Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, Omoda | Jaecoo Malaysia telah mengesahkan bahawa SUV tiga baris tempat duduk Jaecoo J8 bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada 18 Julai ini. Model ini telah beberapa kali ditayangkan kepada umum, dan kali terakhir adalah pada Mac lalu di mana spesifikasi untuk pasaran tempatan disahkan dan pendaftaran minat juga turut dibuka.

    Jaecoo J8 pasaran Malaysia ini bakal ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan varian 2WD lima tempat duduk dijual pada harga anggaran RM195,000, diikuti varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga anggaran RM220,000.

    Kedua-dua varian ini akan digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder turbo menghasilkan 249 PS dan tork maksima 385 Nm. Model pasaran Malaysia ini nampaknya menggunakan kotak gear automatik konvesional lapan-kelajuan (bukan DCT tujuh-kelajuan seperti yang disebut sebelum ini), bersama pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda bergantung pada varian.

    Padanan ini membolehkan varian AWD SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Atas kertas, J8 AWD ini didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api pada tahap 8.1 liter/100 km.

    Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    J8 merupakan SUV flagship yang lebih besar dari kebanyakkan SUV segmen-D. Ia dihasilkan dengan ukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Jadi model ini adalah 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-D Chery Tiggo 8 Pro.

    Dari segi rupa luaran J8 ini pula direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Ia agak berbeza dengan model-model Jaecoo lain seperti J8 yang banyak menerima inspirasi dari model-model Range Rover.

    Manakala pada bahagian dalaman, rekaan kabin J8 adalah seperti rekaan SUV-SUV dari Chery, di mana ia mengambil inspirasi yang banyak dari model-model Mercedes-Benz. Ia boleh dilihat menerusi rekaan konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear pada kolum stereng, corak pada upholsteri tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin, suis parasange tempat duduk, serta banyak lagi.

    Juga nampak seperti Mercedes-Benz adalah papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum di mana masing-masing bersaiz 12.3-inci, yang turut menampilkan kamera panaromik 540-darjah – kesemua perincian ini adalah standard untuk kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia.

    Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Selain dari perbezaan sistem penghantaran dan juga konfigurasi tempat duduk, Jaecoo telah mendedahkan beberapa perbezaan spesifikasi antara kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia ini. Bagi varian 2WD, ia diberikan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam-beg udara, lampu suasana kabin dan dan upholsteri kulit buatan. Dengan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, varian ini menyediakan ruang but berkapasiti 738 liter.

    Manakala J8 AWD pula diberikan kelengkapa lebih baik seperti sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara di mana dua lagi diletakkan dalam perehat kepala tempat duduk hadapan, 10-beg udara, pintu berkuasa, sistem pewangi automatik, sistem kunci pintar menggunakan NFC, dashcam bina-dalam, tempat duduk hadapan larasan elektrik, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi pengurut, tirai cermin tungkap belakang, upholsteri kulit sebenar serta kemasan-kemasan sued.

    Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, ruang but varian ini hanya menyediakan ruang berkapasiti 200 liter. Selain itu varian paling mewah ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.5, sistem parkir automatik, suspensi yang diberikan penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC), serta boleh mengharungi laluan air dengan kedalaman 450 mm.

    Untuk warna badan pula, varian 2WD ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Kesemua pilihan warna ini turut diberikan pada varian AWD, tetapi dengan tema dua tona di mana bumbungnya diberikan dalam kemasan hitam.

     
     
  • Proton eMas 2025 – harga kekal sebab tak nak terlibat dalam perang harga yang jejaskan pembeli awal

    Proton eMas 2025 – harga kekal sebab tak nak terlibat dalam perang harga yang jejaskan pembeli awal

    Semalam subdiari Proton untuk jenama EV iaitu Pro-Net telah pun melancarkan versi kemaskini untuk SUV EV eMas 7 yang menawarkan beberapa perincian dan kemasan tambahan, tetapi masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama seperti dilancarkan pada tahun lalu iaitu RM105,800 untuk varian Prime, dan RM119,800 untuk varian Premium.

    Jadi nampaknya Proton tidak menyertai ‘perang harga’ dari beberapa saingan terdekatnya yang kini menurunkan lebih banyak harga bagi menarik pelanggan baharu. Menurut CEO Pro-Net Zhang Qiang dalam ucapannya ketika majlis pelancaran model tersebut semalam, langkah ini diambil bagi memastikan pemilik-pemilik terawal eMas 7 tidak terjejas dengan harga jualan balik yang akan jatuh mendadak.

    “Ketika kami melancarkan kereta ini (eMas 7), kami menetapkan harga yang adil dan tepat untuk rakyat Malaysia. Mengurangkan harganya sekarang akan menurunkan nilai kereta itu. Ini tidak adil kepada pelanggan pertama kami, yang percaya kepada kami sejak dari awal. Ia juga boleh melemahkan kepercayaan pelanggan terhadap Proton eMas,” kata Zhang.

    “Dalam masa yang sama, kami tahu bahawa mengekalkan harga yang stabil juga akan melindungi keyakinan terhadap Proton eMas — untuk pelanggan kami, rakan kongsi kami dan semua orang yang telah melabur kepercayaan mereka dalam perjalanan ini. Itulah sebabnya, kami akan terus melindungi nilai kereta anda — kerana kepercayaan, nilai dan keyakinan lebih penting bagi kami daripada sekadar membuat jualan pantas. Kami berada di sini untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

    Walaupun Proton cuba mengelak, eMas 7 dilihat sebagai model yang memulakan perang harga tersebut dalam kelasnya. Sebelum adanya eMas 7, segmen ini dikuasai oleh BYD Atto 3 iaitu SUV EV segmen-C yang tiba ke pasaran Malaysia pada Disember 2022, dijual pada harga RM167,800 untuk varian Extended Range.

    Namun selepas eMas 7 diperkenalkan pada Disember 2024, Atto 3 datang dalam versi kemaskini iaitu Atto 3 Ultra yang dilancarkan ke pasaran tempatan pada April lalu dijual pada harga RM118,800 selepas rebat pelanggan terawal.

    Proton eMas 2025 – harga kekal sebab tak nak terlibat dalam perang harga yang jejaskan pembeli awal

    Satu lagi model dalam saingan segmen yang sama iaitu Chery Omoda E5 juga telah diturunkan harga lebih rendah tak lama selepas itu dengan potongan RM27,000, menjadikan harga jualan hanya RM119,818 untuk unit model 2024. Dan pada bulan Mei, Chery menurunkan lagi harga Omoda E5 sempena jualan penghabisan stok, di mana model tersebut diumum dijual pada harga hanya RM98,818. Omoda E5 ini masuk ke pasaran Malaysia pada Mac 2024, dijual pada harga asal RM146,800.

    Untuk eMas 7, harga jualan yang dinyatakan tersebut sebenarnya sudahpun termasuk diskaun RM4,000 – diskaun ini pada asalnya diberikan pada tiga ribu pelanggan terawal yang menempahnya, kemudian dilanjutkan sehingga 6,000 pelanggan terawal, dan sekarang ia sudah menjadi ‘diskaun kekal’ untuk semua pelanggan.

    Anda turut boleh mendapat diskaun tambahan RM5,000 menjadikan keseluruhan diskaun sebanyak RM9,000 diberikan menerusi pakej power exchange (ditawarkan untuk semua model Proton) sekiranya ada proses tukar beli dibuat.

     
     
  • Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Ketika pengenalan warna luaran dan dalaman baru bagi Proton eMas 7 semalam, Proton memaklumkan bahawa model eMas 5 akan dilancarkan tahun ini, dan akan bersaing dengan EV pertama Perodua, QV-E yang juga sedang dipersiapkan untuk pelancarannya, tahun ini. Menurut CEO Pro-Net, Zhang Qiang, kereta berkenaan akan lebih kecil, namun tetap menawarkan ruang, keselesaan serta ciri pintar yang setanding.

    Ini memang sudah diketahui, kerana Proton pernah mempamerkan eMas 5 dalam pelekat samaran di Malaysia Autoshow pada Mei lalu. Model kembar kepada Geely Xingyuan/Star Wish, rekaan hatchback-nya bersaing dengan model seperti BYD Dolphin.

    Juga sudah diketahui bahawa eMas 5 akan menjadi lebih mampu milik berbanding eMas 7. Memandangkan eMas 7 dijual sekitar RM100,000 untuk unit CBU-nya sebelum ini, dan kilang EV Tanjong Malim Proton akan siap hujung tahun ini untuk memasang eMas 7 terlebih dahulu, eMas 5 CBU akan bergantung kepada harga yang diluluskan oleh kerajaan.

    Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Seperti dilaporkan sebelum ini, eMas 5 dijangka akan berkongsi mekanikal yang sama dengan Star Wish, termasuklah motor elektrik yang menjana 79 PS/130 Nm atau 116 PS/150 Nm yang terletak di belakang, serta masing-masing dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWh (yang memberikan jarak 310 km CLTC) dan 40.16 kWh (dengan jarak 410 km). Proton mungkin akan menawarkan kapasiti yang lebih besar, mungkin dari eMas 7, untuk memberikan jarak yang lebih jauh yang sesuai dengan penggunaan di Malaysia.

    eMas 7 dan 5 akan jadi permulaan kepada penawaran model elektrikfikasi oleh Proton, yang bakal memperkenalkan tiga model baru dalam beberapa tahun ini. Bagaimanapun, tiada sebarang perincian yang didedahkan, namun kita tahu syarikat itu telah mempatenkan nama eMas PHEV. Ini bermakna Proton juga akan memperkenalkan Galaxy Starship 7 di sini.

    Model tersebut berkongsi struktur binaan serta bahagian dalaman yang sama dengan eMas 7, tetapi ditambah dengan sistem janaan kuasa plug-in hybrid EM-i Geely. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter NA empat-silinder dengan janaan 111 PS/136 Nm dan sebuah motor elektrik 218 PS/262 Nm yang disepadukan ke dalam transmisi hibrid khusus (E-DHT).

    Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 7.5 saat, dan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Aegis short blade berkapasiti paling besar 19.09 kWh, ia akan memberi jarak elektrik 120 km CLTC. Jarak gabungan keseluruhan yang boleh dicapai ialah 1,420 km.

    Satu lagi model yang berpotensi diperkenalkan di Malaysia ialah Galaxy A7, sebuah sedan segmen D yang “mampu milik”. Kereta ini menggunakan sistem EM-i AI Hybrid yang dipertingkat yang memberikan kecekapan thernal enjin sebanyak 47.26%, serta sistem tenaga dikuasakan AI untuk kadar penggunaan minyak serendah 2.67 liter per 100 km, jarak elektrik sejauh 150 km dan jarak gabungan keseluruhan 2,100 km. Geely menggelar kereta ini sebagai model global, yang menguatkan lagi kemungkinan untuk ia tiba di sini.

    Model ketiga pula masih samar-samar, dan perlu menunggu lagi untuk ia terungkai. Model Geely Galaxy mana yang ada kemungkinan itu? Mungkin saja, eMas 5 lah yang dimaksudkan sebagai model ketiga itu, yang bakal dilancarkan tahun ini.

     
     
  • JPJ akan senaraihitamkan pemandu warga asing yang tidak menyelesaikan saman AWAS bermula bulan ini

    JPJ akan senaraihitamkan pemandu warga asing yang tidak menyelesaikan saman AWAS bermula bulan ini

    Pemandu dari negara jiran yang gagal menyelesaikan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan disenaraihitamkan secara automatik oleh sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula bulan ini, menurut Ketua {Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Beliau berkata senarai hitam ini turut terpakai kepada kenderaan berdaftar di Singapura melalui data yang diperoleh daripada rekod Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), laporan The Star.

    “Kami akan menyenarai hitam kenderaan asing berdasarkan data VEP dan rekod kemasukan lain,” katanya sambil menambah pemandu yang dikenakan saman AWAS akan diberi tempoh kelonggaran selama 60 hari bermula 1 Julai untuk menyelesaikan bayaran saman tersebut.

    JPJ akan senaraihitamkan pemandu warga asing yang tidak menyelesaikan saman AWAS bermula bulan ini

    “Mereka yang gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan disenarai hitam secara automatik oleh sistem jabatan,” katanya.

    Pada 1 Julai lalu, JPJ mengumumkan tawaran bayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025. Ia adalah untuk tiga kesalahan yang melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115), kedua-duanya untuk tahun 2024 dan sebelumnya.

    Harap mereka yang mempunyai saman tertunggak ini, tak kiralah warga Malaysia mahu pun pemandu negara asing, sila ambil peluang ini untuk menyelesaikannya sementara tempoh lanjutan Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 diteruskan bagi mengelakkan nama anda disenaraihitamkan.

     
     
  • Mitsubishi Grandis 2025 diperkenal di Eropah – bukan lagi MPV, tapi SUV rebadge dari Renault Symbioz

    Mitsubishi Grandis 2025 diperkenal di Eropah – bukan lagi MPV, tapi SUV rebadge dari Renault Symbioz

    Mitsubishi memperluaskan lagi portfolio modelnya untuk pasaran Eropah dengan mengambil satu lagi model Renault, kali ini SUV segmen-C lima-tempat duduk Renault Symbioz dipilih untuk menghidupkan semula nama Grandis yang sebelum ini digunakan pada model MPV di mana penawarannya di benua tersebut telah berakhir 13 tahun lalu.

    Dengan platform CMF-B, Mitsubishi Grandis 2025 pasaran Eropah ini ditawarkan dalam unit rangkaian kuasa hibrid ringkas dan hibrid penuh. Untuk varian hibrid ringkas, ia menampilkan enjin 1.3 liter dengan sistem suntikan bahan api yang menghasilkan kuasa keseluruhan 140 PS, serta ditawarkan sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Manakala untuk pilihan hibrid penuh, ia dibekalkan dengan enjin petrol 1.8 liter NA berkuasa 109 PS yang digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 49 PS serta generator berkuasa 20 PS. Unit rangkaian kuasa ini juga menampilkan kotak kuasa elektronik dengan dua inverter dan penukar bina dalam.

    Mitsubishi Grandis 2025 diperkenal di Eropah – bukan lagi MPV, tapi SUV rebadge dari Renault Symbioz

    Kuasa elektrik bagi sistem hibrid ini disimpan dan dikeluarkan semula dari bateri litium-ion 1.4 kWj, manakala kuasa dipindahkan kepada roda menerusi kotak gear pelbagai mod pintar.

    Sistem ini menawarkan tiga mod pemanduan iaitu mode= EV yang membolehkan Grandis ini bergerak 100% dengan kuasa elektrik, mod Hybrid yang menggandingkan kuasa elektrik dan enjin pembaran dalaman dan mod Regenerative yang mengoptimakan sistem regenerative braking bagi mengecas semula bateri ketika nyah pecut.

    Selain itu ia turut menawarkan mod “E-Save” yang boleh diaktifkan oleh pemandu, di mana ia akan mengekalkan cas bateri pada kadar minima 40% yang boleh digunakan untuk pemanduan EV, atau bila bantuan kuasa tambahan diperlukan.

    Pada bahagian luaran, Grandis mengekalkan rekaan sisi dan juga lampu hadapan Symbioz. Pada bahagian muka, rekaan gril dan juga bampar dirombak dengan rekaan khusus Mitsubishi. Manakala lampu nyalaan siang berbentuk anak-panah di bawah lampu utama juga masih nampak sama, tetapi grafik nyalaan LEDnya direka berbeza.

    Manakala di belakang, perumah lampu pada pintu tailgate juga direka khas untuk Grandis dan berbeza dari Symbioz, bersama grafik LED juga menampilkan corak berbeza.

    Rekaan dalaman Grandis ini pula disadur terus dari Symbioz dengan hanya menukar logo Renault ke Mitsubishi pada roda stereng. Pada papan pemuka, ia diberikan skrin Smartphone-link Display Audio (SDA) bersaiz 10.4-inci yang diletakkan secara potret. Selain dari menyokong hubungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, skrin tersebut juga diberikan servis Google bina-dalam yang memberikan fungsi termasuk Google Assistant, Google Maps, Google Play dan banyak lagi.

    Mitsubishi Grandis 2025 diperkenal di Eropah – bukan lagi MPV, tapi SUV rebadge dari Renault Symbioz

    Skrin tersebut juga menyediakan empat mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu Perso, Eco, Comfort, dan Sport. Ia juga boleh menghubungkan aplikasi telefon pintar Mitsubishi Motors untuk fungsi seperti mencari lokasi di mana kenderaan diparkir, kunci digital, penghidup enjin jarak jauh dan pelbagai lagi.

    Grandis juga diberikan bumbung panaromik yang diberikan fungsi elektrokromik di mana pengguna boleh milih cermin yang telus cahaya sepenuhnya atau digelapkan untuk mengurangkan kemasukan cahaya dan haba. Fungsi ini juga turut boleh dibuat secara separuh cermin – contohnya telus cahaya pada bahagian hadapan dan gelap di belakang, atau sebaliknya.

    Manakala dari segi praktikaliti, tempat duduk baris kedua boleh digelangsarkan dalam jarak 160 mm. Ini membolehkan ruang kargo asal dengan kapasiti 434 liter meningkat kepada 566 liter jika tempat duduk tersebut digelangsarkan ke hadapan. Sekiranya tiada penumpang belakang, ia juga boleh dilipat terus untuk memberikan kapasiti kargo sehingga 1,455 liter.

    Mitsubishi Grandis 2025 diperkenal di Eropah – bukan lagi MPV, tapi SUV rebadge dari Renault Symbioz

    Pintu tailgate belakang juga menerima bantuan kuasa elektrik yang boleh dibuka sama ada menggunakan kawalan jauh atau fungsi bukaan tanpa sentuh menerusi penderia kaki yang berada di bawah bampar belakang.

    SUV ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif dengan stop & go, Mi-Pilot, lampu tinggi automatik, amaran titik buta, amaran jarak, pemantau perhatian pemandu, bantuan lorong kecemasan, bantuan kekal lorong, bantuan keluar selamat untuk penumpang, AEB belakang, amaran lintasan trafik belakang dan kamera undur.

    Mitsubishi Grandis 2025 pasaran Eropah ini akan diproduksi di kilang Renault di Valladolid, Sepanyol. Kilang berkenaan buat masa sekarang turut memproduksi satu lagi model rebadge Mitsubishi Eropah iaitu Mitsubishi ASX yang diasaskan dari Renault Captur, juga dihasilkan dari platform CMF-B Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

     
     
  • Larangan import dummy seatbelt buckle mulai 31 Dis

    Larangan import <em>dummy seatbelt buckle</em> mulai 31 Dis

    Selepas sekian lama dummy seatbelt buckle berada di pasaran secara terbuka, kini peranti keselamatan palsu tersebut akan dilarang dimport masuk ke Malaysia mulai 31 Disember 2025.

    Berita Harian melaporkan larangan itu dinyatakan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 2) 2025, menetapkan larangan mutlak ke atas pengimportan aksesori itu ke negara ini yang diumumkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan dan ia terpakai bagi semua negara asal tanpa pengecualian.

    Larangan pengimportan itu termasuk dummy buckle, penyah aktif penggera tali pinggang keledar, pemanjang klip tali pinggang keledar atau sebarang aksesori dan peranti lain serupa untuk dimasukkan ke dalam slot tali pinggang keledar. Semua aksesori berkenaan bertujuan menyah aktif atau memintas peringatan keselamatan dan menyebabkan mekanisme tali pinggang keledar tidak berfungsi.

    Larangan import <em>dummy seatbelt buckle</em> mulai 31 Dis

    Pada Februari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan kementeriannnya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengharamkan penjualan dummy buckle dalam pasaran kerana pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian.

    Ketika menjalankan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) tahun ini di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sekitar 30% dari 195 pesalah yang diberikan notis kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar telah menggunakan dummy buckle bagi memadamkan bunyi penggera berkenaan, dan jumlah tersebut agak membimbangkan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri DFL dan QM_T dibuka untuk bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Kelantan dan Sarawak yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFL sedang dibuka bidaan sejak semalam, 2 Julai 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 Julai 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QM_T, akan dibuka bidaan bermula 6 Julai 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 10 Julai, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 11 Julai 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Polis buru pemandu tiga kereta yang halang laluan di Lebuhraya PLUS berhampiran R&R Pedas-Linggi

    Polis buru pemandu tiga kereta yang halang laluan di Lebuhraya PLUS berhampiran R&R Pedas-Linggi

    Polis daerah Rembau memaklumkan bahawa pihaknya telah mengesan video yang tular di TikTok yang memaparkan tiga buah kenderaan yang menghalang laluan di Lebuhraya PLUS laluan Senawang-Ayer Keroh (arah selatan), berhampiran Hentian R&R Pedas-Linggi semalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani @ Hashim Hussain berkata berdasarkan video tersebut, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan, kerana memandu dengan cuai atau melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Selain itu, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan, kerana menghalang laluan orang awam. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana meletak atau mengendalikan kenderaan dengan cara yang menyusahkan pengguna jalan raya. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000, serta boleh digantung lesen memandu sehingga 12 bulan.

    @mizan_ioi penyagak kene kejar!! #pedaslinggi ♬ bunyi asal – ⚡ – ℤ️

    “Pihak polis memandang serius terhadap sebarang tindakan yang mengganggu atau mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, terutamanya di lebuhraya yang mempunyai aliran trafik berkelajuan tinggi. Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menyebabkan kemalangan maut.

    “Pihak Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah binti Ishak (Pegawai Penyiasat Jenayah ) di talian 010-5825384, Sarjan Siti Nur Balqes binti Abdul Rahim (Pegawai Penyiasat Trafik) 019-7992519 atau Bilik Gerakan IPD Rembau di talian 06-6851999,” kata Hasani.

    Macam-macam kes yang mendatangkan kegusaran di kalangan rakyat termasuklah kes tembak-menembak di tempat awam, ini pulak selamba halang laluan di lebuhraya, dah macam aksi dalam filem gengster pulak. Apa pun, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya dan harap tiada spekulasi ‘yang menggemparkan’ dari netizen.

     
     
  • Surau Madani di R&R Seremban selatan diisytihar surau R&R pertama lulus untuk solat Jumaat

    Surau Madani di R&R Seremban selatan diisytihar surau R&R pertama lulus untuk solat Jumaat

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melakar sejarah baharu apabila Surau Madani di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), di KM274.6 Lebuhraya Utara-Selatan, diisytiharkan sebagai surau R&R pertama di lebuhraya di Malaysia yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat.

    Pengisytiharan tersebut telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Haji Badaruddin, Mufti Negeri Sembilan, di Surau Madani, R&R Seremban Selatan hari ini. Solat Jumaat pertama yang bakal didirikan di surau tersebut ialah pada Jumaat ini, 4 Julai 2025.

    Penyediaan kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat ini merupakan usaha dan kolaborasi semua pihak daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua pihak berkepentingan yang telah terlibat dalam membantu penyediaan inisiatif ini.

    “Projek Surau Madani ini adalah salah satu usaha berterusan PLUS untuk menambah baik mutu perkhidmatan dan menyediakan kemudahan beribadah yang selesa dan tenang selaras dengan aspirasi PLUS dalam membina ekosistem lebuhraya yang mesra pengguna, lestari serta menyokong kesejahteraan komuniti setempat.

    Surau Madani di R&R Seremban selatan diisytihar surau R&R pertama lulus untuk solat Jumaat

    “Objektif utama inisiatif pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban. Ia juga dapat memudahkan pengguna lebuhraya yang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di surau R&R ini,”kata Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS.

    Surau Madani di R&R Seremban (Arah Selatan) ini mampu menampung sehingga 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa. Ia direka bentuk dengan menitikberatkan suasana yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, terutama bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas, bagi memastikan semua pengguna lebuhraya mendapat pengalaman beribadah yang lebih baik sepanjang perjalanan mereka.

    Sebagai persediaan untuk menunaikan solat Jumaat, surau ini telah menjalani proses naik taraf yang meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan). Jawatankuasa ini dianggotai oleh 93 pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R Seremban.

     
     
  • Warga Singapura gesa penambahbaikan pada sistem VEP-RFID – hadapi masalah pautkan dengan TnG

    Warga Singapura gesa penambahbaikan pada sistem VEP-RFID – hadapi masalah pautkan dengan TnG

    Penguatkuasaan sepenuhnya Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia bermula semalam, namun masih terdapat pemilik kenderaan yang menghadapi kesukaran memautkan tag RFID mereka kepada aplikasi Touch ‘n Go.

    Tinjauan Bernama di pusat VEP Danga Bay mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 8.30 pagi bagi tujuan pendaftaran, pemasangan tag RFID serta menyelesaikan masalah berkaitan aplikasi Touch ‘n Go. Seorang warga Singapura, Mohd Nagit Kassim, 60 berkata, proses pendaftaran secara umum mudah, namun beliau gagal mengemas kini maklumat dalam telefon bimbitnya.

    “Pada saya proses (pendaftaran) okey dan senang, cuma untuk kemas kini di telefon bimbit tidak boleh, jadi susah. Kami bimbang akan timbul isu semasa di sempadan. Saya dan isteri sudah cuba banyak kali, tapi tidak boleh, sebab itu saya ke sini kerana takut nanti kami akan dikompaun pula.”

    “Adalah lebih baik jika panduan itu dipaparkan di cermin atau dinding supaya pengguna boleh rujuk dengan mudah,”kata Nagit yang kerap ke Johor Bahru, hampir setiap minggu.

    Warga Singapura gesa penambahbaikan pada sistem VEP-RFID – hadapi masalah pautkan dengan TnG

    Masalah serupa turut dihadapi Sunny Koh, 56, seorang pekerja sektor swasta. Beliau memohon VEP pada November tahun lalu dan menyifatkan prosesnya pantas dan mudah, namun masih tidak dapat memautkan RFID dengan aplikasi Touch ‘n Go. “Saya datang ke sini dan berharap masalah dapat diselesaikan hari ini,” kata beliau.

    Sementara itu, Fauziah Alias, 59, seorang suri rumah, berkata beliau sudah lama mendaftar dengan JPJ, namun tag RFID gagal dipautkan kepada aplikasi berkenaan. “Saya sudah cuba menggunakan komputer riba tetapi masih tidak boleh akses. Saya datang dari lapan pagi dan terpaksa menunggu agak lama. Hampir setengah jam juga masa diambil bagi setiap orang (berurusan) di kaunter.”

    Menurut laporan Bernama, setakat 29 Jun lalu, sebanyak 42,416 (17%) daripada 248,504 tag RFID VEP yang dikeluarkan kepada kenderaan persendirian Singapura masih belum diaktifkan.

    Di bawah Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mana-mana kenderaan yang gagal mengaktifkan tag VEP akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 serta tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia sehingga kompaun dilunaskan dan tag VEP diaktifkan.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 diturunkan masing-masing 3 sen seliter

    Harga minyak 3-9 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 diturunkan masing-masing 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 3 hingga 9 Julai 2025, harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak tiga sen seliter iaitu kini RM3.18 seliter berbanding RM3.21 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga diturunkan sebanyak tiga sen seliter iaitu menjadi RM2.85 seliter berbanding RM2.88 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat

    Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

    Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

    Divisi EV untuk Proton iaitu Pro-Net hari ini memperkenalkan versi kemaskini untuk SUV EV eMas 7 hanya selepas sekitar 7 bulan dilancarkan dan lebih 4,000 unit telah dihantar kepada pelanggan. Menurut Proton, kemaskini terbaharu ini dibuat berdasarkan maklumbalas yang diterima dari pelanggan sedia ada.

    Model kemaskini ini ditawarkan dengan warna badan baharu iaitu Obsidien Black seperti yang sudah ditawarkan pada pasaran Nepal. Manakala untuk warna badan Quartz Rose dan juga Turquoise Green untuk varian Premium, ia kini ditawarkan dengan bahagian dalaman dengan warna Alabaster White. Walau bagaimanapun untuk kabin dengan warna putih ini, ia hanya ditawarkan sebanyak 250 unit untuk setiap warna badan.

    Bukan itu sahaja, eMas 7 2025 ini turut menampilkan beberapa kemaskini yang perisian termasuk untuk skrin pemain utama dan juga kemaskini Flyme Auto. Untuk kemaskini skrin pemain utama, ia kini datang dengan tiga aplikasi pihak ketiga tambahan iaitu izi Travel, Vivaldi Browser dan juga Zoom for Car.

    Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

    Manakala untuk Flyme Auto, kemaskini utama yang ditonjolkan adalah ia sudah boleh menyokong aplikasi Apple CarPlay sama ada menggunakan wayar atau tanpa wayar. Menurut Proton, untuk aplikasi Android Auto ia kini sedang diusahakan dan dijangka akan diperkenalkan pada suku keempat 2025.

    Satu lagi kemaskini penting untuk Flyme Auto adalah fungsi Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki (Low-Speed Pedestrian Warning), di mana bunyi ‘lagu lori aiskrim‘ sedia ada sudah boleh dimatikan, atau diganti dengan dua pilihan bunyi baharu iaitu Space Walk atau Galactic Note.

    Untuk pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada, fungsi-fungsi ini turut boleh dikemaskini menerusi OTA yang boleh dibuat pada 21 Julai 2025. Model kemaskini ini juga didatangkan standard dengan penutup ruang kargo belakang (tonneau cover), dan berita baik untuk pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada, aksesori yang berharga RM300 ini turut akan diberikan percuma kepada anda dalam masa terdekat.

    Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

    Dengan semua kemaskini ini, Proton eMas 7 masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama iaitu RM105,800 untuk varian Prime, dan RM119,800 untuk varian Premium. Pro-Net turut menawarkan pakej jualan Power Pack+ yang merangkumi pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, adaptor V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800, waranti tanpa had perbatuan selama 6 tahun untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun/160,000 km untuk bateri voltan tinggi serta rebat tukar-beli bernilai RM5,000.

    Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri LFP 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

    Varian Prime mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat manakala varian Premium sedikit lebih lambat dengan catatan 7.1 saat. Namun kedua-duanya boleh mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Kedua-duanya juga menyokong pengecas AC dengan kadar maksima 11 kW.

    Tetapi untuk pengecas pantas DC, varian Prime boleh menerima sehingga 80 kW dan Prime pula sehingga 100 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Jika menggunakan pengecas AC wallbox di rumah, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

    Untuk spesifikasi, varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

    Dalam majlis pelancaran model kemaskini ini, Pro-Net (yang juga pengedar EV jenama smart) turut mengumumkan bahawa ia telah memasang lebih 1,700 pengecas EV di Malaysia, atau mewakili 85% pengecas yang ada dalam negara. Jaringan pengecas ini boleh diakses menerusi sistem infotainmen eMas 7 dan model-model smart yang telah dilancarkan, dan anda bukan sahaja boleh menuju ke stesen pengecas berkenaan menggunakan navigasi bina-dalam, malah informasi seperti ketersediaan stesen serta harga untuk mengecas turut dipaparkan.

    GALERI: Proton eMas 7 2025 dengan warna badan Obsidien Black

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025 dengan warna dalaman Alabaster White

    GALERI: Slaid pelancaran Proton eMas 7 2025

    GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 7 2025

     
     
  • Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan

    Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan

    Pasukan Mitsubishi Ralliart telah mengesahkan penyertaannya dalam rali rentas negara Asia Cross Country Rally (AXCR) untuk edisi tahun ini yang akan bermula dan berakhir di Pattaya, Thailand dari 8 hingga 9 Ogos 2025.

    Tahun ini pasukan yang dikendalikan oleh Tant Sports Thailand dan diketuai oleh juara rali dakar dua kali Hiroshi Masuoka tersebut telah mengurangkan jumlah jentera pasukan dari empat kepada tiga, di mana pasangan Thailand iaitu Sakchai Hantrakul dan juruarah Jumpol Doungthip tidak lagi ditugaskan untuk memandu.

    Dua pasangan utama iaitu juara AXCR 2022 Chayapon Yotha bersama juruarah Peerapong Sombutwong, dan juga pemandu Ralliart yang berpengalaman lama (termasuk pernah memandu untuk pasukan Proton PERT) iaitu Katsuhiko Taguchi dan juruarahnya Takahiro Yasui ditugaskan untuk memandu dua buah Mitsubishi Triton utama yang dipertingkatkan berbanding jentera tahun lalu.

    Jentera tersebut telah didedahkan pada bulan Mac lalu. Ia masih dibina berdasarkan spesifikasi Group T1 FIA, tetapi kini diberikan pengubahsuaian yang lebih ekstrem berbanding Triton standard. Dari bahagian sisi boleh dilihat Triton Ralliart Group T1 2025 ini menampilkan bed belakang lebih pendek, menjadikan panjang keseluruhannya kini hanya 5,070 mm berbanding 5,320 mm asal.

    Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan

    Badannya juga kini lebih lebar iaitu 1,995 mm berbanding 1,865 mm pada versi standard bagi menampung trek roda yang kini semakin lebar mencecah 1,730 mm berbanding lebar asal hanya 1,570 mm. Suspensi asal belakang yang sebelum ini menggunakan spring dedaun telah diubah menggunakan sistem spring gegelung dengan empat sambungan, manakala di hadapan masih kekal menggunakan sistem double wishbone.

    Cusco membekalkan penyerap hentak berkembar boleh laras bersama spring untuk suspensi trak pikap rali ini. Semua pengubahsuaian casis yang dibuat ini adalah bagi mendapatkan cengkaman tayar dan kestabilan lebih baik.

    Untuk roda, ia diberikan set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17. Dan untuk menghentikan trak pikap ini, ia dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless.

    Bed belakang yang lebih pendek tersebut diperbuat dari material gentian karbon. Bukan itu sahaja, malah panel untuk bahagian penutup but enjin, fender hadapan serta pintu hadapan belakang turut diperbuat menggunakan material sama bagi mengurangkan beratnya. Kedudukan bahagian kemasukan unit snorkel pada fender hadapan sebelah kanan juga dilihat sudah sedikit berubah berbanding spesifikasi tahun lalu.

    Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan

    Triton T1 Ralliart ini masih lagi menggunakan enjin 4N16 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel asal, tetapi telah menerima talaan dan sentuhan khas oleh HKS, bersama sistem ekzos istimewa yang turut dihasilkan oleh penala dari Jepun itu. Kuasa yang dihasilkan adalah “217 PS atau lebih” bersama tork “500 Nm atau lebih”.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear perlumbaan sequential manual enam-kelajuan, yang digandingkan bersama sistem pacuan empat roda sepenuhnya masa, dengan LSD Cusco dipadankan pada gandar hadapan dan belakang.

    Manakala sebuah lagi Triton T1 dipandu oleh pasangan Kazuto Koide juruarah Eiji Chiba yang membuat penampilan sulung di AXCR tahun lalu. Koide merupakan staf berpengalaman Mitsubishi Motors yang telah menyertai syarikat itu sejak 1998 sebagai pemandu ujian, serta mempunyai pengalaman mengendalikan jentera-jentera lagenda Mitsubishi termasuk Pajero dan Lancer Evolution. Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih pemanduan untuk tenaga kerja Mitsubishi, dan terlibat dalam acara demonstrasi pemanduan yang dibuat oleh jenama itu di Jepun dan luar negara.

    Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan

    Jadi Triton T1 yang dipandu oleh Koide tahun ini agak berbeza dengan unit yang dipandu oleh Chayapon dan Taguchi kerana ia masih menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan bersama sistem pacuan empat roda Super Select-II Triton. Ia masih lagi lebih pendek dari biasa, tetapi masih menampilkan lebar badan dan trek roda yang sama dengan Triton standard, serta pintu belakang standard yang masih diperbuat dari logam.

    Jun lalu pasukan Mitsubishi Ralliart telah melengkapkan ujian ketahanan beban penuh di litar off-road Khao Yai National Park Thailand bagi mensimulasikan keadaan ketika rali sebenar berlangsung kelak. Suspensi dan juga komponen casis lain turut ditala ketika ujian tersebut serta ketahanan badan dan enjin dipastikan cukup baik untuk menghadapi perlumbaan utama nanti.

    “Ini merupakan kali ketiga kami berlumba dengan Triton baharu,” kata Hiroshi Masuoka. “Ia telah menunjukkan potensinya yang besar dalam pelbagai situasi, termasuk prestasi pecutan pada kursus berkelajuan tinggi, pengendalian pada laluan teknikal dan prestasi off-road di permukaan jalan yang sangat lasak seperti lumpur dan lintasan sungai.”

    Mitsubishi Ralliart kembali ke AXCR 2025 dengan Triton T1 kotak gear manual dan automatik 6-kelajuan

    “Kali ini, selain meningkatkan tork enjin dan meningkatkan ketahanan, kami telah memperhalusi casis dan komponen lain untuk mencipta kereta yang mampu memenangi semuanya. Pasukan kami telah berkembang dalam pengalaman dan perpaduan, dan kami berada dalam keadaan terbaik untuk merebut kembali gelaran keseluruhan selepas tiga tahun. Jadi, sila nantikan – kami mengharapkan hasil yang hebat,” tambah Masuoka lagi.

    Bagi perlumbaan tahun ini sempena sambutan edisi kali ke-30, laluan AXCR sepatutnya akan melibatkan perjalanan dari Pattaya Thailand ke Phnom Penh di Kemboja. Namun disebabkan krisis ketenteraan di sempadan Thailand dan Kemboja belum berakhir, perlumbaan ini hanya dibuat di dalam kawasan Thailand. Walau bagaimanapun jarak pengembaraan dan perlumbaan masih dikekalkan mencecah 2,500 km, berbanding hanya 2,000 km pada 2024.

    Tahun lalu Chayapon Yotha hampir mengulangi kejayaannya menjadi juara pada 2022 selepas mendahului perlumbaan dengan kelebihan 20 minit di hadapan pada Leg 4, namun terpaksa menamatkan cabaran lebih awal selepas enjin Triton T1 yang dipandu tersebut gagal berfungsi 2 km sebelum garis penamat Leg 5.

     
     
  • Hyundai Tucson facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – tiga pilihan enjin, harga dari RM143,888 ke RM197,888

    Hyundai Tucson facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – tiga pilihan enjin, harga dari RM143,888 ke RM197,888

    Hyundai Motor Malaysia (HMM) secara rasmi melancarkan Hyundai Tucson versi facelift untuk pasaran tempatan, hanya seminggu selepas model ini dipertonton kepada umum. SUV generasi keempat ini diperkenalkan bersama dua lagi model iaitu Hyundai Santa Fe generasi kelima dan Hyundai Staria yang dikemas kini, dalam usaha syarikat itu untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia.

    Untuk pasaran Malaysia, Tucson facelift ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), namun unit awal yang dilancarkan merupakan model import sepenuhnya (CBU). Terdapat empat varian ditawarkan, melibatkan tiga pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin NA biasa, enjin pengecas turbo dan hibrid.

    Harga rasmi bagi Tucson facelift bermula daripada RM143,888 untuk varian Style 2.0 MPi, diikuti varian pertengahan, Tucson Prime dengan enjin 1.6T-GDi dijual pada harga RM164,888. Sementara itu, dua varian tertinggi ialah Tucson Prestige 1.6T-GDi AWD yang dijual pada RM186,888 dan Tucson Prestige 1.6T-GDi Hybrid pada harga RM197,888. Semua harga adalah tidak termasuk insurans.

    Hyundai turut menawarkan jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km untuk setiap pembelian dan untuk 100 pembeli pertama, pelanggan akan menerima lapan kali servis percuma. Model Style merupakan varian asas dengan enjin NA, diikuti oleh varian Prime sebagai pilihan pertengahan. Kedua-dua varian Prestige menawarkan spesifikasi tertinggi, dengan perbezaan dari segi sistem pacuan dan teknologi enjin.

    Dari aspek prestasi, enjin 2.0 liter NA MPi menghasilkan kuasa 156 PS dan tork 192 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Untuk varian turbo 1.6 liter T-GDi, enjin ini menghasilkan 180 PS dan 265 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Pilihan hibrid pula menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama motor elektrik, yang secara keseluruhannya menghasilkan 235 PS dan 367 Nm, dengan transmisi automatik enam kelajuan.

    Reka bentuk luaran Tucson facelift mengekalkan gaya tajam generasi keempat, namun dengan beberapa perubahan. Bampar depan direka semula menjadi lebih bersegi, bersama elemen kontras dan bahagian bawah yang lebih menonjol. Gril hadapan turut direka semula, manakala susunan lampu siang (DRL) kini berkurang daripada empat kepada tiga unit LED. Rim menerima rekaan baru dan di bahagian belakang, skid plate kini disepadukan dengan bampar dan lebih lebar, sekata dengan rekaan bahagian hadapan.

    Hyundai Tucson facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – tiga pilihan enjin, harga dari RM143,888 ke RM197,888

    Untuk pasaran Malaysia, Tucson ditawarkan dalam versi jarak roda panjang seperti model di Amerika Syarikat. Ia berukuran 4,630 mm panjang dan 1,865 mm lebar, menjadikannya 61 mm lebih pendek dan 1 mm lebih sempit daripada Honda CR-V. Namun begitu, jarak rodanya sepanjang 2,755 mm adalah 54 mm lebih panjang daripada model CR-V, memberikan ruang kabin yang lebih selesa. Ruang but pula berkapasiti 582 liter dan boleh ditingkatkan sehingga 1,903 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Bahagian dalaman Tucson menerima perubahan lebih ketara berbanding luaran. Reka bentuk papan pemuka kini tampil lebih moden dengan susun atur skrin berkembar secara mendatar, menggantikan rekaan ‘waterfall’ sebelum ini. Jalur corong pendingin hawa merentang sepenuhnya di hadapan, memberikan rasa lebih luas dan kemas.

    Stereng tiga cabang baru yang digunakan tidak lagi menampilkan logo Hyundai, mirip kepada reka bentuk yang digunakan dalam barisan model elektrik Ioniq. Selain itu, suis pemilih gear yang sebelum ini terletak di konsol tengah kini digantikan dengan tuil gear di tiang stereng, membolehkan ruang penyimpanan tambahan pada konsol tengah.

    Semua varian Tucson dilengkapi dengan sistem penyaman udara automatik dua zon bersaiz 6.6 inci, pintu but berkuasa, dua paparan digital 12.3 inci (satu untuk kluster instrumen dan satu lagi untuk sistem infotainmen skrin melengkung HD), serta pengecas telefon tanpa wayar.

    Varian Style merupakan satu-satunya model yang menggunakan tempat duduk fabrik, manakala varian lain hadir dengan balutan kulit. Varian Prestige turut dilengkapi dengan pedal penukar gear di stereng untuk pengalaman pemanduan yang lebih sporty.

    Dari segi keselamatan, kesemua varian dilengkapi dengan enam beg udara. Walaubagaimanapun, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) hanya ditawarkan pada varian Prime dan Prestige. Rujuk kepada senarai spesifikasi di atas untuk mengetahui apa lagi yang ditawarkan pada Tucson baru ini.

    GALERI: Hyundai Tucson 1.6T AWD Prestige

    GALERI: Hyundai Tucson 1.6T Hybrid Prestige HEV 2025

    GALERI: Gambar rasmi Hyundai Tucson facelift

     
     
  • Hyundai Staria facelift 2025 dilancar di M’sia — versi 7 dan 10-seater, 2.2D jana 177PS/431 Nm, dari RM180k

    Hyundai Staria <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — versi 7 dan 10-seater, 2.2D jana 177PS/431 Nm, dari RM180k

    Turut dilancarkan bersama Santa Fe 2025 dan Tucson facelift hari ini ialah model MPV Staria. MPV ini hanya diberikan sedikit kemaskini. Merupakan model CKD dari Kulim, Kedah, Staria 2025 ditawarkan dalam empat varian.

    Versi 10-tempat duduk ditawarkan dalam varian Style, Prime dan Prestige, yang menggantikan varian sebelum ini: Lite, Plus dan Max — dengan harga bermula dari RM179,888 untuk Style, RM196,888 untuk Prime dan RM209,888 untuk Prestige.

    Buat kali pertama sejak pengenalannya pada 2022, Staria kini kembali dengan versi tujuh-tempat duduk, dalam penawaran spesifikasi paling tinggi Prestige. Diklasifikasikan sebagai kenderaan persendirian, model ini tidak menikmati kelebihan cukai seperti versi 10-tempat duduknya, dan dijual dengan harga RM267,888.

    Hyundai Staria <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — versi 7 dan 10-seater, 2.2D jana 177PS/431 Nm, dari RM180k

    Sama seperti dua lagi model Hyundai yang dilancarkan hari ini, semua harga sudah termasuk jaminan lapan-tahun/160,000 km, jauh lebih panjang berbanding jaminan lima-tahun/300,000 km yang diberikan oleh pengedar sebelum ini, Sime Darby Motors (HSDM). Turut diberikan percuma ialah pemeriksaan 1,000 km serta tiga servis terawal.

    Staria 2025 hanya melibatkan sedikit kemaskini, antaranya melibatkan lencana aluminium baru jenama ini dan kunci berbentuk logo H, yang kedua-duanya diambil dari Ioniq 6. Selain itu, ia juga diberikan pengilap cermin automatik dan slot USB-C (namun slot yang disambung ke sistem infotainmen masih lagi USB-A), manakala pintu gelungsur berkuasa bebas kendalian tangan dengan berasaskan penderia kunci kini beroperasi lebih pantas.

    Model facelift ini juga menerima kemasan berwarna gangsa untuk lencana, sekeliling lampu hadapan, gril, spoiler depan, cermin sisi dan kemasan bampar belakang, walaupun selebihnya kelihatan hampir sama seperti model terdahulu. Di dalam, balutan kulit Nappa masih dikekalkan, dengan kemasan Alcantara pada panel pintu dan konsol tengah telah digugurkan (kemasan bumbung dalaman masih menggunakan material tersebut).

    Hyundai Staria <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — versi 7 dan 10-seater, 2.2D jana 177PS/431 Nm, dari RM180k

    Ciri kelengkapan standard yang ada termasuk lampu hadapan LED, lampu DRL jenis palang penuh lebar “unibrow”, lampu belakang LED jernih “Parametric Pixel”, rim aloi dua-tona 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pengudaraan, tempat duduk kapten barisan kedua Premium Relaxation berkuasa (larasan gelungsur manual) dengan fungsi pengudaraan, dan ottoman, balutan kulit Nappa, bumbung kaca berkembar, kawalan suhu dua zon (depan dan belakang), serta pintu belakang berkuasa bukaan bebas kendalian tangan.

    Dari segi teknologi, ia masih diberikan paparan instrumen digital 10.25-inci dan sistem infotainmen lapan-inci, bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem kamera 360-darjah.

    Varian tujuh-tempat duduk Prestige turut dilengkapi dengan pakej bantuan pemandu Hyundai SmartSense, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop/Go, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan di hadapan, pemantau tahap kepekaan pemandu, amaran buka pintu, dan lampu tinggi automatik.

    Enam beg udara masih diberikan sebagai standard, namun cagak ISOFIX masih hanya dipasang pada barisan kedua tempat duduk sahaja sahaja.

    Staria 2025 masih menggunakan enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork dari 1,500 hingga 2,500 rpm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Risalah rasmi Hyundai Staria 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025