Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LDP dan SDE Johor akan guna pembayaran elektronik penuh bermula 9 Nov – hanya TnG dan Smart Tag

    LDP_Toll_EXTRA

    Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) adalah antara plaza tol yang masih menerima bayaran tunai di Lembah Kelang, selain NKVE. Ia bagaimanapun akan berakhir apabila kutipan tol elektronik (ETC) sepenuhnya akan dilaksana sepanjang LDP bermula tengahari 9 November ini. Turut serta dalam langkah pelaksanaan ini adalah Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) di Johor.

    Bagi LDP, pelaksanaan ETC ini adalah termasuk untuk plaza tol Penchala, Petaling Jaya, Puchong Barat dan Puchong Selatan manakala bagi SDE, plaza tol Senai, Ulu Tiram, Cahaya Baru dan Penawar semuanya terlibat. Bermula dari tarikh itu, hanya pembayaran elektronik menggunakan Touch n Go dan Smart Tag sahaja yang diterima.

    Bagi memastikan kelancaran operasi di plaza tol, pihak konsesi lebuh raya akan menyediakan lorong tambah nilai untuk pengguna jalan raya menambah jumlah di dalam kad Touch n Go mereka atau membeli kad baru. Lorong ini akan dibuka sepanjang masa.

     
     
  • Trak pikap konsep Mercedes-Benz akan muncul 25 Okt

    Dalam masa empat hari sahaja lagi, Mercedes-Benz akan menayangkan trak pikap konsep pertama mereka di Stockholm, Sweden. Ia adalah berita penting kerana model konsep ini akan menunjukkan pandangan awal serta hala tuju Mercedes-Benz dalam segmen yang baru pertama kali diceburi.

    Gambar yang terdapat dalam video siaran langsung ini tidak menunjukkan apa-apa yang jelas mengenai trak pikap ini cuma yang boleh dikatakan, ia mempunyai hadapan yang membulat dan ada sedikit lebihan seperti penghadang angin di bahagian hujung belakangnya.

    Walaupun begitu, trak pikap ini dijangka akan kelihatan seperti lakaran artis yang pernah dikeluarkan pada bulan Mac lalu dan kemudiannya dijelaskan sebagai satu kerjasama strategik antara Mercedes-Benz dan Nissan.

    mercedes-benz-pickup_BM

    Melalui kerjasama ini, trak pikap Mercedes-Benz (khabar angin mengatakan dipanggil sebagai GLT) akan menggunakan asas daripada Nissan NP300 Navara/Renault Alaskan. Pilihan enjin pula besar kemungkinan akan terdiri daripada 2.5 liter petrol, bersama dua pilihan diesel turbo (2.3 liter dan 3.0 liter), dan ia akan dibina oleh Alliance di kilangnya di Cordoba, Argentina dan Barcelona, Sepanyol.

    Pikap ini juga hanya akan datang dalam bentuk badan dual-cab, dengan fokus kepada “kerja dan berseronok”. Pasaran utama yang disasarkan adalah termasuk Amerika Latin, Afrika Selatan, Eropah, Australia dan New Zealand, dengan pembangunan dan ujian dijalankan di Australia. Trak pikap Mercedes-Benz ini akan terletak atas pada model Ford Ranger, Volkswagen Amarok, Toyota Hilux dan Nissan Navara sendiri.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz X Class

     
     
  • Jualan kenderaan September 2016 menurun 7.9% berbanding Ogos lalu; turun 6% dari September 2015

    Sept'16.xlsx

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa angka jualan dan pengeluaran kenderaan bagi bulan September 2016 mengalami penurunan berbanding pada Ogos lalu. Dari segi jualan, 42,644 unit kenderaan penumpang dan 5,547 unit kenderaan perdagangan dijual bulan lalu (secara keseluruhan, 48,191 unit dijual). Angka berkenaan bagaimanapun susut sebanyak 2,908 unit atau 6% dalam bulan sama pada 2015.

    Pendaftaran bagi kedua-dua kenderaan penumpang dan perdagangan juga menurun hampir 6%; ini menyaksikan pendaftaran kenderaan penumpang berkurangan sebanyak 2,594 unit berbanding Julai 2015. Bagi jualan bulan-ke-bulan pula, angka bulan September menurun sebanyak 4,121 unit atau 7.9% berbanding Ogos lalu.

    Menurut persatuan berkenaan, penurunan berkenaan disebabkan oleh kelulusan pembiayaan pinjaman jual-beli kenderaan yang ketat serta pengguna kini lebih berhati-hati dalam melakukan pembelian dan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap pengenalan model-model baharu yang akan dilancarkan.

    Data berkenaan juga telah mendedahkan jualan semasa tahunan keseluruhan setakat September 2016 ialah 418,433 unit; 13.8% atau 67,056 unit berkurangan bagi tempoh sama pada 2015. Perasatuan itu menjangkakan jualan kenderaan bagi bulan hadapan akan meningkat sedikit didorong oleh beberapa pengenalan model baharu dalam pasaran.

    Dari segi pengeluaran kenderaan, keseluruhannya 41,453 unit (dengan pecahan 38,831 unit kenderaan penumpang dan 2,622 unit kenderaan perdagangan) dipasang bulan lalu, penurunan 9% atau 4,281 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Dibandingkan dengan Ogos, bulan September menyaksikan pengurangan 1,999 unit dihasilkan, atau 4.6% penurunan. Sementara itu, jumlah pengeluaran keseluruhan tahun ini setakat September ialah 386,965; penurunan sebanyak 76,423 unit, atau 16% berbanding tempoh sama pada 2015.

     
     
  • Goodyear Wrangler TripleMax kini di Malaysia – tayar SUV untuk saiz 16 hingga 18 inci, harga dari RM444

    goodyear-wrangler-triple-max-43-850x522-bm

    Pemilik kenderaan jenis SUV saiz sederhana kini mempunyai pilihan tayar baru apabila Goodyear melancarkan Wrangler TripleMax di Malaysia. Tayar ini ditawarkan bermula dari saiz 16 inci hingga 18 inci manakala harga pula terletak dalam lingkungan antara RM443.72 hingga RM675.22, bergantung pada saiz.

    Wrangler TripleMax mensasarkan kecemerlangan dalam tiga aspek utama: prestasi brek, keadaan jalan basah dan daya tahan melawan bahaya atas jalan. Bagi aspek pertama, teknologi Hydrogrip yang diguna melibatkan rekaan bunga gabungan bahagian yang besar dan lebih banyak bucu yang boleh mencengkam jalan.

    Tekanan pula boleh disebarkan kepada bahagian bunga yang utama melalui adanya permukaan bunga yang lebar dan rongga yang dioptimakan dengan bunga lima garis sepadan. Campuran polimer yang diperelok pula memberikan cengkaman lebih baik dan jarak membrek lebih pendek semasa jalan basah.

    goodyear-wrangler-triple-max-3-850x567-bm

    Wrangler TripleMax sepatutnya bersesuaian dengan keadaan jalan Malaysia kerana ia juga menggabungkan beberapa ciri ketahanan lain. Bahagian dinding yang dibina dengan dua lapisan menawarkan lebih ketahanan terhadap sebarang penembusan sementara bahagian dalamnya pula lebih teguh mempunyai jalinan dawai yang diperkuat, seterusnya dapat bertahan dengan impak apabila melalui bonggol ataupun lubang di atas jalan.

    Pada bahagian tepi pula, Wrangler TripleMax dilengkapi dengan pelindung bibir rim dan di bahagian permukaan utamanya, ia turut diperkuat dengan dua lapisan jalinan dawai besi ultra high tensile dan fabrik.

    Walaupun Goodyear Wrangler TripleMax ditawarkan sehingga saiz 18 inci sahaja, pemilik SUV yang mempunyai rim 19 inci masih mempunyai peluang kerana menurut wakil Goodyear, saiz yang lebih besar akan diperkenalkan kemudian sekiranya permintaan semakin menaik.

     
     
  • Triumph Bonneville Bobber 2017 dilancar di UK

    my17-bobber-3-lfs-e1476927464536-850x394-bm

    Triumph semakin rancak menambah kepelbagaian dalam penawaran produk klasik modennya. Selepas Street Twin, T120, Thruxton R dan Street Cup, kini syarikat pengeluar motosikal dari England itu memperkenalkan pula Triumph Bonneville Bobber 2017 di sana. Seperti namanya, motosikal ini mempunyai bentuk Bobber seperti motosikal kustom, cumanya, ia datang terus dari kilang.

    Enjin yang digunakan pada model Bobber ini adalah sama seperti barisan model T120 – unit enjin 1,200 cc dua silinder selari High Torque tetapi dikatakan mempunyai lebih kuasa berdasarkan penukaran kotak angin dua corong baru yang digunakan. Bahagian kemasukan dan ekzos juga diperbaiki untuk lebih kuasa. Ekzos baru yang digunakan lebih ringan dan pendek berbanding unit pada T120.

    Kerangka pula adalah khas untuk model Bobber ini bagi menempatkan tempat duduk tunggal dan dimensi lebih pendek daripada gaya ‘Bobber’ biasa. Kerangka ini juga membawa kembali gaya seperti model Speed Twin tahun 1951, dengan penyerap hentak yang tersembunyi di bawah tempat duduk dan memberikan penampilan seperti ‘hard-tail’.

    Memandangkan Bobber ini hanya boleh menempatkan satu orang sahaja, bahagian suspensi dilaras supaya bersesuaian manakala brek cakera hadapan dan belakangnya dilengkapi dengan sistem ABS, selari dengan peraturan wajib yang dikenakan bagi motosikal atas 250 cc di Eropah.

    Walaupun mempunyai penampilan klasik, Bobber tetap adalah sebuah motosikal moden, di mana kawalannya menggunakan sistem ride-by-wire, seterusnya membolehkan kemasukan sistem lain seperti Kawalan Cengkaman (TC) dan pilihan mod tunggangan. Bahagian klac pula dibantu dengan sistem Torque Assist.

    Di sebalik rupanya yang ringkas, tempat duduk Triumph Bonneville Bobber boleh dilaras ketinggian serta pergerakan ke hadapan dan ke belakang bagi menyesuaikan keadaan dengan jenis penunggang yang berbeza. Ciri baru di dalam kelasnya ini, yang membuatkan motosikal boleh diubah supaya sesuai dengan penunggang sudah menjadi tanda sentuhan premium baru Triumph, bermula dengan model kembara XC 800.

    Harga Triumph Bonneville Bobber 2017 masih belum dikeluarkan tetapi ia dijangka diumumkan pada bulan Disember nanti. Terdapat empat pilihan warna yang disediakan iaitu Modello Red, Jet Black, Ironstone dan Competition Green/Frozen Silver. Pemilik juga boleh memilih lebih 150 aksesori dalam katalog Triumph untuk motosikal ini.

     
     
  • Chevrolet Colorado ‘facelift’ rasmi dilancarkan di Malaysia; tiga pilihan enjin, harga bermula RM100k

    chevrolet_colorado-1

    Setelah beberapa siri pendedahan sebelum ini, termasuk perincian spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan, akhirnya hari ini Naza Quest Sdn Bhd selaku pengedar jenama kenderaan Chevrolet di Malaysia melancarkan secara rasmi trak pikap Colorado facelift yang terbaharu.

    Dua pilihan enjin ditawarkan dengan lima varian semuanya. Harga bagi setiap varian adalah seperti berikut. Bagi enjin bersesaran 2.5 liter; Standard LT (MT) – RM99,911, Standard LT (AT) – RM107,948, Standard LTZ (AT) – RM115,031. Sementara itu bagi enjin 2.8 liter pula; Standard LTZ (AT) – RM124,916 dan High Country – RM132,874. Semua harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan, termasuk GST dan insurans serta cukai jalan bagi pendaftaran individu.

    Perincian pilihan enjin yang dimaksudkan ialah 2.8L Duramax empat silinder turbodiesel dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) dan 2.5L Duramax empat silinder turbodiesel (VGT) kecuali bagi varian paling asas (dilengkapi enjin turbo-diesel FGT) dengan transmisi manual. Kedua-duanya telah diberikan peningkatan dari segi prestasi dan penggunaan bahan api. Bagi enjin 2.8L, ia kini menawarkan kuasa sebanyak 193 hp dengan tork 500 Nm. Bagi versi 2.5L pula, ia kini menjana 180 hp dan 440 Nm tork.

    2016-chevrolet-colorado-2-8-high-country-1

    Unit komputer atau ECU yang digunakan bagi mengendalikan prestasi enjin dibangunkan sendiri oleh pengeluarnya, dengan matlamat untuk mengoptimumkan integrasi antara perisian dan operasi enjinnya. Colorado ini juga menggunakan titik mounting yang baharu, terutama pada enjin dan bahagian badan.

    Kesannya, ia mengurangkan pergerakkan antara kabin dan casis yang menyumbang kepada dinamik pemanduan yang lebih baik. Ini turut memberi kesan terhadap NVH (Noise, Vibration and Harshness) yang lebih rendah; 2-5 db lebih senyap, dengan gegaran yang juga berkurangan. Sistem suspensi baharu yang digunakan juga memberikan lebih keselesaan kepada penumpang.

    Dari segi rekaan luaran, Chevrolet Colorado baharu ini menampilkan imej yang lebih gagah. Wajah bahagian depan yang nampak kukuh antara lain disumbangkan oleh rekaan hudnya. Ini dilengkapi pula dengan ciri lampu utama automatik dengan lampu nyalaan siang LED dan sistem Follow Me Home, Sports Bar baharu, rim aloi dan kemasan krom pada pemegang pintu.

    Pada bahagian kabin, ia menerapkan sentuhan yang lebih mesra pengguna. Papan pemuka dengan rekaan baharu memberikan imej premium dan menyumbang kepada keselesaan. Konsol tengah yang direka serba baharu pula memudahkan lagi kendalian bagi pengguna. Material yang digunakan pula adalah daripada jenis soft touch untuk tampil lebih premium.

    Ia turut dilengkapi sistem hiburan Chevrolet MyLink dengan paparan skrin sentuh warna bersaiz lapan inci, serta capaian Bluetooth serta aplikasi Apple Carplay; yang pertama bagi segmennya. Ia membolehkan pengguna telefon pintar Apple memaparkan versi ringkas skrin telefon mereka pada skrin sentuh kederaan ini. Ia juga melibatkan ciri Siri Eyes Free dan perisian pengecaman suara untuk menerima input daripada pengguna.

    Trak pikap ini juga kini turut dilengkapi dengan ciri Remote Engine Start. Ia membolehkan enjinnya dihidupkan melalui kawalan jauh agar sistem penghawa dingin dapat berfungsi untuk menyejukkan kabin terlebih dahulu dalam keadaan pintu masih kekal terkunci sepenuhnya. Selain itu, ia juga mempunyai ciri Auto Rain Sensor dan lampu utama automatik.

    Kecuali varian dengan transmisi manual, ciri Electric Power Steering (EPS) menjadi satu lagi kelebihan; kendalian stereng lebih ringan dalam kelajuan rendah dan semakin berat ketika kelajuan bertambah. Ia juga memberikan maklum balas yang lebih peka. Untuk memudahkan pemandu, Colorado ini juga dilengkapi dengan sensor Park Assist di bahagian depan dan belakang, berserta kamera undur.

    Ciri Comfort Closing Window pula menjadi satu ciri yang akan membuatkan cermin tingkap turut sedikit ketika pintu dibuka atau dikunci. Ini bagi mengelakkan terhasilnya ruang vakum dan membolehkan pintu ditutup dengan mudah dan lembut.

    Dari sudut keselamatan, Chevrolet Colorado baharu ini menerima penarafan lima bintang bagi ANCAP dan ASEAN NCAP. Antara ciri keselamatan aktif yang melengkapinya ialah (bergantung kepada varian tertentu): beg udara bahagian depan termasuk beg udara bagi lutut pemandu, Traction Control System (TCS), Anti-lock Braking System (ABS), Panic Brake Assist (PBA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Stability Control (ESC), Hill Descent Control (HDC), Hill Start Assist (HSA), Anti-Rolling Protection dan Trailer Sway Control.

    Sebagai ciri bantuan kepada pemandu pula, Colorado dilengkapi juga antaranya dengan ciri Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Alert (FCA), Front and Rear Park Assist Sensors dan Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).

    Chevrolet 2.8 High Country

    Chevrolet Colorado 2.5 LTZ

    Chevrolet Colorado dengan aksesori

     
     
  • Pengusaha teksi halang pemandu Uber dan Grab ambil penumpang di lima tempat sekitar Kuala Lumpur

    big-blue-taxi-01-850x579-bm

    Selepas KLCC, kini pengusaha teksi Big Blue Taxi Service melanjutkan lagi halangan mereka untuk pemandu Uber dan Grab mengambil penumpang di empat tempat lagi iaitu Publika, Hotel Ritz Carlton, pusat beli-belah Sunway Putra dan Hotel JW Marriott, menurut laporan dari The Sun.

    “Kami melanjutkan langkah ini kerana tempat-tempat yang dinamakan tersebut adalah sebahagian daripada kawasan Big BLue, dan ia adalah keutamaan kami untuk memastikan orang awam mendapat servis yang bagus dan selamat,” kata pengasas Big Blue Taxi Service, Datuk Shamsubahrin Ismail.

    Kata beliau, Big Blue berhak melalukan halangan ini kerana mereka mempunyai kontrak dengan setiap pemilik bangunan atau pengurusnya.

    uber cash payment

    “Dalam kontrak tersebut, hanya teksi Big Blue sahaja yang dibenarkan untuk mengambil penumpang di jalan persendirian bangunan tersebut sementara mereka yang beroperasi secara haram atau tidak menepati keperluan yang ditetapkan oleh penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah dilarang masuk untuk mengambil penumpang, meskipun mereka mempunyai tempahan oleh pelanggan,” tambah beliau.

    Walaubagaimanapun, mereka masih boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan bangunan memandangkan halangan tersebut tidak termasuk jalan awam atau jalan masuk. Shamsubahrin juga menambah bahawa sesiapa yang telah memulangkan teksi mereka dan kini memandu kenderaan sendiri dialu-alukan untuk menyertai teksi ZeptoBlue (satu kerjasama dengan Zepto Express).

    “Apabila mereka menyertai kita, saya terbuka untuk menawrkan kontrak kerja yang membolehkan mereka menerima pendapatan tetap RM3,000 setiap bulan,” jelas beliau sambil menekankan bahawa tawaran tersebut hanya sah bagi mereka yang mempunyai lesen memandu kenderaan awam PSV dan rekod yang bersih.

    “Memandangkan keselamatan penumpang adalah menjadi keutamaan, kami menjalankan pemeriksaan ketat dengan pihak berkuasa terhadap semua pemandu sebelum menawarkan mereka kontrak. Kami tidak menerima pemandu yang mempunyai rekod jenayah,” kata Shamsubahrin sambil menambah yang beliau berharap dapat mengambil 5,000 pemandu baru menjelang akhir tahun ini.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA facelift akan datang ke Malaysia pertengahan 2017 – kuasa bertambah, lebih kemas

    mercedes-gla-facelift-002-850x478-bm

    Semasa pembentangan pencapaian jualan syarikat bagi suku ketiga tahun ini, timbalan presiden bahagian jualan dan pemasaran Mercedes-Benz Malaysia terlepas memberitahu model GLA facelift akan tiba di Malaysia pertengahan tahun 2017. Satu berita yang mengejutkan kerana kereta itu juga masih belum dipertonton secara global.

    Jadi, apa pembaharuan yang boleh dijangka pada SUV paling kecil jenama ini? Spyshot terbaru telah menunjukkan kereta tersebut mengalami perubahan sama seperti A-Class dan CLA. Ini termasuk lampu hadapan LED, bampar hadapan dan belakang yang direka semula dan lampu LED belakang baru. Rekaan rim baru juga sepatutnya hadir sama.

    Bahagian dalam pula dijangka mengalami perubahan yang minimal. Yang mungkin ditukar adalah stereng daripada C-Class, butang audio yang lebih rata, kemasan krom pada tuil penukar gear dan kawalan lain, serta panel instrumen yang diperbaiki supaya mudah dibaca. CLA facelift ini juga dijangka mempunyai sistem Dynamic Select yang menawarkan mod Comfort, SPort, Eco, Individual dan Off-Road.

    mercedes-gla-facelift-007-850x478-bm

    Juga diperkenalkan dalam pembaharuan ini adalah enjin empat silinder M 270 DE 2.0 liter yang diperbaharui pada GLA 250 – kuasa meningkat dari 211 hp kepada 218 hp sementara tork pula kekal pada 350 Nm. GLA 45 AMG juga menerima peningkatan kuasa seperti A 45 dan CLA 45, meningkat dari 360 hp dan 450 Nm menjadi 381 hp dan 475 Nm.

    Bagi model prestasi paling tinggi itu, kotak gear AMG Speedshift DCT (klac berkembar) yang digunakan juga boleh menukar gear lebih pantas, dan nisbah gear tiga hingga tujuh dijadikan lebih pendek untuk pecutan yang lebih pantas. Barangan lain yang ditambah adalah penyerap dinamik AMG Ride Control, yang mempunyai pilihan lebih lembut. Walaubagaimanapun, model prestasi ini tidak dapat dipastikan sama ada akan memasuki Malaysia bersama model facelift ini kerana A45 ada tiba, tetapi CLA 45 tidak.

     
     
  • Sistem M-Bike dijangka kurangkan 50% kesesakan motosikal di pintu masuk Malaysia-Singapura

    AppleMark

    AppleMark

    Pelaksanaan Secured Automated Clearance System bagi penunggang motosikal warga Malaysia (M-BIKE) bulan ini dijangka akan mengurangkan kesesasakan di lorong motosikal sebanyak 50% di pintu masuk Malaysia-Singapura.

    Menurut laporan Bernama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem M-BIKE yang bakal beroperasi sepenuhnya bulan depan merupakan usaha transformasi kerajaan untuk memperkemas perkhidmatannya kepada rakyat.

    “Setakat ini, melalui sistem berkenaan kita sudah berjaya mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak, dengan penunggang dan penumpang dapat menjimatkan masa berbanding sistem lama yang digunakan,” jelas beliau.

    Melalui sistem M-BIKE, masa pemeriksaan hanya memerlukan lapan saat, berbanding 12 hingga 15 saat sebelum ini bagi setiap motosikal. Setakat ini, sistem M-BIKE berkenaan melibatkan 50 laluan keluar-masuk di Bangunan Sultan Iskandar. Sementara itu, di Kompleks Sultan Abu Bakar pula melibatkan 25 laluan keluar-masuk.

    Bagaimanapun, buat masa sekarang masih belum ada laluan khas bagi motosikal berkapasiti besar memandangkan ia kini di dalam pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi. Jumlah berkenaan merangkumi sekitar 12 peratus daripada penunggang motosikal yang terlibat. Secara purata, kira-kira 60,000 penunggang motosikal melalui sempadan Malaysia-Singapura setiap hari.

     
     
  • Yamaha X-Max 300 2017 dilancar di Eropah – 27.6 hp

    2017_yam_xmax300_eu_mdnom1_sta_004-e1476874340362-850x386-bm

    Meneruskan kejayaan model Yamaha X-Max 250 di Eropah, kini model baru X-Max 300 2017 pula diumumkan oleh cabang syarikat itu di Eropah. Gaya luaran motosikal ini memang diambil daripada model X-Max 250 tetapi ia menggunakan enjin 292 cc satu silinder Blue Core berpenyejukan cecair dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah 27.6 hp @ 7,250 rpm dan tork 29 Nm @ 5,750 rpm. Kuasa dari enjin ini disampaikan kepada tayar belakang oleh kotak gear automatik.

    Pengguna boleh menghidupkan enjin menggunakan butang elektrik dan ia turut dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api. Rim yang digunakan pula bersaiz 15 inci di hadapan, dengan tayar 120/70 dan 14 inci di belakang dengan tayar 140/70.

    Antara ciri baru bagi model 2017 ini adalah ia dilengkapi dengan lampu LED depan dan belakang manakala penghidupan enjin pula boleh dilakukan tanpa mengeluarkan kunci. Dalam aspek keselamatan, selain sistem ABS yang disepadukan pada brek cakera 267 mm di hadapan dan 245 mm di belakang, X-Max 300 turut dilengkapi dengan Kawalan Cengkaman (TCS).

    Di bawah tempat duduknya, terdapat ruang simpanan yang cukup besar; boleh menempatkan dua helmet fullface dan pelbagai kelengkapan lain. Ruang simpanan kecil lain juga boleh didapati di bahagian kokpit hadapan, bersama soket USB untuk mengecas barangan elektronik seperti GPS atau telefon bimbit. Menambahkan lagi keselesaan, penghadang angin hadapan turut disediakan.

    Panel meter terdiri daripada jenis dua bulatan analog, dan di tengahnya terdapat panel LCD yang memaparkan tahap minyak, suhu, jarak perjalanan serta penggunaan bahan api. Tangki bahan apinya terletak di bawah kaki penunggang dan secara keseluruhan, X-Max mempunyai berat 179 kg.

    Harga Yamaha X-Max 300 2017 masih belum disiarkan, tetapi bagi X-Max 250 cc, ia dijual pada harga £4,499 (RM23,129). Apabila berada di pasaran menjelang March 2017 di Eropah nanti, orang ramai boleh memilih tiga warna iaitu Quasar Bronze, Milky White dan Matt Grey.

     
     
  • Kenapa JPJ buru ‘rim dan tayar kangkang’?

    Art of Speed 13

    Budaya ubahsuai “Stance & Fitment”(Snf) atau dikenali juga sebagai “Hellaflush” telah lama meledak diperingkat dunia. Dalam lanskap dunia ubahsuai kereta di Malaysia, modifikasi bertemakan SnF turut menjadi trend serta mempunyai bilangan pengikut yang agak besar.

    Konsep asas ubahsuai SnF ini memerlukan seorang pemilik kenderaan itu mengunakan rim yang agak lebar, lebih lebar dari tayar itu sendiri sehingga menyebakan tayar tersebut perlu ‘ditarik’ (stretch) ketika dipadankan pada rim. Kemudian sistem suspensi perlu diubahsuai untuk merendahkan kenderaan sehingga tayar kelihatan ‘sendat’ pada ruang roda. Untuk mendapat rupa yang lebih menarik, ada juga pemilik mengubah sudut camber dengan sudut lebih negatif dan kereta tersebut kelihatan seperti terkangkang, serta ia dapat direndahkan lagi.

    Tetapi, oleh kerana terdapat segelintir pemilik kereta yang membuat pengubahsuai secara berlebihan seperti menggunakan rim yang terlalu lebar sehingga terkeluar dari ruang roda dan sudut camber yang terlalu ekstrem sehingga menyebabkan ia berjalan terkangkang secara berlebihan, perkara ini telah dipandang serius oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Sekitar tahun 2013 dahulu, status laman Facebook berkenaan pihak JPJ yang memburu mereka-mereka yang melakukan ubahsuai dengan tema SnF ini menjadi viral. Apa yang lebih mengundang kontroversi, status berkenaan menyebut JPJ akan menahan mana-mana kereta yang menggunakan rim ROTA (merujuk kepada rim replika yang dibuat dengan ukuran sangat lebar, popular dikalangan peminat SnF) dengan ukuran lebar melebihi 8jj – menimbulkan persoalan, bagaimana pula dengan kereta yang sememangnya dikeluarkan dengan rim standard bersaiz sedemikian (khususnya untuk kereta sport dan kereta mewah)?

    Persoalan berkenaan menimbulkan persepsi seolah-olah JPJ membuat undang-undang secara ‘hentam keromo’, dan ia masih kekal hingga kini tanpa sebarang jawapan. Perkara ini juga menjadi perdebatan hangat dikalangan penggiat modifikasi SnF, sehingga dilihat seperti ada ‘perperangan’ antara mereka dengan pihak JPJ.

    Jadi, untuk merungkai persoalan ini dan untuk mengetahui secara teknikal kaedah sebenar yang digunakan oleh pihak JPJ dalam menahan mereka yang terlibat dalam modifikasi berkenaan, kami berkunjung ke pejabat Kementerian Pengangkutan Malaysia di Putrajaya untuk menemuramah sendiri Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif JPJ, Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib (gambar di bawah).

    datuk-mohamad-dalib-jpj-bm-2

    Menurut beliau, secara asasnya semua kereta yang dipasarkan di Malaysia terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan JPJ dibawah undang-undang United Nation Regulation 0 atau UN R0 yang sama dengan Akta Pengangkutan Jalan 66(1)(PP) Vehicle Type Approval (VTA). Setelah sesebuah kenderaan itu lulus dibawah undang-undang ini, barulah ia boleh dipasarkan dan dibeli oleh pengguna. Jadi, sekiranya sesebuah kenderaan diubahsuai selepas dibeli, secara tidak langsung ia sudahpun dikira sebagai ‘ubahsuai tanpa kebenaran’.

    “Sekiranya ada pemilik kenderaan yang ditahan atas kesalahan ubahsuai tanpa kebenaran tersebut, notis PG 1 akan dikeluarkan dimana kereta berkenaan dilarang untuk berada diatas jalan raya selama sepuluh hari, dan dalam tempoh itu pemilik perlu men’standard’kan semula kenderaan mereka dan dihantar ke JPJ untuk diperiksa. Setelah JPJ berpuas hati, larangan tersebut akan ditarik balik. Jika pemilik gagal melakukan perkara berkenaan dalam tempoh masa yang diberikan, barulah JPJ akan mengeluarkan saman dengan jumlah RM300.” jelas beliau.

    Namun, sekiranya pemilik tidak melakukan perkara yang diminta dalam masa yang ditetapkan, dengan alasan yang munasabah, JPJ sedia untuk memberi tempoh masa tambahan selama sepuluh hari. Sepuluh hari lagi akan ditambah jika masalah belum lagi selesai, dan untuk kali keempat permohonan melanjutkan tempoh, JPJ akan meminta pemilik kenderaan agar menyerahkan cukai jalan, dan hanya akan dipulangkan kembali setelah semuanya selesai.

    Menurut beliau lagi, JPJ tidak akan mengeluarkan saman sewenang-wenangnya dalam hal sebegini kerana Ketua Pengarah JPJ baharu Datuk Nadzri Siron lebih menggalakkan proses memberi ‘pendidikan’ kepada rakyat berbanding menghukum serta merakyatkan lagi perkhidmatan JPJ.

    Apabila ditanya mengapa JPJ melarang keras ubahsuai dengan tema SnF ini, IR. Mohamed Dalib menjelaskan, ini adalah bertentangan dengan amalan kejuruteraan kerana rim yang digunakan telah menyebabkan tayar di’tarik’ serta mengubah offset asal rim, seterusnya mengubah pusat graviti (CoG), trek roda (wheel track atau jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan), serta lilitan roda (wheel circumference atau jarak satu golekan lengkap tayar).

    Perubahan semua aspek ini akan menyebabkan bukan sahaja penggunaan bahan bakar yang berlebihan, ia juga akan menyebabkan tayar hilang cengkaman terutamanya pada permukaan basah dan akan menyebabkan kemalangan, jelas beliau.

    “Tiada masalah untuk pemilik kereta menukar rim asal mereka, tetapi haruslah penukaran tersebut tidak bertentangan dengan amalan kejuruteraan dan tidak mengubah CoG, wheel track dan juga wheel circumference. Penukaran rim yang betul bukan sahaja memberikan rupa yang lebih cantik terhadap kereta, ia juga akan memberikan pengendalian yang lebih baik.” tambah beliau.

    Kami sempat bertanya berkenaan cerita dari mulut-ke-mulut mengatakan JPJ menyaman pemilik yang mengubahsuai kereta mereka lebih rendah dari sebuah tin minuman ringan. Jawab IR. Mohamed Dalib “Saya juga ada dengar perkara sedemikian, bukan sahaja JPJ, malah pihak polis juga diceritakan melakukan perkara yang sama. Ini sebenarnya tidak betul kerana dengan VTA sahaja kami sudah pun boleh menyatakan kesalahan ubahsuai tanpa kebenaran jika melihat sesebuah kereta itu lebih rendah dari spesifikasi asal.”

    Menurut beliau, kereta yang rendah ini hanya mempunyai kelebihan di dalam litar dan ia tidak selesa jika digunakan pada jalan raya biasa. Kereta yang diubahsuai terlalu rendah juga kadang kala menyusahkan pengguna jalan raya yang lain kerana ia susah dan lambat ketika melalui bonggol. Jika bonggol tersebut terlalu tinggi, ia juga akan menyebabkan kereta tersebut tersekat di atasnya.

    Art of Speed 113

    Tambah beliau lagi, suspensi yang diubahsuai dengan sudut camber yang terlalu condong akan memberikan beban berlebihan pada penyerap hentak dan menyebabkan oil seal di dalamnya bocor dengan lebih cepat. Lebih teruk, sudut stereng dan wheel track yang berubah, ditambah dengan beban berlebihan, berkemungkinan akan menyebabkan penyerap hentak serta komponen suspensi lain patah ketika dipandu – membahayakan pemilik serta pengguna jalan raya yang lain.

    Sudut camber yang condong juga akan menyebabkan bunga tayar haus pada sebelah dalam sahaja, dalam tempoh masa lebih cepat dari biasa. Ini tentunya akan merugikan pemilik kenderaan tersebut sendiri.

    Ketika diminta memberi komen tentang sesetengah golongan yang menuduh JPJ sebagai badan yang menyekat kreativiti rakyat Malaysia, dengan tegas Datuk IR. Hj.Mohamed Dalib menjawab “JPJ juga terlibat dalam mengadakan banyak acara Autoshow di seluruh negara. Kreativiti sepatutnya ditunjukkan pada acara seperti Autoshow berkenaan atau pun di litar, bukan di jalan raya awam yang boleh menyusahkan pengguna jalan raya lain.”

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia catat jualan 9,047 unit dari Januari hingga September 2016, peningkatan 10%

    mercedes-benz-malaysia-q3-2016-18-bm

    Tahun 2016 adalah cukup mencabar bagi industri automotif. Meskipun begitu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) masih mampu menunjukkan jumlah jualan yang mengagumkan dengan keseluruhannya, 9,047 unit kenderaan berjaya dijual bermula dari Januari hingga September 2016.

    Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10% berbanding waktu sama tahun lalu dan perkongsian pasaran MBM kini berada pada tahap 2.4 peratus, seterusnya meletakkan ia di tempat pertama bagi jenama premium dalam sektor automotif negara.

    Model paling laris adalah C-Class, yang mencapai 3,733 unit tahun ini, 90% lebih tinggi berbanding tahun 2015. Perkara ini tidak mengejutkan kerana 2016 adalah tahun penuh sedan eksekutif kompak ini dijual dengan harga yang telah dikurangkan, bersama dengan barisan penuhnya, termasuk C 180 Avantgarde, C 200 Avantgarde dan Exclusive, C 250 AMG Line dan C 300 AMG Line (sekarang digantikan dengan C 350 e).

    Prestasi jualan C-Class yang kukuh juga sudah jauh daripada cukup untuk mengimbangi kejatuhan jumlah jualan model lain. Jualan E-Class contohnya, menurun 45% menjadi 1,463 unit disebabkan pemberhentian jualan model pemasangan tempatan (CKD) W212 generasi sebelumnya dan pengambil alihan model import (CBU) W213. S-Class, atau lebih spesifik S 400 h pula menunjukkan penurunan 40% menjadi 821 unit.

    mercedes-benz-malaysia-q3-2016-22-bm

    Bagi kenderaan kompak Mercedes-Benz, jualan A-Class menunjukkan peningkatan sebanyak 21% menjadi 829 unit manakala CLA dan GLA pula meningkat masing-masing sebanyak 480 unit dan 473 unit.

    Sementara itu, MBM juga berjaya menjual 964 unit model GLC dan 190 unit campuran GLE dan GLE Coupe. Barisan kenderaan ‘Dream Cars’ yang terdiri daripada model jenis coupé, tanpa bumbung, AMG dan Maybach pula keseluruhannya mencatat 195 unit.

    Pada bahagian perniagaan yang lain, pengeluaran di kilang MBM di Pekan, Pahang telah meningkat sebanyak 15% menjadi 6,424 unit dan syarikat itu memberitahu, gudang simpanan yang baru berhampiran kilang tersebut sepatutnya dapat membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

    Servis selepas jualan juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18.1% daripada tahun 2015, dengan keseluruhannya, 79,917 buah kenderaan berjaya diservis di 29 pengedar MBM di seluruh negara. Walaupun dengan jumlah yang banyak ini, MBM menyatakan bahawa syarikat masih mencatat skor tertinggi dalam Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI). Akhir sekali, cabang pembiayaan Mercedes-Benz Services Malaysia menghasilkan portfolio servis berjumlah RM1.8 bilion, iaitu 80% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Saga 2016 – selamat tinggal imej dulu; ini adalah permulaan baharu yang meyakinkan

    proton-saga-premium-drive-4-bm

    Kereta mampu milik tidak semestinya rasa dan nampak murah. Ini barangkali mantra yang paling utama boleh dinyatakan – daripada banyak lagi perkara lainnya – ketika membicarakan tentang Proton Saga 2016. Dan, ungkapan berkenaan bukanlah datang entah dari mana, melainkan ia sebenarnya berkali-kali disuarakan oleh pengurusan Proton sendiri sebelum ini.

    Apa tanggapan anda ketika pertama kali melihat kereta sedan ini secara berdepan? Adakah menepati jangkaan awal yang bermain dalam fikiran atau sebaliknya? Memang, seperti yang sudah kerap anda dengar, dalam konteks pengeluar kenderaan nasional antara Proton dan Perodua, ini merupakan “lawan” sebenar yang setanding bagi model Perodua Bezza – kedua-duanya berada di dalam kelas dan kelompok sasaran pasaran yang sama dan bertembung secara berdepan.

    Namun, di antara keduanya terdapat beberapa “perbezaan”. Jika Perodua Bezza merupakan sedan pertama yang dihasilkan oleh pengeluarnya, Proton Saga pula merupakan penampilan dalam generasi ketiga kini. Semestinya unsur “yang pertama” pada Bezza secara semula jadi lebih mengghairahkan dan menarik lebih banyak minat dan perhatian dari pasaran. Dan, ia juga mempunyai satu lagi kelebihan – status EEV sebagai kenderaan cekap bahan api.

    Ini sama sekali berbeza dengan Proton Saga 2016. Pasaran sudah terbiasa dengan imejnya sejak dahulu lagi, ketika mula diperkenalkan pada 1985. Di sebabkan hal ini, jangkaan terhadapnya juga tentulah sangat berbeza jika dibandingkan dengan sebuah model serba baharu yang pertama kali diperkenalkan seperti Perodua Bezza. Paling tidak, inilah perkara yang bermain di dalam fikiran kami.

    Jadi, apa yang dijangkakan daripada Proton Saga di dalam “kelahiran” semulanya ini? Tentulah, sebuah produk yang semakin baik dan lebih matang berbanding sebelumnya. Daripada imej luaran, walaupun ia agak subjektif, Proton Saga mencadangkan kepada kita bahawa terdapat banyak perkara yang sudah dilakukan untuk meletakkannya di satu tahap baharu – usaha yang bersungguh-sungguh untuk memberikan nilai tambah kepada kereta mampu milik ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • GALERI: Audi A4 B9 kini vs generasi sebelumnya, B8

    audia4_b8vsb9-9-bm

    Audi A4 generasi kelima akhirnya dilancarkan di Malaysia bulan lepas dan ia ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu 2.0 TFSI (versi 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI akan tiba pada bulan Januari 2017). Harga pasaran bagi A4 B9 yang diimport CBU ini adalah RM248,900 (atas jalan tanpa insurans), tetapi Audi Malaysia memberikan promosi bagi mereka yang membuat pembelian awal, dengan harga RM239,900.

    A4 2.0 TFSI dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan 190 hp dan 320 Nm tork pada takat rpm 1,450 hingga 4,200. Kotak gear S Tronic tujuh kelajuan dengan klac berkembar menghantar kuasa ini ke dua tayar hadapan dan untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, ia mengambil masa 7.3 saat manakala kelajuan maksimum pula adalah 240 km/j.

    Itu adalah jumlah kuasa yang bagus, tetapi bagi mereka yang mahukan lebih lagi, versi 2.0 TFSI quattro (pacuan semua roda) yang akan datang nanti boleh memuaskan dengan jumlah kuasa sebanyak 252 hp dan 370 Nm tork, dari takat rpm 1,600 hingga 4,500 rpm, dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat. Ini adalah jawapan Audi untuk bersaing dengan BMW 320i (252 hp, 350 Nm, 5.8 saat) dan Mercedes-Benz C 300 (245 hp, 370 Nm, 5.9 saat).

    audia4_b8vsb9-10-bm

    Sementara itu, Audi A4 B8 1.8 TFSI (model generasi sebelum ini) yang kami tampilkan ini pula dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo dengan kuasa 170 hp dan 320 Nm tork daripada 1,400 hingga 3,700 rpm, dan dipadankan dengan kotak gear CVT Multitronic. Unit automatik ini telah digantikan dengan kotak gear automatik klac berkembar pada model B9, kecuali pada model 3.0 TDI diesel yang mendapat kotak gear automatik Tiprtonic lapan kelajuan bagi berhadapan dengan tork yang lebih tinggi.

    Perbezaan dua model ini mungkin tidak berapa jelas bagi sesetengah orang, tetapi sebenarnya A4 B9 baru ini bukan sekadar facelift bagi B8, tetapi adalah sebuah model serba baru – setiap panel badan adalah baru dan terdapat platform Modularer Längsbaukasten yang diperbaiki di sebaliknya. Platform MLB Evo yang digunakan ini adalah untuk model berenjin hadapan menegak, dan ia turut digunakan pada model Audi Q7 sekarang. Bergantung pada varian, penggunaan platform ini boleh menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 110 kg.

    Galeri sebelah-menyebelah model lama dan baru berwarna kelabu ini (kedua-duanya tanpa pakej S Line) boleh menjelaskan lagi perbezaan dan menyangkal persepsi facelift padanya. Audi A4 B9 lebih tajam dan besar (25 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar) berbanding sedan yang diganti, dengan 12 mm daripada panjang tambahan tersebut boleh didapati pada jarak roda yang kini menjadi 2,820 mm. A4 B9 juga lebih besar berbanding saingannya daripada BMW dan Mercedes-Benz. Kelihatan terlalu biasa? Ini pula bagaimana ia kelihatan dengan kit S Line, rim 17 inci dan warna yang lebih terang.

    Saiz tambahan ini memberikan kelebihan pada bahagian dalam, yang lebih luas berbanding F30 dan W205. Namun, lebih menarik adalah rekaan papan pemukanya yang lebih bergaya dan minimal. Ini adalah satu perubahan yang besar berbanding kokpit B8 sebelumnya, yang mempunyai butang berwarna merah dan bersepah. Turut kelihatan adalah kualiti bahan yang baik.

    Sementara anda melayari galeri ini, ambil perhatian bahawa A4 B8 yang kami tampilkan ini adalah model penghabisan yang dilengkap dengan naik taraf berjumlah RM38,000. Ini termasuklah pakej teknologi yang merangkumi lampu adaptif, kamera belakang, sistem bunyi Bang & Olufsen, MMI Navigation Plus, Comfort Key dan rim aloi Audi Sport 18 inci (satu inci lebih besar berbanding model asas).

    Untuk lebih lagi berkenaan Audi A4, lihat laporan pelancaran dan spesifikasinya di CarBase.my.

    GALERI: Audi A4 B9

    GALERI: Audi A4 B8

     
     
  • Peugeot Traveller mungkin diperkenalkan pada suku ketiga 2017 di M’sia – CKD, berpotensi untuk dieksport

    peugeot traveller 4

    Peugeot Traveller mungkin akan dipasarkan di Malaysia pada suku ketiga tahun 2017. Menurut sumber dari Nasim, pengedar rasmi Peugeot di Malaysia, kini sedang meneroka kemungkinan untuk membawa MPV bersaiz besar berkenaan pada suku ketiga tahun hadapan.

    Sumber berkenaan turut menyatakan, ia turut mungkin akan dieksport jika terdapat permintaan, di mana ia akan dipasang secara CKD di Gurun, Kedah (Malaysia merupakan hab pemasangan Peugeot untuk rantau ini).

    Jika ini benar-benar berlaku, Traveller bakal menjadi pesaing tunggal dari Eropah untuk Toyota Alpahard/Vellfire serta MPV yang dibawa secara grey import seperti Estima dan lain-lain, memandangkan Volkswagen tidak membawa model Transporter ke Malaysia. Alphard dan Vellfire juga kini telah dibawa sendiri oleh UMW Toyota, hadir dengan waranti pegeluar selama lima tahun.

    peugeot traveller 2

    Traveller diperkenalkan pada Disember tahun lalu di Eropah, bersama dua lagi MPV yang dibina dengan platform yang sama iaitu Citroen SpaceTourer dan Toyota ProAce. Ketiga-tiga model ini yang dibina dengan kerjasama antara PSA Peugeot Citroen dan Toyota tetapi menerapkan rekaan tersendiri untuk jenama masing-masing, kini hanya dipasang oleh PSA di Perancis.

    Traveller dibina menggunakan Efficient Modular Platform (EMP2) PSA yang turut digunakan pada kereta penumpang dan juga SUV, menjadikan ia 100-400 kg lebih ringan dari pesaingnya, menurut Peugeot. Tiga versi dengan panjang berbeza dihasilkan iaitu model Compact 4.60m, Standard 4.95m dan Long 5.30m. Ia dipadankan sehingga sembilan tempat duduk dengan ruang but berkapasiti 1,500 liter, atau sehingga 4,900 liter menerusi tempat duduk barisan kedua dan ketiga yang boleh dialihkan.

    Bentangan tempat duduk “Business VIP” turut ditawarkan dengan empat tempat duduk individu balutan kulit yang disusun secara berhadapan. Bumbung pelbagai-fungsi dengan penghawa dingin tiga zon serta sebaran lembut (seperti dalam pesawat, menurut Peugeot) merupakan ciri-ciri yang eksklusif dalam segmennya. Lampu mood juga dilengkapkan untuk keselesaan penumpang.

    Ciri unik lain pada (van penumpang Eropah) segmen ini termasuk pintu gelangsar tanpa sentuh (diaktifkan menggunakan kaki pada bahagian juntaian belakang), paparan head-up dan sistem bacaan papan tanda dengan saranan had laju, tingkap belakang yang boleh dibuka, panel bumbung kaca, Brek Keselamatan Aktif dan suis lampu tinggi automatik, navigasi kawalan suara baharu dan informasi trafik masa sebenar, kamera undur VisioPark dengan pandangan tinggi 180 darjah serta zoom untuk pandangan belakang, dan Amaran Perhatian Pemandu.

    Untuk pasaran Eropah, Traveller dijana dengan lima pilihan enjin diesel BlueHDI. Enjin 1.6 liter dan 2.0 liter Euro 6 berkenaan mampu menjana kuasa dari 95 hp hingga 180 hp, serta kesemuanya dipadankan dengan sistem auto start-stop dan kotak gear enam kelajuan (manual dan automatik). Tiada pilihan enjin petrol ditawarkan buat masa sekarang.

    Jadi, adakah anda rasa MPV dari Perancis ini mampu membuat sebarang perubahan pada pasaran dan menjadi pilihan selain Alphard dan Vellfire?


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025