Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Tweckbot telah memeriksa 4,000 kenderaan setakat ini – 50-mata percuma sempena Deepavali

    perodua_tweekbot_1

    Perodua telah mengesahkan pasukan Perodua Tweckbot yang diperkenalkan sejak tahun 2011 telah pun memeriksa lebih 4,000 kenderaan dan jumlah ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa. Perodua Tweckbot yang bergerak ke serata lokasi menjelang musim perayaan.

    Bagi menyambut Hari Deepavali pada hujung minggu ini, terbaru, Perodua Tweckbot telah memilih Taiping, Perak, sebagai lokasi untuk pemeriksaan kenderaan secara percuma. Malah sebanyak 50-mata ganjaran percuma turut diberikan dalam sesi pemeriksaan tersebut.

    Pemeriksaan keselamatan kenderaan ini melibatkan bahagian enjin termasuk transmisi, tahap sistem penyejukan (termasuk tahap cecair penyejuk, kipas dan suhu), brek (termasuk cecair brek dan pad brek), stereng berkuasa, tayar, klac, suspensi, sistem elektrikal (termasuk air, lampu dan bateri) dan diagnosis enjin.

    perodua_tweekbot_2

    Sebagai tambahan bagi 50-mata ganjaran pemeriksaan percuma ini, Perodua turut menawarkan 20% diskaun bagi alat ganti dan aksesori kepada para pelanggan yang mengambil bahagian di dalam program ini. Tertakluk pada terma dan syarat.

    Bukan itu sahaja, sementara menantikan kenderaan diperiksa, pelanggan Perodua juga boleh mendaftar untuk menjadi ahli program UFirst, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bakal menerima berita terkini mengenai promosi dan acara-acara yang bakal dianjurkan.

    “Kami berterima kasih kepada semua pelanggan yang menyertai program tanggungjawab sosial ini. Kami juga mendoakan keselamatan anda sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman sempena perayaan Deepavali ini,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

     
     
  • Honda UR-V didedahkan – Avancier bagi Dongfeng

    honda-ur-v-spy-1-bm

    Di China, Honda mempunyai dua usaha sama dengan pengeluar tempatan. Disebabkan itu, kadang-kadang, akan ada dua rekaan bagi satu model yang sama di sana; sebuah pasaran automotif terbesar dunia waktu ini. Terbaharu ialah Dongfeng Honda dengan model crossover Honda UR-V, yang merupakan penampilan lain bagi Honda Avancier yang diperkenalkan April lalu, oleh sebuah lagi rakan usaha sama lain, Guangqi Honda.

    Imej-imej ini adalah dari autohome.com.cn, menampilkan model Avancier dengan wajah depan yang dikemaskini. Bahagian atas dan bawah grilnya disambungkan pada bahagian berbentuk ‘U’ sama seperti yang terdapat pada model HR-V. Lampu utama dipadankan padanya seperti suatu lapisan lain yang dihubungkan sekali.

    Ini sedikit berbeza dengan pendekatan yang biasa digunakan bagi rekaan di bahagian hadapan Avancier, yang menempatkan rupa Solid Wing Face dan gril krom seperti Civic baharu. Lampu utama yang kelihatan di sini bukan LED, tetapi mungkin varian tertinggi nanti akan dilengkapi lampu dari jenis itu.

    honda-ur-v-spy-2-bm

    Di bahagian belakang turut menerima perubahan. Kedudukan lampu belakang serta ruang nombor pendaftaran antara yang terlibat. Yang menjadi kelainan pada UR-V ini ialah jalur merah yang menghubungkan kedua-dua belah lampu belakangnya, yang turut dapat dilihat pada Honda BR-V.

    Logo dan kemasan krom turut dialih turun sedikit ke bawah. Bahagian pemantul kini dalam kedudukan menegak, serta elemen lain seperti corong ekzos dan diffuser turut mengalami perubahan. Perubahan serba sedikit rekaan berkenaan telah menambah panjangnya sebanyak 9 mm kepada 4,825 mm.

    Dengan lebar yang melebihi 1.9 meter dan jarak antara rodanya 2,820 mm, Avancier/UR-V merupakan SUV saiz besar yang berada lebih atas daripada CR-V. Lawannya ialah Toyota Highlander dan Ford Edge di China.

    Avancier dikuasakan oleh enjin 2.0 liter “Sport Turbo” VTEC Earth Dreams Technology, yang digandingkan dengan transmisi sembilan-kelajuan automatik dengan Paddle Shift. Enjin ini menjana 268 hp dan 370 Nm; sistem 4WD On-Demand turut disediakan.

    GALERI: Honda Concept D di Auto Shanghai 2015

     
     
  • Penang seragamkan waktu parkir mengikut zon

    Public-Parking-Lots

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam proses untuk menyeragamkan masa parkir bagi semua lot parkir di sekitar pulau berkenaan.

    Menurut Ahli Majlis Perbandaran MBPP, Joseph Ng, penyeragaman masa dan tarikh ini adalah bagi memastikan sistem ini berjalan lancar dan mengelakkan kekeliruan di kalangan penggunanya, laporan The Sun.

    Belian berkata, terdapat tiga zon parkir yang disediakan iaitu hijau, biru dan merah, di mana setiap satunya memiliki masa dan tarikh parkir yang berbeza.

    Bagi zon hijau dan biru, pengguna perlu membayar kadar parkir untuk hari Isnin hingga Sabtu, namun bagi zon merah pula, ia ditetapkan sepanjang minggu.

    “MBPP akan memperkenalkan Smart Parking Gadget (SPG) di mana kredit akan disimpan dan hanya akan diaktifkan apabila pengguna menggunakan lot parkir yang disediakan. Walau bagaimana pun, sistem kupon parkir sedia ada tidak akan ditamatkan dan ia masih diperlukan terutamanya bagi pelancong yang mengunjungi Pulau Pinang dan mereka tidak perlu menggunakan SPG dalam lawatan singkat itu,” ujar Joseph.

    Beliau turut berkata, terdapat kemungkinan peningkatan kadar parkir pada masa hadapan untuk membezakan lot parkir di bawa seliaan MBPP dan juga parkir persendirian. Katanya lagi, MBPP akan mempertimbangkan lebih banyak lot parkir, jika kadar bagi lot-lot parkir swasta adalah lebih kurang sama.

     
     
  • Prolintas tawar 10% diskaun tol di AKLEH, GCE dan LKSA sempena Hari Deepavali hujung minggu ini

    GUTHRIE

    Sempena dengan perayaan Deepavali pada Sabtu, 29 Oktober ini, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% bagi pengguna Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Koridor Guthrie (GCE) dan Kemuning-Shah Alam (LKSA).

    Menurut CEO PROLINTAS, Malik Parvez Ahmad, diskaun ini akan diberikan bermula 6 pagi pada 29 Oktober dan berakhir pada 6 pagi, 30 Oktober.

    Katanya lagi, diskaun sempena Hari Deepavali ini adalah salah satu daripada pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh PROLINTAS. Malahan ia juga sebagai tanda terima kasih kepada semua pengguna lebuh raya berikut.

     
     
  • Proton Iriz R5 – Imej penuh terdedah!

    Sebelum ini, Mellors Elliot Motorsport (MEM), pembina kereta rali dari UK yang menyediakan Mitsubushi Lancer Evo VI untuk kegunaan pasukan Proton PERT di Eropah dan Proton Satria Neo S2000 telah berkongsi imej teaser Proton Iriz R5 baharu binaan mereka. Terbaharu, satu akaun instagram dari Sepanyol bernama Furancho Racing telah mendedahkan satu gambar penuh Iriz R5 berkenaan.

    Tiada maklumat tambahan pada gambar berkenaan dan hanya diletakkan dengan kapsyen “Jenama Malaysia (Proton) boleh kembali ke rali dengan Iriz R5.” Menerusi gambar berkenaan, imej Iriz lima pintu asal masih lagi jelas. Ia kelihatan seperti disuntik dengan steroid, menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar, sama seperti abangnya – Satria Neo S2000. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz jalanan, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

    Belum lagi menerima livery perlumbaan sepenuhnya, Iriz R5 ini diberikan warna badan perak dengan logo harimau Proton dilekat pada pintu belakang beserta logo “Proton Motorsport” seiras dengan Satria Neo S2000.

    MEM belum lagi mengumumkan spesifikasi Iriz ini. Namun jika dilihat undang-undang yang ditetapkan oleh FIA untuk kelas R5 iaitu kelas yang dipertandingkan dalam Kejohanan Rali Dunia-2 (WRC-2 atau sebelum ini dikenali sebagai S-WRC), ia perlu menggunakan enjin berkapasiti 1.6 liter dengan bantuan pengecas turbo, pacuan empat roda serta berat minima 1,230 kg.

     
     
  • Uber Malaysia gembira dengan Bajet 2017; kerjasama dengan Proton adalah pertama seumpamanya di dunia

    uberx-proton-iriz

    Berikutan pengumuman oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017 semalam berkenaan galakan yang diberi kerajaan untuk golongan B40 bagi menyertai aplikasi ride-sharing, Uber Malaysia turut mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara tersebut.

    Dalam ucapan Perdana Menteri semalam, kumpulan B40 iaitu golongan yang berpendapatan 40 peratus terendah mampu menjana pendapatan sehingga RM1,500 sebulan jika mereka memandu separuh masa iaitu dalam tempoh 10-40 jam seminggu dan RM4,300 jika mereka memandu melebihi 40 jam seminggu.

    Golongan sasar berkenaan yang menerima BR1M juga turut boleh menggunakan wang berkenaan sebagai wang pendahuluan untuk membeli Proton Iriz, serta mengambil kesempatan atas rebat RM4,000 yang diberikan oleh Proton sendiri.

    Dalam kenyataan oleh Uber, syarikat berkenaan menambah mereka telah berhubung dengan Proton sebagai rakan kerjasama dalam inisiatif ini, yang mana ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia. Kedua-dua pihak “berkongsi visi yang sama untuk memacu Malaysia kearah inovasi teknologi dan mewujudkan peluang menjana ekonomi,” kata Leon Foong, pengurus besar Uber Malaysia.

    Berikut adalah kenyataan rasmi dari Uber Malaysia

    Kami gembira bahawa kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengiktiraf bagaimana Uber boleh memberi kesan positif kepada status sosioekonomi rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 ini. Dengan menyediakan pilihan untuk menjana pendapatan hanya dengan sentuhan butang kepada rakyat Malaysia bagi semua lapisan masyarakat, rakan-pemandu dapat memberi menyumbang kepada diri dan keluarga mereka, dan juga mempunyai kebebasan yang lebih tinggi untuk mengejar impian mereka.

    Kami juga teruja untuk bekerjasama dengan Proton, pengeluar kereta nasional, sebagai rakan kongsi dan akan membuat pengumuman dengan maklumat lanjut tidak lama lagi. Ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia untuk Uber. Sama seperti Uber yang telah menjadi perintis utama dalam industri ride-sharing, Proton juga telah merintis industri automotif di Malaysia. Kami berkongsi visi yang sama untuk memacu Malaysia ke hadapan melalui inovasi teknologi dan mewujudkan peluang menjana ekonomi.

    Inisiatif ini jelas menyediakan pertumbuhan ketara dan memperkasakan ekonomi. Ia juga merupakan satu kemenangan yang jelas bagi industri ride-sharing dan menunjukkan kepimpinan yang berpandangan jauh. Kami memuji kerajaan Malaysia kerana langkah bijak ini, Belanjawan mesra rakyat!

    Di mana sahaja kami beroperasi, Uber telah memberi kesan positif kepada rakyat dan bandar-bandar serta kami telah memberi sumbangan kepada ekonomi tempatan. Ride-sharing akan kekal di sini dan Uber pasti akan terus memainkan peranan dalam meningkatkan mobiliti bandar di Malaysia

     
     
  • Proton terima baik langkah pengenalan rebat RM4,000 pada Iriz, untuk pemandu servis ‘ride-sharing’

    uberx-proton-iriz

    Dalam pembentangan Bajet 2017, perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan jelas menyatakan sokongan terhadap servis ride-sharing seperti Uber dan Grab. Malah, satu skim khas disediakan bagi mereka yang ingin menceburi bidang itu.

    Seperti yang diberitahu Najib, Proton telah bersetuju untuk menawarkan rebat bagi sesiapa yang membeli Iriz, untuk menjadi pemandu servis ride-sharing ini. Tawaran ini dikhaskan untuk golongan yang berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

    Berikutan ini, Proton mengeluarkan satu kenyataan mengatakan pengumuman itu telah membawa keterujaan kepada syarikat. Pengeluar kenderaan nasional itu juga memberitahu mereka mengalu-alukan langkah ini dan gembira untuk bekerja bersama syarikat servis ride-sharing, dengan sasaran untuk membantu kehidupan golongan B40 ini.

    Dalam kenyataan itu, Proton turut mengatakan mereka “berterima kasih kepada kerajaan dengan objektif jelas mereka menyokong pembuat kereta nasional dan memacu lagi industri automotif. Langkah ini juga memberikan pembangunan yang lebih ketara dan peluang ekonomik kepada negara.”

    Uber juga ada mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara ini dan ia boleh didapati di sini.

     
     
  • Ducati Multistrada 1200 Enduro dilancar – RM129,999

    ducati-multistrada-1200-enduro-bm-2

    Bagi mereka yang suka menjelajah, tidak kira sama ada di atas jalan biasa atau meredah jalan tanpa tar, Ducati mempunyai model yang bersesuaian, dikenali sebagai Multistrada 1200 Enduro. Ia sudah tiba di Malaysia dan dijual pada harga RM129,999 termasuk GST, tanpa insurans.

    Motosikal ini masih lagi menggunakan enjin Testastretta DVT (Desmodromic Variable Timing) 160 hp, tetapi kini sudah ditala untuk melepasi tahap emisi Euro 4 dengan ekzos baru. Istimewa bagi model Multistrada 1200 Enduro adalah rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Menjadikannya lebih bersesuaian, ia dipadankan dengan suspensi semi aktif Sachs depan dan belakang, serta tangki minyak 30 liter.

    Pakej elektronik pada Multistrada 1200 Enduro adalah antara yang paling lengkap, bermula dengan Inertia Measurement Unit (IMU), seterusnya digabung dengan sistem lain seperti Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Skyhook Suspension (DSS) Evolution, Vehicle Hold Control (VHC), Cornering ABS dan Cornering Lights (DCL). Empat pilihan tunggangan yang disediakan pula menjadikan motosikal ini empat dalam satu.

    Pada bahagian informasi dan hiburan, selain sistem multimedia yang boleh disambung kepada telefon bimbit untuk memaparkan fungsi penting seperti menjawab panggilan, mesej dan muzik, pemilik Multistrada 1200 Enduro juga boleh memuat turun aplikasi khas yang boleh disambung kepada motosikal dan memaparkan data seperti laju, sudut condong, kuasa dan penggunaan bahan api.

     
     
  • Ducati XDiavel masuk pasaran M’sia – harga RM136k

    ducati-xdiavel-launch-bm-14

    Walaupun adalah pengeluar motosikal berprestasi, Ducati juga mempunyai model cruiser dan ia dilaksana oleh XDiavel. Kini, ia sudah tiba di Malaysia dan harga jualan yang ditetapkan adalah RM135,999 termasuk GST, tanpa insurans.

    Huruf X yang berada pada nama motosikal ini menunjukkan ia adalah pertembungan dua karekter iaitu santai sebuah cruiser dan ‘dunia prestasi Ducati’. Seperti yang boleh dilihat, XDiavel menyediakan kedudukan tunggangan lebih santai – tempat duduk tenggelam dengan sokongan yang baik, peletak kaki yang ke hadapan dan pemegang yang mudah dicapai.

    Kemudiannya, ia dipacu oleh enjin Testastretta DVT 1262. Asas enjin ini sebenarnya adalah berkapasiti 1,198 cc, seperti pada Diavel biasa tetapi dinaik taraf dengan Desmodromic Variable Timing (DVT) dan strok yang lebih, menjadi 1,262 cc. Langkah ini diambil supaya Diavel dapat menghasilkan kuasa pertengahan rpm yang lebih baik. Keseluruhannya, ia berkemampuan 156 hp dan 128 Nm tork.

    Dari aspek ergonomik, XDiavel boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis penunggang, dengan keseluruhannya 60 pelarasan boleh dibuat pada bahagian tempat duduk, tempat meletak kaki dan tempat pemegang. Selain itu, walaupun XDiavel adalah sebuah cruiser, disebabkan ia adalah Ducati, anda boleh condong mengambil selekoh sehingga 40 darjah.

    Satu lagi perkara baru pada XDiavel adalah ia motosikal pertama Ducati yang menggunakan sistem pacuan tali sawat untuk menyampaikan kuasa dari kotak gear enam kelajuan kepada tayar belakang. Ini demi mendapatkan pemanduan yang lebih senyap, bersih, kurang penjagaan dan tindak balas lebih lancar untuk sebuah cruiser.

    Pada bahagian elektronik, Ducati XDiavel mempunyai Inertia Measurement Unit (IMU), Ducati Traction Control (DTC), pilihan mod tunggangan, Bosch Cornering ABS, Cruise Control dan Ducati Power Launch (DPL).

     
     
  • Ducati Monster 1200 R dilancar pada harga RM140k

    ducati-monster-1200-r-2

    Model naked yang banyak membantu kenaikan jenama Ducati iaitu Monster tiba di Malaysia dalam versi baru yang paling berkuasa – Monster 1200 R. Harga yang ditetapkan adalah RM139,999 dengan GST tetapi tidak termasuk insurans. Monster 1200 R menggunakan enjin Testastretta 11° DS R 1,200 cc dan jika dibandingkan dengan model 1200 S, ia mempunyai 10% lebih kuasa dan 5.5% lebih tork, dengan jumlah keseluruhannya 160 hp dan 131.5 Nm.

    Sebagai sebuah model yang lebih agresif, selain peningkatan kuasa, Monster 1200 R turut dijadikan lebih tinggi dan boleh lebih condong untuk mengambil selekoh berbanding Monster 1200 S. Tayar yang didatangkan terus dari kilang adalah Pirelli Diablo Supercorsa SP. Selain itu, ia juga lebih ringan iaitu 180 kg.

    Membantu lagi prestasinya, Monster 1200 R dilengkapi dengan suspensi baru dan damper Ohlins manakala kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada Ducati Safety Pack – brek ABS, Ducati Traction Control dan tiga mod tunggangan.

     
     
  • Ducati Panigale 959 tiba di M’sia – harga RM100k

    ducati-panigale-959-bm-2

    Model sports Ducati ditawarkan kepada pengguna dengan nama Panigale dan model pertengahannya, Panigale 959 tiba di Malaysia dengan harga RM99,999 (termasuk insurans, tanpa GST). Gaya yang digunakan menyerupai model lebih tinggi iaitu Panigale 1299, bersama lampu tajam di hadapan dan lampu belakang yang unik.

    Model ini adalah penyambung kepada model Panigale 899 yang ditawarkan sebelum ini dan ia menggunakan enjin Superquadro dua silinder sama, cuma diubah suai pada bahagian strok untuk menjadikan kapasitinya 955 cc. Dengan perubahan ini, tork yang lebih meluas pada tahap rpm berbeza dapat dihasilkan, dan bersama jumlah kuasa 157 hp yang meningkat, ia masih tidak perlu tempoh servis yang pendek. Pelarasan injap hanya perlu dilakukan pada setiap 24,000 km.

    Dibangunkan sebagai sebuah model serba boleh, Panigale 959 dilengkapi dengan tiga pilihan mod tunggangan, sistem brek ABS Bosch tiga tahap, Ducati Traction Control (DTC), Engine Braking Control (EBC) dan Ducati Quick Shift. Pilihan warna yang disediakan adalah merah dengan rim hitam dan putih dengan rim merah.

     
     
  • Ducati Hypermotard 939 dilancar di M’sia – dari RM70k

    ducati-hypermotard-939-bm-1

    Ducati Hypermotard telah wujud dalam barisan model Ducati sejak 10 tahun yang lepas dan model terbaru 2016, Hypermotard 939 sudah dilancarkan di Malaysia dengan harga bermula RM70,999 (termasuk GST, tanpa insurans). Hypermotard 939 ini juga didatangkan dalam dua lagi variasi iaitu Hypermotard 939 SP yang diperlengkap dengan perkakasan prestasi dan Hyperstrada 939 yang mempunyai peralatan tambahan untuk menjelajah. Harga bagi dua variasi tambahan ini hanya akan diberitahu kelak.

    Peningkatan paling utama Hypermotard 939 2016 berbanding model sebelum ini adalah enjin Testastretta 11° dua silinder barunya yang berkapasiti 937 cc, menggantikan enjin 821 cc. Enjin 937 cc ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 113 hp pada 9,000 rpm dan ini adalah peningkatan sebanyak 10 %. Bahagian top-end baru pada enjin ini berjaya menghasilkan tork yang lebih meluas sepanjang rpm, dan pada kelajuan sederhana, ia bersamaan 18% lebih tinggi.

    Selain itu, penambahan baru bagi model ini adalah penyejuk minyak (oil cooler) yang membantu prestasi terbaik enjin walaupun dikerah secara keras. Semua Ducati Hypermotard 939 dilengkapi pek keselamatan Ducati Safety Pack, yang terdiri daripada brek ABS (2 tahap untuk Hypermotard dan Hyperstrada, 3 tahap untuk Hypermotard SP), lapan tahap kawalan cengkaman (Traction Control) dan tiga pilihan mod tunggangan.

    Hypermotard 939 menggunakan fork hadapan Kayaba 43 mm di hadapan, penyerap Sachs 170 mm di belakang dengan pergerakan hentakan (wheel travel) 150 mm, berat 181 kg, tinggi tempat duduk 870 mm dan tayar Pirelli Diablo Rosso II.

    Hypermotard 939 SP pula menawarkan prestasi lebih serius dengan warna inspirasi MotoGP, fork hadapan Ohlins 48 mm di hadapan, penyerap Ohlins dengan pergerakan hentakan 175 mm, tinggi tempat duduk 890 mm, penutup injap magnesium, panel gentian karbon dan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP.

    Hyperstrada 939 mempunyai kelebihan untuk menjelajah, dengan tambahan barang seperti beg 50 liter, tongkat tengah, pemegang yang ditingkatkan 20 mm, penghadang angin tinggi, soket 12 V, tempat pemegang untuk penumpang dan tempat duduk lebih lebar. Pada bahagian suspensi, ia mempunyai kelengkapan sama seperti Hypermotard tetapi tinggi tempat duduknya lebih rendah, iaitu 810 mm, berat 187 kg dan tayar Pirelli Scorpion Trail.

     
     
  • Bajet 2017: RM55 bilion untuk bina Rel Jajaran Pantai Timur, RM100 juta untuk baiki rel Gua Musang-Tumpat

    cvsf1q_ukaa1foy-jpg-large_bm

    Dalam Bajet 2017 yang dibentangkan sebentar tadi, kerajaan turut memperuntukan belanjawan untuk sistem pengangkutan khususnya untuk perkhidmatan tren.

    Projek baharu Rel Jajaran Pantai Timur sepanjang 600 km menghubungkan dari Lembah Klang ke Pantai Timur akan dilaksanakan dan RM55 bilion diperuntukan untuk tujuan ini.

    Landasan keretapi jajaran Gua Musang-Tumpat turut akan dibaikpulih dengan peruntukan RM100 juta. Manakala untuk tren ke utara pula, kekerapan Tren ETS akan ditingkatkan dengan tambahan 19 set tren secara berperingkat sehingga tahun 2019.

     
     
  • Bajet 2017: PM umum RM29 juta untuk menaik taraf lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan

    2016-Fed-Highway-bike-tunnel-2

    Berita baik untuk pengguna motosikal yang menggunakan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM29 juta untuk memperbaiki dan menaiktaraf lorong tersebut menerusi Bajet 2017.

    Naik taraf berkenaan adalah termasuk untuk mempertingkatkan sistem perparitan (untuk mengelakkan banjir) serta membina overhead ramp, sebagai langkah untuk memberikan perjalanan yang lebih selamat ketika melalui laluan tersebut. Walau bagaimanapun, bila projek berkenaan akan dimulakan dan dijangka siap belum lagi diumumkan.

    Sebelum ini, kami telah mendedahkan bahaya disepanjang laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan berkenaan yang dilihat sangat bahaya digunakan oleh penunggang motosikal dengan penyelenggaraan yang sangat kurang, kekurangan tanda amaran, tapak binaan dan terowong dengan pencahayaan yang sangat teruk.

     
     
  • Bajet 2017 – K’jaan galak golongan B40 untuk pandu Uber, boleh guna BRIM untuk bayaran muka Proton Iriz

    bmirizpix-bajet-2017-iriz-rm4k-offer

    Menerusi pembentangan Bajet 2017 sebentar tadi, kerajaan mengumumkan akan menggalakkan kumpulan B40 iaitu golongan yang berpendapatan 40 peratus terendah bagi memandu untuk aplikasi ride-sharing seperti Uber dan Grab.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menerusi usaha berkenaan, pendapatan sehingga RM1,500 sebulan dapat dicapai jika mereka memandu separuh masa iaitu dalam tempoh 10-40 jam seminggu dan RM4,300 jika mereka memandu melebihi 40 jam seminggu.

    Jika mereka tidak mempunyai kenderaan, duit BR1M boleh digunakan sebagai bayaran pendahuluan untuk membeli Proton Iriz, dan mereka akan turut menerima rebat sebanyak RM4,000.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025