Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • UberX di KL kini pamer tambang terlebih dahulu sebelum perjalanan, lebih telus kepada pengguna

    uber-x-1

    Pengguna perkhidmatan Uber di Kuala Lumpur akan mendapat makluman kadar tambang terlebih dahulu ketika mereka memohon untuk mendapatkan khidmat perjalanan. Menurut Uber, kemaskini ini akan turut dijalankan terhadap semua kawasan perkhidmatan untuk berberapa minggu akan datang. Uber mengatakan, maklumbalas dari pilihan UberPool mendedahkan langkah ini akan menjadikan kadar tambang lebih jelas untuk penumpang, dan ia merupakan pendekatan yang betul.

    Uber turut menjelaskan kadar tambang yang ditunjukkan adalah berdasarkan masa dan jarak perjalanan tersebut, dan turut mengambil kira keadaan trafik, serta jumlah penumpang dan pemandu yang menggunakan Uber ketika itu. Apabila tambang naik dengan permintaan yang lebih tinggi, penumpang akan dapat melihat tambang mereka sebelum mereka memohon perjalanan mereka, berbanding skrin ‘pop-up’ yang keluar digunakan pada sistem sebelum ini.

    Menurut Uber lagi, apabila harga lebih tinggi perlu ditambah, variasi berdasarkan trafik dan permintaan masih lagi dikekalkan, tetapi struktur harga baharu yang dinamik ini memberikan penumpang lebih informasi sebelum memulakan perjalanan dimana mereka tidak boleh menempah kereta tanpa mengesahkan kadar tambang yang dinyatakan. Tambang berkenaan secara amnya turut termasuk bayaran tempahan dan caj tol.

    Kemungkinan kadar tambang naik adalah kerana perubahan pada destinasi perjalanan, atau hentian tambahan yang dibuat sepanjang perjalanan. Jika laluan perjalanan berubah secara signifikan dari tempahan asal, kadar tambang asal berdasarkan masa dan jarak akan dikenakan. Baru-baru ini, Uber telah mengembangkan perkhidmatannya di Kuching, Sarawak. Seperti yang dinyatakan tadi, kemaskini akan kembangkan ke semua kawasan secara berperingkat .

     
     
  • Michelin Pilot Sport 4 dilancar di Malaysia – sediakan cengkaman berprestasi tinggi, harga dari RM481

    michelin-pilot-sport-4-launch-bm-6

    Selepas mengeluarkan video teaser, Michelin akhirnya melancarkan tayar baru yang disasarkan kepada pengguna kenderaan yang mahukan tayar prestasi tinggi dan sport iaitu Pilot Sport 4. Tayar ini menawarkan inovasi dan teknologi yang lebih maju berbanding tayar sebelum ini (Pilot Sport 3), seterusnya meningkatkan setiap aspek prestasi kenderaan.

    Michelin Pilot Sport 4 adalah tayar pertama yang menggunakan teknologi ‘Dynamic Response’, yang terdiri daripada lilitan hibrid aramid dan nilon. Ia mempunyai ketumpatan tinggi, tahan regangan, ringan dan lima kali lebih tahan berbanding dawai besi, sekaligus dapat menahan daya empar dan memastikan stabiliti permukaan yang bersentuh pada kelajuan tinggi. Bagi pemandu, ia akan menghasilkan cengkaman, reaktif, pengendalian dan kawalan yang lebih baik atas jalan.

    Ciri baru seterusnya yang menyumbang kepada prestasi terbaik di atas jalan kering adalah rekaan bunga yang diinspirasi daripada bunga tayar kereta lumba Formula E. Jika dibandingkan dengan Pilot Sport 3, tayar baru ini mempunyai 10% lebih profail positif berikutan lebih banyak getah yang menyentuh jalan dan lebih banyak bunga yang tegar (dapat memastikan lekapan pada kelajuan tinggi).

    Bagi meningkatkan cengkaman dan kecekapan membrek pula, Michelin memasukkan bahan elastomer dan silica hydrophobic dalam tayar Pilot Sport 4, dan dengannya, tayar dapat mengikut bentuk jalan. Lurah yang dalam pula mampu membuang air secara cekap apabila jalan basah.

    Selain peningkatan prestasi menyeluruh, Pilot Sport 4 turut mempunyai kemasan akhir premium, dengan tulisan yang bergaya dan dipersiap dengan permukaan yang boleh melindung rim daripada bergesek. Michelin Pilot Sport 4 boleh didapati dalam 23 saiz – bermula dari 16 inci hingga 19 inci dan harganya bermula dari RM481 hingga RM1,293.

    Michelin Pilot Sport 4 adalah tayar untuk kenderaan penumpang jenis biasa, sementara bagi kenderaan SUV prestasi pula, pilihan yang disediakan adalah Latitude Sport 3.


     
     
  • Sistem tiket baharu KTM Komuter bermula hari ini

    ktm-komuter-2

    Mulai 3 petang ini, sistem tiket manual pada perkhidmatan KTM Komuter di laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Sungai Gadut akan ditukar kepada sistem tiket baharu.

    KTM Berhad dalam satu kenyataannya semalam, sistem tiket baharu iaitu ‘Komuter Link’ dan ‘Touch n’ Go’ akan digunakan sebagai tiket perjalanan.

    “Sistem tiket baharu ini merangkumi get dan mesin tiket automatik serta mesin pengeluaran tiket di kaunter,” menurut kenyataan tersebut lagi.

     
     
  • Honda Gienia – bahagian dalaman ‘City Hatch’ didedah

    Honda Gienia, iaitu versi hatchback City eksklusif untuk pasaran telah pun diperkenalkan (tetapi masih belum dilancarkan) bulan lalu. Namun, Honda masih lagi belum mendedahkan bahagian dalaman hatchback segmen-B ini. Walau bagaimamapun, laman autohome.com.cn dari China telah pun menyiarkan sedikit imej untuk bahagian dalaman model ini.

    Rekaan papan pemuka Gienia dilihat sama seperti Honda Greiz, iaitu City untuk pasaran China dengan bahagian muka dan belakang berlainan sedikit dari City pasaran negara lain. Namun, ia menampilkan panel instrumen yang berbeza. Jika Greiz/City menampilkan bentangan tiga meter pada paparan instrumen berkenaan, Gienia pula hanya menampilkan bentangan dua meter dengan paparan pelbagai informasi diletakkan dibahagian tengah.

    Bahagian lain dilihat diambil terus dari Greiz, termasuk skrin sesentuh pemain audio serta panel kawalan penghawa dingin. Papan pemuka Greiz/Geinia ini seiras dengan papan pemuka City, cuma berbeza sedikit pada bahagian penumpang.

    Geinia diprebiu buat pertama kali pada Beijing Motor Show 2014 sebagai Concept-B dan pasarannya disasarkan lebih kepada golongan muda dan belia. Berbanding versi sedan, hatchback ini hanya 22 mm lebih pendek. Ia dikuasakan dengan enjin yang sama seperti Greiz/City iaitu enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa 129 hp/155 Nm, dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT automatik.

     
     
  • Konvokesyen kali keempat Sekolah Teknikal Mazda – lahir lebih ramai tenaga mahir dalam bidang automotif

    mazda-convo-bm-2

    Seramai 163 kumpulan pelajar Sekolah Teknikal Mazda telah pun menamatkan pengajian mereka dan bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan sebenar serta memperkukuhkan lagi sokongan teknikal untuk jenama Mazda di Malaysia dalam majlis konvokesyen kali keempatnya.

    Dari jumlah keseluruhan tersebut, 51 orang daripadanya adalah dari Program Perantis Mazda (MAP), 15 orang dari Program Pembaikan Badan dan Cat (pelajar kumpulan pertama untuk program ini), 69 orang dari program Juruteknik Tinggi Mazda dan 28 dari program Penasihat Servis Tinggi Senior Mazda.

    Program Perantis Mazda (MAP) telah diwujudkan oleh Bermaz Motor pada tahun 2010 melibatkan pelaburan terhadap pembangunan modal insan lebih RM10 juta sehingga ke hari ini. Dalam majlis konvokesyen ini, pelajar MAP dari kumpulan keempat dan kelima telahpun menamatkan pengajian mereka.

    Untuk memastikan pelajar-pelajar ini relevan dalam pasaran perkerjaan dan tidak terhad kepada jenama Mazda sahaja, mereka turut keluar berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, Diploma dari Institute of Motor Industry Awards Limited (IMIAL-UK) dari UK, selain pengiktirafan sijil Mazda Master tahap F dari Program Master Mazda yang diinspirasikan dari Mazda Motor Corporation Jepun.

    Para pelajar ini akan meneruskan pengajian mereka diperingkat lebih tinggi dalam program latihan Mazda Master iaitu untuk Tahap 1, Tahap 2 dan akhir sekali tahap 3.

    MAP merupakan program pembangunan kemahiran automotif khas untuk lepasan SPM/SPMV. Calon yang terpilih akan menerima tajaan pelajaran penuh dari Bermaz Motor dan dijamin akan mendapat pekerjaan bersama Mazda sekurang-kurangnya dalam masa tiga tahun. Dalam tempoh pengajian tersebut, pelajar diberikan elaun bulanan dan akan diserapkan terus ke pusat servis Bermaz Motor di seluruh negara selepas menamatkan pengajian.

    Objektif MAP adalah untuk menerapkan budaya latihan positif dalam membangunkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan dalam industri automotif. Latihan adalah berdasarkan proses dalam alam pekerjaan sebenar dan dengan MAP, diharapkan tenaga mahir ini akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan di pusat-pusat servis Mazda.

    Bermaz Motor juga mengumumkan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd turut terlibat dalam menyokong MAP. Selama beberapa tahun kebelakangan ini, Shell telah mula menyokong pelbagai inisiatif pemasaran dan program yang dijalankan Bermaz Motor, dan terbaharu, Shell Malaysia telah menyumbangkan RM50,000 setahun untuk lima tahun akan datang bagi tujuan pembangunan modal insan. Shell juga merupakan rakan minyak pelincir untuk Bermaz Motor sejak 2008.

     
     
  • Vespa Sprint Adventure dilancar – harga jualan RM17k

    HyperFocal: 0

    HyperFocal: 0

    Naza Premira selaku pengedar rasmi Vespa di Malaysia memperkenalkan sebuah model baru dari barisan Vespa Sprint iaitu Vespa Sprint Adventure edisi terhad. Dijual pada harga RM17,000, model istimewa ini membawa semangat penjelajah dengan rak membawa barangan di hadapan dan belakang, serta penghadang angin tinggi, dan ia ditawarkan dalam dua warna – Green Matt dan Desert Sand.

    Enjin empat lejang 150cc satu silinder berpenyejukan udara yang digunakan pada Sprint Adventure turut dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api (EFI) dan ia dikatakan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 12.7 hp @ 7,750 rpm dan tork 12.8 Nm @ 6,500 rpm.

    Kuasa ini kemudiannya disampaikan ke atas jalan melalui klac centrifugal dan kotak gear CVT. Rim yang digunakan pula adalah bersaiz 12 inci dan sistem breknya mempunyai ciri ABS single-channel. Suspensi belakang adalah daripada jenis dua penyerap yang boleh dilaras empat tahap pra beban.

    Sebagai sebahagian dari langkah promosi Vespa Sprint Adventure dan sambutan ulang tahun ke 70 sejak Vespa pertama dipatenkan, satu jelajah Asia Tenggara diadakan oleh Vespa, melibatkan perjalanan Sprint Adventure dari Vietnam ke Singapura dan Malaysia akan diwakili oleh seorang jurugambar, Mark Teo.

    Turut diadakan adalah pertandingan dalam laman media sosial Facebook dan Instagram berkenaan Sprint Adventure. Peserta perlu memerhatikan berapa banyak ikon khas atau pelekat digital Sprint Adventure yang dikeluarkan bermula 12 Oktober dan menyatakan jumlah keseluruhannya dalam ruangan komen pada 27 Oktober. Pemenang akan diumumkan ada 31 Oktober.

    Sebagai tambahan, sebuah siri video web Sprint Adventure juga akan ditayangkan, dan peserta pertandingan perlu mengira berapa kali animasi istimewa muncul. Hadiah utama adalah percutian Vespa selama empat hari tiga malam di Bali, baju edisi terhad serta model berskala 1/6.

     
     
  • 20,000 unit Perodua Bezza telah diserah; jualan keseluruhan 2016 151k, perkongsian pasaran 36.1%

    bezza-20k-630x329-bm

    Perodua mengumumkan telah menjual sebanyak 150,900 unit kenderaan dalam masa sembilan bulan pertama tahun ini dan perkongsian pasaran syarikat itu dalam jumlah keseluruhan industri dari awal tahun hingga kini adalah pada 36.1%.

    Memacu prestasi baik ini sudah tentu adalah model sedan pertama syarikat itu, Bezza. Ia diterima baik dengan jumlah keseluruhan yang telah disampaikan kepada pelanggan adalah sebanyak 20,000 unit – jumlah penyampaian paling tinggi dalam masa 90 hari bagi Perodua dari hari pelancarannya 21 Julai lalu.

    “Kami berterima kasih kepada pelanggan yang mengambil Perodua sebagai jenama pilihan dan kami memberi jaminan akan menghantar Bezza khususnya, dalam masa yang paling singkat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid.

    Di sebalik semua kejayaan ini, jumlah jualan kenderaan dari awal tahun hingga ke masa ini menurun 4.2%, di mana pada tahun sebelum ini Perodua mencatat 157,400 unit bagi tempoh waktu sama. Jualan suku ketiga sebanyak 45,300 unit juga menunjukkan penurunan 7.5% daripada 49,000 unit yang dicatat pada Q3 2015. “Dalam perbandingan tahun ke tahun, kami masih lagi optimis akan mengurangkan jurang defisit jualan lebih lagi,” kata Aminar.

    Sementara itu, servis selepas jualan telah menunjukkan peningkatan, dengan 1.5 juta kenderaan memasuki 201 pusat servis mereka di seluruh negara antara bulan Januari hingga September. Ini adalah peningkatan daripada jumlah 1.45 juta yang direkod tahun lalu.

    Untuk pengeluaran pula, Perodua telah menghasilkan 153,700 buah kenderaan untuk tahun ini, dan ia adalah penurunan sebanyak 9% berbanding jumlah sebanyak 168,300 yang dihasilkan bagi sembilan bulan pertama tahun 2015. Ini juga menunjukkan pasaran yang perlahan. “Kami percaya suku keempat tahun ini akan jadi lebih mencabar berikutan keadaan ekonomi sekarang dan aktiviti jualan pesaing lain,” tambah Aminar.

    Beberapa inisiatif meningkatkan jualan telah dipersiap untuk suku keempat tahun ini dan antaranya adalah rebat RM2,000 bagi varian Alza tertentu dan RM4,200 untuk model Myvi tertentu dari sekarang hingga 31 Oktober.

    Perodua juga mengadakan pertandingan Pandu Uji dan Menang sehingga 31 Disember, yang menawarkan peluang memenangi hadiah utama sebuah Perodua Bezza Advance dengan pakej GearUp, bersama 30 hadiah percutian lima hari empat malam ke Shanghai yang akan diberi setiap bulan. Hadiah lain yang turut ditawarkan adalah TV LED pintar Samsung 43 inci, Sony PlayStation 4 dan Apple Watch.

     
     
  • Kecenderungan guna enjin kapasiti kecil akan berakhir

    Volkswagen Touareg TDI

    Nampaknya langkah menggunakan enjin kapasiti kecil dan diperlengkap dengan turbo yang menjadi ikutan di dalam industri mungkin bukanlah begitu bagus. Sekurang-kurangnya, begitulah kata laporan dari Reuters. Dalam laporan hasil ujian emisi ‘dunia sebenar’- yang dijalankan selepas wujudnya skandal penipuan emisi diesel Volkswagen, keputusannya menunjukkan kekurangan enjin berkapasiti kecil, seterusnya memaksa pengeluar kenderaan bertukar pula kepada penggunaan enjin lebih besar.

    Antara syarikat yang sudah pun bercadang untuk meninggalkan enjin kapasiti kecil mereka – kedua-dua diesel dan petrol – dalam masa tiga tahun lagi adalah Renault, General Motors dan Volkswagen, kata beberapa sumber industri. Pengeluar lain pula dijangka mengikut keadaan sama. Langkah ini akan menyebabkan kucar-kacir dalam kira-kira belanja pembangunan yang kini sudah ditolak sehingga ke had maksimum berikutan desakan untuk menghasilkan kenderaan hibrid dan elektrik.

    “Teknik yang kami guna untuk mengurangkan kapasiti enjin tidak boleh lagi diguna untuk mencapai tahap emisi yang dimahukan,” kata ketua bahagian enjin Renault-Nissan Alliance, Alain Raposo. “Kami sudah sampai had maksimum untuk penggunaan enjin kapasiti rendah.”

    exhaust-smoke-a1

    Enjin kecil, yang diperlengkap dengan pengecas turbo untuk meningkatkan kembali kuasa yang hilang, dapat lolos dalam ujian makmal yang diadakan atas mesin bergerak pada suhu dan kelajuan yang tidak berapa betul. Laporan itu mendakwa bahawa pengeluar kenderaan, pengawal selia dan pembela alam sekitar semuanya tahu bahawa enjin itu sebenarnya mengeluarkan lebih banyak karbon dioksida (CO2) dan nitrogen dioksida (NOx) dalam dunia sebenar, tetapi sesiapa pun tidak memperbetulkannya.

    Walaubagaimanapun, bermula tahun 2017, semua model baru perlu melalui ujian atas jalan sebenar untuk emisi NOx, dengan pematuhan penuh bagi semua kereta menjelang 2019. Satu piawaian ujian global baru akan melihatkan aspek penggunaan bahan api dan pengeluaran karbon dioksida mengikuti langkah sama dua tahun selepas itu.

    Selepas skandal ‘dieselgate’ Volkswagen, ujian persendirian yang dijalankan mendedahkan kekurangan enjin kecil, yang mana pada tahap beban lebih tinggi berbanding ujian dalam makmal, menghasilkan emisi yang jauh lebih tinggi. Enjin diesel turbo menghasilkan sehingga 15 kali lebih banyak emisi NOx berbanding tahap yang dibenarkan disebabkan oleh haba daripada pengecas turbo, sementara versi petrol pula kurang cekap dalam penggunaan bahan api dan mengeluarkan partikel kecil serta karbon monoksid.

    Sumber mengatakan sementara pengeluar kenderaan masih lagi berahsia tentang skala masalah ini dan apa langkah untuk menyelesaikannya, mereka sudah mula membuat tawaran terhadap enjin lebih besar. Sebagai contoh, GM akan meninggalkan enjin 1.2 liter diesel yang ada apabila mereka pergi ke persekitaran enjin lebih besar pada tahun 2019, dan enjin paling kecil yang akan digunakan adalah 25% hingga 30% lebih besar. Volkswagen juga sedang menggantikan enjin tiga silinder 1.4 liter mereka dengan enjin empat silinder 1.6 liter pada kereta seperti Polo.

    Sementara itu, Renault sedang membuatkan enjin 1.6 liter diesel R9M – yang menggantikan enjin 1.9 liter pada tahun 2011 – 10% lebih besar. Enjin 900 cc H4BT mereka pula menyuntik lebih bahan api bagi mengelakkan terlebih panas dalam keadaan dunia sebenar, sekaligus menyebabkan peningkatan hidrokarbon yang tidak terbakar, partikel halus dan pengeluaran karbon monoksida. Sumber memberitahu untuk membersihkan semua benda ini dengan teknologi ekzos adalah terlalu mahal, jadi enjin yang akan menggantinya akan lebih besar dan mengeluarkan lebih tork pada rpm rendah supaya dapat terus sejuk.

    PSA-Peugeot-Citroen-real-world-fuel-consumption-7-e1457663735543_BM

    Belum lagi berhenti setakat di situ, Fiat, Renault dan Opel pula mempunyai pengeluaran NOx dunia sebenar yang paling teruk sekali di antara semua enjin diesel Euro 6 – menurut data daripada beberapa negara – dan kini berhadapan dengan beban paling teruk dalam perbelanjaan untuk menepati tahap yang ditentukan. Ini adalah amaran daripada firma perdagangan Evercore ISI bulan lalu.

    Ketua bahagian penyelidikan dan pembangunan Mercedes-Benz, Thomas Weber memberitahu bahawa keputusan ini tidak dapat dielak. “Ia menjadi jelas bahawa enjin kapasiti kecil bukan satu kelebihan,” beritahu beliau kepada agensi berita. “Sebab itulah kami tidak mengikut trend menggunakan enjin tiga silinder ini.”

    Ujian ini dapat mengakhiri penggunaan enjin diesel lebih kecil daripada 1.5 liter dan petrol bawah 1.2 liter, kata penganalisa. Dengan demikian, untuk mematuhi matlamat emisi karbon dioksida menjadi lebih sukar, jadi kenderaan hibrid dan elektrik juga tidak akan muncul lebih cepat. Terkesan oleh skandal sebelum ini, Volkswagen menetapkan sasaran tinggi untuk menjual dua hingga tiga juta unit kenderaan elektrik menjelang tahun 2025, iaitu sekitar suku daripada pengeluaran mereka sekarang.

    “Anda tidak boleh menggunakan enjin berkapasiti kecil sehingga tahap yang tertentu, jadi fokusnya adalah untuk bertukar kepada kombinasi pelbagai penyelesaian,” kata penganalisa Frost & Sullivan, Sudeep Kaippalli, yang juga sebelum ini telah meramalkan peningkatan jumlah kenderaan hibrid. Pada masa hadapan, beliau memberitahu, “penggunaan enjin berkapasiti kecil akan bermaksud anda mengambil enjin kapasiti kecil, kemudiannya menambah motor elektrik padanya.”

     
     
  • Projek pengangkutan awam masa hadapan perlu fokus keperluan pengguna, perubahan demografik – Najib

    spad-najib-bernama_bm

    Pengendali pegangkutan awam diminta untuk lebih memfokuskan terhadap keperluan pengguna dan juga perubahan demografik semasa merancang projek pengangkutan untuk masa hadapan, lapor The Sun Daily. Gesaan itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa pameran laporan lima-tahun dan simposium Suruhanjaya Pengankutan Awam Darat (SPAD) di KLCC semalam.

    “Dalam membayangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang moden, dengan status kesesuaian untuk didiami setara dengan negara-negara maju yang lain, kita perlu beralih arah,” katanya.

    “Sebagai contoh, membuat penilian kenderaan persendirian yang semakin banyak dipandu ke tengah-tengah bandar Kuala Lumpur setiap hari dan corak penghijrahan ke bandar semakin meningkat, pertumbuhan penduduk membuktikan bahawa kita hanya ada beberapa tahun lagi sebelum menyaksikan satu ‘tempat letak kereta’ yang besar. Itu bukan masa depan kita mahu untuk negara ini, ” tambahnya.

    Beliau berkata bahawa SPAD juga perlu mengambil pendekatan yang sama semasa merangka pelan pengangkutan awam moden masa hadapan, walaupun kemajuan besar telah dicapai. Najib berkata sejak penubuhan SPAD pada tahun 2010, kaji selidik tahunannya telah mendedahkan bahawa kepuasan pelanggan terhadap pengangkutan awam darat di negara ini telah meningkat daripada 48% pada tahun 2010 kepada 74% pada tahun 2015.

    “Kajian ini menunjukkan bahawa pengguna paling berpuas hati dengan perkhidmatan rel seperti LRT, KTM dan ERL. Ini adalah salah satu sebab utama mengapa rel telah dikenal pasti sebagai tulang belakang pengangkutan awam bandar, “kata beliau dalam ucapannya.

    Beliau berkata walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 tetap tidak terjejas, dan projek-projek infrastruktur utama seperti MRT dan hubungan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Singapura – dijangka siap pada 2026 – masih akan diteruskan.

     
     
  • Toyota Avanza pasaran Afrika Selatan dilengkapi VSC sebagai standard – Malaysia untuk masa akan datang?

    avanza-g-3_bm

    Toyota Afrika Selatan kini telah mempertingkatkan MPV Toyota Avanza pada pasaran berkenaan dengan sistem keselamatan yang lebih baik termasuk melengkapkanya dengan Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Kawalan Tarikan (TRC) dan Bantuan Brek (BA). Kesemua kelengkapan ini dipadankan secara standard untuk semua model, termasuk varian van panel paling asas.

    Kami jangkakan, ciri ini akan dipadankan pada Avanza generasi seterusnya, tetapi jelas Toyota lebih proaktif dengan memadankan pada model sedia ada.

    Sama juga dengan Avanza pasaran Malaysia, ia dijana dengan dua pilihan enjin empat silinder Dual VVT-i iaitu 1.3 liter 1NR-VE berkuasa 95 hp/121 Nm dan juga 1.5 liter 2NR-FE berkuasa 103 hp/136 Nm. Kesemua model dipadankan dengan hanya kotak gear lima-kelajuan manual, kecuali model 1.5 SX yang turut hadir dengan pilihan kotak gear automatik empat kelajuan.

    avanza-g-2-e1476757874342_bm

    Butang VSC diletakkan dibawah suis kawalan penghawa dingin

    Dengan tambahan sistem berkenaan, harga kesemua varian meningkat dengan R4,400 (RM1,300), jadi harga Avanza di Afrika Selatan bermula pada R219,100 (RM65,500) untuk 1.3 S, meningkat kepada R235,900 (RM70,500) untuk 1.3 SX, yang turut hadir dengan penghawa dingin sebagai standard. 1.5 SX dijual pada harga R243,100 (RM72,600), dan versi automatik dijual dengan harga R261,600 (RM78,200), serta varian tertinggi 1.5 TX yang dilengkapi dengan roda aloi, penghawa dingin depan dan belakang serta radio dijual pada harga R277,100 (RM82,800). Model van panel 1.3 S dijual pada harga R224,400 (RM67,000), R9,800 (RM2,900) lebih mahal dari sebelum ini.

    Sebelum ini, UMW Toyota telah mengesahkan, kesemua kereta baharu yang dijual oleh mereka di Malaysia akan dilengkapi VSC sebagai ciri standard, jadi ada kemungkinan besar Avanza pasaran tempatan juga akan menerima ciri ini pada masa akan datang.

     
     
  • Boon Siew Honda panggil balik Air Blade di Malaysia kerana masalah pam minyak – 3,935 unit terlibat

    screen-shot-2016-10-18-at-14-19-42

    Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan satu panggilan balik untuk model Air Blade (K27F) di Malaysia berikutan masalah pam minyak yang boleh mengembang, seterusnya mengakibatkan gangguan pada penyampaian bahan api. Keseluruhannya, terdapat 3,935 unit motosikal yang terlibat dan ini merangkumi model dengan nombor VIN PMKJF55B0EB000009 hingga PMKJF55B0EB003943.

    Apabila pam minyak tersebut kembang, ia sekaligus akan menyebabkan gangguan penyampaian minyak, dan motosikal boleh sama ada semput, mati secara tiba-tiba atau tidak boleh dihidupkan. Dalam panggilan balik ini, pihak Boon Siew Honda akan memeriksa secara rapi motosikal yang dihantar dan bahagian yang terkesan akan ditukar untuk memastikan keselamatan penggunanya.

    Sekiranya masih tidak menerima sebarang surat berkenaan panggilan balik ini, pemilik Air Blade, tidak kira sama ada yang membeli unit baru ataupun terpakai boleh menghubungi 1-800-88-3996 untuk menetapkan temu janji dengan pusat servis berhampiran dan mereka juga boleh melayari laman web www.boonsiewhonda.com.my untuk maklumat lanjut. Kos barang yang ditukar dan upah kerja dalam panggilan balik ini akan ditanggung sendiri oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd.

    Honda Air Blade adalah sebuah skuter 125cc dengan suntikan bahan api PGM-FI yang dilancarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd bersama EX5 Dream 110 pada bulan Julai 2013 dan ia masih lagi berada di pasaran sekarang pada harga bermula RM7,700.

     
     
  • Malaysia akan guna penghadang jalan boleh golek

    screen-shot-2016-10-18-at-12-37-23-pm-bm

    Penghadang jalan boleh golek sedia digunakan di jalan Malaysia yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi kemalangan, menurut laporan The Sun. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu bahawa penghadang tersebut, yang dibuat oleh syarikat Korean Selatan bernama ETI sudah pun dipasang di beberapa bahagian jalan sekitar Subang sebagai sebahagian daripada projek perintis selama dua tahun.

    “Kerajaan sentiasa melihat kepada teknologi terkini yang boleh memastikan keselamatan pengguna jalan raya, seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan,” kata beliau. Seperti namanya, penghadang ini menggunakan penggolek untuk mengubah daya dari pelanggaran kepada pergerakan berpusing, seterusnya mengurangkan risiko kematian.

    Fadillah juga berkata tentang pembangunan rangkaian lebuh raya ASEAN, memberitahu bahawa Malaysia sedang berbincang dengan negara jiran berkenaan projek tersebut.

    Pan-Borneo-Highway_BM

    “Kami sentiasa berhubung dengan ahli ASEAN yang lain. Untuk projek Pan Borneo, kami telah berbincang dengan pihak Kalimantan, Indonesia tentang bagaimana untuk menghubungkan kedua-dua negara,” kata beliau. “Sekarang kami sedang berbincang dengan pihak Brunei tentang menaik taraf kualiti jalan mereka selain sambungan dengan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

    Sementara itu, Fadillah juga memberitahu kementeriannya telah mengarahkan jurutera untuk mengawai keadaan jalan yang terkesan apabila air pasang. “Mereka akan mengawasi dan memberi bantuan dalam pelbagai cara selain memberi amaran kepada pengguna jalan raya untuk menggunakan jalan alternatif,” tambah beliau.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC baharu vs 2.5L DI-D – berapa tahap lebih ekonomikal enjin diesel baharu ini?

    mitsubishi_triton_fueltest_52

    Awal bulan lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan trak pikap Triton VGT versi dipertingkat dengan enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel baharu, yang didakwa menawarkan penggunaan bahan api yang lebih baik berbanding enjin 2.5 liter DI-D terdahulu. Persoalannya, secara tepat, berapa peratuskah enjin baharu ini lebih ekonomi berbanding enjin terdahulu?

    Sebelum pelancaran model baharu berkenaan, MMM telah berhubung dengan paultan.org untuk menguji dan mengesahkan penggunaan bahan api dengan membuat perbandingan terus terhadap model terdahulu. Menggunakan enjin 2.5 liter lama sebagai kayu ukur, kami akan menguji berapa tahap ekonomikal sebenar enjin 2.4 liter MIVEC ini.

    Sebelum itu, ingin kami nyatakan, kami telah menguji model ini sebelum ianya dilancarkan, tetapi model yang kami terima untuk diuji belum lengkap sebagai model akhir seperti model yang dilancarkan sebagai model Triton VGT Adventure X seperti yang dipaparkan ini. Oleh itu, penggambaran hanya dilakukan setelah kami mendapatkan model yang sebenar, sama dalam pasaran.

    mitsubishi_triton_fueltest_48

    Untuk mendapatkan lebih kepastian, kami melakukan ujian sekali lagi dengan model sebenar ini, untuk memastikan aksesori-aksesori pada badan varian Adventure X seperti pelindung tambahan pada bampar hadapan, bar sports lengkap dengan full box pada bahagian belakang tidak menjejaskan penggunaan bahan apinya. Jelas, hasil ujian kedua kami ini adalah hampir sama dengan hasil ujian pertama kami.

    Pada ujian berkenaan, untuk tahap ketepatan dan konsisten terbaik, kami memilih dua varian paling tinggi dalam barisan model iaitu 2.4 liter MIVEC Triton VGT Adventure X dan model 2.5 liter DI-D Triton Phantom Edition. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan aksesori lengkap untuk Triton, meminimakan beza berat antara kedua-duanya.

    Kedua-dua trak pikap ini disediakan dalam keadaan yang sama: kedua-duanya dikosongkan tangki bahan api(hampir kepada kosong sepenuhnya yang kami berani), dan tekanan angin tayar kedua-duanya diisi pada tahap yang disarankan pengeluar. Mana-mana muatan berlebihan juga dikeluarkan. Akhir sekali, pemandu kedua juga membawa berat tambahan untuk menyamai purata berat seorang lagi penguji (Hafriz Shah).

    mitsubishi_triton_fueltest_02

    Untuk tujuan menjaga tahap konsisten, setiap trak pikap ini diisi dengan diesel Euro 5 menggunakan kaedah tiga-klik (tunggu sehingga nozel pam berhenti secara automatik, ulang sebanyak tiga kali dengan sela masa antaranya selama 10 saat) di stesen minyak yang sama. Meter perjalanan kedua-duanya dikosongkan di pam minyak berkenaan.

    Laluan ujian sepanjang 400 km yang dirancang ke Melaka dan kemudian pulang semula ke Kuala Lumpur melalui kombinasi jalan lebuhraya, jalan berliku dan juga mengharungi trafik bandar untuk memberikan simulasi sebenar pemanduan dalam situasi bercampur-campur. Untuk melengkapkan jarak yang dimahukan, kebanyakkan pemanduan adalah pada laluan lebuhraya bertol.

    Kedua-dua nya dipandu dengan jarak yang baik antara satu sama lain (untuk mengelakkan kesan “drafting“), dalam konvoi yang longgar, dan bertukar kedudukan setiap 100 km. Larasan penghawa dingin (kedua-duanya dilengkapi dengan sistem penghawa dingin dua zon) kami juga melaras suhu yang sama pada kedua-duanya, begitu juga tahap kelajuan kipasnya.

    mitsubishi_triton_fueltest_06

    Untuk memastikan ujian ini hampir dengan “dunia sebenar”, kedua-dua pemandu memandu mengikut aliran dan kelajuan dalam trafik biasa. Kelajuan dikekalkan mengikut halaju yang ditetapkan di lebuhraya, dengan menggunakan cruise control pada kedua-dua kenderaan. Kedua-dua pemandu turut bertukar posisi (beserta berat tambahan) pada pertengahan perjalanan untuk menyisihkan faktor gaya pemanduan yang berlainan.

    Pada akhir ujian ini, dan tiba semula di stesen minyak tempat kami bermula tadi, kedua-dua Triton mencatatkan jarak di meter perjalanan yang sama iaitu 401.1 km. Kedua-dua trak berkenaan diisi semula dengan bahan api menggunakan kaedah yang sama seperti mula-mula tadi (menggunakan kaedah tiga-klik yang sama, di stesen minyak yang sama) untuk melihat jumlah sebenar diesel yang digunakan.

    Hasilnya seperti berikut: Triton yang dijana enjin 2.4 liter MIVEC menggunakan diesel Euro 5 sebanyak 24.760 liter, manakala Triton yang dikuasakan dengan enjin 2.5 liter DI-D menggunakan 28.445 liter diesel Euro 5. Angka berkenaan bersamaan 16.2 km untuk setiap liter (6.17 liter untuk setiap 100 km) bagi Triton MIVEC baharu, dan 14.1 km/l (7.09 l/km) untuk Triton DI-D lama.

    mitsubishi-triton-fuel-test_bm

    Jelas, enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel pada Mitsubishi Triton baharu ini adalah 15% lebih cekap bahan api berbanding Triton dengan enjin 2.5 liter DI-D sebelum ini (menggunakan angka yang dicapai oleh Triton lama sebagai asas). Ini juga merupakan jawapan dari persoalan yang ditimbulkan tadi.

    Beza antara kedua-dua enjin ini bukan sahaja sekadar penggunaan bahan api. Semasa ujian ini dijalankan, enjin 2.4 liter (2,442 cc) MIVEC Turbodiesel berkenaan sentiasa memberikan tindak balas yang responsif pada pedal pendikit (turbo lag kurang) dan apa yang lebih penting, ia jauh lebih senyap pada semua kelajuan berbanding enjin lama 2.5 liter (2,477 cc).

    Kelebihan prestasi berbanding model lama juga dirasakan jauh lebih jelas ketika memandu kedua-dua trak pikap ini berbanding apa yang dipetik pada angka kuasa rasmi iaitu: 181 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2500 rpm untuk enjin baru, berbanding 178 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 400 Nm pada 2,000 rpm untuk enjin lama.

    mitsubishi_triton_fueltest_47

    Semua ini, dan juga ekonomi penggunaan bahan api yang meningkat sebanyak 15%, merupakan prestasi yang mengkagumkan diberikan oleh enjin MIVEC Turbodiesel ini. Blok enjin ini juga dibina dari aluminium (pertama dalam kelasnya) yang 30 kg lebih ringan dari blok logam tuang pada enjin sebelum ini, selain sistem rantai pemasaan (timing chain) yang menggantikan sistem tali pemasaan (timing belt) pada enjin lama.

    Sistem pemasaan injap bervariasi Mitsubishi Innovative Valve Timing Eletronic Control (MIVEC) – sebelum ini hanya hadir pada enjin petrol – telah membawa Mitsubishi Triton lebih hampir pada kelompok hadapan trak pikap dalam pasaran Malaysia. Ia merupakan langkah kehadapan yang jelas jika pakej unit janakuasa diambil kira.

    Jadi, apa pula pendapat anda berkenaan hasil ujian kami ini? Untuk mereka yang lebih gemar menonton berbanding membaca, versi video ujian ini juga akan kami siarkan tidak lama lagi.

     
     
  • SPAD kaji penawaran servis tram di Kuala Lumpur

    melbourne-australia-yarra-tram-service

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan servis tram di Kuala Lumpur. Kajian terperinci sedang dijalankan oleh jabatan ini dan ia dijangka lengkap menjelang akhir tahun 2017, lapor The Sun.

    Menurut laporan Pelan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015 jabatan itu, servis tram bagi ibu negara ini sedang dikaji sebagai mod pengangkutan awam tambahan. Ia adalah sebahagian daripada pelan pengangkutan awam darat Kuala Lumpur yang lebih besar untuk meningkatkan pengalaman perjalanan menerusi rangkaian kereta api.

    Servis tram adalah lebih cekap dan mesra alam, dan ia dapat mengurangkan kesesakan di dalam pusat bandar. Kajian ini akan meneroka unjuran ekonomik serta tindakan kewangan dan teknikal yang diperlukan untuk menyokong operasi servis tram ini, dan juga melihat keperluan penumpang apabila menggunakannya.

    Dalam laporan PTPAD juga ada menyatakan satu lagi kajian akan dijalankan untuk melihat bagaimana servis tram ini boleh bersambung dengan mod pengangkutan lain serta penggunaan aset kereta api optima.

     
     
  • Honda WR-V – lakaran rasmi SUV kompak didedahkan

    honda-wr-v-sketch-850x498-bm

    Honda telah mengeluarkan lakaran rasmi kenderaan SUV kompak Honda WR-V, yang akan membuat penampilan pertamanya semasa Pameran Permotoran Sao Paulo 2016 di Brazil bulan hadapan. WR-V diasaskan daripada Jazz dan akan mengisi ruang di bawah HR-V dan CR-V dalam barisan produk Honda.

    Pembuat kenderaan dari Jepun itu memberitahu, berdasarkan kajian mereka terhadap keperluan pelanggan di Amerika Selatan, Honda R&D Brazil menghasilkan WR-V sebagai kenderaan yang merealisasikan rekaan SUV “kental dan urban” – yang popular di kalangan penggemar gaya hidup aktif – dan mempunyai pelbagai guna, dalam badan bersaiz kompak.

    WR-V serba baru ini akan diperkenalkan kepada pasaran Brazil dan negara lain seperti Amerika Selatan, yang mana pasaran SUV-nya semakin berkembang. Tiada kenyataan dikeluarkan untuk pasaran negara lain setakat ini.

    Honda-WR-V-Brazil

    Bulan Mac yang lalu, spyshot dari Brazil muncul, menunjukkan sebuah crossover berasaskan Jazz sedang diuji, dan ia dijangka sebagai WR-V. Fikirkan WR-V sebagai “Cross Jazz”, seperti juga Volkswagen Cross Polo dan Hyundai i20 Active. Seperti dua kenderaan itu, WR-V juga datang dengan kelengkapan lebih bergaya seperti rel bumbung, plet penghadang lumpur dan kemasan hitam pada bahagian bawah badannya. Kali ini, Honda telah memberi rupa yang unik pada “Jazz SUV” untuk membezakannya dengan kenderaan asal. Dari tepi memang jelas ia adalah Jazz.

    Ini juga bukanlah konsep baru, termasuk bagi Honda – Fit Twist, sebuah SUV berasaskan Jazz generasi sebelum ini pernah dipertonton di Brazil pada tahun 2012. Kali ini, Honda menggunakan nama “R-V” seperti barisan kenderaan SUV-nya yang lain. WR-V itu bermaksud “Winsome Runabout Vehicle”.


    GALERI: Honda Fit Twist pasaran Brazil

    Honda Jazz RS CVT Special Edition

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025