Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kenderaan perdagangan wajib guna pelekat pemantul cahaya diiktiraf SIRIM bermula Januari 2017 – JPJ

    AppleMark

    AppleMark

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan semua kenderaan perdagangan (commercial vehicle) untuk memasang pelekat pemantul cahaya berkuatkuasa Januari 2017, seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron.

    Memetik laporan Bernama, beliau menegaskan bahawa pelekat pemantul cahaya yang digunakan harus menepati piawaian Malaysian Standard MS828:2011 yang diiktiraf oleh SIRIM.

    “Pemilik kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi piawaian SIRIM selepas peraturan ini dikuatkuasakan akan disaman RM300 dan dikeluarkan perintah untuk memasangkan pelekat keselamatan berkenaan,” ujar Nazri.

    Beliau memaklumkan bahawa langkah berkenaan diambil rentetan daripada sejumlah kemalangan yang berlaku pada waktu malam melibatkan kenderaan perdagangan, yang kebiasaannya tersadai di bahu jalan akibat kerosakan.

    Sejumlah 18 juta kenderaan yang berdaftar dengan JPJ, 1.2 juta daripadanya merupakan kenderaan perdagangan. Nazri juga menjelaskan, setakat ini, hanya terdapat dua syarikat yang menjual pelekat keselamatan berkenaan yang diiktiraf oleh SIRIM; 3M Malaysia Sdn Bhd dan Orafol Reflective Solutions (Malaysia) Sdn Bhd.

    Setiap produk berkenaan dijual pada harga RM60 hingga RM80 di Puspakom serta beberapa syarikat lain yang dilantik oleh pembekal.

     
     
  • Yamaha MT-09 diperbaharui untuk tahun 2017 – rupa lebih agresif, quickshifter secara standard, klac A&S

    2017-yamaha-mt-09-28-e1475663534445-850x578bm

    Yamaha MT-09 yang mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2013 kini diperbaharui untuk model 2017 dan melihatkan penggunaan rekaan yang lebih agresif menyerupai model lebih besar iaitu MT-10.

    Ini boleh dilihat pada bahagian hadapannya yang kini menggunakan lampu utama LED dua pecahan, manakala kerangka belakang yang kini 30 mm lebih pendek turut dijadikan lebih condong ke atas dan lampu belakang disepadukan sekali supaya nampak lebih kemas. Tempat duduknya masih lagi nampak rata seperti model semasa tetapi Yamaha menyatakan ia mempunyai sokongan yang lebih baik.

    Bahagian untuk meletak nombor plet pula dipindahkan daripada bersambung pada kerangka tempat duduk kepada unit yang dilekatkan pada lengan ayun belakang dan duduk rendah di bawah.

    Selain gaya, MT-09 turut diberi peningkatan prestasi apabila penunggang kini akan dapat menikmati penukaran gear lebih cepat kerana ia didatangkan secara standard bersama quickshifter manakala klac pula kini adalah unit Assist & Slip (A&S) yang lebih tepat dan boleh bertindak seperti klac slipper.

    MT-09 2017 turut mendapat fork 41 mm dengan pelarasan tekanan serapan di bahagian kiri dan lantunan di bahagian kanan. Enjin masih dikekalkan iaitu unit 849 cc tiga silinder yang berkuasa 115 hp dan 88 Nm tork.

     
     
  • SPYSHOT: Chevrolet Colorado facelift di Malaysia

    chevy-colorado-spy-msia-05-bm

    Setelah diumumkan tempahannya mula dibuka tempoh hari, kami menerima pula imej spyshot trak pikap Chevrolet Colorado versi facelift yang berhenti dan diparkir di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur.

    Sebelum ini, Colorado facelift telahpun diprebiu di Naza Automall Petaling Jaya dan imej ‘teaser‘nya disiarkan di laman Facebook Naza Quest. Ia akan dijual di pasaran Malaysia dengan harga bermula RM95,000, tidak termasuk cukai jalan dan insuran.

    Untuk pasaran Malaysia, Colorado ditawarkan dengan tiga jenis enjin dalam lima varian berbeza. Enjin 2.5L turbodiesel Duramax berkuasa 161 hp/380 Nm masih dibawa untuk model facelift ini, digabungkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Enjin kedua ialah enjin 2.5L turbodiesel Duramax versi dipertingkat dengan penggunaan pengecas turbo Geometri Bervariasi (VGT). Enjin ini memenuhi spesifikasi Euro 4 dan mampu menghasilkan kuasa 177 hp pada takat 3,600 rpm serta tork maksima 440 Nm pada takat 2,000 rpm,

    chevy-colorado-spy-msia-02_bm

    Enjin paling berkuasa dalam barisan enjin Colorado ini ialah enjin 2.8L Duramax turbodiesel. Enjin ini masih menghasilkan kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu 193 hp/500 Nm, tetapi menerima sedikit rombakan untuk memperbaiki aspek NVH.

    Versi facelift ini menampilkan muka hadapan yang direka semula dengan pemadanan sepasang lampu hadapan yang lebih nipis mengapit gril hadapan rekaan baharu. Dua warna badan baharu ditawarkan iaitu Pull Me Over Red seperti dua buah unit yang ditemui ini, dan Blue Mountain. Summit White, Black Meet Kettle, dan Switchblade Silver masih kekal dalam pilihan warna Colorado.

    Pada bahagian dalaman pula, Colorado menerima papan pemuka rekaan baharu dan juga kemasan yang telah diperhalusi dan materialnya lebih lembut ketika dipegang. Konsol tengah yang diolah semula menampilkan skrin sesentuh dan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ciri-ciri lain yang turut dipadankan pada varian tertinggi termasuk sistem penghawa dingin automatik, lampu nyalaan siang LED, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta penghidup enjin kawalan jauh yang mana sistem ini membolehkan pemandu menghidupkan enjin dengan hanya menggunakan kawalan jauh pada kunci, membolehkan kabin disejukkan dahulu dengan penghawa dingin sebelum penumpang masuk kedalamnya.

    chevy-colorado-spy-msia-04_bm

    Colorado juga dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik untuk memberikan stereng yang lebih responsif. Tingkap sisi trak pikap ini juga akan terturun sedikit secara automatik ketika pintu ditutup, untuk memudahkan pintu dirapatkan, dengan mengurangkan rintangan udara.

    Untuk keselamatan, Colorado dilengkapi dengan Kawalan Tarikan, ESC, dan juga dua beg udara hadapan serta beg udara lutut pemandu. Trak pikap ini turut dilengkapi (sekurang-kurangnya pada varian tertinggi) dengan Amaran Keluar Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan serta Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar.

    Menurut Naza Quest, 100 pelanggan Colorado terawal akan menerima servis penyelenggaraan tiga tahun percuma termasuk kos upah dan alat ganti. Setiap pembelian trak pikap ini juga akan dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu.

    GALERI: Prebiu Chevrolet Colorado facelift di NAZA Automall PJ

     
     
  • DBKL bakal laksanakan caj laluan di KL selepas MRT Line 1 beroperasi; elak kesesakan dalam pusat bandar

    dbkl parking tow bernama pix

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempertimbang untuk melaksanakan sistem caj kesesakan di pusat bandaraya selepas perkhidmatan mass rapid transit (MRT) Line 1 mula beroperasi kelak.

    Merujuk kepada lporan The Edge, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar DBKL, Nik Mastura Diyana Nik Mohamad, DBKL sedang melihat kepada perincian pelaksanaannya, namun kadar harga bagi jenis-jenis kenderaan masih belum ditentukan.

    “Kami akan melaksanakannya (kadar caj laluan). Ia merupakan usaha terakhir bagi mengatasi masalah kesesakan dalam bandar,” jelas beliau. “Kami masih mengkaji perinciannya ketika ini. Kami juga sudah mendapatkan maklum balas orang ramai, tidak hanya berkaitan kadar harga caj, tetapi lebih kepada bagaimana untuk mengubah lanskap pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” tambahnya.

    Fasa pertama MRT Line 1, jajaran dari Sungai Buloh ke Semantan di Damansara Heights dijadualkan memulakan operasi pada Disember. Sementara fasa dua pula, dari stesen Semantan ke Kajang akan mula beroperasi pada Julai 2017.

    Nik Mastura turut menambah, rancangan pelaksanaan caj laluan berkenaan memang sudah termasuk di dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2020, dengan matlamat untuk menggalakkan orang-ramai menggunakan pengangkutan awam. “Kita tidak dapat melaksanakannya sekarang kerana orang ramai tidak mempunyai pilihan alternatif ketika ini,” jelasnya.

    Polisi ini bertujuan untuk mengelakkan orang ramai daripada menggunakan kenderaan persendirian di dalam pusat bandaraya yang menjadi punca kesesakan. “Ini sama seperti apa yang sudah dilakukan di Singapura. Jika anda memasuki kawasan pusat bandaraya dalam tempoh tertentu, yang menjadi punca kesesakan, anda perlu bayar,” tambah beliau.

    Sejak 1975, Singapura telah memperkenalkan Area Licensing Scheme (ALS) di kawasan-kawasan larangan tertentu. Ia kemudiannya dilanjutkan kepada lebuhraya utama melalui Road Pricing Scheme (RPS).

     
     
  • Perubahan aliran trafik di sebahagian Jalan Raja Alang

    dbkl_jln-raja-alang

    Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, aliran trafik pada sebahagian laluan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur akan berubah menjadi jalan sehala dari persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga persimpangan Lorong Raja Bot bermula 15 Oktober ini.

    Perubahan aliran trafik jalan ini disebabkan kerja-kerja Cadangan Pembangunan Semula Pasar Jalan Raja Bot di atas Lot 1707, iaitu sebahagian tanah rezab Jalan Haji Hussein dan rezab Lorong Belakang, serta Lot 1221 hingga 1231 Mukim Kuala Lumpur.

    Ia dilaksanakan untuk tempoh 12 bulan atau sehingga kerja-kerja pembangunan tersebut selesai. Pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya mematuhi semua isyarat papan tanda sebagai langkah keselamatan.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Golf R mk7 facelift versi wagon dilihat sedang giat diuji di Litar Nurburgring

    vw-golf-r-facelift-ring-4_bm

    Sebelum ini ia ditemui sedang diuji di jalan raya awam, dan kini Volkswagen Golf R mk7 versi wagon dijumpai sedang diuji pula di litar Nurburgring, Jerman. Bahagian luaran model yang sedang diuji ini kelihatan sama seperti unit yang dijumpai sebelum ini, dengan perubahan dilihat pada bahagian lampu dan bampar hadapan.

    Imej yang kami terima kali ini menampilkan rekaan bampar hadapan baharu yang lebih jelas, direka dengan serlahan tiga-dimensi yang lebih menonjol pada liang kemasukan udara bahagian sisi. Apa yang berbeza dengan unit yang diuji di jalan raya tempoh hari ialah pada bahagian belakang, di mana model yang diuji di litar ini mula dilindungi pelekat penyamaran, menandakan ada perubahan yang telah dibuat pada bahagian tersebut.

    vw-golf-r-facelift-ring-9_bm

    Spesifikasi untuk unit janakuasa dijangka masih dikekalkan dari model sedia ada, tetapi bahagian dalaman model facelift ini dijangka bakal menerima sentuhan semula pada panel instrumen digital seperti yang hadir pada Passat B8 sebagai ciri opsyen, bersama gesture control yang sebelum ini diprebiu pada kereta pameran Golf R Touch di acara Consumer Electronics Show 2015.

    Ciri-ciri ini dikatakan akan dipadankan pada kesemua varian dalam barisan model Golf mk7 facelift, termasuk tiga paparan digital pada skrin 13-inci di konsol tengah dan lima penderia di dalam kereta. Selain dari versi R dan standard, varian GTI turut tidak ketinggalan dalam barisan model yang disegarkan kembali ini, seperti imej render yang tersebar sebelum ini.

    GALERI: Spyshot Volkswagen Golf R mk7 facelift varian wagon diuji di jalan raya

    GALERI: Imej render Volkswagen Golf GTI mk7 facelift

     
     
  • Aprilia Tuono 125 dan RS125 muncul secara rasmi

    rs125

    Pada tahun 2011, model dua lejang Aprilia RS125 telah diganti dengan model empat lejang, RS4 125 yang mempunyai gaya seperti RSV4 1,000cc. Terbaru semasa di INTERMOT, Aprilia menggunakan kembali nama RS125 pada model empat lejang bagi memberikan penghargaan kepada nama RS yang menyambut ulang tahun ke 25.

    Enjin RS125 masih lagi sama seperti sebelumnya – unit 124cc satu silinder DOHC suntikan bahan api berkuasa 15 hp dan 11 Nm, tetapi ia kini mematuhi tahap emisi Euro4 dan mempunyai soket USB di bawah tempat duduk untuk mengecas barang seperti telefon bimbit atau alat navigasi.

    Tambah menarik, Aprilia juga memperkenalkan versi half fairing yang menggunakan enjin sama iaitu Tuono 125. Sekali lagi, rekaan badannya mempunyai persamaan dengan Tuono V4 yang lebih besar dan sedia untuk dipasang dengan penukar gear quickshifter sama seperti motosikal itu.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Tuono 125 adalah fork hadapan USD, angkup brek hadapan radial empat piston dan cakera 300 mm, brek cakera 220 mm di belakang, simpanan memori lap time dan ECU yang boleh disambung dengan telefon bimbit tanpa menggunakan wayar (aksesori tambahan).

     
     
  • Bank Rakyat sumbang bas diubahsuai menjadi Surau Bergerak kepada JAWI untuk kegunaan orang ramai

    surau_bergerak2

    Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menerima sebuah bas sumbangan Bank Rakyat yang diubahsuai menjadi Surau Bergerak. Surau Bergerak yang mampu menampung sejumlah 35 orang jemaah dalam satu-satu masa berkenaan merupakan inisiatif JAWI bersama Bank Rakyat untuk memberikan keselesaan kepada orang ramai ketika menghadiri majlis atau ekspo yang diadakan di kawasan padang atau dataran yang luas.

    Bahagian penumpang bas ini diubah menjadi ruang solat yang selesa dengan kemudahan seperti karpet, pendingin hawa dan pembesar suara. Manakala tempat penyimpanan barang pula diubahsuai bagi tempat penyimpanan bekalan air dan paip untuk mengambil wuduk.

    Dengan Surau Bergerak ini, solat boleh didirikan di dalam bas dengan selesa dan tenang dalam apa jua keadaan cuaca dan ia mudah untuk bergerak ke tempat yang diperlukan dan boleh ditempatkan di mana-mana lokasi seperti padang, dataran atau tempat parkir kenderaan.

    Majlis penyerahan Surau Bergerak ini telah diadakan sempena sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Kebangsaan di Maeps, Serdang, dan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kepada YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

     
     
  • Peningkatan kenderaan berstatus EEV bakal rangsang ramai bakat baharu dalam industri automotif – IMI

    Perodua_Bezza_Advance_Ext-20

    Menurut Institute of Motor Industry (IMI) yang berpengkalan di UK, kenderaan cekap tenaga (EEV) kini menjadi kluster pesat membangun baharu yang ketara di Malaysia, yang membuka peluang pekerjaan baharu dengan gaji yang lebih baik dalam sektor automotif, menurut laporan Bernama.

    Pengurus Kanan IMI Asia Tenggara Matthew Stuart berkata kebangkitan EEV di Malaysia dan pelbagai insentif yang ditawarkan untuk kenderaan dengan status EEV, merangsang permintaan untuk pekerja automotif dengan kemahiran EEV.

    “Walaupun mereka dilatih dengan set kemahiran untuk bekerja bagi kereta konvensional, pengetahuan sedia ada tetap penting dan perlu, dan mereka perlu mengubah kecekapan mereka dalam mengendalikan EEV memandangkan bilangan kenderaan jenis itu yang semakin meningkat dalam pasaran dan di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Atas insentif potongan cukai yang ditawarkan serta penanda aras yang boleh digunakan pengguna dalam membeli kenderaan baharu, kini lebih banyak pengeluar automotif dalam Malaysia giat untuk mendapatkan pengiktirafan EEV ini. Pembuat-pembuat dari Eropah seperti Volvo Cars Malaysia dan BMW Group Malaysia dilihat giat menjalankan usaha ini, begitu juga dengan Toyota di mana Vios 2016 yang baharu dilancarkan semalam turut diiktiraf sebagai EEV.

    Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) baru-baru ini juga melancarkan Perodua Bezza, sedan EEV pertama dihasilkan di kilang pengeluaran EEV yang disahkan di Rawang.

    Tambah Stuart lagi, jika pertumbuhan dalam industri ini meningkat, begitu juga dengan pewujudan pekerjaan dalam bidang yang berkaitan.

     
     
  • Triumph Street Cup – Bonneville café racer 900 cc

    Triumph Street Cup BM

    Apabila muncul model Bonneville yang dinamakan sebagai Street Twin untuk menggalas tugas sebagai produk klasik moden asas generasi baru Triumph, ia memberikan kebebasan kepada pemilik untuk mengubahsuainya mengikut cita rasa dan kegemaran sendiri. Selain pilihan aksesori yang pelbagai, Triumph juga menyediakan pakej lengkap untuk mengubah Street Twin kepada Brat Tracker, Urban atau Scrambler.

    Tetapi jika pengguna mahukan sesuatu yang mempunyai gaya café racer, mereka perlu pergi kepada model Thruxton yang menggunakan enjin 1,200cc. Sekarang, ia tidak lagi begitu kerana Triumph sudah memperkenalkan model 2017 yang dinamakan sebagai Street Cup.

    Secara asasnya, ia adalah Street Twin yang digayakan dengan bentuk café racer. Jadi, enjinnya juga adalah sama – unit 900 cc High Torque dan kelengkapan lain seperti ride-by-wire, traction control yang boleh ditutup, brek ABS dan torque assist clutch.

    Bahagian yang paling jelas berbeza adalah tempat duduk berpenutup di belakang (boleh dicabut), fly-screen, pemegang jenis drop-bar, cermin sisi di hujung pemegang, warna dua tona serta ekzos stainless steel yang lebih pendek dan mendongak ke atas.

    Jika dibandingkan dengan Street Twin, penunggang akan duduk sedikit ke belakang sementara tempat pemegang pula lebih rendah, menghasilkan kedudukan yang lebih sporty. Selain itu, suspensi belakang Street Cup juga lebih tinggi, tetapi jarak pergerakannya masih sama seperti Street Twin iaitu 120 mm. Ini juga menjadikan Street Cup lebih lincah.

    Turut tidak ketinggalan adalah bahagian brek baru – angkup Nissin sliding axial dua piston dan cakera terapung, manakala tempat letak kaki pula menggunakan rekaan seperti Thruxton.

    Bagi yang mahukan lebih lagi, Triumph turut menyediakan lebih 120 aksesori bagi Street Cup untuk menambahkan prestasi, gaya, keselesaan mahupun praktikalitinya. Antara yang menarik adalah seperti suspensi belakang boleh laras Fox, ekzos Vance and Hines, kemasan belakang dan tuil aluminium.

     
     
  • Ford Malaysia tawar rebat tunai sehingga RM15k untuk model-model terpilih sempena promosi ‘Big Deal’

    ford-big-deal-2016-copy_bm

    Ford menerusi pengedar sahnya di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini memulakan promosi ‘Big Deal’ yang menawarkan rebat tunai menarik bagi pelanggan yang membeli model-model baharu terpilih jenama Ford di seluruh negara sehingga 31 Disember 2016.

    200 orang pelanggan pertama yang menempah dan mendaftarkan sebuah kenderaan penumpang Ford sebelum 31 Disember juga akan menerima hadiah istimewa dari SDAC.

    Rebat tunai sehingga RM15,000 diberikan untuk EcoSport. Manakala pelanggan yang membeli Focus, Fiesta dan Everest baharu ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM10,000. Manakala untuk varian terpilih Ranger pula, mereka akan menikmati rebat tunai sehingga RM3,000.

    “Kami sangat teruja mengadakan promosi Big Deal sekali lagi untuk model-model popular Ford. Ini akan menjadi alasan lebih baik untuk rakyat Malaysia membeli sebuah kereta Ford,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Ahmad Muzri Syed Faiz.

     
     
  • Lotus Exige 350 Special Edition – model istimewa dibina terhad hanya 50 unit, 26 kg lebih ringan

    lotus-exige-350-special-edition-3-e1475633775337_bm

    Sudah menjadi lumrah kereta-kereta buatan Lotus dimana prestasi sebenar hadir dari berat keseluruhannya yang sangat rendah dan bukan dari enjin, sesuai dengan pegangan pengasasnya, Colin Chapman yang menyatakan “To add speed, add lightness.” Jadi, model edisi terhad terbaharu dari Lotus iaitu Exige 350 Special Edition terus dibina dengan falsafah berkenaan dan diproduksi hanya 50 unit.

    Model khas berkenaan dibina berdasarkan model Exige Sport 350 yang sememangnya sudah cukup ringan dengan berat badan 1,125 kg. Lotus berjaya menurunkan lagi berat berkenaan sebanyak 26 kg pada Exige 350 Special Edition ini dengan pemadanan tempat duduk gentian-karbon (6 kg), rim aloi forged lebih ringan (5 kg), cakera brek berliang two-piece (5 kg), dan juga bateri lithium-ion lebih ringan (10 kg).

    Tiada perubahan dilakukan pada enjin dimana model edisi terhad ini masih dijana enjin Toyota 3.5 liter V6 dengan bantuan supercharger berkuasa 350 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 400 Nm pada takat 4,500 rpm, sama seperti Exige 350 biasa.

    Lotus tidak menyatakan prestasi model yang diberi tingkat taraf ini dan masih menggunakan angka dari model Exige 350 iaitu pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 274 km/h untuk versi transmisi manual enam-kelajuan serta mencatatkan lap terpantas di litar ujian Lotus, Hethel dalam masa 1 minit 29.8 saat.

    Model edisi terhad ini dijual pada harga bermula £61,900 (RM326,517) di UK, iaitu lebih kurang £6,000 (RM31,649) lebih mahal dari harga asas Exige Sport 350. Model ini juga merupakan model terakhir dari tiga model edisi istimewa sempena ulangtahun ke-50 Lotus, yang turut terdiri dari Evora Sport 410 dan Elise Cup 250.

    GALERI: Lotus Exige Sport 350

     
     
  • BMW Malaysia perkukuh kerjasama dengan Greentech; sasar tambah 1,000 stesen ChargeNow

    bmw-chargenow-greentech-bm-17

    BMW Malaysia hari ini mengumumkan akan memperkukuhkan kerjasamanya dengan Greentech Malaysia. Pada majlis menandatangani persefahaman antara kedua-dua pihak yang berlangsung di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM), syarikat itu memberi penekanan terhadap perkembangan projek ChargeNow yang dijalankan bersama ChargeEV yang diselenggara oleh Greentech Malaysia.

    Setakat ini, terdapat sejumlah 95 stesen pengecas di Malaysia. Kerjasama terbaharu ini bakal menyaksikan 1,000 lagi stesen ditambah menjelang penghujung 2017 nanti. Majoriti stesen-stesen berkenaan akan diletakkan di Selangor (500), diikuti Kedah (150), Johor (110), Melaka (90), Pahang (50) dan Terengganu (40).

    Semua port pada stesen-stesen berkenaan adalah serasi dan boleh digunakan oleh semua kenderaan plug-in hybrid yang ditawarkan oleh BMW, termasuk X5 xDrive40e, 330e iPerformance dan i8.

    Kerjasama antara BMW Malaysia dan Greentech Malaysia pertama kali diumumkan ketika pelancaran X5 xDrive40e, di mana pelanggan diberikan kad ChargeNow, yang membolehkan mereka menggunakan stesen ChargeEV diseluruh Malaysia (dengan kos mengecas).

    Untuk mengetahui stesen mana yang terlibat dan menawarkan perkhidmatan ChargeNow, terdapat beberapa cara. Antaranya dengan memuat turun aplikasi My BMW Remote bagi pelanggan BMW eDrive atau aplikasi BMW i Remote bagi pelanggan BMW i. Melalui aplikasi ini, pelanggan tidak hanya dapat mengetahui stesen pengecas awam yang ada, malahan memeriksa yang unit mana yang tidak digunakan dan menghantar lokasinya terus ke telefon pintar.

    Bagi pihak Greentech Malaysia pula, syarikat itu mensasarkan untuk memasang 300 stesen ChargeEV menjelang hujung tahun ini, dan akan kekal dengan sasaran awalnya untuk menyediakan 25,000 stesen ChargeEV menjelang tahun 2020 bagi menampung 100,000 kenderaan elektrik yang disasarkan akan digunakan di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

     
     
  • Subaru WRX S4 tS – model edisi terhad yang berada dalam pasaran hanya untuk tempoh lima bulan

    subaru-wrx-s4-ts-03_bm

    Subaru sering mengeluarkan pelbagai model edisi terhad untuk barisan model WRX dan kali ini syarikat berkenaan menerusi divisi talaan berprestasi tingginya iaitu Subaru Technica International (STI) hadir dengan sebuah lagi model istimewa – WRX S4 tS.

    Menurut Subaru, model ini dibina berasaskan model WRX S4 dan menerima kejuteraan dari model istimewa S207 serta akan dijual dalam masa hanya lima bulan iaitu sehingga 12 Mac 2017. Ia masih dijana oleh enjin boxer FA20 2.0 liter empat-silinder suntikan bahan terus dengan pengecas turbo dari model S4, berkuasa 300 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,000 hingga 4,800 rpm.

    Tork yang dihasilkan oleh enjin berkenaan telah dipertingkatkan sebanyak 10% semasa memecut dengan menggunakan komponen pada bahagian kemasukan udara serta ekzos yang telah diubahsuai. Kotak gear Sport Lineartronic CVT yang dipadankan pada enjin berkenaan juga telah ditambah dengan penyejuk minyak untuk meningkatkan keupayaan penyejukkannya.

    Melengkapkan unit janakuasa ini, kesemua kuasa dari enjin dihantar ke keempat-empat roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru dan tork diagihkan dengan sistem Active Torque Vectoring.

    Pengendalian S4 tS ini dipertingkatkan menerusi penggunaan komponen suspensi dari STI sama seperti model S207, yang terdiri dari bar strut fleksible hadapan, draw stiffener fleksible hadapan, penyokong subframe belakang fleksibel serta set suspensi Bilstein yang ditala oleh STI dengan unit boleh laras Dampmatic II pada bahagian hadapan. Ia turut dipadankan dengan sistem brek Brembo 17-inci dengan angkup brek empat-silinder berliang pada bahagian hadapan.

    Pada bahagian luaran, model edisi terhad ini menerima spoiler hadapan bahagian bawah yang besar, rim aloi forged dari BBS 19-inci rekaan STI, antena radio sirip yu berwarna hitam, dan jalur serlahan berwarna merah ceri pada gril mesh hadapan dan bampar belakang.

    Kabin S4 tS ini pula menerima tempat duduk hadapan jenis bucket dari STI dibaluti kulit dengan kemasan semi-aniline hitam, panel instrumen istimewa dengan lencana tS Limited Edition serta pada kemasan pada bendul sisi. Empat warna badan ditawarkan untuk model edisi terhad ini merangkumi WR Blue Pearl, Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic dan Crystal Black Silica.

    Pelanggan turut boleh memilih model dengan versi NBR Challenge Package, sempena memperingati kejayaan Subaru pada perlumbaan Nürburgring 24-Jam dalam kategori SP3T untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2015 dan 2016. Versi berkenaan akan menerima rim BBS 19-inci berwarna hitam, spoiler belakang gentian-karbon serta roda stereng balutan ultrasuede dengan tanda bahagian tengah berwarna perak.

     
     
  • Pusat 3S Honda kini dibuka di Terengganu

    01-syarikat-tan-eng-ann-honda-3s-centre_showroom-exterior

    Honda Malaysia telah merasmikan pusat 3S baharu yang terletak di Terengganu. Dikendalikan oleh pengedar Honda di negeri berkenaan, Syarikat Tan Eng Ann Sdn. Bhd. (Syarikat Tan Eng Ann), pusat 3S ini yang terletak di kawasan seluas 2.5 ekar turut menempatkan bangunan sebesar 30,572 kaki persegi. Dengan kos perlaburan sebanyak RM18 juta, pusat 3S ini turut menempatkan 18 petak penyelenggaran yang mampu mengendalikan sehingga 80 buah kereta sehari.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pusat jualan dan alat ganti, lounge untuk pelanggan, perkhidmatan Wifi percuma, kaunter memperbaharui cukai jalan dan insurans, sudut permainan kanak-kanak dan surau.

    Malah Syarikat Tan Eng Ann Sdn. Bhd. (Syarikat Tan Eng Ann) merancang untuk menaik taraf pusat 3S ini menjadi pusat 4S dalam tempoh dua tahun akan datang, termasuk membuka pusat mengecat kenderaan.

    Menurut Pengarah Urusan Honda Malaysia, Katsuto Hayashi, “Kami mahu memastikan semua pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Pusat 3S ini yang terbesar di Terengganu dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan.”

    Jualan model Honda di Pantai Timur merangkumi 8% bagi jumlah keseluruhan bagi Honda Malaysia yang merangkumi 55,764 unit dari Januari hingga Ogos tahun ini. Ia mengekalkan kedudukan Honda sebagai jenama bukan-nasional No.1 dalam segmennya dan No.2 bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sehingga Ogos 2016.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025