Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS tawar rebat 20% bagi ETC sempena Deepavali – saran pengguna lebuhraya ikut TTA yang dikeluarkan

    toll plaza plus

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan rebat 20% bagi pembayaran menggunakan sistem transaksi secara elektronik (ETC) bagi semua pengguna rangkaian lebuh raya PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena cuti perayaan Deepavali yang bakal berlangsung esok.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Pengguna Kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go dan SmartTAG berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20% pada 29 Oktober (Sabtu) bersempena dengan Hari Deepavali. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari tersebut.”

    Menurut Noorizah, pada tarikh tersebut, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 20% tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh 3 bulan iaitu di antara 15 November 2016 sehingga 14 Februari 2017 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

    Pemberian rebat tol oleh PLUS ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Hari Deepavali yang akan datang. Selain itu, ia adalah di antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan lebih pantas.

    “Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Noorizah.

    Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

    tta_deepavali_2016_bm

    Dalam masa yang sama, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan yang menuju destinasi berlainan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya dan seterusnya menyebabkan kesesakan.

    Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS sempena perayaan Deepavali, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis dan Kedah disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 10 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) dinasihatkan memasuki lebuh raya di antara jam 10 pagi hingga 6 petang.

    “Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke Perlis dan Kedah di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke utara lebih lancar. Begitu juga untuk perjalanan ke pelbagai destinasi di selatan,” jelas Noorizah.

    PLUS turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak tujuh (7) peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari di antara 27 Oktober hingga 1 November 2016 bersempena perayaan Deepavali berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

     
     
  • UMW Toyota panggil semula Vios, Altis, Yaris, Alphard di M’sia – tukar inflator, termasuk bagi model import

    2009-toyota-vios-trd-sportivo

    Susulan daripada panggilan semula besar-besaran yang dilakukan oleh Toyota Motor Corp (TMC) bagi menggantikan inflator beg udara Takata yang melibatkan jutaan kenderaan di seluruh dunia, pengedar tempatan, UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengumumkan panggilan semula bagi pemilik kenderaan terlibat di Malaysia.

    Dan ini juga merupakan aktiviti besar-besaran; ia melibatkan penggantian inflator bagi sistem beg udara bahagian pemandu dan/atau penumpang bagi beberapa model utama. Antaranya ialah Vios, Corolla Altis, Yaris dan Alphard yang dikilangkan antara Oktober 2007 hingga Disember 2011.

    UMWT menyatakan sejumlah 80,000 unit kenderaan jenama itu terlibat. Angka itu bagaimanapun hanya termasuk kenderaan yang diedarkan oleh pengedar rasmi sahaja. Kempen terbaharu ini adalah lanjutan kepada kempen sebelumnya yang memberi kesan terhadap hampir semua jenama pengeluar utama Jepun. Ia juga merupakan panggilan semula terbesar dalam sejarah industri automotif setakat ini.

    Masalah berkenaan disebabkan oleh penyusutan bahan dorongan (propellant degradation) selepas terdedah dalam jangka masa lama terhadap kelembapan udara dan suhu. Inflator berkenaan mengandungi bahan daripada ammonium nitrate yang berupaya menyebabkan keretakan pada modul berkenaan. Jika ini terjadi, serbihan logam akan menembusi bahagian beg udara ketika ia menggelembung dan akan terhambur ke dalam kabin, mampu menyebabkan kecederaan atau kematian.

    2010-toyota-corolla-altis

    UMWT menyatakan bahawa syarikat induknya TMC kini sedang berusaha mendapatkan alat ganti terlibat bagi panggilan semula ini. Sebaik sahaja ia diperoleh, UMWT akan maklumkan pemilik, meminta agar mereka membawa kenderaan terlibat ke pusat servis bertauliah Toyota untuk penukaran berkenaan, yang mengambil masa satu hingga tiga jam. Semua kos akan ditanggung oleh UMWT.

    Syarikat itu juga sedia maklum bahawa segelintir daripada pemilik kenderaan terlibat bukanlah pemilik pertama yang berdaftar dengan UMWT dan tidak dapat dihubungi. Dalam kes ini, mereka perlu menghubungi pusat servis Toyota atau memaklumkan ke talian Toyota Freephone di 1800-8-TOYOTA (869682). Toyota juga kini sedang dalam proses mengemaskini pangkalan data VIN dan pemilik boleh memeriksa nombor VIN kenderaan mereka di laman khas berkenaan.

    Bagaimana pula dengan model Toyota yang bukan dibawa masuk melalui pengedar rasminya? Merujuk kepada model-model grey import yang mungkin terlibat sama, terutama bagi pemilik model Alphard dan Vellfire yang dikilangkan dalam tempoh sama (Oktober 2007 dan Disember 2011), mereka juga akan turut dilindungi serta terlibat dalam kempen ini. Namun, keutamaan akan diberikan kepada pelanggan UMW Toyota terlebih dahulu.

     
     
  • Hyundai Grandeur 2017 – set gambar awal dikeluarkan

    hyundai-grandeur-2017-bm

    Selepas menyiarkan beberapa imej teaser bagi Hyundai Grandeur 2017 beberapa hari lepas, syarikat itu akhirnya mengeluarkan gambar sebenarnya. Grandeur 2017 adalah sebuah sedan generasi keenam dan menggunakan nama Azera di beberapa negara. Ia akan mula dijual di Korea Selatan bulan depan.

    Jelas, model baru ini nampak lebih mewah, dengan bahagian hadapan yang dipanjangkan dan garisan lebih rapi. Pada bahagian hadapan juga, lampu utama LED berbentuk trapezoid seakan diambil daripada BMW 5 Series G30 manakala gril pula membawa gaya korporat, seperti yang pertama kali dilihat pada i30.

    Pada bahagian tepi pula terdapat ‘garisan bahu’ yang panjang, dari lampu hadapan hingga ke pintu belakang, dan diteruskan oleh lengkuk tayar belakang. Lampu belakang kiri dan kanan pula bersambung di bahagian tengah.

    Di dalam, papan pemuka yang digunakan mempunyai beberapa lapis, atas berwarna gelap sementara separuh lagi di bawahnya berwarna coklat. Menurut Hyundai, teknologi cat dan bahan yang diperkaya menimbulkan rasa premium moden apabila berada di dalam Grandeur 2017.

    Setakat ini masih belum dinyatakan pilihan enjin yang akan diguna pada Grandeur 2017, tetapi ia pasti tidak akan lari jauh daripada yang terdapat pada Grandeur sekarang. Dalam barisan kenderaan Hyundai, model ini terletak di antara Sonata dan Genesis.

    Bagi Grandeur yang ada di pasaran sekarang, ia ditawarkan dalam dua pilihan enjin Theta empat silinder 2.4 liter (MPI dan GDi), dan dua unit Lambda V6 – 3.0 liter dan 3.3 liter. Turut disediakan adalah varian hibrid yang menggunakan enjin 2.4 liter MPI bersaa motor elektrik 3.0 liter.

    Kereta ini datang secara standard dengan transmisi automatik enam kelajuan, tetapi bagi model baru, kotak gear automatik lapan kelajuan seperti yang terdapat pada Kia Cadenza generasi kedua dijangka digunakan.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz W213 E 200 – penanda aras baharu segmen sedan mewah eksekutif

    mercedesbenz_w213_e200_ext-6

    E-Class merupakan model yang paling penting dalam barisan kenderaan keluaran Mercedes-Benz. Walaupun ia bukan model yang diletakkan dalam kelas entry-level di mana ada lagi model yang berada dibawahnya dengan harga yang lebih murah seperti C-Class, B-Class dan A-Class, E-Class merupakan model paling laris Mercedes-Benz dalam sejarah, di mana sehingga tahun 2015, sebanyak 13 juta unit model berkenaan telah terjual.

    Sebagai antara model yang terbaik dalam kelasnya juga, E-Class tidak terlepas dari saingan oleh musuh tradisi. Untuk segmen setaranya, E-Class dilihat berhadapan ‘pertarungan sengit’ dari model keluaran jenama senegaranya iaitu BMW 5 Series. Mercedes-Benz E-Class generasi sebelum ini iaitu model W212 disaingi hebat oleh BMW 5 Series F10 dan tahun ini merupakan penamat bagi saingan untuk kedua-dua jentera berkenaan apabila produksi model-model ini ditamatkan.

    Mercedes terlebih dahulu memperkenalkan senjata mereka untuk saingan peringkat seterusnya dengan memperkenalkan generasi terbaharu E-Class W213 pada Detroit Motor Show Januari lalu, manakala BMW 5 Series G30 baharu sahaja diperkenalkan awal bulan ini dan hanya akan dipasarkan bermula Februari 2017.

    E-Class W213 ini mula menerjah masuk ke pasaran Malaysia Jun lalu, dilancarkan hanya selepas lima bulan diperkenalkan untuk peringkat global. Mercedes-Benz akan membawa model ini dalam versi CKD tahun hadapan, dan buat masa sekarang, hanya unit CBU yang diimport sepenuhnya dibawa masuk ke Malaysia dalam varian E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive. Model E 300 AMG line CBU pula bakal tiba di Malaysia pada November ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Barisan Volkswagen Golf dikurangkan kerana potongan kos, pilih model yang lebih inovatif – laporan

    VW Golf R400 2

    Selepas Volkswagen mendedahkan model Golf facelift sedia untuk membuat penampilan secara rasmi November ini, terdapat ura-ura menyatakan ia bakal ditawarkan dengan beberapa varian. Buat masa ini Mk7 Golf ditawarkan dalam bentuk hatchback, estate, convertible, Alltrack dan SUV. Walau bagaimana pun, dikatakan, barisan Golf kali ini akan dikurangkan kerana syarikat tersebut mahu mengurangkan kos, laporan Autocar.

    Malahan turut dikhabarkan varian convertible juga akan dihentikan jualannya di United Kingdom, iaitu salah satu pasaran terbuka yang begitu sinonim dengan kereta jenis bumbung terbuka ini. Walau bagaimana pun, Volkswagen dikatakan akan menggantikannya dengan varian yang lebih relevan.

    “Kami perlu meneliti model Golf yang akan datang serta varian yang ditawarkan, kerana kami perlu mempertimbangkan soal penjimatan kos. Justeru, kami perlukan model yang lebih kukuh dan lebih inovatif,” ujar pengerusi Herbert Diess.

    Spy-Shots of Cars

    Imej rendering bagi model Mk7 Volkswagen Golf Cabriolet

    Dies turut berkata, platform MQB bagi barisan Golf agak tinggi, justeru beliau akan meminta para juruteranya untuk mengurangkan kos perbelanjaan. Di samping pengurangan kos, Dies turut mendesak margin yang lebih besar dengan kos perlaburan bernilai £1.5 billion (RM7.66 billion) yang dibelanjakan oleh syarikat untuk platform MQB baharu, dalam masa yang sama cuba mengekalkan keuntungan syarikat.

    Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh Diess ialah berhadapan dengan kerja di sebalik pembikinan Golf. “Salah satu cabaran terbesar yang kami masih hadapi ialah berurusan dengan kesatuan baharu. Saya sendiri sedang mencari produktiviti tertinggi dan menstruktur semula rantaian bekalan bagi berhadapan dengan teknologi baharu. Kami berharap segala yang dirancang ini mampu berjalan dengan berkesan menjelang tahun 2020,” ujarnya lagi.

     
     
  • Ford Mustang GT350 dan GT350R dipanggil semula kerana masalah tiub penyejuk minyak – boleh terbakar

    Ford-Mustang-Shelby-GT350-29-e1416297052707

    Ford Mustang GT350 dan GT350R telah dipanggil semula kerana masalah “lentur yang tidak mencukupi pada tiub penyejuk minyak enjin”, yang boleh menyebabkan kebocoran pada minyak pelinicir enjin. Masalah ini mungkin boleh menyebabkan pengurangan minyak pelincir, enjin tersekat dan jika ada punca percikan api, ia boleh menyebabkan kebakaran.

    Menurut Ford, isu ini melibatkan sejumlah 8,026 kenderaan, termasuk 6,523 di Amerika Syarikat, 957 di Kanada, 346 di Mexico dan 59 di wilayah-wilayah persekutuan. Pemilik kereta-kereta ini perlu menghantar GT350 mereka ke pengedar Ford bertauliah untuk menukar pemasangan lengkap tiub penyejuk minyak berkenaan, serta menghentikan tempahan jualan untuk unit-unit yang berada di bilik-bilik pameran, bermaksud unit-unit tersebut tidak boleh dipandu uji mahupun dihantar ke pelanggan.

    Mustang berkuasa 526 hp/580 Nm dari enjin 5.2 liter V8 NA ini bukan satu-satunya model yang dipanggil semula atas masalah sedemikian. Sebelum ini Porsche 911 GT3 generasi 991 turut dipanggil semula atas masalah yang sama pada enjin boxer enam silinder 3.8 liter NA, mengalami kebocoran minyak enjin pada bahagian takung minyak disebabkan sambungan skru pada rod penghubung omboh yang rosak dan boleh menyebabkan kebakaran. Dalam kes GT3 berkenaan, 785 kereta telah dipanggil semula untuk ditukar dengan enjin baharu sepenuhnya.

    2015 Ford Mustang Shelby GT350


    2015 Ford Mustang Shelby GT350R

     
     
  • Infiniti pertimbang hasilkan kenderaan elektrik pertama untuk pasaran China – “boleh siap dengan cepat”

    infiniti-emerg-e-concept-3-e1477543056207-bm

    Semakin banyak pengeluar kenderaan yang kini mahu memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dan Infiniti juga mungkin akan menyertainya, dengan sebuah model sendiri dan pasaran di China sebagai sasaran, menurut satu laporan oleh Bloomberg.

    “Apabila saya memikirkan berkenaan EV, kami merekanya untuk China, termasuk sebagai tempat pelancaran pertama. Kami sedang berbincang dalam syarikat dan ini termasuk bilakah waktu yang sesuai bagi Infiniti untuk mempunyai model sebegini,” kata Presiden Infiniti, Roland Kruger dalam laporan itu.

    Sebelum ini, Infiniti sudah terlibat dalam kenderaan elektrik, dan pada tahun 2012 mereka memperkenalkan dua kenderaan konsep – LE elektrik sepenuhnya dan EMERG-E, yang merupakan sebuah hibrid range-extender.

    infiniti-le-concept-1-e1477543119285-630x364-bm

    Walaupun tidak mendedahkan jenis bagi kenderaan elektrik Infiniti ini, Krueger menyatakan mereka mampu untuk menjualnya dengan “begitu pantas,”, hasil sokongan teknologi daripada syarikat induk, iaitu Nissan dan juga Renault.

    Pada masa ini, Infiniti menawarkan sembilan model di China – Q50, Q50L, Q60, Q70L, QX50, QX60, QX70, QX80, dan ESQ (Nissan Juke yang lebih premium). Enam daripada model ini dikuasakan enjin petrol sementara tiga lagi (Q50, Q70L, QX60) adalah hibrid.

    GALERI: Infiniti EMERG-E Concept

    GALERI: Infiniti LE Concept

     
     
  • VIDEO: Beberapa ciri Honda CR-V 2017 dipertonton

    Honda memperkenalkan model CR-V 2017 awal bulan ini, yang telah menerima rekaan dan aspek kejuruteraan serba baharu bagi model generasi kelimanya. Honda USA baru-baru ini mengeluarkan video tentang sebahagian daripada ciri-ciri utama yang melengkapi model berkenaan.

    Antara yang dipaparkan ialah aspek rekaan yang diterapkan pada CR-V terbaharu itu; lampu depan LED sepenuhnya dengan gaya kemas, yang menjadi sebahagian daripada identiti baharu kenderaan Honda dengan wajah depan terkini Solid Wing Face. Bahagian lampu belakang yang diberi rekaan baharu serta pintu belakang tanpa kendalian tangan juga turut ditunjukkan.

    Selain itu, enjin 1.5 liter turbocaj yang digunakan pertama kali bagi CR-V. Enjin DOHC suntikan terus dengan janaan output 190 hp pada 5,600 rpm dan 243 Nm tork antara 2,000 hingga 5,000 rpm, menjadikannya lebih berkuasa berbanding enjin yang digunakan pada Civic FC.

    Bahagian dalamannya juga kini menggunakan material yang dipertingkatkan untuk memberi rasa yang lebih premium pada ruang kabin. Turut kelihatan ialah sistem infotainmen melalui skrin sentuh yang digunakan (kini dengan tombol Volume) serta bahagian kluster kawalan.

    Bahagian meter menggunakan skrin LCD bagi paparan takat rpm, speedometer dan paparan pelbagai maklumat kenderaan, sama seperti yang ada pada Civic FC. Ruang dalamannya juga disifatkan lebih luas hasil daripada jarak roda yang lebih kini – 2,660 mm berbanding 2,620 mm.

    Antara ciri lain yang turut disentuh ialah dua port USB mengecas peranti elektronik, dengan output 2.5 A setiap satu, yang membolehkan telefon pintar atau tablet dicas dalam masa yang lebih singkat.

     
     
  • Super KIP sasar kedudukan terbaik, basah atau kering meskipun sudah lama tidak berlumba di Litar Sepang

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-18-850x567

    Hujung minggu ini akan berlangsung perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang dan pastinya, pelumba dari Malaysia akan menjadi perhatian utama di litar sendiri ini. Antaranya adalah Khairul Idham Pawi (atau juga dikenali sebagai Super KIP), yang kini namanya semakin meningkat sejak beliau menjadi pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan GP, dengan memenangi perlumbaan Moto3 di Argentina April lalu – dalam keadaan litar basah.

    Dalam perlumbaan-perlumbaan seterusnya, orang ramai sudah boleh mula melihat bahawa Super KIP mempunyai keistimewaan sendiri iaitu laju semasa keadaan jalan basah. Kami sempat bertanya kepada Super KIP dalam satu acara di Kuala Lumpur semalam, bagaimana beliau boleh laju dalam keadaan sebegitu, dan beliau sendiri sukar menjawabnya.

    “Saya akan laju apabila rasa selesa di atas litar, bersama motosikal yang ditunggang,” itu sahaja jawapan ringkas beliau.

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-13-e1468752699456-850x784

    Untuk perlumbaan di Litar Sepang hujung minggu ini, Super KIP menyatakan tidak sabar menunggu waktu ujian kerana sebenarnya, beliau sudah lama tidak berlumba di Sepang. Kali terakhir adalah dua tahun dulu semasa beliau berlumba dalam siri 250 cc Asia Dream Cup.

    Walaubagaimanapun, beliau menyatakan sudah melakukan ‘ulang kaji’ berkenaan keadaan litar sekarang dan sentiasa akan berusaha untuk kedudukan terbaik, tidak kira sama ada keadaan jalan basah atau kering. Maklum balas seterusnya hanya boleh diketahui selepas melalui sesi ujian yang bermula pada hari Jumaat ini.

    Selain Super KIP, dua lagi pelumba dari Malaysia akan menyertai saingan Moto3 iaitu Adam Norrodin dan Amirul Hafiq Azmi, manakala dalam kategori Moto2, Hafizh Syahrin dan Ramdan Rosli pula akan memberi cabaran.

     
     
  • Mercedes-AMG W213 E63 4MATIC+ dan E63 S 4MATIC+ – E-Class paling berkuasa pernah dihasilkan

    e63-4matic-25_bm

    Generasi terbaharu E-Class W213 diperkenalkan buat pertama kali pada awal tahun ini di Detroit Motor Show. Kini, tiba masanya model paling berkuasa untuk W213 didedahkan iaitu Mercedes-AMG E 63, hadir dengan dua varian iaitu E 63 4MATIC+ dan E 63 S 4MATIC+. E 63 W213 ini akan membuat kemunculan sulungnya dalam versi Edition 1 pada 16 Novemver di Los Angeles Auto Show, sebelum tiba di bilik-bilik pameran Mac tahun hadapan.

    Kedua-dua varian ini dijana oleh enjin AMG M178 4.0 liter V8 turbo berkembar, yang pertama kali diperkenalkan pada AMG GT S. Enjin ini menggantikan enjin M157 5.5 liter V8 yang menjana E 63 dan E 63 S W212 sebelum ini. Walaupun kapasiti enjin baharu ini lebih kecil, kuasa yang dihasilkan adalah lebih besar berbanding enjin 5.5 liter terdahulu.

    Enjin pada E 63 4 MATIC+ menghasilkan kuasa 563 hp (571 PS) pada takat 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 750 Nm bermula 2,250 hingga 5,000 rpm (557 hp/720 Nm pada enjin 5.5 liter), manakala untuk varian S yang lebih berkuasa, enjin berkenaan mengekstrak 603 hp pada tahap rpm yang sama serta tork maksima 850 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Walau bagaimanapun, tork pada enjin 4.0 liter varian S ini sedikit kurang dari E 63 S W212, di mana enjin 5.5 liter pada model berkenaan dicatatkan pada 900 Nm.

    Enjin baharu ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan, menggantikan kotak gear AMG Speedshift MCT tujuh-kelajuan sebelum ini. Kotak gear baharu ini juga menggunakan klac pemula (start clutch) menggantikan torque converter pada kotak gear lama, bagi memberikan respon yang lebih baik dan juga lebih ringan. Kotak gear baharu ini dikatakan mampu menukar gear lebih pantas, penurunan gear lebih laju serta diberikan fungsi double-clutching.

    e63-4matic-24_bm

    Padanan enjin dan transmisi baharu ini membolehkan E 63 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik 250 km/h – model yang hadir bersama pakej AMG Driver mampu mencatatkan kelajuan maksima 300 km/j. Untuk model E 63 S pula, kelajuan 100 km/j dicapai dari kedudukan pegun hanya dalam masa 3.4 saat.

    Berbanding E 63 W213 yang dipacu roda belakang, E 63 W213 menerima sistem pacuan semua roda bervariasi 4MATIC. Menerusi sistem berkenaan, penyambung yang dikawal secara elektro-mekanikal dihubungkan kepada gandar belakang untuk menyalurkan kuasa secara bervariasi kepada gandar hadapan, dengan agihan tork yang dikira secara berterusan berdasarkan keadaan pemanduan dan input dari pemandu, membolehkan kereta ini berubah dari sebuah jentera pacuan semua roda dengan cengkaman jalan yang kuat kepada sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya bergantung pada keadaan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, E 63 W213 turut menerima fungsi Drift Mode sebagai ciri standard, tetapi hanya untuk varian S. Fungsi ini boleh diaktifkan menerusi program pemanduan “RACE” menggunakan pedal penukar gear – mematikan fungsi ESP serta transmisi boleh dikawal secara manual. Apabila fungsi ini diaktifkan, E 63 S 4MATIC bertukar kepada sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya, dan ia kekal berfungsi sehingga pemandu sendiri mematikannya. Gandar belakang juga diberikan unit LSD, sistem mekanikal untuk model asas E 63 dan sistem kawalan elektronik untuk varian E 63 S.

    Program pemanduan AMG Dynamic Select ditawarkan dengan pilihan empat mod iaitu Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Ia turut diberikan mod “RACE” untuk kegunaan di litar perlumbaan tertutup. Untuk fungsi Racestart pula, kawalan logiknya kini telah ditala semula dan turut dipermudahkan lagi.

    e63-4matic-6_bm

    Dalam program Sport, Sport+ dan Race, pemandu perlu menekan pedal brek sepenuhnya dengan kaki kiri dan pedal pendikit juga secara sepenuhnya dengan kaki kanan untuk mengaktifkan sistem elektronik agar kuasa enjin dilaras pada kuasa sepenuhnya.

    Untuk mod Comfort pula, silinder nombor dua, tiga, lima dan lapan enjin V8 ini boleh dinyahaktifkan ketika ia dipandu pada tahap separa-bebanan menerusi sistem AMG Cylinder Management bagi mendapatkan penggunaan petrol yang lebih ekonomi.

    Model ini menampilkan rekaan muka yang lebih garang, dengan bonet dan fender direka selari seperti pada model coupé, yang menurut Mercedes ia memberikan pendekatan yang lebih dinamik. Ruang roda turut dilebarkan lebih 17 mm dari E-Class standard untuk memmuatkan trek roda yang lebih lebar dan juga roda yang lebih besar pada gandar hadapan.

    E 63 juga menerima gril hadapan dua baris kemasan krom perak dan hitam serta ditempatkan lencana AMG. Ia juga dipadankan dengan splitter dan apron hadapan besar diinspirasikan dari rekaan sayap jet dengan kemasan berwarna hitam. Bahagian belakang pula dipadankan dengan spoiler but, apron belakang direka seperti diffuser serta tip ekzos berkembar dengan elemen krom pada sistem ekzos sport yang boleh dipilih.

    E 63 4MATIC+ didatangkan dengan rim aloi ringan 19-inci 10-jejari berwarna kelabu titanium dengan kemasan akhir high-sheen, dibaluti tayar 265/35R19 pada bahagian hadapan dan 295/30R19 pada bahagian belakang. Untuk E 63 S 4MATIC+ pula, ia menerima roda aloi 20-inci lima jejari berkembar dengan kemasan akhir yang sama dan turut dibaluti tayar berprofil serupa dalam variasi roda 20-inci. Turut ditawarkan sebagai opsyen ialah rim aloi forged 20-inci jejari bersilang baharu.

    Model ini juga menampilkan suspensi AMG yang menerima kejuruteraan semula, diasaskan dari suspensi udara Air Body Control pelbagai-kebuk. Suspensi ini juga menampilkan rekaan gandar hadapan empat-hubungan yang terdiri dari komponen aloi forged dengan wishbone, rod strut, hubungan spring serta gandar belakang yang menerima kejuruteraan semula membolehkan ia disesuaikan dengan prestasi dinamik jentera ini yang telah dipertingkatkan. Turut dilengkapi adalah pembawa roda spesifik AMG, talaan elastokinematik yang dioptimakan untuk dinamik kenderaan serta camber yang lebih negatif.

    E 63 S 4MATIC+ hadir dengan cagak enjin dinamik sebagai ciri standard, dan kedua-dua model dibekalkan dengan stereng sensitif-kelajuan elektromekanikal AMG Sport. Untuk brek pula, kedua-duanya diberikan sistem brek berprestasi tinggi AMG, dengan varian S menampilkan cakera brek bahagian hadapan yang lebih besar berbanding model asas. Sistem brek AMG karbon seramik turut ditawarkan sebagai opsyen untuk varian S.

    Bahagian dalaman pula, E63 diberikan elemen kemasan aluminium trapezium dan tempat duduk sport pada bahagian hadapan, dengan pilihan upholsteri balutan kulit nappa hitam/gentian mikro Dinamica, kulit nappa nut brown atau kulit nappa macchiato, serta diberikan opsyen tempat duduk dengan penahan kepala AMG Performance.

    Untuk membezakan antara varian, E 63 S 4MATIC+ dipadankan dengan balutan kulit nappa pada panel instrumen, sulaman AMG pada bahagian hadapan perehat kepala, jalur tempat duduk dan tali pinggang keledar kelabu kristal dan jam analog rekaan IWC. Paparan skrin lebar dengan dua monitor juga dibekalkan sebagai ciri standard – ditawarkan sebagai opsyen untuk varian asas E 63 4MATIC+.

    Model ini juga turut diberikan fungsi pemanduan separa-automatik Drive Pilot dan Mercedes me. Ciri tambahan seperti pakej Night juga turut diberikan pada versi Edition 1 E 63 S 4MATIC+.

    Turut ditawarkan untuk tempoh masa setahun setelah ia dilancarkan dalam pasaran, E 63 S akan menerima kemasan E1, dengan pakej Night, jalur dinamik pada panel sisi serta roda aloi forged 20-inci AMG kemasan hitam matte dengan bahagian flange menerima kemasan digilap hingga berkilat.

    Pada bahagian dalaman pula, ia menerima tempat duduk sport AMG Performance balutan kulit nappa hitam dengan jahitan kuning serta roda stereng AMG Performance. Berdasarkan gambar juga, model ini turut menerima sistem audio premium Burmester dan juga jam analog rekaan IWC.

     
     
  • Nissan e-NV200 Workspace – pejabat dalam kereta

    dsc_5570-e1477535182881-850x479-bm

    Pernahkah anda terfikir untuk bekerja di dalam kereta? Dengan kadar sewa untuk pejabat yang kini semakin menaik dan lebih banyak syarikat yang terbuka untuk menerima keadaan bekerja lebih fleksibel, idea ini mungkin boleh dipakai. Contoh yang baik ditunjukkan oleh Studio Hardie, sebuah syarikat rekaan di United Kingdom dan Nissan melalui penghasilan e-NV200 Workspace ini.

    Ia adalah sebuah kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan konsep asalnya terhasil kerana kenderaan elektrik lebih jimat kos. Sambil mengecas di tempat percuma yang disediakan, pengguna boleh duduk bekerja di dalam van ini. Jika tidak mahu suasana sibuk di bandar, mereka juga boleh membawanya ke kawasan lain yang lebih tenang.

    Dari luar, Nissan e-NV200 Workspace kelihatan biasa sahaja tetapi di dalam, ia telah diubah suai secara meluas dengan kelengkapan seperti meja lipat yang menempatkan komputer, papan kekunci dan tetikus, serta alat tulis yang masing-masing mempunyai bekas sendiri. Pada bahagian yang bertentangan, terdapat pula kaunter membuat kopi bersama mesin khas.

    Lantai pada bahagian belakang kenderaan ini ditutup dengan kayu oak, dan pada bahagian tertentu, ia mempunyai tapak khas untuk pengguna meletakkan kerusi, sama ada di hadapan komputer atau di tepi pintu untuk mengambil angin. Sekiranya lebih ruang diperlukan, satu bahagian khas juga disediakan, yang boleh ditarik keluar ke belakang kenderaan. Apabila malam, suasanya akan lebih meriah kerana dihiasi dengan lampu LED berwarna kuning

    Nissan e-NV200 Workspace boleh dicas sehingga tahap 80 peratus dalam masa hanya setengah jam. Jika pengguna tidak mahu bekerja di dalam kenderaan atau perlu ke sesuatu tempat berdekatan, mereka boleh menaiki basikal lipat, yang juga mempunyai tempat khas untuk menggantungnya.

     
     
  • Mercedes-Benz GLS 400 4MATIC dilancar – RM889k

    mercedes-benz-gls-1

    Selain model G63 Edition 463 dan GLC 250 4Matic Coupe, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan Mercedes-Benz GLS 400 4MATIC. SUV tujuh-tempat duduk ini tampil dengan imej yang diperbaharui, selain menawarkan lebih kuasa.

    Rekaan luarannya tertumpu pada bahagian hadapannya, dengan menampilkan lampu utama rekaan baharu, gril radiator bar-berkembar yang lebih tebal serta lambang bintang yang lebih besar di tengahnya. Malahan bampar hadapannya juga direka semula memberikan gaya yang lebih dinamik. Bagi bahagian belakangnya, lampunya turut direka baharu dan bamparnya juga lebih berketerampilan.

    Menjengah bahagian kabinnya, ia kelihatan menyamai elemen yang ada pada model GLE. Namun terdapat sedikit semakan termasuk panel instrumen yang direka baharu, roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari baharu serta konsol tengah yang dimodifikasi bersama kawalan pad sentuh.

    Turut ditampilkan ialah bumbung matahari panoramik, sistem Comand Online dengan Paparan Media berwarna lapan-inci dan butang fungsi pada papan pemuka yang direka semula dengan imej lebih bergaya.

    mercedes-benz-gls-3

    Selain itu, bahagian kabin turut ditampilkan dengan elemen kekemasan hitam berkilat atau kayuan. Malah pelanggan juga memiliki pilihan sama ada dengan rekaan Exclusive dengan lima pilihan warna dalaman, termasuk material kulit dalam rona hitam, kuning langsat/coklat espresso, coklat/hitam, kelabu kristal/hitam atau kuning langsat/hitam.

    Imej dalaman AMG Line turut ditawarkan, termasuk bagi tempat duduk sport dengan kulit nappa, roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari dengan kekemasan kulit nappa rona hitam, dail instrumen dengan imej berkotak dan pedal sport dengan material keluli tahan karat.

    GLS 400 4MATIC juga menampilkan rekaan luaran AMG Line, termasuk ‘apron’ yang spesifik bagi hadapan dan belakang, side flap yang sama dengan warna badan kereta dan juga roda aloi-ringan AMG 21-inci. Dan disebabkan ia adalah tempahan yang istimewa, GLS juga boleh dipersonalisasi berdasarkan pilihan termasuk kekemasan warna luaran, dengan dua edisi istimewa bersama designo diamond white dan designo hyacinth red yang turut ditawarkan bagi SUV ini.

    Dijanakan oleh enjin 3.0 Liter turbo-berkembar V6, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 328 hp pada 5,250 hingga 6,000 rpm dan tork puncak 48p rpm dari 1,600 hingga 4,000 rpm. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan. Dengan prestasi yang dipersembahkan ini, ia mampu memacu SUV ini dari 0-100 km/j dengan hanya 6.6 saat dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 240 km/j.

    Secara standard, GLS ini turut dilengkapi dengan sistem Dynamic Select yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Comfort, Slippery, Sport, Individual dan Off-road, serta didatangkan dengan suspensi udara Airmatic. Bukan itu sahaja, sistem peredamnya juga telah dipertingkatkan bagi memberikan pemanduan yang lebih dinamik.

    Pembeli juga boleh memilih pilihan Active Curve System, yang menggunakan palang anti-olengan aktif pada gandar hadapan dan belakang bagi mengurangkan kesan olengan terutamanya ketika jentera dipandu di selekoh tajam. Ia turut menawarkan sistem bantuan pemanduan secara standard termasuk Collision Prevention Assist Plus dan Attention Assist.

    Harga atas jalan yang ditawarkan bagi GLS 400 4Matic ini bermula RM888,888 (tanpa insurans). MBM juga berkata GLS 500 dan GLS 63 turut ditawarkan menerusi tempahan istimewa.

    Untuk spesifikasi dan perincian lanjut mengenai GLS 400 4Matic ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC Coupe diperkenalkan di Malaysia – hanya varian GLC 250 4MATIC, RM423,888

    mercedes-benz-glc-coupe-1

    Satu lagi model serba mewah, premium dan cukup bergaya telah diperkenalkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) pagi ini, Mercedes-Benz GLC Coupe. Hadir dengan varian tunggal iaitu GLC 250 4MATIC, yang dilengkapi karakteristik yang lebih mantap dan menarik.

    Dengan harga atas jalan yang ditawarkan iaitu RM423,888 (tidak termasuk insurans), pastinya GLC 250 4MATIC ini mampu menarik golongan yang mementingkan kesempurnaan dan gemarkan gaya kemewahan serta elegan.

    GLC 250 4MATIC dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan kuasa 211 hp pada 5,500 rpm dan tork puncak 350 Nm antara 1,200 rpm hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-TRONIC sembilan-kelajuan, dan padanan kuasa ini mampu memacunya dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 250 km/j.

    Selain prestasi yang mengagumkan, imej yang ditampilkan sememangnya menjadi taruhan utama bagi GLC 250 4MATIC ini. Ia hadir dengan rekaan menawan termasuk menampilkan gril radiator berlian dengan logo bintang ‘pujaannya’ di tengah dan corong udara yang lebih besar.

    mercedes-benz-glc-coupe-2

    Mengambil sedikit ilham imej SUV, garisan bumbung yang memberikan gambaran coupe cukup menyerlahkan gaya model berketinggian 1.60 m ini. Padanan roda bersaiz 20-inci turut memberikan kesan dinamik pada model coupe ini.

    Melewati bahagian belakangnya, gen coupe jelas kelihatan terutamanya dengan rekaan bampar yang lebih maskulin serta kehadiran corong ekzos dengan disambung pada peresap belakang. Malahan bahagian belakangnya juga kelihatan sedikit lebar, memberikan penampilan yang lebih atletik. Lampu belakang LED yang bersudut dengan spoiler lip yang nampak ‘tajam’ menjadikan GLC 250 4MATIC kelihatan berketerampilan.

    mercedes-benz-glc-coupe-33

    Memasuki bahagian kabinnya, ia turut menterjemahkan aura penuh berkarekteristik dengan ambien bertaraf tinggi. Rekaan penuh dinamik terserlah menerusi papan pemuka dan konsol tengah dengan sentuhan mewah, menjalari bahagian corong udara hingga ke bahagian perehat tangan. Pakej AMG Interior Line yang merajai bahagian kabin turut menyerlahkan imej sporty coupe ini.

    Selain itu, ia turut menampilkan sistem multimedia Audio 20 CD, kamera 360-darjah, dan fungsi KEYLESS-GO, serta bantuan pemanduan termasuk Collision Prevention Assist Plus, Attention Assist dan ESP.

    Ruang penyimpanan barangan di belakang yang normalnya berkeluasan 491 liter, mampu menjadi 1,400 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan. Malahan ruang kaki dan ruang kepala bagi tempat duduk belakang juga lebih luas, terbaik dalam kelasnya.

    GLC Coupe baharu ini turut didatangkan dengan suspensi sport termasuk DYNAMIC SELECT dengan lima mod transmisi termasuk ECO, COMFORT, SPORT, SPORT+ dan INDIVIDUAL. Selain itu, sistem Direct-Steer juga telah ditala semula dengan nisbah 15.1:1, menawarkan nisbah stereng yang lebih berkarakteristik, termasuk dengan hadirnya mod SPORT dan SPORT+.

    Tidak berkompromi soal keselamatannya, GLC Coupe baharu ini juga dibina dengan kerangka berketahanan tinggi, termasuk dengan komponen alumnium die-cast.

    Selain itu, juga dilengkapi dengan beg udara pada bahagian pelvis untuk penumpang dan penumpang hadapan, bahagian lutut pemandu, bahagian hadapan pemandu dan penumpang hadapan serta bahagian sisi bagi penumpang di belakang.

    Untuk mengetahui spesifikasi dan perincian lanjut mengenai GLC Coupe baharu ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • BMW R nineT Scrambler tiba di Malaysia – RM92,900

    the-new-bmw-r-ninet-scrambler-8-bm

    Sejarah motosikal jenis scrambler BMW Motorrad sudah bermula sejak tahun 1951 lagi dan pada masa itu mereka mempunyai model R 68. Kini, bagi menghidupkan kembali era scrambler, syarikat pengeluar dari Jerman ini memperkenalkan R nine T Scrambler, dan ia baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada harga RM92,900 termasuk GST, tanpa insurans.

    Karekter unik scrambler diketengahkan pada R nineT Scrambler, dengan panel badan yang minimal, menampakkan kebanyakan ‘isi’ mekanikalnya. Paling utama sudah tentu adalah enjin boxer dua silinder berpenyejukan udara/minyak yang berkapasiti 1,170 cc dan mampu menghasilkan sehingga 110 hp kuasa maksimum dan 116 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem syaf – satu padanan yang sudah sinonim dengan jenama BMW. Bagi menjadikannya menepati tahap emisi Euro 4, BMW Motorrad telah mengubah pemetaan enjin R nineT Scrambler manakala penggunaan bahan api pula menjadi 5.3 liter/ 100 km.

    Dari aspek penggayaan, selain ekzos dua muncung yang terletak tinggi, R nineT Scrambler juga menggunakan tangki minyak 17 liter besi, sementara pada bahagian tepinya, terdapat corong udara yang berwarna perak.

    Gaya tunggangan yang ditawarkan oleh R nineT Scrambler adalah santai dan lebih tegak, hasil daripada pemegang yang lebih tinggi berbanding R nine T biasa dan tempat letak kaki yang direndahkan, serta lebih ke belakang. Pada keadaan biasa, ia boleh menempatkan dua orang, tetapi pengguna juga boleh memilih untuk menanggalkan tempat duduk belakang.

    Sistem penyerap hentakan motosikal ini dilaksana oleh suspensi fork teleskopik di hadapan, dengan jarak bergerak 125 mm manakala di bahagian belakang pula terdapat lengan ayun Paralever, dengan satu penyerap yang mampu bergerak sebanyak 140 mm. Rim yang digunakan pula adalah bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Bagi memastikan fungsi brek berpadanan, angkup 4 piston digunakan di hadapan, bersama cakera 320 mm dan hos salutan besi, sementara di belakang pula menggunakan angkup dua piston dan cakera 265 mm. Sistem keselamatan ABS didatangkan secara standard.

    BMW R nineT Scrambler ditawarkan dalam warna Monolith Metallic Matt, dan pilihan tangki edisi terhad berwarna Hand Brushed Aluminium dengan Visible Weave Weld juga boleh didapati pada masa sama. Jika itu masih tidak sesuai, anda boleh memilih pelbagai lagi aksesori yang disediakan oleh BMW Motorrad utuk motosikal ini. Anda juga boleh melihat motosikal ini semasa acara MotoGP di Litar Sepang hujung minggu ini.

     
     
  • Mercedes-Benz G-Class facelift dilancarkan di M’sia – Mercedes-AMG G63 Edition 463, RM1,181,888

    mercedes-amg-g-63-1

    Ikon penuh legenda, Mercedes-AMG G-Class versi facelift telah pun dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) untuk pasaran tempatan. Dilahirkan sejak tahun 1979, G-Class ini telah mencipta pelbagai evolusi tersendiri dan berjaya meraih perhatian peminatnya terutamanya penggemar jentera mewah tahan lasak dan penuh adrenalin.

    Bagi Mercedes-AMG G 63 facelift ini dijanakan oleh enjin AMG 5.5 liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 571 hp dan tork puncak 760 Nm pada 1,750 rpm hingga 5,250 rpm. Membolehkan SUV lasak ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.4 saat. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik AMG SPEEDSHIFT PLUS 7G-TRONIC dengan pedal penukar gear AMG pada roda stereng serta tiga mod pemanduan dengan karakteristik berbeza bagi kuasa pendikit.

    Dengan teknologi talaan AMG, Mercedes-AMG G 63 ini dilengkapi dengan fungsi ECO start/stop sebagai standard bagi memberikan penjimatan bahan api dan emisi.

    mercedes-amg-g-63-33

    Bagi ketegaran kerangkanya, Mercedes-AMG G 63 diperbuat dengan bingkai jenis-ladder yang menawarkan kemantapan dan kestabilan. Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan prestasi off-road dengan pacuan semua-roda, kotak gear berketepatan rendah dan tiga unit karbeda yang boleh dikunci (differential lock) dipadankan pada sistem pacuan empat roda ini .

    Casis AMG turut dilengkapi dengan gegelung lingkaran dan penyerap hentak istimewa bagi menukar kuasa pada enjin menjadi lebih mantap daripada segi pengendalian tanpa berkompromi terutamanya ketika dipacu di laluan off-road. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem brek AMG berprestasi tinggi dan ESP bagi keupayaan pemanduan yang lebih optimum.

    Imej yang dipertaruhkan? Hah! Sudah tentu nampak begitu macho dan agresif. Model istimewa EDITION 463 ini turut didatangkan dengan gril radiator AMG twin-lourve, lampu utama Bi-xenon berserta lampu nyalaan siang LED.

    mercedes-amg-g-63-6

    Profil sisinya juga kelihatan mantap termasuk dengan cermin sisi berkuasa, lencana “V8 BITURBO”, brek kaliper AMG berwarna merah pada bahagian hadapan dan belakang, roda bersaiz 21-inci serta pelbagai pakej luaran keluli tahan karat. Di belakangnya pula, ditampilkan sistem ekzos sport AMG dengan dua corong berkembar krom yang terletak sebelah-menyebelah.

    Menjengah bahagian kabinnya, aura agresif juga jelas kelihatan. Ia didatangkan dengan pakej eksklusif termasuk penggunaan material upholstery coklat terang dan kulit nappa hitam. Malahan garisan pada bumbung pula dihiasi dengan material gentian mikro DINAMICA berwarna hitam.

    mercedes-amg-g-63-28

    Serlahan gayanya juga diserikan dengan kekamasan gentian karbon AMG, selain menampilkan roda stereng pelbagai-fungsi empat-jejari AMG Performance, kluster instrumen MAG dengan paparan pelbagai-fungsi 4.5-inci, panel ambang pintu AMG dengan keluli tahan karat, serta tuil gera AMG dengan logo AMG.

    BUkan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan pencahayaan ambien, bumbung matahari berkuasa, soket 12V di bahagian depan, tengah dan ruang penyimpanan barangan, pemadam api, serta kunci elektronik dengan logo AMG.

    Dengan harga atas jalan RM1,181,888 (tidak termasuk insurans), SUV tahan lasak ini juga hadir dengan waranti 2+2 tahun tanpa perbatuan terhad. Mercedes-AMG G 63 ini turut ditawarkan dengan pakej warna baharu termasuk solar beam, tomato red, alien green, sunset beam dan galactic beam.

    Untuk spesifikasi dan perincian lanjut mengenai Mercedes-AMG G 63 ini, sila layari Carbase.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025