Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Akta kawal selia aplikasi e-hailing akan dipinda tahun hadapan bagi membolehkan TTIP dilaksana – Menteri

    uber-grab

    Dua pindaan akta akan dibentang di Parlimen tahun hadapan bagi membolehkan kerajaan melaksanakan Program Transformasi Industri Teksi (TTIP), termasuk bagi mengawal selia perkhidmatan teksi yang mengunakan aplikasi e-hailing seperti Uber dan Grabcar, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri, dua akta itu ialah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

    “Langkah bagi mengawal selia ini adalah wajar yang antaranya bagi memastikan keselamatan penumpang dan pemandu diberi tumpuan,” katanya menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) pada persidangan Dewan Rakyat berkenaan kriteria dikenakan kepada perkhidmatan teksi menggunakan aplikasi e-hailing seperti UBER dan Grabcar serta kesan perkhidmatan tersebut kepada pendapatan pemandu teksi konvensional

    Nancy menjelaskan pelaksanaan e-hailing di negara ini adalah berdasarkan permintaan tinggi oleh pengguna dan peningkatan penggunaan teknologi mudah alih dalam urusan harian. “Kajian mendapati lebih 50 peratus pengguna teksi di Malaysia menggunakan aplikasi mudah alih untuk mendapatkan perkhidmatan teksi manakala hanya 14 peratus daripada pemandu teksi cenderung untuk mengunakan aplikasi seperti itu untuk mendapatkan penumpang,” katanya.

    uber-x-car

    Beliau juga menyatakan perkhidmatan e-hailing tidak seharusnya dilihat sebagai saingan kepada kaedah teksi konvensional, sebaliknya digunakan sebagai peluang kepada pemandu teksi serta pelengkap dalam mengimbangi tawaran perkhidmatan dengan permintaan dan trend pasaran.

    Menurutnya lagi satu kaji selidik dalam talian turut menunjukkan lebih 70 peratus daripada lebih 45,000 responden mahukan perkhidmatan e-hailing dilaksanakan dan dikawal selia, dan 59 peratus pengguna perkhidmatan berkenaan tidak pernah menggunakan perkhidmatan teksi sebelum ini. “Ini menunjukkan ada permintaan atau pelanggan yang baharu daripada segmen ini. Ia adalah sebenarnya peluang kepada industri ini untuk berkembang,” katanya.

    TTIP merupakan inisiatif menyeluruh yang menumpukan secara khusus kepada perkara utama dalam industri teksi di negara ini iaitu menambah baik pendapatan dan kebajikan pemandu teksi, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan peluang dan penggunaan teknologi dan ia diformulasikan bagi mewujudkan persekitaran industri teksi yang sihat dan ideal kepada pemandu, pengguna dan pengendali, kata Nancy.

    Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dilapor berkata pindaan itu, jika diluluskan, akan mewajibkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan teksi menggunakan e-hailing untuk diperbadankan dan semua pemandu teksi yang menggunakan aplikasi itu mesti memiliki kad pemandu yang dikeluarkan SPAD.

     
     
  • Proton SUV: sah ia akan berdasarkan Suzuki Vitara?

    proton-vitara-theo-1_BM

    Bila-bila masa sahaja di dalam bulan ini, seandainya betul apa yang digembar-gemburkan sebelumnya, Proton akan melancarkan MPV terbaharu, selepas tiga pengenalan kereta sedan keluarannya tahun ini – Perdana, Persona dan Saga.

    Dan kini ia bukanlah lagi rahsia; MPV Proton itu nanti, akan ditawarkan sebagai sebuah MPV dalam saiz yang lebih kompak dan disandarkan pembinaan berdasarkan model Suzuki Ertiga. Ini adalah hasil daripada kerjasama yang diumumkan antara Proton-Suzuki sebelum ini.

    Apakah bentuk usaha sama yang dipersetujui antara kedua syarikat itu? Antaranya ialah di dalam projek-projek pengenalan semula kenderaan yang berdasarkan model-model tertentu Suzuki untuk pasaran tempatan, terlebih dahulu. Jika Ertiga sudah hampir pasti diperkenalkan, model apa pula selepas ini?

    proton-vitara-theo-2_BM

    Kami dimaklumkan oleh pegawai tinggi di Proton bahawa syarikat itu sedang menilai pula sebuah SUV bikinan Suzuki sebagai projek seterusnya. Tidak disebutkan model mana secara langsung, tetapi pengesahan itu sudah cukup untuk mengujakan – ia akan menjadi SUV pertama keluaran Proton sekiranya benar-benar menjadi kenyataan kelak.

    Suzuki pula tidaklah mempunyai begitu banyak model SUV (yang popular), jika kita ingin meneka model mana yang akan diperkenalkan. Dua model yang pernah dijual untuk pasaran Malaysia sebelum ini dan mempunyai “pengikut” yang ramai ialah Jimny dan Vitara. Atau, jika dilihat jauh sedikit bagi pasaran Asia, mungkin Vitara Brezza yang lebih kecil yang dikeluarkan untuk pasaran India.

    Ia menggunakan enjin 1.3 liter dengan kuasa 90 PS/200 Nm dengan transmisi manual sahaja. Sementara Vitara “besar” pula dilengkapi enjin 1.6 liter petrol 118 hp/156 Nm dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan. Anda fikir, yang mana lebih sesuai untuk dipasarkan di Malaysia?

    Sementara menunggu pengumuman rasmi lanjut, Theophilus Chin ada membuat imej render model Vitara yang dibayangkan bakal menjadi SUV Proton itu, untuk tatapan anda.

    GALERI: Versi rendered Suzuki Ertiga berlogo Proton

    GALERI: Suzuki Vitara di Paris 2014

     
     
  • Proton Saga cecah 6,000 unit tempahan; Proton Persona pula terima 15,000 unit tempahan setakat ini

    protonsaga_bm_premium_ext-1

    Proton Saga nampaknya mampu membuatkan Proton tersenyum dan berlapang dada. Kami kini berada di Ipoh bagi sesi pandu uji model terbaharu berkenaan. Dan, setakat pengalaman singkat hari ini, apa yang boleh dikatakan adalah Saga generasi ketiga ini ternyata jauh meninggalkan tanggapan serta imejnya yang pernah kita kenali di dalam model terdahulu.

    Tambah mengukuhkan andaian kami ini ialah angka-angka semasa bagi tempahan yang sudah diterima oleh Proton sejak pelancaran model berkenaan pada 28 September lalu (dalam tempoh tidak sampai tiga minggu). Berdasarkan statistik jualan terbaharu yang dinyatakan di dalam sidang media sebentar tadi, ia sudah mencatat sejumlah 6,000 unit tempahan. Daripada jumlah berkenaan, 1,000 unit sudah didaftarkan.

    Jika ada yang tertanya-tanya mengapa perbezaan jumlah antara tempahan dan pendaftaran ini terlalu besar, CEO Proton Edar, Rohime Shafie menjelaskan hal ini adalah kerana pinjaman kewangan antara bank dan pembeli memerlukan masa yang agak panjang untuk diproses sebelum ia diluluskan.

    Sementara itu, Proton Persona pula dalam data terkini sudah menerima 15,000 unit tempahan. Daripada jumlah berkenaan, 4,500 unit sudah didaftarkan. Proton sebelum ini meletakkan sasaran jualan sekitar 4,000 unit Proton Persona setiap bulan. Bagi Saga, ia disasarkan untuk dijual sebanyak 5,000 unit sebulan.

     
     
  • Aksesori Ironman 4×4 untuk Nissan Navara kini boleh didapati di premis Tan Chong Ekspres Auto Servis

    lightroom-nissan-ironman-accessories-23

    Khas bagi pemilik Nissan Navara D40 dan NP300 yang ingin mengubahsuai trak pikap mereka dengan aksesori yang dipasang oleh pengedar sah serta hadir dengan waranti, kini barisan aksesori Ironman 4×4, jenama dari Australia boleh didapati di 38 premis Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS) terpilih seluruh negara.

    Aksesori-aksesori berkenaan dibawa kepasaran Malaysia menerusi Rustcare Sdn Bhd, anak syarikat Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) yang merupakan pengedar eksklusif aksesori Ironman 4×4 di Malaysia.

    Empat pakej ditawarkan untuk barisan aksesori Ironman ini iaitu Challenger Pack, Challenger Pack PRO, Suspension Pack dan Suspension Pack Pro dan dijual pada harga bermula RM5,000 hingga RM19,000. Selain dari dibeli secara pakej, aksesori-aksesori seperti yang dinyatakan dalam jadual di bawah turut boleh dibeli secara berasingan.


    Klik untuk besarkan

    Dalam gambar suspensi yang kami siarkan ini, jika anda perasan, Navara NP300 tersebut dipadankan dengan spring dedaun; kerana model berkenaan merupakan model demo spesifikasi Thailand – NP300 pasaran Malaysia masih kekal dengan spring gegelung dibahagian belakang.

    Selain dari kit untuk suspensi, aksesori seperti Pemijak Sisi dan Rel, Bull Bar dan Bar Tunda Perlindungan Belakang (Rear Protection Tow Bar) turut ditawarkan.

    Pelanggan boleh menghantar kenderaan 4×4 mereka untuk proses naik taraf suspensi di 38 buah premis TCEAS terpilih. Manakala perkhidmatan naik taraf bagi Ironman “Challenger Pack” dan aksesori-aksesori lain boleh dibuat di 12 premis TCEAS terpilih.

    Sempena pengenalan Pakej Aksesori Ironman 4×4, TCEAS akan memberikan tawaran pengenalan dengan diskaun ke atas semua pakej Ironman 4X4 termasuklah kos buruh dan aksesori. Selain promosi istimewa, Pakej Aksesori Ironman 4×4 kini hadir bersama Pelan Pembayaran Kredit Mudah 0% di mana-mana pusat servis TCEAS.

    Pelanggan yang membeli aksesori Ironman (suspensi sahaja) layak menerima jaminan produk selama tiga tahun atau jarak perbatuan sejauh 60,000km. Manakala aksesori lain hadir dengan jaminan selama setahun.


    Selain pengenalan aksesori Ironman ini, TCEAS juga mengumumkan bahawa ia telah memulakan operasi SUPAGARD – salun kereta dengan konsep ‘bilik Kaca-Cermin dan pendingin hawa’ pertama di Malaysia di pusat 4S Nissan Glenmarie, menawarkan perlindungan bertaraf dunia serta lebih nilai kepada para pelanggan Nissan.

    Sebagai tambahan, Pusat 4S Nissan Glenmarie kini menawarkan khidmat servis, pembaikan dan diagnosis ke atas semua model Infiniti melalui Hab Servis serta Lounge Pelanggan yang baharu.

     
     
  • BMW M4 DTM Champion Edition – tanda penghargaan gelaran juara musim 2016, terhad 200 unit sahaja

    bmw-m4-dtm-champion-edition-02-850x394-bm

    Marco Wittman telah memenangi perlumbaan DTM musim 2016 bersama BMW Motorsport dan ia digunakan sebagai alasan baik oleh pengeluar kenderaan tersebut untuk menghasilkan model edisi khas – BMW M4 DTM Champion Edition. Menggunakan asas daripada model M4 Coupe, kenderaan ini terhad kepada 200 unit sahaja untuk seluruh dunia.

    Bukan sekadar pelekat dan lencana edisi terhad sahaja, BMW M4 DTM Champion Edition mempunyai kuasa lebih daripada M4 versi produksi biasa – tambah 69 hp menjadi 500 hp dan tambah 50 Nm menjadi keseluruhannya 600 Nm. Jumlah ini adalah sama seperti M4 GTS dan terhasil daripada enjin khas ulang tahun BMW iaitu unit 3.0 liter enam silinder bersama teknologi suntikan air khas BMW. Seperti GTS juga, BMW M4 DTM Champion Edition mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dan laju maksimum 305 km/j.

    Model edisi khas ini boleh didapati secara eksklusif dalam warna Alpine White, dengan gaya badan inspirasi daripada kereta lumba DTM. Komponen aerodinamik yang dibuat daripada gentian karbon terdiri daripada splitter hadapan, aero flick berhampiran lengkung roda, penutup cermin sisi, skirting sisi, diffuser belakang serta penghadang angin yang terletak di atas but.

    Di dalam kenderaan dua tempat duduk ini, anda akan melihat tempat duduk bucket M Carbon yang dibalut dengan kulit Alcantara/Merino. Kulit Alcantara ini juga digunakan pada kebanyakan bahagian di dalam kabin dan stereng sport M dengan penanda tengah berwarna kelabu. Rollover bar berwarna putih pula menggantikan tempat duduk belakang.

    Walaupun begitu, kereta ini bukanlah betul-betul ‘kosong’. Ia masih lagi datang dengan sistem navigasi profesional BMW, pendingin hawa, lampu hadapan adaptif LED dengan BMW Selective Beam, lampu belakang OLED, Park Distance Control di hadapan dan belakang serta cermin yang boleh memalapkan pantulan secara automatik.

    Berat keseluruhan dapat dikurangkan dengan penggunaan bahan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP) seperti pada bonet, bumbung, penyokong panel instrumen dan diffuser belakang. Bahagian hujung ekzos sports kenderaan ini pula diperbuat daripada titanium.

    Rim yang digunakan adalah unit M 666 20 inci yang diwarnakan Orbit Grey Matte (bentuk sama seperti M4 GTS tetapi berlainan warna) dan ia dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 (265/35 di hadapan dan 285/30 di belakang). Brek pula dari jenis M carbon-ceramic. Setiap bahagian suspensi kereta ini boleh dilaras secara individu.

    Galeri: BMW M4 GTS

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia buka gudang di Pekan

    mercedes-warehouse-pekan-bernama_bm

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah membuka gudang baharu automotif milik mereka di Pekan, Pahang, yang disifatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai peluang baharu yang bakal memberikan keuntungan kepada penduduk setempat, lapor New Straits Times.

    Gudang bernilai RM32 juta yang dimiliki oleh syarikat Bumiputra berkenaan, merupakan kerjasama antara syarikat tempatan Nilai Mahir dan MBM, yang turut dijangka akan membawa pelaburan asing terus (FDI) ke kawasan tersebut, yang mana dalam jangka masa panjang, akan membawa lebih keuntungan kepada negara dan rakyatnya, kata beliau.

    Bercakap semasa pelancaran gudang itu, Najib berkata fasiliti berkenaan adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan penglibatan golongan Bumiputra dalam perniagaan dalam masa yang sama membantu rakyat Malaysia yang lain. “Disini lahirnya usaha dari (perniagaan) Bumiputra menerusi kilang CKD (completely knocked down). Jika kita tidak ada daya saing, Mercedez-Benz tidak akan memindahkannya ke Pekan,” kata Najib, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.

    Gudang tersebut, yang akan menyimpan komponen kenderaan dan alat ganti, terletak di Taman Perindustrian Automotif Pekan, di mana MBM turut mempunyai kilangnya di situ. Fasiliti berkenaan menerima Dana Fasiliti dari Unit Agenda Peneraju Bumiputra untuk pembangunannya.

     
     
  • Imej render Perodua Bezza Wagon – bergaya!

    bezza-wagon-theo-3_bm

    Minggu lalu, pakar rendering Theophilus Chin hadir dengan imej render bayangan Proton Saga Aeroback yang diinspirasikan dari Skoda Rapid Spaceback. Minggu ini, Theo sekali lagi tampil dengan idea wagon bajet dengan me’wagon’kan sedan pertama Perodua iaitu Bezza.

    Ramai yang mengatakan, bentuk Bezza sebagai sedan agak janggal terutamanya pada bahagian belakang yang nampak terlalu tinggi. Tetapi, perkara sebaliknya berlaku apabila ia diubah sebagai wagon, nampak begitu ‘kena’ pada setiap sudut. Bumbung yang dipanjangkan lengkap dengan roof bar dan juga penambahan tiang-D pada Bezza wagon ini memperbaiki bentuk janggal pada rupa asalnya.

    Untuk pengetahuan, di Indonesia, Toyota Calya dan Daihatsu Sigra – MPV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform yang sama dengan Bezza serta Axia – telah pun dilancarkan. Jadi, sekiranya Perodua ingin mengubah platform ini kepada platform yang lebih versatil dari segi praktikaliti, tentunya langkah untuk membuat model ‘rebadge’ Calya/Sigra akan diambil.

    Namun, idea untuk wagon bajet rendah ini tidak harus dipandang rendah oleh pengeluar kereta tempatan, kerana ia pastinya mempunyai pengikut tersendiri sama ada digunakan sebagai kenderaan gaya hidup mahupun dibeli disebabkan praktikalitinya. Contoh yang boleh kita lihat, wagon-wagon bajet rendah keluaran era 80’an dan 90’an seperti Toyota Corolla KE36 wagon, Datsun 120Y VB310 wagon serta AD Resort ‘TV3’ masih lagi digunakan sehingga kini, serta harga terpakainya juga berada pada paras yang agak tinggi berbanding model sedan.

    GALERI: Perodua Bezza dan Axia

     
     
  • Komitmen untuk menggalakkan penggunaan elektrik dijangka akan diberi dalam Bajet 2017 – Menteri

    petronas_chargev-2

    Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini dijangka memberikan komitmen terhadap penggalakan penggunaan kenderaan elektrik, menurut laporan Bernama.

    Perkara berkenaan diberitahu oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan turut menambah kementeriannya sedang memperhalusi lagi dasar berhubung pewujudan lebih banyak lagi stesen pengecaj sebagai kaedah untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di negara ini.

    “(Penggunaan kenderaan elektrik) belum dapat diperluaskan lagi kerana sebahagian daripada infrastruktur seperti ‘charging station’ (stesen pengecaj), kita kena promosikan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Yahijau Langkawi 2016.

    Menurut beliau lagi, dasar penggalakan penggunaan kenderaan elektrik ini turut melibatkan beberapa kementerian seperti kewangan, pengangkutan serta perdagangan antarabangsa dan industri. “Penglibatan KeTTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dalam penggalakan ini turut bermatlamat untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida di negara ini,” katanya.

    Menerusi program pengurangan cukai sebelum ini yang dilakukan oleh kerajaaan untuk menggalakkan kenderaan lebih mesra alam dan cekap tenaga, menyaksikan berberapa pengeluar telah pun membawa kenderaan elektrik sepenuhnya dengan versi CBU seperti Nissan Leaf dan Mitsubishi i-Miev.

    Dengan Dasar Automotif Negara yang dibuat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk kenderaan hijau, kerajaan kini memberikan keistimewaan potongan cukai untuk kenderaan hijau yang dibuat secara pemasangan tempatan (CKD), menyaksikan model premium plug-in hybrid seperti Volvo XC90, Mercedes-Benz C350e dan BMW X5 xDrive40e dijual dengan harga yang sangat menarik.

     
     
  • PLUS digesa perhalusi semula cas LJT

    toll plaza plus

    Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) menggesa PLUS Malaysia Berhad (PLUS) agar kadar caj Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan (LJT) diperhalusi dengan menitikberatkan soal keselamatan dan rehat yang perlu kepada pemandu,lapor Bernama.

    Menurut Yang Dipertua PKP Samsudin Mohamad Fauzi, PLUS seharusnya lebih prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya dengan tidak hanya mewujudkan pelbagai jenis bayaran lagi kerana pengguna sememangnya mempunyai kurang pilihan selain menggunakan lebuh raya PLUS.

    “Kami melahirkan rasa kerisauan kerana keadaan ini akan menimbulkan situasi kelam-kabut kepada pemandu yang akan mula memandu secara melulu sekiranya pemandu terlebih tidur atau terlebih rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi mengelakkan caj denda ini sekaligus akan membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada agensi berita berkenaan.

    Samsudin juga menyarankan PLUS mencari formula lain yang lebih efektif dalam mencari sasaran mereka yang melakukan pertukaran tiket daripada mengambil jalan mudah menjadikan semua pengguna terbeban. Beliau juga berkata PLUS sebaliknya perlu memberikan rebat kepada pengguna lebuh raya yang sering kali berada dalam kesesakan yang berpunca daripada projek menaik taraf atau pembaikan.

    highway

    “Pernahkah pihak PLUS memikirkan berapa ramai pula pengguna yang mengalami kerugian mahupun daripada sudut masa, penggunaan bahan bakar, penyelenggaraan kenderaan ataupun mereka yang hilang peluang perniagaan atau keuntungan akibat tersangkut dalam kesesakan ini,” katanya.

    PKP menggesa pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) segera mengarahkan PLUS membatalkan denda ini dan tidak menimbangkan alasan PLUS dan berpendirian sekiranya PLUS masih mahu meneruskan caj LJT, pihak PLUS perlu mengeluarkan jadual masa perjalanan waktu yang sepatutnya pengguna boleh sampai ke destinasi.

    “Sekiranya pengguna gagal sampai dalam tempoh tersebut akibat kesesakan di lebuh raya maka pengguna itu juga berhak menuntut rebat atau ganti rugi daripada pihak PLUS,” katanya.

    Sebelum ini perkongsian seorang pengguna lebuh raya telah viral di laman sosial yang mendakwa dia dikenakan bayaran sebanyak RM9.40 untuk perjalanan dari plaza tol Gurun ke plaza tol Pendang, Kedah di mana bayaran sebenar untuk laluan tersebut hanyalah RM3.00. Dia juga mendakwa pihak PLUS mengesyaki ada penipuan yang dilakukan dan cas tambahan akan dikenakan sekiranya pengguna berada di kawasan R&R melebihi satu setengah jam, serta pengurusan lebuh raya berkenaan juga memberikan jawapan yang tidak pasti ketika dia menghubungi talian perkhidmatan pelanggan.

    PLUS menjelaskan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah berkenaan diambil bagi mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenal pasti di lebuh raya kendalian PLUS.

     
     
  • VIDEO: Hentian pit stop di lampu isyarat

    Ketika menunggu lampu isyarat bertukar dari merah ke warna hijau, biasanya apa yang anda lakukan? Advantage Cars – pengedar kereta mewah dari Republik Czech melakukan demonstrasi membuktikan ada perkara lain lagi dapat dibuat ketika menunggu lampu isyarat selain termenung dan mengelamun, iaitu hentian pit lengkap dengan proses penukaran keempat-empat tayar!

    Video ini dibuat ditengah bandar Prague, iaitu ibu negeri Republik Czech dimana sekumpulan kru pit stop Advantage Cars menunggu dengan kelengkapan mereka di satu lampu isyarat.

    Kereta yang ditunggu berkenaan – sebuah Porsche 911 GT3 RS tiba di lampu isyarat tersebut tepat apabila ianya bertukar merah. Pasukan krew Advantage Cars terus meluru kearah GT3 RS itu dan menukar kesemua empat tayar serta mengelap cermin hadapan.

    Hentian pit berkenaan siap dalam masa kurang dari 45 saat, tepat ketika lampu isyarat bertukar semula ke hijau, dan kereta berkenaan terus bergerak tanpa menggangu langsung kelancaran trafik.

     
     
  • TUNGGANG UJI: SYM Sport Rider 125i – pendatang baharu kapcai 125 cc yang perlu diberi perhatian

    sym-sport-rider-125i-1-bm

    Sewaktu kami mencari-cari “lawan” yang setanding bagi Honda Future 125 Fi ketika menunggang ujinya Julai lalu, tak ada satu pun model yang mampu menjadi pesaingnya secara berdepan – kecualilah kapcai yang dikeluarkan oleh Suzuki, Shogun Axelo 125 Fi.

    Bagaimanapun, itu juga bukanlah sebuah model yang betul-betul baharu ditawarkan dalam pasaran. Jika dilihat kepada penawaran oleh syarikat-syarikat pengeluar motosikal yang ada di Malaysia, entah kenapa, kapcai dengan kapasiti enjin 125 cc bukanlah pilihan yang popular.

    Namun, Ogos lalu, ada sebuah model baharu dalam kelas ini diperkenalkan; SYM Sport Rider 125i. Ia merupakan kapcai pertama yang diperkenalkan oleh SYM yang dilengkapi dengan ciri suntikan minyak (fuel injection, Fi). Menurut pengeluarnya juga, Malaysia turut menjadi pasaran pertama yang memperkenalkan model yang hadir dengan pendekatan rekaan yang mereka gelar sebagai “super extreme” ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Minyak Petron Turbo Diesel Euro 5 mula dijual di Malaysia – RM1.85/ liter, 14 stesen seluruh negara

    Dalam senyap, Petron telah mengeluarkan minyak diesel Euro 5 baru mereka yang dinamakan Petron Turbo Diesel Euro 5. Sehingga sekarang, 14 stesen telah mula menjual minyak diesel premium ini – 10 di Lembah Kelang dan empat di Johor. Seperti minyak diesel Euro 5 yang lain, ia mempunyai kandungan sulfur yang rendah – 10 ppm berbanding 500 ppm pada diesel Euro 2M biasa.

    Syarikat itu mendakwa diesel baru ini “mampu meningkatkan pembakaran dan memulihkan kuasa di dalam enjin untuk memberi lebih kuasa, lebih perlindungan dan lebih jarak.” Bersama aditif pelbagai fungsi, Petron memberitahu pilihan diesel baru ini menawarkan “lebih penjimatan pada penyelenggaraan dan bahan api itu sendiri.”

    Petron Turbo Diesel Euro 5 dijual pada harga lebih 10 sen berbanding diesel Euro 2M biasa – iaitu RM1.85 bagi setiap liter (pada Oktober 2016). 14 stesen Petron yang telah menjual Turbo Diesel Euro 5 adalah:

    lembah Kelang
    1. Petron Subang Indah
    2. Petron Jalan Maarof
    3. Petron Sg. Jati
    4. Petron Damansara Kayu Ara
    5. Petron Grand Saga NB
    6. Petron Batu 8
    7. Petron Seri Kembangan Raya
    8. Petron Sg. Rasah
    9. Petron Jalan Kapar
    10. Petron Bangi Seksyen 10

    Johor
    1. Petron Temenggong Ahmad
    2. Petron Buloh Kasap
    3. Petron Majidee
    4. Petron Pasir Gudang West 2

     
     
  • Michelin Malaysia siar teaser Pilot Sport 4

    pilot-sport-4-tyreplus_bm

    Michelin Malaysia kini telah menyiarkan teaser untuk tayar Pilot Sport 4 di laman Facebook mereka. Tayar berkenaan telahpun berada di premis-premis Tyreplus, tetapi ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Tayar ini bakal berhadapan saingan dengan tayar-tayar lain seperti Continental Sport Contact 6 dan Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3.

    Pliot Sport 4 telahpun diperkenalkan di pasaran Eropah bermula awal tahun ini, dan menampilkan rekaan bunga tayar ultra-reaktif serta menggunakan kompaun baharu dengan elastomer yang berfungsi bagi mempertingkatkan pengedaran silika pada campuran getah dan memperkuatkan tindakan untuk memastikan cengkaman maksima ketika membrek. Lurah yang lebar dan dalam juga diberikan bagi memastikan tahap buangan air pada tayar tersebut ketika berputar adalah tinggi bagi memberikan cengkaman yang terbaik ketika basah.

    Ciri lain yang diberikan pada tayar baharu ini termasuk teknologi “Respon Dinamik”, di mana lilitan hibrid antara aramid dan nylon memberikan kawalan ketika mengubah haluan lebih baik. Gentian berketumpatan tinggi, tahan regangan dan ringan, yang lima kali lebih tahan berbanding logam, memastikan daya empar pada kelajuan tinggi dapat dikawal dengan sempurna dan permukaan tayar yang bersentuh kekal malar, walaupun pada kelajuan tinggi.

    Semasa pelancarannya nanti, Pilot Sport 4 akan diperkenalkan dengan tiga profil iaitu 35, 40 dan 45. Ia ditawarkan untuk rim bersaiz dari 17- hingga 19-inci, tetapi saiz yang lain sepatutnya boleh diperolehi sekarang (dikhabarkan ia bermula dari 16-inci). Tayar ini diletakkan di bawah Pilot Super Sport, yang telah digantikan dengan Pilot Sport 4 S; turut dikhabarkan akan juga dipasarkan kelak.

     
     
  • MSF Racing Series Saga Cup pusingan Enduro Ahad ini – tampilkan ramai pelumba ternama tempatan

    saga-cup-4-e1476425992390_bm

    Jika di Jepun popular dengan siri one-make race AE86 N2, kita di Malaysia turut mempunyai siri perlumbaan one-make sendiri yang telah lama dilangsungkan dan melahirkan ramai pelumba-pelumba yang kemudiannya menyinar di peringkat dunia. Ia tidak lain dan tidak bukan, siri perlumbaan Proton Saga genarasi pertama.

    Kategori Saga Cup dalam perlumbaan Siri Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang telah dilangsungkan sejak tahun lalu, dan perlumbaan kategori berkenaan akan berlangsung untuk pusingan ketiga tahun ini, dengan pusingan istimewa Enduro akan di jalankan, menyaksikan sejumlah 39 jentera berentap dalam tempoh lebih dari 35 minit, bermula pukul tiga petang, Ahad ini (16 Oktober).

    Kategori Saga Cup ini sebenarnya diinspirasikan dari perlumbaan Saga sejak era 90’an di Litar Batu Tiga Speedway Shah Alam serta Litar Pasir Gudang Johor Bahru (siri Saga Clubman Race masih dijalankan di Pasir Gudang walaupun selepas BTSC ditutup), menyaksikan ramai bakat tempatan dicungkil dan kemudian menyinar di peringkat antarabangsa seperti bekas pelumba F1 Alex Yoong, serta Prince of Drift – Tengku Djan Ley.

    Undang-undang yang ditetapkan oleh MSF untuk kategori ini juga agak sama dengan perlumbaan terdahulu dimana setiap jentera bertanding perlu menggunakan enjin asal Saga iaitu 4G1X dengan kapasiti di bawah 1,500 cc, kotak gear OEM dengan kelengkapan klac asal (nisbah gear boleh diubah tetapi penggunaan gear straight-cut adalah dilarang), cakera dan angkup brek OEM, serta penggunaan unit karburator asal Saga untuk enjin Megavalve.

    saga-cup-8-e1476426135175_bm

    Undang-undang ini dirangka bukan sahaja untuk mengekalkan Saga Cup sebagai perlumbaan bajet rendah, ia juga akan mengerah kreativiti pasukan untuk menala jentera masing-masing dengan hanya kelengkapan asas serta memaksa pemandu berlumba dengan kemahiran tertinggi untuk memenangi perlumbaan memandangkan kesemua jentera dihadkan dengan spesifikasi yang sama.

    Perlumbaan pada hujung minggu ini turut akan menyaksikan pemandu-pemandu tempatan bertaraf antarabangsa berentap sesama sendiri dengan memandu Proton Saga keluaran 1985 hingga 2007, antaranya Tengku Djan Ley, pelumba GT Farique Hairuman, pemenang tempat kedua dalam World Time Attack 2012 Alif Hamdan serta Juara Formula Asia Keifli Othman.

    Pelumba-pelumba lagenda tanah air turut akan beraksi dalam Saga Cup Enduro kali ini antaranya Juara Merdeka Endurance tiga-kali Tommy Lee, juara kejohanan asal Saga Championship Roland Ooi serta juara Rali Malaysia enam-kali YS Khong. Juara Malaysia Super Series Lai Wee Sing, Boy Wong, Faidzil Alang dan Mark Darwin turut akan menyertai, selain dari juara Saga Cup tahun lalu iaitu Joshua Thiran bersama Adian Yein. Harvinder Singh dari paultan.org juga turut akan berlumba, berpasangan dengan Roland Ooi dalam perlumbaan ini.

    MSF pusingan ketiga ini bukan sahaja mempertandingkan kategori Saga Cup, penonton juga akan disajikan dengan perlumbaan kategori Special Kei, Super 1,500 NA, Proton 1,800 NA, Street Tuned dan Street Tuned 1,600, Super Street dan Open serta 1,600 dan 1,800 Races Car. Tiket padok dijual pada harga RM20 jika penonton membelinya sebelum pukul 11 pagi dan RM35 selepas waktu berkenaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi MSF Racing.

     
     
  • Mokhzani letak jawatan sebagai pengerusi SIC

    FC APAC Sepang_012

    Tan Sri Mokhzani Mahathir telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas 13 tahun berada pada kedudukan tersebut.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau meluahkan rasa gembiranya kerana diberi penghormatan untuk menjadi pengerusi SIC sejak tahun 2003.

    “Saya telah melihat pelbagai acara berevolusi daripada perlumbaan amatur hingga ke profesional bertaraf dunia, dan saya berbangga rakyat Malaysia juga mampu berdepan dengan cabaran di dalam melahirkan bakat tempatan yang mampu beraksi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

    Anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini menambah, beliau melihat SIC sebagai salah satu pemangkin dalam perubahan budaya Malaysia dan sukan permotoran.

    Tambahnya lagi, “SIC telah melatih banyak bakat di dalam sukan permotoran dua-roda dan empat-roda, malah terus berusaha meneruskan sokongan di dalam bidang ini.”

    Menurut CEO SIC Datuk Razlan Razali pula, adalah suatu penghormatan buat dirinya kerana berpeluang bekerja di bawah kepimpinan Mokhzani.

    “Beliau memberikan wawasan yang tersendiri untuk membentuk kerja kami di dalam membangunkan SIC hingga ke hari ini. Kami amat berterima kasih kepada beliau di atas sumbangannya terhadap SIC, termasuk acara-acara utama yang pernah diadakan di sini serta sumbangannya kepada sukan permotoran,” ujar Razlan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025