Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sebahagian Lebuhraya LKSA ditutup dari jam 2 pagi hingga 6 pagi pada 6 Mac ini sempena MWM 2016

    Screen Shot 2016-03-01 at 4.07.50 PM

    Sempena dengan penganjuran Malaysia Women Marathon (MWM) 2016 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mac ini, sebahagian daripada Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan ditutup dari jam 2 pagi hingga 6 pagi.

    Bagi yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan, sila keluar ke Persiaran Kayangan. Manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kemuning, sila guna Persiaran Tengku Ampuan menuju ke Persiaran Kuala Selangor atau keluar ke HICOM atau Bukit Rimau.

    Manakala yang datang dari arah Klang untuk ke Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan, sila guna Persiaran Kayangan. Bagi yang datang dari Klang menuju ke Kota Kemuning, sila guna Persiaran Tengku Ampuan menuju ke Persiaran Kuala Selangor atau keluar ke HICOM atau Bukit Rimau.

    Klik untuk besarkan imej

    Dari SS15, 16, 17, 18 dan 24 yang ingin ke Shah Alam, sila guna Persiaran Kemajuan dan keluar ke Padang Jawa. Manakala yang ingin ke Kota Kemuning, sila gunakan Persiaran Budiman menuju Jalan Bukit Kemuning ke Jalan Bukit Meru atau Lebuhraya KESAS sebelum keluar di Bukit Rimau.

    Bagi yang datang dari arah Klang menggunakan Lebuhraya KESAS, sila keluar menerusi susur ke HICOM, terus menuju Persiaran Kuala Selangor, kemudian ke Persiaran Tengku Ampuan dan Persiaran Kayangan.

    Manakala sesiapa yang ingin ke Klang menuju ke Kota Kemuning menggunakan KESAS, sila keluar ke susur Bukit Rimau atau HICOM dan buat pusingan-U sebelum ke susur keluar Bukit Rimau.

    Pengguna Lebuhraya KESAS yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam pula, sila keluar ke susur HICOM sebelum ke Persiaran Kuala Selangor dan kemudian ke Persiaran Tengku Ampuan dan Persiaran Kayangan.

    Bagi yang dari dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Kemuning melalui Lebuhraya KESAS, sila keluar ke susur Bukit Rimau atau HICOM.

    Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi papan tanda yang diletakkan bagi kelancaran perjalanan masing-masing.

     
     
  • Petronas akan terus taja pasukan F1 dengan Mercedes

    2016 Mercedes AMG Petronas F1 W08 - 8

    Semalam Petronas telah mengumumkan untung sebelum cukainya yang susut 53% kepada RM36.68 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2015 berbanding RM77.69 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2014.

    Walau bagaimana pun, Petronas turut menguumkan akan terus terlibat dengan perlumbaan Formula Satu (F1) walaupun ada perancangan untuk mengurangkan perbelanjaan modalnya berikutan harga rendah minyak mentah, memetik laporan Bernama.

    Presiden dan CEO Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, “F1 adalah antara inisiatif penjenamaan kami. Berdasarkan perlumbaan musim lepas, kami mendapat pendedahan yang tinggi berbanding syarikat minyak lain.

    “Kami masih ada perjanjian dengan pasukan AMG Mercedes sehingga 2017. Komitmen itu masih kekal dan tiada perubahan dalam strategi.”

    Untuk rekod, Petronas telah menaja pasukan Mercedes sejak tahun 2009 lagi. Sebelum ini, Petronas juga bertindak sebagai penaja bagi pasukan F1 Sauber pada 1995.

     
     
  • KESAS, SPRINT, GCE, LEKAS dan LATAR laksana sistem bayaran tol elektronik sepenuhnya mulai esok

    Lekas-01

    Seperti mana yang pernah diwar-warkan sebelum ini, sebanyak lima lebuhraya akan melaksanakan sistem bayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya mulai esok bersamaan 2 Mac 2016. Ia melibatkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LEKAS).

    Kesemua lebuhraya yang melibatkan 22 buah plaza tol ini akan memulakan ETC pada tepat jam 12 tengah malam ini. Sehubungan itu, semua pengguna lebuh raya berkenaan dinasihatkan agar bersedia dengan kad Touch’n Go atau pun SmartTag bagi melancarkan perjalanan masing-masing.

     
     
  • JPJ sita 22 kereta klon bernilai RM1j dalam dua bulan

    Cloned-Odyssey-2

    Dalam tempoh dua bulan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita 22 buah kereta klon. Dengan pelbagai model termasuk jenama mewah, nilai bagi 22 buah kereta yang disita itu telah mencecah RM1 juta, menurut laporan New Straits Times.

    “Ini menunjukkan ramai yang mahu memiliki kereta mewah, walhal pada hakikatnya mereka tidak berkemampuan. Jadi membeli kereta klon dengan harga yang rendah adalah jalan pintas bagi mereka merealisasikan impian ini,” ujar Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie.

    Sejak tahun lalu, sehingga kini sebanyak 254 kereta klon telah dirampas. Antara model kereta yang dirampas termasuklah MINI, Subaru Impreza, Honda Jazz, Honda City, Honda Odyssey dan Toyota Wish. Di mana setakat ini Terengganu mencatatkan jumlah paling tinggi bagi kereta klon berbanding negeri-negeri lain.

    Cloned-Odyssey-1

    “Kereta klon Honda Odyssey dijual pada harga sekitar RM12,000 berbanding harga asalnya mencecah RM100,000,” jelas Rahman. Pengarah JPJ tersebut juga berkata ramai yang terpedaya dengan pujukan anggota sindiket kereta klon ini, di mana terdapat iklan-iklan yang disiarkan menerusi dalam talian dengan menunjukkan kereta berkenaan dijual pada harga yang rendah.

    Seperti mana yang dlaporkan sebelum ini, dianggarkan terdapat antara 2,000 hingga 3,000 kereta klon masih berada di jalan raya, dan pihak kerajaan telah kerugian hampir RM100 juta menerusi cukai disebabkan perkara ini. Biasanya kereta klon dibawa masuk dari luar negara sebagai kereta dari Malaysia yang menggunakan nombor plat yang serupa yang diambil dari kereta jenis/model yang sama didaftarkan.

     
     
  • TC Euro Cars umum harga Renault Captur – RM117k

    pandu-uji-renault-captur-19

    Walau pun telah diprebiu pada umum pada Julai tahun lalu, baru kini harganya diumumkan oleh TC Euro Cars (TCEC). Renault Captur, model crossover urban ini ditawarkan pada harga RM117,200 (di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia).

    Sejak melakukan debut di peringkat global, Captur telah menjadi salah sebuah model Renault yang paling mendapat perhatian dan antara yang terlaris dalam segmen SUV bersaiz kecil di Eropah sejak tahun 2013.

    Bergaya dan praktikal, Captur tampil dengan reka bentuk kompak, tetapi ruang dalamannya tetap luas dan versatil. Ciri-ciri tersebut digabungkan dengan gayaan ekspresif, posisi pemanduan dan jarak kelegaan tanah yang tinggi. Ini membuatkan Captur sememangnya sesuai untuk para pemandu urban moden pada hari ini yang mahukan kenderaan yang selamat dan efisien, selain mampu memenuhi gaya hidup aktif mereka.

    Klik imej ini untuk besarkan

    Captur dijanakan oleh enjin Tce 120 1.5 liter bersama sistem pengecas turbo. Dengan 120 hp dan 190 Nm pada 2,000 rpm yang disalurkan menerusi roda hadapan, ia turut dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan. Penjana kuasa ini membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 10.9 saat dan kelajuan maksimum yang dicatat pada 192 km/j. Malah crossover ini didakwa mampu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 5.4L/100km.

    Buat setakat ini, Captur juga merupakan satu-satunya crossover di pasaran Malaysia yang menawarkan warna luaran dua tona. Ia bukan sahaja bergaya, malah menawarkan penampilan segar untuk pemandu yang mahu tampil menyerlah bersama sebuah kenderaan yang unik. Empat kombinasi warna yang ditawarkan ialah Arizona Orange/Diamond Black, Pacific Blue/Ivory, Beige/Diamond Black dan Ivory/Diamond Black.

    Ia juga hadir bersama jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun daripada pengilang dan disokong sepenuhnya oleh Renault. Ini bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang mudah kerana kurang komplikasi dari segi terma dan syaratnya.

    pandu-uji-renault-captur-27

    Malah mulai 9 hingga 13 Mac ini, TCEC akan mengadakan siri jelajah di Lower Ground, Oval, pusat membeli-belah 1 Utama, Bandar Utama, Selangor untuk mempamerkan rangkaian lengkap kenderaan Renault Captur.

    Selain zon Captur, siri jelajah itu juga akan menampilkan tiga zon tambahan yang mempamerkan model-model Renault yang lain termasuklah hot hatch Clio GT Line yang sporty dan bergaya. Sementara zon EV pula mengetengahkan kereta elektrik Renault Twizy dan Zoe.

    Ikuti ulasan pandu uji Renault Captur untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

     
     
  • Jenama baharu Malaysia model kenderaan SAF dijangka dilancarkan April ini, pikap Striker dan SUV Landfort dibangunkan dari model Foday

    foday_landfort

    Malaysia bakal menerima satu lagi jenama model kenderaan baharu yang diproduksi di Malaysia dengan nama SAF. Ia bakal diperkenalkan oleh syarikat tempatan iaitu Enggang Keramat Automotive Sdn Bhd, dengan menawarkan dua model kenderaan iaitu SUV SAF Landfort dan pikap SAF Striker. SAF yang bermaksud ‘barisan hadapan dalam solat’, dijangka akan dilancarkan pada April ini.

    Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Azizul Hj Tandek, Pengarah Urusan Enggang Keramat kepada paultan.org.

    Kedua-duanya adalah model kenderaan yang rebadged dari jenama China iaitu Foday, dan jika di negara berkenaan, pikap tersebut dikenali sebagai Lion F22 dan SUV Landfort. Walau bagaimana pun, bagi pasaran Malaysia, kedua-duanya akan menggunakan logo SAF waima imejnya masih seiras dengan model pasaran China.

    Kedua-dua model ini juga dipasangkan di Oriental Assemblers, Tampoi, Johor iaitu sama dengan pemasangan model Cherry di Malaysia.

    Bagi kedua-dua model pikap dan SUV berkenaan, hanya satu jenis enjin sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 4G69S4N 2.4 liter petrol yang diperoleh dari Mitsubishi. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 134 hp pada 5,250 rpm dan tork 200 Nm dari 2,500 hingga 3,000 rpm. Ia turut ditawarkan dengan dua transmisi iaitu manual lima-kelajuan dan automatik enam-kelajuan. Bagi SUV SAF Landfort, ia turut ditawarkan dengan pacuan 2WD dan 4WD, sementara hanya 4WD bagi SAF Striker.

    Foday Lion F22 59

    SAF Striker dijangka akan dijual pada harga di bawah RM100,000, manakala SAF Landfort pula kurang dari RM150,000. Enggang Keramat mensasarkan jualan sebanyak 100 unit bagi setiap model sebagai permulaan, dan sudah pun mempunyai 20 pengedar, kesemuanya pusat 3S di seluruh negara termasuk Malaysia Timur.

    Perincian penuh mengenainya masih belum dimaklumkan, namun kedua-dua model akan dilengkapi dengan dua beg udara dan ABS bersama EBD, tanpa kawalan kestabilan.

    Jadi apa pendapat anda mengenai satu lagi jenama yang dianggap sebagai jenama tempatan ini yang bakal menerjah pasaran kita dijangka bulan hadapan? Adakah ia mampu menyaingi model persaingnya yang sudah mempunyai nama tersendiri dalam pasaran automotif tempatan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    GALERI: Foday Lion F22

    GALERI: Foday Landfort

     
     
  • Proton Iriz untuk pasaran eksport – termasuk versi pemanduan sebelah kiri kini dalam pembangunan

    Proton_Iriz_001_BM

    Dalam usaha untuk mengembangkan pasaran eksport mereka, Proton kini sedang membangunkan Iriz versi eksport, menyertai Preve, Exora dan Saga yang kini sudah pun dieksport ke beberapa negara seperti Australia, UK, dan yang terbaharu Chile.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Harith Abdullah, pembangunan Iriz untuk pasaran eksport kini sedang berjalan termasuk dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa, memberitahu paultan.org, agak logik untuk Proton memasarkan Iriz ke pasaran serantau seperti Indonesia dan Thailand, seterusnya ke Australia.

    Proton_Iriz_ 002

    Berita tentang rancangan mengeksport Iriz telah kedengaran dalam tempoh yang agak lama sebelum ini, sejak ia dilancarkan pada September 2014. Pada November 2014 juga Iriz disaksikan muncul di Thailand International Motor Expo dan ditampal dengan tanda ‘Akan Datang’ pada tingkap sisi, walau bagaimana pun tiada berita tentang pembangunannya untuk pasaran Thailand selepas itu.

    Pada Disember 2104 pula, Iriz dikhabarkan akan sampai ke pasaran Australia pada pertengahan 2015 dan berkemungkinan akan membawa nama Satria di sana. Pada Oktober 2015 pula, Iriz dilaporkan sedang dalam proses kelulusan untuk pasaran Indonesia dengan lima varian termasuk 1.3 Premium CVT yang tidak terdapat di Malaysia.

    Eksport ke pasaran Eropah pula hanya boleh dijangka selepas program pembangunan enjin baharu Proton selesai yang merangkumi enjin berteknologi pancitan terus tanpa pendesak turbo (GDI) dan dengan bantuan turbo (TGDI) yang akan masuk ke produksi pada hujung 2017. Enjin-enjin ini akan lebih kompetitif di pasaran Eropah berikutan penghasilan emisi yang lebih rendah dan menepati piawaian di sana termasuk piawaian Euro 6C bermula 2018.

     
     
  • Proton memulakan CKD Preve di Bangladesh Jun ini

    Proton_Suprima_S_vs_Preve_ 011

    Hari ini, Proton telah mengesahkan akan memulakan pemasangan bagi model Preve bagi unit pemasangan tempatan (CKD) di Bangladesh pada Jun ini. Namun sementara menantikan model CKD siap, Proton turut akan menghantar model Preve ke sana untuk dijual.

    Menurut CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, selepas Preve, ia akan disusuli dengan Exora dan Saga dengan mensasarkan jualan sebanyak 1,000 unit bagi pasaran berkenaan.

    “Kami berasa berbesar hati kerana pihak di sana mahu menjalinkan kerjasama dengan kami. Malah sanggup mengeluarkan kos pelaburan yang besar untuk membina fasiliti yang diperlukan. Walau pun pasaran di Bangladesh tidaklah begitu besar, namun ia dilihat mampu mengembangkan lagi langkah Proton dalam pasaran global,” ujar Harith.

    Proton7

    Pada penghujung tahun 2014, desas-desus ini telah pun mula bertebaran sejak Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina yang ketika itu membuat kunjungan rasmi ke Malaysia.

    Malah pada Mac 2015 pula, media Bangladesh telah melaporkan Proton telah pun menandatangani perjanjian bersama syarikat konglomerat tempatan PHP Group untuk memasang kenderaan di sana. Selain memasang kenderaan Proton, perjanjian ini turut membabitkan perancangan untuk menghasilkan komponen dan bahagian kenderaan pada masa akan datang.

    Laporan tersebut turut menyebut, Preve di sana akan dikenali sebagai Proton PHP dan ditawarkan dengan enjin 1.6 liter Campro Turbo bersama pilihan transmisi manual dan automatik.

    Menurut Timbalan Pengerusi PHP Group, Mohammed Mohsin Chowdhury, harga yang akan ditawarkan bagi model Proton di negara berkenaan adalah lebih kurang dengan kenderaan dari Jepun yang dibaikpulih yang begitu popular di sana terutamanya daripada golongan kelas pertengahan. Beliau turut berkata, pihak syarikat akan menanggung semua kos pembaikan jika terdapat isu teknikal bagi 25,000 km pertama.

    Proton_Suprima_S_vs_Preve_ 013

    Kilang pemasangan dengan keluasan 30 ekar ini terletak di Anwara Upazila, Chittagong dengan kos pelaburan sebanyak Tk 400 crore (RM190 juta) bersama hampir 200 tenaga kerja termasuk 50 jurutera automotif.

    Proton merupakan syarikat pengeluar kenderaan kedua yang memasang kenderaan di Bangladesh, selepas Mitsubishi yang pernah memasang Pajero Sport di sana sejak tahun 2011. Malah Proton juga akan menghantar sekumpulan jurutera dari Malaysia untuk melatih tenaga kerja di sana.

    Selain Bangladesh, Proton juga telah memulakan penghantaran bagi kumpulan pertama model eksportnya ke Chile. Bagi pasaran berkenaan, Proton turut mensasarkan jualan sebanyak 1,000 unit bagi tahun ini dengan model yang sama iaitu Preve, Exora dan Saga.

     
     
  • SPAD lanjutkan diskaun 30% untuk pas bulanan bas

    MK02_160208_KTB_SKYVIEW

    Dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur sekaligus mengurangkan masalah kesesakan jalan raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersetuju untuk melanjutkan tempoh pemberian diskaun 30% kepada pengguna bas antara bandar bagi laluan Rawang, Klang, dan Seremban ke Kuala Lumpur yang menggunakan pas bulanan.

    Usaha ini juga bertujuan untuk meringankan beban pengguna dengan mengurangkan kos pengangkutan untuk penduduk dipinggir bandar yang berkerja di bandaraya Kuala Lumpur.

    Berikut adalah senarai harga pas bulanan dari pengendali bas dan laluan mereka.

    Screen Shot 2016-03-01 at 9.48.29 AM

     
     
  • Proton hantar 50 unit pertama Preve ke Chile, diikuti Exora dan Saga – sasar jualan 1k unit untuk 2016

    Proton-LHD-Preve-to-Chile-3

    Pada awal Januari lalu, Proton telah mengesahkan akan memasuki semula pasaran Chile dengan mengeksport model Exora dan Preve. Hari ini, proses penghantaran bagi kumpulan pertama model-model berkenaan bermula.

    Sebanyak 50 unit Preve dengan pemanduan sebelah kiri (LHD) akan tiba di San Antonio bagi kumpulan pertama ini, akan disusuli dengan Exora. Di mana kedua-dua model berkenaan akan dijual di sana mulai Mei ini dan diikuti dengan Saga pada November 2016. Buat setakat ini, Proton secara optimis mensasarkan 1,000 unit bagi ketiga-tiga model berkenaan untuk dijual di pasaran Chile.

    Preve di Chile akan dijual pada harga jangkaan bermula $17,000 (RM71,179) seunit. Walau bagaimana pun, Proton belum memaklumkan harga bagi Exora dan Saga.

    Menurut Proton, varian bagi Preve yang akan dijual di negara berkenaan ialah Preve 1.6 Standard MT, Preve 1.6 Executive MT dan Preve 1.6 Premium CVT. Manakala bagi Exora pula adalah Exora 1.6 Standard CVT dan Exora 1.6 Premium CVT. Bagi Saga pula, varian Saga FLX 1.6 Standard MT dan Saga FLX 1.6 Premium MT akan tiba di sana enam bulan selepas Exora dan Preve.

    Kereta-kereta Proton di sana akan dijual oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, wakil pengedar dari Chile yang telah menandatangani perjanjian pengedaran bersama Proton pada 1 Julai 2015 lalu.

    “Kami merancang untuk memasuki semula pasaran Chile selepas Perjanjian Bebas Perdagangan (Free Trade Agreement, FTA) Malaysia-Chile yang ditandatangani pada 25 Februari 2012. Di mana Proton telah ditawarkan pengecualian 6% duit import dan kami amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas inisiatif ini,” ujar Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton.

    Menurut Harith lagi, pengecualian ini turut membuka peluang kepada Proton untuk mengenalpasti pasaran yang sesuai bagi pemanduan di sebelah kiri (LHD).

    Di Chile, ketiga-tiga model tersebut akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama seperti Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.

    Sambung Harith, “Kami amat teruja dapat memasuki semula pasaran Chile kerana sebelum ini kami telah berjaya menjual hampir 3,000 unit kereta dari tahun 1994 hingga 1998, dengan yang terakhir model Wira. Malah Proton juga merupakan jenama kereta pertama yang mereka pasarkan di pasaran massa, dengan keseluruhan industri pasaran berjumlah kira-kira 330,000 kereta.”

    Ini dianggap sebagai peluang keemasan buat Proton untuk meningkatkan lagi pengeluaran kereta sekali gus memperluaskan penjualan dan mengembangkan kewujudan Proton di pasaran termasuk di peringkat antarabangsa. Selain ia menguatkan lagi semangat Proton untuk terus membangunkan kereta-kereta yang berkualiti dan melakukan penambahbaikan berterusan agar bukan sahaja berjaya di negara sendiri, malah meningkatkan penerimaan di pasaran global.

    “Kami yakin dengan langkah ini adalah permulaan bagi Proton untuk memasuki pasaran global, terutamanya apabila kami berjaya melengkapkan program enjin Proton terbaharu yang akan diguna pakai bersesuaian dengan standard dan peraturan-peraturan ketat di negara-negara Eropah,” ujar Harith lagi.

     
     
  • Toyota Eco Youth 2016 fokus pengurusan sisa pepejal

    01 TEY 2016 Datuk Ismet Suki and En. Mahamad Amran Kamsi with the team leaders of the participating schools

    Penganjuran kali ke-15 tahun ini, Toyota Eco Youth meneruskan cabaran dengan memberikan fokus tema yang lebih serius iaitu Pengurusan Sisa Pepejal. Jika sebelum ini pertandingan anjuran UMW Toyota Motor (UMWT) hanya menumpu penyertaan dari sekolah-sekolah dan guru-guru, kali ini komuniti masyarakat di sekita sekolah-sekolah turut boleh mengambil bahagian.

    Menurut Presiden UMWT, Datuk Ismet Suki, “Bagi Toyota, pemuliharaan alam sekitar bukan satu perkara yang asing.”

    Katanya lagi, di peringkat global. Toyota telah menggariskan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050, yang mengenal pasti 6 kunci utama permasalahan alam sekitar dalam tempoh tiga dekad, antaranya pengurangan CO2, kecekapan penggunaan air dan mewujudkan lingkungan masyarakat yang mengamalkan kitar semua serta budaya yang mesra bumi.

    Di Malaysia pula, UMWT mengamalkan pendekatan mesra alam di ibu pejabat, bilik pameran dan pusat-pusat servis. Pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar turut dianjurkan bersama staf-staf syarikat setiap tahun, seperti taklimat kesedaran alam sekitar, penanaman pokok, kitar semula dan banyak lagi.

    Ketua Penolong Pengarah, Kementerian Pendidikan, Mahamad Amran Kamsi pula menambah pengurusan sisa pepejal sudah menjadi masalah yang sekian lama dihadapi dan menjadi lebih buruk dengan pertambahan populasi manusia.

    “Masalah utama sisa pepejal adalah ia tidak akan terlupus secara semulajadi. Sebuah botol plastik mengambil masa 500 tahun untuk terurai, beg plastik pula memerlukan masa 10-20 tahun, tin sekitar 50 tahun manakala botol kaca satu juta tahun,” jelas Mahamad Amran.

    Sebelum ini, sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dipilih oleh Kementerian Pendidikan iaitu satu daripada setiap daerah, untuk lebih adil. Tahun ini, untuk meningkatkan lagi cabaran bagi program berkenaan, sekolah yang ingin turut serta perlu menyerahkan kertas cadangan projek kepada pihak penganjur.

    Pendekatan terbaru ini dijangka akan dapat memberikan keputusan yang lebih baik dari segi hasil projek, promosi dan pendedahan, memandangkan sekolah-sekolah yang ingin turut serta perlu menunjukkan kesungguhan dari peringkat awal lagi.

    Setakat ini, 209 buah sekolah sudah pernah terlibat di dalam Cabaran Toyota Eco Youth. UMW Toyota telah membelanjakan RM6 juta untuk program berkenaan sejak ia dimulakan pada 2001, melihatnya sebagai sebuah pelaburan modal insan dan juga terhadap bumi yang didiami ini.

    Mahamad Amran turut menegaskan bahawa sikap konsumerisme yang ada kini perlu diubah. Walaupun penyelesaian terbaik yang ada kini masih melibatkan 3R (Reduce, Reuse & Recycle), kadar kitar semula di Malaysia masih terlalu rendah iaitu 2%.

     
     
  • Harga bahan api Mac 2016: RON 95 kini RM1.60 seliter, RON 97 RM1.95 seliter dan diesel kekal RM1.35 seliter

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Berita ini pastinya membuatkan anda mampu tersenyum kerana sepanjang bulan Mac ini, harga bagi bahan api RON 95 dan RON 97 turun lagi.

    Dengan harga RM1.95 seliter (termasuk GST), RON 97 kini turun 10 sen berbanding RM2.05 pada bulan Februari. Manakala RON 95 pula diumumkan berharga RM1.60 seliter iaitu turun sebanyak 15 sen (berbanding RM1.75 pada Februari). Walau bagaimana pun, harga bagi diesel adalah kekal seperti bulan Februari iaitu RM1.35 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro 5 yang kekal pada harga RM1.45 seliter.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Hatchback diuji di Eropah

    Honda-Civic-X-3_BM

    Ketika imej Civic Hatchback Prototaip yang dikatakan baru ‘bocor’ dan viral di internet, jurugambar pengintip kami di Eropah telah pun menangkap gambar Civic Hatchback yang sebenar. Ini merupakan kali pertama kereta ini disaksikan diatas jalan.

    Walaupun hanya model standard, asas Civic generasi ke-10 ini sememangnya sebuah kereta dengan rekabentuk yang sangat sporty dan menarik. Dengan rekaan kemasan yang agak agresif, kemungkinan besar model yang sedang diuji ini merupakan varian Type-S. Pada bahagian hadapan, muka yang dilitupi penyamaran dan menampilkan lampu hadapan LED membayangkan ia seiras dengan varian sedan dan coupe, tetapi ditambah dengan splitter bawah yang menonjol.

    Rekaan splitter tersebut turut diserasikan dengan rekaan skirt sisi. Tetapi, tiada lagi rekaan pembuka pintu yang terselindung pada pintu belakang seperti Civic hatch generasi ke-lapan dan ke-sembilan (juga seperti rekaan pembuka pintu belakang HR-V), sebaliknya hanya menampilkan pembuka jenis tarik konvensional seperti yang terdapat pada model sedan. Juga dapat dilihat kereta ini dipadankan dengan roda bercorak turbin bersaiz agak besar.

    Honda-Civic-X-10_BM

    Pada bahagian belakang, ia agak sama seperti imej awalan yang disiarkan sebelum ini, dengan lampu belakang berbentuk-C seperti model sebelum ini merentasi pintu tailgate dan cermin belakang yang dibahagikan. Terdapat juga spoiler belakang yang berasingan di posisi atas selain dari spoiler di bahagian tengah, serta sepasang tip ekzos berkembar terletak pada diffuser yang agresif dibawah bampar belakang.

    Honda telah mengesahkan Civic ini akan mula dipasarkan di Eropah dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo (127 hp/200 Nm) dan enjin 1.5 liter VTEC Turbo (210 hp/260 Nm), manakala untuk Type-R enjin 2.0 liter VTEC Turbo (310 hp/400 Nm) masih digunakan. Enjin diesel 1.6 liter dan 2.2 liter i-DTEC dijangkakan akan turut ditawarkan. Seperti varian sedan di US, model ini turut dijangka akan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan CVT automatik.

     
     
  • Lexus daftar nama UX 200, UX 250, UX 250h

    Lexus-NX-Canada-06

    Lexus dikhabarkan telah mendaftar secara rasmi nama ‘UX’ di Australia termasuk bagi varian UX 200, UX 250 dan UX 250h. Nama ‘X’ ini memberikan bayangan akan ada SUV baharu menyertai barisan model SUV jenama mewah ini iaitu NX, RX dan LX. Tetapi SUV yang bagaimanakah bagi satu lagi ‘X’ ini?

    AutoGuide berpendapat, nama UX ini lebih sesuai untuk SUV tujuh-empat duduk baharu yang dikhabarkan akan memasuki bilik pameran di Amerika pada akhir tahun ini, yang lebih kurang seperti model RX. Mungkin juga seperti model baharu Acura MDX, Infiniti QX60 dan Audi Q7.

    Namun bertentangan dengan pendapat dari Autoevolution yang mengatakan saiz penjana kuasa yang disarankan mungkin terlalu kecil untuk SUV tujuh-tempat duduk yang besar ini, dan mungkin juga UX akan menjadi crossover yang kecil iaitu sebelum NX, seperti pesaing BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC.

    Lexus UX juga mungkin berkongsi platform dengan model baharu Toyota C-HR iaitu model crossover kompak yang bakal bersaing dengan Nissan Juke, Mazda CX-3 dan Honda HR-V. Seperti mana Lexus NX yang ‘meminjam’ senibina Toyota RAV4. Berdasarkan nama tiga varian ini, UX juga mungkin menerima enjin aspirasi-natural 2.0 dan 2.0 liter, serta penjana kuasa hibrid.

    Nampak gayanya pasaran SUV semakin panas sekarang, dan pastinya Lexus mahu mengambil terbaik untuk mengekalkannya.

     
     
  • Data jualan kenderaan di Malaysia untuk bulan Jan 2016 mengikut jenama – Proton naik ke tangga kedua

    2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_-001_BM

    Berikutan kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan kos pada industri automotif, graf jualan automotif di Malaysia untuk bulan Januari turut menunjukkan penurunan yang agak ketara.

    Walaupun masih mendahului pasaran, jualan Perodua menunjukkan penurunan sebanyak 28% dari 21,544 unit pada bulan Diesmber kepada 15,538 unit bulan lalu, walaupun Perodua menjadi salah satu pengeluar yang belum lagi menaikkan harga kereta mereka tahun ini (tidak termasuk Axia-G yang kini dilengkapi ABS dan tambahan harga RM1,500).

    Proton melakukan kejutan dengan hanya kejatuhan 5% dari 8,144 unit kepada 7,743 unit membolehkan pembuat kereta nasional itu naik ke tangga kedua bulan lalu mengatasi banyak jenama bukan nasional berikutan kejatuhan jumlah jualan yang banyak untuk kereta jenama import.

    Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan jualan kereta jenama luar teruk terjejas, dengan pendahulu jenama bukan nasional – Honda mengalami kejatuhan jualan kira-kira 47% dari 10,747 unit pada bulan Disember kepada hanya 5,743 unit bulan lalu.

    Vios-Altis-DRL_BM

    Toyota menyaksikan kadar penurunan yang agak teruk di mana pembuat kereta terbesar dunia itu hanya mampu menjual 2,980 unit kenderaan di Malaysia bulan lalu, jatuh 77% berbanding bulan Disember di mana mereka berjaya menjual sebanyak 13,130 unit. Kejatuhan tersebut turut berpunca dari kelembapan jualan kenderaan perdagangan yang jatuh dari 3,737 unit kepada hanya 987 unit yang berkemungkinan besar kerana pengguna menunggu pelancaran Toyota Hilux serba baharu tidak lama lagi.

    Kejatuhan jualan ini juga menyebabkan mereka jatuh ke tempat ke-lima, dipintas oleh Nissan yang naik ke tempat ke-empat. Walaupun Nissan naik satu anak tangga, hakikatnya jualan mereka turut jatuh dari 5,075 unit pada Disember kepada hanya 3,650 unit pada bulan iaitu kejatuhan sebanyak 28%.

    Dengan persekitaran yang mencabar dalam industri automotif Malaysia, jualan untuk jenama Mercedes-Benz menunjukkan sebaliknya. Mercedes mendahului segmen premium di Malaysia dengan peningkatan jualan 26% dari 820 unit bulan Disember kepada 1,034 unit untuk bulan Januari 2016. Subaru juga menunjukkan peningkatan dengan menjual lebih 63 unit kereta pada bulan Januari berbanding bulan sebelumnya iaitu sebanyak 268 unit atau peningkatan sebanyak 31%.

    Mazda pula menunjukkan kejatuhan 4% dari jumlah jualan mereka pada Januari (1,354 unit) berbanding Disember (1,408 unit) meletakkan mereka di tempat ke-enam. Lexus pula menunjukkan kejatuhan 80% pada graf jualan mereka di mana hanya 61 unit kenderaan dijual pada bulan Januari berbanding 309 unit pada bulan Disember. Januari turut menyaksikan jenama baharu – Lamborghini yang secara rasmi masuk ke pasaran Malaysia dan hanya menjual satu unit kereta pada bulan tersebut.

    Klik jadual di bawah untuk melihat dengan lebih jelas :
    Malaysia-Car-Sales-January-2016_BM

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025