Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Grab Malaysia lancar perkhidmatan e-hailing EV dari KLIA – guna 10 MPV BYD M6 sebagai permulaan

    Grab Malaysia lancar perkhidmatan e-hailing EV dari KLIA – guna 10 MPV BYD M6 sebagai permulaan

    Grab Malaysia telah mengumumkan kini turut menggunakan kenderaan elektrik (EV) dalam perkhidmatan e-hailing mereka, khas untuk lapangan terbang, khusus untuk penumpang yang berlepas dari KLIA. Perkhidmatan baharu ini telah dilancarkan semalam oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Sebagai permulaan, sebanyak 10 unit MPV elektrik BYD M6 digunakan, dan ia boleh ditempah sebagai salah satu pilihan melalui aplikasi Grab, dan disenaraikan Pintu 4, Aras 3 (balai ketibaan utama) sebagai lokasi pengambilan (pick up point) bagi perkhidmatan ini, berbeza dengan Aras 1 untuk perkhidmatan e-hailing biasa.

    Syarikat ini turut memaklumkan bahawa mereka telah mewujudkan ruang rehat EV di terminal sebagai ciri tambahan untuk pengguna perkhidmatan premium ini, namun dikenakan bayaran sedikit lebih tinggi berbanding pilihan enam-tempat duduk biasa. Sebagai contoh, perjalanan dari lapangan terbang ke pusat bandar akan menelan kos sekitar RM134, berbanding RM105 untuk perkhidmatan MPV enam-tempat duduk biasa.

    Loke berkata inisiatif Grab ini ternyata menyokong pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan di pintu masuk utama negara.

    “Pemilihan KLIA sebagai lokasi pelancaran adalah sangat strategik, bukan sahaja kerana jumlah trafik penumpang yang tinggi, tetapi juga kerana ia memberikan pendedahan maksimum kepada pengguna domestik dan antarabangsa mengenai usaha Malaysia dalam memperkukuh mobiliti hijau,” katanya.

    Perkhidmatan e-hailing EV KLIA yang baharu ini adalah hasil kerjasama Grab dengan BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (YGT) dan penyedia perkhidmatan pengecasan EV yang berpangkalan di Singapura, Power-Up Tech, yang dimeterai pada bulan Mac. Di bawah kerjasama ini, YGT akan menyediakan pakej penyewaan EV yang komprehensif kepada Grab, selain rangkaian solusi elektrifikasi.

     
     
  • JPJ sita 101 kenderaan mewah dalam Ops Luxury – Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne dll

    JPJ sita 101 kenderaan mewah dalam Ops Luxury – Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne dll

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita sebanyak 101 kenderaan mewah pelbagai jenama menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak awal bulan ini. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly bin Ramli, merupakan usaha JPJ untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilikan dan penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya secara bersepadu di seluruh negara.

    “Dalam operasi itu, sebanyak 101 kenderaan mewah dikesan melakukan kesalahan. Ia termasuk Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayman, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz.

    “Di mana kenderaan terbabit didapati melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah,lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah (CDL), pamer nombor pendaftaran kenderaan lain, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem dan penggunaan trade plate palsu,” katanya ketika meninjau kenderaan mewah yang disita di Depoh Sita, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.

    Aedy Fadly berkata, kenderaan terbabit disita di seluruh negara dengan Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah tertinggi membabitkan masing-masing 17 kenderaan. Ia diikuti Pulau Pinang (14), Perak (11), Johor (10), Kedah (sembilan), Pahang (lima), Melaka (lima), Negeri Sembilan (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (dua), Sabah (dua), Perlis (satu) dan Sarawak (satu), laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, Ops Luxury turut mendedahkan kemungkinan terdapat kenderaan klon berdasarkan ketidakpadanan nombor casis serta penggunaan nombor pendaftaran palsu.

    “Pasukan JPJ sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa kenderaan disyaki ada kaitan dengan sindiket kenderaan klon. Malah, kita tidak menolak kemungkinan kenderaan yang menggunakan ‘trade plate’ palsu juga terbabit,” katanya.

    Mengenai pemilik kenderaan mewah berkenaan pula, beliau mengesahkan sebahagiannya adalah individu kenamaan dan selebriti, namun identiti mereka tidak didedahkan atas dasar siasatan.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, tidak kira siapa pun mereka. Lagi dikenali, lagi besar tanggungjawab mereka untuk menunjukkan contoh kepada masyarakat. Alasan seperti terlupa memperbaharui LKM, tidak boleh diterima. Kalau selepas disita, boleh pula segera bayar dan perbaharui… kenapa tidak dibuat lebih awal?” katanya sambil menjelaskan kebanyakan pemilik memberi alasan sedemikian tetapi hanya bertindak selepas kenderaan disita.

    Tegas beliau, pelaksanaan Ops Luxury ini memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya. Di mana pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah. JPJ juga menyeru pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dengan memastikan dokumen kenderaan dan lesen memandu sentiasa diperbaharui serta sah digunakan.

     
     
  • Tunku Temenggong Johor bayangkan pembukaan semula Litar Pasir Gudang akan dibuat tak lama lagi?

    Tunku Temenggong Johor (TTJ) Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim baru sahaja membuat satu hantaran di akaun Instagramnya berkaitan Litar Pasir Gudang. Hantaran tersebut sangat ringkas – baginda memuat naik gambar memaparkan slaid dari komputer riba yang dipacarkan ke dinding yang menunjukkan pelan Litar Pasir Gudang, bersama kapsyen yang hanya tertulis “PG”.

    Pelan tersebut seiras dengan pelan yang baginda kongsikan pada April tahun lalu, yang menunjukkan beberapa perubahan telah dibuat berbanding susun atur asal Litar Pasir Gudang tersebut. Antaranya perubahan pada dua selekoh terakhir iaitu pada selekoh 11 dan 12 yang dibuat membolehkan laluan lurus utama kini menjadi lebih panjang, serta kewujudan satu selekoh ke kanan baharu yang dibuat pada hujung laluan lurus kedua sebelum tiba di selekoh 2.

    Selekoh baharu tersebut berhubung terus dengan selekoh 10, membolehkan litar ini terbahagi dua dengan masing-masing menampilkan konfigurasi lebih pendek.

    Baginda memuatnaik hantaran terbaharu ini mungkin untuk memberitahu bahawa kerja-kerja yang perlu dilakukan untuk membuka semula litar ini memang sedang berjalan, mungkin juga ini petanda bahawa hari pembukaan semula litar lumba bersejarah di selatan tanah air itu kini semakin hampir.

    Tunku Temenggong Johor bayangkan pembukaan semula Litar Pasir Gudang akan dibuat tak lama lagi?

    Pelan baharu Litar Pasir Gudang yang dikongsikan TTJ sebelum ini

    Kali terakhir status berkenaan litar ini disebut oleh Kerabat DiRaja Johor sendiri adalah pada April tahun lalu menerusi Tunku Panglima Johor (TPJ) Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim ketika baginda di temuramah oleh wartawan sewaktu berlangusngnya perlumbaan pusingan pertama GT World Challenge Asia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang.

    Menurut TPJ dalam laporan Scoopdotmy, litar berkenaan sebenarnya diambil alih oleh pihaknya pada 2015 apabila ada rancangan untuk membangunkan kawasan perumahan di atas tapak litar tersebut. Beliau turut menjelaskan bahawa rancangan untuk membina semula litar berkenaan sudahpun dirancang sejak dari peringkat awal pengambilalihannya, dań menafikan bahawa adanya penglibatan pihak ketiga iaitu Petronas untuk pembangunan litar tersebut setakat ini.

    Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau bersama abangnya Tunku Idris Iskandar tidak mendedahkan rancangan tersebut kepada umum kerana tidak mahu ia menjadi sesuatu yang overhype. Beliau turut menambah bahawa rancangan untuk membina dan membuka semula litar berkenaan memakan masa yang agak lama kerana pelbagai faktor, antaranya bagi memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tanpa mengubah terlalu banyak bentangan asal litar berkenaan dan juga pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

    Dalam laporan itu beliau juga menyatakan bahawa litar berkenaan terpaksa ditutup buat sementara waktu dan pembangunan semula perlu dibuat kerana jika ada insiden yang berlaku disitu tanpa lesen dari FIA, agak sukar bagi pihaknya untuk mengadakan perlumbaan-perlumbaan seterusnya.

    Tunku Temenggong Johor bayangkan pembukaan semula Litar Pasir Gudang akan dibuat tak lama lagi?

    Pelan asal Litar Pasir Gudang

    Mengulas lanjut, TPJ juga menyatakan selepas litar itu siap nanti, ia bakal menjadi pangkalan utama untuk pasukan lumbanya iaitu Johor Motorsport Racing (JMR) beroperasi.

    “Itu rancangannya, saya rasa di Sepang ini juga ada beberapa pasukan yang berpusat di sini sebaagi salah satu perniagaan litar. Mungkin akan ada pasukan-pasukan lain yang akan berpusat di Pasir Gudang tetapi kami akan mengutamakan pasukan kami,” jelasnnya.

    Selain itu, Tunku Abdul Rahman turut menyatakan Litar Pasir Gudang ini akan dibuka semula sebagai sebuah litar bertaraf antarabangsa, dan ia akan turut akan menumpukan terhadap pembangunan sukan permotoran diperingkat akar umbi.

    Litar Pasir Gudang atau turut dikenali sebagai Johor Circuit (JCircuit) merupakan litar ikonik yang pernah melahirkan ramai pelumba antarabangsa di kalangan anak jati Johor, dibuka secara rasmi pada 1986. Ia juga pernah menganjurkan perlumbaan yang menarik penyertaan pelumba luar seperti Johor Race Series, Asia Festival of Speed (AFOS) serta pernah menjadi menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada tahun 1998.

     
     
  • Perkhidmatan bas Smart Selangor di Subang Jaya kembali beroperasi sepenuhnya bagi lima laluan

    Perkhidmatan bas Smart Selangor di Subang Jaya kembali beroperasi sepenuhnya bagi lima laluan

    Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengumumkan bahawa kesemua lima laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan Subang Jaya kini telah kembali beroperasi sepenuhnya. Pengumuman itu dibuat pada Jumaat lalu (20 Jun), sekali gus menandakan pemulihan penuh bagi laluan SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05.

    Menurut laporan The Star, tiga laluan awal iaitu SJ01, SJ02 dan SJ03 telah pun memulakan operasi semula lebih awal, iaitu pada 26 Mei 2025, selepas ia digantung sementara bermula 2 Mei berikutan isu permohonan permit laluan oleh pengendali, SKS Coachbuilders.

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kemudiannya menjelaskan bahawa gangguan tersebut bukan disebabkan kelewatan pihak berkuasa memproses permit, tetapi berpunca daripada kelewatan penghantaran dokumen dan ketidakpatuhan oleh pihak pengendali.

    Berikut adalah maklumat terkini mengenai laluan dan jumlah bas yang beroperasi:

  • SJ01: BRT/LRT USJ7 – KTMB Subang Jaya (tiga buah bas)
  • SJ02: LRT Pusat Bandar Puchong – LRT SS18 (tiga buah bas)
  • SJ03: BRT/LRT Kinrara BK5 – SMK Bandar Puchong Jaya (tiga buah bas)
  • SJ04: KTM Serdang – Hospital Serdang (dua buah bas; 1 tambahan akan diperkenalkan tidak lama lagi)
  • SJ05: Putra Permai – Taman Bukit Serdang (dua buah bas)
  • Dengan pemulihan penuh kelima-lima laluan ini, perkhidmatan bas percuma Smart Selangor di Subang Jaya dijangka akan kembali memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan harian penduduk, khususnya ke stesen LRT, KTM dan lokasi utama seperti hospital serta sekolah.

     
     
  • Suzuki Alto 2025 terima facelift di Jepun – reka bentuk diubah, keselamatan ditambah baik, 28.2 km/l

    Suzuki Alto 2025 terima facelift di Jepun – reka bentuk diubah, keselamatan ditambah baik, 28.2 km/l

    Suzuki Alto generasi kesembilan diberikan kemas kini reka bentuk di Jepun, selepas lebih tiga tahun ia diperkenalkan kali pertama pada akhir tahun 2021. Melihat kepada rekaannya, perubahan ketara adalah pada gril hadapan yang kini menampilkan kemasan krom baru yang mengelilingi kemasan hitam – menempatkan radar gelombang milimeter untuk sistem brek kecemasan automatik Dual Sensor Brake Support II yang dipertingkatkan. Sistem ini juga berfungsi bersama kamera monokular di hadapan.

    Bampar hadapan dan belakang juga diberi sentuhan yang lebih berbentuk bulat, sementara spoiler bumbung kecil ditambah bagi memberi gaya lebih sporty. Suzuki turut memperkenalkan warna monotone baru dipanggil Terracotta Pink, serta gabungan dua tona warna baru.

    Sebagai contoh, bumbung putih kini digantikan dengan warna beige lembut dan boleh dipadankan dengan warna badan Chiffon Ivory atau Foggy Blue Pearl. Sementara itu, bumbung hitam pula ditawarkan bersama warna Phoenix Red Pearl atau Nocturne Blue Pearl. Secara keseluruhan, terdapat lapan pilihan monotone dan empat kombinasi dua tona.

    Suzuki Alto 2025 terima facelift di Jepun – reka bentuk diubah, keselamatan ditambah baik, 28.2 km/l

    Ruang kabin masih mengekalkan susun atur empat tempat duduk, tetapi menerima naik taraf penting seperti skrin infotainmen bersaiz 7 inci (pilihan tambahan) yang kini datang dengan sistem sokongan telematik Suzuki Connect.

    Ciri keselamatan standard juga dipertingkat, termasuk sistem sokongan brek pada kelajuan rendah (ke hadapan dan ke belakang), pencegahan keluar lorong, amaran pergerakan kenderaan di hadapan dan pertukaran isyarat, serta pengesan jarak.

    Suzuki Alto kini ditawarkan dalam empat varian utama – A, L, Hybrid S dan Hybrid X – dengan harga bermula dari 1,142,900 hingga 1,639,000 yen (sekitar RM33,000 hingga RM48,000 sebelum pilihan tambahan).

    Suzuki Alto 2025 terima facelift di Jepun – reka bentuk diubah, keselamatan ditambah baik, 28.2 km/l

    Varian A dan L dikuasakan oleh enjin tiga silinder NA R06A berkapasiti 658 cc yang menghasilkan 46 PS dan 55 Nm tork, dipadankan dengan transmisi CVT dan ditawarkan dalam pacuan dua roda hadapan (FWD) atau semua roda (AWD).

    Untuk varian hibrid pula, ia dilengkapi sistem mild hybrid dengan motor elektrik WA04C yang menghasilkan 2.6 PS dan 40 Nm, bersama bateri lithium-ion kecil berkapasiti 3 Ah. Sistem ini digabungkan dengan enjin R06D – versi lebih cekap bagi R06A – yang mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi dan sedikit perubahan pada saiz silinder. Enjin ini menjana 49 PS dan 58 Nm tork, turut dipadankan dengan CVT dan pilihan pacuan FWD atau AWD.

    Menurut Suzuki, model Alto versi hibrid pacuan dua roda (FWD) mampu mencatat penggunaan bahan api sehingga 28.2 km/l mengikut piawaian WLTC, sekaligus menjadikannya antara yang paling jimat dalam kelasnya.

     
     
  • Toyota Land Cruiser Commercial didedah di UK – versi untuk ‘buat kerja’, tiada tempat duduk belakang

    Toyota Land Cruiser Commercial didedah di UK – versi untuk ‘buat kerja’, tiada tempat duduk belakang

    Kita di Malaysia mungkin melihat model generasi baharu Toyota Land Cruiser Prado generasi terkini (siri 250) sebagai sebuah SUV gaya hidup dengan rupa yang begitu segak. Namun di United Kingdom, Toyota telah memperkenalkan Prado berkenaan dalam versi khas untuk anda ‘belasah’ sebagai kenderaan perdagangan – ini dia Toyota Land Cruiser Commercial.

    Model ini merupakan produk halo dalam barisan kenderaan komersial ringan Toyota Professional di UK. Ia dihasilkan oleh kilang Burnaston Toyota Manufacturing UK di Derbyshire yang melakukan proses transformasi dari Prado siri 250 biasa kepada versi Commercial ini dengan ‘membuang’ tempat duduk belakang.

    Bukan itu sahaja, lantai ruang kabin belakang turut dipadankan dengan panel plat logam bersama dinding sekat logam untuk mengasingkan kabin hadapan bagi tujuan keselamtan, tetapi ia masih menggunakan jaring agar ruang tersebut masih boleh di lihat dari tempat duduk hadapan.

    Toyota Land Cruiser Commercial didedah di UK – versi untuk ‘buat kerja’, tiada tempat duduk belakang

    Menurut Toyota, ini telah mewujudkan ruang kargo dengan dimensi tinggi 1,090 mm, panjang 1,685 mm dan lebar maksimum 1,286 mm, atau secara kapasiti ia memberikan ruang sebesar 2,000 liter. Land Cruiser ini juga mempunyai kapasiti menunda beban sehingga 3.5 tan.

    Untuk kelengkapan, Land Cruiser Commercial ini menerima rim aloi 18-inci, tempat duduk pemandu larasan elektrik, tempat duduk hadapan dan roda stereng dengan pemanas, pintu tailgate belakang berkuasa dengan tingkap yang boleh dibuka berasingan, cermin pandang belakang auto-malap, brek parkir elektronik, penghawa dingin dua zon, skrin infotaimen sembilan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense.

    Ia digerakkan dengan enjin turbodiesel 2.8 liter empat-silinder sebaris yang digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan. Sistem pacuan semua roda kekal turut dibekalkan dan diberikan pelbagai bantuan pemanduan off-road termasuk Crawl Control, Kawalan Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Bantuan Turun Cerun dan pelbagai lagi mod pemanduan.

    “Berada di bahagian paling atas barisan produk Toyota Professional, ia menyediakan pilihan menarik kepada pelanggan yang tidak memerlukan keupayaan membawa beban atau tempat duduk tambahan seperti trak pikap Hilux, tetapi mahukan faedah prestasi off-road yang serius, ketenangan di atas jalan dan pelbagai ciri keselesaan, keselamatan dan kemudahan sebagai standard,” kata Toyota UK dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Toyota Land Cruiser Commercial ini akan dijual bermula 1 Ogos 2025 dengan harga bermula 52,729 pound (sekitar RM304k). Pelanggan terawal yang menempahnya akan menerima kereta masing-masing bermula bulan September. Toyota UK turut mengesahkan bahawa varian yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48V turut akan ditawarkan selepas ini.

     
     
  • Hyundai Staria 2025 dipertontonkan di Malaysia – versi 7- dan 10-tempat duduk, 2.2D; dilancar pada 2 Julai

    Hyundai Staria 2025 dipertontonkan di Malaysia – versi 7- dan 10-tempat duduk, 2.2D; dilancar pada 2 Julai

    Selain Hyundai Tucson 2025 dan Santa Fe 2025, Hyundai Motor Malaysia (HMY) turut mempertontonkan MPV Staria 2025. Menurut HMY, ketiga-tiga model facelift ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada minggu hadapan, 2 Julai 2025.

    Berbanding dengan kedua-dua SUV tersebut, MPV Staria yang diperkenalkan di Korea pada Februari 2024, hanya melibatkan peningkatan minima iaitu melibatkan lencana aluminium baharu jenama ini dan kunci berbentuk logo H, yang kedua-duanya diambil dari Ioniq 6. Selain itu, kini ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan port USB-C (namun port yang disambung ke sistem infotainmen masih lagi USB-A), manakala pintu gelangsar berkuasa bebas tangan dengan berasaskan penderia kunci kini beroperasi sedikit lebih pantas.

    Namun perubahan paling besar adalah pengenalan semula varian tujuh-tempat duduk yang diposisikan sebagai varian paling tinggi, yang diberi nama ‘Prestige’. Berbanding dengan varian Premium terdahulu yang dilancarkan pada tahun 2021, model baharu ini menerima kemasan berwarna gangsa pada lencana, sekeliling lampu hadapan, gril, spoiler hadapan, cermin sisi dan kemasan bampar belakang, walaupun selebihnya kelihatan hampir sama seperti model terdahulu. Di dalamnya pula, balutan kulit Nappa masih dikekalkan, tetapi kemasan Alcantara pada panel pintu dan konsol tengah telah digugurkan (manakala kemasan bumbung dalaman masih menggunakan material tersebut).

    Hyundai Staria 2025 dipertontonkan di Malaysia – versi 7- dan 10-tempat duduk, 2.2D; dilancar pada 2 Julai

    Ciri kelengkapan standard termasuk lampu hadapan LED, lampu nyalaan siang (DRL) jenis bar penuh lebar “unibrow”, lampu belakang LED jernih “Parametric Pixel”, rim aloi dua-tona 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pengudaraan, tempat duduk kapten barisan kedua Premium Relaxation berkuasa (larasan gelangsar manual) dengan fungsi pengudaraan, dan ottoman, upholsteri kulit Nappa, bumbung suria berkembar, kawalan suhu dua zon (depan dan belakang), serta pintu tailgate berkuasa bukaan bebas tangan.

    Dari segi teknologi, ia masih diberikan paparan instrumen digital 10.25-inci dan sistem infotainmen lapan-inci, bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem kamera 360-darjah.

    Varian tujuh-tempat duduk Prestige juga dilengkapi dengan pakej bantuan pemandu Hyundai SmartSense, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan di hadapan, pemantau tahap kepekaan pemandu, amaran buka pintu, dan lampu tinggi automatik. Enam beg udara masih diberikan sebagai standard, namun cagak ISOFIX masih hanya dipasang pada barisan kedua tempat duduk sahaja sahaja.

    Staria versi sepuluh-tempat duduk akan terus ditawarkan, dengan varian Style, Premium dan Prestige yang secara amnya sama dengan varian sedia ada iaitu Lite, Plus dan Max. Tiada perincian lanjut mengenai varian-varian tersebut buat masa ini, tetapi kita akan mengetahuinya apabila Staria versi facelift ini dilancarkan bersama model Tucson facelift dan Santa Fe baharu pada minggu hadapan, 2 Julai.

    Di bawah bonet, ia masih lagi ditawarkan dengan enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork dari 1,500 hingga 2,500 rpm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Tiada penawaran enjin 1.6 liter turbo hibrid petrol seperti di Korea, walaupun diesel kini tidak lagi disubsidi di sini.

    Dengan Staria sudah pun dipasang secara CKD di kilang Inokom di Kulim, Kedah, varian tujuh-tempat duduk Prestige dijangka ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding RM368,888 bagi model Premium lama. Sementara itu, model sepuluh-tempat duduk dijangka kekal dalam lingkungan harga sedia ada – RM183,888 untuk Lite, RM200,888 untuk Plus dan RM215,888 untuk Max.

    Hyundai Staria 2025 Prestige versi 7-tempat duduk

     
     
  • Toyota Land Cruiser Hybrid 48V didedahkan di Eropah – enjin 2.8L turbodiesel dengan sistem hibrid ringkas

    Toyota Land Cruiser Hybrid 48V didedahkan di Eropah – enjin 2.8L turbodiesel dengan sistem hibrid ringkas

    Toyota meluaskan lagi portfolio produk elektrifikasinya di pasaran Eropah dengan pengenalan Toyota Land Cruiser Prado siri 250 yang kini buat pertama kali diberikan sistem hibrid ringkas di sana. Model yang secara rasmi diberi nama Land Cruiser Hybrid 48V tersebut kini sudahpun boleh ditempah dan dijangka akan mula dihantar kepada pelanggan menjelang hujung tahun ini.

    Model ini masih lagi menggunakan enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder sebaris seperti versi tanpa hibrid. Apa yang berbeza ia kini digandingkan sekali motor-generator elektrik berkuasa 16 PS dan tork 65 Nm menerusi sistem hibrid 48-volt berkenaan. Kuasa dialirkan ke roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik Direct Shift.

    Unit rangkaian kuasa yang sama sebernarnya turut telah digunakan pada trak pikap Toyota Hilux Hybrid 48V, di mana motor-generator yang disepadukan pada enjin berkenaan bukan sahaja memberikan kuasa tambahan ketika memecut, malah turut memberikan pemanduan yang lebih selesa kerana unit tersebut akan membantu memberikan pecutan dan nyah pecut yang lebih lancar.

    Toyota Land Cruiser Hybrid 48V didedahkan di Eropah – enjin 2.8L turbodiesel dengan sistem hibrid ringkas

    Fungsi berkenaan turut berkesan ketika SUV ini dipandu dalam laluan off-road yang lasak kerana beroperasi dengan penegang tali sawat dua lengan yang direka khas untuk enjin diesel. Ini membolehkan enjin dihidupkan semula dengan lancar dan menambah baik respon ketika memecut, serta memberikan tahap bunyi dan getaran yang senyap setanding enjin petrol.

    Sistem start-stop pada enjin ini mempunyai dua mod yang boleh dipilih pemandu iaitu Normal dan Long. Dalam mod Long, enjin akan dihidupkan lebih lama dalam kelajuan pepura bagi mengekalkan suhu sistem pendingin hawa.

    Toyota turut menyatakan ketika SUV ini sedang mendaki bukit, ada kemungkinan enjin lambat dihidupkan semula untuk menghasilkan tork pemanduan. Oleh itu sistem start & stop berkenaan turut akan berfungsi untuk mengekalkan tekanan sistem brek sehingga tork yang sesuai terhasil bagi membolehkan enjin dihidupkan semula dengan lancar.

    Toyota Land Cruiser Hybrid 48V didedahkan di Eropah – enjin 2.8L turbodiesel dengan sistem hibrid ringkas

    Manakala pada permukaan jalan yang rata, sistem berkenaan akan mengurangkan tork yang berlebihan ketika menghidupkan semula enjin, juga untuk memberikan operasi yang lancar. Seperti biasa, motor-generator dalam satu-satu sistem hibrid turut akan beroperasi untuk mengecas semula bateri setiap kali nyah pecut dan pedal pendikit diangkat.

    Kuasa elektrik bagi sistem hibrid ini disimpan dan dibekalkan semula dari bateri litium-ion 48-volt terdiri 13 sel dengan kapasiti tenaga 4.3 Ah, yang hanya seberat 7.6 kg. Bateri tersebut diletakkan berhampiran penukar DC-DC berprofil rendah, dan kedua-duanya di lindungi dari dimasuki air .

    Namun ia masih ada sistem penyejuk yang mengambil udara sebanyak yang boleh dari bahagian hadapan kenderaan, cukup membolehkan ia disejukkan dengan suhu lebih rendah dari suhu dalam kabin, dakwa Toyota. Kipas turut diberikan untuk membantu fungsi tersebut, dan ia turut menampilkan penapis bagi mengelakkan habuk terhasil di dalam sistem penyejuk bateri tersebut.

    Menurut Toyota, semua ini membolehkan prestasi off-road bagi model hibrid ini tidak terganggu dan masih sama lasak seperti versi diesel penuh, termasuk kebolehan untuk meredah laluan air sedalam 700 mm.

     
     
  • Hyundai Santa Fe 2025 generasi kelima dipertonton di Malaysia — 1.6T HEV dan 2.5L TGDi, lancar 2 Julai ini

    Hyundai Santa Fe 2025 generasi kelima dipertonton di Malaysia — 1.6T HEV dan 2.5L TGDi, lancar 2 Julai ini

    Selain Tucson facelift, syarikat Hyundai Motor Malaysia (HMY) — yang baru ditubuhkan dan mengadakan acara sulung syarikat itu hari ini — turut mempertontonkan SUV Santa Fe terbaru yang bakal masuk ke pasaran Malaysia. Santa Fe yang ditunjukkan ini adalah model generasi kelima yang dengan rekaan baru yang berbeza daripada model facelift generasi keempat yang dilancarkan September tahun lalu.

    Disebabkan itu, perbezaan antara kedua-duanya nampak sangat ketara. Paling utama ialah bentuknya; model semasa hadir dengan bentuk crossover, tetapi model baru ini lebih bersegi lebih terarah kepada imej SUV seperti daripada Land Rover. Menurut Hyundai, rekaan SUV ini direka dari bahagian belakang terlebih dahulu: kerana itu bahagian tersebut nampak luas.

    Reka bentuk selebihnya memenuhi keperluan penggunaan urban dan juga untuk aktiviti lasak, dengan adanya sentuhan seperti permukaan kesat, bahagian kaca dan cermin yang luas dengan pemegang pintunya tersembunyi di tiang C untuk memudahkan akses kepada bumbung, kurang lengkung serta bahagian belakang menegak.

    Hyundai Santa Fe 2025 generasi kelima dipertonton di Malaysia — 1.6T HEV dan 2.5L TGDi, lancar 2 Julai ini

    Wajah depannya juga berimej kental dengan kedudukan bonet yang tinggi serta lampu utama bentuk H. Ini ditambah dengan bampar lebar dengan perincian warna badan — pendekatan yang sama untuk bahagian belakang. Overhang depan juga pendek, sementara lengkuk fender bersegi yang ada memuatkan rim aloi 21-inci, sesuai dengan jarak roda 2,815 mm yang dimiliki.

    Jarak roda berkenaan ialah 65 mm lebih panjang daripada model lama, dengan saiz keseluruhan yang juga hampir sama, walaupun model generasi kelima ini nampak lebih besar. Model baru ini mempunyai ukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi; ini 45 mm lebih panjang, 35 mm lebih tinggi serta lebar yang sama dengan model semasa. Kedua-dua model berkenaan juga menggunakan platform yang sama, yang mula diperkenalkan pada pertengahan kitaran hayat model generasi keempat tersebut.

    Rekaan dalamannya juga sangat berbeza dari model generasi keempat. Ia lebih mewah dan menampilkan rekaan bersih, material berkilat sebagai kemasan antara yang menjadi elemen utama. Rekaan bentuk H juga boleh dilihat diteruskan pada rekaan kabinnya, serta ada juga corong pendingin berkelabaran penuh.

    Hyundai Santa Fe 2025 generasi kelima dipertonton di Malaysia — 1.6T HEV dan 2.5L TGDi, lancar 2 Julai ini

    Di atas corong terletak sebuah paparan skrin lebar melengkung yang terdiri daripada panel instrumen 12.3-inci dan paparan untuk infotainment. Sebelah penumpang pula menerima dua glovebox; dengan bahagian atasnya turut dilengkapi dengan ciri pensterilan UV untuk varian lebih tinggi. Penggunaan butang capacitive touch pula masih dikekalkan untuk kawalan pendingin, tetapi untuk kawalan suhu ia menggunakan tombol fizikal.

    Ruang storan di konsol tengah juga direka semula kerana tuil pemilih gearnya sudah berpindah ke belakang stereng, seperti pada Ioniq. Kini ada dua pad pengecas tanpa wayar Qi, sementara storan perehat lengannya boleh dibuka dari depan dan belakang. Kerusi Relaxation Seat dengan perehat kaki penumpang depan juga boleh direbah dengan hanya satu sentuhan — ciri yang sama ada untuk Ioniq 5 dan 6.

    Ruang penumpang belakang juga rata-ratanya lebih luas; kerusi barisan ketiganya disifatkan memberi ruang terbaik bagi kenderaan dalam kelasnya, dan 10-darjah lebih condong. Untuk masuk ke situ, kerusi barisan kedua boleh dilipat dengan hanya satu sentuhan.

    Kedua-dua kerusi paling belakang boleh dilipat rata untuk memberikan ruang yang luas untuk digunakan, terutama ketika pintu ruang barangan dibuka. Ruang but yang tersedia ialah 628 liter, manakala ketika kerusi barisan kedua dilipat, ia menjadi 1,949 liter. Kelengkapan lain yang ada termasuk cermin pandang belakang digital, head-up display 12.-inch dan banyak slot USB-C dalam kabin, dengan kapasiti hingga 27 watt.

    Dari segi keselamatan, ada banyak ciri bantuan pemandu yang tersedia. Ini termasuklah AEB generasi kedua dengan pengesan kenderaan depan dan bantuan stereng evasif, kawalan melayar dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar kemalangan, amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan brek automatik, amaran bukaan pintu dan pengingat penumpang kerusi belakang. Bantuan parkir jarak jauh juga tersedia, dan 10 beg udara adalah standard.

    Untuk enjin, ia menggunakan unit sama bagi sistem janaan hibrid sebelum ini, yang dilengkapi enjin 1.6 liter turbocas dan suntikan terus (T-GDi) Gamma II empat-silinder petrol, yang menjana sebanyak 180 PS pada 5,500 dan 265 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan sebuah motor elektrik dengan janaan 60 PS/264 Nm dan transmisi automatik enam-kelajuan, memberikan output keseluruhan sebanyak 230 PS dan 350 Nm yang disalurkan ke roda depan.

    Hyundai Santa Fe 2025 generasi kelima dipertonton di Malaysia — 1.6T HEV dan 2.5L TGDi, lancar 2 Julai ini

    Selain itu, ada sebuah lagi enjin baru yang akan diperkenalkan untuk model ini bagi pasaran tempatan, 2.5 liter T-GDi yang menjana sebanyak 281 PS dan 422 Nm, dengan gandingan transmisi automatik klac berkembar lapan-kelajuan.

    Santa Fe 2025 ini dijangka tiba secara rasmi di Malaysia dalam masa terdekat, dengan model CKD yang dijangka bermula pada suku ketiga 2025, dipasang di kilang Inokom, Kulim di Kedah.

    Entiti HMY yang baru ini dijangka akan mengambil alih pengedaran jenama Hyundai di sini daripada Hyundai Sime-Darby Motors, yang selepas ini akan menjadi satu daripada pengedarnya. Syarikat itu merancang untuk mempertingkatkan rangkaian servisnya kepada 25 cawangan menjelang 2030. Dalam tempoh lima tahun akan datang, HMY akan memperkenalkan tujuh buah model untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Hyundai Tucson 2025 dipertonton di M’sia – 2.0MPI, 1.6TGDI dan enjin baharu 1.6T HEV; tempahan dibuka

    Hyundai Tucson 2025 dipertonton di M’sia – 2.0MPI, 1.6TGDI dan enjin baharu 1.6T HEV; tempahan dibuka

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Hyundai Motor Company (HMC) telah mengumumkan bahawa ia kini menguruskan sendiri jenama automotif dari Korea Selatan itu untuk pasaran Malaysia menerusi prinsipal yang dikenali sebagai Hyundai Motor Malaysia (HMY). Boleh dikatakan HMY kini setaraf dengan Honda Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia dan pengeluar kenderaan (OEM) lain yang dikendalikan secara langsung oleh syarikat induk.

    Sejak awal bulan ini akaun-akaun media sosial rasmi HMY termasuk Facebook, Instagram, Youtube, LinkedIn dan TikTok sudah pun diaktifkan. Malahan sejak minggu lalu, HMY yang turut menyatakan komitmen jangka panjangnya di Malaysia, mengesahkan bakal memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan.

    Ini termasuklah SUV Tucson yang merupakan versi facelift terkini bagi generasi keempat Tucson yang pertama kali diperkenalkan pada akhir tahun 2020. Facelift ini mengekalkan kelebihan reka bentuk generasi NX4 dengan elemen Parametric Dynamics, tetapi kini menampilkan penggayaan yang lebih dinamik bagi menterjemahkan visi progresif pengeluar ini terhadap mobiliti masa depan.

    Hyundai Tucson 2025 dipertonton di M’sia – 2.0MPI, 1.6TGDI dan enjin baharu 1.6T HEV; tempahan dibuka

    Tucson 2025 menampilkan wajah hadapan dengan gabungan garisan nipis dan bersudut yang agresif pada gril radiator, ditambahkan dengan lampu utama tersembunyi jenis Parametric Jewel serta lampu nyalaan siang (DRL). Berbanding model sebelum facelift, Tucson 2025 hanya diberikan tiga LED dalam satu barisan, berbanding empat unit pada versi terdahulu, namun kali ini saiznya lebih besar dan berbentuk lebih bulat.

    Manakala bamparnya juga diberikan sentuhan rekaan yang lebih bersudut bersama potongan lampu utama yang menyerlahkan lagi gaya agresifnya. Plat perak nipis (skid plate) kini memanjang dari hujung ke hujung. Selain itu, rim juga direka semula, manakala di bahagian belakang, skid plate kini diintegrasikan ke bampar dan dilebarkan secara mendatar, seiring dengan rekaan bahagian hadapan. Secara keseluruhan, penampilannya kini lebih lasak dengan gaya ala Santa Cruz, dan ia kelihatan lebih menarik pandangan.

    Hyundai telah mengolah rekaan kabinnya lebih drastik, termasuk papan pemukanya yang mirip dengan model EV Ioniq 5 dan 6. Reka bentuk ‘waterfall’ pada model asal digantikan dengan susun atur mendatar dwi-skrin yang disambungkan, lengkap dengan jalur corong pendingin hawa yang merentangi papan pemuka. Stereng juga menerima rekaan baharu dengan unit tiga-jejari yang tidak menampilkan logo Hyundai, sama seperti yang terdapat pada model EV Ioniq.

    Hyundai Tucson 2025 dipertonton di M’sia – 2.0MPI, 1.6TGDI dan enjin baharu 1.6T HEV; tempahan dibuka

    Selain itu, panel sesentuh futuristik juga dipertaruhkan, dan konsol tengah ‘terapung’ turut dipertaruhkan termasuk butang pemilih gear yang sebelum ini terletak di konsol tengah kini digantikan dengan suis tuil pada stereng. Hasilnya ialah ruang yang sangat terbuka di antara tempat duduk hadapan, dan mempunyai banyak ruang storan.

    Di Malaysia, kita menerima Tucson 2025 dengan versi jarak roda yang panjang (LWB) berbanding yang ditawarkan di Amerika Syarikat. Ia berukuran 4,630 mm panjang dan 1,865 mm lebar, namun SUV segmen-C buatan Hyundai ini adalah 61 mm lebih pendek dan 1 mm lebih sempit berbanding Honda CR-V. Sementara bagi jarak rodanya, Tucson berukuran 2,755 mm iaitu 75 mm lebih panjang berbanding versi jarak roda standard yang terdapat di beberapa pasaran termasuk Eropah, serta 54 mm lebih panjang berbanding CR-V. Untuk ruang butnya, ia berkapasiti 582 liter, dan boleh ditambah sehingga 1,903 liter apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan.

    Bagi aspek mekanikalnya, Tucson 2025 ditawarkan dengan tiga pilihan enjin iaitu 2.0 MPI dengan hamburan kuasa 156 PS/192 Nm yang turut diberikan kotak gear automatik enam-kelajuan, 1.6 TGDI dengan 180 PS/265 Nm serta transmisi DCT tujuh-kelajuan. Dan varian tertinggi pula diberikan enjin baharu yang lebih padu iaitu 1.6T HEV dengan hamburan kuasa 235 PS dan tork 367 Nm bersama kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Perincian penuh dan harga untuk barisan Tucson 2025 akan didedahkan sepenuhnya dalam majlis pelancarannya yang bakal berlangsung pada awal bulan hadapan. Bagi yang berminat untuk memiliki Tucson 2025 ini sudah boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Hyundai berhampiran untuk menempahnya.

    Menurut Pengarah Urusan HMY Jahabarnisa Haja Mohideen, pihaknya turut merancang untuk memulakan pengeluaran secara tempatan (CKD) pada suku ketiga tahun ini. Bukan itu sahaja, dalam tempoh lima tahun akan datang, HMY merancang untuk memperkenalkan tujuh model versi CKD dan dalam masa yang sama bakal memperluaskan lagi rangkaian pengedarannya ke 25 lokasi menjelang tahun 2030.

    Hyundai Tucson 1.6T HEV 2025

    Hyundai Tucson 1.6TGDI 2025

     
     
  • Indian Motorcycle rasmi kembali ke pasaran Malaysia

    Indian Motorcycle rasmi kembali ke pasaran Malaysia

    Setelah senyap seketika, Indian Motorcycle mengumumkan kehadiran rasmi mereka dalam pasaran Malaysia dengan sekarang berada di bawah pengedaran eksklusif Spirit Lake Motor Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI).

    Sebagai permulaan, terdapat 11 variasi motosikal dari jenama yang sudah wujud sejak tahun 1901 ini ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia, dengan antara modelnya adalah seperti Chieftain Dark Horse, Springfield Dark Horse, Scout, Scout Bobber Twenty, Scout Rogue dan Scout Bobber.

    Harganya bermula daripada RM89,000 tidak termasuk insurans, iaitu untuk Scout Bobber dan Scout Rogue, dan boleh pergi sehingga RM185,000 iaitu untuk Springfield Dark Horse. Model-model terbaru lain daripada Indian akan menyusul selepas ini.

    Indian Motorcycle rasmi kembali ke pasaran Malaysia

    Selain jaminan untuk motosikal, Spirit Lake juga akan menyediakan khidmat menyeluruh, termasuk sokongan selepas jualan, alat ganti tulen, bantuan teknikal serta barangan rasmi jenama, demi memberi pengalaman pemilikan yang lebih meyakinkan untuk peminat pemilik.

    Buat masa ini, operasi Indian Motorcycle dijalankan dari bilik pameran AMI di Jalan 222, Petaling Jaya namun, satu pusat 3S (Jualan, Servis & Alat Ganti) serba lengkap dijangka dibuka sebelum akhir tahun ini. Pusat ini akan dibangunkan sebagai destinasi gaya hidup, tempat berkumpulnya peminat Indian Motorcycle untuk berkongsi minat dan menjalin komuniti yang erat, sambil menikmati warisan serta semangat jenama ini.

     
     
  • Proton serahkan X90 binaan khas pada YAM Tengku Sulaiman – warna dua-tona, kabin lebih mewah

    Proton serahkan X90 binaan khas pada YAM Tengku Sulaiman – warna dua-tona, kabin lebih mewah

    Proton hari ini menyiarkan satu video di mana pihaknya telah menyerahkan sebuah lagi kereta binaan khas untuk Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, kali ini ia diasaskan dari SUV segmen-D Proton X90.

    Paling menyerlah sudah tentu pilihan warna badan pada SUV ini di mana Tengku Sulaiman memilih untuk memadankan warna badan dua tona dengan warna perang pada kedua-dua sisi serta warna perak pada bahagian tengah badan. Selain itu X90 ini juga menerima logo ‘Harimau Malaya’ yang berdiri pada penutup bonet hadapan ala-Mercedes-Benz dengan tulisan “Proton X90 Special Edition” pada tapak logo tersebut.

    Selain itu penampilan luaran X90 ini disempurnakan dengan pemadanan set rim aloi istimewa dalam kemasan digilap, membuatkan stance X90 ini nampak lebih gagah dari asal.

    Sentuhan lebih istimewa turut diberikan pada bahagian dalaman di mana kabin SUV ini diberikan balutan upholsteri kulit baharu dengan gandingan warna putih dan merah gelap baharu termasuk pada tempat duduk dan panel pintu. Manakala roda stereng bukan hanya dibalut semula dengan upholsteri yang sama, malah gegelangnya juga dibuat semula menggunakan kayu walnut.

    Penumpang dibaris kedua pula bukan sahaja diberikan rasa mewah menerusi tempat duduk kapten asal X90 ini, malah kini ia turut ditambah dengan meja dengan pemegang cawan yang boleh dilipat, ‘disangkut’ pada bahagian belakang tempat duduk hadapan.

    Tidak disebut sebarang perubahan mekanikal yang dibuat pada X90 ini. Dalam keadaan standard SUV tersebut dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt yang menampilkan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Kuasa disampaikan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, disertakan bersama mod manual.

    Juga tidak dinyatakan siapa yang membina X90 terbaharu Y.A.M Tengku Sulaiman ini, namun untuk Proton Perdana, Proton X50 dan Proton X70 binaan khasnya sebelum ini disiapkan oleh subsidiari Proton sendiri untuk kenderaan custom sedemikian iaitu Automotive Conversion Engineering (ACE).

    Selain dari empat model Proton terbaharu berkenaan, Y.A.M Tengku Sulaiman turut mempunyai beberapa lagi model Proton binaan khas dalam koleksinya, termasuk Proton Saga generasi pertama dalam versi limosin, Saga sedan generasi pertama dengan kit badan tersendiri, dan juga Satria Neo dengan kit badan kereta lumba R3 Asia Touring Car Series (ATCS).

    GALERI: Proton X50 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

    GALERI: Proton X70 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

    GALERI: Proton Perdana 2.4 2016 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

     
     
  • Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Lapan bulan selepas dilancarkan, Mitsubishi Triton generasi ketiga yang berada dalam pasaran kini telah diberikan beberapa kemaskini dan naik taraf spesifikasi. Diperkenalkan sempena ulang tahun Mitsubishi Motors Malaysia yang ke-20, kemaskini berkenaan hanya untuk varian Athlete, yang tidak hanya melibatkan penurunan harga tetapi turut juga membawakan kesan visual yang lebih segar kepada trak pikap ini.

    Di depan, rekaan Beast Mode yang digunakan kini tampil dengan tambahan hiasan skid plate yang menampakkannya lebih bersegi. Kemasan perak dan hitam juga nampak serasi dengan bampar hitam Dynamic Shield serta memberikan kontras warna yang menarik (yang kurang kelihatan untuk warna Jet Blakc Mica yang ditampilkan ini).

    Selain itu, tambahan palang sports diberikan untuk trak ini tampil lebih lengkap dan penuh. Dengan dua kemaskini yang diberikan tersebut, Triton Athlete yang ada kini nampak sangat mirip dengan versi rasminya ketika mula diperkenalkan untuk umum pada 2023 dahulu — bagaimanapun, palang sport yang diberikan ini tidak mengenakan ejaan jenama Mitsubishi, mencadangkan bahawa ia keluaran tempatan.

    Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Perubahan lain termasuklah grafik hitam dan perak di bahagian sisi trak, yang nampak agak menonjol dan jelas. Selain itu, pintu ruangan kargo di belakang juga telah diberikan penyerap hentak/damper, dan boleh dibuka tanpa ia terhempas kerana berat.

    Dengan semua kemaskini tersebut, Mitsubishi Triton diturunkan harga sebanyak RM6,000, dan kini dijual dengan harga RM159,980 atas jalan belum termasuk insurans. Ini menjadikan Triton Athlete sebagai trak model flagship yang termurah bagi jenama-jenama utama yang ada — ia RM2,000 lebih murah daripada Isuzu D-Max X-Terrain, RM3,000 lebih murah dari Toyota Hilux Rogue dan RM11,000 lebih murah berbanding Ford Ranger Wildtrak.

    Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Selain semua itu, Athlete kekal identikal seperti sebelumnya, dengan dilengkapi lampu utama LED automatik, rim aloi hitam berkilat 18-inci, landasan di bumbung, pemijak sisi, sistem tanpa kunci, butang Push Start, paparan multi-info tujuh-inci, skrin sentuh infotainmen PEM lapan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin dua zon, pengecas tanpa wayar Qi, kerusi pemandu larasan kuasa elektrik, kerusi balutan kulit dan suede buatan dengan benang oren, tujuh beg udara, AEB, kawalan melayar adaptif dan amaran penukaran lorong.

    Enjin juga kekal sama: unit 2.4 litre 4N16 MIVEC turbo berkembar diesel dengan janaan 204 PS/470 Nm dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Tidak ketinggalan, sistem Super Select 4WD-II dengan mod pacuan empat roda sepenuh masa dan Active Yaw Control (AYC) juga tersedia.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    VW Golf GTI Clubsport 25h & VW Golf GTI 50 auf der Nordschleife – Foto: Gruppe C Photography

    Bagi meraikan ulangtahun ke-50 untuk hot-hatch Golf GTI yang mula di jual di Jerman sejak 1976, Volkswagen memperkenal satu model edisi khas Golf GTI yang digelar sebagai Edition 50. Namun jangan keliru dengan Volkswagen Golf Edition 50 yang dilancarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu, kerana Edition 50 yang dihasilkan di Jerman ini diasaskan dari versi facelift iaitu Golf Mk8.5 dan ia merupakan Golf GTI produksi paling berkuasa pernah dihasilkan sehingga kini.

    Untuk itu, Volkswagen telah menyumbat enjin 2.0 liter empat-silinder Turbo EA888 evo4 yang sama seperti pada Golf GTI Clubsport, kemudian ditala bagi menghasilkan lebih kuasa iaitu 325 PS dan tork maksima 420 Nm. Ini bermakna Golf GTI Edition 50 ini adalah 25 PS/20 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI Clubsport dan 60 PS/50 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI biasa.

    Selari dengan peningkatan kuasa, suspensi GTI 50 Edition ini turut ditala semula. Secara standard suspensi model istimewa ini adalah 15 mm lebih rendah dari versi biasa, dan sekiranya pembeli memilih untuk memadankan pakej GTI Performance, ia akan menberikan suspensi tersebut tambahan 5 mm lebih rendah dengan spring lebih keras, membolehkan frekuensi asli pada gandar hadapan dan belakang naik sekitar 20%.

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    VW Golf GTI Clubsport 25h & VW Golf GTI 50 auf der Nordschleife – Foto: Gruppe C Photography

    Menurut Volkswagen talaan semula yang dibuat ini memberikan karekteristik sokongan yang lebih baik, respon yang lebih terus dan juga mengurangkan gerakan olengan dan olah gerak. Pakej tersebut turut datang sekali pengadaptasi cagak suspensi, rim aloi forged ‘Warmenau’ 19-inci dan juga tayar jenis semi slick Bridgestone Potenza Race bersaiz 235/35R19.

    Volkswagen juga mendakwa bahawa setiap roda berkenaan ditimbang dengan berat 8 kg, atau 3 kg lebih ringan dari rim 19-inci standard. Manakala untuk tayar Volkswagen menyatakan bahawa ia bekerjasana rapat dengan Bridgestone bagi memastikan tayar Potenza Race berkenaan memberikan lebih cengkaman tetapi kurang rintangan golekan.

    Bagi mengurankan lagi berat kereta ini, Volkswagen turut menawarkan set ekzos titanium dari Akrapovic, membolehkan beratnya dikurangkan lagi sebanyak 11 kg.

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    Dengan semua rombakan dibuat, Volkswagen Golf GTI Edition 50 ini berjaya mencatatkan masa lap terpantas 7 minit 46.13 saat di litar ‘The Green Hell’ Nurburgring Nordschleife, dipandu oleh pelumba Touring Car dan pemandu uji Volkswagen sendiri iaitu Benny Leuchter.

    Walaupun rekod berkenaan masih belum boleh memecahkan rekod kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar berkenaan yang masih dipegang oleh Honda Civic Type R FL5, ia telah pun memecahkan rekod yang dibuat oleh Volkswagen Golf R juga dipandu oleh Leuchter dengan catatan 7 minit 47.31 saat pada 2022.

    Tak lengkap jika sesebuah model edisi terhad itu tidak hadir dengan perincian luaran dan dalaman istimewa bagi membezakannya dengan model biasa. Oleh itu Golf Edition 50 ini diberikan logo ‘GTI 50’ pada spoiler bumbung dan pada sebelah dalam cermin sisi dan pada kemasan bendul pintu, serta kemasan-kemasan hitam pada bumbung, penutup cermin sisi, kemasan tip ekzos serta jalur sisi badan.

    Volkswagen Golf GTI 50 ini ditawarkan dalam warna badan Pure White, Moonstone Grey dan Grenadilla Black, serta dua warna eksklusif khas iaitu Dark Moss Green dan Tornado Red. Manakala pada bahagian dalaman, Golf GTI istimewa ini diberikan tempat duduk dengan corak kotak-kotak ikonik, tali pinggang merah dan juga roda stereng rata di bawah dengan logo ‘GTI 50’ pada jejari bawah.

    Harga bagi Volkswagen Golf GTI Edition 50 ini masih belum diumumkan. Penghantaran kereta ini kepada pelanggan yang telah menempahnya hanya akan dibuat pada suku pertama 2026 bagi menggenapkan usia 50 tahun hot-hatch berkenaan.

     
     
  • Zeekr 009 Ultra Luxury di Malaysia – galeri MPV 6-tempat duduk berharga RM359,800, 582 km WLTP

    Zeekr 009 Ultra Luxury di Malaysia – galeri MPV 6-tempat duduk berharga RM359,800, 582 km WLTP

    Zeekr secara rasmi memasuki pasaran Malaysia enam bulan lalu dengan menawarkan dua model EV iaitu SUV X dan MPV mewah 009 yang anda lihat menerusi galeri foto mega ini. Pencabar Alphard/Vellfire ini memulakan langkah dengan baik dan kini merekodkan sebanyak 402 unit telah didaftarkan di Malaysia sehingga akhir Mei, menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekaligus menjadikannya MPV EV ketiga paling laris setakat tahun ini.

    Bagi 009 di pasaran Malaysia, ia hadir dengan tiga varian iaitu varian tujuh-tempat duduk Executive pada harga RM310,000, tujuh-tempat duduk Luxury pada RM350,000, dan enam-tempat duduk Ultra Luxury yang dipaparkan di sini yang berharga RM360,000. Varian Executive diberikan satu motor elektrik hadapan dengan 340 PS/373 Nm, manakala dua varian lagi menggunakan dua motor elektrik yang menghasilkan gabungan 612 PS/693 Nm. Namun, kesemua varian menggunakan pek bateri NMC 116 kWj yang sama, menjadikan varian Executive sebagai “raja jarak” dengan keupayaan 604 km mengikut piawaian WLTP.

    Manakala dua varian lebih tinggi masih menawarkan jarak 582 km iaitu hanya kurang 22 km dengan kuasa 80% lebih tinggi, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Kadar pengecasan maksimum ialah 11 kW (AC) dan 150 kW (DC), di mana pengecas DC mampu mencapai status pengecasan dari 10% ke 80% sekitar setengah jam.

    Zeekr 009 Ultra Luxury di Malaysia – galeri MPV 6-tempat duduk berharga RM359,800, 582 km WLTP

    Dari segi kelengkapan, ketiga-tiga varian menawarkan ciri hampir serupa – semuanya didatangkan dengan suspensi udara dua-ruang, rim aloi 19-inci, lampu utama LED matrix, serta panel sentuh pada pintu gelangsar kuasa untuk akses pantas bagi kawalan pintu dan pendingin hawa.

    Ciri standard lain termasuk sistem (ADAS) sepenuhnya dan tujuh beg udara, tempat duduk barisan hadapan dan tengah dengan fungsi urut dan pengudaraan, balutan kulit Nappa, peti sejuk 8.6-liter, bumbung suria panoramik, skrin siling OLED 17-inci dengan alat kawalan jauh, kamera di barisan tengah dan banyak lagi.

    Perbezaan kelengkapan antara varian hanyalah Executive tidak mempunyai pintu depan soft-close dan stereng boleh laras kuasa, manakala Ultra Luxury yang hanya mempunyai enam-tempat duduk menampilkan tempat duduk tengah yang lebih lebar, mmembuatkan ia tidak boleh dilalui untuk ke barisan ketiga.

    Selain itu, ia turut diberikan kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh OLED 15.05-inci, manakala konsol tengah menempatkan pad pengecas tanpa wayar 50W. Turut dilengkapi ialah paparan utama 39.95-inci dengan augmented reality (AR), sistem telematik, serta 30 unit pembesar suara Yamaha.

    Zeekr 009 berukuran 5,209 mm panjang, 2,024 mm lebar, 1,848 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 3,205 mm – menjadikannya 200 mm lebih panjang, 174 mm lebih lebar dan 205 mm jarak roda lebih panjang berbanding Vellfire (RM438k) dan Alphard (RM538k). Setiap unit 009 disertakan dengan waranti kenderaan lima-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km dan dua-tahun perkhidmatan sambungan percuma.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025