Pengendali lebuhraya Litrak Group mengumumkan potongan kadar tol bagi semua kenderaan yang menggunakan lebuhraya kendendaliannya pada hari Deepavali, Sabtu ini. Dua lebuhraya yang terlibat ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint.
Ketua Pegawai Eksekutif Litrak, Sazally Saidi memaklumkan pengguna LDP akan menikmati potongan harga sebanyak RM0.60 sen manakala potongan RM0.20 sen bagi pengguna Lebuhraya Sprint, memetik laporan Bernama.
Kadar potongan ini akan berkuatkuasa bermula 29 Oktober ini, dari tengah malam hingga 11.59pm hari berikutnya. Potongn kadar tol ini dijangka akan melibatkan subsidi mencecah RM256,000 bagi pihak syarikat.
Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd kini membuka cawangan Bridgestone Select (B-Select) keduanya di Malaysia bertempat di Sungai Petani. Ia dimiliki dan diuruskan oleh SP Wira Tyre & Car Service Sdn Bhd.
Antara lain, Bridgestone Select menyediakan penjelasan dan senarai harga bagi setiap barisan produk tayar Bridgestone serta servis yang ditawarkan dengan jelas bagi membantu pengguna memilih jenis tayar terbaik yang sesuai dengan penggunaan dan kereta mereka.
Jenis perkhidmatan yang disediakan ialah pemasangan tayar, imbangan dan jajaran dengan pilihan tayar bagi semua jenis tayar yang dikeluarkan oleh Bridgestone, termasuk yang dilengkapi dengan Run Flat Technology.
Sementara juruteknik menjalankan tugas, pelanggan boleh menikmati semua kemudahan yang tersedia; ruang menunggu yang selesa dengan sambungan internet. Dengan konsep terbuka, pelanggan juga boleh memerhatikan kereta mereka melalui panel tingkap yang disediakan.
“Bridgestone Select merupakan pendekatan terbaharu kepada rangkaian penjualan tayar kami adalah bertujuan untuk menyediakan servis premium dalam suasana mesra pelanggan. Paling utama ialah maklumat yang disediakan serta proses pemilihan dan pembelian tayar yang lebih telus kepada pelanggan yang menjadi keutamaan,” jelas Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn. Bhd., Jo Takewa.
Sempena pembukaan premis B-Select terbaharu ini, pelanggan yang membeli empat unit tayar Bridgestone bagi kenderaan penumpang atau tayar 4×4 akan menerima payung edisi terhad di premis baharu ini, bergantung kepada stok.
Tidak lama lagi, Volkswagen akan memperkenalkan sebuah SUV saiz sederhana terbaru (dilapor dipanggil sebagai Atlas), tetapi sebelum itu, syarikat Jerman berkenaan ingin menunjukkan kepada orang ramai kisah di sebalik tabir pembangunannya dalam beberapa siri video.
Dalam video pertama – yang bertajuk “Volkswagen Midsize SUV Origins, Chapter 1: Background” – menerangkan bahawa rakyat Amerika Syarikat mempunyai keinginan untuk meneroka landskap luas negara, dan kerana itu, Volkswagen menyatakan SUV baru mereka memang sesuai untuk “memenuhi gaya hidup serta mentaliti” tersebut.
Ia adalah sebuah kereta yang boleh membawa keluarga ke taman negara, hutan rekreasi atau rumah percutian mereka contohnya. Atau mungkin juga pergi bermain ski di hujung minggu,” kata Pengurus Produk Volkswagen America, Jim Burch.
Video ini juga membangkitkan semula warisan Volkswagen di Amerika Syarikat, dengan sebelum ini peranannya dimainkan oleh model klasik seperti Beetle dan Microbus (juga dikenali sebagai Kombi) – untuk gaya hidup yang sama.
Kenderaan yang digunakan dalam video tersebut masih lagi disembunyikan dengan ‘kulit’ camouflage, tetapi dibawa merentas pelbagai jenis jalan mencabar untuk menunjukkan kebolehannya. Ia juga dilihat berkongsi banyak persamaan dalam reka bentuk dengan model CrossBlue Concept yang pernah tampil di Detroit pada tahun 2013.
Tidak seperti kenderaan konsep tersebut, yang mempunyai enam tempat duduk, model baru Volkswagen ini mempunyai tujuh tempat duduk, yang dibahagikan kepada tiga baris. Ia juga 50 mm lebih panjang berbanding kenderaan konsep tersebut, mencatat 5,036 mm. Kuasa pula datang daripada enjin 2.0 liter TSI 238 hp atau V6 3.6 liter 280 hp.
Volkswagen Atlas akan dipasang di kilang Volkswagen di Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat dan dijangka melakukan penampilan pertama di Los Angeles Auto Show pada bulan November ini. Kemasukannya akan memberi saingan kepada model seperti Honda Pilot, Ford Explorer dan Toyota Highlander.
Pengedar dan pemasar minyak serta pelincir BHPetrol iaitu Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd akan mengadakan satu pertandingan istimewa dengan kerjasama Digi dan Drive M7. Pertandingan ini bermula 1 November 2016, hingga 31 Disember 2016, dan pelanggan yang membeli kad tambah nilai Digi Prepaid serta minuman DriveM7 di stesen BHPetrol layak menyertainya.
Maklumat lanjut berkenaan pertandingan ini boleh didapati di stesen minyak BHPetrol dan mereka yang layak menyertainya perlu menghantar penyertaan dengan mengimbas kod QR dan menghantarnya secara atas talian.
Hadiah yang ditawarkan cukup menarik, termasuk sebuah motosikal Yamaha R1 yang ditaja oleh Mutiara Motor Sdn Bhd sebagai hadiah utama, dua motosikal mini (pocket bike), dua telefon Samsung Galaxy Note 5 dan 100 hadiah saguhati berupa barangan Drive M7.
Menurut Pengurus Pemasaran Kanan BHPetrol, Baba Tan, pertandingan ini adalah satu cara untuk syarikat menunjukkan rasa terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan.
Kenderaan elektrik (EV) pertama buatan Malaysia dijangka akan diperkenalkan pada bulan hadapan, iaitu di Malaysia Autoshow yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 November ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Mines. Difahamkan EV ini adalah hasil kerjasama antara Beijing Auto International Corporation (BAIC) dan syarikat Malaysia iaitu Amber Dual. Model EV pemasangan tempatan ini adalah sedan yang dibangunkan berdasarkan model hatchback sedia ada BAIC EV200.
Buat setakat ini, nama rasminya masih belum diumumkan, namun sedan EV ini dijangka mampu dipacu sejauh 200 km dalam pengecasan penuh. Perinciannya juga belum didedahkan, namun jika ia dibangunkan berdasarkan BAIC EV200, kemungkinan besar spesifikasi teknikalnya tidak jauh beza dengan model tersebut.
BAIC EV200 kelihatan lebih kurang sama dengan Mercedes-Benz B-Class generasi pertama, apabila kedua-dua syarikat terbabit saling bekerjasama di China. Bagi EV200 (model EV150/EV160 turut ditawarkan di pasaran domestik), hatchback ini memiliki kuasa 72 hp dan 180 Nm, dengan motor elektrik yang dipadankan bersama bateri lithium ion 30.4 kWh. Hatchback sepanjang 4,025 mm dan seberat 1,295 kg ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 125 km/j dan berkeupayaan dipacu dari 0-80 km/j dalam hanya 9.7 saat.
Tahun lalu, pernah dilaporkan BAIC mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran EV bagi rantau Asia, dengan kilang pemasangannya di Gurun, Kedah dan mula beroperasi pada September atau Oktober tahun ini. Jika ia mengikut pelan asal, mungkin model produksi pertamanya akan diperkenalkan pada November ini.
Kilang pemasangan di Gurun disasarkan mampu mengeluarkan kapasiti sebanyak 20,000 unit setahun, dan dikatakan telah bersedia untuk memproduksikan model ini bagi pasaran domestik, serta mungkin akan dieksport pada masa yang akan datang, bergantung pada permit.
Malaysia Autoshow terbuka untuk semua peminat industri automotif dengan bayaran masuk sebanyak RM10 (dewasa, dan bagi pelajar pula hanya perlu menunjukkan kad pelajar untuk kemasukan secara percuma pada 10 dan 11 November ini.
Mungkin ramai yang pernah mendengar dan sudah mengetahui bahawa terdapat perbezaan kadar cukai jalan yang dikenakan bagi kenderaan-kenderaan di Semenanjung dan Sabah/Sarawak. Namun, mungkin ramai lagi di antara kita yang masih belum jelas tentang perkara ini.
Sebetulnya, terdapat beberapa zon yang berbeza dengan kadar cukai jalan yang juga berlainan, jika kita merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Zon yang pertama ialah Semananjung, diikuti oleh Pulau Pangkor/Pulau Langkawi, kemudian Sabah/Sarawak dan terakhir, Pulau Labuan.
Untuk artikel ini, kita akan memberi tumpuan hanya terhadap kenderaan-kenderaan penumpang sahaja (motosikal dan kenderaan perdagangan pula mempunyai kadar tersendiri) yang didaftarkan atas nama pemilik persendirian dan perbezaan kadar cukai jalan antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak untuk mendapat gambaran yang lebih jelas berkaitan hal ini.
Bagi jenis kenderaan penumpang sebagai kategori untuk tujuan cukai jalan, JPJ mengkelaskannya hanya kepada dua kelompok; kenderaan “Saloon” dan “Bukan Saloon”. Bagi kelas Saloon, ia merujuk kepada kereta biasa, misalnya kereta sedan, hatchback, wagon, coupe dan sebagainya. Kelas Bukan Saloon pula merangkumi kenderaan lain seperti trak pikap, MPV dan SUV.
Selepas enam tahun berada di pasaran, akhirnya MINI Countryman tampil dengan model facelift bersama imej yang diperbaharui, dua pilihan enjin baharu dan saiz kerangka yang lebih besar. Ia bakal dipertontonkan secara rasmi di LA Auto Show bulan hadapan.
Imej baharu yang ditampilkan tidaklah jauh berbeza dengan generasi sedia ada, namun kelihatan lebih segar terutamanya pada bahagian hadapannya. Ia ditampilkan dengan rekaan split-grille, diasingkan daripada plastik hitam berkilat, bersama lampu utama LED standard yang diberi bentuk baharu serta lampu kabus. Gaya yang cukup menonjol juga jelas kelihatan pada segenap sudut dengan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, ditampilkan bersama rel bumbung dan beberapa elemen signatur MINI yang lain.
Hampir lapan-inci lebih panjang berbanding generasi semasa, Countryman baharu ini merupakan yang terbesar dalam sejarah pembikinannya. Malahan jarak rodanya juga dipanjangkan sebanyak 2.9-inci, memberikan lebih ruang untuk lima penumpang serta kelebihan ruang storan apabila tempat duduk belakangnya dibaring dengan nisbah 40:20:40 yang mampu mencecah 1,309 liter (450 liter sekiranya tempat duduk belakang berada dalam keadaan normal). Malahan pintu tailgate berkuasa dan tempat duduk belakang menjadi elemen unik buat model 2017 ini.
Selain ditampilkan dengan gaya yang lebih segar, Countryman 2017 ini juga hadir dengan dua pilihan enjin baharu, yang mampu menambahkan lagi prestasi dan penjimatannya. Bagi varian Cooper, ia dipadankan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 136 hp dan tork 220 Nm. Sementara itu, varian Cooper S pula didatangkan dengan enjin 2.0 liter bersama hamburan kuasa sehingga 192 hp dan tork 280 Nm.
Manakala varian Cooper D dan SD pula dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbodiesel, kedua-duanya dengan kuasa 190 hp dan 400 Nm, berbanding terdahulu dengan 150 hp dan 330 Nm.
Turut ditawarkan ialah varian Cooper S E All4 plug-in hybrid, yang menggunakan penjana kuasa dari BMW 225xe. Ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 88 hp/165 Nm bersama bateri lithium-ion 7.6 kWh, serta transmisi automatik enam-kelajuan. Hasil gabungan enjin tersebut, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 224 hp dan tork 385 Nm. Bagi pacuan dari 0-100 km/j, ia hanya mencecah 6.9 saat dan berkeupayaan mencecah 40 km bagi pemanduan elektrik sepenuhnya, dengan kelajuan maksimum 125 km/j.
Cooper S E ini ditampilkan dengan tiga mod, bersama Auto eDrive hibrid standard dengan kuasa elektrik sahaja yang mampu dipacu hingga 80 km/h. eDrive dengan motor elektrik sepenuhnya ini dan Save Battery mampu dicas sehingga 90%. Jika menggunakan wallbox, varian ini mengambil masa selama 2 jam 15 minit untuk cas sepenuhnya, dan jika menggunakan soket biasa di rumah, tambah sejam lagi untuk pengecasan penuh.
Varian asas Cooper Countryman dipadankan dengan transmisi manual atau automatik enam-kelajuan. Walau bagaimana pun, bagi Cooper S Countryman, Cooper S Countryman All4, atau Cooper Countryman All4, ia juga didatangkan dengan pilihan transmisi automatik lapan-kelajuan.
Countryman juga dipadankan dengan topang MacPherson untuk suspensi hadapan dan multilink bagi gandar belakang, dengan sama ada dengan pacuan semua-roda atau pun roda-hadapan. Buat pertama kalinya juga, ia turut ditampilkan dengan Kawalan Peredam Dinamik, dengan pelarasan menerusi pilihan Mod Pemanduan MINI dalam mod Mid, Sport dan Green.
Untuk bahagian dalamnya, ia turut didatangkan dengan konsol instrumen tengah bersama skrin sentuh 8.8-inci dan dengan dengan Open Mobility Cloud, ia membolehkah sambungan pada iPhone dan Apple Watch turut dilakukan.
Bersempena dengan pembukaan kedai ISETAN The Japan Store di pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur, Honda Malaysia memberi peluang kepada orang ramai yang hadir untuk merasai pengalaman menaiki alat penggerak unik bernama Honda UNI-CUB B. Ini adalah pertama kali alat itu sampai di Malaysia dan peluang ini diberi sehingga 24 November 2016.
Honda UNI-CUB B adalah sebuah alat penggerak unik berbentuk seperti kerusi dan dengan adanya Omni-Directional Driving Wheel System (sistem cengkaman pacuan Omni Honda), ia dapat memberikan kebebasan kepada ‘penunggangnya’ untuk bergerak ke hadapan, belakang dan sisi dengan hanya menggunakan berat badan.
Teknologi pengimbangan yang digunakan adalah sebahagian daripada teknologi yang didapati daripada keluarga Honda Robotics, yang juga melibatkan produk pintar lain seperti Asimo.
Honda UNI-CUB pertama kali diperkenalkan pada tahun 2012 dan ia dibangunkan untuk menawarkan pergerakan serba mudah dan mudah dikawal dalam tempat tertutup seperti pejabat, pusat beli-belah, lapangan terbang, muzium dan perpustakaan.
Masuk pada tahun 2013, Honda UNI-CUB B yang lebih maju diperkenalkan, dengan penggunaan bersesuaian untuk lebih ramai lagi jenis orang. Ia lebih ringan, kecil dan boleh berdiri sendiri bagi memudahkan penggunanya naik dan turun. Sejak April 2014, Honda telah memulakan servis sewa Honda UNI-CUB B untuk pelanggan di Jepun.
Akhirnya, Mercedes-Benz telah pun memperkenalkan trak pikap konsep mereka yang diberi nama Mercedes-Benz Concept X-Class. Bukan hanya sebuah, tetapi dua model konsep ditampilkan Mercedes-Benz untuk percubaan mereka masuk ke segmen trak pikap iaitu model konsep Stylish Explorer yang lebih kepada kegunaan pada jalan raya biasa, dan juga model konsep Powerful Adventurer untuk kegunaan lebih lasak.
Seperti yang diketahui, trak pikap X-Class ini dibina berdasarkan platform dari Pakatan Renault-Nissan, sama seperti Renault Alaskan dan juga Nissan Navara-NP300. Tetapi, model binaan Mercedes-Benz ini bukan sekadar ‘rebadge’, ia lebih tersendiri dan menampilkan ciri-ciri sebuah Merc sebenar. Keseluruhan rekaan trak pikap ini dibina dengan tema ‘hot and cool‘- hot mewakili rekaan permukaan yang diperhalusi manakala cool mewakili ketepatan yang secara teknikalnya diperinicikan.
Kedua-dua pikap konsep ini menerima lampu hadapan LED High Performance yang kelihatan seiras dengan AMG GT, mengapit gril hadapan yang besar. Gril bahagian bawah pula direka berbentuk seperti tulang, dan diterapkan elemen seperti pada kereta-kereta penumpang Mercedes-Benz yang lain. Bonet enjin juga diberikan bentuk yang lebih teguh.
Jika dilihat pada bahagian sisi, imej Navara agak jelas pada bahagian pintu dan kesemua tingkap. Tetapi rekaan garis badan pada X-Class ini tampak lebih ringkas berbanding Navara. Satu lagi perbezaan adalah pada ruang roda, dimana X-Class direka lebih bulat, manakala Navara kelihatan sedikit bersegi.
Bahagian dalaman, X-Class menampilkan rekaan mewah Mercedes sebenar. Papan pemuka direka dengan elemen melintang, dilengkapi paparan meter dari C-Class, roda stereng tiga jejari rata dibahagian bawah, liang penghawa dingin bulat (empat di bahagian tengah), skrin COMAND serta kawalan sistem berkenan menerusi suis putar dan juga touchpad.
Walau bagaimanapun ada sedikit ciri dilihat diambil dari Navara seperti suis penghidup enjin, panel kawalan penghawa dingin dan suis penukar sistem pacuan empat roda, kedudukan tuil penukar gear di lantai (kenderaan keluaran Mercedes terkini kebanyakkan tuil ini diletakkan pada kolum stereng), konsol bumbung serta tuil brek tangan tanpa brek parkir elektronik atau menggunakan kaki.
Untuk model Stylish Explorer, bahagian luarannya diberikan warna putih matte, gril hadapan bar tunggal dengan logo Mercedes bersaiz besar pada bahagian tengah. Lampu belakang agak unik kerana ia menggunakan jalur LED yang mengelilingi keseluruhan bahagian tailgate. Ia dipadankan dengan roda aloi pelbagai jejari gaya-AMG berdiameter 22-inci. Bahagian dalamannya pula diberikan upholsteri kulit Nappa berwarna putih dan kulit nubuck berwarna perang gelap, bersama kemasan kayu pada papan pemuka.
Model Powerful Adventurer pula diberikan warna badan lemonax metallic matte, gril dua-bar, pelindung bawah pada hadapan dan belakang, ruang roda gentian-karbon serta unit winch pada bahagian hadapan dan belakang.
Berbeza dengan Stylish Explorer, lampu belakang pada Powerful Adventurer ini lebih realistik, menampilkan rekaan menegak, mengapit tailgate berbentuk seperti bekas telur. Melengkapkan rupa sebuah trak pikap lasak, model ini diberikan roda aloi serta tayar off-road ekstrem.
Masuk ke bahagian dalaman pula, ia diberikan roda stereng tiga jejari bulat sepenuhnya, kemasan gentian-karbon, upholsteri balutan kulit berwarna hitam-kuning serta alat pemadan api diletakkan pada papan pemuka – dihadapan penumpang.
Mercedes telah mendedahkan varian tertinggi X-Class bakal dijana enjin V6 turbodiesel 3.0 liter berkuasa 258 hp/620 Nm. Model lain akan dijana enjin 2.3 liter empat silinder diesel turbo berkembar dari Navara pasaran negara yang dibekalkan diesel lebih bersih, berkuasa 188 hp/450 Nm.
Sistem pacuan empat-roda pikap ini akan menggabungkan sistem kawalan tarikan elektronik, kotak alihan (transfer case) dua kelajuan serta karbeda berkunci (differential locks) pada syaf tengah dan gandar belakang. Keseluruhan sistem ini akan menghantar kuasa ke gandar yang mempunyai cengkaman paling kuat, dan kedua-dua karbeda boleh dikunci pada permukaan off-road yang ekstrem.
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (rechts) und Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (links) ; Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (right) and Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (left);
Mercedes juga menyatakan trak pikap mereka ini mampu menampung beban lebih dari 1.1 tan dan kapasiti menunda sehingga 3.5 tan. X-Class juga mengambil sistem suspensi lima hubungan dengan spring gegelung pada bahagian belakang dari Navara untuk memberikan lebih keselesaan berbanding trak pikap lain pada permukaan jalan raya serta off-road. Ciri bantuan pemanduan turut akan diberikan secara standard, menggunakan kamera, radar serta penderia ultrasound.
Trak pikap X-Class ini akan dipasang di kilang Nissan Barcelona dan bakal masuk ke pasaran Eropah, Australia dan Afrika Selatan pada lewat 2017. Tahun berikutnya, ia akan diproduksi pula di kilang Renault Cordoba, Argentina untuk pasaran Amerika Latin.
Jadi, kepada peminat trak pikap diluar sana, apa pendapat anda tentang trak pikap dari Mercedes ini? Ok atau terlalu mewah untuk kerja-kerja lazim yang biasa dilakukan oleh sebuah trak pikap? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterieur, Weißmetallic ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterior, White metallic;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterieur, Weißmetallic ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterior, White metallic;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterieur, Weißmetallic ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterior, White metallic;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterieur, Weißmetallic ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterior, White metallic;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterieur, Weißmetallic ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Exterior, White metallic;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Interieur, Kombination aus weißem Nappaleder und braunem Nubukleder ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer – Interior, Mix of white nappa leather and brown nubuck leather;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer – Interieur, Kombination aus schwarzem Nappaleder in Glanzoptik und schwarzen, geprägten Lederflächen im Carbon-Stil, Akzente in der Farbe des Exterieurlacks (Lemonaxmetallic) ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer – Interior, Mix of glossy black nappa leather and carbon-style black embossed leather surfaces, Highlights in colour of exterior paint finish (lemonax metallic);
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (rechts) und Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (links) ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (right) and Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (left);
Mazda kembali mewarnai pertunjukan Specialty Equipment Marketing Association (SEMA) bagi tahun ini dengan menampilkan dua modelnya iaitu MX-5 Speedster Evolution dan MX-5 RF Kuro.
Memanglah bunyinya kedengaran seperti model yang sama dibawa oleh Mazda ke SEMA tahun lalu, namun ‘sama tidak semestinya serupa’. Kali ini Mazda bakal mempamerkan model MX-5 dengan pertambahan nama “Evolution”, dan terdapat sedikit perubahan. Paling ketara ialah warna White Ether berbanding sebelum ini Blue Ether.
Bukan itu sahaja, Speedster Evolution juga telah disingkirkan berat sebanyak 45 kg berbanding model konsep tahun lalu, kini menjadi 898 kg, di mana Mazda juga berkata ia adalah 159 jg lebih ringan berbanding MX-5 soft top.
Ia turut menampilkan roda baharu bagi menggantikan RAYS 57 Extreme Gram Lights bersaiz 16-inci. Selebihnya, tiada lagi perubahan yang dilakukan, masih kekal sama seperti terdahulu, termasuk rekaan kereta sportopen-top era 50an dan ketinggian yang direndahkan.
Selain Speedster Evolution, Mazda juga akan mempamerkan model konsep MX-5 RF Kuro, yang dibina berdasarkan MX-5 targa-roof dua-tempat duduk. Seperti Speedster, ia juga ditampilkan dengan kekemasan luaran kustom semi-matte matallic yang digelar sebagai “Kuro”, bermaksud “arang” dalam bahasa Jepun.
MX-5 RF Kuro ini turut menerima suspensi yang dilaraskan daripada model MX-5 Cup, ditampilkan bersama roda RAYS 17-inci dan tayar BFGoodrich Rival G-Force 215/45. Kedua-dua model konsep ini direka dan dibangunkan oleh pasukan Rekaan Mazda di Irvine, California bagi mencipta pengalaman “Mazda Premium” di samping mengetengahkan kelebihan prestasi Mazda sendiri.
Pelukis digital terkenal Malaysia, Theophilus Chin kali ini keluar dengan satu imej render bagi Nissan Almera generasi seterusnya, yang mengambi inspirasi daripada Nissan March 2017. Kenapa, dan apa kaitannya? Almera sedan yang ada sekarang sememangnya diasaskan daripada March/Micra generasi sebelumnya.
Bagi imej ini, bahagian hadapan Micra digunakan, bersama dengan garis badan penuh, bermula dari lampu hadapan hinggalah ke lampu belakang. Bahagian bawah pintu, hadapan dan belakang juga kelihatan sama seperti pada Micra. Walaubagaimanapun, lampu gaya boomerang pada Micra tidak dibawa pada imej ini, tetapi ia menggunakan lampu dari Sylphy, seterusnya memberi gaya lebih bersesuaian untuk Almera.
Nissan March/Micra adalah sebuah hatchback yang didatangkan dengan pilihan tiga enjin: HR09DET tiga silinder turbo petrol 0.9 liter (90 hp/ 140 Nm, tambahan 10 Nm lagi dengan over boost), BR10DE tiga silinder NA petrol 1.0 liter (73 hp/ 95 Nm) dan K9K empat silinder diesel 1.5 liter (90 hp/ 220 Nm).
Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, sementara transmisi CVT pula sedang diusahakan. Untuk aspek keselamatan, March/Micra datang secara standard dengan Nissan Intelligent Driving Suite, yang termasuk Lane Departure Prevention, Intelligent Emergency Braking (dengan pengesan pejalan kaki), Intelligent Around View Monitor, Traffic Sign Recognition, High Beam Assist dan Blind Spot Warning.
Jadi, apa pendapat anda dengan imej render yang asalnya adalah sebuah hatchback tetapi dijadikan sedan bernama Almera ini?
Projek jambatan Klang ketiga yang menelan belanja kira-kira RM230 juta dan bertujuan untuk meredakan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar, dijangka akan siap pertengan tahun hadapan, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan jambatan yang menyeberangi Sungai Klang dan didanai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, tidak hanya akan meredakan kesesakan trafik yang melibatkan kenderaan awam, tetapi juga kenderaan perdagangan yang menuju ke North Port dan West Port.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya Selangor selaku agensi pelaksana, telah menyediakan peruntukan besar bagi pembinaan jambatan ini memandangkan bandar Klang kian pesat membangun, dengan situasi kesesakan yang luar biasa,” jelas beliau.
Beliau ditemui pada majlis sidang media pelancaran kerja-kerja pembinaan jambatan Klang ketiga di tapak lokasi projek, semalam.
Pada Mei lalu, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengemukakan cadangan untuk menurunkan had umur permulaan pemegang lesen motosikal dari 16 tahun ke 15 tahun bagi membenarkan golongan muda memiliki lesen yang sah.
Ia adalah susulan terdapat laporan yang mengatakan 80% dari sekitar 117,000 pelajar sekolah di Malaysia yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen. Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan adalah terdiri daripada pelajar berumur antara 11 hingga 20 tahun di kawasan luar bandar.
Terbaru, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam kenyataannya berkata, buat setakat ini tidak perancangan untuk menurunkan had umur pengambilan lesen menunggang motosikal dan ia masih kekal minimum 16 tahun, laporan The Star.
“Kami merasakan umur di bawah 16 tahun adalah masih belum cukup matang untuk berada di jalan raya,” ujarnya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Parlimen semalam.
Dalam masa yang sama, beliau juga menjawab soalan dari Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir Ab Aziz (BN–Kulim Bandar Baru) yang mahu mengetahui tentang saman trafik yang dikeluarkan.
Kata Ab Aziz, sehingga September 2016, terdapat sejumlah 231,788 saman telah dikeluarkan terhadap pesalah trafik untuk pelbagai kesalahan berhubung dengan lesen.
“Ini termasuklah kegagalan memperbaharui lesen, menggunakan lesen yang tidak spesifik dengan klasifikasinya dan memiliki lesen palsu,” jelas Ab Aziz lagi.
Beliau turut menambah, kos pengambilan lesen memandu/menunggang motosikal bukanlah alasan mengapa pengguna jalan raya tidak memiliki lesen yang sah.
Katanya, “Terdapat pelbagai program termasuk 1Komuniti 1JPJ dan MyLesen yang dianjurkan bagi membantu mereka mendapatkan lesen menunggang motosikal B2 yang sah dengan kos yang berpatutan.”
Sering kali penggemar kenderaan jenama Jepun mempersoalkan kenapa ada kenderaan yang dipasarkan di sana tidak sampai ke Malaysia sedangkan ia cukup menarik dan dijangka boleh diterima baik oleh pengguna. Sebetulnya, setiap pasaran adalah berbeza, mempunyai kemahuan yang tersendiri, selain perlu disesuaikan dengan keadaan jalan dan peraturan yang ada di setiap negara. Bagi membawanya ke Malaysia, bukan perkara mudah, ditambah pula ia perlu menepati sasaran jualan tertentu supaya menjadikannya berbaloi.
Tetapi, dalam kes Toyota Sienta, yang asalnya adalah model untuk pasaran domestik Jepun (JDM), ketua jurutera yang membangunkannya, Hiroshi Kayukawa memberitahu mereka memang dari awal sudah merancang untuk memasarkan model generasi kedua di luar Jepun. Beliau juga sudah merasa sendiri pengalaman memandu di negara Indonesia, Thailand dan Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah kajian.
Dan akhirnya Ogos lalu, Toyota Sienta rasmi dilancarkan di Malaysia selepas pra tonton di My Auto Fest 2016 dan di pusat beli-belah diadakan bagi membina kehangatan sebelumnya. Untuk pasaran Malaysia, Sienta yang dipasarkan datang dari Indonesia, dan pastinya, ia mempunyai sedikit perubahan antaranya, mempunyai jarak kelegaan dari tanah 25 mm lebih tinggi berbanding Sienta Jepun, menjadikannya 170 mm.
Dengan badan kompak dan konfigurasi tujuh tempat duduk, pesaing paling dekat Sienta adalah Perodua Alza yang dijual pada harga bermula RM55,332 hingga RM65,432 dan Honda Freed, yang kini tiada lagi model baru yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia. Sienta yang kami tampilkan ini adalah model paling tinggi, 1.5V yang dijual dengan harga RM99,900 dan nyata ia mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek spesifikasi. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang, kerana Honda Freed sudah ada model baru yang dilancar di Jepun dan jika Honda Malaysia membawanya ke sini, cabarannya pasti lebih sengit.
Projek Lebuhraya Usahasama Berhad memaklumkan bahawa lencongan trafik telah mula diimplementasikan di KM385.6 hingga KM384.1 iaitu di antara laluan Behrang-Slim River (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan mulai semalam (25 Oktober) hingga 12 Disember 2016.
Sepanjang lencongan trafik itu berlangsung, PLUS mengaktifkan laluan kontra bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di laluan tersebut dilaksanakan.
Walau bagaimapun, PLUS memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan tidak akan dijalankan pada cuti perayaan Deepavali, iaitu pada 29 Oktober 2016.
Justeru, PLUS menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut supaya mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.