Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kemudahan stesen KL Monorel bakal dinaiktaraf – projek bermula Okt ini-April 2025; peruntukan RM50j

    Kemudahan stesen KL Monorel bakal dinaiktaraf – projek bermula Okt ini-April 2025; peruntukan RM50j

    Bermula Oktober ini sehingga April tahun hadapan, stesen monorel di ibu kota bakal menjalani proses menaiktaraf dan baik pulih fasiliti secara berperingkat. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebanyak RM50 juta diperuntukkan oleh pengendali rel terbabit, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi kelancaran projek berkenaan, laporan Bernama.

    Katanya, kemudahan yang akan dinaiktaraf termasuklah pemulihan kerosakan lif di 11 stesen, membaiki pintu di antara platform dengan tren, membaikpulih tandas awam dan melengkapkan kawasan stesen dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dlilengkapi video analitik.

    Antara stesen monorel yang terlibat ialah Imbi, Hang Tuah, Tun Sambanthan, Raja Chulan, Bukit Nenas, KL Sentral, Chow Kit, Titiwangsa, dan Maharajalela.

    “Projek ini akan memakan masa beberapa bulan untuk disiapkan dengan fasa pertama melibatkan empat stesen (KL Sentral,Tun Sambanthan, Maharajalela dan Hang Tuah) seawal Oktober. Fasa kedua pula melibatkan tujuh lagi stesen menjelang Disember,”katanya.

    Kemudahan stesen KL Monorel bakal dinaiktaraf – projek bermula Okt ini-April 2025; peruntukan RM50j

    Loke berkata pembaikan pintu itu penting kerana terdapat beberapa insiden penumpang terjatuh di landasan trek monorel sebelum ini, tambahan pula perkhidmatan itu banyak digunakan orang ramai termasuk golongan cacat penglihatan.

    “Kita menyiapkan platform automatik gate system charge dan palang ataupun pintu itu akan ditutup secara automatik apabila tren berkenaan bergerak. Selepas tren meninggalkan stesen ia akan ditutup secara automatik dan dibuka semasa tren tiba.

    “Sekarang ini memang pintu berkenaan tidak berfungsi dan sentiasa terbuka sahaja. Jadi memang ada risiko yang tinggi serta memang pernah berlaku beberapa insiden ada penumpang terjatuh di atas landasan tren berkenaan,” katanya.

     
     
  • Proton Saga terjual sebanyak 2 juta unit sejak 1985

    Proton Saga terjual sebanyak 2 juta unit sejak 1985

    Menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, Proton mengumumkan bahawa model ikonik jenama tersebut iaitu Proton Saga kini telah terjual lebih dari 2 juta unit sejak ia diperkenalkan pada 1985!

    Selepas penubuhan Proton pada 1983, Saga merupakan produk pertama jenama automotif nasional berkenaan yang keluar dari kilangnya di Shah Alam pada 9 Julai 1985, kemudian dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed (ketika itu Perdana Menteri ke-4 dan juga pengasas Proton) pada 1 September 1985.

    Nama Saga diberikan oleh Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang menerusi pertandingan yang dianjurkan Proton bagi menamakan kereta nasional pertama Malaysia ketika itu.

    Kebanyakkan dari kita tahu Saga merupakan nama biji yang keras berwarna merah, manakala dalam bahasa inggeris pula saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa. Tetapi, nama Saga yang diberikan oleh Staf Sarjan Ismail ini sebenarnya adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Agility (Ketangkasan).

    Proton Saga generasi pertama diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore, tetapi telah diberikan penggayaan yang lebih unik. Ia diproduksi sehingga tahun 2008 dan menjadi model paling mampu milik dari Proton selama 23 tahun, serta muncul dalam pelbagai jenis facelift dan jenis enjin, juga pernah dijual dipelbagai pasaran eksport termasuk United Kingdom.

    Model Saga generasi kedua muncul pada tahun 2008, diasaskan dari kerangka model hatchback Proton Savvy dan dikenali sebagai Saga BLM (Base Line Model). Ia hadir dengan enjin 1.3 liter Campro IAFM dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Model 1.6 liter Campro manual dikeluarkan khas untuk dijadikan teksi.

    Versi facelift untuk model ini hadir pada tahun 2010. Model berkenaan menampilkan rupa luaran yang disegarkan semula bermula dengan lampu hadapan lebih panjang, bampar hadapan dan belakang baharu serta lampu belakang lebih kecil. Ia turut menerima sistem brek yang dilengkapi ABS dan EBD. Enjin Campro 1.3 liter masih dikekalkan, dan model 1.6L Executive hadir selepas itu.

    Proton Saga terjual sebanyak 2 juta unit sejak 1985

    Manakala Saga generasi ketiga iaitu generasi sedia ada yang dijual dalam pasaran sekarang muncul pada 2016. Ia dibina berdasarkan platform Saga generasi kedua dengan sedikit perubahan pada dimensi manakala jarak rodanya kekal sama. Ia dijana enjin 1.3 liter VVT berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm. Hanya varian standard hadir dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT, manakala varian lebih tinggi hanya dilengkapi transmisi CVT.

    Selepas kerjasama Proton bersama Geely, Saga ini diperkenalkan semula pada tahun 2019 dengan pelbagai tingkat taraf seperti menggunakan kotak gear 4AT, penyegaran rupa luaran, menampilkan skrin terapung pada papan pemuka dan pelbagai lagi.

    Model ini terus disegarkan pada 2022 menerusi versi MC2 dengan menampilkan gril baharu yang mengenakan logo terkini Proton, serta beberapa perincian kecil termasuk rim aloi rekaan baharu dan lain-lain.

    Tahun lalu Saga turut mencatatkan satu lagi sejarah apabila Hot Wheels bersetuju mengeluarkan kereta mainan diecast skala 1/64 dan ia mula dijual pada Oktober 2023. Manakala baru-baru ini, mainan berkenaan dikeluarkan dalam versi edisi terhad di mana pakej blister model tersebut direka oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Pulau Pinang yang dipilih menerusi satu pertandingan.

     
     
  • GWM Tank 300 dibuka tempahan di Malaysia – harga jangkaan RM250k, SUV off road mula dihantar Julai ini

    GWM Tank 300 dibuka tempahan di Malaysia – harga jangkaan RM250k, SUV off road mula dihantar Julai ini

    Great Wall Motor Malaysia mengumumkan bahawa tempahan bagi Tank 300 sudah mula dibuka, dan SUV off-road ini dijangka akan dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Syarikat tersebut juga berkata penghantarannya akan bermula Julai ini.

    Tank 300 akan memasuki pasaran kita dengan menawarkan model import sepenuhnya (CBU), dan akan menawarkan versi bukan-hibrid dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris petrol. Harga jangkaannya pula adalah sekitar RM250,000.

    Penjana kuasa tersebut mampu menghamburkan kuasa hingga 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan tork 380 Nm, dengan pacuannya disalurkan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan bersama dual-speed dan sistem pacuan empat-roda electronically-controlled part-time. Antara elemen teknikal yang turut diberikan termasuklah sistem all-terrain control dengan sembilan mod pemanduan, sudut ramp 23.1° dan gradability maksimum 70%m bersama kebolehan mengharungi kedalaman maksimum 700 mm.

    Di dalamnya, antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh 12.3-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto support, upholstery kulit Nappa, sistem bunyi Infinity bersama sembilan pembesar suara, pendingin hawa automatik dan dua lapisan kaca akustik (untuk tambah baik tahap NVH di dalam kabin) serta banyak lagi.

    Sementara itu, kelengkapan bantuan pemandu untuk SUV yang menerima penarafan lima-bintang ANCAP ini termasuklah kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong dan brek kecemasan autonomous serta pemantau pandangan sekeliling 360-darjah bersama Transparent Chassis Function.

    Tank 300 turut dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung, dan unit yang dipamerkan ini turut diperagakan dengan beberapa elemen ranggi termasuk flare yang sama dengan warna badan, OTT bonet dan kotak storan aluminium yang dipasang di panel belakangnya.

    Walau bagaimanapun, jangan terlalu teruja dengan semua kelengkapan yang dipamerkan atau berharap ia akan ditawarkan di sini, kerana ia hanya sekadar ‘tayangan’ semata-mata. Menurut GWM Malaysia, unit yang dipamerkan tersebut adalah untuk menunjukkan kepada bakal pelanggan apa yang boleh dilakukan dari segi penyesuaian untuk SUV ini.

     
     
  • JPJ eBid: ANN dan TCX dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANN, yang menjadi kontroversi di laman media sosial kerana sudah ada yang dah dapat ‘ANN 1’, mula dibuka bidaan sejak semalam, 23 Mei 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 27 Mei ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 28 Mei 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu pula, TCX, bidaannya akan dibuka mulai 26 Mei 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 30 Mei 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Mei ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • BMW CE 02 dilancar di Malaysia – EV 11 kW, RM38,500

    BMW CE 02 dilancar di Malaysia – EV 11 kW, RM38,500

    Bukan setakat motosikal biasa, BMW Motorrad juga melancarkan sebuah motosikal elektrik sewaktu Malaysia Auto Show 2024, iaitu CE 02 pada harga RM38,500. Motosikal ini menggunakan konsep rekaan seperti CE 04 yang diperkenalkan pada harga RM60k sebelum ini, tetapi dengan panel badan yang kurang serta saiz lebih kecil.

    Model yang dibawa ke Malaysia ini adalah versi berkuasa 11 kW (15 hp) dan tork 55 Nm, dengan bateri lithium ion yang digunakan boleh dicas dari 20% ke 80% dalam masa 1 jam 40 minit apabila menggunakan pengecas pantas (sehingga 1,500W). Untuk sampai ke tahap penuh pula akan mengambil masa tiga jam 30 minit.

    Mencatat berat 132 kg, motosikal elektrik ini boleh membuat pecutan 0-50 km/j dalam masa tiga saat, dan mencapai kelajuan maksimum 95 km/j. Jarak perjalanan dengan bateri penuh pula adalah 100 km. Dua mod tunggangan disediakan secara standard iaitu “Flow” yang lebih santai dan Surf” yang lebih agresif.

    Skuter ini terletak di atas rim bersaiz 14 inci, yang dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Brek menggunakan tetapan cakera hadapan dan belakang, sementara ABS pula disediakan hanya untuk roda hadapan.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk lampu utama LED, gear undur elektrik, sistem tanpa kunci, skrin TFT 3.5 inci, soket pengecas USB-C, ASC (Automatic Stability Control) serta RSC (Recuperative Stability Control).

     
     
  • Mitsubishi meriahkan Malaysia Autoshow 2024 hingga 26 Mei – aktiviti menarik, rebat, tawaran jual-beli

    Mitsubishi meriahkan Malaysia Autoshow 2024 hingga 26 Mei – aktiviti menarik, rebat, tawaran jual-beli

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut mengambil bahagian dalam Malaysia Autshow 2024 yang sedang berlangsung sehingga Ahad, 26 Mei ini. Jenama ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik, bersama pelbagai tawaran untuk pelanggan yang menempah model Mitsubishi terpilih sepanjang acara ini.

    Terletak di Dewan A1 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) dengan tema Outdoor Camping Adventure, rerurai (booth) Mitsubishi bertujuan untuk menawarkan “suasana semulajadi, dengan peluang melepaskan diri dari kesibukan dalam kehidupan seharian dan juga menikmati ketenangan yang hebat”, kata MMM.

    Di reruai MMM ini, antara aktiviti menarik yang disediakan termasuklah demostrasi membuat kopi bagi penggemar kopi, demostrasi memasak untuk aktiviti perkhemahan dan serta cabaran menghidupkan unggun api.

    Untuk pelanggan yang membuat tempahan mana-mana model Mitsubishi terpilih dalam acara ini, rebat sehingga RM7,000 diberikan di samping tawaran jual-beli eksklusif berserta beg storan Thous Winds bernilai RM400; tertakluk pada terma dan syarat. Selain itu, pelbagai produk gaya hidup Mitusubishi juga dijual di sini.

    Ini termasuk juga dengan diskaun 20% untuk pakej rak bubung Thule bernilai RM5,000, dan pelanggan yang beli barangan ini di reruai MMM berpeluang menikmati bag sandang Thule Tact lima liter bernilai RM500, secara percuma. Selain itu, diskaun sebanyak 20% turut diberikan untuk barangan gaya hidup Montanic, bersama diskaun 30% ujtuk pakej perkhemahan Tryeler di tapak khemah Treegrow bernilai RM90 setiap seorang.

    Bukan itu sahaja, pengunjung di rerurai MMM juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai permainan yang disediakan yang turut menawarkan hadiah menarik termasuk pakej perkhemahan Tryveler, beg shuttle Thule, barangan gaya hidup Montanic, lampu perkhemahan mudah alih, sanitasi dan banyak lagi.

    Untuk hujung minggu ini, ada selebriti tempatan yang bakal membuat penampilan istimewa di reruai MMM iaitu Izzue islam pada Sabtu (25 Mei) dari 1 tengahari hingga 3 petang, dan Anas Ridzuan pada Ahad (26 Mei) dari 2 petang hingga 4 petang. Pengunjung juga boleh menikmati popcorn dan kopi percuma sepanjang hujung minggu ini.

     
     
  • Mercedes-Benz Star Elegance Hap Seng Bukit Tinggi; ada spa kuku mewah dan pelbagai premis gaya hidup

    Mercedes-Benz Star Elegance Hap Seng Bukit Tinggi; ada spa kuku mewah dan pelbagai premis gaya hidup

    Pusat 3S dan 4S yang diklasifikasikan sebagai premium lazimnya akan menyediakan ruang lounge, kafe dan ruang permainan kanak-kanak bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan tidak kira sama ada ketika proses membeli atau menservis kenderaan. Namun untuk jenama Mercedes-Benz, pusat dengan konsep runcit baharu yang digelar sebagai Star Elegance mengangkat status ‘premium’ itu ke satu tangga lebih atas.

    Di Malaysia, pusat Star Elegance ini diperkenalkan buat pertama kali di Mercedes-Benz Autohaus Hap Seng Star Bukit Tinggi di mana pembukaannya dirasmikan pagi tadi. Pusat ini bukan sahaja menyediakan ruang servis dan bilik pameran yang sangat besar dan selesa, serta menampilkan segala jenis kemudahan kepada pelanggan, malah ia turut menawarkan keperluan gaya hidup.

    Buat permulaan, Star Elegance Bukit Tinggi ini menyediakan spa kuku mewah, dan akan diikuti pelbagai kemudahan lain selepas ini kerjasama beberapa jenama. Kemudahan sedia ada seperti Mercedes-Benz Café dan pusat jualan barangan jenama automotif Jerman tersebut masih ditawarkan kepada pelanggan.

    Mercedes-Benz Star Elegance Hap Seng Bukit Tinggi; ada spa kuku mewah dan pelbagai premis gaya hidup

    Menurut MBM, pengenalan Star Elegance ini merupakan respon mereka terhadap tinjauan yang dibuat terhadap hampir 400 pelanggan Mercedes-Benz di Malaysia baru-baru ini. Antara dapatan penting dalam tinjauan tersebut mendapati bahawa 94% daripada pelanggan menganggap konsep runcit gaya hidup ini menarik, sementara 91% daripada pelanggan sememangnya mengunjungi pelbagai kedai gaya hidup di luar semasa kenderaan mereka diservis.

    “Sebagai pemimpin dalam industri kereta mewah, Mercedes-Benz secara konsisten meningkatkan pengalaman mewahnya untuk pelanggan. Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia merintis industri sebagai yang pertama menyepadukan pendekatan yang mementingkan kesihatan ke dalam persekitaran runcit kami. Konsep Star Elegance menggabungkan pengalaman runcit yang inovatif dengan lancar menggunakan elemen gaya hidup yang disusun rapi, mewujudkan pengalaman mewah yang holistik dan belum pernah dirasai oleh pelanggan kami sebelum ini,” kata CEO dan presiden Mercedes-Benz Malaysia (MBM), Amanda Zhang.

    “Dengan pengenalan Konsep Gaya Hidup Star Elegance, kami meneruskan perjalanan transformatif kami untuk mentakrifkan semula pengalaman Mercedes-Benz. Star Elegance melambangkan komitmen kami untuk memberikan kemuncak pengalaman pelanggan dan menetapkan piawaian baharu dalam solusi automotif mewah. Inisiatif ini menekankan dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi terhadap memenuhi pelbagai keperluan pelanggan kami yang lestari dan canggih, mengukuhkan Mercedes-Benz sebagai pilihan utama dalam segmen automotif mewah.

    “Sementara kami merangkul setiap kemungkinan yang dibawakan oleh Star Elegance, kami tidak sabar untuk meneruskan legasi inovasi kami yang tertumpu terhadap pelanggan dan membentuk masa depan pengalaman mewah,” tambah Edvin Naidoo, Naib presiden khidmat pelanggan MBM.

    Selain dari kemudahan-kemudahan gaya hidup, Star Elegance Hap Seng Bukit Tinggi ini turut menyediakan stesen pengecas EV untuk pemilik-pemilik kenderaan elektrik yang boleh digunakan menerusi aplikasi digital Mercedes Me. Manakala pemegang Mercedes-Benz Card diberikan diskaun 10% untuk pembelian alat ganti, barangan dan aksesori, serta 10x Treatpoints di Hap Seng Bukit Tinggi ini.

     
     
  • CFMoto 450MT dilancarkan di Malaysia – dari RM29k

    CFMoto 450MT dilancarkan di Malaysia – dari RM29k

    CFMoto melancarkan beberapa buah model motosikal di Malaysia Auto Show 2024, dan salah satunya, yang ditunggu ramai adalah CFMoto 450MT. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu 450MT pada harga RM28,888 dan 450MT-X pada harga RM30,888 (tidak termasuk insurans). Dengan harga lebih RM2,000 berbanding versi biasa, 450MT-X datang dengan beg barangan belakang dan juga tepi.

    Model touring/adventure ini dipacu oleh enjin sama dengan 450NK dan 450SR, iaitu unit dua silinder selari 449 cc DOHC, tetapi telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa maksimum 44 hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Sebagai sebuah motosikal yang dibuat untuk bertahan dengan tunggangan lasak, 450MT dipasang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan masing-masing dipegang oleh fork 41 mm dengan pelarasan mampatan dan serapan, serta monoshock dengan pelarasan pra beban lantunan – kedua-duanya mempunyai jarak gerak 200 mm.

    Hasil daripada tetapan ini, tinggi tempat duduk 450MT menjadi 820 mm dalam keadaan standard, dan boleh dilaras kepada 800 mm untuk menjadi lebih rendah atau 870 mm apabila menggunakan tempat duduk tinggi yang disediakan sebagai aksesori. Dalam keadaan kering, 450MT mencatat berat 175 kg.

    Untuk ciri keselamatan, motosikal ini didatangkan dengan sistem ABS dual-channel (boleh ditutup untuk tayar belakang) serta kawalan cengkaman daripada Bosch. Kemudiannya, penghadang angin boleh dilaras secara manual manakala di bahagian kokpit terdapat meter TFT serta soket pengecas USB-C/A.

    Kelengkapan lain 450MT adalah termasuk tangki bahan api 17.5 liter, penghadang tangan dan bawah enjin, cermin sisi boleh lipat, fender hadapan jenis tinggi, brek cakera tunggal 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang serta lampu LED jenis bertingkat di hadapan.

     
     
  • Mercedes-Benz EQE350+ Electric Art Line dan AMG Line 2024 dilancarkan di Malaysia; RM380k-RM430k

    Mercedes-Benz EQE350+ Electric Art Line dan AMG Line 2024 dilancarkan di Malaysia; RM380k-RM430k

    Selepas memperkenalkan Mercedes-Benz EQE 350+ AMG Line pada 2022 dan versi prestasi Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan pula varian paling asas bagi sedan EV tersebut iaitu Mercedes-Benz EQE 350+ Electric Line 2024 pada pasaran tempatan. Sebagai tambahan, varian 350+ AMG Line turut dilancarkan semula untuk versi 2024 yang diberikan beberapa peningkatan.

    Bagi model asas EQE 350+ Electric Art Line, ia dijual pada harga RM379,888, manakala EQE 350+ AMG Line 2024 pula sedikit lebih mahal dari sebelum ini iaitu RM429,888. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanta insuran tetapi sudah lengkap dengan SST.

    Dengan berkongsi lencana EQE 350+ yang sama, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan hanya satu motor elektrik yang serupa menghasilkan 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork maksima 565 Nm, menerima bekalan kuasa elektrik dari bateri litium-ion 400-volt dengan kapasiti 90.56 kWj. Ini membolehkan ia bergerak sejauh 682 km dengan satu cas penuh dalam kitaran WLTP.

    Mercedes-Benz EQE350+ Electric Art Line dan AMG Line 2024 dilancarkan di Malaysia; RM380k-RM430k

    Motor tunggal berkenaan diletakkan pada gandar belakang untuk memacu hanya roda belakang. Prestasi kedua-dua sedan EV ini juga serupa dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.4 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 210 km/j.

    Dengan bateri yang sama, kedua-dua model ini boleh dicas semula dengan pengecas AC 22 kW yang mengambil masa empat jam 45 minit untuk dipenuhkan dari 0%. Ia juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 170 kW dengan penyambung CCS2, di mana cas dari 10% hingga 80% dapat dicapai dalam masa 32 minit.

    Untuk pecahan perincian mengikut varian, model Electric Art Line menerima pakej penggayaan luaran Electric Art, lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta rim aloi ringan lima jejari 19-inci. Manakala dalam kabin, ia juga menerima pakej penggayaan Electric Art, pakej Keyless-Go Comfort dan sistem audio Advanced Sound System.

    Mercedes-Benz EQE350+ Electric Art Line dan AMG Line 2024 dilancarkan di Malaysia; RM380k-RM430k

    Selain itu, ia juga diberikan upholsteri kulit sintetik Artico dalam kemasan hitam dan space grey, serta perapi laser-cut dengan hiasan logo bintang tiga penjuru Mercedes-Benz pada papan pemuka dan konsol tengah.

    Manakala untuk versi AMG Line 2024 yang dikemaskini, ia kini ditambah dengan bumbung panaromik, suspensi Airmatic (sebelum ini hanya suspensi comfort), stereng gandar belakang (dengan sudut putaran 10 darjah), penutup port pengecas berkuasa elektrik dan lain-lain lagi.

    Perincian lain pada varian AMG Line ini masih kekal sama seperti versi sebelumnya, termasuk pemadanan paparan head-up, sistem bunyi Burmester 3D surround sound, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggandingkan paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci dan skrin sesentuh utama OLED 17.7-inci.

    Kedua-dua varian EQE 350+ SUV ini datang standard dengan pakej Driving Assistance Plus, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, Active Distance Assist Distronic (cruise control adaptif) dengan tambahan pemula automatik dalam kesesakan trafik, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support dan Pre-Safe Impulse Side.

    Selain dari dua versi sedan ini, MBM turut memperkenalkan sekali dua varian baharu bagi EQE versi SUV iaitu EQE 350+ SUV Electric Art dan EQE 350+ AMG Line, di mana kedua-dua model ini adalah pilihan varian lebih rendah berbanding EQE 500 SUV 4Matic yang sudah pun dilancarkan ke pasaran tempatan hujung tahun lalu.

    GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ Electric Art Line 2024

    GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ AMG Line 2024

    Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ Electric Art Line 2024

    Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ AMG Line 2024

     
     
  • Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Selain model Dashing, Jetour turut mempamerkan satu lagi SUV keluarannya, menerusi Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di Maeps, Serdang. SUV segmen-D tujuh tempat-duduk ini dijangka mampu memberikan persaingan buat Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro.

    Bakal dilancarkan pada separuh pertama tahun ini, seperti Dashing, SUV Jetour tujuh-tempat duduk ini akan ditawarkan dengan dua varian iaitu Prime dan Signature. SUV ini berukuran 4,724 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm. Manakala ground clearance cecah 144 mm.

    Hanya satu enjin sahaja ditawarkan untuk Malaysia iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 150 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm antara 1,750 hingga 4,000 rpm. Penjana kuasa ini sama seperti yang diberikan kepada Chery Omoda 5, dan ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac basah enam-kelajuan berbanding CVT.

    Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Untuk pengetahuan, SUV Jetour tujuh-tempat duduk ini sebenarnya model lama, yang telah berada dalam barisan Jetour sejak tahun 2018. Walau bagaimana pun versi Plus ini boleh dianggap sebagai facelift yang komprehensif (bukan yang terkini seperti yang ditunjuk di Beijing bulan lalu) dan ditambah dengan lampu utama yang lebih menarik, gril haksagon yang lebih besar, sekeliling tingkap dengan kemasan krom penuh, lampu utama lebar sepenuhnya dan dua paip ekzos (palsu). Kedua-dua model ini juga didatangkan lampu utama LED automatik, serlahan luaran merah, rel bumbung dan roda aloi dua-tona 19-inci.

    Di dalamnya, kelihatan panel widescreen ala-Mercedes dengan paparan berkembar 10.25-inci, di samping skrin berasingan untuk pendingin hawa. Ciri standard yang turut diberikan termasuklah kemasukan pintar, butang penghidup enjin, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan enam-cara, upholstery kulit, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar WI 50-wat, empat-pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan tailgate kuasa.

    Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Ciri tambahan diberikan untuk varian Signature iaitu bumbung suria kaca panoramik, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori dan pedal metal. Bagi aspek keselamatan, Prime diberikan empat beg udaga dan brek kecemasan autonomous, sementara Signature ditambah beg udara tirai (kesemuanya enam beg udara), pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan amaran membuka pintu.

    Sebelum ini wakil Jetour ada memaklumkan kemungkinan besar SUV keluarannya ini akan diberikan nama lain untuk pasaran Malaysia, namun hingga kini tiada pengesahan mengenainya.

     
     
  • Honda ADV350 dilancarkan di Malaysia – RM33,999

    Honda ADV350 dilancarkan di Malaysia – RM33,999

    Sudah beberapa tahun di pasaran luar, Honda ADV350 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM33,999 tidak termasuk insurans. Tiga warna disediakan iaitu Mat Gun Powder Black Metallic, Pearl Smoky Gray dan Mat Candy Tulip Red. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Membawa gaya ala motosikal adventure, tetapi pada sebuah skuter, ADV350 ini mengikuti konsep rekaan sama seperti X-ADV 750 dan ADV150, dengan mencatat tinggi tempat duduk 795 mm dan jarak kelegaan dari tanah 145 mm.

    Menggerakannya adalah enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi 330 cc, bersama transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.8 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Pada bahagian roda, ADV350 menggunakan rim jenis aloi bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, masing-masing dibalut tayar 120/70 dan 140/70. Memegangnya kepada casis adalah fork USD 37 mm di hadapan dan dua penyerap hentak denan tabung di belakang. Brek terdiri daripada tetapan cakera 256 mm di hadapan (tunggal) dan 240 mm di belakang (dengan ABS two-channel secara standard).

    Walaupun datang dengan konsep lasak, ADV350 masih lagi menyediakan kemudahan seperti kebanyakan skuter dengan terdapat ruang simpanan 48 liter di bawah tempat duduk (boleh memuatkan dua helmet), pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras. Menjadikan ia lebih canggih, ADV350 turut didatangkan dengan sistem kunci pintar serta panel paparan LCD.

    Perincian lain skuter ini adalah termasuk berat keseluruhan 186 kg, lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api 11.7 liter dan sistem keselamatan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang disediakan dalam pilihan dua mod atau boleh ditutup terus.

     
     
  • BMW R1300GS dilancarkan di Malaysia – dari RM140k

    BMW R1300GS dilancarkan di Malaysia – dari RM140k

    Didedahkan kali pertama September tahun lalu, BMW R1300 GS kini akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM140,000 tidak termasuk insurans. Turut disediakan adalah versi Option 719, Tramuntana, yang dijual pada harga RM149,500.

    Model ini melibatkan perubahan yang menyeluruh termasuk bentuknya yang kini nampak lebih langsing serta lampu hadapan LED matriks dengan pencahayaan berbentuk X. Lampu penunjuk arah diletakkan pada penghadang tangan, sementara lampu belakang menggunakan unit bersepadu yang menggabungkan lampu serta penunjuk arah dalam satu unit.

    Pada bahagian enjin, tetapan boxer-twin masih digunakan, tetapi dijadikan lebih kompak dengan kedudukan kotak gear diubah ke bawah enjin dan menggunakan tetapan camshaft baru. Enjin berkapasiti 1,300 cc ini mampu menghasilkan 145 hp pada 7,750 rpm dan tork 145 Nm pada 6,500 rpm, menjadikannya sebagai enjin boxer BMW paling berkuasa setakat ini.

    Berat R1300 GS adalah 12 kg lebih ringan berbanding R1250 GS, dengan mencatat jumlah keseluruhan 237 kg berbanding 249 kg bagi R1250 GS. Antara yang menjadi penyumbang kepada pengurangan berat ini adalah tangki bahan api aluminium serta rekaan suspensi serba baru.

    Di hadapan, R1300 GS menggunakan tetapan suspensi Evo Telelever, sementara di belakang pula Evo Paralever. Apabila digabungkan dengan kerangka yang lebih tegar dan rekaan aluminium tempa menggantikan trellis bagi subframe belakang, stabiliti serta pengendalian GS baru ini menjadi lebih baik.

    Sistem suspensi elektronik Dynamic Suspension Adjustment (DSA) disediakan sebagai pilihan tambahan, dan dengannya, penunggang boleh menikmati pelarasan dinamik serapan hadapan dan belakang bersama pelarasan kadar spring. Pelarasan ini dapat dilakukan secara automatik sepanjang masa, termasuk apabila motosikal ditunggang sendirian, berdua ataupun dengan barang.

    BMW R1300GS dilancarkan di Malaysia – dari RM140k

    Terdapat empat mod tunggangan pada R1300 GS, iaitu Road, Rain, Eco dan Enduro. Penyampaian kuasa setiap mod adalah berbeza, dengan Road dan Rain adalah lebih lembut, Eco lebih ke arah penjimatan bahan api sementara Enduro menghasilkan penyampaian kuasa paling optium untuk tunggangan offroad.

    Sistem bantuan tunggangan yang dipanggil sebagai Riding Assistant pada motosikal ini juga agak lengkap dengan termasuk Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW) serta Lane Change Warning (SWW). Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat mengecas telefon dengan soket USB dan soket 12V, sistem kunci pintar Keyless Ride, cruise control dan bateri lithium ion.

     
     
  • Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Pengeluar kereta China, Jetour, telah mengambil kesempatan menerusi penganjuran Malaysia Autoshow 2024 dengan mempamerkan model Dashing, selain SUV 7-tempat duduk keluarannya. Kedua-dua model SUV ini akan diproduksi secara tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia.

    Dashing merupakan SUV lima-tempat yang dibangunkan dengan senibina Kunlun, dengan saiz antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang), iaitu berukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Dua varian ditawarkan, iaitu Prime dan Signature, kedua-duanya dijanakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu memghamburkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm adan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm.

    Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac enam-kelajuan dan pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan (Economy, Comfort, Sport) untuk kesesuaian pemanduan. Bagi varian asas Prime, ia diberikan roda 18-inci (tayar profil 235/60), sementara model spesifikasi tertinggi ditampilkan dengan unit 19-inci (tayar profil 235/55).

    Bagi ciri kelengkapan standard yang lain, Prime menerima lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, tailgate kuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, remote engine start, upholstery tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, kluster instrumen digital 25-inci, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang dan penapis CN95.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, varian asas menerima kawalan kelajuan pasif, kamera undur, ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.

    Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Manakala varian Signature diberikan ciri kelengkapan tambahan termasuk bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-cara, pencahayaan ambien, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantau pendangan sekeliling 360-darjah.

    Tetapi tidak pula dinyatakan tentang brek kecemasan autonomous menerusi risalah spesifikasi yang diberikan kepada kami. Walau bagaimana pun, terdapat lima warna luaran yang ditawarkan iaitu Vanilla Blue, Khaki White, Star Black, Phantom Grey dan Tech Grey.

    Untuk harganya juga tidak dikongsikan buat masa ini. Kena nantikan pelancarannya yang dijangka akan berlangsung pada separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

    Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini telah melancarkan beberapa varian tambahan bagi EV Mercedes-Benz EQE pada pasaran tempatan. Ia termasuk dua dalam versi SUV iaitu Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line dan juga Mercedes-Benz EQE350+ SUV AMG Line 2024.

    Kedua-dua versi ini merupakan varian yang hanya dilengkapi satu motor elektrik yang memacu roda belakang, berbanding varian tertinggi EQE 500 4Matic dengan dua motor elektrik pacuan semua roda yang telahpun dilancarkan di sini pada Disember tahun lalu.

    Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line dijual pada harga RM398,888, manakala EQE 350+ SUV AMG Line pula dijual pada harga RM448,888. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

    Dengan berkongsi lencana EQE 350+ yang sama, kedua-dua varian ini dilengkapi motor elektrik yang serupa menghasilkan 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork maksima 565 Nm, menerima bekalan kuasa elektrik dari bateri litium-ion 400-volt dengan kapasiti 90.56 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 596 km dengan satu cas penuh dalam kitaran WLTP.

    Prestasi kedua-dua SUV EV pacuan roda belakang ini juga serupa dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 210 km/j.

    Dengan bateri yang sama, kedua-dua model ini boleh dicas semula dengan pengecas AC 22 kW yang mengambil masa empat jam 45 minit untuk dipenuhkan dari 0%. Ia juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 170 kW dengan penyambung CCS2, di mana cas dari 10% hingga 80% dapat dicapai dalam masa 32 minit.

    Papan pemuka Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line (kiri) dan AMG Line (kanan)

    Untuk pecahan perincian mengikut varian, model Electric Art Line menerima pakej penggayaan luaran Electric Art, lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta rim aloi ringan lima jejari 20-inci. Manakala dalam kabin, ia juga menerima pakej penggayaan Electric Art dengan upholsteri kulit sintetik Neotex/Artico kemasan hitam dan space grey, dan juga perapi laser-cut dengan hiasan logo bintang tiga penjuru Mercedes-Benz.

    Ia juga diberikan lampu suasana kabin aktif, konsol tengah kemasan hitam, pelapik bumbung fabrik hitam, tempat duduk comfort, karpet kaki velour, roda stereng balutan kulit, sistem penghawa dingin pelbagai zon Thermotronic, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga suspensi Comfort.

    Kabin SUV ini juga diberikan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggandingkan paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci dan skrin sesentuh utama OLED 17.7-inci. Sistem infotainmen ini turut menampilkan audio Advanced Sound System, pengimbas cap jari untuk akses segera ke profil pengguna, sistem navigasi dengan teknologi AR, serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Manakala bagi EQE 350+ SUV AMG Line, ia dilengkapi dengan rim aloi ringan AMG lima-jejari berdiameter 20-inci, serta kelengkapan lain yang dikongsi bersama EQE 500 SUV seperti bumbung panaromik, suspensi Airmatic, stereng gandar belakang (dengan sudut putaran 10 darjah), sistem bunyi surround Burmester 3D dan tempat duduk Sports.

    Ia juga diberikan pemijak sisi yang kelihatan seperti aluminium dan diberikan stad getah, upholsteri kulit, paparan head-up, karpet kaki AMG, pakken Energising, pakej Air Balance, pakej Acoustic Comfort dan juga roda stereng yang dibalut kulit Nappa.

    Perapi kemasan dalaman pada EQE 350+ AMG Line ini juga serupa dengan EQE 500 menampilkan kemasan kayu magnolia dengan motif paten logo Mercedes-Benz aluminium.

    Kedua-dua varian EQE 350+ SUV ini datang standard dengan pakej Driving Assistance Plus, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, Active Distance Assist Distronic (cruise control adaptif) dengan tambahan pemula automatik dalam kesesakan trafik, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support dan Pre-Safe Impulse Side.

    Penghantaran kepada pelanggan bagi kedua-dua Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line dan Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line ini akan bermula Jun nanti.

    GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line 2024

    GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line 2024

    Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line 2024

    Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line 2024

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 23-26 Mei sempena Minggu Perpaduan 2024 di Angsana JB

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 23-26 Mei sempena Minggu Perpaduan 2024 di Angsana JB

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 23 hingga 26 Mei 2024. Ia adalah sempena penganjuran acara Minggu Perpaduan 2024 peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall, Johor bermula hari ini. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka di Tapak Akasia Ruang Pameran Agensi Keselamatan dari 10 pagi hingga 5 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Johor Bahru atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025