Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha NVX 155 2025 dilancar – varian SP dapat fungsi “Turbo”, ABS, kawalan cengkaman, dari RM12k

    Yamaha NVX 155 2025 dilancar – varian SP dapat fungsi “Turbo”, ABS, kawalan cengkaman, dari RM12k

    Diperkenalkan di pasaran Indonesia pada penghujung tahun lepas, Yamaha NVX 155 2025 (dipanggil Aerox Alpha di sana) kini tiba di pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu ABS pada harga RM11,998 dan SP pada harga RM14,998 (tidak termasuk insurans).

    Untuk spesifikasi, jika mahu dibandingkan dengan pasaran Indonesia, NVX 155 ABS Malaysia ini boleh dikatakan sama seperti Aerox Alpha CyberCity (pertengahan), sementara NVX 155 SP pula sama seperti varian Turbo (bukan yang paling tinggi) di negara jiran itu.

    Melihat pertamanya kepada penampilan, apabila diteliti anda akan nampak sebenarnya semua panel badan skuter ini adalah baru, termasuk juga lampu hadapan dan belakangnya. Kemudiannya, beza tinggi antara tempat duduk utama dengan penumpang juga nampak lebih sedikit.

    Peningkatan penting berada pada varian SP. Enjinnya masih lagi unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

    Di negara luar, varian ini dipanggil sebagai “Turbo”, tetapi sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengecas turbo, dan sebaliknya ia merujuk kepada mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Town Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sports yang lebih bertenaga).

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Sistem keselamatan skuter ini juga dipertingkat, terutamanya pada varian SP, yang datang bukan sahaja dengan ABS, tetapi juga sistem kawalan cengkaman. Di bahagian kokpit, Aerox varian tinggi ini dilengkapi dengan panel meter TFT baru yang menyediakan tiga pilihan paparan dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk fungsi tambahan.

    Untuk NVX 155 baru ini, kedua-dua brek hadapan dan belakang sudah menggunakan tetapan cakera, dan datang sekali dengan fungsi ABS single-channel. Kemudiannya, bahagian meter varian ABS juga hanya diberikan dengan unit LCD biasa.

    Yamaha NVX 155 2025 dilancar – varian SP dapat fungsi “Turbo”, ABS, kawalan cengkaman, dari RM12k

    Menjadikan varian SP lebih unik untuk pasaran Malaysia adalah ia datang dengan beberapa aksesori termasuk penghadang angin hadapan sport, tapak nombor plat aluminium, winglet hadapan serta lapik getah pada pemijak kaki.

    Kelengkapan lain pada NVX 155 masih kekal sama termasuk tetapan rim 14 inci dengan tayar 110/80 di hadapan dan 140/70 belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang (dengan tabung untuk varian SP), soket pengecas USB-A, sistem start/stop, ruang simpanan 24.5 liter bawah tempat duduk, kunci pintar dan tangki bahan api 5.5 liter.

    GALERI: Yamaha NVX 155 ABS

    GALERI: Yamaha NVX 155 SP

     
     
  • Modenas Elit 150S dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin 149 cc 14 hp, tangki 12 liter, RM7,877

    Modenas Elit 150S dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin 149 cc 14 hp, tangki 12 liter, RM7,877

    Bersempena dengan majlis sambutan ulang tahun syarikat yang ke-30, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan sebuah skuter yang membawa kembali nama yang pernah digunakan sebelum ini, iaitu Elit 150S untuk pasaran Malaysia.

    Ia dijual pada harga RM7,877, dalam pilihan dua warna iaitu Riviera Blue dan Quantum Grey, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 149 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 14 hp pada 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm. Dilengkapi tangki bahan api 12 liter, Elit 150S dikatakan boleh mencatat jarak perjalanan sehingga 480 kilometer dengan satu isian penuh.

    Rim 13 inci pada Elit 150S dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara fungsi penghentian dilaksana oleh tetapan brek cakera hadapan dan belakang. Meskipun cakera hadapannya mmpunyai ring, sistem ABS tidak disediakan.

    Sebagai sebuah skuter, Elit 150S menyediakan beberapa kemudahan untuk pengguna termasuk ruang simpanan 23 liter di bawah tempat duduk, dua poket barangan di bawah bahagian pemegang, soket pengecas USB, sistem kunci pintar serta lampu kecemasan. Informasi penting dipaparkan melalui panel meter digital LCD.

    Melihat kepada reka bentuk, Elit 150S tampil bergaya dan moden, dengan penggunaan lampu jenis LED di hadapan (berserta DRL) dan belakang, serta tempat duduk luas untuk dua orang.

     

     
     
  • 20 jenama terlaris di Malaysia untuk Ogos 2025 – Perodua, Proton, Toyota, Honda, Jaecoo

    20 jenama terlaris di Malaysia untuk Ogos 2025 – Perodua, Proton, Toyota, Honda, Jaecoo

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengemaskini data pendaftaran kenderaan sehingga 31 Ogos 2025, dengan Perodua masih mengekalkan kedudukan di tempat teratas dengan 32,026 unit. Walaupun sedikit lebih rendah berbanding 33,486 unit yang direkodkan pada Julai 2025, angka bulan lalu masih melepasi paras 30,000 unit, sesuatu yang berjaya dicapai syarikat itu dalam tempoh lima daripada lapan bulan bagi tahun ini. Secara keseluruhan, jumlah tahunan setakat ini (YTD) mencatatkan Perodua telah melepasi paras 200,000 unit dengan 231,700 unit.

    Berada di tempat kedua ialah Proton dengan 14,625 unit didaftarkan pada bulan Ogos 2025, menjadikan YTD sebanyak 97,578 unit. Kedudukan ketiga hingga ketujuh tidak berubah berbanding Julai 2025, dengan Toyota melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 11,707 unit (80,491 YTD).

    Honda pula berada di belakang di tempat keempat (6,169 unit; 46,757 YTD), diikuti oleh Omoda | Jaecoo di tempat kelima (1,898 unit; 12,519 YTD), Chery di tempat keenam (1,735 unit; 7,920 YTD) dan Mitsubishi di tempat ketujuh (1,317 unit; 9,707 YTD).

    20 jenama terlaris di Malaysia untuk Ogos 2025 – Perodua, Proton, Toyota, Honda, Jaecoo

    Di tempat kelapan, BYD melepasi paras 1,000 unit selepas tidak mencecah angka itu pada Julai 2025, dengan mencatatkan 1,119 pendaftaran pada Ogos 2025, menjadikan YTD sebanyak 7,389 unit. Melengkapkan senarai 10 teratas ialah Mercedes-Benz di tempat kesembilan (962 unit; 6,292 YTD), manakala Mazda mengatasi BMW dengan 822 unit (5,583 YTD).

    Pengeluar kereta berpangkalan di Munich itu berada di tempat ke-11 dengan 713 unit bulan lalu, dengan jumlah YTD juga lebih rendah berbanding Mazda iaitu 5,085 unit. Di belakangnya ialah Great Wall Motor yang naik dari tempat ke-15 ke tempat ke-12 dengan 600 pendaftaran, jumlah tertingginya setakat tahun ini dengan YTD sebanyak 3,335 unit. Tempat ke-13 diduduki oleh Lexus dengan 597 unit (3,997 YTD), diikuti Isuzu di tempat ke-14 (517 unit; 4,202 YTD) dan Nissan pula di tempat ke-15 (512 unit; 4,340 YTD).

    Bagi lima kedudukan terbawah, Tesla dengan 509 unit pada Ogos 2025 terpaksa berpuas hati di tempat ke-16, satu peningkatan berbanding kedudukan ke-18 pada Julai 2025. YTD bagi jenama EV sepenuhnya itu untuk lapan bulan pertama tahun ini kini mencecah 3,162 unit.

    Seterusnya ialah Ford di tempat ke-17 (473 unit; 3,382 YTD), manakala Jetour kembali dalam senarai, kali ini turun satu tangga ke tempat ke-18 dengan 374 unit (1,175 YTD). Porsche di tempat ke-19 (221 unit; 1,726 YTD) dan MINI di tempat ke-20 (205 unit; 1,465 YTD) melengkapkan senarai 20 teratas.

    20 jenama terlaris di Malaysia untuk Ogos 2025 – Perodua, Proton, Toyota, Honda, Jaecoo

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, power tapi masih jimat petrol!

    PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, <em>power</em> tapi masih jimat petrol!

    Arah tuju dunia automotif sekarang sudah berubah – pengeluar-pengeluar automotif terutamanya dari Eropah sudah nampak dunia belum bersedia untuk berubah 100% kepada teknologi EV, dan enjin pembakaran dalaman masih mempunyai hayat yang panjang. Di China walaupun teknologi EV diterima dengan meluas, namun fasiliti dan juga jangka masa mengecas yang lama masih lagi menjadi tembok bagi peralihan sepenuhnya kepada mobiliti elektrik.

    Jadi jawapan yang paling relevan buat masa sekarang adalah teknologi hibrid elektrik. Kita boleh tengok bukan hanya jenama-jenama premium dari Eropah, malah jenama-jenama dari China yang sebelum ini terkenal dengan EV kini mula beralih menghasilkan model-model hibrid, terutamanya dari jenis plug-in hybrid (PHEV) dengan bateri berkapasti agak tinggi, membolehkan sesebuah kenderaan itu bergerak dengan mod EV sekitar 200 km, serta mampu mencatatkan jarak perjalanan sekitar 1,200 km hingga 1,400 km dengan satu tangki petrol.

    Pengeluar automotif dari Jepun, Honda nampaknya juga bersetuju peralihan penuh kepada EV memang lebih lambat dari yang dijangkakan. Jadi pada awal tahun ini Honda mengumumkan bahawa sebahagian besar dari dana yang dirancang untuk membangunkan EV sebelum ini akan dipotong dan di bawa untuk membangunkan sistem hibrid.

    Namun untuk Honda, tumpuan mereka bukanlah teknologi PHEV, sebaliknya ia akan menambah baik teknologi hibrid sedia ada yang digelar sebagai e:HEV, dan teknologi ini ditawarkan dengan meluas bagi pasaran Malaysia. Sebelum ini penulis telah merasai pemanduan teknologi e:HEV ini dalam varian 1.5L pada Honda City RS e:HEV, dan menerusi Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 yang baru dilancarkan pada Januari lalu, penulis akan mengupas berkenaan varian dengan enjin 2.0L pula.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Corolla sedan facelift 2026 muncul dalam fail pendaftaran MIIT di China, akan masuk Malaysia?

    Toyota Corolla sedan facelift 2026 muncul dalam fail pendaftaran MIIT di China, akan masuk Malaysia?

    Dalam kesibukan Toyota memperkenalkan pelbagai varian seperti Corolla Cross dan GR Corolla, ramai mungkin terlupa bahawa model sedan Toyota Corolla generasi ke-12 sebenarnya sudah berada di pasaran selama tujuh tahun. Tempoh ini kebiasaannya menandakan waktu untuk digantikan dengan model baru, namun ia nampaknya masih akan diteruskan untuk beberapa tahun lagi. Ini dibuktikan dengan kemunculan facelift pertama yang sebenar untuk model sedan ini.

    Imej yang diperoleh oleh ChinaEV Home daripada dokumen pendaftaran di Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) menunjukkan rupa baru Corolla sedan ini dengan perubahan ketara pada bahagian hadapan. Reka bentuk ini mengambil inspirasi daripada model terkini Toyota Prius dan Camry, dengan penggunaan rekaan “hammerhead” yang menjadi gaya terkini Toyota. Lampu utama kini berbentuk C, manakala sudut bampar yang membentuk huruf L menempatkan lampu kabus dan disambungkan ke bahagian bukaan udara tengah yang lebih nipis.

    Di bahagian sisi, Corolla facelift ini dilihat menggunakan rim aloi dua tona dengan rekaan yang lebih kompleks, kelihatan hampir menyerupai rim pada Lexus ES generasi keenam facelift 2015. Di bahagian tingkap belakang pula, terdapat tambahan elemen segi tiga berwarna hitam pada hujungnya, yang memberi ilusi visual seolah-olah bahagian kaca itu lebih panjang. Bahagian belakang juga menerima sedikit kemasan merah yang menyambungkan lampu belakang berbentuk L terbalik dan kini hadir dalam kemasan gelap (smoked).

    Toyota Corolla sedan facelift 2026 muncul dalam fail pendaftaran MIIT di China, akan masuk Malaysia?

    Secara keseluruhan, kebanyakan bahagian lain pada Corolla ini masih mengekalkan rekaan asal, dengan perbezaan utama hanya pada penggunaan kemasan hitam menggantikan krom sebelum ini. Walaupun tiada gambar dalaman didedahkan, perubahan pada ruang kabin dijangka selari dengan kemas kini besar yang diterima oleh Toyota Camry facelift XV80.

    Untuk pilihan enjin di China, Corolla facelift ini dijangka mengekalkan enjin sedia ada, termasuk enjin 1.2 liter turbo 9NR-FTS empat silinder, enjin 1.5 liter NA M15B-FTS tiga silinder serta pilihan hibrid 1.8 liter. Namun untuk pasaran Malaysia, model ini penting kerana ia adalah varian yang sama ditawarkan di sini, berbanding versi Allion atau Levin yang dibina oleh GAC di China.

    Oleh itu, Corolla sedan facelift ini dijangka akan memasuki pasaran Malaysia seawal tahun depan, kemungkinan besar masih mengekalkan satu-satunya pilihan enjin sedia ada iaitu enjin petrol 1.8 liter 2ZR-FE yang menghasilkan 139 PS dan 172 Nm.

     
     
  • Geely Galaxy V900 terdedah di China – EV range extender dengan tetapan sehingga lapan tempat duduk

    Geely Galaxy V900 terdedah di China – EV range extender dengan tetapan sehingga lapan tempat duduk

    Model MPV terbaru dari Geely, iaitu Galaxy V900, sudah terdedah melalui dokumen rasmi yang difailkan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT). Ia merupakan versi kenderaan elektrik extended range (EREV) kepada model elektrik sepenuhnya LEVC L380, yang pertama kali ditunjukkan pada Disember 2023.

    Dari segi dimensi, Galaxy V900 mencatat ukuran 5,360 mm panjang, 1,998 mm lebar dan 1,940 mm tinggi, menjadikannya sedikit lebih panjang berbanding L380 yang berukuran 5,316 mm panjang. Ia menggunakan rim aloi dengan pilihan saiz antara 18 hingga 20 inci.

    Reka bentuk luar Galaxy V900 banyak mengambil inspirasi daripada LEVC L380, namun ia hadir dengan rekaan muka hadapan yang sedikit berbeza, namun lampu nyalaan siang (DRL) masih diletakkan di atas lampu utama, seperti pada model asal. Berbeza dengan L380, model V900 dilihat hadir dengan unit lidar di bahagian bumbung, manakala pemijak tepi berkuasa turut ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Geely Galaxy V900 terdedah di China – EV range extender dengan tetapan sehingga lapan tempat duduk

    Bahagian dalam MPV ini dilengkapi dengan susunan tempat duduk tiga baris secara standard dalam konfigurasi 2-2-2. Namun, pembeli boleh memilih konfigurasi empat baris tempat duduk 2-2-2-2 untuk menempatkan sehingga lapan penumpang. Berat kenderaan pula bergantung kepada konfigurasi tempat duduk – antara 2,910 kg hingga 3,030 kg – manakala versi elektrik sepenuhnya, L380, mempunyai berat sekitar 2,805 kg.

    Menurut laporan Car News China, ruang kargo untuk versi enam tempat duduk memiliki keluasan 919 mm, manakala versi lapan tempat duduk dengan empat baris mempunyai ruang kargo seluas 347 mm. Walaubagaimanapun, barisan keempat itu boleh dilipat rata ke dalam lantai but untuk menambah ruang.

    Galaxy V900 ditawarkan dengan dua pilihan bateri jenis ternary NMC. Versi pertama menggunakan bateri 43.3 kWh buatan CALB yang mampu bergerak sejauh 172 km secara elektrik, manakala versi kedua dilengkapi bateri 50 kWh dari CATL, dengan jarak maksimum sehingga 202 km.

    Geely Galaxy V900 terdedah di China – EV range extender dengan tetapan sehingga lapan tempat duduk

    Unit penggerak V900 terdiri daripada enjin petrol turbo 1.5 liter BHE15-CFZ yang menghasilkan kuasa 120 kW (bersamaan 163 PS). Enjin ini berfungsi sebagai penjana kuasa untuk mengecas bateri dan bukan untuk memacu roda secara terus. Penggunaan bahan api yang dianggarkan ketika bateri habis adalah sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 km.

    Menurut laporan, Galaxy V900 dijangka dilancarkan di pasaran China dalam tahun ini. Sementara itu, versi elektrik penuh (LEVC L380) pula dirancang untuk memasuki pasaran United Kingdom pada tahun 2026. Ini bermakna, Geely berkemungkinan akan menawarkan kedua-dua versi – elektrik sepenuhnya dan elektrik dengan range extender – di pasaran UK pada masa akan datang.

     
     
  • Puspakom beroperasi tiga hari Sabtu pada Sept 2025

    Puspakom beroperasi tiga hari Sabtu pada Sept 2025

    Syarikat pemeriksa kenderaan Puspakom akan melanjutkan operasinya untuk tiga hari Sabtu berturut-turut sepanjang bulan ini. Ia adalah bagi memudahkan orang ramai yang mungkin sibuk pada hari biasa untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

    Lanjutan operasi tersebut dijadualkan untuk 13, 20 dan 27 September, yang melibatkan cawangan terpilih di seluruh negara, yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Semua pelanggan perlu membuat tempahan temujanji secara dalam talian iaitu menerusi MyPuspakom sebelum pergi ke cawangan yang dipilih. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Di bawah ini adalah cawangan yang terlibat dengan waktu lanjutan operasi pada Sabtu:

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Taman Bukit Maluri
    • Cheras
    • Glenmarie
    • Banting
    • Sungai Besar
    • Bangi
    • Batu Caves
    • Pandan Mewah
    • Shah Alam
    • Padang Jawa
    • Utara

    • Sungai Petani
    • Alor Setar
    • Teluk Kumbar
    • Mak Mandin
    • Taiping
    • Gopeng
    • Selatan

    • Alor Gajah
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Pasir Gudang
    • Senai
    • Kluang
    • Pantai Timur

    • Kota Bharu
    • Kuantan
    • Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan

    Walau bagaimana pun, dimaklumkan bahawa kebarangkalian cawangan tidak akan dibuka jika mereka terlibat dalam program khas atau jika tarikh tersebut jatuh pada hari kelepasan negeri atau am.

     
     
  • JPJ akan mulakan penguatkuasaan wajibkan semua penumpang kenderaan pakai tali pinggang keledar

    JPJ akan mulakan penguatkuasaan wajibkan semua penumpang kenderaan pakai tali pinggang keledar

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa ia akan menguatkuasakan penggunaan mandatori tali pinggang keledar untuk semua pemandu dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara tidak lama lagi. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli masih belum mengumumkan tarikh sebenar penguatkuasaan tersebut, namun pihaknya akan melaksanakan tempoh advokasi terlebih dahulu sebelum ia dijalankan.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, program seperti kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ yang telah dilancarkan semalam akan memperkukuh budaya keselamatan jalan raya dan menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna kenderaan termasuk pemandu dan penumpang kenderaan.

    “Selaras dengan kempen ini juga, kita akan maklumkan kemudian penguatkuasaan untuk pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang-penumpang kereta persendirian selepas ini. Kita akan maklumkan nanti, sekarang ini kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dan kemudian kita akan maklumkan bilakah tarikh yang kita akan tentukan untuk penguatkuasaan bagi penumpang-penumpang kereta,” katanya.

    Apabila penguatkuasaan tersebut dilaksanakan kelak, individu yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM300 berdasarkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak Kanak) 1978 (pindaan 2019).

    JPJ akan mulakan penguatkuasaan wajibkan semua penumpang kenderaan pakai tali pinggang keledar

    Aedy Fadly menambah bahawa JPJ komited untuk menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai amalan dan budaya biasa bagi menyelamatkan nyawa semua pengguna jalan raya. “Dalam hal ini, pemakaian tali pinggang keledar akan memastikan pemandu dan penumpang kekal duduk di tempat duduk sekiranya berlaku kemalangan berbanding mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk tercedera,” katanya.

    Penggunaan mandatori tali pinggang keledar untuk semua pemandu dan penumpang dalam kenderaan ini bukan perkara baru, di mana undang-undang ini telahpun mula diperkenalkan pada 2009. Walau bagaimanapun penguatkuasaannya hanya dijalankan dalam tempoh masa yang pendek, dan ia kekal dijalankan hanya sebagai kempen advokasi.

    Sekiranya ia dilaksanakan kelak, ini bermakna setiap kenderaan hanya boleh membawa penumpang mengikut jumlah tempat duduk yang mempunyai tali pinggang keledar sahaja. Sekiranya membawa lebih penumpang, pemandu mungkin akan turut dikenakan saman kerana membawa penumpang lebih dari kapasiti yang dibenarkan.

     
     
  • Johor bina lintasan hidupan liar pertamanya di jalan utama FT50 – kos RM66 juta, siap pada Feb 2028

    Johor bina lintasan hidupan liar pertamanya di jalan utama FT50 – kos RM66 juta, siap pada Feb 2028

    Johor mengumumkan bakal membina lintasan hidupan liar pertama di negeri itu di sepanjang jalan utama FT50 yang menghubungkan Kahang ke Mersing. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon menerusi perkongsiannya di Facebook berkata jalan tersebut dikelilingi kawasan hutan dan merupakan laluan sempadan antara Hutan Simpan Labis ke Mersing serta Hutan Simpan Panti dan Kota Tinggi atau dikenali sebagai Central Forest Spine (CFS). Oleh itu, sering kali terdapat hidupan liar yang menyeberangi jalan ini bagi menghubungkan kedua-dua kawasan hutan tersebut.

    “Kawasan hutan seluas 31,000 hektar ini merupakan habitat penting bagi hidupan liar. Malah sebelum ini, beberapa rakaman video yang memaparkan haiwan seperti Harimau Malaya, gajah, tapir Malaya, harimau bintang dan lain-lain ketika melintas di kawasan tersebut pernah tular.

    “Terdapat juga insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan melanggar haiwan liar. Justeru, pihak berkuasa berpendapat pembinaan laluan khas ini adalah perlu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta hidupan liar,” katanya.

    Johor bina lintasan hidupan liar pertamanya di jalan utama FT50 – kos RM66 juta, siap pada Feb 2028

    Tambahnya, jalan yang dinaik taraf ini secara keseluruhan sepanjang 1.275 km, dengan 200 meter daripadanya merupakan jambatan jejambat setinggi lapan meter. Pihak berkuasa akan menanam tumbuhan khas di bawah jejambat tersebut bagi menarik dan “memandu” hidupan liar menyeberangi jalan melalui laluan tersebut.

    “Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM66 juta, merangkumi kajian awal, tanah, geologi, reka bentuk, pemindahan infrastruktur, pembinaan jalan sementara serta kos pembinaan jejambat. Proses tender telah selesai dilaksanakan dan kerja-kerja pembersihan pokok di tepi jalan telah bermula. Projek ini dijangka siap pada Februari 2028.

    “Hidupan liar merupakan komponen penting dalam ekosistem semula jadi, malah menjadi antara sumber alam yang diberi tumpuan untuk dilindungi di negeri Johor. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor akan terus menggerakkan pelbagai projek pemuliharaan ekologi semula jadi melalui jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi memastikan Johor mampu mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi meskipun sedang pesat membangun dari sudut ekonomi,” katanya lagi.

     
     
  • Sebahagian Jalan Raja ditutup mulai 15 Sept untuk kerja naiktaraf Warisan Kuala Lumpur – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Raja di mana terletaknya Dataran Merdeka, akan ditutup mulai 15 September ini. Ia bertujuan untuk kelancaran kerja-kerja menaiktaraf Warisan Kuala Lumpur. Walau bagaimana pun, DBKL tidak memaklumkan jangkaan tamatnya tempoh penutupan jalan terbabit.

    Sepanjang penutupan laluan terbabit, kenderaan yang datang dari arah Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) tidak dibenarkan memasuki Jalan Raya dan perlu membelok ke Jalan Tun Perak. Begitu juga dengan kenderaan dari Jakan Tun Perak tidak dibenarkan memasuki Jalan Raja.

    Bagi kenderaan ringan dari Jalan Raja (inbound), anda boleh membelok ke kanan ke Jalan Tun Perak untuk meneruskan perjalanan. Begitu juga dengan kenderaan ringan dari Jalan Raja, anda boleh terus ke Jalan Raja Laut.

    “Sila patuhi isyarat lalu lintas dan papan tanda. Sebarang perubahan akan dimaklumkan,” kata DBKL menerusi perkongsiannya di Facebook rasminya. Bagi pengguna laluan terbabit, sila lebih peka dan berhati-hati dalam pemanduan.

     
     
  • Lancia sahkan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale sedang dibangunkan – bakal ke WRC pada 2027?

    Lancia sahkan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale sedang dibangunkan – bakal ke WRC pada 2027?

    Selepas beberapa video tersebar di laman Youtube yang memaparkan bahawa Lancia kini sedang menguji sebuah kereta rali yang lebih berkuasa dari jentera Ypsilon Rally4 HF sebelum ini, jenama ikonik Itali dengan sejarah dalam sukan rali berkenaan akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi yang sangat pendek, hanya dalam satu perenggan.

    “Lancia Ypsilon Rally2 HF Integrale telah membuat penampilan sulungnya, membawa semangat legenda kejayaan-kejayaan rali Lancia ke dalam sukan permotoran hari ini. Dan ini hanyalah permulaan,” tulis kenyataan berkenaan yang datang sekali bersama sembilan gambar serta satu video pendek, memaparkan jentera tersebut di uji oleh divisi perlumbaan rasmi Lancia iaitu Lancia Corse di sekitar Montvallon dan Pellafol, Perancis pada 3 dan 4 September lalu.

    Walaupun kenyataan tersebut pendek, ia telah mengesahkan beberapa perkara. Pertama sekali, jentera berkenaan sah dibangunkan dalam spesifikasi kelas Rally2. Jadi jentera ini boleh bertanding dalam kategori tertinggi untuk Kejohanan Rali Eropah (ERC) serta banyak kejohanan rali peringkat nasional lain di benua tersebut apabila pembangunannya lengkap dan menerima homologasi penuh dari Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) kelak.

    Lancia sahkan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale sedang dibangunkan – bakal ke WRC pada 2027?

    Jentera-jentera Rally2 ini juga layak untuk menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori kedua tertinggi iaitu WRC2 buat masa sekarang. Namun FIA bakal merombak undang-undang WRC di mana bermula musim 2027, jentera Rally1 tidak lagi akan digunakan sebagai kategori tertinggi kejohanan tersebut, dan bakal digantikan dengan kelas baru yang dinamakan sebagai WRC27.

    Regulasi rasmi bagi kelas WRC27 ini masih lagi belum diumumkan, tetapi secara ringkasnya ia akan menggabungkan casis spaceframe seperti jentera Rally1 sekarang dengan enjin, transmisi, sistem pacuan empat roda, suspensi dan lain-lain dengan spesifikasi diambil dari jentera Rally2. Dengan perubahan tersebut, kategori WRC2 akan dimansuhkan dan jentera-jentera dengan spesifikasi Rally2 layak untuk bertanding merebut kejuaraan utama WRC menentang kereta-kereta WRC27.

    Lancia sahkan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale sedang dibangunkan – bakal ke WRC pada 2027?

    Tests Lancia Ypsilon Integrale Rally 2, at Montvallon and Pellafol, France, from September 3rd to 4th 2025 – Photo: André Ferreira / DPPI

    Ini bermakna pada musim 2027 nanti Lancia Corse akan layak bertanding sebagai ‘Lancia Corse World Rally Team’ dengan jentera Lancia Ypsilon Rally2 HF Integrale ini untuk merebut gelaran juara dunia bagi kategori pemandu dan juga pengeluar – mungkin ini yang dimaksudkan pengenalan jentera Rally2 tersebut “hanyalah permulaan” untuk sesuatu yang lebih besar?

    Lancia mula menyertai WRC sejak tahun 1973. Ia terkenal dengan pelbagai jentera rali yang berjaya seperti Lancia Stratos, Lancia Rally 037 Group B, Lancia Delta S4 Group B dan juga Lancia Delta HF Integrale Group A. Selepas dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar sebanyak 10-kali dan merangkul lima juara dunia kategori pemandu, skuad dari Itali tersebut akhirnya mengundur diri dari WRC pada penghujung musim 1992.

     
     
  • JPJ eBid: PRX dan QLG bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Sarawak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PRX yang bakal dibuka bidaannya bermula 18 September. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 22 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 23 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QLG, bakal dibuka bidaan mulai 20 September. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 24 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 September 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • GWM Ora Cat / Ora 5 terdedah dalam fail permohonan MIIT di China – Good Cat versi SUV crossover

    GWM Ora Cat / Ora 5 terdedah dalam fail permohonan MIIT di China – Good Cat versi SUV crossover

    Jenama EV Ora di bawah Great Wall Motor (GWM) kembali mencuri tumpuan selepas agak lama menyepi tanpa model baru sejak pelancaran Ora 07 (juga dikenali sebagai Lightning Cat) pada tahun 2022. Dalam pasaran kenderaan elektrik China yang biasanya menyaksikan kemas kini atau model facelift setiap tahun, tempoh dua tahun tanpa model baru dianggap luar biasa. Kini, GWM memperkenalkan satu lagi model baru yang dikenali sebagai Ora Cat, yang juga akan dipasarkan di beberapa negara lain dengan nama Ora 5 atau Ora i5.

    Menurut maklumat yang diperoleh daripada dokumen rasmi yang difailkan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Ora Cat tampil dengan rekaan yang hampir menyerupai model popular Ora Good Cat — yang juga dikenali sebagai Ora Funky Cat atau Ora 03 di pasaran tertentu. Namun begitu, Ora Cat ini bukan sekadar versi facelift atau olahan semula kerana ia sebenarnya dibangunkan sebagai sebuah kenderaan crossover atau SUV, berbeza dengan Good Cat yang merupakan hatchback penuh.

    Dari segi reka bentuk, Ora Cat mengekalkan gaya comel yang menyerupai model Porsche 911 dengan lampu hadapan bulat ikonik. Bampar hadapan dengan dua liang udara menegak di bahagian sisi turut dikekalkan, termasuk jalur lampu LED mendatar pada panel kaca belakang. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan pada rekaan potongan tapak nombor plat belakang serta bahagian bawah bampar yang menyerupai diffuser. Perbezaannya agak halus dan mungkin sukar untuk dikenal pasti tanpa meletakkan kedua-dua model bersebelahan.

    Salah satu cara untuk membezakan Ora Cat dengan Good Cat adalah dengan melihat sama ada terdapat rel bumbung – satu elemen yang biasanya dikaitkan dengan kenderaan SUV. Ciri lain yang menarik termasuk pemegang pintu jenis biasa (bukan jenis pop-up), penutup pengecasan pada fender kanan hadapan, rim dua tona bersaiz 18 inci serta pilihan untuk dilengkapi sensor LiDAR.

    GWM Ora Cat / Ora 5 terdedah dalam fail permohonan MIIT di China – Good Cat versi SUV crossover

    Berdasarkan dokumen MIIT, dimensi Ora Cat adalah 4,471 mm panjang, 1,883 mm lebar dan 1,641 mm tinggi. Ini menjadikan model baru ini 236 mm lebih panjang, 58 mm lebih lebar dan 45 mm lebih tinggi berbanding Good Cat. Malah, jarak roda juga lebih panjang iaitu 2,720 mm – tambahan sebanyak 70 mm. Dengan peningkatan saiz ini, jelas bahawa Ora Cat bukan sekadar Good Cat yang diubah suai menjadi SUV – ia benar-benar dibina sebagai model baru yang lebih besar.

    Sudut kelegaan menjunam dan menaik (approach dan departure angle) dicatatkan pada 17 dan 25 darjah, manakala berat kosong kenderaan dianggarkan antara 1,630 hingga 1,655 kg bergantung kepada varian. Di sebalik rekaan luarnya yang berlekuk dan bergaya, Ora Cat dikuasakan oleh satu motor elektrik berkuasa 201 hp (150 kW) yang dibangunkan oleh anak syarikat GWM, Hycet. Motor ini menerima tenaga daripada pek bateri LFP yang dibekalkan oleh SVOLT.

    Dengan pendedahan ini, Ora Cat dilihat sudah bersedia untuk memasuki pasaran, dan pelancarannya di China dijangka akan berlaku dalam masa terdekat.

    Sementara itu, model Ora Good Cat juga telah menerima kemas kini rupa di pasaran China tahun ini. Walaupun versi facelift ini mungkin belum akan ditawarkan di luar China dalam masa terdekat, versi GT yang tampil dengan gaya lebih sporty dilihat sebagai alternatif lebih realistik buat pasaran global.

     
     
  • Toyota bZ7 EV akan guna e-motor, OS infotainmen Harmony dan ADAS daripada Huawei, lancar Q4 2025

    Toyota bZ7 EV akan guna e-motor, OS infotainmen Harmony dan ADAS daripada Huawei, lancar Q4 2025

    Toyota bZ7 EV diberitahu bakal menggunakan motor elektrik yang dibangunkan oleh syarikat teknologi gergasi China, Huawei. Perkara ini didedahkan oleh Tycho de Feijter menerusi satu hantaran di platform X, bersama maklumat daripada dokumen rasmi yang difailkan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT).

    Daripada dokumen itu, Toyota bZ7 akan hadir dengan dimensi panjang 5,130 mm, lebar 1,965 mm dan tinggi 1,506 mm, serta jarak antara roda 3,020 mm. Saiz ini hampir setara dengan BYD Han L yang juga merupakan model EV dari China dengan dimensi 5,050 mm panjang, 1,960 mm lebar, 1,505 mm tinggi dan jarak roda 2,970 mm.

    Model bZ7 ini merupakan hasil kerjasama antara Toyota dan Guangzhou Automobile Group melalui usaha sama GAC-Toyota. Ia dilengkapi motor elektrik yang direka oleh Huawei dengan kuasa maksimum 207 kW (bersamaan 282 PS), membolehkan kereta fastback elektrik ini mencapai kelajuan tertinggi yang dianggarkan sekitar 190 km/j.

    Walaubagaimanapun, masih belum ada maklumat rasmi mengenai sistem kuasa penuh (powertrain) model ini. Sebagai perbandingan, BYD Han L pula berada dalam segmen berbeza kerana ia menawarkan sehingga 1,102 PS menerusi tetapan dua motor.

    Toyota bZ7 EV akan guna e-motor, OS infotainmen Harmony dan ADAS daripada Huawei, lancar Q4 2025

    Selain daripada motor elektrik, bZ7 turut menampilkan beberapa teknologi lain yang dibangunkan Huawei. Antaranya ialah sistem infotainmen yang berasaskan sistem operasi Huawei Harmony, serta peralatan bantuan pemandu (ADAS) untuk varian tertinggi, termasuk unit lidar yang dipasang di bumbung kenderaan.

    Dari segi rekaan dalaman, bZ7 menyediakan ruang kabin yang ringkas dan moden, dengan skrin infotainmen bersaiz besar dan paparan instrumen nipis untuk pemandu – satu pendekatan yang kini menjadi kebiasaan dalam kalangan pengeluar kereta dari China. Ia turut dilengkapi head-up display untuk pengalaman pemanduan yang lebih canggih.

    Konsol tengah direka dalam gaya ‘terapung’ dan menyediakan ruang untuk pengecasan telefon pintar tanpa wayar berhampiran papan pemuka, selain ruang simpanan tambahan di bawahnya. Lampu suasana dipasang pada papan pemuka dan panel pintu, manakala versi yang dipamerkan di Auto Shanghai 2025 turut memperlihatkan kemasan kayu terbuka yang menambah sentuhan premium pada kabinnya.

    Menurut hantaran di X, Toyota bZ7 EV dijangka dilancarkan secara rasmi di pasaran China pada suku keempat tahun ini. Ia akan menyertai barisan model elektrik Toyota yang lain seperti bZ3, bZ3X, bZ5, serta bZ4X yang ketika ini menjadi satu-satunya model dari siri bZ yang ditawarkan di pasaran luar China.

     
     
  • Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

    Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

    Pihak berkuasa China dilaporkan sedang mempertimbangkan larangan terhadap penggunaan pemegang pintu yang boleh masuk ke dalam sepenuhnya, atas faktor keselamatan dan masalah fungsi, lapor Car News China.

    Menurut sumber industri automotif yang bercakap kepada portal berita Mingjing Pro, perbincangan sedang dijalankan untuk menggubal peraturan baru yang akan mengharamkan rekaan pemegang pintu jenis ini. Namun, pemegang pintu tradisional dan jenis boleh tarik separuh masih dibenarkan selagi ia dilengkapi dengan sistem sokongan mekanikal untuk memastikan kebolehpercayaan.

    Draf peraturan berkaitan piawaian wajib untuk pemegang pintu dijangka dimuktamadkan dalam bulan ini. Cadangan tersebut menyarankan larangan terhadap pemegang pintu boleh tenggelam sepenuhnya, dengan tempoh peralihan selama setahun sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Julai 2027.

    Selepas tarikh itu, semua model kenderaan baru yang dijual di China tidak lagi dibenarkan menggunakan rekaan pemegang pintu seperti itu. Perbincangan turut merangkumi keperluan sistem pembukaan automatik dalam situasi kecemasan seperti kemalangan.

    Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

    Walaupun pemegang pintu tersembunyi yang boleh ditarik sepenuhnya sering dikaitkan dengan kelebihan aerodinamik dan penjimatan tenaga, laporan tersebut mempersoalkan sama ada manfaatnya benar-benar berbaloi berbanding risiko keselamatan yang timbul.

    Menurut Car News China, jurutera menganggarkan bahawa rekaan ini hanya menyumbang kepada pengurangan seretan udara sebanyak 0.01 Cd, yang diterjemahkan kepada penjimatan tenaga sekitar 0.6 kWh bagi setiap 100 km — satu jumlah yang dianggap terlalu kecil untuk memberi kesan ketara terhadap pengecasan kenderaan di rumah.

    Selain itu, penggunaan motor dan mekanisme yang diperlukan untuk menggerakkan pemegang pintu jenis ini juga menambah berat kenderaan sebanyak 7 hingga 8 kg, sekaligus mengurangkan kesan positif dari aspek aerodinamik.

    Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

    Dari sudut keselamatan, kebimbangan utama timbul apabila berlaku kegagalan kuasa atau kebakaran, yang menyebabkan pemegang pintu tersembunyi ini tidak boleh digunakan dan menyukarkan pintu untuk dibuka. Ujian pelanggaran yang dijalankan oleh China Insurance Automotive Safety Index (C-IASI) menunjukkan bahawa pemegang pintu elektrik hanya mencatat kadar kejayaan 67% untuk terbuka dalam pelanggaran sisi, berbanding 98% bagi pemegang pintu mekanikal biasa.

    Dalam laporan lain oleh National Accident In-depth Investigation System (NAIS), terdapat peningkatan sebanyak 47% dalam kemalangan yang berpunca daripada kegagalan pemegang pintu sepanjang tahun 2024, dan 82% daripadanya melibatkan rekaan tersembunyi. Sementara itu, Persatuan Pengguna China merekodkan peningkatan aduan sebanyak 132% berkaitan insiden jari tersepit disebabkan pemegang pintu tersembunyi, dengan beberapa kes serius menyebabkan patah tulang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025