Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    Puspakom telah mengeluarkan peringatan kepada syarikat filem penapis haba (tint) dan ejen kenderaan agar tidak mengelirukan orang awam dengan memberikan gambaran yang salah mengenai peranan syarikat itu dalam pemeriksaan kenderaan, khususnya berkaitan pematuhan cermin gelap.

    Ini susulan penyebaran kad jaminan oleh satu jenama filem penapis haba terkenal yang mendakwa produk mereka adalah “patuh JPJ” tetapi “tidak patuh Puspakom”.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, berkata kenyataan tersebut adalah mengelirukan dan tidak berasaskan fakta.

    “Tidak wujud istilah ‘pematuhan tint Puspakom’. Kami tidak menetapkan peraturan kami sendiri. Kami hanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan mengaplikasikannya secara seragam dalam semua pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    Beliau menambah bahawa Puspakom mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menggunakan nama syarikat itu untuk menunjukkan seolah-olah terdapat piawaian yang berbeza atau untuk menjustifikasikan kegagalan pemeriksaan akibat penggunaan produk yang tidak mematuhi peraturan.

    “Kami tidak akan bertolak ansur dengan penggunaan nama kami untuk mengelak tanggungjawab. Jika sesuatu kenderaan gagal dalam pemeriksaan, ia adalah kerana nilai gabungan Penembusan Cahaya Tampak (VLT) antara kaca kenderaan dan filem penapis tidak memenuhi keperluan JPJ,” kata Mahmood.

    Di bawah peraturan JPJ, kadar minimum VLT yang dibenarkan ialah 70% untuk cermin hadapan, 50% untuk cermin sisi hadapan serta tiada had peratusan untuk cermin sisi belakang dan cermin belakang.

    Mahmood menjelaskan bahawa kebanyakan kenderaan hari ini dilengkapi dengan kaca yang mempunyai tint semula jadi. Apabila filem tambahan ditampal, walaupun filem itu mematuhi peraturan JPJ secara individu, bacaan VLT mungkin gagal kerana pengiraan dilakukan berdasarkan jumlah VLT antara tint semulajadi kaca dan tint daripada filem tersebut.

    Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    “Semua kaca automotif mempunyai kadar penembusan cahaya asas, walaupun tanpa filem ditampal. Contohnya, kaca automotif sudah pun menapis cahaya kerana tona kehijauan atau kebiruan semulajadinya,” katanya yang turut menambah kadar VLT yang dinyatakan pada pembungkusan filem tint biasanya mengandaikan filem tersebut ditampal pada kaca yang jernih sepenuhnya.

    Puspakom juga menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan ejen atau runner yang menggunakan maklumat tidak tepat untuk menekan pemilik kenderaan supaya menanggalkan tint mereka atau meminta bayaran tambahan atas alasan “membaiki” isu pemeriksaan.

    “Kami menggesa semua pelanggan untuk melaporkan tingkah laku tidak beretika seperti ini dan mendapatkan penjelasan terus daripada sumber rasmi Puspakom. Proses pemeriksaan kami adalah telus, konsisten dan sepenuhnya berdasarkan peraturan JPJ,” tambah Mahmood.

     
     
  • Presiden FIA sasar F1 kembali guna enjin V8 dengan bahan api lestari pada 2029; lebih menarik, kos rendah

    Presiden FIA sasar F1 kembali guna enjin V8 dengan bahan api lestari pada 2029; lebih menarik, kos rendah

    Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem mengulangi aspirasinya untuk mengembalikan perlumbaan F1 dengan enjin lebih besar seperti sebelum era hibrid, kali ini beliau turut mendedahkan garis waktu untuk rancangan tersebut.

    Menurutnya dalam laporan Reuters, F1 mungkin akan menggunakan semula enjin V8 tanpa bantuan turbo seawal 2029, dan ia akan menggunakan bahan api lestari bagi menggantikan unit rangkaian kuasa 1.6 liter V6 dan sistem hibrid eletrik kompleks yang telah digunakan sejak 2013.

    “Enjin yang digunakan buat masa sekarang sangatlah rumit, anda takkan faham, dan ia sangat mahal,” kata Ben Sulayem ketika berlangsungnya British Grand Prix di Litar Silverstone hujung minggu lalu.

    “R&D cecah 200 juta (dollar), dan enjin sahaja menelan belanja sekitar 1.8 sehingga 2.1, jadi kalau kita hanya guna V8, nanti kita tengok.

    “Banyak dari pengeluar menghasilkan V8 untuk kereta mereka, jadi secara komersialnya ia tepat. Berapa kosnya? Anda kurangkan. Sasarannya ialah lebih 50% untuk setiap perkara,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa dengan menggunakan enjin V8 ia bukan sahaja lebih murah dan lebih logik untuk pengeluar yang menghasilkan kereta produksi menggunakan enjin berkenaan, malah ia juga akan menghasilkan bunyi yang akan mengalu-alukan kembali peminat lama serta mengujakan generasi baharu.

    “Bagi kami, V8 akan kembali. Dengan pasukan sekarang, saya sangat optimistik, gembira dengannya. FOM (Formula One Management) sangat memberi sokongan, pasukan-pasukan akan merealisasikannya segera.”

    “Kami perlu melakukannya tak lama lagi…anda perlukan tiga tahun, jadi harap-harapnya menjelang 2029 kita ada sesuatu di sana, tetapi bahan api juga sangat mahal, dan kami perlu berhati-hati dengan perkara itu. Transmisi juga sangat mahal,” tambah Muhammed.

    Dengan bayangan yang diberikan Mohammed ini, kereta generasi baharu F1 dengan undang-undang teknikal baharu yang akan mula digunakan tahun hadapan mungkin hanya digunakan selama tiga tahun sahaja iaitu sehingga 2028. Bagi musim 2026, enjin 1.6 liter V6 dengan pengecas turbo masih akan digunakan, tetapi ia akan beroperasi dengan bahan api lestari 100% serta bantuan kuasa elektrik yang lebih besar akan diberikan oleh sistem hibrid.

     
     
  • Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih ramai legenda JDM, lebih banyak kereta ubahsuai baru, tiket lebih murah!

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih ramai legenda JDM, lebih banyak kereta ubahsuai baru, tiket lebih murah!

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025 secara rasminya telah diumumkan hari ini, dan ia disahkan bakal diadakan bermula 8 hingga 10 Ogos ini, dan masih akan berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Untuk acara tahun ini, Element X Strategies iaitu Pemegang Lesen Rasmi Tunggal bagi TASKL, dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon dan Persekutuan Tokyo Auto Salon, menjanjikan lebih banyak kereta ubahsuai terkini yang di bawa dari Jepun bersama lebih ramai legenda-legenda JDM di bawa kepada peminat di Malaysia.

    Pengasas penala Jepun, Top Secret iaitu Smokey Nagata telah mengesahkan kunjungan tahun ketiganya berturut-turut ke TASKL. Begitu juga ‘Godfather of Modern Nissan GT-R’ Hiroshi Tamura yang akan turut kembali ke Malaysia sempena acara ini.

    Selain itu TASKL turut akan dihadiri oleh lain-lain legenda dan ikon dalam dunia modifikasi JDM, antaranya pakar ubahsuai enjin wankel rotary Mazda dan pengasas RE Amemiya iaitu Isami Amemiya, pengasas Liberty Walk Wataru Kato, pemilik jenama KUHL Racing Takahiro Kataoka, dan juga presiden penala Honda, J’s Racing iaitu Hisaaki Murakami.

    Kedatangan ikon-ikon ini turut akan diiringi oleh pelbagai barangan jenama masing-masing, di mana anda boleh mendapatkannya di reruai rasmi Top Secret, Liberty Walk, KUHL Racing, J’S Racing dan Veilside.

    Ada juga antara jenama-jenama tersebut akan membawa antara ‘demo car’ terbaik masing-masing, antaranya Top Secret VR32 Stealth Nissan GT-R iaitu Nissan Skyline GT-R R32 yang disumbatkan dengan enjin VR38DETT V6 3.8 liter berkuasa 1,072 hp bersama kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua Attesa ET-S dari Nissan GT-R R35, lengkap dengan dengan bahagian dalaman yang juga diambil dari R35, di mana kereta ini dibina oleh Smokey Nagata sendiri.

    Manakala Liberty Walk akan hadir dengan dua kereta ikonik jenama itu, yang pertama adalah Super Silhouette ER34 iaitu Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an. Kereta kedua yang dibawa oleh Liberty Walk adalah Ferrari F40 yang penuh kontroversi apabila model terakhir dibina ketika Enzo Ferrari masih hidup tersebut diberikan kit badan lebih lebar serta suspensi yang ditala serendah-rendahnya.

    RE Amemiya turut akan membawa ‘demo car’ terbaharunya iaitu Matsukiyo Kizami 3ROTOR NA-7 yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu. Kereta yang diasaskan dari Mazda RX-7 FD3S berkenaan kini menerima muka dan bahagian belakang baharu rekaan RE Amemiya, dan ia menerima enjin wankel rotary dengan tiga rotor menghasilkan kapasiti 1.962 liter, dan mampu menghembuskan 435 hp tanpa sebarang pengecas turbo.

    Dua lagi jentera ubahsuai baharu yang dibawa terus dari Jepun adalah Crewch Delusion GT-R R356C yang merupakan Nissan GT-R dengan rupa diinpirasikan dari model konsep Nissan Hyper Force serta model edisi terhad GT-R50 Italdesign, dan juga ‘Rolls Royce Jepun’ iaitu Toyota Century yang diubahsuai oleh Aless dan diberi nama Aless Century Complete WL, di mana enjin V8 5.0 liter sedan mewah tersebut kini bernafas dengan kuasa 518 hp.

    “Salah satu tugas paling sukar yang kami hadapi setiap tahun ialah pemilihan kereta khas yang akan dibawa masuk dari Jepun. Sejujurnya terdapat banyak, tetapi sekali lagi ini juga bergantung kepada ketersediaan kerana kebanyakan kereta peringkat teratas ini sedang dalam jelajah untuk dipamerkan di pameran di seluruh dunia,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies Jason Yap.

    TASKL turut tidak melupakan penala-penala dari Malaysia sendiri di mana tahun ini acara berkenaan memperkenalkan Malaysia’s Finest Tuners (MFT) tahun ini, dengan menyediakan kawasan khas bagi mempamerkan, mempromosi dan menghormati penala-penala terbaik dari Malaysia. Ia diharap dapat menjalinkan hubungan antara penala Jepun dan Malaysia serta kedua-duanya dapat menerokai peluang-peluang merentas dua negara itu.

    Seperti tahun-tahun sebelum ini, TASKL turut akan mengadakan pertandingan autoshow yang akan diadili oleh panel juri terdiri dari penala Jepun, perhimpunan kelab-kelab kereta dan juga pameran koleksi kereta-kereta yang sukar ditemui di Malaysia.

    Untuk peminat kereta-kereta die-cast skala kecil, tahun ini TASKL melancarkan model edisi istimewa berasaskan Toyota Supra Mk4 yang akan disediakan dalam dua varian iaitu chase dan super chase. Kedua-dua ini merupakan versi lanjutan Supra Mk4 berwarna Matte Frost Yellow yang telah mula dijual pada harga RM135 bulan lalu.

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih ramai legenda JDM, lebih banyak kereta ubahsuai baru, tiket lebih murah!

    Acara-acara lain yang turut berlangsung sekali dengan acara ini termasuk perlumbaan simulator endurance selama dua-jam anjuran RaceRoom, pertandingan Cosplay, dan pelbagai lagi. Tahun ini juga pengunjung berpeluang memenangi sebuah motosikal yang telah diubahsuai yang ditaja oleh EXN Lubricants.

    Untuk tahun ini, TASKL akan diadakan bermula 8-10 Ogos 2025. Harga tiket sehari untuk pengunjung dewasa dijual pada harga RM48, berbanding RM60 tahun lalu. Manakala tiket untuk kanak-kanak berumur 6-12 tahun pula dijual pada harga RM30 sehari. Juga ada disediakan pakej kombo keluarga yang merangkumi dua tiket dewasa dan dua tiket kanak-kanak dijual pada harga RM120 untuk sehari.

    Sekiranya anda mahu datang setiap hari acara ke tersebut sepanjang ia diadakan, juga terdapat pakej lebih jimat iaitu RM120 untuk tiga-hari. Potongan diskaun 50% akan diberikan untuk pemegang kad OKU dan juga penjaga mereka, manakala untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun masuk adalah percuma.

    Anda sudah pun boleh membeli tiket secara atas talian menerusi laman web rasmi TASKL. Tiket-tiket juga dijual di MITEC ketika berlangsungnya acara ini nanti.

     
     
  • Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT diperkenal – enjin dua silinder 776 cc, quickshifter, skrin TFT lima inci

    Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT diperkenal – enjin dua silinder 776 cc, quickshifter, skrin TFT lima inci

    Suzuki memperkenalkan kepada dunia dua buah model baru yang menggunakan asas sama, tetapi dengan penampilan berbeza iaitu GSX-8T dan GSX-8TT. Di United Kingdom, harga yang dikeluarkan untuk GSX-8T adalah 9,599 pound sterling (RM55,301), sementara GSX-8TT adalah 400 pound lebih mahal pada 9,999 pound (RM57,605). Sebagai perbandingan, GSX-8S di sana dijual pada harga 7,499 pound (RM43,202), manakala di Malaysia ia berharga RM50,800.

    Menggerakkan dua model baru ini adalah enjin sama seperti GSX-8R dan GSX-8S, iaitu unit dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem pacuan rantai. Kuasa masih belum didedah tetapi pada GSX-8R, enjin ini menghasilkan 82 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap (boleh tutup), bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter (naik dan turun) secara standard. Memegang rim 17 incinya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Beza antara dua model ini cuma pada aksesori luaran, seperti yang boleh dilihat GSX-8T tampil lebih ringkas, sementara GSX-8TT ditambah dengan fairing atas, pelindung bawah enjin serta jahitan istimewa pada tempat duduk, menjadikannya dua kilogram lebih berat berbanding GSX-8T, pada 203 kg.

    Kelengkapan lain yang datang bersama GSX-8T dan GSX-8TT ini adalah termasuk tangki bahan api 16.5 liter, bateri lithium ion, soket pengecas USB-C, tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2 bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang serta cermin sisi melekat pada hujung pemegang.


    GALERI: Suzuki GSX-8T 2025

    GALERI: Suzuki GSX-8TT 2025

     
     
  • Proton X50 1.5TD Executive facelift 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan tech, 6-beg udara, tiada ADAS

    Proton X50 1.5TD Executive <em>facelift</em> 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan <em>tech</em>, 6-beg udara, tiada ADAS

    Seminggu selepas Proton mendedahkan perincian bagi model X50 facelift 2025, kami bawa anda untuk mendekati varian 1.5TD Executive. Ini merupakan varian paling asas terbaru bagi SUV segmen B berkenaan, setelah varian Standard sebelum ini tidak lagi ditawarkan.

    Untuk pertama kali, semua varian X50 2025 akan menggunakan enjin yang sama iaitu unit 1.5 liter BHE15TD turbocas i-GT suntikan terus empat-silinder, menghasilkan sebanyak 181 PS pada 5,500 rpm dan 290 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm. Sama seperti sebelumnya, kuasa ini disalurkan ke roda depan melalui transmisi DCT tujuh-kelajuan, membolehkan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.6 saat (0.3 saat lebih pantas berbanding varian Flagship dengan enjin TGDI sebelum ini).

    Hadir dengan rekaan luaran dan dalaman yang baru, varian Executive dibezakan melalui kelengkapan yang ada berbanding dua varian paling atasnya. Ia lengkap dengan lampu utama LED reflektor, bahagian atas gril dengan corak songket, bahagian bawah gril dengan elemen lebar penuh, lampu belakang LED berkelebaran penuh, pintu belakang rekaan baru, skirting sisi rekaan baru serta sudut bentuk L untuk bampar depan dan belakang. Tak lupa, ada corong bukaan udara hiasa di atas bonet.

    Proton X50 1.5TD Executive <em>facelift</em> 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan <em>tech</em>, 6-beg udara, tiada ADAS

    Naik satu takuk kepada varian Premium, ia menerima sistem ADAS penuh, TPMS, rim aloi 18-inci, angkup brek merah, pintu belakang berkuasa, landasan bumbung, lampu aluan di depan, lampu ambient 72-warna, kerusi balutan kulit buatan, kerusi pemandu larasan enam-arah serta kamera 360 dengan pandangan telus 180-darjah.

    Executive juga satu-satunya varian yang tidak dilengkapi angkup brek warna merah. Dan, tiada sistem kamera 360-darjah untuknya. Di dalam, Executive kekal menggunakan rekaan kabin yang sama dengan warna hitam (tanpa perincian merah seperti Flagship). Ini disertai juga dengan rekaan konsol tengah tinggi, pemilih gear di belakang kolum stereng, pemegang pintu yang lebih kukuh serta paparan berkembar “terapung”.

    Paparan instrumen digital 8.88-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci juga adalah merupakan ciri standard untuk semua varian — lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kawalan suara Hi Proton! dalam Bahasa Melayu, aplikasi Proton Link 2.0 dipertingkat serta enam-pembesar suara.

    Proton X50 1.5TD Executive <em>facelift</em> 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan <em>tech</em>, 6-beg udara, tiada ADAS

    Sedikit perbezaan untuk varian Executive, ia tidak dilengkapi dengan ciri pengecas tanpa wayar Qi seperti varian lebih tinggi. Kerusi juga balutan fabrik, dan bukan kulit seperti Executive terdahulu (stereng bagaimanapun diberi balutan kulit). Selain itu, pengilap cermin automatik juga kini jadi ciri standard untuk semua varian. Semua peningkatan ini menjadikan varian Executive lebih menarik berbanding yang sebelumnya.

    Lain-lain, Executive turut datang dengan grafik di panel papan pemuka sebelah penumpang, tetapi ia tidak bernyala seperti pada varian Flagship atau Premium. Kelengkapan standard lain termasuklah sistem tanpa kunci dengan kunci automatik serta penghidup enjin jarak jauh, butang Push Start, pedingin automatik dan kamera undur.

    Bagi sistem keselamatan, X50 kini datang dengan enam-beg udara sebagai standard, kawalan kestabilan dan sensor radar sisi belakang (RSRS) yang baru yang menghadirkan peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan amaran perlanggaran serta amaran bukaan pintu.

    Perincian varian Proton X50 facelift 2025 yang lain ada di sini.

     
     
  • Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Model kemas kini Hyundai Stargazer ditemui sedang diuji di jalan raya Indonesia, seperti yang dikongsi oleh akaun Instagram @rodadotco. Kemunculan ini berlaku hampir serentak dengan penyiaran teaser rasmi oleh Hyundai Indonesia untuk model MPV tersebut.

    Dari gambar yang tular, jelas kelihatan bahawa reka bentuk luaran Stargazer facelift ini telah menerima perubahan besar berbanding versi asal yang diperkenalkan pada tahun 2022. Ia kini hadir dengan lampu utama dan lampu belakang LED yang menampilkan rekaan lebih moden dan selari dengan konsep reka bentuk terkini Hyundai. Menariknya, elemen pencahayaan LED kini membentuk corak huruf ‘H’ yang tegak di bahagian depan dan belakang.

    Dengan perubahan ini, jalur lampu LED tunggal di bahagian depan – seperti yang terdapat pada model Staria – tidak lagi digunakan. Bahagian hadapan kenderaan turut mengalami perubahan dengan garis bonet yang lebih mendatar, menjadikan bentuk bonet lebih menonjol dan menyerlahkan pertemuan dengan A-pillar. Unit lampu utama kini diletakkan di atas lampu DRL mendatar.

    Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Bahagian depan yang diperbaharui ini turut memberi profil dua-petak (two-box silhouette) yang lebih jelas pada Stargazer facelift. Selain itu, lengkung roda kini menggunakan warna yang sama dengan badan kenderaan, menggantikan kemasan plastik hitam yang biasa digunakan untuk memberi imej lasak.

    Di bahagian belakang pula, rekaan turut menampilkan lebih banyak sudut tegak berbanding model terdahulu. Tempat nombor plat belakang juga diubah daripada pintu but ke bahagian bampar belakang, yang kini menampilkan kemasan kontras lebih menyeluruh.

    Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Dari aspek mekanikal, Hyundai dijangka mengekalkan enjin sama seperti model terdahulu iaitu unit 1.5L empat silinder tanpa turbo yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm, dipadankan bersama transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.

    Meskipun Hyundai Indonesia belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran Stargazer facelift, acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 yang bakal berlangsung hujung bulan ini dijangka menjadi pentas utama untuk pelancarannya secara rasmi.

     
     
  • Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

    Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

    Syarikat teknologi gergasi dari China, Baidu, dilaporkan sedang merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu Apollo Go di Malaysia dan Singapura selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2025. Sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu The Independent Singapura bahawa Baidu kini sedang berbincang dengan pengendali teksi tempatan dan penyedia perkhidmatan mobiliti bagi merangka model perniagaan yang sesuai untuk kedua-dua negara.

    Baidu dilihat menerapkan strategi “asset-light” yang menekankan kerjasama strategik berbanding memiliki kenderaan sendiri secara langsung. Sejak diperkenalkan di China pada tahun 2019, perkhidmatan Apollo Go telah mencatatkan lebih 11 juta perjalanan menggunakan lebih 1,000 kenderaan autonomous — mengatasi pencapaian Waymo milik Google yang mencatatkan 10 juta perjalanan.

    Selain Malaysia dan Singapura, Baidu turut melihat potensi untuk memperluaskan perkhidmatan Apollo Go ke Eropah dan Timur Tengah. Di Switzerland, syarikat itu dilaporkan sedang menjalankan perbincangan dengan PostAuto, anak syarikat Swiss Post, manakala di Turki pula, perbincangan awal sedang berlangsung untuk meneroka kemasukan ke pasaran tersebut.

    Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

    Di Malaysia, ujian kenderaan autonomous setakat ini masih terhad kepada kawasan tertentu seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Bukit Jalil sejak awal tahun 2020-an. Namun, perkembangan dalam sektor ini masih lagi perlahan. Tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan undang-undang bagi menyokong pembangunan dan pendigitalan teknologi kenderaan autonomous.

    “Kita perlu melihat ke hadapan sebab sekarang mungkin teknologi ini belum menembusi arus perdana. Tapi dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, mungkin kebanyakan sistem pengangkutan awam kita tidak lagi memerlukan pemandu manusia. Ia boleh beroperasi secara autonomous. Buat masa ini, kebanyakan kenderaan masih memerlukan pemandu,” katanya pada September lalu.

    Jika pelancaran Apollo Go benar-benar menjadi kenyataan tahun ini, perubahan dalam sektor pengangkutan awam mungkin akan berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan. Walaupun era pemandu teksi yang enggan mengambil penumpang atau menetapkan tambang sesuka hati semakin jarang berlaku hari ini, kemunculan teknologi ini juga menimbulkan persoalan tentang masa depan dan kebajikan para pemandu teksi serta pemandu e-hailing tempatan.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 17-20 Julai sempena Minggu Perpaduan 2025 di P.Pinang

    Polis beri 50% diskaun saman pada 17-20 Julai sempena Minggu Perpaduan 2025 di P.Pinang

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 17 hingga 20 Julai ini. Ia adalah sempena dengan penganjuran Minggu Perpaduan 2025 peringkat Kebangsaan. Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang bakal dibuka di lokasi acara iaitu di perkarangan Stadium Batu Kawan.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Pulau Pinang, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • PACE 2025 berlangsung dari 19-20 Julai di SCCC — tawaran menarik kereta premium, baucar RM3,000

    PACE 2025 berlangsung dari 19-20 Julai di SCCC — tawaran menarik kereta premium, baucar RM3,000

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali membawakan pelbagai tawaran automotif terbaik pada 19-20 Julai 2025, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Dengan Carro sebagai penaja bersama, acara ini terbuka kepada umum dari pukul 9 pagi hingga 7 malam sepanjang hujung minggu tersebut. Sama seperti penganjurannya yang terdahulu, PACE 2025 akan membawakan tawaran menarik bagi kenderaan premium baru dan terpakai untuk pengunjungnya.

    Bakal melibatkan penyertaan jenama pengeluar yang lebih banyak dan meriah, pengunjung akan berpeluang menilai semuanya di bawah satu bumbung. Antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Denza, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain daripada tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025 berlangsung dari 19-20 Julai di SCCC — tawaran menarik kereta premium, baucar RM3,000

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
  • JPJ peroleh RM57,000 kutipan saman berkaitan VEP dalam tempoh 5 hari pertama penguatkuasaannya

    JPJ peroleh RM57,000 kutipan saman berkaitan VEP dalam tempoh 5 hari pertama penguatkuasaannya

    Bagi pemandu warga negara Singapura yang memandu kenderaan memasuki Malaysia, jangan lupa untuk mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), jika tidak, anda akan disaman sebanyak RM300 serta merta dan tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara ini selagi saman tidak dibayar dan VEP diaktifkan.

    Sejak melaksanakan penguatkuasaan penuh bermula 1 Julai lalu, dalam lima hari pertama pelaksanaannya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengeluarkan sebanyak 190 saman yang berjumlah RM57,000 bagi kesalahan berkaitan VEP, laporan Bernama.

    “Setakat ini, penguatkuasaan VEP di pusat pemeriksaan darat berjalan lancar. Sebanyak 1,767 kenderaan telah diperiksa dan 94 kenderaan telah diberikan notis amaran,” kata Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.

    Tujuan sistem VEP adalah untuk pengurusan aliran trafik rentas sempadan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang pengangkutan jalan raya yang melibatkan kenderaan asing. Singapura juga mempunyai sistem VEP yang dikenakan kepada semua kenderaan bukan dari Singapura.

     
     
  • Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    Pasukan lumba dari Malaysia, Viper Niza Racing sekali lagi mengharumkan nama negara di persada sukan bermotor antarabangsa apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang di podium perlumbaan ketahanan Paul Ricard 12 Jam di litar Paul Ricard, Perancis hujung minggu lalu.

    Namun kejayaan yang dikecapi ini tidak datang dengan mudah kerana perjuang pasukan tersebut hampir terpaksa pulang awal sebelum perlumbaan sebenar bermula. Ini kerana hanya dua minit selepas sesi kelayakan kedua bagi kelas GT3 pada hari Jumaat (4 Julai) berlangsung, salah seorang pemandu pasukan tersebut iaitu Dominic Ang terlibat dengan kemalangan di mana jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang dipandunya merempuh penghadang konkrit, menyebabkan kerosakan teruk pada casis.

    Walau bagaimanapun dalam masa 24 jam, pasukan Viper Niza berjaya mendapatkan jentera gantian yang disewa untuk memulakan perlumbaan. Kereta berkenaan yang juga sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO kebetulan berada di litar tersebut, dan digunakan untuk sesi ujian oleh pasukan Red Ant Racing sebelum itu.

    Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    Jadi walaupun tidak sempat menguji jentera gantian tersebut dan perlu memulakan perlumbaan dari petak terakhir, Viper Niza Racing berjaya menamatkan perlumbaan ini di tempat ke lapan keseluruhan, serta ketiga dalam kelas GT3-AM!

    “Cengkaman semasa litar dalam keadaan panas adalah tidak bagus tetapi apabila anda kehilangan cengkaman kereta biasanya masih dapat dipandu keluar ke kawasan run-off. Ketika ini, kami masih cuba mencari apa yang sebenarnya berlaku dan kami syak bahawa ia mungkin disebabkan oleh komponen yang longgar,” kata prinsipal pasukan dan pemandu utama Viper Niza Racing, Douglas Khoo.

    Juara keseluruhan perlumbaan ini dinobatkan kepada pasukan Proton Huber Competition yang menggunakan jentera Porsche 911 GT3R, meninggalkan Mercedes-AMG GT3 EVO pasukan Red Ant Racing hanya 3.4 saat di belakang. Keputusan yang dicatatkan kali ini juga membolehkan pasukan Viper Niza menerima anugerah Spirit of the Race dari penganjur.

    Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    “Untuk menamatkan dengan cara yang kami lakukan adalah tidak kurang daripada hadiah dari Tuhan. Di satu ketika kami amat bertuah kerana dapat sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO tetapi kami hampir tidak mempunyai masa menguji kereta sebelum permulaan perlumbaan untuk membiasakan diri. Kami mengambil pendekatan berhati-hati dalam beberapa jam pembukaan perlumbaan dan setelah semua pemandu serasi, kami mula mendapat rentak. Konsisten juga menjadi faktor utama dan kami sangat gembira dengan keputusan ini,” tambah Khoo.

    Viper Niza Racing turut disertai oleh Melvin Moh sebagai pemandu ketiga. Ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicatatkan oleh pasukan tersebut di Litar Paul Ricard. Kali terakhir Viper Niza Racing berlumba di litar sepanjang 5.842 km berkenaan adalah pada 2018, menggunakan jentera Ligier JSP3 dalam kelas LMP3, menamatkan perlumbaan selama empat jam di tempat ke-13 keseluruhan dari 27 kereta yang bertanding.

    Keputusan kali ini juga membolehkan Viper Niza berada di tempat ke-empat dalam carta pungutan mata kelas GT3-AM untuk kejohanan 24H Series Eropah 2025. Pusingan kelima yang juga terakhir untuk musim 2025 ini akan dilangsungkan di Barcelona, Sepanyol September nanti.

     
     
  • Lesen pemandu kenderaan komersil terlibat kemalangan digantung sementara menunggu siasatan

    Lesen pemandu kenderaan komersil terlibat kemalangan digantung sementara menunggu siasatan

    Lesen pemandu kenderaan komersil yang terlibat dalam kemalangan akan digantung sehingga siasatan selesai, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli. Menurut laporan The Star, sekiranya pemegang lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) atau lesen memandu barang (GDL) didapati bersalah selepas siasatan polis, lesen mereka akan dibatalkan.

    “Bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan benar-benar kompeten, jabatan akan memastikan individu yang digantung lesen perlu menjalani dan lulus kursus khas sebelum lesen mereka diaktifkan semula atau dikeluarkan daripada senarai penggantungan. Kursus ini akan dianjurkan oleh jabatan di lokasi yang akan ditentukan kemudian, dan pemandu akan dikenakan bayaran bagi menampung kos kursus tersebut,” kata Aedy Fadly.

    Beliau menambah bahawa buat masa ini, lima pemandu kenderaan perdagangan telah digantung lesen, termasuk yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan serta bas yang melanggar palang had ketinggian di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

    Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata sejak penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar berkuat kuasa secara berperingkat mulai 1 Julai, pihaknya telah mengeluarkan 510 notis kompaun terhadap bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan, dengan 80 notis dikeluarkan kepada pemandu serta 396 kepada penumpang dan atendan.

     
     
  • Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Geely akhirnya telah mengesahkan kehadirannya ke pasaran United Kingdom, dan mengumumkan ia akan melancarkan model pertamanya di sana bermula dengan SUV EV Geely EX5 pada suku keempat tahun ini. Buat masa sekarang Geely mendedahkan bahawa SUV tersebut masih dalam peringkat penyesuaian kegunaannya untuk jalan raya di UK, dan ia mendapat kerjasama dari pembuat kereta sport yang berasal dari negara tersebut iaitu Lotus.

    “Kami tahu Geely EX5 ialah produk hebat dengan beberapa ciri utama yang akan menarik minat pelanggan Britain. Itulah sebabnya kami memilihnya sebagai kereta penumpang pertama kami untuk dijual di UK. Namun, kami sedar bahawa pelanggan UK mempunyai permintaan yang unik,” kata bos Geely Auto UK Mike Yang.

    “Oleh sebab itu, sebelum kami mengeluarkan kereta ini untuk jualan, kami bekerjasama dengan pakar di Lotus Engineering untuk memastikan kami mempunyai kereta yang setara dengan jangkaan. Lotus Engineering mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan bersama beberapa sumber R&D terbaik, jadi kami gembira dapat bekerjasama rapat dengan mereka,” tambahnya lagi.

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Lotus Engineering merupakan salah satu divisi dalam Lotus yang menyediakan khidmat kejuruteraan dan konsultansi kepada pengeluar-pengeluar automotif lain bagi membuat kerja-kerja kejuruteraan termasuk talaan suspensi dan pengendalian.

    Antara model-model yang pernah mendapat sentuhan badan berkenaan sebelum ini termasuk Vauxhall Astra generasi ketiga dan Hyundai Genesis 2015. Ada juga model yang mendapat sentuhan lebih eksklusif dengan menerima lencana “Handling by Lotus” seperti Isuzu Piazza, malah ada model yang mendapat talaan lebih serius termasuk penambahan kuasa, di mana nama pembuat asalnya di ketepikan dan terus menerima lencana Lotus seperti Lotus Cortina (dari Ford Cortina Mk1) dan juga Lotus Carlton/Omega (dari Vauxhall Carlton/Opel Omega).

    Lotus juga pernah mencorakkan DNA pengendalian untuk Proton selepas jenama automotif Malaysia berkenaan menjadi pemilik Lotus pada tahun 1996. Proton Satria GTI dan Perdana V6 menjadi model terawal Proton yang menerima lencana “Handling by Lotus”, manakala model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton selepas itu termasuk Proton Waja, Gen2, Satria Neo dan lain-lain bukan hanya menerima talaan suspensi dari Lotus, malah Handling by Lotus tersebut diterapkan bermula dari pembangunan kerangka badan.

    Namun Lotus terlepas ke tangan Geely ketika Proton menghadapi krisis kewangan dan memeterai perjanjian untuk menjadi rakan strategik jenama automotif China berkenaan pada 2017.

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Geely EX5 merupakan model yang didakwa dibangunkan bersama Proton, di mana ia turut dikenali sebagai sebagai Proton eMas 7 di Malaysia dan beberapa pasaran eksport Proton seperti di Singapura dan Nepal. Ia merupakan model global pertama Geely yang terus diperkenalkan dalam versi pemanduan kiri (LHD) dan kanan (RHD), membolehkan Geely terus masuk ke pasaran RHD seperti Thailand, Indonesia dan Australia tidak lama selepas ia dilancarkan di China (dikenali sebagai Geely Galaxy E5).

    Sebelum ini Geely ada mengatakan bahawa bagi model-model pasaran global, EX5 akan menggunakan talaan suspensi yang sama dibuat oleh Proton untuk eMas 7. Namun nampaknya tidak semua pasaran tersebut diberikan talaan suspensi yang dibangunkan oleh Proton berkenaan, contohnya pada model pasaran UK ini dan juga pasaran Australia yang turut menerima talaan suspensi tersendiri.

    Buat masa sekarang Geely masih belum mengumumkan perincian lain berkenaan spesifikasi EX5 pasaran UK berkenaan, namun dijangka ia akan menyamai versi-versi pasaran eksport yang lain termasuk Proton eMas 7. Dalam kebanyakkan pasaran, SUV ini menerima menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm yang hanya memacu roda hadapan serta menerima bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 60.22 kWj, memberikan jarak gerak sehingga 430 km (WLTP)

     
     
  • Proton X50 facelift 2025 dibuka untuk tempahan — 10k pelanggan terawal akan terima rebat tunai RM1,000

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 dibuka untuk tempahan — 10k pelanggan terawal akan terima rebat tunai RM1,000

    Proton X50 facelift 2025 yang didedahkan perinciannya awal minggu ini kini dibuka untuk tempahan. 10,000 pelanggan terawal akan menerima rebat tunai RM1,000, “Gempak Deal” eksklusif yang akan diperincikan ketika pelancarannya rasminya kelak, serta kad Touch ‘n Go edisi istimewa. Untuk harga pula belum diketahui, dan hanya akan diumumkan ketika pelancaran.

    Kami telah memperincikan segala hal berkaitan X50 baru ini dan boleh dirujuk di sini: termasuklah apa yang baru dan pecahan penawaran variannya — Executive, Premium dan Flaghsip.

    Proton X50 facelift 2025 diberikan kemaskini major terhadap rekaan luarannya berdasarkan model Geely Binyue L, manakala rekaan dalamannya pula serba baru dan dihasilkan oleh Proton sendiri, serta penawaran enjin baru 1.5 liter turbocas empat-silinder dari unit i-GT (dengan kod nama BHE15TD) dengan janaan 181 PS/290 Nm yang dibangunkan oleh Aurobay — sebuah syarikat kerjasama antara Geely-Volvo (berpangkalan di Sweden) yang kini merupakan sebahagian daripada Horse Powertrain, sebuah kerjasama Geely-Renault.

    Proton X50 2025 Flagship

     
     
  • Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna

    Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna

    Yang pertama seumpamanya di Malaysia, Surau Madani yang terletak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), di KM274.6 Lebuhraya Utara-Selatan hari ini mengadakan solat Jumaat yang pertama di premis berkenaan. Ini adalah susulan pengistiharannya sebagai surau R&R pertama di lebuhraya di Malaysia yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat, minggu ini.

    Penyediaan kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat ini merupakan usaha dan kolaborasi semua pihak daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua pihak berkepentingan yang telah terlibat dalam membantu penyediaan inisiatif ini.

    Surau Madani di R&R Seremban (Arah Selatan) tersebut mampu menampung sehingga 150 jemaah dalam satu masa. Ia direka bentuk dengan menitikberatkan suasana yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, terutama bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas, bagi memastikan semua pengguna lebuhraya mendapat pengalaman beribadah yang lebih baik sepanjang perjalanan mereka.

    Surau tersebut juga telah menjalani proses naik taraf yang meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan). Jawatankuasa ini dianggotai oleh 93 pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R Seremban.

    “Objektif utama inisiatif pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban. Ia juga dapat memudahkan pengguna lebuhraya yang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di surau R&R ini,” jelas Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS sebelum ini.

    Kepada pengguna Lebuhraya PLUS arah selatan juga kini mempunyai pilihan yang memudahkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat tanpa perlu menyusur keluar dari lebuh raya untuk mencari masjid berdekatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (-0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.11
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.03)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.03)
Last Updated Jul 03, 2025