Model paling kecil dalam barisan model Chery Tiggo di Malaysia iaitu Tiggo Cross telah pun didedahkan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu. Dan sebelum ia dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, Chery Malaysia sekali lagi menunjukkan SUV ini kepada media – kali ini di luar dewan dan turut disertakan sekali dengan sesi pandu uji ringkas.
Model ini disahkan bakal ditawarkan pada pasaran tempatan dalam dua varian, di mana kedua-duanya diberikan unit rangkaian kuasa berbeza – varian asas digerakkan dengan enjin petrol penuh berkuasa turbo, manakala varia tertinggi menerima unit rangkaian kuasa terbaharu Chery Super Hybrid (CSH).
Bagi versi petrol penuh, Tiggo Cross menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.
Manakala untuk Tiggo Cross HEV, unit rangkaian kuasa CSH ini menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 102 PS dan tork makisma 125 Nm.
Bukan itu sahaja, enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear khas hibrid DHT150 yang menampilkan tukaran gear dengan mekanisma CVT serta dua buah motor elektrik yang membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km.
SUV ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Kalau ikut hierarki model-model Chery di Malaysia, Tiggo Cross ini merupakan ‘ayam tambatan’ untuk kelas segmen-A bagi berhadapan terus dengan model seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V kerana Chery Omoda 5 berada dalam kelas segmen-B.
Namun kalau di lihat semula, saiz Tiggo Cross ini sebenar lebih besar dari SUV segmen-A biasa dengan ukuran 253 mm lebih panjang dari Perodua Ativa, dan ia hampir kepada saiz segmen-B dengan jarak roda yang sama seperti Honda HR-V serta lebih jauh dari Proton X50. Malah Tiggo Cross ini juga lebih lebar dari kedua-dua SUV segmen-b tersebut di mana HR-V direka dengan lebar 1,790 mm dan Proton X50 pula adalah 1,800 mm.
Ini semestinya memberikan kelebihan dari segi saiz kabin – duduk di dalam SUV ini anda memang akan dapat rasa saiznya yang besar. Jika anda duduk di bahagian pemandu, boleh lihat Tiggo Cross ini diberikan konsol tengah yang cukup lebar dan besar, membolehkan ia memberikan ruang storan pada perehat tangan yang juga besar.
Tak cukup dengan itu bahagian bawah konsol tersebut juga ditambah lagi dengan satu lagi ruang storan besar, manakala di atasnya diberikan panel kawalan sistem pendingin hawa digital juga bersaiz besar. Juga tidak dilupakan, konsol ini juga menempatkan corong udara pendingin hawa untuk penumpang belakang, di mana perincian ini memang tidak terdapat pada SUV-SUV segmen-A yang lain.
Di belakang pula, ruang kabin yang besar ini memberikan keselesaan bukan sahaja pada lutut, malah pada ruang yang lebar pada tempat duduk itu sendiri. Anda boleh lihat tempat duduk belakang Tiggo Cross ini begitu lebar dan membolehkan satu perehat tangan bersama dua pemegang cawan diletakkan di tengah seperti kereta yang bertanding dalam kelas lebih besar.
Bukan ruang sahaja besar, kabin Tiggo Cross ini juga menampilkan perincian-perincian yang lebih baik dari pesaingnya yang lain. Papan pemukannya diberikan banyak material sentuhan lembut, konsol tengah menerima perapi piano black yang besar, dan panel-panel kemasan yang bukan sahaja nampak seperti aloi digilap, malah jika sentuh ia turut mempunyai tekstur pada garis-garis tersebut.
Ia juga diberikan upholsteri kulit sintetik pada tempat duduk. Perehat tangan tengah dan juga pemegang pintu turut dibalut dengan material sama, tetapi ia tidak terasa lembut. Kedua-dua varian menerima tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik enam-hala, namun hanya varian 1.5 Turbo diberikan larasan lumbar elektrik.
Selain itu kedua-dua varian ini berkongsi perincian yang sama termasuk skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen, kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, enam pembesar suara, roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, pengidup enjin jarak jauh, sistem start-stop 12V dan pengelap cermin automatik.
Pada bahagian dalaman perbezaan antara dua varian ini jelas boleh dilihat pada konsol gear dia mana bagi model hibrid ia tidak diberikan brek parkir elektrik seperti versi 1.5 Turbo. Tiggo Cross ini juga menampilkan ruang but yang agak besar berbanding pesaingnya, namun Chery belum memgumumkan kapasiti sebenar ruang berkenaan.
Pada sebelah luar kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menampilkan facelift terbaharu Tiggo Cross seperti yang telah dilancarkan di Thailand Mac lalu. Ia diberikan perincian yang hampir sama untuk kedua-dua varian iaitu diberikan lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, spoiler bumbung dan angkup brek yang diberikan kemasan merah.
Kedua-dua varian juga menerima rel bumbung, yang menurut Chery ia bukan perhiasan semata-mata kerana rel tersebut memang boleh menampung beban. Selain dari emblem, untuk mudah membezakan kedua-dua varian ini adalah set roda di mana varian petrol penuh menerima rim aloi 18-inci sementara varian HEV pula diberikan set rim 17-inci.
Untuk keselamatan, varian HEV mempunyai kelebihan dengan diberikan tujuh-beg udara berbanding hanya enam untuk varian petrol. Perincian asas keselamatan lain adalah sama termasuk bantuan mula mendaki, sistem pemantau angin tayar dan pengingat had laju.
Bagi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), kedua-dua varian diberikan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.
Namun untuk varian HEV ia menerima beberapa tambahan fungsi ADAS termasuk amaran buka pintu, amaran pelanggaran belakang, brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, cruise control bersepadu bersama kelajuan pintar kenderaan.
Memang kami diberikan peluang untuk memandu uji Chery Tiggo Cross ini ketika sesi yang dibuat tempoh hari. Namun malangnya peluang diberikan pada jarak perjalanan yang sangat singkat dan sibuk dengan trafik. Jadi tiada yang boleh kami ceritakan berkenaan pemanduan SUV ini.
Namun apa yang penulis perasan, kuasa tujahan yang diberikan pada model 1.5 Turbo boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya. Manakala bagi varian HEV, kuasa tujahannya jauh lebih baik dan hampir terasa seperti memandu sebuah EV sebenar, dan ia juga menampilkan aspek NVH yang juga lebih baik dalam pemanduan bandar.
Ketika didedahkan Mei lalu, Chery Malaysia sebenarnya sudahpun membuka tempahan bagi model ini.Menurut naib presiden jualan dan pemasaran Chery Malaysia Micheal Chew ketika itu, buat permulaan sebanyak 500 unit akan disediakan untuk pasaran Malaysia, dan pelanggan yang membuat tempahan dengan yuran RM500 akan dijamin menerima Tiggo Cross masing-masing pada bulan Ogos 2025.
Model ini akan terus dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) yang akan bermula awal bulan ini, manakala pelancarannya dijangka akan berlangsung pada pertengahan bulan ini. Harga sebenar Tiggo Cross ini belum diumumkan, tahun lalu Chew ada membayangkan bahawa model ini mungkin akan menjadi model paling mampu milik dalam barisan model Chery Malaysia, dengan harga jualan mungkin bermula di bawah RM100,000.
Sekiranya benar harga jangkaan tersebut, ini bermakna Chery Tiggo Cross ini akan dijual pada yang lebih murah dari Honda WR-V, tetapi menampilkan saiz lebih besar dan juga perincian yang lebih baik.
GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo pasaran Malaysia
GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 HEV pasaran Malaysia