Alza Baru

  • Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Perodua Alza generasi kedua merupakan model model terkini keluaran syarikat itu yang menggunakan enjin 2NR-VE, yang turut digunakan untuk Myvi dan Aruz sebelum ini. Unit 1.5 liter DOHC NA empat-silinder dengan Dual VVT-i. Walaupun enjin yang sama, antara ketiga-tiganya memberikan janaan kuasa yang berbeza.

    Enjin berkenaan yang digunakan oleh Alza menjana output paling tinggi, dengan 106 PS (105 hp atau 78 kW) pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm. Ini diikuti oleh Myvi yang menghasilkan 103 PS (102 hp atau 76 kW) dan 137 Nm sementara Aruz pula dengan 102 PS (101 hp atau 75 kW) dan 133 Nm. Transmisi pula, Alza dan Myvi menggunakan D-CVT yang memacu roda depan, manakala Aruz pula menggunakan 4AT yang memacu roda belakang.

    Dalam artikel ini, kami akan melihat perbezaan kos penyelenggaraan Alza dalam tempoh lima tahun atau 100,000 km berbanding Myvi dan Aruz. Juga sebagai perbandingan, turut akan disertakan Ativa dengan enjin 1KR-VET 1.0 liter turbocas tiga-silinder dan D-CVT, yang harganya tidak jauh beza daripada Alza dan Aruz, serta model lama Alza dengan enjin 3SZ-VE 1.5 liter dengan 4AT.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Semua model yang dinyatakan ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza. Jadi, tujuan artikel ini adalah untuk menunjukkan perbezaan kos selenggara antara semuanya, bersesuaian dengan segmen model-model ini dipasarkan dan kelompok penggunanya. Untuk melihat perbezaan kos selenggara Alza dengan pesaingnya, kami pernah membuat perbandingannya dengan Mitsubishi Xpander dan Honda BR-V.

    Perlu juga dinyatakan, semua angka yang dipaparkan dalam jadual ini diperoleh dari laman web rasmi Perodua sendiri, berkaitan jadual selenggara rasmi yang diterbitkan. Seperti yang dapat anda lihat, dalam tempoh lima tahun/100,000 km, kos selenggara Alza sebenarnya tidak banyak berbeza dengan model lain ini. Berbanding Aruz, Alza hanya lebih mahal RM81.55, manakala berbanding Myvi angkanya lebih banyak berbezaa — kos selenggara Alza RM216.86 lebih mahal.

    Ativa jadi model paling mahal untuk diselenggara antara semuanya, walaupun hanya melibatkan beza RM17.04 berbanding Alza. Jika dibahagikan dengan lima tahun, perbezaan ini jadi terlalu kecil. Dalam kes Alza lama, ia menjadi model paling murah untuk diselenggara jika mengikut jadual yang dicadangkan itu, walaupun jumlahnya akan naik kepada RM3,481.06 jika barangan Pro Care dimasukkan sekali semuanya (RM660.70).

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Mengikut barangan untuk servis berjadual yang tertera, kos minyak enjin sintetik penuh, penapis minyak dan bendalir brek yang digunakan oleh Alza, Myvi dan Aruz adalah sama. Berbeza dengan Alza lama yang menggunakan minyak enjin semi-sintetik, dan ia tidak memerlukan penambahan coolant dalam tempoh lima-tahun pertama itu seperti model lain ini.

    Untuk barangan yang lebih mahal, Alza, Myvi dan Aruz semuanya memerlukan palam pencucuh Iridium selepas 60 bulan/100,000 km dengan kos RM220.40, yang mana itu lebih murah berbanding palam pencucuh Ativa yang menelan kos RM471.90. Palam pencucuh Aruz sebelum ini pula perlu ditukar setiap 12 bulan/20,000 km dengan kos RM302 keseluruhannya bagi tempoh 60 bulan/100,000 km.

    Semua model dengan D-CVT juga perlu ditukar pelincir kotak gearnya pada waktu tertentu, dengan kos RM101.30 termasuk saliran gasket palam pencucuh. Sementara itu, model dengan 4AT pula memerlukan dua kali penukaran minyak kotak gear setiap 40,000 km/24 bulan.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Aruz pacuan roda belakang pula memerlukan dua penukaran pelincir untuk 4AT dan differential belakang dalam tempoh lima-tahun itu, dalam senggang dua-tahun/40,000 km, dengan setiap kali itu menelan kos RM151.50. Aruz bagaimanapun memerlukan kurang penukaran penapis udara kabin (setiap 18 bulan/30,000 km) yang mengurangkan lagi kos selenggaranya.

    Servis berjadual rasmi Aruz juga menyenaraikan barangan dalam servis Pro Care sebagai pilihan. Ini melibatkan penapis udara (enjin) dan bendalir brek untuk ditukar pada 12 bulan/20,000 km; 36 bulan/60,000 km; dan 60 bulan/100,000 km, serta dengan jajaran, imbangan dan pusingan tayar setiap 12 bulan/20,000 km. Turut dicadangkan ialah penukaran palam pencucuh pada 30 bulan/50,000 km. Mengambil kira semua pilihan Pro Care ini bagi tempoh lima tahun akan melibatkan penambahan RM738.10 kepada kos selenggara Aruz.

    Seperti biasa, bukan ini saja kos yang ada untuk pemilikan kenderan. Jangan lupa ada kos lain seperti cukai jalan yang berbeza antara SUV dan bukan SUV. Alza dan Myvi hanya dikenakan RM90 setahun, tetapi Aruz perlukan RM120 dan Ativa pula yang paling murah dengan hanya RM20 setahun.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Tidak lupa juga, tayar yang harganya berbeza mengikut saiz. Tayar Alza berada antara saiz 15 dan 16 inci, sementara Myvi antara 14 hingga 15 inci. Ativa pula dengan 16 hingga 17 inci, sementara Aruz dengan 17 inci.

    Barangan seperti brek juga perlu diambil kira, dengan Ativa, Myvi dan Aruz menggunakan brek cakera di depan dan brek dram di belakang. Ini juga sama untuk Alza, kecuali varian paling tinggi yang dilengkapi brek cakera seluruhnya sebagai gandingan dengan ciri brek parkir elektronik yang ada padanya.

    Tidak lupa juga tahap penggunaan bahan api yang berbeza. Menurut angka atas kertas oleh Perodua, Myvi jadi yang paling jimat dengan 21.1 km/l mengikut piawai ECE. Ini diikuti oleh Ativa (18.9 km/l) dan Aruz (15.6 km/l). Alza jika mengikut piawai NEDC akan memberikan 18.9 km/l, atau 22 km/l mengikut piawai Kitaran Pemanduan Malaysia.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Perbezaan harga antara semua model ini juga perlu dipertimbangkan. Alza dijual antara RM62,500-RM75,500, Aruz pula antara RM72,900-RM77,900, Ativa antara RM62,500-RM72,600, dan Myvi antara RM50,900-RM59,900. Alza lama sebelum ini dijual dengan harga antara RM52,661 hingga RM60,525, jika tidak mengambil kira versi yang dijual di bawah RM50k.

    Jadi inilah perbezaan yang perlu dilihat untuk kos selenggara semua model yang dinyatakan ini. Pandangan anda, mana satu yang lebih berbaloi, dan untuk kegunaan yang bagaimana?

     
     
  • PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

    PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

    Untuk memandu Perodua Alza 2022 dalam sebuah perjalanan yang mencerminkan penggunaan sebenar sebahagian besar pemiliknya memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kemampuan MPV generasi kedua keluaran syarikat tempatan ini. Awal Ogos, kami berkesempatan ikut serta dalam sesi pandu uji MPV berkenaan, dengan jarak lebih 600 km dari Rawang menuju Kota Bharu (KB), Kelantan bagi mencuba sendiri Perodua Alza 2022 yang baru dilancarkan Julai lalu.

    Sebagai sebuah MPV tujuh-tempat duduk dengan tumpuan penggunaan adalah untuk keluarga, sudah tentu perjalanan jauh seperti ini menjadi satu daripada manifestasi dan kayu ukur sebenar terhadap apa yang mampu diberikan oleh MPV kompak ini, apa lagi perjalanan menuju ke KB yang meliputi jarak cukup jauh untuk membolehkan kami merasai dan memberi perhatian kepada segenap aspeknya di atas jalan raya.

    Kami bertolak dari ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang sebelah pagi, dalam keadaan trafik yang sederhana, dengan sebuah Perodua Alza 1.5 AV, spesifikasi yang paling tinggi. Di dalam kereta, ada tiga orang dewasa dengan bebera beg pakaian — kami hanya memanfaatkan lima-tempat duduk sahaja, dengan kerusi barisan ketiga dibiar terlipat untuk memberi ruang memuatkan barangan yang dibawa sekali. Sudah tentu ini bukanlah situasi yang paling optimum untuk melihat kapasitinya yang sebenar sebagai kenderaan kegunaan keluarga, tetapi cukup untuk menilai beberapa hal penting padanya.

    Saya meluangkan masa dalam sesi pertama pemanduan dengan duduk di kerusi penumpang belakang terlebih dahulu. Dengan kerusi barisan kedua ditolak laras ke kedudukannya yang paling belakang, ruang kaki tersedia sangatlah luas. Rekaan kerusinya ringkas (balutan kulit campuran dengan kemasan merah), yang tetap memberi sokongan terhadap badan daripada mudah tergelungsur terutama ketika kereta dibelok. Lantainya pula hampir rata, memudahkan sesiapa yang duduk di tengah; lantai yang agak rendah ini juga memudahkan urusan keluar masuk ke kabin, bahkan dalam keadaan yang lebih memudahkan berbanding sebahagian kereta sedan.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Selepas mengeluarkan siri iklan teaser kebelakangan ini, Perodua akhirnya melancarkan secara rasmi MPV Alza 2022 generasi kedua untuk pasaran tempatan. Tiga varian ditawarkan, iaitu 1.5L X, 1.5L H dan 1.5L AV.

    Alza 2022 dijual pada harga seperti berikut; X (RM62,500), H (RM68,000) dan AV (RM75,500) — harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan SST. Harga ini sedikit tinggi daripada harga anggaran yang disebut-sebut sebelum ini. Untuk perbandingan, Alza dari model sebelumnya dijual antara RM52,661 hingga RM60,525.

    Namun, seperti yang dapat dilihat, model D27A yang terbaru ini sangat jauh berbeza dan hadir bukan sahaja dengan rekaan baru keseluruhannya, bahkan dengan senarai spesifikasi yang lengkap. Sejak model generasi pertamanya itu dilancarkan pada 2009, hampir 400,000 unit telah terjual. Dan, dengan rentang 13 tahun, wajarlah Alza diberikan pembaharuan secara menyeluruh. Sebelum ini, Alza diberikan dua kali facelift; pertama pada tahun 2014, dan terakhir pada tahun 2018.

    Perodua Alza 2022 ini berkongsi banyak persamaan dan asas dengan model-model seperti Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia — dua model yang mendapat sambutan di Indonesia. Jadi adakan ini model “rebadge”? Tidak. Sama seperti Ativa dahulu yang dibangunkan secara bersama dengan model Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, begitu jugalah Alza ini. Semua itu dilakukan atas nama penjimatan kos pembangunan modelnya, dan dalam masa sama memperluaskan capaiannya dalam pasaran.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Tentang perbezaan Alza dengan Veloz (yang merupakan versi lebih premium Avanza), dapat dilihat wajah depannya yang punyai sentuhan sendiri. Bahagian bampar dengan rekaan unik tersendiri, begitu juga dengan rekaan grilnya yang lebih besar memberikan penampilan yang khusus untuk Alza. Bampar belakang dan rim lain, begitu juga dengan rekaan lampu depan dan belakang yang ada pada Alza.

    Perbezaan paling ketara ialah jarak kelegaan tanah antara keduanya, dengan beza yang agak besar juga iaitu 45 mm. Perodua ingin jadikan Alza lebih cenderung sebagai sebuah kereta dengan kedudukan lebih rendah dengan tanah, dan disebab itu jaraknya adalah 160 mm. Sebagai perbandingan, Veloz mempunyai jarak kelegaan tanah 205 mm — seperti lazimnya MPV di Indonesia.

    Untuk itu, Alza memang memiliki penampilannya yang tersendiri; lebih rendah dan nampak lebar dan sporty. Ini juga bermaksud, pergerakan keluar-masuk ke dalam kenderaan, terutamanya untuk kerusi barisan belakang, akan lebih mudah.

    Dibangun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Alza menjadi model kedua selepas Ativa yang berkongsi platform sama serta berada di bawah konsep Perodua Smart Build.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Alza generasi kedua ini mempunyai ukuran dimensi 4,425 mm panjang dan 1,730 mm lebar. Ini bermakna jejaknya adalah 205 mm lebih panjang dan 35 mm lebih lebar berbanding yang lama, walaupun jarak antara rodanya masih dikekalkan dengan 2,750 mm. Ini sebuah MPV yang agak rendah, dengan ketinggian 1,670 mm (1,660 mm untuk X yang menggunakan rim 15-inci; H dan AV dengan rim dua-tona 16-inci) adalah kurang lebih 50 mm berbanding Alza lama, tetapi Alza baru ini juga 60 mm lebih rendah jika dibandingkann dengan Mitsubishi Xpander.

    Ukuran yang lebih besar ini diterjemahkan kepada ruang kabin yang lebih luas untuk penumpang dan barangan. Jika kerusi barisan kedua ditolak ke kedudukan paling belakang, panjang ruang berkenaan adalah 2,765 mm, berbeza 115 mm berbanding sebelum ini. Tambahan kelebaran 35 mm juga memberi kesan lebih luas.

    Bukaan pintu belakang pula ialah 240 mm, 90 mm lebih lebar dari yang lama. Fungsi satu sentuhan untuk kerusi barisan kedua pula memberikan capaian yang lebih mudah untuk ke kerusi barisan ketiga. Dengan kerusi barisan ketiga ditegakkan, Alza lama hanya menyediakan 83 liter ruang barangan. Kini, Alza baru menyediakan 137 liter (+54 liter). Dengan kerusi barisan ketiga direbahkan, ruang yang tersedia adalah 498 liter, melibatkan pertambahan 150 liter. Tayar ganti saiz penuh ada diletakkan di bahagian bawah kenderaan, di luar.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Alza 2022 baru ini menggunakan sistem janaan kuasa dan pacuan yang sama dengan Myvi. Tiada lagi enjin 3SZ-VE 1.5L yang lama, dan ini digantikan dengan enjin NR 1.5L yang digunakan untuk model semasa Perodua dan Toyota ketika ini. Unit 2NR-VE berkenaan menghasilkan sebanyak 105 hp dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm; 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi. Kecekapan penggunaan minyak juga didakwa 40% lebih baik, disamping prestasi keseluruhan yang lebih baik. Eco Idle ditawarkan sebagai ciri standard.

    Enjin Dual VVT-i Euro 4 empat-silinder berkenaan digandingkan bersama kotak gear D-CVT yang sama digunakan untuk Ativa. Kotak gear ini kemudiannya ditawarkan juga untuk Myvi versi facelift. Untuk Alza 2022 ini, sama seperti untuk Ativa, D-CVT tersebut mempunyai mod manual, yang tiada pada Myvi.

    Dengan gandingan sistem pacuan ini, kadar penggunaan minyak adalah 22 km/l mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia, yang mengambil kira keadaan pemanduan di sini. Perodua juga mendakwa yang Alza baru ini hanya memerlukan kurang daripada RM40 minyak untuk perjalanan KL ke Pulau Pinang (358 km), berdasarkan harga petrol RM2.05 seliter.

    Drive Modes merupakan ciri baru (bagi H dan AV). Mod Normal, Eco dan Power boleh dipilih melalui butang “Drive” di stereng, tempat sama dengan butang PWR Ativa dan Myvi. Tekan dengan cepat untuk Power, dan tekan lama untuk Eco.

    Selain itu, ada beberapa ciri dan fungsi yang diperkenalkan pertama kali oleh Perodua pada Alza baru ini, yang tidak pernah ditawarkan untuk mana-mana modelnya sebelum ini. Antarany, AV kini lengkap dengan brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold. EPB ini juga datang dengan brek cakera belakang.

    Turut ditawarkan eksklusif untuk AV ialah peninjau panoramik 360-darjah, yang akan memudahkan lagi pemandu untuk meletak kenderaan. Pemandu boleh menukar sudut pandang PVM ini melalui butang di sebelah kiri stereng — ruang butang yang dibiarkan kosong untuk Ativa.

    Satu lagi ciri baru untuk Alza adalah corong pendingin di bumbung untuk penumpang belakang. Tombol kelajuan penghembusnya ada tiga tahap, dan terletak di tengah untuk memudahkan capaian oleh penumpang. Perehat lengan barisan tengah juga adalah ciri baru, dan diberikan standard untuk semua varian.

    Turut ditawarkan standard untuk semua varian ialah Advanced Safety Assist (ASA) 3.0. Ia melibatkan ciri seperti Pre-collision Warning (PCW, kenderaan 4-120 km/j, pejalan kaki 4-60 km/j), Pre-collision Braking (PCB atau AEB, kenderaan 4-120 km/j, pejalan kaki 4-60 km/j), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Turut disertakan untuk varian X ke atas ialah Lane Departure Warning and Prevention serta enam beg udara.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Alza baru ini juga lengkap dengan pemanduan semi-autonomous Tahap 2 dengan pertambahan ciri Lane Keep Control (LKC) dan Adaptive Cruise Control (ACC). ACC ini berfungsi antara kelajuan 30 hingga 125 km/j dengan tiga tahap jarak dari kenderaan di depan. Ciri berkenaan kini telah dipertingkat dengan fungsi Stop, Hold/Follow — Alza akan mengikut kenderaan di depan hingga berhenti. Jika kenderaan depan bergerak semula, pemandu sama ada perlu menekas semula butang “RES” atau tekan pedal pendikit untuk mengikut.

    Jika kenderaan di depan berhenti lebih dari tiga minit, ACC akan dinyahaktif secara automatik. Fungsi ini berguna dalam trafik sesak. Bersama ACC dan LKC, AV juga lengkap dengan Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Varian X yang paling asas dilengkapi lampu depan LED dan Auto High Beam (AHB), beserta fungsi Follow Me Home. H dan AV pula datang dengan Adaptive Driving Beam (ADB), yang turut hadir dengan lampu isyarat sequential. Tidak ketinggalan, lampu utama automatik dan lampu kabus LED untuk dua varian teratas tersebut. Dashcam depan hanya khusus untuk AV.

    Berikut perincian spesifikasi Perodua Alza 2022:

    2022 Perodua Alza 1.5X 2022

    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan Eco Idle
    • Transmisi automatik D-CVT

    Luaran

    • Lampu utama LED dengan fungsi “follow-me home, leaving home”
    • Cermin sisi larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Lampu isyarat LED cermin sisi

    Dalaman

    • Kerusi balutan fabrik
    • Kerusi tengah dengan nisbah mampatan 60:40, kaedah satu sentuhan dan boleh gelungsur
    • Kerusi barisan ketiga dengan nisbah mampatan 50:50
    • Kawalan pendingin digital di depan
    • Kawalan pendingin belakang manual dengan corong
    • Paparan LCD multi-info
    • Head unit tanpa skrin sentuh

    Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS, EBD, Brake Assist, Hill-start Assist, VSC
    • Sensor parkir belakang
    • Advanced Safety Assist (ASA)
    • Pre-collision Warning
    • Pre-collision Braking (AEB, bagi kenderaan dan pejalan kaki)
    • Pedal Misoperation Control
    • Front Departure Alert
    • Lane Departure Warning
    • Lane Departure Prevention
    • Auto High Beam

    Perodua Alza 1.5H 2022

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Mod pemanduan (Eco, Normal, Sport)

    Luaran

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Lampu utama automatik

    Dalaman

    • Perehat lengan belakang
    • Paparan multi-info 7.0-inci TFT
    • Head unit 9.0-inci skrin sentuh

    Keselamatan

    • Kamera undur
    • Sensor parkir depan
    • Lampu utama Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential

    2022 Perodua Alza 1.5AV 2022

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold

    Dalaman

    • Kerusi balutan separa kulit

    Keselamatan

    • Adaptive Cruise Control
    • Lane Keep Control
    • Blind Spot Monitor
    • Rear Cross Traffic Alert
    • Peninjau pandangan panoramikk 360-darjah

    Ada lima warna ditawarkan untuk Alza 2022, termasuklah Ivory White (solid), Glittering Silver, Elegant Black, Garnet Red dan Vintage Brown. Dua warna terakhir ini dikhususkan hanya untuk H dan AV sahaja.

    Pelanggan juga boleh memilih untuk meningkatkan penampilan Alza 2022 dengan kit GearUp Prime — melibatkan lanjutan rekaan bampar depan dan belakang (termasuk DRL LED) dan spoiler belakang. Bodykit ini dipadankan dengan Alza dengan cara yang cukup kemas dan menarik, tidak terlalu berlebihan. Di dalam, ia melibatkan kerusi balutan kulit buatan dua-tona (dengan beberapa poket di bahagian belakang), scuff plate LED, lampu lantai, pelindung pintu, tikar gelung, talam barangan dan penebat hud.

    Perodua Alza ditawarkan dengan jaminan kilang selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Perodua Alza 2022 1.5L AV

    Perodua Alza 2022 1.5L H

    Perodua Alza 2022 1.5L X

    Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    Brosur Perodua Alza 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024