Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MV Agusta keluarkan model edisi khas F3 Reparto Corse – dua pilihan kapasiti enjin, terhad 350 unit

    mv-agusta-f3-rc-bm-11

    Dari dulu lagi, MV Agusta sememangnya terkenal dalam dunia perlumbaan. Bagi menyampaikan rasanya kepada pelanggan, selain motosikal yang sudah sedia agresif, mereka mengeluarkan edisi khas RC yang membawa maksud Reparto Corse – cabang sukan permotoran MV Agusta.

    Terbaru, syarikat Itali ini mengeluarkan dua buah motosikal edisi khas F3 RC – berkapasiti 675 dan juga 800 cc. Enjin tiga silinder pada kedua-dua buah motosikal ini, walaupun sudah sedia kompak dan ringan, diperbaiki dan diperhalusi lagi untuk memberi prestasi maksimum.

    F3 RC 675 mampu menghasilkan 128 hp pada 14,400 rpm dan 71 Nm tork pada 10,900 rpm manakala F3 800 RC lebih ekstrem – 148 hp pada 13,000 rpm dan 88 Nm pada 10,600 rpm. Prestasi ini boleh diuruskan oleh penunggang sendiri melalui sistem Ride-by-Wire dan platform elektronik MVICS (Motor & Vehicle Integrated Control System). Kesemuanya ada tiga mod tunggangan dan lapan tahap Traction Control.

    Fork hadapan Marzocchi dan monoshock Sachs di belakang motosikal ini turut dilaras semula untuk memastikan casis dapat selari dengan prestasi, sambil tidak mengabaikan kelincahannya. Perkara utama yang menjelaskan model F3 RC ini adalah replika kepada motosikal lumba adalah grafiknya. Kini, MV Agusta mempunyai dua orang pelumba utama iaitu Jules Cluzel dan Lorenzo Zanetti.

    Motosikal edisi khas ini juga akan ditandatangani oleh dua pelumba ini pada bahagian panel tepi, sebagai menunjukkan penglibatan mereka dalam membangunkan motosikal eksklusif ini bersama pasukan Reparto Corse. MV Agusta F3 RC akan dihasilkan dalam jumlah terhad sebanyak 350 unit sahaja dan harga untuk model baru ini masih belum disiarkan. Walaupun begitu, F3 RC yang pernah dikeluarkan sebelum ini dijual di United Kingdom pada harga £12,950 (RM66,536) manakala F3 800 RC pula £14,100 (RM72,445).

    Selain itu, setiap pembeli motosikal edisi khas ini juga akan diberikan kit istimewa yang termasuk paddock stand, pemegang no plet, penutup tempat duduk belakang dan kain penutup motosikal khas.

     
     
  • Audi hentikan pengeluaran model elektrik R8 e-tron

    r8e150006_large-bm

    Audi telah mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran bagi model R8 e-tron, menurut laporan Car and Driver. Model kereta sport elektrik sepenuhnya ini telah diperkenalkan dalam bentuk produksi di Geneva Motor Show 2015, berdasarkan model R8 generasi kedua.

    Kemudian ia tampil pula di Consumer Electronics Show (CES) Asia di Shanghai, namun selepas itu Audi seakan ‘berdiam’ daripada projek berprofil tinggi itu.

    R8 e-tron dijanakan oleh dua motor elektrik pada gandar belakang, di mana ia mampu menghasilkan sistem kuasa sehingga 456 hp dan tork 920 Nm. Ketika dipamerkan di CES, ia dikuasakan oleh beteri lithium-ion 92 kWh, yang membolehkan kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum antara 210 hingga 250 km/j, dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat.

    r8e150008_large-bm

    Ia turut menampilkan Sistem Pengecas Kombinasi DC/AC yang membolehkan pengecasan sub-dua jam, sementara penggunaan eletrik sepenuhnya bagi R8 didakwa boleh mencapai sehingga 450 km bagi pengecasan tunggal. Selain itu, ia turut menampilkan unit kawalan zFAS bagi menyalurkan maklumat pemanduan yang turut disertakan dengan keupayaan pemanduan sendiri.

    Walau pun pembangunan R8 e-tron ini telah mencapai fasa yang terkehadapan, namun model ini tidak pernah muncul dalam konfigurator dalam talian Audi, dan tidak disahkan penjualannya, menurut Car and Driver lagi. Jika ada yang berminat untuk mendapatkannya, ia perlu dirujuk terus dengan ibu pejabat Audi sendiri, dan dimaklumkan R8 e-tron ini dijual pada harga satu juta euro (RM4,619,001). Sebelum ini, kurang dari 100 unit R8 e-tron telah dibina. Namun, sayangnya kini ia telah pun ditamatkan pengeluarannya.

     
     
  • Toyota panggil semula 340,000 unit Prius generasi keempat di seluruh dunia kerana masalah brek parkir

    2016_Toyota_Prius_Four_Touring_06_692D366294E293C0EAA178924FBF956C08CC0FC1

    Toyota Motor Corp memanggil semula sejumlah 340,000 unit model hibrid Prius terbaharu di seluruh dunia kerana masalah pada brek parkir, menurut laporan Reuters.

    Panggilan semula ini melibatkan Prius generasi keempat yang diproduksi antara Ogos 2015 dan Oktober 2016, dan menjejaskan sejumlah 210,000 unit di Jepun serta 94,000 unit di Amerika Utara, manakala bakinya berada di Eropah, Australia dan benua lain. Menurut jurucakap Toyota, tiada lagi kemalangan dilaporkan disebabkan isu ini dan beliau enggan memberikan komen sama ada sebarang kemalangan berlaku di luar negara.

    Bulan lalu, Toyota Motor North America mengumumkan panggilan semula sekitar 7,600 unit Prius baharu untuk memperbaiki gas beg udara yang bocor yang juga panggilan semula pertama dilakukan terhadap model hibrid popular berkenaan.

     
     
  • Range Rover Piet Boon – SUV mewah rekaan istimewa dibina hanya sebuah, berharga RM1.29 juta

    range-rover-piet-boon-3

    Range Rover Piet Boon – model istimewa yang di bina hanya sebuah sahaja membuat kemunculan sulungnya di galeri Aira Residence semalam. Piet Boon merupakan seorang pereka dari Belanda yang terlibat dengan membuat rekaan dalaman kondomonium mewah di Jalan Batai, dan beliau sendiri hadir dalam sesi pengenalan Range Rover istimewa ini.

    Piet Boon mungkin tidak terkenal dikalangan peminat automotif, tetapi ini bukan kali pertama kolobrasi antara kedua-dua pihak di mana Land Rover Belanda dan studio Piet Boon telah mula berkerja sama sejak tahun 2006. Antara model lain yang mendapat sentuhan Boon termasuk Range Rover Sport dan Evoque serta edisi istimewa Land Rover Last Defender – Defender terakhir dibina sebelum produksinya dihentikan pada Disember tahun lalu.

    Untuk model yang diperkenalkan ini, rekaannya diinspirasikan dari Ford Mustang Shelby Super Snake GT500 1967 (atau lebih popular dengan nama Eleanor selepas kemunculannya dalam filem Gone in 60 Second). Ia diberikan warna badan hitam sepenuhnya termasuk pada rim dan semua kemasan yang sepatutnya bersalut krom pada model biasa.

    Sepasang jalur berwarna hitam matte merentasi badan SUV mewah ini dari depan ke belakang, memberikan rupa yang sporty. Bahagian dalamannya pula diberikan kemasan kulit berwarna hitam dan putih.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana model istimewa ini masih mengekalkan unit janakuasa dari Range Rover Supercharged, dijana enjin V8 5.0 liter supercharged dengan kuasa maksima 510 PS dicapai pada 6,000 hingga 6,500 rpm, serta tork maksima 625 Nm bermula 2,500 hingga 5,500 rpm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan kelajuan automatik, membolehkan SUV dengan berat 2,336 kg ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik 250 km/j.

    Model istimewa ini dijual pada harga RM1.29 juta, RM70,000 lebih mahal dari Range Rover Supercharged standard.

     
     
  • LRT3: Pertandingan ‘Painting the Rail Future’ dianjurkan – 4 kategori, mulai 13 Okt hingga 13 Dis

    LRT3 Launch-03

    Prasarana Malaysia Bhd dan MRCB George Kent Sdn Bhd telah menganjurkan satu pertandingan melukis sempena dengan projek LRT3.

    Pertandingan ‘Painting the Rail Future’ dianjurkan bermula 13 Oktober hingga 13 Disember ini, terbuka untuk empat kategori iaitu pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, penuntut universiti dan orang awam, laporan
    New Strait Times.

    Menurut Pengarah Prasarana Malaysia dan Projek LTR3, Datin Norlia Noah, penyertaan dari orang awam dialu-alukan untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan ini. “Ia merupakan inisiatif transformasi dan boleh dijadikan platform bagi para peserta mempamerkan bakat masing-masing menerusi projek LRT3 ini,” ujar Norlia.

    Para pemenang akan diumumkan pada Januari 2017 dan karya yang terpilih akan dipamerkan di ruangan promosi LRT3 termasuk di tapak pembinaannya. Karya akan diadili oleh wakil Prasarana Malaysia bersama golongan profesional yang berkaitan.

    Seorang pemenang utama dan dua pemenang di tempat kedua dan ketiga akan diumumkan bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Pertandingan ini turut menawarkan wang tunai sehingga RM3,000 dan baucer buku bernilai RM1,000. Setiap penyertaan perlu menggunakan material seperti warna air, krayon, pensil warna dan grafik berkomputer sahaja.

    Pemenang akan dipilih berdasarkan kreativiti dan ketepatan karya yang mengikut tema, originaliti dan kualiti gubahan seni yang dipersembahkan. Untuk maklumat lanjut dan borang penyertaan bagi ‘Painting the Rail Future’, boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi www.lrt3.com.my.

    Projek LRT3 ini telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Ogos lalu dan bakal dimulakan oleh Prasarana Malaysia Bhd pada awal 2017 ini dijadualkan siap pada 31 Ogos 2020, menelan kos sebanyak RM9 bilion.

    LRT3 ini akan menghubungkan Johan Setia di Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya melalui Shah Alam yang melibatkan laluan sejauh 37 kilometer, dengan 26 stesen termasuk satu stesen bawah tanah. Sebanyak 10 stesen LRT akan dilengkapi dengan kemudahan ‘park n ride’ selain dibantu dengan bas pengantara untuk mewujudkan sistem yang bersepadu

     
     
  • ‘Mad Mike’ Whiddett tawan Franschhoek Pass di Afrika Selatan dengan Mazda RX-8 tiga rotor 20B “Badbul”

    Drifter New Zealand yang terkenal dengan jentera berenjin wankel rotary Mazda, ‘Mad Mike’ Whiddett kini muncul dengan video drift terbaharunya bersama pasukan Red Bull – menawan jalan bukit Franschhoek Pass di Afrika Selatan.

    Dalam video terbaharu ini, Mad Mike memandu salah satu jentera rotary gila miliknya iaitu Mazda RX-8 dengan enjin wankel rotary 20B digelar ‘Badbul’. Enjin tiga rotor berkenaan dipadankan dengan pengecas turbo Garrett GTX-45 dan sistem pengurusan enjin Haltech Platinum Sport 2000, ditala oleh Pulse Performance Race Engineering (PPRE), menghasilkan kuasa 812 hp.

    Kesemua kuasa berkenaan dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear sequential HKS enam-kelajuan dengan klac dua lapis serta roda tenaga juga dari HKS. Tork pula diagihkan antara kedua-dua roda belakang menerusi LSD dari Autosport Dynamics. Badbul turut menerima tuil brek tangan hidraulik juga dari Autosport Dynamics.

    Badan RX-8 berkenaan tampak lebih lebar dengan pemadanan kit badan wide-body dari Hybrid Lab. Pintu dan penutup but belakang kini digantikan dengan komponen yang dibina dari gentian karbon buatan Selbon. Penutup bonet hadapan yang dilengkapi liang udara dari BN Sport dipadankan, manakala spoiler belakang GT pula dibekalkan oleh Sard.

    Franschhoek Pass merupakan jalan berbukit dengan pelbagai selekoh yang menarik, terletak 75 km dari Cape Town. Jalan dengan jarak 19.9 km berkenaan dibina pada tahun 1822, pada asalnya merupakan jalan yang digunakan oleh gajah apabila mereka perlu melahirkan anak. Mad Mike mencatatkan kelajuan maksima 248 km/j pada Franschhoek Pass dan menyifatkannya sebagai projek paling menakutkan pernah dilakukan oleh beliau.

    Sebelum ini, Mad Mike telahpun menghasilkan video bersama Red Bull, menawan The Crown Range – jalan berbukit menghubungkan Queenstown dan Wanaka, New Zealand yang mempunyai 47 selekoh – menggunakan sebuah lagi jentera rotari milik beliau iaitu ‘Madbul’- Mazda RX-7 FD3S dengan enjin wankel rotary 26B empat rotor.

     
     
  • VIDEO: Replika Ford Mustang 1964 bersaiz 1:1 dihasilkan dari Lego – boleh mengeluarkan bunyi V8

    Pengeluar alat mainan Lego sentiasa mempromosikan kreativiti dalam penggunaan produknya. Pelbagai struktur menakjubkan pernah dihasilkan menggunakan bongkah Lego dan dalam video ini anda akan dapat menyaksikan sebuah replika kereta Ford Mustang tahun 1964 yang dibina melalui kerjasama antara Lego dan Southern Ford Dealers, dan dipamerkan di Legoland Florida Resort.

    Ia berukuran 4,572 mm panjang, 1,829 mm lebar dan lebih 1,219 mm tinggi. Keseluruhan jumlah bongkah yang diperlukan untuk membina replika ini adalah sebanyak 194,900 keping dan mempunyai berat 776 kg.

    Walaupun hanya boleh duduk statik di satu tempat, replika Lego ini dilengkapi dengan bunyi hon, suara seseorang dan bunyi enjin V8 seperti pada kereta sebenar. Apabila ia mengesan ada orang yang menyentuh atau berada berhampiran, bunyi tersebut akan dikeluarkan, seterusnya memberi kejutan kepada orang yang tertarik dengan binaan ini.

    Ketelitian yang ditunjukkan pada replika Lego ini cukup menarik, sehinggakan gril, lencana, lampu dan bahagian-bahagian kecil lain turut diambil kira supaya kelihatan sama seperti kereta asal. Anda boleh melihat bagaimana mereka menghasilkan replika ini di dalam video di bawah. Mungkin nanti model Lego seperti ini juga boleh dibuat di Malaysia dan diletakkan di Legoland Johor Bahru.

     
     
  • Produksi Ford Mustang dihentikan buat sementara

    Ford Mustang LA 15

    Berikutan kadar jualan yang lembab serta lambakan stok dalam inventori, Ford menghentikan seketika pengeluaran model Mustang di kilang pemasangan Flat Rock, Michigan, menurut laporan The Detroit News.

    Jualan Mustang di Amerika Syarikat mencatatkan penurunan pada September lalu – jatuh 32% kepada 6,429 unit, dengan inventori selama 89 hari, 29 hari lebih lama berbanding sasaran sihat yang dinyatakan oleh penganalisis. Dari segi jualan tahunan dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu pula, Mustang mencatatkan penurunan sebanyak 9.3% kepada 87,258 unit pada September lalu.

    Walau bagaimanapun, permintaan Mustang di luar Amerika Syarikat dilihat masih lagi menyakinkan, terutamanya di China, Australia dan UK. Kilang pemasangan Flat Rock turut bertanggungjawab untuk produksi Mustang di peringkat global, termasuk penghasilan versi pemanduan sebelah kiri dan sebelah kanan.

    “Kami terus memadankan produksi dengan permintaan. Mustang masih lagi model paling laris untuk segmennya dalam jumlah keseluruhan dan jualan,” kata jurucakap Ford Kelli Felker dalam emailnya.

    Saingan Mustang – Chevrolet Camaro – walau bagaimanapun mencatatkan peningkatan jualan pada September dengan kenaikan 25.4% kepada 6,577 unit, tetapi jualan tahunannya dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu pula jatuh 11.4%. Inventori Camaro juga dicatatkan selama 120 hari pada akhir September lalu, tetapi jurucakap Chevrolet mengesahkan syarikatnya masih lagi belum mengurangkan produksi di kilang pemasangan Grand River milik mereka, yang turut terletak di Michigan.

     
     
  • Segoni Oro G800 guna enjin Z800, rangka emas 24 kt

    segonispecial_hero-31bm

    Syarikat pengubah suai motosikal biasanya akan menghasilkan sesuatu yang unik untuk menunjukkan kebolehan dan kreativiti masing-masing. Bagi Segoni yang sudah wujud di Itali sejak tahun 1971, mereka mempunyai cara tersendiri dan antara produk yang menarik dalam portfolio mereka adalah Oro G800 yang turut dibawa semasa pameran INTERMOT di Jerman.

    Motosikal ini menggunakan enjin daripada model Kawasaki Z800 tetapi diberikan pengubahsuaian yang menyeluruh – paling menarik adalah kerangka besi chrome molibdenum yang disalut dengan emas 24 kt bagi meningkatkan eksklusivitinya. Bahagian badan luaran lain pula kebanyakannya menggunakan gentian karbon.

    Bukan setakat penampilan, Segoni juga memastikan tiada kompromi untuk prestasi, dan motosikal naked ini dilengkapkan dengan brek Brembo M4 di hadapan dan belakang, fork terbalik di hadapan dengan pelarasan lantunan dan prabeban, suspensi monoshock dengan pelarasan serapan dan prabeban di belakang, rim aluminium diperkuat OZ 17 inci, unit pengawal elektronik (ECU) Magneti Farelli dan tempat duduk jahitan tangan.

    Segoni Oro G800 mampu menghasilkan kuasa sebanyak 113 hp dan 83 Nm tork, dan ia dijual pada harga 58,000 Euro (RM268,258). Setiap motosikal akan dibuat hanya apabila ada tempahan dan dalam unit yang terhad.

     
     
  • Pusat 4S Volkswagen Sg.Besi kini berpindah ke fasiliti baharu yang lebih besar, selesa, serta komprehensif

    volkswagen-wearnes-sg-besi-new-facility

    Pusat 4S Volkswagen Wearnes Sg. Besi kini telah pun berpindah di fasiliti baharu mereka yang terletak di No.8, Jalan Dua, Off Jalan Sungei Besi, Kuala Lumpur, iaitu berada di seberang jalan fasiliti sebelum ini.

    Fasiliti baharu berkenaan dibina lebih besar dari fasiliti sebelumnya dengan bangunan dua tingkat berkeluasan 75,181 kaki persegi. Bilik pameran di premis baharu tersebut mampu menempatkan sembilan unit kenderaan untuk dipamerkan pada satu-satu masa serta mempunyai lounge untuk pelanggan yang dilengkapi TV kabel, WI-FI serta berberapa bilik perbincangan.

    Untuk bahagian khidmat selepas jualan pula, ia lengkap dengan fasiliti pembaikan dan cat badan kenderaan, servis dan kerja-kerja baik pulih, kelengkapan penjajaran dan penukaran tayar, serta pembaikan dan servis penghawa dingin kenderaan dengan ruang servis sebanyak 34 disediakan bersama 34 juruteknik yang berpengalaman dan berkelayakan untuk memenuhi keperluan pelanggan.

    Waktu operasi untuk Pusat 4S Volkswagen Wearnes Sg.Besi ini adalah seperti berikut:-

    Bilik Pameran
    Isnin – Jumaat : 9 pagi – 7 petang
    Sabtu : 9 pagi – 6 petang
    Ahad & cuti umum : 10 pagi – 5 petang

    Servis dan Khidmat Selepas Jualan
    Isnin – Jumaat : 8 pagi – 8 malam
    Sabtu : 8:30 pagi – 5 petang
    Ahad & cuti umum : Tutup

    Pembaikan & Cat Badan Kenderaan
    Isnin – Jumaat : 8:30 pagi – 6 petang
    Sabtu : 8:30 pagi – 5 petang
    Ahad & cuti umum : Tutup

     
     
  • PLUS perjelas isu caj Penalti Perjalanan Melebihi Tempoh (LJT) yang di’viral’kan di laman sosial

    Bahaya menggunakan lebuhraya PLUS Gurun Pendang sekarang.Aku di denda 9.40 sen dan bayaran Tol 3.00 sahaja tapi di cas…

    Posted by Damar Wulan on Saturday, 8 October 2016

    Berikutan isu viral yang hangat diperkatakan di laman sosial berkenaan seorang pengguna lebih raya yang dikatakan dikenakan bayaran tambahan hanya kerana berada terlalu lama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pihak pengurusan lebuh raya berkenaan telah mengeluarkan kenyataan media untuk memperjelaskan hal tersebut.

    Menurut PLUS, caj yang dikenakan berkenaan adalah caj Penalti Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan atau ‘Long Journey Time‘ (LJT), dikenakan kepada sesetengah pengguna lebuh raya yang dilaksanakan oleh PLUS sebagai salah satu daripada langkah yang terpaksa diambil bagi membendung dan mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenalpasti di lebuh raya kendalian PLUS.

    Berdasarkan pemantauan dan kajian syarikat berkenaan, kegiatan manipulasi kad transit tol sering dilakukan oleh sesetengah pengguna lebuh raya yang tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi yang dikenalpasti di lebuh raya. Di antara taktik yang digunakan oleh pihak-pihak tersebut adalah seperti menukar, menyimpan dan manipulasi kad transit tol dan sebagainya. Berdasarkan rekod PLUS, jumlah kegiatan manipulasi kad transit tol semakin meningkat setiap tahun.

    Justeru itu, bagi membendung kegiatan tersebut, penalti LJT terpaksa dikenakan kepada transaksi tol di mana waktu masuk dan keluar daripada lebuh raya adalah meragukan berdasarkan pada satu formula atau pengiraan yang telah ditetapkan.

    Penalti LJT boleh dikenakan kepada pengguna lebuh raya yang melebihi tempoh perjalanan dari satu plaza tol masuk hingga ke satu plaza tol di laluan tol sistem tertutup (di mana pengguna perlu mengambil kad transit ketika memasuki lebuh raya dan menyerahkan kad transit ketika membuat bayaran di plaza tol keluar). Pengiraan tempoh perjalanan bagi perjalanan tersebut adalah berdasarkan satu had kelajuan yang telah dikenalpasti.

    Walau bagaimanapun, penalti LJT tersebut hanya boleh dikenakan sekiranya pengguna gagal memberi alasan atau bukti yang munasabah apabila melebihi tempoh perjalanan yang telah ditetapkan kepada petugas tol ketika membuat bayaran di plaza tol keluar.

    Proton Perdana Test Drive 4

    PLUS mempunyai rekod tentang semua kejadian kesesakan, kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya, kemalangan, kerosakan kenderaan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pengguna melebihi tempoh perjalanan mereka di lebuh raya. Rekod tersebut dirujuk dan disemak oleh petugas tol sebelum penalti LJT boleh dipertimbangkan dan dikenakan.

    Sebagai contoh, perjalanan mengikut satu kadar kelajuan yang dikenalpasti di antara Plaza Tol Gurun dan Pendang lazimnya hanya memakan masa 30 minit. Jumlah ini akan ditambah sebanyak 2.3 jam (138 minit) dengan mengambilkira kemungkinan pengguna tersebut berhenti rehat di R&R Gurun. Sekiranya pengguna tersebut keluar di Plaza Tol Pendang melebihi tempoh yang dikira dari waktu memasuki plaza tol Gurun tanpa alasan serta bukti yang munasabah, maka penalti LJT boleh dikenakan.

    PLUS menegaskan akan membayar balik jumlah penalti tersebut seandainya pengguna dapat mengemukakan bukti mereka tidak melakukan sebarang aktiviti manipulasi kad transit tol. Pengendali gerai-gerai di kawasan R&R dan Hentian Sebelah yang bertugas melebihi tempoh masa perjalanan yang ditetapkan juga tidak dikenakan penalti LJT.

    Pada masa yang sama, pihak PLUS juga sentiasa bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mengenalpasti langkah-langkah lain yang boleh membendung dan mencegah kegiatan manipulasi kad transit tol dari masa ke masa.

    Dalam perkongsian di laman Facebook yang diviralkan berkenaan, pengguna lebuh raya tersebut mendakwa dia dikenakan bayaran sebanyak RM9.40 untuk perjalanan dari plaza tol Gurun ke plaza tol Pendang, Kedah di mana bayaran sebenar untuk laluan tersebut hanyalah RM3.00. Dia juga mendakwa pihak PLUS mengesyaki ada penipuan yang dilakukan dan cas tambahan akan dikenakan sekiranya pengguna berada di kawasan R&R melebihi satu setengah jam, serta pengurusan lebuh raya berkenaan juga memberikan jawapan yang tidak pasti ketika dia menghubungi talian perkhidmatan pelanggan.

     
     
  • Tiada lagi kompaun untuk pesalah yang menggunakan lorong kecemasan, terus ke mahkamah – JPJ

    AppleMark

    AppleMark

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran keras kepada mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan dan penguatkuasaan lebih intensif akan dilakukan di hot spot yang telah dikenalpasti sekitar Lembah Klang.

    Dalam laporan The Sun Daily Pengarah Penguatkuasaan JPJ Datuk Valluvan Veloo berkata, jabatannya tidak akan bertoleransi terhadap mereka yang menggunakan lorong kecemasan dan juga mereka yang memotong barisan semasa waktu puncak kesesakan trafik.

    “Kami turut mengalu-alukan maklum balas dari orang ramai. Hakikatnya, aduan berkenaan penyalahgunaan lorong kecemasan adalah hampir 80% dari jumlah keseluruhan aduan trafik yang kami terima berberapa bulan kebelakangan ini,” kata beliau.

    Semalam, JPJ menjalankan operasi khas selama dua jam bermula lima petang di empat lokasi iaitu di Lebuhraya Kesas, Lebuhraya Elite, Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Istana di pusat bandar. Dalam operasi berkenaan, sejumlah 33 pemandu menerima saman di Lebuhraya Persekutuan menuju ke pusat bandar 20 kenderaan di Lebuhraya Kesas dan Elite serta 19 di Jalan Istana.

    Menurut Valluvan, lokasi-lokasi berkenaan merupakan lokasi yang dikenalpasti kerap berlaku penyalahgunaan lorong kecemasan semasa waktu puncak dan diharapkan dengan penguatkuasaan yang dilakukan, pengguna jalan raya akan mematuhi undang-undang serta menghormati pengguna lain.

    Tambah Valluvan lagi, “Kami tidak lagi mengeluarkan kompaun RM300. Untuk pesalah yang menggunakan lorong kecemasan, kami akan menghantar mereka terus ke mahkamah.” Kesemua saman trafik yang dikeluarkan di bawah Peraturan 53 Undang-undang Trafik Jalan Raya 1959 yang membawa saman tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang dari setahun dan akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

     
     
  • BMW Motorrad Vision Next 100 – penuh teknologi

    bmw-motorrad-vision-next-100_0015-720x480-c-bm

    Sebagai merai ulang tahun syarikat yang ke 100, BMW mengeluarkan beberapa model kenderaan konsep yang melihat kepada masa hadapan dan digelar sebagai Vision Next 100. Menggunakan pelbagai jenama yang ada di bawahnya, BMW telah memperkenalkan BMW Vision Next 100, MINI Vision Next 100 dan Rolls-Royce Vision Next 100. Terbaru, mereka memperkenalkan pula motosikal Vision Next 100.

    Gayanya seperti baru keluar dari filem sains fiksyen masa hadapan dan kerangka yang bersambung dari tayar hadapan hingga ke tayar belakang boleh berubah bentuk, seterusnya membolehkan motosikal dikawal tanpa sebarang sambungan seperti motosikal biasa.

    Walaupun unik, motosikal ini masih lagi mengambil gaya keturunannya seperti bahagian enjin yang dijadikan seperti enjin boxer sedangkan sebenarnya, motosikal ini tidak mempunyai enjin dan menggunakan kuasa elektrik. Apabila dihidupkan, bahagian ‘enjin’ itu akan kembang ke luar dan apabila enjin ditutup ia akan masuk semula ke dalam.

    Motosikal ini juga boleh mengimbang secara sendiri sama ada ketika statik mahupun bergerak. Ini adalah hasil daripada pelbagai sistem berteknologi tinggi yang dilengkapi padanya sementara tayar pelbagai bentuk pula boleh bertindak sebagai suspensi.

    Itu semua masih tidak cukup mengkagumkan kerana motosikal ini turut dilengkapi dengan satu cermin mata khas yang perlu dipakai oleh penunggang, dan melaluinya, mereka boleh melihat keadaan sekeliling, menerima amaran awal dan bertindak bersama-sama dengan input penunggang untuk menyesuaikan motosikal dengan keadaan jalan.

    Jika kereta sudah ada yang boleh bergerak sendiri, motosikal BMW Vision Next 100 ini juga mempunyai teknologi yang sama – dapat menganalisis keadaan sekitar dan mengambil tindakan, tetapi ia masih lagi dipadukan bersama input dari penunggang sendiri.

     
     
  • “Body-wrap” kenderaan persendirian – adakah ia sah, atau melanggar peraturan jalan raya di Malaysia?

    proton-iriz-chrome-wrap-bm

    Dunia permotoran, bagi sebahagian orang, adalah saluran untuk meluahkan kreativiti individu. Macam-macam perkara yang dibayangkan, dan banyak juga yang sudah pernah kita lihat di atas jalan raya negara ini, terutamanya terhadap kenderaan persendirian semata-mata untuk tampil berbeza daripada khalayak kebanyakan.

    Antara yang kerap menjadi pilihan beberapa waktu kebelakangan ini ialah “body-wrap” atau pelekat yang meliputi seluruh badan yang kian banyak digunakan. Ada yang bertujuan untuk melindungi warna asal kenderaan, dan ada juga yang menggunakannya sebagai alternatif yang lebih mudah dan senang untuk menyalin warna kenderaan kepada warna baharu.

    Sebahagiannya dalam satu warna sahaja, sebahagian lagi dengan pelbagai bentuk rekaan grafik. Ini juga boleh disekalikan dengan pelekat kesat (matte) atau warna kilau, dekorasi seni dengan teknik airbrush dan segala macam pendekatan-pendekatan yang berkaitan dalam hal ini.

    Tetapi, bagaimana pula dari sudut peraturan lalu lintas di Malaysia, adakah perkara ini dibenarkan atau sebaliknya ia merupakan satu bentuk perlanggaran undang-undang sedia ada? Kami ajukan soalan ini kepada Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib untuk mengetahui tanggapan pihak berkuasa terhadap perkara ini.

    “Pertama sekali yang perlu dinyatakan ialah; adakah kenderaan-kenderaan ini diisytiharkan (kepada JPJ) selepas ditukar warnanya? Setiap perubahan yang dilakukan terhadap mana-mana kenderaan perlu dilaporkan kepada JPJ yang terdekat dalam tempoh tujuh hari selepas sesuatu perubahan itu dilakukan. Jika ia diisytiharkan, tak jadi masalah untuk guna warna apa pun,” jelas beliau.

    Bagaimana proses perisytiharan ini sebenarnya? Sangat mudah; pemilik perlu sediakan surat makluman pertukaran warna yang dilakukan (berserta geran asal kenderaan) dan bawa ke kaunter JPJ berdekatan untuk dimasukkan dalam rekod. Jika pemilik mewakilkan kepada orang lain untuk melakukannya, ia memerlukan satu lagi surat pemeriksaan. Lebih mudah sekiranya pemilik sendiri yang hadir ke JPJ.

    Mercedes-Benz GLE Coupe multicolour wrap 8

    Jika dekorasi yang dilakukan melibatkan banyak warna atau tona yang berbeza-beza, warna yang mana perlu diisytiharkan? Mana-mana warna dominan (warna utama secara keseluruhannya) yang meliputi 60 peratus daripada keseluruhan warna kenderaan semasa adalah dikira sebagai warna utamanya dan boleh direkodkan.

    Itu sahaja yang perlu dilakukan, tidak kira seperti apa grafik atau perubahan warna yang dibuat. Sama juga sekiranya pemilik kerap menukar warna kenderaannya; setiap kali pernukaran warna dilakukan, setiap kali itu jugalah pemilik perlu memaklumkannya kepada pihak JPJ.

    Bagaimana jika ini gagal dilakukan, apa pula kesannya? Menurut beliau, dalam hal ini, jika berlaku apa-apa, pemilik yang berada dalam kerugian dan bukannya orang lain. “Sebagai contoh, katakanlah kereta anda kena saman AES.

    datuk-mohamad-dalib-jpj-bm-1

    “Dan warna kereta yang disaman itu berbeza pula daripada dokumen sah dan rekod yang ada pada JPJ, maka pemilik hanya perlu tunggu saman sampai. Saman apa? Pertama, saman AES itu sendiri, dan kedua saman kerana menukar warna kenderaan tanpa kebenaran,” tambahnya.

    Satu hal lagi, adalah berkaitan insurans. “Yang akan menjadi masalah lagi jika penukaran warna berkenaan tidak dimaklumkan walaupun sudah bertahun-tahun ditukar. Sekiranya kenderaan itu terlibat dalam kemalangan, dan selepas pemeriksaan pihak insurans mendapati warnanya berlainan daripada yang didalam rekod, sangat besar kemungkinan pihak insurans tidak akan mahu menanggung kerugian yang dialami pemilik.

    “Mereka sebaliknya akan mendakwa bahawa kereta yang kemalangan itu bukan kereta yang sama seperti yang dilaporkan dan berlainan daripada rekod rasmi,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Ford perkenal kit tambahan kuasa untuk Mustang

    Ford Performance Power Packages Now Available

    Ford kini menawarkan kit tambahan kuasa untuk model Mustang bagi varian 2.3 liter EcoBoost dan juga GT 5.0 liter V8 sama ada untuk versi manual ataupun automatik. Berbeza dengan kit dari pengeluar peralatan aftermarket yang lain, kit dari Ford ini adalah selamat digunakan walaupun tanpa pengubahsuaian bahagian dalaman enjin serta yang paling penting, ia tidak menjejaskan waranti pengeluar.

    Kit untuk varian 2.3 liter EcoBoost merangkumi penapis udara aliran tinggi dan juga talaan semula pada kotak komputer enjin. Secara keseluruhan, kit berkenaan akan melonjakkan 25 hp/95 Nm lebih dari jumlah kuasa asal, menjadikan 335 hp/529 Nm dari kuasa asal 310 hp/434 Nm.

    Talaan pada lengkok kuasa enjin tersebut juga membolehkan kuasa maksima dicapai lebih cepat, di mana kini kuasa meningkat 100 hp pada takat 6,000 rpm, 40 hp/81 Nm lebih pada rpm bermula 81 Nm hingga 5,000 rpm. Kuasa pada rpm tinggi juga kini lebih responsif di mana dari 5,500 rpm hingga takat redline, enjin berkenaan mampu mengerah 75 hp/87 Nm dari kuasa asal.

    Untuk varian GT 5.0 liter V8 pula, tiga pakej tambahan kuasa ditawarkan. Kesemua tiga pakej berkenaan dibekalkan dengan ciri ‘no-lift-shift’ untuk versi manual, membolehkan pemandu tidak perlu mengangkat kaki dari pedal pendikit ketika menukar ke gear yang lebih tinggi.

    Pakej pertama untuk model GT ini dilengkapi dengan penapis udara aliran tinggi serta talaan semula pada kotak komputer enjin, memberikan 13 hp/ 22 Nm lebih dari kuasa enjin 435 hp/542 Nm. Pakej kedua pula ditambah dengan sistem kemasukan udara sejuk, throttle body lebih besar berdiameter 87-mm serta penyesuai kemasukan yang diambil terus dari Mustang Shelby GT350, mengekstrak kuasa asal dengan tambahan 21 hp/33 Nm.

    Pakej ketiga, enjin V8 Mustang berkenaan akan ditala membolehkan tahap redline ditingkatkan pada 7,500 rpm serta sejumlah tambahan kuasa 37 hp/7 Nm.

    GALERI: Ford Mustang 2.3L EcoBoost

    GALERI: Ford Mustang 5.0L GT V8

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025