Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MotoGP dapat sambutan hangat, k’jaan akan terus beri galakan untuk sukan permotoran – Perdana Menteri

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-18-850x567

    Berbeza dengan Formula Satu yang dikhabarkan sedang dipertimbangkan untuk ditamatkan oleh SIC ekoran kemerosotan jualan tiket sejak tahun 2014, MotoGP pula dilihat akan terus disokong oleh kerajaan.

    Menurut laporan Bernama, kerajaan akan terus memberi galakan dan sokongan kepada sukan permotoran negara supaya sentiasa mendapat sambutan pada masa akan datang, dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Saya lihat Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) mendapat sambutan yang sangat hangat. Saya difahamkan dijangka 90,000 orang akan hadir pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2016.

    “Namun yang lebih penting kita dapat mengetengahkan jaguh-jaguh kita di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat tiga pelumba tempatan di pejabatnya di Menara Parlimen semalam.

    Tiga pelumba berkenaan, Hafizh Syahrin Abdullah yang bersaingan dalam Moto2 serta Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin dalam Moto3 akan beraksi pada kejohanan motoGP di Litar Antarabangsa Sepang, mulai Jumaat hingga Ahad ini. Perdana menteri berkata beliau mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan selamat maju jaya kepada para pelumba berkenaan.

    04-fabio-di-giannantonio-ita-89-khairul-idham-pawi-mal_gp_0019.gallery_full_top_md

    “Saya difahamkan mereka mempunyai potensi untuk berjaya dan kami semua rakyat Malaysia berasa bangga dengan kehebatan mereka dan percaya bahawa mereka boleh bersaing dengan pelumba-pelumba dari negara-negara lain,” kata Najib.

    Litar Sepang akan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Kejuaraan MotoGP Dunia tahun ini, dengan pusingan akhir di Valencia, Sepanyol dari 11 hingga 13 Nov.

    Bercakap kepada pemberita selepas sesi berkenaan, Hafizh yang meskipun kurang sihat dan mengalami sedikit kecederaan pada kaki dalam kejohanan baru-baru ini, akan cuba memberikan yang terbaik untuk perlumbaan berkenaan.

    Manakala Adam pula mengakui merasa sedikit ‘gelabah’ kerana ini merupakan tahun pertama beliau bertanding di peringkat yang tinggi. Bagaimanapun dengan memperoleh kedudukan yang lebih baik pada kejohanan minggu lepas, Adam berkata ia memberikan motivasi tinggi kepadanya untuk beraksi pada minggu ini.

    Khairul Idham atau lebih dikenali dengan gelaran Super KIP yang sebelum ini menjadi juara moto3 pada pusingan di Argentina dan Jerman pula berkata, beraksi di negara sendiri menjadikannya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik untuk negara.

     
     
  • Malaysia patut ‘rehat’ daripada menganjurkan F1 – KJ

    sic_bm

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyokong pengunduran diri sementara Malaysia daripada menganjurkan perlumbaan F1. Akhbar New Straits Times melaporkan Khairy menunjukkan sokongannya itu di Twitter, dan menyatakan terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada keputusan itu. Antaranya, kos yang tinggi serta pulangan yang tidak setimpal.

    Jelasnya, ketika pertama kali Malaysia menganjurkannya pada 1999, ia menjadi negara Asia terawal selepas Jepun yang berbuat demikian. “Kini, sudah banyak lokasi lain, tak ada lagi kelebihan untuk kita,” jelasnya.

    Antara sebab lain yang menyumbang kepada hal ini ialah jualan tiket yang merudum serta angka penonton TV, dan pelawat asing kini mempunyai pilihan untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Singapura, China dan Timur Tengah.

    Komen beliau ini adalah susulan kepada pendedahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Razali yang SIC kini sedang mempertimbangkan masa depan penganjuran perlumbaan itu di sini. Mesyuarat khas akan diadakan minggu ini bersama pihak-pihak berkepentingan dalam SIC serta Kementerian Kewangan untuk membincangkan perkara ini.

    Berkaitan persoalan mengapa perlumbaan di Singapura mendapat sambutan dan berjaya, beliau menyatakan itu adalah disebabkan keunikan penganjurannya di sana; perlumbaan di sebelah malam dan di tengah-tengah bandar. “Pun begitu, kutipan jualan tiketnya juga menurun,” tambah beliau.

     
     
  • Nissan Note 2017 mulakan produksi di Jepun – ditambah dengan e-Power bagi varian hibrid

    2017-nissan-note-production-started-3

    Baru-baru ini Nissan telah mengadakan satu majlis memulakan produksi bagi model facelift bagi Note 2017, di kilang Oppama, Jepun, secara tidak langsung menandakan ia bakal memasuki pasaran tidak lama lagi.

    Terdapat perubahan visual pada model facelift ini termasuklah menampilkan gril hadapan V-motion yang lebih menonjol, bersambung dengan lampu utama baharu. Di bawahnya, gril dengan elemen krom di tengah turut ditampilkan bersama lampu kabus yang direka semula.

    Cermin sisi pula memiliki unjuran kecil di bawahnya, dengan menampilkan sistm pemantauan titik buta (bergantung pada varian). Tiada foto bagi bahagian belakangnya, namun difahamkan lampu belakangnya telah direka semula dengan grafik baharu.

    2017-nissan-note-production-started-1

    Note 2017 ini juga bakal mendatangkan pilihan varian hibrid dengan nama e-Power. Risalah bagi model ini yang didedahkan memaparkan dua varian iaitu e-Power Medalist dan e-Power X, yang hanya untuk pasaran domestik Jepun sahaja.

    Malah Note e-Power juga dikuasakan oleh motor elektrik EM57 yang ditempatkan di gandar hadapan. Varian ini adalah susulan dari enjin petrol HR12DE 1.2 liter tiga-silinder, di mana generatornya akan mengecas pek bateri kereta. Nissan mendakwa Note e-Power boleh mencapai penjimatan bahan api sehingga 37.2 km/l.

    Harga bermula 1,959,120 yen (RM78,597) bagi Note e-Power X, sementara e-Power Medalist dijual pada 2,244,240 yen (RM90,036). Pilihan bukan-hibrid pula termasuk X DIG-S pacuan dua-roda pada harga 1,738,800 yen (RM69,727), dan X Four pacuan semua-roda pula 1,711,800 yen (RM68,675).

     
     
  • VIDEO: Traktor Porsche Diesel P111 muncul di pusat servis Porsche bertauliah – baiki motor penghidup

    Tentu ramai dari kita sudah tahu kisah bagaimana Ferruccio Lamborghini menukar syarikatnya dari pembuat traktor kepada pembuat supercar. Namun, tahukah anda, Porsche juga pernah membina traktor?

    Dalam video servis lepas jualan terbaharu Porsche, sebuah traktor Porsche P111 ditampilkan. Dalam video berkenaan, seorang pemilik Porsche ‘P111 Cabriolet’ menghubungi pusat servis Porsche untuk memperbaiki masalah motor penghidupnya (starter motor) yang selalu tersekat. Pusat servis berkenaan bukan sahaja masih menyimpan buku manual pembaikan traktor itu, malah katalog alat ganti masih menyenaraikan komponen tersebut, dan stor alat ganti juga masih lagi mempunyai stok.

    Traktor P111 itu diberikan layanan istimewa sebaik sahaja ia sampai ke pusat servis, malah pemiliknya juga diberikan kereta gantian 911 Cabriolet ketika traktor tersebut diperbaiki. Menurut Porsche, “Sama ada, kenderaan siri klasik atau moden atau model GT. Kami akan melakukan yang terbaik untuk Porsche anda,” walaupun dengan kenderaan seperti dalam video ini.

    screen-shot-2016-10-25-at-10-23-11-am

    Berbalik pada kisah produksi traktor tadi, selain dari diarahkan untuk membina “kereta rakyat” Volkswagen Beetle, Adolf Hitler turut mengarahkan agar Dr. Ferdinand Porsche untuk membina Volksschlepper atau “traktor rakyat” pada tahun 1937.

    Hasilnya, traktor prototaip Porsche Diesel P110 muncul pada tahun 1938, dijana enjin diesel V2 penyejukkan udara berkuasa 12 hp. Model P111 seperti yang muncul dalam video ini merupakan model kedua Porsche Diesel, menggunakan enjin yang sama tetapi dipadankan dengan kotak gear tiga kelajuan.

    Pengeluaran traktor Porsche Diesel ini diumumkan akan berakhir pada hujung tahun 1963, manakala unit produksi kumpulan terakhirnya keluar dari kilang pada awal tahun 1964.

     
     
  • SIC mungkin tamatkan perlumbaan F1 – Razlan

    sic_bm

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang mempertimbangkan untuk menamatkan perlumbaan Formula One (F1) di litar tersebut ekoran kemerosotan jualan tiket sejak tahun 2014.

    Berita ini dimaklumkan oleh CEO SIC Datuk Razlan Razali yang menyatakan keputusan bakal dibuat dijangka pada hujung minggu ini, memetik laporan akhbar Kosmo. Katanya lagi, mahu pun begitu, pihaknya tidak boleh membuat keputusan drastik termasuk mengumumkan secara rasmi pemberhentian F1 di Malaysia kerana SIC mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

    “Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan pemegang saham utama SIC iairu Kementerian Kewangan, dijangka berlangsung Khamis ini,” ujar Razlan dalam satu majlis taklimat media semalam.

    Razlan turut mendakwa jumlah penonton yang menyaksikan F1 baru-baru ini adalah yang terendah dalam sejarah. Justeru, penarikan diri secara sementara daripada F1 dilihat mampu memberikan manfaat kepada negara.

    “Kami akan memberikan tumpuan kepada perlumbaan motosikal MotoGP yang lebih berjaya menarik penonton. Untuk penganjuran tahun lalu, seramai 85,000 penonton menyaksikan MotoGP di SIC. Pada tahun ini pula, tiket habis dijual dan kami menyasarkan kehadiran 90,000 penonton untuk perlumbaan yang bakal berlangsung hujung minggu ini,” katanya lagi.

    Walau bagaimana pun, SIC telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini, yang menjelaskan tiada keputusan akan dibuat mengenai perlumbaan F1 dalam masa terdekat ini, yang disiarkan oleh Bernama lewat malam tadi. “Sebarang salah faham dikesalkan,” ujar kenyataan SIC tersebut.

     
     
  • Suzuki lancarkan SV650A di Malaysia – RM38,800

    sv650al7_action_12

    Model SV650A mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 1999. Makin masa berlalu, generasinya terus diperkenalkan dan pada tahun 2015, Gladius SFV650 tiba di Malaysia menemui penggemar motosikal. Terbaru, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd melancarkan SV650A, yang bertujuan mengembalikan kehebatannya.

    Suzuki SV650A adalah sebuah motosikal jenis naked, dan bagi model baru ini, enjin dua silinder V 90°, 645 cc DOHC yang digunakan mempunyai lebih 60 komponen baru, yang menjadikannya kini melepasi tahap Euro 4 dan mempunyai kuasa 4 hp lebih, menjadi 75 hp, manakala tork pula masih sama, 64 Nm tetapi pada kadar rpm lebih tinggi – 8,100 rpm. Penggunaan bahan api juga menjadi lebih baik iaitu 3.84 L/ 100 km.

    Bahagian lain turut diperbaharui, secara keseluruhan, 140 bahagian (enjin dan casis) dan meskipun bagi model dengan brek ABS yang diperkenalkan ini, beratnya dapat dikurangkan sehingga 8 kg. Dahulu, beratnya 205 kg, tetapi kini 197 kg.

    Untuk memaparkan informasi, SV650A menggunakan panel LCD digital dan bagi bahagian rpm, fungsi peak-hold, yang menunjukkan rpm puncak apabila rpm sedang menurun. Jadi penunggang boleh mengenali rpm puncak terakhir apabila menukar gear rendah.

    Suzuki SV650A (ABS) dipasarkan pada harga bermula RM38,800, dan apabila ditambah dengan GST, ia menjadi RM41,128. Pilihan warna yang disediakan adalah Pearl Mira Red dan Metallic Triton Blue. Saingan bagi motosikal ini adalah Yamaha MT-07 yang berharga RM35,926 (termasuk GST, tanpa ABS) dan Kawasaki ER-6n yang berharga RM34,509 (dengan GST, tanpa insurans).

     
     
  • LPT 1 beri potongan kadar tol 10%, cadangan waktu perjalanan sempena cuti Deepavali hujung minggu ini

    lpt1-bm

    Sempena cuti perayaan Deepavali hujung minggu ini, ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan memberikan potongan 10% bagi semua pengguna yang melalui lebuhraya berkenaan.

    Potongan harga berkenaan adalah bagi mereka yang membuat bayaran tol secara elektronik di kedua-dua lebuhraya itu. Ia akan berlangsung selama 24 jam bermula 12.01 pagi pada hari Sabtu, 29 Oktober 2016. Untuk membantu pengguna bergerak dengan lebih selesa, syarikat itu juga mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan.

    Seperti biasa, TTA berkenaan bertujuan untuk mengalih dan mengagihkan kadar aliran trafik kepada luar dari waktu puncak yang akan menyebabkan kesesakan teruk. Pengguna dari Lembah Klang yang ingin menuju ke Pahang pada 28 Oktober untuk memasuki KLK dan LPT 1 antara jam 1 petang hingga 4 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam.

    lpt1-deepavali-2016-tta

    Pengguna menuju ke Terengganu dan Kelantan pula dinasihatkan memasuki lebuhraya antara jam 6 pagi hingga 11 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam. Sementara itu, bagi pengguna dari Pahang yang ingin kembali semula ke ibu kota bermula 30 Oktober, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuhraya antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.

    Pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara jam 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam, sementara pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuhraya bermula jam 6 petang hingga 10 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

     
     
  • Perlumbaan SuperUtes dalam V8 Supercars Australia bakal digantikan dengan trak pikap dual-cab produksi

    superute-nissan-navara_bm

    Ute atau Coupe Utiliti iaitu trak yang dibina berdasarkan sedan seperti Holden Commodore (atau Proton Arena, contoh yang paling mudah) agak popular di Australia dan New Zealand, sehingga siri perlumbaan V8 SuperCars Australia turut mempertandingkan kategori ini. Walau bagaimanapun, untuk lebih relevan dengan pasaran semasa, jentera-jentera untuk kategori berkenaan bakal digantikan dengan trak pikap dual-cab pada musim hadapan.

    Sehingga hari ini, perlumbaan Ute V8 berkenaan didominasi oleh dua ute paling berkuasa dalam pasaran Australia dan New Zealand iaitu Ford Falcon Ute dan juga Holden Commodore Ute. Dengan kategori gantian yang akan bermula tahun hadapan ini dijangka akan menarik trak-trak pikap yang lebih relevan dalam pasaran seperti Toyota Hilux, Volkswagen Amarok, Ford Ranger, Nissan Navara dan juga Holden Colorado (Chevrolet Colorado dalam pasaran Malaysia).

    “V8 Ute merupakan kategori yang popular serta menghiburkan tetapi dengan perubahan pada pasaran automotif, adalah penting untuk siri perlumbaan Ute menjadi lebih relevan terhadap pasaran. Menggunakan asas trak pikap dual-cab turbodiesel yang ada dalam pasaran Australia sekarang, SuperUtes akan membuka kategori ini kepada lebih banyak pengeluar baharu disamping masih lagi mengekalkan elemen menakjubkan dan menghiburkan yang menjadikan katgori berkenaan sebagai kategori kegemaran peminat,” kata Pengarah Urusan Supercars Matt Braid.

    Siri perlumbaan akan datang ini, menurut laporan berkenaan, disasarkan untuk peserta perseorangan berbanding peserta tajaan pengeluar dengan dana berjuta dolar. Undang-undang teknikal untuk siri perlumbaan SuperUte ini akan menggambarkan perkara berkenaan.

    superutes2017-e1477284034152_bm

    Undang-undang tentatif menyatakan kenderaan yang bertanding perlu menggunakan enjin turbodiesel asalnya, dengan kuasa yang dihadkan pada tahap yang belum lagi dinyatakan. Ia mesti pacuan roda belakang sahaja, berat minima ditetapkan pada 1,800 kg dan spoiler yang menghasilkan downforce tidak akan dibenarkan.

    Walau bagaimanapun, ECU, tayar, brek merupakan peralatan yang dikawal dimana semua peserta bakal menggunakan komponen dengan spesifikasi yang sama bagi mewujudkan tahap kompetitif yang tinggi. Berdasarkan imej trak perlumbaan yang disiarkan seperti diatas, ia dilengkapi dengan tayar dari Dunlop serta brek dari AP Racing.

    Siri perlumbaan baharu SuperUtes ini akan bermula Julai tahun hadapan, menggantikan V8 Utes yang akan bermula di Townsville, sebelum bergerak ke Queensland, Bathurst, Surfers Paradise dan Newcastle – tempat-tempat ini dipilih berdasarkan profil tingginya untuk memaksimakan pendedahan kepada pemandu, penaja serta pengeluar.

    Perlumbaan trak pikap turbodiesel seumpama ini bukan lagi perkara baharu. Di Thailand, trak pikap seperti Toyota Hilux dan Isuzu Dmax popular digunakan untuk perlumbaan sama ada untuk litar penuh mahupun perlumbaan Drag, dan trend ini dilihat mula menular di Malaysia sendiri. Adakah dengan pengenalan siri baharu dalam siri perlumbaan V8 Supercars ini akan menaikkan lagi tahap perlumbaan seumpama ini di peringkat global?

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz C200 Cabriolet menawan

    mercbenz_c200_cabrio_ext-1

    Bulan lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan varian tanpa bumbung bagi C-Class, iaitu Mercedes-Benz C-Class Cabriolet. Ia adalah berdasarkan varian C 200 yang tidak ditampilkan pada majlis pelancaran tersebut. Kini, varian Cabrio ini telah pun berada di bilik pameran di seluruh negara.

    Diletakkan pada harga atas jalan RM358,888 tanpa insurans, di mana ia adalah RM30,000 lebih murah berbanding C 250 Cabriolet, tetapi lebih mahal RM106,000 berbanding C 200 Exclusive sedan. Harga tersebut adalah termasuk waranti empat-tahun, tanpa had perbatuan.

    mercbenz_c200_cabrio_ext-3

    Tidak seperti model C 250 dan C 300, hanya C 200 tidak didatangkan dengan pakej AMG Line, namun dilengkapi bampar dan skirt sisi standard, serta dipadankan bersama roda aloi AMG lima-jejari 18-inci yang sama dengan varian sedan C 200 Exclusive. Ia juga dipadankan dengan gril efek-berlian (tanpa krom) dan lampu utama LED prestasi tinggi sebagai standard.

    Di dalamnya, C 200 menerima material upholstery kulit tiruan Artico, kekemasan hitam berkilat pada konsol tengah dan aluminium pada permukaan dalaman pintu. Namun bahagian papan pemukanya tidak lagi dibaluti material Artico, seperti yang ada pada model seangkatannya. Ia juga dilengkapi dengan tempat duduk boleh laras berkuasa dengan elemen pemanas dan memori, sistem infotainmen asas Audio 20 CD dengan pad sentuh serta sistem navigasi Garmin Map Pilot.

    mercbenz_c200_cabrio_int-1

    C 200 turut dilengkapi pencahayaan ambien, plat ambang sisi iluminasi, Bantuan Parkir Aktif, suspensi Kawalan Ketangkasan dan sistem Pemilihan Dinamik, serta tujuh beg udara (termasuk satu pada bahagian lutut pemandu), Pra-Keselamatan dan Bantuan Brek Aktif.

    Kuasanya hadir dari 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, iaitu enjin yang sama dengan sedan dan coupe, mampu menghasilkan sehingga 184 hp pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,200 hingga 4,000 rpm, tetapi cabrio menerima transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan baharu berbanding 7G-Tronic Plus tujuh-kelajuan pada model-model lain. Ketahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh Mercedes-Benz C-Class Cabriolet ini menerusi CarBase.my.

     
     
  • Pembinaan hab pengangkutan bersepadu Gombak (GITT) disambung – jangka beroperasi pada 2019

    Kerja-kerja pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (GITT) akan dimulakan bulan hadapan, dan kemudahan itu dijangka siap dan memulakan operasi pada suku kedua 2019 nanti, memetik laporan The Sun hari ini.

    Disasarkan untuk menjadi hab pengangkutan bagi sektor timur laut Kuala Lumpur, maksimum sebanyak 700 perjalanan bas yang mampu menampung 22,000 pengguna sehari, GITT bakal menawarkan integrasi pengangkutan antaranya dengan stesen LRT Gombak dan menjadi titik penting aktiviti transit bagi East Coast Rail Link (ECRL).

    Ketika pembentangan belanjawan 2017 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan GITT akan menjadi sebahagian daripada stesen bagi projek dua landasan ECRL yang bernilai RM55 bilion yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur.

    Projek yang tergendala sejak 2011 itu akan diteruskan selepas pertikaian dan proses ambil tanah antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor sudah dapat diselesaikan kini. Kerja-kerja bagi kompleks terminalnya terdiri daripada dua bahagian; bangunan terminal utama dan pelebaran serta naik taraf jalan raya bagi Middle Ring Road 2 (MRR2).

    Ia merangkumi bangunan termina tujuh tingkat, blok SoHo perdagangan serta lot peniaga runcit dengan keluasan kira-kira 220,000 meter persegi. Antara kemudahan yang ada ialah sistem pusat bagi pembelian tiket bas, 950 ruang parkir dan kawasan menunggu bagi 80 buah bas.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz GLC250 CKD di bilik pameran

    mercbenz_glc250_ckd_ext-1

    Mercedes-Benz GLC 250 4Matic pemasangan tempatan (CKD) yang dilancarkan pada Ogos lalu, kini telah pun berada di bilik pameran seluruh negara. Harganya sedikit kurang berbanding model import sepenuhnya (CBU), serta ada peningkatan kit yang minimal.

    Ditawarkan bagi spesifikasi tunggal AMG Line, model SKD (atau dalam senarai harga MBM sebagai CKD) berharga RM325,800 atas jalan tanpa insurans, sama seperti harga bagi model CBU GLC 250 Exclusive dan kurang RM3,000 berbanding model import AMG Line. Ia juga termasuk dengan waranti empat-tahun, tanpa had perbatuan.

    Untuk bahagian luarannya, model SKD ini mirip dengan model semasa AMG Line, dilengkapi dengan kit AMG sepenuhnya, termasuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, corong ekzos berkembar dan pelindung skid plate. Ia turut dilengkapi dengan lampu utama LED Pintar, lampu belakang LED, pemijak sisi dan roda aloi AMG pelbagai-jejari 20-inci. Malahan turut menampilkan sistem suspensi AMG Sport, yang direndahkan sebanyak 15 mm.

    mercbenz_glc250_ckd_ext-3

    Manakala bahagian dalamnya pula, nampak lebih kurang sama, dengan pakej penggayaaan dalaman AMG pada kulit tiruan Artico, dengan kekemasan kayuan hitam kelabu dan roda stereng pelbagai fungsi tiga-jejari AMG. Ia juga menampilkan kemasukan tanpa kunci, bumbung matahari gelangsar panoramik, kawalan suhu automatik tiga-zon Thermotronic, Bantuan Parkir Aktif, tirai bagi tingkap sisi belakang dan pintu bonet belakang berkuasa dengan Akses Bebas-Tangan.

    Selain itu, ia turut disertakan dengan sistem bunyi Burmeister 590 W 13-pembesar suara yang disambungkan dengan sistem infotainmen Audi0 20 CD, paparan tujuh-inci, sistem kamera 360-darjah dan sistem navigasi Garmin Map Pilot.

    Jadi apa yang membezakannya dengan model CBU? Ia ditambah dengan elemen baharu termasuk pad sentuh dan perehat tapak tangan pada pengawal COMAND dan corong transmisi, pakej storan, pencahayaan ambien, plat ambang pintu iluminasi dan puddle lighting yang memantulkan lambang Mercedes ke bawah permukaan.

    Kit keselamatan pula komprenhensif dan termasuk dengan tujuh beg udara (termasuh satu pada bahagian lutut pemandu), Bantuan Tambahan Elak Pelanggaran, Bantuan Angin Lintang, Bantuan Pemerhatian dan sistem Pra-Keselamatan.

    Tiada perubahan pada bahagian mekanikal, ia masih mengekalkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 211 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm antara 1,200 hingga 4,00 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan yang menyalurkan kuasa menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic.

    Sekaligus mampu memacu jentera ini dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat, dan kelajuan maksimum bagi GLC 250 ini boleh mencecah 222 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dianggarkan sekitar 6.5 dan 7.1 liter per km bagi kitaran European NEDC. Ketahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh Mercedes-Benz GLC ini menerusi CarBase.my.

     
     
  • Pemilikan Nissan keatas Mitsubishi mungkin merintis pembangunan bersama Navara – Triton dan Lancer

    Lanjutan berita bahawa Nissan mengesahkan pembelian kepentingan dalam Mitsubishi Motors Corporation (MMC), kedua-dua syarikat berkenaan dijangka akan berkerjasama dalam program sinergi yang luas, salah satu daripadanya adalah pembangunan bersama model trak pikap generasi berikutnya, lapor CarAdvice. Perkara ini telah disebut oleh CEO-bersama Nissan Hiroto Saikawa semasa berlangsungya persidangan dalam talian bersama media global yang diadakan pada minggu lalu.

    “Banyak syarikat berhadapan dengan cabaran terhadap model yang semakin berusia. Ia berlaku pada Nissan, ia berlaku pada Mitsubishi. Saya tidak dapat memberikan penilaian penuh terhadap Mitsubishi kepada anda pada masa ini. Apa yang boleh saya beritahu, kita akan menyaksikan keuntungan dalam dua hala. Platform yang boleh dibina bersama berkemungkinan dari segmen termasuk trak pikap pasaran ASEAN, di mana MMC mempunyai kepakaran tersebut,” jelas beliau semasa persidangan itu.

    CarAdvice menjangkakan isi dari kenyataaan dari Saikawa berkenaan akan menyaksikan Navara dan Triton, pada sekitar 2021, mungkin akan berkongsi platform yang sama tetapi dibina secara berasingan. Ada juga cadangan mengatakan Mitsubishi boleh menggunakan platform CMF modular architecture Pakatan Renault-Nissan untuk menghasilkan barisan kereta penumpangnya (yang kini dilihat tiada pembangunan), berkemungkinan Lancer generasi baharu akan dilahirkan.

    lancer-watermarked 083

    Platform CMF kini digunakan sebagai asas untuk model-model seperti Renault Megane, Nissan Pulsar dan Qashqai. Kemasukan MMC dalam Pakatan Renault-Nissan mungkin membolehkan Mitsubishi turut menggunakan platform berkenaan. “Platform sedia ada boleh digunapakai apabila ia dilihat signifikant jika perlu digunakan,” kata Saikawa, tanpa memperincikan adakah rancangan untuk Lancer baharu diperlukan.

    Sebelum ini ada dinyatakan kedua-dua syarikat ini akan meneroka pembelian bersama dalam usaha untuk mengurangkan kos serta melihat aspek-aspek lain untuk menggabungkan penempatan kilang dan perkongsian teknologi, serta perkongsian berkenaan turut akan dikembangkan hingga penggunaan platform kenderaan yang sama.

     
     
  • AD: Haval M4 – percuma servis 5 tahun, insurans 1 tahun dan 3 bulan bayaran ansuran, atau naik taraf ke model Premium (dengan pembelian model Comfort)

    haval-m4-copy-2-bm

    Sedang mencari sebuah SUV kompak mampu milik? Sekarang adalah masa terbaik untuk melihat kepada Haval M4. SUV yang diangkat sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) diperakui yang pertama di Malaysia ini sedang ditawarkan dengan tiga pilihan promosi, menjadikannya lebih menarik bagi bakal pemiliknya.

    Dari sekarang hingga 30 November 2016, pembeli Haval M4 baru boleh memilih sama ada untuk mendapatkan servis percuma selama lima tahun (termasuk alat ganti dan upah), insurans percuma selama satu tahun bersama bayaran bulanan percuma tiga bulan atau naik taraf kepada varian Premium (dengan pembelian model Comfort) secara percuma.

    haval-m4-copy-bm

    Pilihan di tangan anda. Jadi, pilihlah tawaran terbaik bagi keperluan anda. Sila kunjungi pusat jualan Haval yang terdekat dan bertemu dengan perunding jualan untuk tawaran hebat di atas yang akan berakhir pada penghujung November 2016, sementara stok masih ada. Tertakluk kepada terma dan syarat.

    Haval M4 dilengkapi dengan enjin 1.5 liter berkuasa 105 hp dan ia boleh didapati dalam pilihan transmisi sama ada AMT enam kelajuan atau manual lima kelajuan. Dijual pada harga bermula RM55,xxx, Haval M4 datang bersama jaminan pengeluar selama tujuh tahun, tanpa had batuan. Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook ini.

     
     
  • SUV SAF Landfort dan pikap SAF Striker dilancarkan awal 2017 – Harga di bawah RM130k, berstatus EEV

    Foday Lion F22 3

    Susulan berita mengenai kehadiran SUV SAF Landfort dan pikap SAF Striker di pasaran Malaysia yang disiarkan pada awal Mac lalu yang sepatutnya dilancarkan pada April 2016, terbaru, Pengarah Urusan Enggang Keramat Automotive Sdn Bhd, Azizul Hj Tandek, memberitahu paultan.org, kedua-dua model berkenaan dijangka akan diperkenalkan pada awal 2017 ini.

    Kedua-duanya adalah model kenderaan yang rebadged dari jenama China iaitu Foday, dan dikenali sebagai Lion F22 bagi pikap dan Landfort untuk SUV. Bagi pasaran Malaysia, kedua-duanya akan dipasang di Oriental Assemblers, Tampoi, Johor (unit CKD) dan dijenamakan sebagai SAF walau masih mengekalkan imej dan spesifikasi yang sama dengan model pasaran China.

    Hanya satu pilihan penjana kuasa sahaja bagi kedua-dua model pikap dan SUV berkenaan bagi pasaran Malaysia iaitu enjin 4G69S4N 2.4 liter petrol yang diperoleh dari Mitsubishi. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 134 hp pada 5,250 rpm dan tork 200 Nm dari 2,500 hingga 3,000 rpm.

    Ia turut ditawarkan dengan dua transmisi iaitu manual lima-kelajuan dan automatik enam-kelajuan. Bagi SUV SAF Landfort, ia turut ditawarkan dengan pacuan 2WD dan 4WD, sementara hanya 4WD bagi SAF Striker.

    Menurut Azizul, SAF Striker dan SAF Landfort dijangkakan akan dijual pada harga di bawah RM130,000 setiap satu. Pihaknya juga mensasarkan jualan sebanyak 100 unit bagi setiap model sebagai permulaan, dan sudah pun mempunyai 20 pengedar, kesemuanya pusat 3S di seluruh negara termasuk Malaysia Timur.

    Perincian penuh mengenainya masih belum dimaklumkan, namun kedua-dua model akan dilengkapi dengan dua beg udara dan ABS bersama EBD, tanpa kawalan kestabilan. Kami akan membawakan perkembangan selanjutnya mengenai kedua-dua model ini sekiranya ada.

    GALERI: Foday Lion F22

    GALERI: Foday Landfort

     
     
  • Proton Iriz tak sesuai guna untuk Uber – firma teksi

    bmirizpix-bajet-2017-iriz-rm4k-offer

    Langkah kerajaan untuk memberi galakan terhadap pemandu aplikasi perkongsian kenderaan dengan menawarkan rebat RM4,000 untuk pembelian Proton Iriz dipersoal oleh syarikat pengendali teksi. Malay Mail Online melaporkan, menurut pemilik Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail, model berkenaan tidak sesuai untuk digunakan kerana saiznya yang kecil.

    “Proton Iriz tidak direka untuk menjadi sebuah teksi. Ia terlalu kecil. Macam mana nak muatkan penumpang?” ujarnya yang turut menambah bahawa keputusan yang diambil itu adalah bertujuan untuk membantu pengeluar kenderaan nasional itu.

    Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan dapat memastikan kereta yang dibeli itu akan digunakan untuk perkhidmatan berkenaan, memandangkan pemandu-pemandu Grabcar dan Uber tidak berdaftar dengan kerajaan.

    Dalam pembentangan Belanjawan Malaysia 2017 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan menggalakkan kelompok B40, terutamanya penerima BRIM, untuk meningkatkan pendapatan mereka dengan menyertai perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab.

    Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa kelompok berkenaan mampu memperoleh tambahan sehingga RM1,500 setiap bulan dengan memandu secara sambilan bagi tempoh 10 hingga 40 jam seminggu, dan RM4,300 bagi mereka yang berkerja lebih daripada 40 jam seminggu.

    big-blue-taxi-01-850x579-bm

    Selain daripada galakan terhadap perkhidmatan perkongsian kenderaan berkenaan, turut diumumkan ialah penerima BRIM yang tidak mempunyai kereta kini boleh membeli Proton Iriz dengan lebih mudah – bayaran muka menggunakan BRIM dan tambahan rebat RM4,000 akan disediakan untuk mereka.

    Shamsubahrin berkata bahawa pengumuman tersebut adalah petunjuk jelas kepada hasrat kerajaan untuk menyukarkan industri teksi dan menyebelahi syarikat-syarikat perkongsian kenderaan. “Mereka kata ingin melakukan transformasi bagi industri teksi, tapi kami tak nampak apa-apa untuk membantu industri ini daripada belanjawan yang dibentangkan. Sebaliknya, mereka promosikan pula orang agar menjadi pemandu Uber,” jelasnya.

    Kerajaan turut menyatakan akan mengeluarkan 12,000 permit individu kepada pemandu yang layak – termasuk geran RM5,000 untuk membantu mereka membeli kereta – untuk membebaskan pemandu teksi daripada sistem pajak di mana pemandu perlu membayar kepada syarikat pengendali untuk menggunakan teksi mereka. Menurut Shamsubahrin, usaha berkenaan boleh dipuji, tetapi apa akan jadi kepada pemandu-pemandu teksi selebihnya?

    Polisi berkenaan menurut beliau adalah separuh masak, dan tidak difikirkan secara menyeluruh. “Tak ada perkara yang konkrit. Jika kerajaan ingin membantu dan membolehkan kami untuk bersaing dalam padang yang rata, mereka sepatutnya mengawal selia tambang Uber juga,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025