Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Seminggu selepas dipertontonkan, Hyundai Santa Fe 2025 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Diedarkan oleh syarikat prinsipal yang baru ditubuhkan, Hyundai Motor Malaysia (HMY), SUV tujuh-tempat duduk generasi kelima ini tiba di sini kurang 10 bulan selepas model facelift generasi keempatnya dilancarkan, sekaligus menawarkan rekaan baru yang menawan, ruang dalaman lebih menarik serta pilihan enjin petrol turbo yang lebih berkuasa.

    Ketika pelancarannya, model ini diimport sebagai unit CBU, dengan perancangan versi CKD dijangka bermula tahun ini. Santa Fe 2025 ditawarkan dalam tiga varian: HEV Prime paling asas yang dijual dengan harga RM225,000, sementara HEV Prestige dijual dengan harga RM245,000. Varian paling lengkap, 2.5T Calligraphy pula dijual dengan harga RM270,000. Semuanya harga atas jalan, belum termasuk insurans, dan diberi jaminan lapan-tahun/160,000 km.

    Versi hibrid kekal menggunakan sistem janaan kuasa model terdahulu, dengan unit 1.6 liter turbocas dan suntikan terus (T-GDi) Smartstream empat-silinder petrol yang menghasilkan 180 PS pada 5,500 dan 265 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan pula dengan sebuah motor elektrik 65 PS/264 Nm dan transmisi automatik enam-kelajuan untuk memberikan output keseluruhan 235 PS dan 367 Nm (naik 5 PS dan 17 Nm berbanding model lama) yang disalurkan ke roda depan.

    Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Sementara itu, varian Calligraphy menerima enjin 2.5 liter T-GDi serba baru yang memberikan 281 PS pada 5,800 rpm dan 422 Nm antara 1,700 rpm-4,000 rpm. Ini digandingan dengan transmisi klac berkembar DCT lapan-kelajuan serta pacuan semua roda HTRAC dari Hyundai. Tiada lagi pilihan untuk enjin diesel kali ini, selari dengan penawarannya di pasaran lain global.

    Pilihan 1.6 liter turbo hibrid dan platform N3 yang digunakan adalah satu-satunya persamaan yang diwarisi daripada model lama. Selebihnya, semua serba baru, terutamanya rekaan bersegi yang ditampilkan, yang kelihatan mirip pendekatan rekaan oleh Land Rover. Dengan rekaan berkotak ini, ruangan yang tersedia di dalam lebih luas.

    Reka bentuk selebihnya memenuhi keperluan penggunaan urban dan juga untuk aktiviti lasak, dengan adanya sentuhan seperti permukaan kesat, bahagian kaca dan cermin yang luas dengan pemegang pintunya tersembunyi di tiang C untuk memudahkan akses kepada bumbung, kurang lengkung serta bahagian belakang menegak.

    Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Wajah depannya juga berimej kental dengan kedudukan bonet yang tinggi serta lampu utama bentuk H. Ini ditambah dengan bampar lebar dengan perincian warna badan — pendekatan yang sama untuk bahagian belakang. Overhang depan juga pendek, sementara lengkuk fender bersegi yang ada memuatkan rim aloi 21-inci, sesuai dengan jarak roda 2,815 mm yang dimiliki.

    Jarak roda berkenaan ialah 65 mm lebih panjang daripada model lama, dengan saiz keseluruhan yang juga hampir sama, walaupun model generasi kelima ini nampak lebih besar. Model baru ini mempunyai ukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi; ini 45 mm lebih panjang, 35 mm lebih tinggi serta lebar yang sama dengan model semasa. Kedua-dua model berkenaan juga menggunakan platform yang sama, yang mula diperkenalkan pada pertengahan kitaran hayat model generasi keempat tersebut.

    Varian Prime datang dengan rim saiz 20-inci lima-jejari dengan dua-tona serta kemasan badan plastik, sementara Prestige menerima tambahan kemasan perak di kelilingnya. Varian Calligraphy pula tampil lebih menonjol dengan pelapik badan berkilat dan rim 21-inci hitam kesat.

    Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Rekaan dalamannya juga sangat berbeza dari model generasi keempat. Ia lebih mewah dan menampilkan rekaan bersih, material berkilat sebagai kemasan antara yang menjadi elemen utama. Rekaan bentuk H juga boleh dilihat diteruskan pada rekaan kabinnya, serta ada juga corong pendingin berkelabaran penuh.

    Di atas corong terletak sebuah paparan skrin lebar melengkung yang terdiri daripada panel instrumen 12.3-inci dan paparan untuk infotainment. Sebelah penumpang pula menerima dua glovebox; dengan bahagian atasnya turut dilengkapi dengan ciri pensterilan UV untuk varian lebih tinggi. Penggunaan butang capacitive touch pula masih dikekalkan untuk kawalan pendingin, tetapi untuk kawalan suhu ia menggunakan tombol fizikal.

    Ruang storan di konsol tengah juga direka semula kerana tuil pemilih gearnya sudah berpindah ke belakang stereng, seperti pada Ioniq. Kini ada dua pad pengecas tanpa wayar Qi, sementara storan perehat lengannya boleh dibuka dari depan dan belakang. Kerusi Relaxation Seat dengan perehat kaki penumpang depan juga boleh direbah dengan hanya satu sentuhan — ciri yang sama ada untuk Ioniq 5 dan 6.

    Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Ruang penumpang belakang juga rata-ratanya lebih luas; kerusi barisan ketiganya disifatkan memberi ruang terbaik bagi kenderaan dalam kelasnya, dan 10-darjah lebih condong. Untuk masuk ke situ, kerusi barisan kedua boleh dilipat dengan hanya satu sentuhan.

    Kedua-dua kerusi paling belakang boleh dilipat rata untuk memberikan ruang yang luas untuk digunakan, terutama ketika pintu ruang barangan dibuka. Ruang but yang tersedia ialah 628 liter, manakala ketika kerusi barisan kedua dilipat, ia menjadi 1,949 liter. Kelengkapan lain yang ada termasuk cermin pandang belakang digital, head-up display 12-inci dan banyak slot USB-C dalam kabin, dengan kapasiti hingga 27 watt.

    Dari segi keselamatan, ada banyak ciri bantuan pemandu yang tersedia. Ini termasuklah AEB generasi kedua dengan pengesan kenderaan depan dan bantuan stereng evasif, kawalan melayar dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar kemalangan, amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan brek automatik, amaran bukaan pintu dan pengingat penumpang kerusi belakang. Bantuan parkir jarak jauh juga tersedia, dan 10 beg udara adalah standard.

    Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

    Bagi aspek keselamatan, Santa Fe 2025 ini datang lengkap dengan ciri bantuan pemandu, termasuklah AEB generasi kedua dengan pengesan kenderaan dari depan serta bantuan stereng evasif, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik di depan dan belakang dengan Auto Brake, amaran buka pintu serat pengingat kerusi belakang.

    Varian Premium ke atas menerima ciri Bantuan Parkir Jarak Jauh dengan menggunakan butang pada logo H di kunci. Jumlah beg udara standard kini ada 10, termasuk untuk lutut pemandu. Kawalan kestabilan juga adalah standard.

    Risalah rasmi Hyundai Santa Fe 2025

     
     
  • Mercedes-Benz EQV300 2025 dilancar di Malaysia – Avantgarde, 2 skrin 12.3-inci; dari RM450,350

    Mercedes-Benz EQV300 2025 dilancar di Malaysia – Avantgarde, 2 skrin 12.3-inci; dari RM450,350

    Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) selaku pengedar bertauliah bagi van Mercedes-Benz di Malaysia telah pun melancarkan MPV elektrik EQV 300 2025 untuk pasaran tempatan. Ini merupakan pengenalan pertama secara rasmi bagi model berkenaan untuk pasaran Malaysia yang ditawarkan dengan kemasan Avantgarde Line dengan harga atas jalan RM450,350 tanpa insurans.

    EQV 300 2025 ini diilhamkan dengan mobiliti serba moden, rekaan yang penuh bergaya, ketersepaduan digital pintar dan prestasi elektrik generasi terkini. Rekaan luaran Avantgarde Line ini diterjemahkan menerusi lampu utama Multibeam LED, lampu belakang LED, kemasan krom dengan perkataan Mercedes-Benz di belakang, dilengkapi roda aloi lima-jejari 17-inci baharu yang dibaluti tayar 245/55 R17 dan bumbung panoramik gelangsar.

    Untuk bahagian kabin, EQV 300 2025 ini diberikan ciri kelengkapan serba mewah termasuk dwi skrin 12.3-inci yang dioperasikaan oleh sistem multimedia MBUX, corong udara yang direka semula, kawalan suhu automatik THREMOTRONIC, kawalan suhu semi-automatik TEMPMATIC untuk bahagian belakang dengan ENERGIZING Comfort, kawalan suara LINGUATRONIC dengan sokongan Apple CarPlay® dan Android Auto®, sistem bunyi sekeliling Burmester® dengan 15-pembesar suara, pencahayaan ambien dengan 64-warna dan 10-warna untuk tema, roda stereng pelbagai-fungsi, pengecas tanpa wayar Mobile dan soket 12V.

    MPV elektrik yang berukuran 5,140 mm panjang, 1,918 mm lebar, 1,923 mm tinggi dengan jarak roda 3,200 mm, diberikan kapasiti tujuh-tempat duduk (kofigurasi 2-2-3), dengan tempat duduk larasan kuasa balutan kulit Lugano untuk pemandu serta penumpang hadapan. Ia juga ditampilkan dengan pintu gelangsar elektrik untuk bahagian kiri dan kanan, serta tailgate larasan kuasa.

    Bagi mekanikalnya, EQV 300 2025 dipadankan dengan motor elektrik yang dipasang hadapan dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 365 Nm dengan kelajuan maksimum mampu cecah 160 km/j. Ia juga diberikan bateri lithium-ion 90-kWh yang mampu memberikan jarak gerak 374 km mengikut WLTP (atau 418 km NEDC).

    Status pengecasan antara 10-80% dalam 40 minit dengan pengecas DC 110 kW dan 10 jam jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW. Selain itu, terdapat empat mod pemanduan diberikan iaitu Comfort, Sport, Eco, dan Maximum Range (ECO+).

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz EVQ300 Avantgarde – klik untuk besarkan

    Untuk aspek keselamatan, ia masih sama dengan kebanyakan model Mercedes-Benz yang lain, termasuklah enam beg udara, Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Titik Buta, Bantuan Jarak Aktif DISTRONIC, pemantauan tekanan tayar, Kamera 360-darjah, Bantuan Perhatian, Bantuan Parkir Aktif dan Bantuan Mendaki Bukit.

    Sekali lagi, EQV 300 2025 ditawarkan dengan harga atas jalan RM450,350 tanpa insurans. Sebagai meraikan kedatangnya ke Malaysia, HSTD menawarkan pakej pengenalan eksklusif untuk para pelanggannya yang akan diberikan pengecas Mercedes-Benz Wallbox percuma, servis selenggara berkala percuma selama tiga-tahun, rebat tempahan sebanyak RM10,000.

    Setiap pembelian EQV 300 juga diberikan waranti kenderaan dua-tahun (atau 200,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu), dan waranti bateri voltan-tinggi pula meliputi lapan-tahun atau 160,000 km mana yang tiba terlebih dahulu.

     
     
  • Proton guna siri enjin BHE15 1.5L empat-silinder baharu dari Aurobay – turbo & NA, bermula X50 facelift

    Proton guna siri enjin BHE15 1.5L empat-silinder baharu dari Aurobay – turbo & NA, bermula X50 facelift

    Seperti yang sudah diketahui, Proton X50 facelift 2025 yang baru sahaja diumumkan sudah disahkan menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo bagi menggantikan unit GEP3 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sebelumnya. Ketika sesi prebiu model berkenaan di fasiliti Proton di Shah Alam baru-baru ini, kami difahamkan enjin baharu berkenaan dikenali dengan kod BHE15TD.

    Oleh itu secara rasmi Proton kini sudahpun menerima barisan enjin generasi keempat Geely yang dibangunkan dan dibekalkan oleh Aurobay, iaitu syarikat pembekal unit rangkaian kuasa yang berpangkalan di Sweden yang ditubuhkan oleh Geely dan juga bekas divisi pembangunan unit rangkaian kuasa Volvo.

    Siri enjin BHE15 ini telah dihasilkan dalam lima varian sama ada dalam versi turbo dan juga normally aspirated (NA), beroperasi sepenuhnya menggunakan bahan api, serta ada yang khas untuk digandingkan bersama sistem elektrifikasi seperti hibrid elektik (HEV) plug-in hybrid (PHEV) dan juga sistem EV dengan enjin penambah jarak (REEV).

    Ia sememangnya direka dengan begitu fleksibel agar boleh dipadankan pada sebanyak mungkin aplikasi, menjadi enjin pembakaran dalaman bagi pelbagai sistem unit rangkaian kuasa Geely dikenali sebagai NordThor 2.0 dan EM-P untuk jenama-jenama termasuk Geely Auto, Lynk & Co, malah Volvo XC70 generasi baharu yang bakal dilancarkan di China tahun ini turut dijangka akan dibekalkan dengan enjin 1.5 liter BHE15 ini.

    Proton guna siri enjin BHE15 1.5L empat-silinder baharu dari Aurobay – turbo & NA, bermula X50 facelift

    Untuk Proton, tahap modular enjin BHE15 ini mungkin akan menyaksikan ia akan digunakan oleh hampir kesemua model Proton selepas ini bukan sahaja untuk model-model yang diasaskan dari platform Geely, seperti X70 dan S70, malah untuk model yang dibangunkan sendiri oleh Proton menggunakan platform AMA termasuk Saga MC3 yang akan dilancarkan tahun ini.

    Langkah ini bukan sahaja membolehkan Proton menerima enjin dengan tenknologi paling terkini dari Geely, malah ia akan turut memudahkan proses dan juga mengurangkan kos produksi di kilang enjin Proton di Tanjong Malim dengan menghasilkan hanya satu jenis enjin tetapi dalam beberapa varian untuk aplikasi yang berbeza-beza.

    Secara asasnya enjin BHE15 ini menampilkan saiz omboh dengan gerek (bore) 73.4 mm dan lejang (stroke) 88.57 mm, menghasilkan kapasiti keseluruhan 1,499 liter, dengan aci sesonsol berkembar (DOHC) pada kepala silinder yang beroperasi bersama sistem pemasa injap bervariasi (VVT). Dan, ini mungkin yang ramai ternanti-nanti – siri enjin BHE15 ini tidak lagi menggunakan timing belt untuk menggerakkan aci sesondol kerana ia telah diganti dengan mekanisma timing chain.

    Buat masa sekarang kesemua varian sudahpun memenuhi standard emisi udara CN6b di China dan EU6d di Eropah, serta disasarkan untuk turut lulus standard EU6e yang lebih ketat. Kesemua varian juga boleh beroperasi dengan bahan api E10, iaitu petrol dengan campuran 10% ethanol.

    Lima varian enjin berkenaan adalah BHE15TD, BHE15TD Plus, BHE15D, BHE15PFI dan BHE15TD EVO, manakala perincian untuk setiap enjin adalah seperti berikut:

    BHE15TD

    Seperti yang disebut tadi, ini merupakan varian yang digunakan pada X50 facelift. Ia adalah enjin yang beroperasi dengan bahan api petrol sepenuhnya tanpa apa-apa sistem hibrid elektrik, dipadankan dengan sistem suntikan bahan api terus dengan penyuntik bertekanan 350-bar bagi memberikan nisbah bertekanan tinggi, bersama pengecas turbo inersia kecil (T-GDI), nisbah mampatan 11:1 dan juga pam air yang digerakkan oleh kuasa elektrik.

    Enjin ini boleh ditala bagi menghasilkan kuasa bermula 163 PS hingga 181 PS pada takat 5,500 rpm, dan tork 270 Nm hingga 290 Nm yang bermula 2,000 rpm hingga 3,500 rpm. Talaan yang diterima oleh X50 facelift adalah talaan paling berkuasa iaitu 181 PS/290 Nm.

    Ini bermaksud enjin BHE15TD ini adalah adalah 4 PS/35 Nm lebih berkuasa, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.6 saat (0.3 saat lebih pantas) dan penggunaan bahan api 4.7% lebih jimat berbanding enjin tiga-silinder 1.5L T-GDI sebelumnya. Selain X50, enjin ini sudah tentu berpotensi untuk menggantikan enjin 1.5L T-GDI tiga-silinder pada model-model Proton yang lain termasuk SUV segmen-C X70 dan sedan segmen-C S70.

    BHE15TD Plus

    Proton guna siri enjin BHE15 1.5L empat-silinder baharu dari Aurobay – turbo & NA, bermula X50 facelift

    Varian ini dihasilkan khas untuk disepadukan dengan sistem hibrid HEV, PHEV dan juga REEV. Oleh itu perbezaan paling ketara untuk enjin BHE15TD Plus ini adalah ia berfungsi menggunakan sistem kitaran miller berbanding kitaran Otto biasa pada BHE15 TD biasa.

    Selain itu ia juga menerima perincian lain seperti sistem penyejuk udara ambilan dari pengecas turbo menggunakan air (WCAC), EGR tekanan rendah, pam air elektrik, nisbah mampatan sehingga 14:1, sistem suntikan bahan api terus dan juga pengecas turbo khas dihasilkan untuk enjin hibrid.

    Dengan menggunakan kitaran miller, ini bermakna strok mampatannya adalah lebih pendek bagi memberikan keberkesanan lebih tinggi tetapi dengan kuasa enjin yang lebih kecil. Oleh itu Aurobay menyatakan enjin ini disedikan dalam talaan kuasa bermula dari 143 PS hingga 163 PS dan tork antara 225 Nm hingga 255 Nm. Namun ia dapat berfungsi dengan kadar keberkesanan yang agak luar biasa di mana ia dapat mencapai kadar keberkesanan suhu mencecah 44.26%.

    Ini bukan bermakna kuasa tidak menjadi keutamaan kerana enjin BHE15TD Plus ini lazimnya akan dipadankan bersama transmisi khas hibrid (DHT) yang diintegrasi sekali dengan motor elektrik. Pada Geely Galaxy L7 PHEV misalnya, enjin BHE15TD Plus berkenaan digandingkan dengan kotak gear DHT menghasilkan kuasa keseluruhan 390 PS, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam 6.9 saat, serta mencapai penggunaan bahan api serendah 5.23 l/100 km dalan kitaran ujian WLTC, membolehkan ia bergerak sejauh 1,370 km untuk satu tangki petrol.

    BHE15D

    Proton guna siri enjin BHE15 1.5L empat-silinder baharu dari Aurobay – turbo & NA, bermula X50 facelift

    Secara asasnya BHE15D ini adalah sama seperti BHE15TD tetapi tanpa sistem pengecas turbo. Jadi ia turut menerima perincian seperti sistem suntikan bahan api terus dengan penyuntik 350-bar, pam air elektrik, dan juga sistem timing chain yang berfungsi senyap. Kepala enjin BHE15D ini direka bagi memberikan aliran pusaran terbentuk apabila campuran udara dan bahan api bagi memberikan pembakaran yang lebih efisien. Kadar keberkesanan bahan api juga cukup baik dengan mencecah 46.5%.

    Bergantung pada talaan, kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 111 PS hingga 126 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima sekitar 140 Nm hingga 152 Nm pada takat 4,000 hingga 5,000 rpm. Ia boleh berfungsi sebagai enjin petrol penuh, tetapi lazimnya ia digandingkan dengan sistem hibrid elektrik.

    Untuk masa hadapan, Proton juga mungkin bakal menerima enjin BHE15D ini. Ia adalah kerana sebelum ini Proton telah mengesahkan bahawa eMas 7 bakal ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV), dan kembar model tersebut telah pun wujud di China dengan nama Geely Galaxy Starship 7 EM-i.

    Model tersebut menampilkan unit rangkaian kuasa PHEV EM-i Geely yang menggandingkan enjin BHE15D berkenaan dan juga kotak gear DHT yang disepadukan bersama sebuah starter-generator dan juga motor elektrik utama. Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa EM-i dengan enjin BHE15D ini menghasilkan kuasa 218 PS dan tork maksima 262 Nm, membolehkan Galaxy Starship 7 tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan 180 km/j.

    BHE15PFI

    Proton guna siri enjin BHE15 1.5L empat-silinder baharu dari Aurobay – turbo & NA, bermula X50 facelift

    Menurut Aurobay, BHE15PFI ini merupakan pilihan paling kos rendah dalam keluarga enjin BHE15. Ia tidak dipadankan dengan sistem suntikan bahan api terus tetapi digantikan dengan sistem lebih marhean iaitu sistem suntikan bahan api port (PFI). Malah varian ini juga tidak diberikan pengecas turbo dan berfungsi secara ambilan udara semulajadi (NA), serta menampilkan nisbah mampatan 13.5:1.

    Bergantung pada talaan, enjin ini menghasilkan kuasa sekitar 100 PS hingga 110 PS pada takat 6,000 rpm dan juga tork 125 Nm hingga 135 Nm bermula 4,000 rpm hingga 5,000 rpm. Proton banyak menghasilkan model-model mampu milik, khususnya yang dibangunkan secara tempatan. Mungkin kita boleh jumpa enjin ini dalam perut Proton Saga MC3 yang bakal dilancarkan pada tahun ini juga?

    BHE15TD EVO

    Aurobay menyatakan bahawa BHE15TD Evo ini adalah diasaskan dari enjin BHE15TD Plus yang kemudiannya ditambah baik. Tak banyak maklumat didedahkan berkenaan enjin ini melainkan Aurobay menyatakan bahawa enjin berkenaan “menerajui industri dengan sistem pembakaran menggunakan nisbah mampatan tinggi yang dioptimakan”, serta “menggunakan pengecas turbo yang sangat efisien bagi mencapai penggunaan bahan api yang efisien.”

    Bergantung pada talaan, enjin dengan sistem suntikan terus ini dinyatakan akan menghasilkan kuasa sekitar 143 PS hingga 163 PS dengan tork antara 225 Nm hingga 255 Nm. Seperti BHE15TD Plus, enjin ini juga direka untuk dipadankan dengan sistem elektrifikasi termasuk hibrid, PHEV dan REEV.

     
     
  • Proton X50 facelift 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Diam tak diam, tahun ini masuk tahun kelima Proton X50 berada dalam pasaran Malaysia. Sepanjang tempoh itu, lebih 130,000 unit SUV segmen B ini sudah terjual. Dan, sepanjang tempoh itu juga, pernah ada empat versi kemaskini atau edisi khas yang diperkenalkan.

    Tiga tahun selepas mula dijual, Proton memperkenalkan pula versi X50 R3 pada 2023 — model yang ditujukan sebagai homaj kepada sayap perlumbaan Proton R3, dengan imej hitam-kuning yang sporty. Kemudian, setahun lalu pada Jun 2024, versi X50 RC diperkenalkan, yang hanya melibatkan kemaskini minimal sahaja, tanpa melibatkan perunahan mekanikal. Dan terakhir, pada suku pertama tahun ini, kita menyaksikan model edisi istimewa X50 SE pula diperkenalkan.

    Dan kini, Proton sedang mempersiapkan pula versi yang dikenali sebagai ‘X50 Serba Baru’, dan akan dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini nanti. Kami telah berkesempatan untuk melihat darip dekat model terbaru ini awal Jun lalu, dan ternyata ada banyak perkara yang boleh diperkatakan tentangnya. Jadi, apa yang baru?

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Walaupun masih menggunakan asas daripada Geely Binyue L, menurut Proton, X50 2025 ini dibangunkan khusus untuk jalan raya di Malaysia. SUV berkenaan telah menerima sebanyak 245 bahagian baru yang dibangunkan khas untuknya, yang memakan masa kerja terkumpul bagi tujuan R&D serta ujian selama 412,000 jam. Untuk memastikan keboleh-tahanannya pula, model ini telah menjalani ujian jalan raya dengan jarak sejauh 4,300,000 km. Inilah angka-angka yang dikongsi ketika taklimat media oleh Proton, minggu lalu.

    Dari segi rekaan, X50 2025 akan dengan senang dapat dibezakan daripada versi sebelumnya. Gril depan kini lebih nipis, dengan perincian “anyaman” yang ada juga berbeza. Masih dikekalkan unsur busur panah dalam warna merahnya. Untuk lampu juga baru, dengan rekaan lebih tipis dan semuanya LED. Perbezaan paling ketara untuk wajah depannya ini ialah rekaan bamparnya — ia kini lebih besar dan jelas kelihatan bahagian hitam — seolah-olah mulut yang agak besar untuk SUV ini — dengan kemasan krom ala bukaan udara di bucu kiri dan kanannya.

    Rimnya juga diberikan rekaan baru: kini bersaiz 18-inci dengan rekaan “diamond cut” dua-tona warna. Beralih ke belakang, dari atas akan ada kelihatan kelainan yang ditampilkan untuk versi terbaru ini, dengan dua barang yang berbeza rekaannya — spoiler sport; untuk varian paling tinggi, kehadirannya lebih ketara, tajam dan besar.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Lampu belakang kini dengan jalur berkelebaran penuh LED, dengan rekaan yang juga semakin nipis dalam lekuk tersendiri, dengan tulisan Proton berada kemas di bawahnya. Sporty memang dijadikan mantra paling utama bagi X50 2025 ini — rekaan bawah bampar belakang walaupun tampil dengan garisan-garisan yang lebih ringkas dan kemas, tetap diberikan empat muncung ekzos sebagai visualnya.

    Di dalam kabin ada banyak peningkatan. Antaranya X50 2025 kini datang dengan papan pemuka yang lebih rata dan ringkas. Di tengahnya, terletak sebuah skrin infotainmen yang lebih besar dengan saiz 14.6-inci. Skrin berkenaan mempunyai paparan HD penuh (1920 x 1080), paparan skrin lebar 16:9, pemproses quad-core dengan 6GB RAM dan 64GB storan ROM serta Android 10 System.

    Selain itu, ciri Voice Command yang ada padanya sudah boleh dikendalikan dalam Bahasa Melayu; ini ciri seumpamanya yang pertama dalam industri ketika ini sebagai tambahan kepada arahan dalam Bahasa Inggeris seperti sebelum ini. Ia akan menerima arahan suara bagi tindakan seperti “Hi, Proton!” untuk buka tingkap, hidupkan pendingin, mainkan muzik, dan tunjuk arah ke destinasi.

    Antara pembaharuan paling besar yang sangat ditunggu-tunggu untuk model-model Proton juga kini akan ditawarkan melalui X50 2025 terbaru, apa lagi kalau fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang akhirnya tiba setelah sekian lama ditunggu.

    Lampu ambient mengikut ritma, dengan 72-warna juga tersedia sebagai tambahan terbaru. Bahagian konsol tengahnya lebih tinggi dan lapang, dengan adanya ruang pengecasan telefon tanpa wayar (untuk varian paling tinggi) berlapik material seakan baldu di tengah, yang boleh juga digunakan sebagai ruang meletak barang (dengan kapasiti 10 liter tersedia di bawah konsol tengah).

    Skrin panel instrumen untuk pemandu yang baru juga menggantikan meter lama: paparan LCD bersaiz 8.88-inci, yang terletak sedikit terselindung di celahan stereng. Selain itu, tuil pemilih gear juga dialih kepada jenis pemilih kolum dan terletak di belakang sebelah kanan stereng. Untuk slot USB, kini ada empat; di depan ada satu jenis Type A dan satu Type C, sementara di belakang pun lengkap dengan sepasang ciri yang sama. Ada juga pelindung matahari semi-telus untuk mengelakkan silau kepada pemandu.

    Perubahan paling utama bagi X50 2025 ini ialah enjinnya. Enjin tiga-silinder sebelum ini tidak lagi akan digunakan, dan diganti dengan unit i-GT 1.5TD empat-silinder yang menjana sebanyak 133 kW (181 PS) pada 5,500 rpm dan tork sebanyak 290 Nm dari 2,000 rpm-3,500 rpm. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan minyaknya juga 4.7% lebih jimat.

    Pertukaran enjin ini juga pernah dilihat berlaku bagi model Geely Binyue Cool facelift 2022. Ia beralih daripada unit enjin tiga-silinder (unit JLH-3G15T PFI dan juga unit JLH-3G15TD TGDi suntikan terus yang khas untuk varian Flagship) kepada unit enjin 1,499 cc BHE15TD empat-silinder. Ia kekal dengan desakan turbo, dan dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Sebagai perbandingan, versi suntikan terus enjin tiga-silinder X50 sebelum ini menghasilkan janaan sebanyak 177 PS/255 Nm, sementara versi port injection bagi varian lebih rendah menghasilkan 150 PS/226 Nm. Di atas kertas, enjin empat-silinder baru ini akan memberikan kelebihan dari segi output dan prestasi. Untuk penggunaan minyak, X50 sebelum ini disifatkan memberikan kadar antar 6.4 liter-6.5 liter bagi setiap 100 km, maka untuk versi terbaru ini ia dijangka memberikan sekitar 6.1 liter/100 km.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Dibangunkan oleh syarikat Sweden-China milik Geely, Aurobay (kini sebahagian daripada Horse Powetrain milik bersama antara Geely dan Renault), enjin berkenaan menggunakan nama i-GT 1.5TD oleh Proton dengan i-GT merujuk kepada intelligent-Green Technology.

    Ada dua perkara penting di sini: X50 selepas ini hanya akan ditawarkan dengan satu versi enjin suntikan terus sahaja dan tiada lagi versi port injection yang sebelum ini diberikan untuk varian lebih rendah; dan kedua enjin berkenaan akan digunakan oleh semua model ICE Proton yang diambil dari Geely (X70, S70, X90). Sementara itu, untuk Saga terbaru nanti, ia akan menerima unit BHE15PFI 1.5 liter port injection enjin yang sama ini, tanpa turbo.

    Selain itu, bagi aspek pemanduan, ada satu mod tambahan terbaru turut diberikan kepada X50 2025. Tiga mod pemanduan yang sedia ada sebelum ini masih dikekalkan — Normal, Sport dan Eco. Dan kini tambahan satu lagi mod yang diperkenalkan ialah Adaptive Mode; kereta akan menerapkan pemanduan mengikut keperluan dan peralihan lancar mengikut corak dinamik pemanduan pemandu secara khusus.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Bagi aspek keselamatan, sistem ADAS Tahap 2 yang ada pada X50 2025 ini juga diberikan kemaskini dan peningkatan. Ia masih menggunakan sistem kamera tunggal, yang mana kini turut disertai oleh fungsi baru, Rear Side Radar System (RSRS) yang menggunakan dua radar gelombang milimeter dan juga empat kamera definisi tinggi 360-darjah dengan pandangan telus 180-darjah. Jumlah sensornya juga ditambah menjadi 12. SUV ini juga hadir dengan enam beg udara SRS.

    Kamera monokular di depan mampu membaca situasi sehingga 170 meter, sementara sensor di belakang pula mampu mengesan hadangan dalam jarak hingga 80 meter. Bagi fungsi RSRS, ia terdiri daripada empat fungsi tambahan terbaru untuk X50 2025 — bantuan penukaran lorong (LCA), amaran perlanggaran belakang (RCW), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA) dan amaran bukaan pintu (DOW).

    Dengan sistem ini juga kini X50 2025 boleh diparkir sendiri tanpa kawalan pemandu, menerusi ciri bantuan parkir automatik (APA) — boleh untuk parkir undur dan juga sisi, dengan sistem membenarkan pemandu untuk mengalih paparan dan sudut kotak ruang menerusi skrinnya mengikut keadaan dan persekitaran. Berkaitan ini, kamera 360-darjah definisi tinggi pandangan dari atas kini juga telah dipertingkatkan, disertakan juga dengan pandangan tekus 180-darjah untuk membantu pemandu melihat persekitaran dengan mudah.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — galeri, spesifikasi penuh; pecahan varian model dengan kemaskini penting

    Untuk kemudahan pelanggan, satu lagi perkara baru yang diperkenalkan oleh Proton bermula dengan model ini ialah aplikasi mudah alih Proton Link 2.0. Ia akan menjadi hab bagi semua perkhidmatan berkaitan Proton yang bertujuan memperkayakan lagi pengalaman pemilikan pelanggan. Melaluinya, pengguna boleh meninjau dan mengawal perkara berkaitan kenderaan mereka, memanfaatkan perkhidmatan pemetaan dan menjejak lokasi, serta menyimpan semua rekod servis kenderaan.

    Proton X50 facelift 2025 akan ditawarkan dalam tiga varian, Executive, Premium dan Flagship. Tiada lagi varian Standard (yang hadir dengan empat beg udara) — kini semua varian lengkap dengan enam beg udara. Sistem ADAS pula hanya melengkapi dua varian paling tinggi; Executive hanya datang dengan RSRS sahaja.

    Dengan Executive menjadi penawaran peringkat kemasukan yang baru, asas penawaran X50 kini lebih tinggi — lengkap dengan lampu dan pengilap automatik, enam-pembesar suara dan pendingin automatik. Apa pun, ia masih dengan kerusi balutan fabrik, pintuk ruang barangan manual dan rim aloi 17-inci.

    Naik ke varian Premium, ia menerima sistem ADAS penuh, TPMS, rim aloi 18-inci, angkup brek merah, pintu belakang berkuasa, landasan bumbung, lampu aluan di depan, lampu ambient 72-warna, kerusi balutan kulit buatan, kerusi pemandu larasan enam-arah serta kamera 360 dengan pandangan telus 180-darjah.

    Varian Flagship pula menerima spoiler belakang besar dalam warna hitam, bumbung hitam, perumah cermin sisi hitam dan kemasan dalaman warna merah. Ia juga satu-satunya varian dengan fungsi parkir automatik, visor pelindung matahari, pengecas tanpa wayar serta bumbung panoramik.

    Proton X50 facelift 2025 ditawarkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship (tiada lagi varian Standard), dan didatangkan dalam lima pilihan warna — Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan warna baru Teal Bayou Blue seperti S70, menggantikan warna Ocean Blue.

      Proton X50 1.5TD Executive 2025
      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter DOHC i-GT TD
    • 1,499 cc turbocas suntikan terus empat-silinder petrol
    • 181 PS pada 5,500 rpm, 290 Nm tork pada 2,000-3,500 rpm
    • Trasmisi klac berkembar basar tujuh-kelajuan
    • Mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Adaptive
    • Pacuan roda depan
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera solid (belakang)
    • 0-100 km/h dalam 7.6 saat
    • Luaran

    • Lampu utama LED auto
    • Lampu DRL LED
    • Lampu belakang LED berkelebaran penuh
    • Garis merah pada gril
    • Kemasan bampar perak
    • Empat muncung ekzos
    • Rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60 R17
    • Dalaman

    • Sistem tanpa kunci dengan Remote Start
    • Kunci/buka kunci jarak jauh auto
    • Butang Push Start
    • Dalaman hitam dengan jahitan kelabu
    • Pelapik bumbung kelabu
    • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
    • Pengilap automatik
    • Kawalan melayar dengan penghad kelajuan
    • Kerusi manual
    • Balutan fabrik
    • Roda stereng multi-fungsi
    • Paparan instrumen digital 8.88-inci
    • Skrin sentuh infotainmen 14.6-inci
    • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    • Kawalan suara “Hi Proton” dengan pilihan Bahasa Melayu
    • Dua slot USB di depan (USB-A dan USB-C)
    • Dua slot USB di belakang (USB-A dan USB-C)
    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
    • Pelekat RFID
    • Aplikasi Proton Link 2.0
    • Ruang but 330 liter
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS dengan EBD dan Brake Assist
    • Kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan
    • Bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni curam
    • Peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik di belakang
    • Amaran perlanggaran belakang
    • Amaran buka pintu
    • Kamera undur
    • Sensor parkir depan dan belakang
    • Proton X50 1.5TD Premium 2025
      Tambahan:

      Luaran

    • Landasan bumbung warna kelabu
    • Angkup brek merah
    • Rim 18-inci aloi dua-tona dengan tayar 215/55 R18
    • Dalaman

    • Kerusi pemandu larasan kuasa enam-arah
    • Balutan kulit buatan
    • Lampu ambient 72-warna dengan mode ritma
    • Enam pembesar suara
    • Pintu belakang kuasa elektrik
    • Keselamatan

    • AEB
    • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
    • Bantuan ke tengah lorong
    • Bantuan mengekalkan lorong
    • Pengesan papan tanda trafik
    • Lampu tinggi auto
    • Sistem peninjau tekanan tayar
    • Kamera 360-darjah dengan paparan telus
    • Proton X50 1.5TD Flagship 2025
      Tambahan:

      Luaran

    • Spoiler belakang dengan cetakan gentian karbon hiasan
    • Bumbung dan perumah cermin sisi hitam
    • Dalaman

    • Cermin pandang belakang anti-silau
    • Dalaman hitam dan merah dengan jahitan merah
    • Pelapik bumbung hitam
    • Visor matahari separa telus
    • Bumbung kaca panoramik dengan penghadang matahari kuasa elektrik
    • Pengecas tanpa wayar Qi (belah pemandu)
    • Keselamatan

    • Bantuan Parkir

    Proton X50 2025 Premium


    Proton X50 2025 Flagship


     
     
  • Super GT Malaysia 2025 tarik 75,977 pengunjung; kategori GT500 dimenangi Deloitte Tom’s GR Supra!

    Super GT Malaysia 2025 tarik 75,977 pengunjung; kategori GT500 dimenangi Deloitte Tom’s GR Supra!

    Siri perlumbaan GT terulung dari Jepun, iaitu Autobacs Super GT pusingan ketiga bagi musim 2025 sudahpun berlangsung dengan jayanya di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hujung minggu lalu. Nampaknya rakyat Malaysia betul-betul ‘lepas rindu’ terhadap perlumbaan yang menghilang di Sepang selama 12 tahun ini kerana menurut pemegang hak dan promoter untuk perlumbaan tersebut di Malaysia iaitu Haro Sports & Entertainment, acara yang berlangsung dari 27 hingga 28 Jun itu telah mencatatkan pengunjung seramai 75,977 orang!

    Perlumbaan bermula sengit seawal sesi kelayakan di mana kebanyakkan jentera GT500 terkini dapat memecahkan rekod lap terpantas yang dicatatkan jentera GT500 pada 2019 di litar berkenaan. Akhirnya kedudukan pole GT500 disahkan milik jentera WedsSport Advan GR Supra yang mencatatkan masa 1 minit 49.748 saat. Manakala untuk kategori GT300, petak pertama adalah milik UpGarage AMG GT3 yang mencatatkan masa 2 minit 2.110 saat.

    Perlumbaan utama bermula pada pukul 4 petang 28 Jun di mana kelompok jentera GT500 dilepaskan secara rolling start terlebih dahulu dan diikuti jentera-jentera kelas GT300 di belakang. Deloitte Tom’s GR Supra dipandu pasangan Ukyo Sasahara dan Giuliano Alesi yang hanya mencatatkan masa ke-4 terpantas ketika sesi kelayakan berjaya memenangi kelas GT500 selepas menukar strategi untuk melambatkan hentian pit, mengambil kesempatan berada di hadapan dengan trafik yang lebih baik.

    Super GT Malaysia 2025 tarik 75,977 pengunjung; kategori GT500 dimenangi Deloitte Tom’s GR Supra!

    Manakala jentera ARTA Mugen Civic Type R-GT yang dipandu pasangan Tomoki Nojiri dan Nobuharu Matsushita berjaya mengekalkan kedudukan di tempat kedua, iaitu kedudukan yang sama dicapai ketika sesi kelayakan. Tempat ketiga pula adalah milik Nissan Z Impul TRS.

    Untuk kategori GT300, jentera Green Brave GR Supra dipandu oleh pasangan Hiroki Yoshida dan Seita Nonaka yang memulakan perlumbaan dari petak kedua berjaya memintas UpGarage AMG GT3 dipandu Takashi Kobayashi bersama Yuto Nomura seawal selekoh pertama, lap pertama permulaan. GR Supra dalam spesifikasi GT300 MC dengan enjin V8 tersebut menguasai perlumbaan dengan meninggalkan pesaing lain jauh di belakang.

    Namun dengan hentian pit yang dibuat dalam masa yang agak lama berbanding pasukan lain, kedudukan Green Brave GR Supra berkenaan kembali jatuh ke tempat kedua, dipintas semula oleh UpGarage AMG GT3. Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlumbaan di mana Green Brave GR Supra hanya tertinggal 0.933 saat di belakang UpGarage AMG GT3. Manakala tempat ketiga digondol oleh satu lagi Mercedes AMG GT iaitu Goodsmile Hatsune Miku AMG.

    Perlumbaan kali ini juga menyaksikan dua pelumba negara iaitu Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva diberikan tiket wildcard untuk berlumba dalam kategori GT300. Untuk tahun hadapan Haro turut mengumumkan akan ada wakil dari Super GT Malaysia untuk berlumba dalam kategori GT500 pula.

    Selain dari perlumbaan Super GT, penonton turut disajikan dengan dua perlumbaan sokongan iaitu musim ke-8 pusingan kedua Vios Challenge Malaysia serta pusingan pertama untuk musim pertama GR86 Cup Malaysia.

    “Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat Malaysia dan antarabangsa atas sokongan padu mereka terhadap perlumbaan dan kami sudah mencari mula jalan untuk meningkatkan pengalaman ini untuk peminat pada 2026,” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.

    “Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada semua rakan kongsi, iaitu GTA, penaja dan agensi Kerajaan yang berkaitan atas sokongan mereka dan menyokong perlumbaan ini. Kalau bukan kerana pandemik global COVID-19, pusingan Malaysia akan diadakan lebih awal pada tahun 2020. Walaupun tertangguh selama lima tahun, semua pihak berkepentingan tetap komited dalam usaha ini dan ini adalah sesuatu yang kami berterima kasih kepada anda. Kami amat berterima kasih,” tambahnya.

    Selain dari perlumbaan, Super GT pusingan Malaysia ini juga menyajikan banyak aktiviti lain termasuk festival makanan dan kebudayaan Jepun Nihon Matsuri, pameran model-model JDM, jualan pelbagai cendera hati dan barangan serta konsert selepas perlumbaan GT Live!

    Cabutan bertuah untuk pembeli tiket yang menggunakan Mastercard turut dibuat semasa berlangsungnya konsert berkenaan, menyaksikan Cik Au Tzi Hua menjadi pemenang bertuah untuk membawa balik sebuah Toyota GR Supra. Menerusi perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini, Malaysia akan terus menganjurkan perlumbaan Autobacs Super GT pada tahun hadapan dan juga 2027.

     
     
  • Proton X50 2025 ditunjuk di Malaysia — gambar ‘live’ rekaan baru, dalaman serba-baru, enjin 4-silinder

    Proton X50 2025 ditunjuk di Malaysia — gambar ‘live’ rekaan baru, dalaman serba-baru, enjin 4-silinder

    Selepas diumumkan secara rasmi pagi tadi, Proton X50 facelift 2025 dengan pelbagai kemaskini penting kini membuat penampilan sulungnya di ruang awam di sebuah acara festival muzik yang berlangsung di Heritage Valley di Chow Kit petang ini. Yang sedang anda tatap ini ialah galeri penuh gambar “live” terawal kemunculan Proton X50 2025 secara umum di Malaysia.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Proton X50 2025 akan menggunakan unit enjin baru, i-GT 1.5 liter TD (turbo direct injection, bukan turbo diesel). Proton belum menyatakan dengan jelas perincian enjin yang digunakan tersebut, tetapi telah memaklumkan janaan outputnya — 181 PS dan 290 Nm tork. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 4 PS dan 35 Nm tork berbanding enjin lama.

    Dengan angka berkenaan tidak sukar untuk meneka selebihnya: ia janaan yang sama diberikan oleh enjin Geely Binyue L yang dijual di China. Jika betul, ini bermakna X50 kini menggunakan enjin empat-silinder yang sama, dan bermaksud enjin tiga-silinder terdahulu akan digugurkan. Bagaimanapun, X50 2025 masih akan diganding dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dengan pacuan roda depan.

    Proton X50 2025 ditunjuk di Malaysia — gambar ‘live’ rekaan baru, dalaman serba-baru, enjin 4-silinder

    Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Proton mendakwa penggunaan bahan apinya 4.7% lebih jimat. Setakat ini, tidak dinyatakan versi janaan lebih rendah untuk menggantikan unit port-injected PFI tiga-silinder, yang digunakan untuk varian lebih rendah sebelum ini — jika ada.

    Bukan hanya enjin yang dipinjam daripada Binyue L, sebaliknya keseluruhan gaya luaran juga nampak seperti mengikut jejak yang sama. Proton menerima penampilan rekaan terkini bagi model berkenaan, yang diperkenalkan di China pada November 2024.

    Wajah depannya hadir dengan rekaan baru, dengan lampu utama LED reflektor (tiada lagi jenis projektor, tetapi kali ini datang dengan DRL tiga jalur sama seperti S70), gril bahagian bawah yang besar dengan kemasan bucu bentuk L, serta bahagian fender yang baru untuk menempatkan lanjutan tiang A krom ala S70. Gril juga baru dan khusus untuk model Proton, dengan kembalinya jalur merah “busur panah”. Bonet juga turut diberikan rekaan baru, dengan bukaan udara hiasan.

    Proton X50 2025 ditunjuk di Malaysia — gambar ‘live’ rekaan baru, dalaman serba-baru, enjin 4-silinder

    Bahagian belakang juga diberikan banyak sentuhan semula, dengan rekaan lampu belakang berkelebaran penuh serta pintu baru dengan kedudukan nombor plat yang lebih ke bawah. Bampar diberikan kemasan sudut bentuk L, dengan mengekalkan diffuser besar serta hadir dengan empat muncung ekzos.

    Yang terakhir, model varian Flagship datang dengan spoiler belakang baru; lebih besar dan ketara terlihat. Ia juga menggunakan rim 18-inci rekaan baru dua-tona dengan permukaan berpetak, dengan tayar Continental UltraContact UC6 yang sama seperti sebelum ini.

    Perubahan lebih besar pula ada di dalam — rekaan papan pemuka yang khusus untuk Proton, dan tidak dikongsi dengan model Geely yang lain. Ia juga kekal dengan dua tona warna hitam-merah. Seluruh rekaan papan pemuka mungkin dilakukan sendiri oleh Proton, dengan bahagian konsol tengah terapung yang menempatkan pengecas tanpa wayar Qi, dua ruang untuk cawan, serta barisan butang untuk hidupkan/matikan pendingin, kawalan pendingin automatik, penyah-kabus cermin depan dan lampu kecemasan.

    Kawalan pendingin lainnya pula telah dialihkan ke dalam skrin sentuh infotainmen bersaiz 14.6-inci. Antaramukanya pula kelihatan sama dengan sistem Flyme Auto pada eMas 7, tetapi kini hadir dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suara dalam Bahasa Melayu. Aplikasi mudah alih Proton Link 2.0 juga tersedia, dengan fungsi seperti kebiasaannya.

    Selain itu, paparan instrumen nampak lebih besar daripada model sedia ada yang menggunakan unit bersaiz tujuh-inci, sementara tuil pemilih gear dialih ke bahagian kolum stereng. Roda stereng tiga jejarinya bagaimanapun sama seperti model yang lama. Ciri baru lain termasuk sistem lampu ambient dengan 72-warna yang antaranya boleh dilihat di bahagian pemegang pintu dan jalur corak depan penumpang depan.

    Selebihnya, kabin X50 2025 terlihat sama seperti model lama, termasuklah kerusi yang dibalut kulit buatan warna hitam-merah, dengan larasan elektrik untuk pemandu. Varian Flagship juga akan dilengkapi dengan bumbung kaca panoramik.

    Sistem bantuan pemandu pula datang dengan kamera yang dipertingkat serta sensor radar di belakang. Ia bertujuan memberikan bantuan pemanduan autonomous Tahap 2, mungkin dengan peninjau titik buta. Fungsi Park Assist juga diperkemas, sementara sistem kamera 360-darjah menerima fungsi pandangan telus. Belum diketahui sama ada fungsi ADAS ini hanya akan ditawarkan untuk varian Flagship atau untuk semua.

    Proton X50 facelift 2025 akan ditawarkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship (tiada lagi varian Standard), dan didatangkan dalam lima pilihan warna — Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan warna baru Teal Bayou Blue seperti S70, menggantikan warna Ocean Blue. Pendaftaran minat kini dibuka di laman rasmi Proton.

    Jadi, apa pandangan anda selepas melihat gambar-gambar sebenar Proton X50 2025 ini? Lebih menarik daripada model lama?

     
     
  • Honda CBR150R Edisi Khas CyberRoar diperkenalkan – hanya 250 unit berserta set hadiah, RM14,399

    Honda CBR150R Edisi Khas CyberRoar diperkenalkan – hanya 250 unit berserta set hadiah, RM14,399

    Boon Siew Honda Sdn Bhd secara rasmi memperkenalkan Honda CBR150R Edisi Khas, yang menampilkan warna eksklusif dinamakan sebagai CyberRoar, gabungan warna magenta terang bersama jalur oren yang menyerlah, bermula dari bahagian hadapan hingga ke sisi bawah dan bahagian belakang motosikal.

    Menjadi tarikan adalah grafik kepala harimau dalam posisi mengaum dipaparkan jelas pada kedua-dua sisi motosikal, menyerlahkan lagi imej agresif dan berani yang ditampilkan. Setiap pembelian Honda CBR150R Edisi Khas ini disertakan set hadiah istimewa yang termasuk kamera panoramik sport, interkom dan beg dengan LED reflektif.

    Honda hanya akan mengeluarkan 250 unit model edisi khas ini, menjadikannya antara model paling terhad dalam barisan CBR150R. Ia ditawarkan pada harga RM14,399.00 tidak termasuk insurans.

    Pengenalan model edisi khas ini menjadi tambahan kepada versi standard yang disediakan dalam pilihan dua warna iaitu Tricolor dan perak. Harganya adalah RM1,000 lebih murah, pada RM13,399 tidak termasuk insurans.

    Honda CBR150R dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 137 kg.

     
     
  • JPJ lanjutkan kompaun khas kadar rata RM150 hingga 31 Dis 2025 – disenaraihitamkan jika tak bayar saman

    JPJ lanjutkan kompaun khas kadar rata RM150 hingga 31 Dis 2025 – disenaraihitamkan jika tak bayar saman

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan tawaran bayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang sepatutnya berakhir semalam (30 Jun), akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.

    Seperti sebelum ini, kadar kompaun khas ini adalah untuk tiga kesalahan yang melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115), kedua-duanya untuk tahun 2024 dan sebelumnya.

    Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata sehingga 30 Jun 2025, hanya 442,870 saman yang telah diselesaikan menerusi tawaran yang diperkenalkan sejak 2 Januari lalu. Manakala terdapat 2,025,322 saman yang belum dijelaskan.

    Mengikut pecahan jumlah saman terbabit, sebanyak 412,256 saman AWAS telah diselesaikan, manakala 1,542,135 saman di bawah kategori yang sama masih tertunggak. Bagi Notis 114 pula, hanya 24,709 saman yang telah dilunaskan dan 311,866 saman lagi masih tertunggak. Untuk Notis 115, 5,905 saman telah dibayar dan 171,321 saman masih belum dijelaskan.

    “Orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang lanjutan tawaran ini dengan menyelesaikan saman tertunggak sebelum tempoh tawaran berakhir pada 31 Disember 2025.

    “Kegagalan menyelesaikan mana-mana saman yang boleh dikompaun sama ada yang tertunggak atau telah melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam oleh JPJ secara automatik oleh sistem bermula 1 Julai 2025,” kata Aedy menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pembayaran kompaun ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ. Walau bagaimana pun, urusan pembayaran kompaun ini tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

     
     
  • Honda HR-V facelift 2025 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi, tempahan kini dibuka, NA, Turbo dan e:HEV

    Honda HR-V facelift 2025 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi, tempahan kini dibuka, NA, Turbo dan e:HEV

    Tak tahu sama ada ini kebetulan atau dirancang – selepas Proton mendedahkan rupa dan membuka tempahan bagi SUV segmen-B Proton X50 facelift pagi tadi, petang ini Honda Malaysia pula mengumumkan bahawa versi facelift untuk SUV segmen-B jenama Jepun itu iaitu Honda HR-V facelift 2025 turut sudah boleh di tempah bermula hari ini.

    Menerusi imej yang didedahkan oleh Honda Malaysia, HR-V facelift 2025 pasaran tempatan ini menampilkan rupa yang sama diterima oleh pasaran Thailand di mana versi tersebut telahpun dilancarkan di sana pada November tahun lalu.

    Jika anda perhati dengan teliti, model kemaskini ini menampilkan bentuk gril yang sedikit berbeza dengan bahagian bawahnya lebih lebar, walaupun sekali imbas ia masih nampak sama seperti versi sebelumnya. Kedua-dua lampu hadapan juga kini dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar perak pada bahagian atas gril.

    Manakala di belakang, grafik LED pada lampu turut dikemaskini yang kini menampilkan lebih elemen jalur melintang, bersama lensa yang digelapkan.

    Honda Malaysia hanya mendedahkan rupa versi paling sporty iaitu RS e:HEV yang diberikan gril hadapan dengan elemen seperti Honda WR-V pasaran Jepun (dikenali sebagai Elevate di India), kemudian diberikan spoiler bawah bampar hadapan dan kemasan bawah bampar belakang dalam kemasan hitam berkilat.

    Perubahan kecil turut dibuat pada sebelah dalam, juga jika kita tidak akan perasan sekiranya melihatnya sekali imbas. Perubahan tersebut adalah pada bahagian konsol tengah di mana ia kini tidak menampilkan rekaan yang fokus kepada pemandu.

    Honda HR-V facelift 2025 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi, tempahan kini dibuka, NA, Turbo dan e:HEV

    Honda Malaysia mengesahkan bahawa HR-V facelift ini menerima skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen yang dipertingkat, kini diberikan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Varian RS e:HEV pasaran Malaysia ini turut masih diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, yang merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.

    Varian lain yang dijana oleh enjin 1.5 liter NA dan 1.5 liter VTEC Turbo masih ditawarkan. Bagi varian NA, ia masih diberikan enjin L15B DOHC i-VTEC empat-silinder sebaris yang sama seperti Honda City, menghasilkan kuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm.

    Manakala bagi varian dengan enjin petrol penuh yang lebih berkuasa, ia digerakkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder sebanris yang menghasilkan 181 PS dam tork maksima 240 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,500 rpm. Kedua-dua unit rangkaian kuasa ini hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing masih dikekalkan, dan dikemaskini dengan penambahan lampu pemanduan adaptif dan juga lampu membelok aktif. Model facelift ini juga akan diperkenalkan dalam warna badan Phoenix Orange Pearl dan juga Crystal Black Pearl.

    Masih belum ada sebarang petunjuk berkenaan harga didedahkan oleh Honda Malaysia. Namun syarikat itu ada mendedahkan bahawa Honda HR-V facelift 2025 ini akan dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga tahun ini.

     
     
  • Mercedes-Benz EQV facelift 2025 dilancarkan di Malaysia esok – Avantgarde Line, 2 skrin 12.3-inci?

    Mercedes-Benz EQV facelift 2025 dilancarkan di Malaysia esok – Avantgarde Line, 2 skrin 12.3-inci?

    Hap Seng Star telah pun menyiarkan poster di atas ini menerusi laman Facebook rasminya, mengumumkan bahawa Mercedes-Benz EQV facelift 2025 akan dilancarkan di Malaysia esok. Pertama kali di Malaysia, van elektrik ini akan dilancarkan rasmi di sini oleh pengedar kenderaan komersil Mercedes-Benz, Hap Seng Trucks Distribution.

    Tiga tahun yang lalu, EQV 300 telah dibawa masuk oleh Weststar dan versi pre-facelift itu dijual pada harga RM485k. Kali ini, kita mendapat versi facelift, yang telah didedahkan di peringkat global pada tahun 2023. Walau bagaimana pun, ia masih berasaskan platform W447 generasi ketiga.

    EQV hanya ditawarkan dengan kemasan Avantgarde. Mungkin pasaran kita akan menerima beberapa ciri yang dipaparkan seperti dalam foto tersebut termasuklah pencahayaan LED, perkataan Mercedes-Benz pada bahagian bawah tingkap belakang dan di dalamnya juga diberikan corong udara baharu, switchgear baharu dan juga dua skrin 12.3-inci (dijanakan oleh sistem MBUX terkini) yang disambungkan antara satu sama lain.

    Jika kita mendapat EQV 300, ia dijangkakan dipadankan dengan motor elektrik yang dipasang hadapan dengan kuasa 204 PS/362 Nm, bateri 90-kWh, jarak gerak 340 km, status pengecasan antara 10-80% dalam 45 minit dengan pengecas DC 110 kW dan 10 jam jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW. Selain itu, ia juga dilengkapi tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3, sama seperti EQV 300 yang dijual oleh Weststar.

    Perincian penuh dan harga untuk van elektrik ini akan diketahui sewaktu dilancarkan esok. Sebagai perbandingan, Vito Tourer janaan petrol kini berharga RM435k, meningkat dari RM342k-RM360k ketika ia dilancarkan pada 2021. Malah ada Edisi Khas seperti Maybach yang berharga RM380k.

     
     
  • Enjin hibrid Nissan e-Power generasi baru tampil pada Qashqai – jarak gerak WLTP sehingga 1,200 km

    Enjin hibrid Nissan e-Power generasi baru tampil pada Qashqai – jarak gerak WLTP sehingga 1,200 km

    Selepas agak lama tidak mempunyai pelancaran model baru, Nissan kini kembali bangkit dengan memperkenalkan enjin hibrid e-Power generasi ketiga menerusi model SUV segmen-C, Nissan Qashqai yang kini dilancarkan di pasaran Eropah.

    Meskipun reka bentuk luaran kelihatan hampir sama dengan versi facelift sebelumnya, model ini membawa perubahan besar di bawah hud. Sistem e-Power generasi baru ini menjanjikan prestasi lebih senyap, lebih berkuasa dan mampu mencapai jarak sejauh 1,200 km untuk satu tangki petrol berdasarkan kitaran WLTP.

    Nissan menggunakan enjin tiga silinder turbo 1.5 liter yang dibangunkan khas untuk e-Power. Enjin ini tidak bersambung langsung dengan roda, sebaliknya berfungsi semata-mata untuk menjana kuasa elektrik kepada motor. Ia kini menggunakan teknologi pembakaran baru yang dipanggil StarC, yang memperbaiki reka bentuk salur udara masuk, kebuk pembakaran dan piston bagi memastikan pembakaran stabil dan efisien.

    Enjin hibrid Nissan e-Power generasi baru tampil pada Qashqai – jarak gerak WLTP sehingga 1,200 km

    Hasilnya, kecekapan suhu meningkat kepada 42% – satu angka yang sangat tinggi untuk enjin pembakaran dalaman. Selain itu, penggunaan turbo bersaiz lebih besar juga berjaya menurunkan kelajuan enjin sebanyak 200 rpm semasa pemanduan di lebuh raya, sekaligus mengurangkan bunyi kabin sehingga 5.6 dB.

    Nissan juga tidak lagi menggunakan teknologi mampatan boleh ubah (VC-Turbo). Enjin ini menggunakan minyak pelincir gred rendah 0W-16 untuk mengurangkan geseran dan selang servis dipanjangkan kepada setiap 20,000 km (bertambah 5,000 km berbanding sebelum ini).

    Motor elektrik baru kini dibina dalam konfigurasi modular 5-dalam-1 yang menggabungkan motor, penjana, inverter, pengurang dan penambah daya. Gabungan ini mengurangkan bunyi dan getaran ketika memecut, terutama apabila dipadankan dengan penebat bunyi tambahan dan talaan enjin yang diperbaharui. Kuasa turut meningkat sebanyak 15 PS, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 205 PS (14 PS daripadanya apabila menggunakan mod Sport).

    Meskipun bateri masih kekal pada kapasiti 2.1 kWh, peningkatan sistem ini menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api sebanyak 16% dalam pemanduan biasa dan 14% di lebuh raya. Qashqai e-Power kini mencatatkan bacaan rasmi serendah 4.5 liter bagi setiap 100 km dan menghasilkan hanya 102 g/km karbon dioksida – pengurangan 12% berbanding versi sebelumnya.

    Nissan menyatakan bahawa jarak yang lebih jauh ini menjadikan Qashqai e-Power lebih praktikal berbanding banyak model plug-in hybrid lain kerana tidak perlu berhenti untuk mengecas. Ia sesuai bagi pemandu yang belum bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada EV tetapi masih mahu menikmati tork segera dan pemanduan yang senyap.

    Selain pakej kuasa baru, Qashqai 2025 turut dilengkapi sistem infotainmen Google binaan dalam, termasuk Google Maps, Google Assistant dan Play Store. Sistem pemanduan autonomous Level 2 ProPilot juga ditambah baik dengan keupayaan autonomous lorong berbilang dan pemantauan trafik lebih cekap.

     
     
  • MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas EV di tempat letak kereta awam, kawasan strategik menjelang 2030

    MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas EV di tempat letak kereta awam, kawasan strategik menjelang 2030

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meletakkan sasaran memasang 1,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) secara berfasa di lokasi strategik dan ruang letak kereta awam di sekitar Petaling Jaya, dengan perjanjian persefahaman dimeterai antara MBPJ bersama dua rakan strategik, EV Connection (EVC) dan Carput Zap Network pada 26 Jun lalu.

    Dalam laporan Sinar Harian, MBPJ menyatakan fasa pertama pelaksanaan akan menyaksikan pemasangan 500 unit pengecas EV yang akan dikendalikan oleh EVC dan Carput Zap Network. Selain itu, kedua-dua syarikat tersebut turut diberi mandat untuk membangunkan sekurang-kurangnya 100 lokasi pengecasan menjelang tahun 2030 dengan antara lokasi berpotensi yang dikenal pasti adalah seperti bangunan kerajaan, kompleks sukan, tempat letak kereta awam serta kawasan-kawasan lain di sekitar Petaling Jaya.

    “Dua rakan strategik ini komited menyokong misi MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya yang lestari dan berdaya tahan. Teknologi pengecas yang akan digunakan adalah moden, selamat, mesra pengguna dan cekap – selaras dengan pertambahan jumlah pemilik EV di Lembah Klang,” kata datuk bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.

    Menurut beliau, projek ini adalah sebahagian daripada usaha MBPJ menyokong aspirasi negara dalam memperluas penggunaan mobiliti rendah karbon serta mempercepatkan transformasi hijau. “Kami berharap inisiatif ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Petaling Jaya sebagai peneraju mobiliti hijau, sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan,” tambah Zahri.

    Terdahulu, pada April lalu, Petaling Jaya menyaksikan pelancaran pengecas EV awam di Plaza 33 oleh Schneider Electric Malaysia. Ia menawarkan satu pengecas pantas DC 180 kW dan dua pengecas AC 22 kW, dengan kadar caj RM1.60 per kWh bagi DC dan RM1.00 per kWh untuk AC.

    MBPJ dijangka terus memperluas rangkaian kemudahan ini sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang ke arah bandar pintar dan rendah karbon.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 2-6 Julai sempena Terengganu Bike Week di Dataran Shah Bandar, KT

    Polis beri 50% diskaun saman pada 2-6 Julai sempena Terengganu Bike Week di Dataran Shah Bandar, KT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 2 hingga 6 Julai ini. Ia adalah sempena dengan penganjuran Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang dibuka di lokasi acara iaitu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Kuala Terengganu atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Denza Malaysia ubah tempoh jadual selenggara D9 — servis pertama kini pada 20,000 km/12-bulan

    Denza Malaysia ubah tempoh jadual selenggara D9 — servis pertama kini pada 20,000 km/12-bulan

    Denza Malaysia telah umumkan perubahan bagi selang tempoh penyelenggaraan berjadual bagi model MPV D9 yang dijual jenama itu di sini.

    Perubahan berkenaan melibatkan penyelenggaraan berjadual yang pertama, yang mana sebelum ini dilakukan pada 5,000 km atau tiga bulan (yang mana dahulu). Bermula 1 Julai 2025, selang tempoh bagi servis pertama berkenaan telah dinaikkan kepada 20,000 km atau 12 bulan/setahun.

    “Perubahan ini mencerminkan keyakinan tinggi Denza terhadap ketahanan dan keupayaan kenderaan keluarannya, hasil daripada kejuruteraan serta pengeluaran termaju yang digunakan,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

    “Lanjutan tempoh bagi servis berjadual pertama ini adalah bukti kepada kualiti dan ketahanan yang dibawakan oleh setiap kenderaan Denza,” ujar Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.

    “Kami sangat berbangga dengan kecemerlangan kejuruteraan kami, yang membolehkan kami menawarkan ini dengan yakin kepada semua pelanggan. Langkah ini juga tidak hanya menegaskan lagi kesungguhan kami untuk membawakan pengalaman pemilikan premium, tetapi juga mencerminkan kepercayaan kami terhadap ketahanan jangka panjang produk-produk kami,” tambah beliau.

     
     
  • Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP

    Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP

    Penguatkuasaan sepenuhnya untuk Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan warga Singapura yang memasuki Malaysia adalah bermula hari ini. Namun difahamkan sebanyak 42,416 kenderaan persendirian individu (17% daripada 248,504 tag VEP yang telah dikeluarkan) masih belum mengaktifkan tag RFID VEP setakat 29 Jun, laporan Bernama.

    “Sebanyak 206,088 atau 83% tag bagi kenderaan persendirian individu telah diaktifkan, manakala semua (3,765) tag bagi kenderaan persendirian syarikat telah diaktifkan sepenuhnya. Jumlah keseluruhan permohonan (pra-pendaftaran) bagi kenderaan persendirian syarikat setakat 29 Jun adalah sebanyak 19,690,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Kenderaan dari Singapura yang tidak mengaktifkan VEP akan dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM300 selaras dengan Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak akan dibenarkan keluar dari Malaysia sehingga kompaun dibayar dan VEP diaktifkan.

    Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP

    “Seramai 55 anggota JPJ telah ditugaskan dalam operasi tersebut (untuk hari pertama pelaksanaannya), dengan penguatkuasaan tertumpu kepada kenderaan asing yang masih belum berdaftar dengan VEP. Buat masa ini, saman-saman lain seperti saman JPJ atau polis yang tertunggak masih dikecualikan. JPJ juga telah menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan bagi memudahkan pemilik kenderaan menyelesaikan kompaun serta mengaktifkan tag mereka dengan segera.

    “Buat masa ini, penguatkuasaan dijalankan secara berkala di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan kenderaan asing di Johor, namun akan diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa akan datang. Kita mengalu-alukan kehadiran rakyat Singapura ke negara ini. Secara amnya, mereka mematuhi peraturan, namun masih ada segelintir yang belum mendaftar dan mengaktifkan VEP,” kata Aedy.

    Beliau turut berkata, pusat VEP di Danga Bay dibuka 24 jam bagi kemudahan pemandu dari Singapura.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025