Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Hyundai Tucson ‘custom’ di IIMS 2016

    Hyundai_Tucson-2_BM

    Setelah lima bulan Hyundai melancarkan Tucson generasi ketiga serba baharu di Malaysia, SUV tersebut akhirnya dilancarkan pula di Indonesia bersempena Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016. Berbeza dengan pasaran Malaysia yang dijual dalam versi pemasangan tempatan, Tucson yang terdapat di Indonesia adalah diimport sepenuhnya dari Korea dan hanya dengan satu varian sahaja iaitu GLS, dijual pada harga Rp 385 juta (RM113,960)

    Bersama dengan versi standard, Hyundai turut menampilkan sebuah Tucson versi custom di pameran tersebut, datang dengan badan berwarna hitam, dengan serlahan merah serta roda aloi Alutec gergasi bersaiz 19-inci. Serlahan berwarna merah ditampilkan pada gril hadapan (kini dengan motif sarang lebah berbanding jalur melintang standard), lip spoiler hadapan dan skirt sisi, manakala untuk diffuser yang besar pada bampar belakang diwarnakan dengan warna perak dan turut menempatkan tip ekzos tunggal berbentuk rombus seperti yang terdapat pada Tucson biasa.

    Secara keseluruhan, Tucson versi custom ini kelihatan seperti Mazda CX-3 Racing Concept yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2015 dan Bangkok International Motor Show 2016. Sudah pasti, versi yang ditampilkan oleh Hyundai ini hanyalah dibuat oleh pengedar tempatan dan tidak seperti Mazda, jadi hasilnya tidaklah diharapkan berkelas dunia.

    Hyundai_Tucson-10_BM

    Hyundai Tucson GLS baharu ini dijana oleh enjin 2.0 liter tanpa induksi paksaan MPi Nu empat-silinder petrol berupaya menghasilkan 158 PS dan 191 Nm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Berbanding dengan Tucson pasaran Malaysia, untuk pasaran Indonesia ia dilengkapi lampu hadapan xenon dan ditambah dengan kit seperti yang terdapat pada varian Executive Malaysia.

    Walau bagaimanapun, Tucson pasaran Indonesia kurang dilengkapi dengan sistem keselamatan – tiada sistem kawalan stabiliti (standard untuk semua varian dalam pasaran Malaysia), hanya dua beg udara (enam pada model Executive Malaysia), dan dilengkapi dengan ABS serta EBD.

     
     
  • VEP bagi kenderaan Singapura dilaksanakan Jun ini

    johor causeway jam bernama pix

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad telah mengesahkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan Singapura dijangka dilaksanakan Jun ini.

    Beliau berkata pelaksanaan VEP yang menggunakan sistem integrasi itu bagaimanapun mengambil masa dan kemungkinan enam bulan diperlukan untuk dilaksanakan sepenuhnya, laporan Bernama.

    Di mana mengikut sistem itu bagi setiap kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia akan didaftarkan dan mana-mana yang mempunyai saman kerana melakukan kesalahan tidak akan dibenarkan keluar selagi tidak menjelaskannya.

    Katanya, “Sistem ini juga dapat membanteras kenderaan klon kerana sebelum ini tiada satu sistem pendaftaran masuk kenderaan dari negara itu dilaksanakan.

    “Pihak yang hendak melupuskan kenderaan mereka dengan menjualnya secara murah juga tidak berpeluang melakukannya.”

    Beliau berkata penetapan had tempoh kenderaan oleh kerajaan Singapura selama lima tahun menyebabkan ada rakyatnya yang memasuki Malaysia mengambil kesempatan menjual kenderaan mereka secara murah kerana tidak dibenarkan masuk kembali.

    Menurut Ismail, selepas sistem VEP dengan Singapura berjalan lancar barulah fasa kedua melibatkan kenderaan dari Thailand dan diikuti fasa ketiga membabitkan kenderaan dari Indonesia di Sarawak.

     
     
  • Pasukan petugas khas perlu pastikan Proton pulih dan mampu tangani isu cabaran – Mustapa

    tokpa-iriz-ev-1

    Pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk memantau program pemulihan Proton adalah bertujuan memastikan pengeluar kereta nasional itu pulih sepenuhnya daripada isu-isu cabaran yang dihadapi sekarang.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sekarang ini Proton menghadapi cabaran saingan yang sengit daripada pengeluar kereta yang lain maka pasukan petugas berkenaan akan memantau pelaksanaan pelan pemulihannya, laporan Bernama.

    “Kerajaan telah mengenakan beberapa syarat, jadi antara tugas utama pasukan petugas ini ialah untuk memastikan syarat-syarat yang dikenakan itu dipatuhi oleh Proton,” katanya.

    Mustapa berkata syarat-syarat itu dikenakan bagi memastikan syarikat automotif tersebut dipulihkan daripada keadaan sekarang, namun beliau tidak menerangkan dengan lebih lanjut tentang syarat-syarat berkenaan.

    Pada 8 April lalu, Kerajaan telah meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion dalam usaha memulihkan perniagaannya. Malah turut mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala bagi memastikan kejayaan program transformasi itu.

    Bagaimanapun, katanya, pasukan petugas berkenaan tidak akan terlibat dalam pengurusan Proton.

    “Pengurusannya terserah kepada Proton cuma pasukan petugas akan pantau setakat mana syarat-syarat yang dikenakan itu dipatuhi,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Volvo XC90 T8 ‘mencuri kuasa’ dari kereta lain

    Sebuah video telah disiarkan oleh pihak Volvo yang menunjukkan Volvo XC90 T8 secara bijak ‘mencuri’ kuasa dari kenderaan lain. Video yang diberi tajuk “Highway Robbery” tersebut telah dihasilkan dengan bantuan syarikat pengiklanan, Grey New York.

    Video ini menampilkan Volvo XC90 hibrid plug-in sebagai watak utama, tetapi ia memfokuskan bagaimana kuasa elektrik dapat dihasilkan secara luar biasa untuk mengecas SUV tersebut. Menggunakan pam peristalsis binaan khas bersama tikar khas yang dihamparkan di atas jalan, bila mana ada kenderaan yang melintasinya, kuasa elektrik akan menjana stesen pengecas, seterusnya mengecas XC90 yang dihubungkan.

    “Tiub-tiub yang dipasang di bawah hamparan tikar dipenuhi dengan air, dan apabila kereta di pandu diatasnya, ia akan menghasilkan tekanan pada tiub dan air akan memberikan kuasa hidraulik mengikut arah pergerakan kereta tersebut menuju ke sistem kami di tepi jalan yang mengubah kuasa hidraulik menjadi kuasa elektrik.” jelas Bob Partington, arkitek inovasi yang mencipta sistem tersebut.

    Bukan itu sahaja. Papan tanda digital telah dipasang dibahagian hadapan jalan. Setiap kereta yang melalui hamparan tikar tersebut akan diucapkan terima kasih melalui papan tanda berkenaan (dengan menyebut jenama) kerana memberikan kuasa.

    “‘Highway Robbery’ adalah salah satu cara yang boleh kami tunjukkan pemikran kami bukan setakat kereta, tetapi bagaimana ia boleh mempengaruhi dunia disekelilingnya,” kata pengarah pemasaran Volvo Car USA, John Militello. “Kami memberikan persoalan yang besar sebelum kami tampil dengan cara baharu yang lebih segar bagaimana dan di mana kami membolehkan masa depan pemanduan,” jelas beliau.

    Ini menunjukkan, dan juga menghuraikan (dalam pelbagai cara) sasaran Volvo untuk menjadikan infrastruktur untuk mengecas kenderaan elektrik (EV) distandardkan. “Kami nampak peralihan untuk kereta elektrik sepenuhnya telah pun berjalan, teknologi bateri telah bertambah baik, kos berkurangan dan infrastruktur mengecas sedang diletakkan di tempatnya,” Naib Presiden senior penyelidikan dan pembangunan Volvo Dr Peter Mertens berkata sebelum ini.

    “Tetapi sebelum kita bersedia dengan perspektif teknologi, infrstruktur mengecas belum lagi ditahapnya,” tambah Mertens. Dengan itu, Volvo baru-baru ini mengumumkan sokongan mereka untuk Charging Interface Initiative, yang di bina untuk Combined Charging System (CCS) sebagai standard utama untuk mengecas EV secara global.

     
     
  • Renault Kadjar terima enjin 1.2 liter turbo baharu dengan padanan transmisi EDC 7-kelajuan

    2016-renault-kadjar-energytce130-update-1

    Renault Kadjar di UK telah pun dipertingkatkan dengan varian baharu spesifikasi tertinggi iaitu Signature S Nav S dan pilihan enjin 1.2 liter Energy TCe 130 pengecas turbo. Ia turut dipadankan dengan transmisi efficient dual-clutch (EDC) automatik tujuh-kelajuan.

    Malah varian baharu ini turut menambah beberapa elemen pada versi Signature Nav terdahulu. Ini termasuklah kulit upholstery sepenuhnya berwarna hitam dengan pelarasan tempat duduk pemandu berkuasa dan suhu panas untuk tempat duduk hadapan, amaran titik buta, kamera undur dan pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Renault turut berkata, pertambahan elemen ini turut melibatkan kos ekstra sehingga £1,750 (RM9,600), tetapi harga model spesifikasi tinggi ini £1,400 (RM7,700) lebih mahal berbanding Signature Nav. Di mana Signature S Nav berharga dari £23,695 (RM130,000) dan didapati dengan pilihan enjin iaitu dua diesel dan satu petrol, juga dua- atau empat-pacuan roda.

    Bagi varian Dynamique Nav, ia ditawarkan dengan enjin 1.2 liter Energy TCe 130 turbo dan transmisi EDC tujuh-kelajuan. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 131 PS dan tork 205 Nm – sedikit tinggi berbanding 120 PS dan 190 Nm pada model Clio GT Line di pasaran kita. Ia membolehkan Kadjar dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 10.1 saat.

    Di UK, Kadjar bermula dengan harga dari £17,995 (RM98,700) dan boleh meningkatkan ke £28,195 (RM154,700). Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun dan pakej Renault Assitance.

     
     
  • Spesifikasi Toyota C-HR 2.0L CVT didedahkan

    Toyota C-HR Geneva live 9

    Toyota telah mendedahkan beberapa maklumat utama berkenaan crossover terbaharu segmen-B jenama tersebut, Toyota C-HR dalam laman sesawangnya berbahasa Jepun. Turut berada dalam barisan varian model berkenaan adalah varian 2.0L CVT, iaitu konfigurasi yang berkemungkinan besar adalah spesifikasi yang akan dipasarkan ke rantau ASEAN dan sudah tentu termasuk sekali pasaran Malaysia.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, varian yang menerima enjin kapasiti terbesar akan dijana oleh enjin petrol 2.0 liter tanpa induksi paksaan tetapi jumlah kuasa yang dihasilkan belum lagi didedahkan. Pendedahan terbaharu dari Toyota ini mengesahkan varian 2.0 liter akan menghasilkan kuasa sejumlah 150 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 193 Nm pada takat 3,800 rpm. Melihat pada angka kuasa tersebut, ia tidak sama dengan kuasa yang dihasilkan oleh enjin 6AR-FSE pancitan bahan api terus VVT-iW D-4S yang menjana Camry facelift berkuasa 167 PS/ 199 Nm.

    Walau bagaimanapun, angka kuasa yang dihasilkan tersebut adalah hampir sama dengan enjin 3ZR-FE Dual VVT-i yang dilengkapi pada Corolla Altis menjana 145 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 3,600 rpm – jadi ini mungkin enjin yang sama akan dilengkapi pada C-HR. Sebagai perbandingan antara Altis dan C-HR, crossover tersebut menghasilkan lebih 5 PS pada rpm yang lebih rendah dan lebih 6 Nm tork pada 200 rpm lebih tinggi.

    Berbanding pencabar utamanya pula, C-HR menghasilkan 8 PS/ 21 Nm lebih daripada Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang berbanding Mazda CX-3 2.0. Enjin tersebut hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik dan memacu roda hadapan. Tidak seperti HR-V dan CX-3, untuk pasaran global termasuk pasaran JDM, tiada model pacuan semua roda (AWD) akan ditawarkan untuk C-HR 2.0L.

    Toyota C-HR Geneva live 7

    Tetapi, varian AWD boleh dipilih oleh pembeli menerusi varian dengan enjin yang kurang berkuasa iaitu enjin turbo petrol 1.2 liter menjana 116 PS/185 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada transmisi CVT automatik atau enam-kelajuan manual, kedua-duanya menyalurkan kuasa ke sistem AWD.

    Juga terdapat untuk pasaran Jepun ialah model hibrid, menggunankan enjin 1.8 liter berkuasa 98 PS/142 Nm bersama sepasang motor eletrik berkuasa 72 PS/163 Nm. Gandingan unit janakuasa tersebut adalah sama seperti yang terdapat pada Prius terbaharu, dan hanya disediakan dalam bentuk pacuan roda hadapan, tiada opsyen motor untuk roda belakang seperti model Prius E-Four. Toyota mendakwa model hibrid ini boleh mencapai emisi karbon dioksida serendah 90 gram untuk setiap kilometer.

    Toyota C-HR ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terbaharu, model kedua dikeluarkan berasaskan platform tersebut selepas Prius serba baharu. Dinamik pemanduan dikatakan adalah sama seperti ketepatan dan kawalan yang ada pada hatchback segmen-C moden kerana platform yang dibina dengan pusat graviti yang rendah, membolehkan C-HR meredah selekoh dengan kelajuan tinggi dan kawalan badan yang cemerlang.

    Crossover ini berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm (1,5,65 mm pada model petrol) tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Oleh itu dimensi C-HR adalah 56 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar, 55 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding Honda HR-V. Berbanding Mazda CX-3 pula, C-HR adalah 75 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan dengan jarak roda yang 70 mm lebih panjang.

     
     
  • Honda panggil semula 143,137 kereta di Jepun kerana masalah pengepam beg udara buatan Daicel

    Honda airbag

    Honda telah melakukan kempen panggil semula yang melibatkan sebanyak 143,137 unit kenderaan Life kei car dan Acty kei truck di Jepun, ekoran insiden yang disebabkan oleh pengepam beg udara yang gagal berfungsi ketika kemalangan, dan menyebabkan pemandu mengalami kecederaan.

    Menurut laporan Automotive News, sistem beg udara terbabit bukan yang dibekalkan oleh Takata, tetapi oleh Daicel iaitu firma Jepun yang berkepakaran dalam menghasilkan pengepam beg udara. Menurut jurucakap Honda, Misato Fukushima, pengepam beg udara tersebut didapati “tidak sesuai dan halaju yang tidak sesuai”.

    Beliau menambah, pengepam yang dipadankan bersama sistem beg udara yang dihasilkan oleh Nihon Plast Co, dan tidak akan digantikan dengan komponen Takata yang bermasalah. Daicel juga dikatakan telah menghentikan pengeluaran bagi sistem pengepam ini dan bersedia memberikan kerjasama dengan Honda bagi menangani situasi ini.

    Beberapa hari lalu, sebanyak 160,000 unit Honda Jazz dan HR-V di Jepun telah dipanggil semula ekoran komponen roda stereng yang dikesan mengalami kerosakan. Pada Julai tahun lalu, syarikat pengeluar kenderaan terkemuka itu juga telah memanggil semula lebih enam juta kenderaan di seluruh dunia akibat masalah pengepam beg udara buatan Takata.

     
     
  • Jaguar XF baharu tiba di Malaysia 26 April ini

    Screen Shot 2016-04-11 at 11.21.54 AM

    Sebelum ini, Jaguar Malaysia telah mewar-warkan tentang ketibaan Jaguar XF baharu di Malaysia menerusi laman media sosial Facebook. Terbaru, ia telah pun disahkan bakal tiba di negara ini pada 26 April 2016.

    Menerusi entri yang dimuatnaik, ia turut memaparkan imej hadapan sedan mewah ini termasuk padanan lampu utama LED yang lebih nipis serta kluster lampu belakang yang menyerupai model XE yang telah dilancarkan di Malaysia. Malah foto papan pemuka XF baharu ini juga didedahkan.

    XF generasi kedua ini telah pun melakukan penampilan perdana di New York International Auto Show (NYIAS) tahun lalu. Ia juga telah mula berada pasaran dunia pada hujung tahun 2015. Bagi model ini, ia dikatakan lebih ringan, lebih berkuasa, lebih penjimatan bahan api dan juga memiliki ruang dalaman yang lebih besar berbanding XF yang asal, yang diperkenalkan sejak tahun 2007.

    Penggayaannya juga diinspirasikan dari XE yang lebih kecil, termasuk perumah kaca yang dilebarkan ke belakang memberikan penampilan XF baharu ini lebih berkarakteristik seperti garisan bumbung model coupe. Ditambah pula XF 2016 ini 7 mm lebih pendek dan 3 mm lebih rendah berbanding model terdahulu, tetapi dengan jarak roda 2,960 mm menjadikan ia 51 mm lebih panjang, sekali gus menjawab bagaimana menjadikan ruang dalamannya lebih luas. Malah papan pemukanya juga seakan berkongsi rekaan yang sama dengan XE, yang dilancarkan pada Januari lalu.

    Dibangunkan dengan seni bina modular aluminium Jaguar (model kedua selepas XE), XF baharu ini 190 kg lebih ringan berbanding terdahulu dan 80 kg lebih ringan berbanding pesaingnya. Di mana Jaguar mendakwa ketegaran kilasannya telah dipertingkatkan sehingga 28%.

    XF baharu ini juga menampilkan enjin Ingenium 2.0 turbodiesel baharu dengan dua output iaitu 163 PS/380 Nm dan 180 PS/430 Nm, dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan. Ia turut menawarkan tiga pilihan enjin lain iaitu petrol 2.0 liter turbo (240 PS/340 Nm), diesel 3.0 liter biturbo (00 PS/700 Nm) dan petrol 3.0 liter supercharged sama ada 340 PS/450 Nm atau 380 PS/450 Nm – hanya auto sahaja.

    XF sedia ada di Malaysia ditawarkan dengan petrol 2.0 Ti (240 PS/340 Nm), diesel 2.2 Td (200 PS/450 Nm), diesel 3.0 Td (275 PS/600 Nm) dan petrol 3.0 SC supercharged (340 PS/450 Nm), harga dari RM408,888 hingga RM623,888.

     
     
  • Jawatankuasa khas akan ditubuh untuk menambah baik undang-undang trafik – Menteri Pengangkutan

    liow tiong lai

    Dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya dan kehilangan jiwa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata undang-undang trafik Malaysia akan dikaji semula dan dinaik taraf. Menurut The Star, Menteri tersebut dilaporkan berkata usaha kerajaan untuk mendidik orang ramai berkenaan keselamatan jalan raya tidak berjaya untuk mengurangkan kadar kemalangan dan pemanduan cuai, oleh itu usaha lain akan dilakukan untuk memperbaiki situasi ini.

    “Kini, kami mahu melihat semula undang-undang sedia ada dan mencari jalan bagaimana penguatkuasaan kami akan mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian secara efekftif,” kata beliau. Dalam laporan berasingan oleh The Sun pula, Liow yang menghadiri perayaan ulangtahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ke-70 menambah, jawatankuasa khas akan diwujudkan untuk menambahbaik beberapa undang-undang jalan raya negara yang sedia ada.

    Beliau tidak percaya kurangnya penguatkuasaan JPJ sedia ada perlu dipersalahkan. “Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila kita melaksanakan penguatkuasaan, tidak nampak keberkesanannya jadi, kita perlu mengkaji semula segenap sudut penguatkuasaan yang dilakukan selama ini,” kata beliau.

    Untuk sistem demerit yang bakal dijalankan pada masa akan datang, Liow menjelaskan sistem demerit sebelum ini gagal kerana tiada penolakan markah dari 15 markah tahunan untuk pesalah yang telah membayar kompaun mereka. Jadi kesalahan tersebut akan berulang tanpa dikenakan hukuman setelah saman tersebut dibayar.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) mungkin akan ditangguhkan. Ia pada asalnya dijadualkan akan beroperasi Mei tahun ini, walau bagaimanapun telah ditangguhkan sehingga Ogos iaitu selepas musim Hari Raya Aidilfitri, setelah perbincangan lanjut berhubung sistem berkenaan digulung di dalam Dewan Rakyat.

     
     
  • Kementah siapkan enam projek jalan raya bernilai RM252.03 juta di kawasan pedalaman Sarawak

    12983934_981353351941956_6399942084550907832_o

    Kementerian Pertahanan (Kementah) berjaya menyiapkan enam projek dalam fasa satu Projek Pembinaan Jalan Kawasan Pedalaman dan Pergunungan di Sarawak dengan kos RM252.03 juta.

    Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kos asal kesemua enam projek itu ialah RM872.2 juta sekiranya mengikut kaedah pembinaan konvesional tetapi dengan kaedah baharu yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia, ia dapat menjimatkan kos itu sebanyak RM620.17 juta, laporan Bernama.

    “Pelaksanaan enam projek ini memberi manfaat kepada 81,400 orang dari 84 kampung di Sarawak,” katanya pada pelancaran fasa satu projek itu di kawasan pergunungan Ba’Kelalan-Bario semalam.

    Menurutnya, projek Ba’Kelalan-Bario yang melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 13 kilometer sejak 9 Jan 2013, adalah antara yang menggunakan kaedah pembinaan baharu dengan kos RM40.83 juta dan memberi penjimatan RM24.17 juta berbanding kos asal RM65 juta.

    Jalan raya itu akan memberi manfaat kepada sembilan kampung yang mempunyai 1,200 penduduk.

    Hishammuddin berkata untuk fasa kedua, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan lima projek jalan raya dengan tempoh siapnya pada tahun ini.

    Projek berkenaan membabitkan naik taraf jalan balak dari Belaga ke Nanga Merit, Kapit sepanjang 130km, pembinaan jalan kampung dari Kuala Medalam-Kampung Kerangan dan Kampung Ensungai, Limbang (18.5km) dan naik taraf jalan skim rancangan sepupuk Niah Bekenu, Miri (16km).

    Dua projek yang bakal siap dalam fasa kedua itu ialah pembinaan Jalan Ba’Kelalan-Bario, Limbang (21km) dan pembinaan jalan baharu dari Nanga Merit ke Kapit (60km).

    Apabila kesemua projek fasa dua itu siap kelak, beliau berharap kualiti hidup masyarakat di kawasan terbabit akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

     
     
  • Hampir setengah juta saman langgar lampu isyarat dikeluarkan sepanjang tahun lalu – Polis Trafik KL

    polis operasi PT

    Sepanjang tahun lalu, hampir setengah juta saman dikeluarkan oleh Polis Trafik Kuala Lumpur kepada pengguna jalan raya di sekitar ibu kota atas kesalahan tidak berhenti di lampu isyarat.

    Menurut Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain, daripada 491,479 saman itu, sebanyak 78% kesalahan dikesan melalui Sistem Pengawasan Kamera Lampu Isyarat Merah (RLSC) yang dipasang di 17 persimpangan ‘kawasan panas’ manakala 22% lagi dikesan secara langsung oleh anggota trafik bertugas, laporan Bernama.

    Beliau berkata sebanyak 51 kemalangan berpunca daripada kesalahan melanggar lampu isyarat merah dicatatkan sepanjang tahun lalu manakala 11 kemalangan dengan satu kematian dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

    “Saman akibat kesalahan sama dari Januari hingga Mac tahun ini juga meningkat sebanyak 29% di mana 142,039 saman direkodkan berbanding hanya 110,021 dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

    Sambungnya lagi, pemandu kenderaan persendirian seperti kereta, van, kenderaan pacuan empat roda dan penunggang motosikal dikesan sebagai paling kerap melakukan kesalahan tersebut.

    Di mana sebanyak 9,429 saman bagi kesalahan sama dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan teksi yang beroperasi atau menggunakan laluan sekitar ibu kota.

    PJ-Traffic-Jam_PTBM

    Selain itu, “Sikap pentingkan diri sendiri, tidak berdisiplin, kurang kesedaran sivik dengan tidak menghormati undang-undang serta terkejar-kejar lampu kuning dilihat sebagai antara punca utama mengapa kesalahan ini sering dilakukan pengguna jalan raya.

    Beliau berkata sebanyak 240 anggota trafik ditugas mengawal lalu lintas di ibu kota setiap hari dengan tumpuan diberikan pada waktu puncak iaitu dari 6 pagi hingga 10 pagi ketika orang ramai keluar bekerja dan 5 petang hingga 9 malam ketika waktu pulang daripada bekerja.

    “Kita juga sentiasa memantau laluan yang sering berlaku kesalahan melanggar trafik dan akan mencadangkan kepada pihak Bukit Aman supaya lebih banyak kamera pengawasan RLSC dipasang,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon pula berkata cadangan menambah bilangan RLSC merupakan inisiatif terbaik untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya seterusnya menggalakkan mereka mematuhi lampu isyarat.

    Katanya kajian dijalankan MIROS di beberapa negara luar yang mengaplikasikan teknologi berkenaan juga terbukti berkesan mengurangkan kesalahan terbabit sebanyak 40 hingga 90 peratus.

    “Penambahbaikan sistem lampu isyarat seperti pemasangan “countdown timers” yang hanya terdapat di beberapa lokasi sahaja perlu diperluaskan kerana ia membantu pengguna jalan raya lebih bertenang dalam menunggu giliran laluan mereka.

    “Bagaimanapun, sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang seolah-olah menjadikan kesalahan melanggar lampu isyarat sebagai satu budaya di negara ini perlu diubah, jika tidak pastinya segala usaha yang dilakukan pihak berwajib tidak akan berhasil,” katanya.

     
     
  • Syed Zainal sifatkan kenyataan Azalina dakwa harga kenderaan akan turun tidak matang dan tidak realistik

    syed zainal

    Bekas CEO Proton Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mengkritik kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Azalina Othman berhubung jangkaan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang mengatakan harga kereta bakal turun sehingga 30% menjelang 2018.

    Menyifatkan kenyataan Azalina tersebut sebagai tidak matang, Syed Zainal berkata beliau sepatutnya menyediakan penjelasan yang lebih terperinci berhubung niat kerajaan untuk menurunkan harga kenderaan untuk mengelakkan salah faham antara pengeluar kenderaan dan orang ramai.

    “Tidak pernah berlaku dalam sejarah harga kereta jatuh secara drastik pada masa yang sama harga barangan lain sedang meningkat. Pada saya, kenyataan Azalina tersebut adalah tidak matang dan tidak realistik. Perlu untuk bertanya kepada beliau bagaimana beliau mahu menurunkan harga kenderaan sehingga 30%. Jika kerajaan menurunkan kadar cukai (duti eksais), barulah ia agak senang untuk dicapai.” kata beliau kepada FMT.

    JB09_010815_AZALINA

    Beberapa hari sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata dalam kenyataan balas bertulisnya kepada Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang harga kenderaan akan diturunkan secara berperingkat. Sebelum itu, Lim telah bertanya kepada menteri tersebut berhubung janji kerajaan untuk menurunkan harga kenderaan secara berperingkat sehingga 20 ke 30% seperti yang dijanjikan di dalam manifesto pilihanraya umum ke-13 lalu.

    “Terdapat pelbagai langkah yang dilakukan termasuk memberikan geran insentif bagi mengurangkan jumlah duti eksais kepada syarikat pengeluar kenderaan dan juga termasuk nilai-tambah bagi komponen automotif tempatan.” kata beliau.

    “Insentif ini dilihat dapat memberikan kesan terhadap pengurangan harga jualan yang pernah direkodkan pada tahun 2013 iaitu sebanyak 3%, diikuti dengan 7% pada 2014 dan 2.7% pada 2015,” ujar beliau lagi.

     
     
  • Proton yakin pulih dengan pinjaman bernilai RM1.5b

    Perdana-Brochure-1

    Susulan pengumuman Dato ‘Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) siang tadi mengenai pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton dengan menetapkan beberapa syarat tertentu, syarikat pengeluar kereta nasional ini turut mengeluarkan kenyataan rasmi sebentar tadi.

    “Pengumuman oleh Kerajaan akan menjadi pemangkin kepada pelan pemulihan PROTON yang merangkumi pelancaran tiga model baharu tahun ini, bermula dengan Perdana. Dengan pelantikan pengurusan yang baharu, kami yakin syarikat akan kembali pulih,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali.

    Dalam kenyataan tersebut menyebut, Proton juga akan terus meningkatkan produk dan perkhidmatannya untuk memenuhi kehendak pelanggan dengan lebih baik. Setakat ini, Proton telah menghasilkan pelbagai model dalam semua segmen, sama ada melalui keupayaan yang dibangunkan sendiri atau kerjasama yang terjalin dengan syarikat pengeluar kereta lain.

    “Proton juga sentiasa berhubung dengan rakan-rakan strategik untuk mencari peluang kerjasama untuk mempertingkatkan penawaran produk dan mengurangkan masa untuk memasarkan produk. Bantuan dari Kerajaan akan memperkukuh keyakinan rakan kongsi perniagaan kami,” tambah Dato’ Fuaad.

    Selain itu, Proton juga memahami bahawa kemampanan syarikat akan memberi kesan kepada ekosistem industri automotif tempatan yang melibatkan vendor, pembekal, peniaga, pengusaha kenderaan pra-milik dan pelanggan kami yang selama ini setia dan menyokong Proton.

    Jelasnya lagi, “Kami menghargai bantuan yang diberikan dan mengakui semua fakta yang diketengahkan oleh Kerajaan. Kami mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas itu dan mengalu-alukan kerjasama dengan lebih rapat demi pertumbuhan masa depan PROTON.”

     
     
  • IIMS 2016: Perincian Toyota Innova baharu – Type Q dengan enam tempat duduk, tampil ciri-ciri mewah

    Toyota_Innova-2_BM

    Toyota Innova merupakan antara model yang terpenting di Indonesia. Model serba baharu MPV ini – yang juga dikenali sebagai Kijang Innova di sana – telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia pada November 2015. Ia juga bakal dibawa ke pasaran Malaysia tidak lama lagi bersama Toyota Hilux dan Toyota Fortuner baharu. Jadi, mari kita teliti dahulu ciri-ciri yang terdapat pada Innova yang dipamerkan di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016.

    Model yang dipamerkan ini adalah dari varian Type Q, iaitu varian tertinggi dalam barisan model Innova. Berbanding varian lebih rendah yang dilengkapi dengan tujuh-tempat duduk, varian ini hanya menampilkan enam-tempat duduk, dengan konfigurasi dua tempat duduk setiap baris yang lebih selesa. Tempat duduk barisan kedua telah dilengkapi dengan tempat duduk ‘kapten’ berbanding tempat duduk berkonsep bangku pada varian lain. Tempat duduk ‘kapten’ tersebut juga dilengkapi dengan perehat tangan yang boleh dilipat dan juga tray kabin seperti Toyota Alpahard bagi menaikkan imej mewahnya.

    Semua tempat duduk dibalut dengan fabrik dengan motif ‘zebra’ serta kemasan kayu bukan sahaja pada papan pemuka, tetapi turut juga terdapat pada roda stereng, pintu belakang, di atas tray meja, dan dibelakang konsol tengah bahagian belakang. Terdapat juga liang penghawa dingin untuk kesemua barisan tempat duduk dengan butang pengawal bahagian belakang diletakkan pada bahagian atas barisan tengah. Panel tersebut juga menempatkan butang kawalan lampu ambien kabin LED.

    Innova serba baharu ini dikuasakan dengan dua pilihan enjin sama ada enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat-silinder (139 PS/183 Nm) atau enjin turbo diesel 2GD-FTV 2.4 liter baharu (149 PS/359 Nm) seperti yang terdapat pada Toyota Hilux terkini. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter dengan mod manual atau transmisi manual lima-kelajuan.

    Kesemua varian boleh dipilih dengan kesemua pilihan enjin dan transmisi tersebut, kecuali Type Q yang hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter beserta transmisi automatik.

    Ciri-ciri lain yang menarik pada Innova ini termasuk unit utama skrin sesentuh lapan-inci dengan Miracast dan sambungan HDMI, lampu hadapan projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED, tujuh beg udara, VSC dan bantuan mula mendaki. MPV ini juga menerima penarafan lima bintang dalam ujian kemalangan ASEAN NCAP.

     
     
  • Nissan Skyline dinobat kereta Jepun paling ikonik

    Nissan-Skyline-most-iconic-Japanese-car-ever-Japfest-1_BM

    Nama Nissan Skyline telah dinobatkan sebagai kereta Jepun paling ikonik menerusi tinjauan di laman sosial Japfest, acara terbesar yang meraikan budaya kereta Jepun di Eropah.

    Sebelum bermulanya acara tersebut yang dijadualkan berlangsung di litar Silverstone,UK pada 24 April 2016, pihak penganjur acara ini telah melakukan tinjauan di laman sosialnya untuk mengenalpasti kereta buatan Jepun yang mana patut dinobatkan sebagai kereta Jepun paling ikonik sepanjang zaman.

    Menerusi permainan video Playstation iaitu Gran Turismo, dan penampilannya di layar perak, nama Nissan Skyline sentiasa meniti dibibir peminat kereta sport Jepun bermula dari generasi pertama Hakosuka GT-R sehingga generasi Skyline yang dikenali sebagai ‘Godzilla’ bermula dari generasi GT-R R32 hingga R34. Penampilan Skyline GT-R R34 pada siri filem Fast and Furious juga antara faktor ia diangkat dengan gelaran tersebut.

    “Nissan Skyline antara salah sebuah kereta yang melonjakkan kegilaan menala kereta buatan Jepun di UK, jadi tidak hairanlah ia dinamakan sebagai kereta berprestasi Jepun paling ikonik sepanjang zaman. Japfest adalah perayaan sebenar meraikan budaya ini, oleh itu, kami tidak sabar untuk meraikannya dalam suasana festival,” kata pengurus acara Katherine Chappell.

    Hasil tinjauan tersebut menyaksikan Toyota Supra berada di tempat kedua dan diikuti oleh Subaru Impreza di tempat ketiga. Senarai penuh kereta yang dicalonkan untuk gelaran ini adalah:

    • Mitsubishi Lancer Evo (semua variant)
    • Toyota Supra
    • Honda Civic Type-R
    • Nissan Skyline (semua variant)
    • Toyota MR2
    • Honda Integra R
    • Mazda MX-5
    • Toyota GT
    • Toyota Corolla AE86
    • Honda S2000
    • Nissan 200SX
    • Datsun/Nissan Z cars
    • Subaru BR-Z
    • Mazda RX-7
    • Datsun 510
    • Mazda RX-8
    • Toyota Celica
    • Honda CRX
    • Mitsubishi 3000GT
    • Suzuki Swift Sport
    • Mitsubishi FTO

    Tinjauan ini juga memberikan opsyen untuk menambah lagi model jika kereta yang ingin dipilih pengikut tidak berada dalam senarai.

    Walau bagaimanapun, nama Skyline telah digugurkan oleh pihak Nissan untuk generasi GT-R seterusnya bermula pada model R35 GT-R. Nama Skyline kini hanya kekal pada generasi Skyline bermula dari model V35 yang menampilkan varian Sedan, Coupe dan juga Crossover, tanpa varian berprestasi tinggi sebenar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025