tiga-dimensi sekeliling menggunakan kamera, seperti pada 7 Seires G12. Apa yang baharu untuk sistem pada G30 ini, ia boleh dihubungkan kepada aplikasi telefon pintar BMW Connected, dan paparan berkenaan boleh dilihat menerusi telefon pintar.

    Untuk sistem Steering and Lane Control Assist (yang turut terdapat pada 7 Series), ia berfungsi seperti sistem Drive Pilot pada Mercedes-Benz E-Class W213, membolehkan pemandu tidak perlu mengawal sendiri roda stereng pada situasi tertentu.

    Video yang disiarkan ini memaparkan pemandu melepaskan sepenunhya roda stereng ketika memandu dan menggunakan tangannya untuk membesarkan paparan peta navigasi pada skrin sesentuh, menandakan sistem pada BMW ini lebih maju, tetapi tidak diketahui adakah ia turut boleh menukar lorong sendiri seperti sistem pada Mercedes.

    Setakat ini, ciri fungsi Crossroads Warning masih lagi belum dipaparkan. Ciri berkenaan akan memberikan amaran kepada pemandu berkenaan trafik yang sedang melintas dan membantu mengelakkan pelanggaran. Lebih informasi berkenaan BMW 5 Series G30 ini boleh dibaca di sini.

     
     
  • AAM dalam kemelut meruncing yang berterusan – dua orang ahli jawatankuasa letak jawatan secara mengejut

    AAM logo-1

    Persatuan Automobil Malaysia (AAM) di dalam perkembangan terbaharu berkaitan kemelut kewangan yang sedang dihadapinya kini menerima satu lagi tamparan; dua orang dari jawatankuasa pengurusannnya meletakkan jawatan secara mengejut.

    Memetik laporan akhbar The Sun, dua ahli berkenaan sudah pun meletakkan jawatan dan dua lagi bakal mengikuti jejak langkah sama. Keputusan mereka diambil berikutan perbincangan dan kesimpulan yang diambil ketika mesyuarat khas (SGM) Isnin lalu.

    Philip Leong dan Dr Abdul Malik Yusuf mengundur diri dari jawatan yang disandang Khamis lalu. “Saya tidak dimaklumkan dan tidak tahu-menahu tentang banyak perkara,” kata Leong, seorang peguam kanan yang bertanggungjawab terhadap urusan perundangan bagi AAM. Reaksi sama diluahkan oleh Abdul Malik; “Tidak banyak maklumat yang kami ketahui berkenaan apa yang berlaku sebelum ini.”

    Ketika mesyuarat khas untuk membincangkan penjualan ibu pejabat AAM, Pengerusinya Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha dan timbalannya, Wan Zaharuddin dan Wan Ahmad dengan berat hati mengakui bahawa situasi kewangan organisasi berkenaan berada di dalam keadaan kritikal; mencecah RM4.5 juta. Mereka juga menyatakan, RM750,000 bayaran cengkeram yang diterima daripada jualan yang dicadangkan itu sudah digunakan, sementara caruman KWSP bagi staf juga tidak dilakukan sejak November tahun lalu.

    Abdul Malik turut memberi bayangan bahawa lebih ramai ahli jawatankuasa akan berbuat demikian. Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Leong dinamakan sebagai pengarah dan pemegang saham minoriti dengan satu unit saham di dalam AAM Motorsports Sdn Bhd. Sementara itu, Tunku Muzaffar dan Wan Zaharuddin merupakan pengarah dan pemegang saham sebuah lagi anak syarikat AAM, AAM Travel Planners Sdn Bhd.

    Organisasi yang suatu ketika dahulu tampil yakin dan dinamik sebagai sebuah persatuan permotoran itu kini berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal – sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja serta bayaran kepada pembekal. Rekod menunjukkan ia telah mencatatkan kerugian saban tahun, namun pada 2011, memcatatkan pula keuntungan lebih daripada RM4 juta. Bagaimanapun, ia kemudiannya berada dalam situasi merudum selepas itu.

    Ahli jawatankuasanya merancang untuk menjual bangunan ibu pejabat AAM di Shah Alam dengan nilai RM7.5 juta, dalam usaha terakhir untuk keluar dari kemelut itu. Bagaimanapun, ahli-ahli lain membantah cadangan berkenaan.

     
     
  • PDRM sangkal diskaun saman trafik pada 15 Nov ini

    PDRM-4

    Sejak beberapa hari lalu, satu rakaman suara tersebar di aplikasi WhatsApp, yang menasihati orang ramai agar membayar tunggakan saman pada 15 November ini dan menurut maklumat tersebut, ia adalah daripada satu sumber yang tidak dinamakan daripada Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

    Walau bagaimana pun, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menafikan pihaknya memberi diskaun kepada orang ramai sekiranya membayar saman pada tarikh tersebut.

    Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh JSPT Bukit Aman, terdapat individu tidak bertanggungjawab menyebarkan rakaman suara di aplikasi WhatsApp menggesa orang ramai membuat pembayaran pada hari itu bagi menikmati pengurangan harga, laporan Bernama.

    Justeru, JSPT menafikan kesahihan maklumat ini, dan meminta agar masyarakat tidak terpengaruh dengan sebarang mesej viral yang tidak diketahui kesahihannya.

    Kenyataan itu menambah, orang ramai diingatkan supaya membuat rujukan di Portal Rasmi PDRM (Bahagian Info Trafik) sebelum membuat sebarang penyebaran maklumat.

     
     
  • SPAD gesa pengusaha teksi tingkatkan perkhidmatan

    easy-taxi-super-easy-taxi 259

    Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa pengusaha teksi di seluruh negara supaya meningkatkan lagi perkhidmatan mereka sekiranya ingin bersaing dengan perkhidmatan e-hailing termasuk Uber, Grabcar dan Blacklane.

    Menurut Syed Hamid, kajian telah dibuat oleh pihaknya dan mendapati orang ramai inginkan perkhidmatan teksi yang lebih mesra pengguna, pantas dan efisien, serta kadar caj yang berpatutan, laporan Bernama.

    “Justeru, pengusaha teksi perlu melakukan perubahan bagi menyalurkan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pengguna daripada terus marah dan menyalahkan kerajaan dan SPAD, termasuk membawa kes ini ke mahkamah,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, “Kami sedar dengan kehadiran perkhidmatan teksi seperti Uber, Grabcar dan Blacklane, telah mewujudkan pelbagai kritikan terhadap kerajaan dan SPAD, waima ini bukanlah produk yang diusahakan oleh SPAD.”

    Syed Hamid turut berkata, perkhidmatan e-hailing yang melibatkan Uber, Grabcar dan Blacklane ini adalah selari dengan perkembangan teknologi semasa.

    “Adalah penting bagi pengusaha teksi di negara ini untuk menerima perubahan yang dilakukan dan anggaplah ia sebagai persaingan yang sihat. Malahan kerajaan juga akan terus membantu para pengusaha teksi untuk ke arah itu,” katanya lagi kepada pihak media.

     
     
  • Majlis Pengangkutan Nasional akan ditubuhkan untuk bincang isu pengangkutan di seluruh negara – Menteri

    liow tiong lai

    Kerajaan mengumumkan akan mewujudkan Majlis Pengangkutan Nasional (MPN) untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan pengangkutan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, MPN akan menjadi platfrom untuk membincang, mengkaji dan menyelasaikan isu berkaitan pengangkutan yang dihadapi di setiap negeri membabitkan kementeriannya dan semua agensi berkaitan di seluruh negara.

    “MPN akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan berperanan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di setiap negeri,” katanya kepada pemberita.

    Beliau menyatakan penubuhan majlis itu adalah inisiatif kementeriannya dan ia akan dianggotai wakil dari semua negeri serta akan mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi membincangkan isu berkaitan pengangkutan yang dihadapi setiap negeri.

    Tambah beliau lagi, MPN adalah satu landasan untuk negeri yang berdepan isu pengangkutan mengutarakan masalah agar perbincangan lanjut dan langkah penyelesaian dapat diambil dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025