Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG A35 Sedan facelift 2024 dipertonton lagi – CKD; 2.0L 306 PS, MHEV 48V, jangkaan RM354k

    Mercedes-AMG A35 Sedan facelift 2024 dipertonton lagi – CKD;  2.0L 306 PS, MHEV 48V, jangkaan RM354k

    Dalam majlis pelancaran Mercedes-Benz GLS dan GLS Maybach facelift, S63 E Performance serta CLE coupe pagi ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mempertontonkan model Mercedes-AMG A35 Sedan facelift 2024 versi unit pemasangan tempatan (CKD). Sebenarnya ini kali kedua model yang sama dipertontonkan di Malaysia, iaitu kali pertama pada Jun tahun lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). MBM turut mengumumkan harga anggaran RM354,000 bagi sedan prestasi ini.

    A35 Sedan ini masih diberikan unit penjana kuasa yang sama iaitu enjin M260 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 306 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,000 rpm. Bagi model kemaskini ini, ia turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V yang menampilkan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) berkuasa 14 ps dan tork 150 Nm.

    Ia juga dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT 8G bagi menggantikan unit AMG Speedshift DCT 7G sebelum ini. Kuasa kemudiannya disalurkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD AMG Performance 4Matic. Walau bagaimanapun, angka prestasi dilihat tidak berubah di mana ia masih mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum pula mampu mencecah 250 km/j.

    Mercedes-AMG A35 Sedan facelift 2024 dipertonton lagi – CKD;  2.0L 306 PS, MHEV 48V, jangkaan RM354k

    Seperti mana versi hatchback, A35 Sedan juga tidak kurang menawannya. Ia diperagakan dengan bampar “A-Wing profile” dan gril hadapan AMG yang lebih garang, serta diberikan emblem AMG bagi menggantikan logo bintang tiga penjuru yang berdiri pada muncung bonet hadapan.

    Lampu hadapan LED baharu seperti A200 dan A250 facelift turut diberikan yang disertakan dengan lampu nyalaan siang yang kini lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-L seperti versi sebelum ini. Memantapkan lagi imej luarannya, ia menerima rim aloi AMG lima jejari berkembar 19-inci dibaluti tayar 235/35R19.

    Melewati bahagian belakangnya, ia diberikan lampu baharu dengan grafik LED dalam yang berlainan dari sebelumnya, tetapi untuk bahagian lain seperti, lips spoiler, unit diffuser dan bampar serta dua tip ekzos berbentuk bulat masih lagi nampak sama seperti model pre-facelift.

    Mercedes-AMG A35 Sedan facelift 2024 dipertonton lagi – CKD;  2.0L 306 PS, MHEV 48V, jangkaan RM354k

    Untuk bahagian kabin, ia ditampilkan dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) bersama gaya paparan AMG yang dipertingkat kepada versi NTG7, dan menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar serta sistem audio surround dari Burmester. Ia juga menampilkan port pengecas dengan memberikan fungsi cas pantas dan tambahan port USB Type-C.

    Ciri kelengkapan lain untuk kabin termasuklah tempat duduk hadapan Sports dengan upholsteri padanan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut, tali pinggang keledar berwarna merah, karpet kaki AMG, lampu suasana 64-warna, bendul sisi bernyala AMG, dan juga roda stereng AMG balutan kulit Nappa.

    Dipasang diPekan, Pahang, harga rasmi bagi Mercedes-AMG A35 Sedan 4Matic CKD ini masih belum didedahkan namun dianggarkan sekitar RM354,000. Mana yang lebih anda gemari, versi hatchback atau pun sedan?

     
     
  • Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

    Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

    Mercedes-Benz GLS generasi X167 versi facelift kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua versi iaitu permulaan GLS 450 4Matic pada harga (tidak termasuk insurans) RM999,888 dan Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic RM1,918,888.

    Bagi GLS 450 4Matic, ia datang dengan enjin petrol enam silinder 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 381 PS dari 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm pada 1,800 rpm, dan dibantu dengan sistem hibrid ringkas integrated starter alternator (ISG) yang boleh memberikan tambahan 20 PS (20 hp) dan 200 Nm tork. Kuasa dihantar kepada semua roda melalui transmisi automatik sembilan kelajuan.

    Membezakan bahagian luar model facelift yang tiba dengan kemasan AMG Line ini berbanding model sebelumnya adalah gril hadapan, bampar hadapan serta bukaan udara di bucu bamparnya. Ia kemudiannya ditambah lagi dengan kemasan pelindung bawah bampar, pemijak tepi berlampu serta rim AMG 22 inci. Tugas serapan dilaksana suspensi Airmatic.

    Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

    Lampu utama GLS 450 4Matic menggunakan unit adaptif Multibeam LED, sementara lampu belakang pula mendapat pencahayaan baru berbentuk tiga petak di dalamnya. Turut disediakan adalah lampu di bawah pintu hadapan, yang boleh memancarkan logo Mercedes-Benz apabila pintu dibuka, dan kelengkapan seperti Magic Vision Control, pintu bukaan kuasa serta Guard 360.

    Masuk ke dalam, sistem infotainmen MBUX SUV tiga baris tempat duduk ini dinaik taraf dengan paparan baru, yang disediakan dalam tiga pilihan iaitu Classic, Sporty atau Discreet, serta tiga mod iaitu Navigation, Assistance dan Service.

    Penumpang yang duduk di baris kedua akan mendapat lebih lagi kemudahan dan sistem hiburan MBUX High-End Rear Seat Entertainment System, yang terdiri daripada dua skrin sesentuh 11.6 inci untuk memainkan video atau melayari internet. Ia juga boleh disambungkan kepada peranti pintar dengan sistem Apple CarPlay dan Android Auto, dan didatangkan dengan fon kepala tanpa wayar, manakala sistem bunyi pula diambil daripada Burmester.

    Kemasan di bahagian dalam GLS 450 4Matic menggunakan gabungan panel kayu walnut berwarna coklat serta balutan kulit sintetik Nappa dan Artico. Untuk tempat duduk hadapan, ia disediakan dengan kusyen jenis aktif, kesan urutan batu panas, fungsi pemanas dan liang udara, Energising Air Control serta Air Balance Package.

    Sementara itu, tempat duduk baris kedua pula mendapat fungsi mengurut serta sokongan lumbar, dan ditambah dengan pakej Rear Comfort Package Plus yang memberikan penyandar kepala mewah, tablet MBUX dan pengecas tanpa wayar. Turut disediakan adalah pengecas USB dengan kadar 100 watt serta kawalan pendingin hawa automatik Thermotronic.

    Senarai panjang sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang terdapat pada GLS 450 4Matic turut ditambah dengan pakej kamera 360 darjah, yang boleh memaparkan keadaan sekeliling kenderaan, seperti ClearSight Ground View daripada Land Rover.

    Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

    Jika mahukan SUV ini dalam versi yang lebih mewah dan berprestasi, pilihannya adalah GLS 600 4Matic. Selain lencana yang jelas tertulis Maybach, ia boleh dikenali dengan penggunaan lebih banyak kemasan krom, termasuk pada grilnya yang besar, serta beberapa bahagian lain di badan kenderaan. Rim menggunakan unit 23 inci, dan dipegang oleh suspensi Airmatic serta sistem E-Active Body Control.

    Di bawah hud model ini terdapat enjin V8 petrol 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan kuasa 557 PS pada 6,000 rpm dan tork 770 Nm antara 2,500 rpm ke 4,500 rpm, dan turut dibantu oleh sistem hibrid ringkas integrated starter-generator (ISG) yang memberikan tambahan kuasa 22 PS dan 250 Nm.

    Kelengkapan tambahan lain di bahagian luar yang datang sekali pada Maybach GLS 600 4Matic ini adalah termasuk lampu yang boleh memancarkan logo corak Mercedes-Maybach di bawah pintu hadapan dan belakang serta pintu jenis vakum. Badannya pula boleh dipilih dengan warna dua tona.

    Di bahagian dalam, Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic menyediakan lebih kemewahan dengan pakej balutan Manufaktur yang menggunakan kulit Nappa termasuk pada tempat duduk, lapik bumbung serta panel tepi, dan konsol tengah yang mempunyai jahitan corak berlian.

    Tiada tempat duduk baris ketiga pada Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic ini, dan baris kedua dijadikan lebih mewah dengan tempat duduk Executive berserta perehat kaki yang datang dengan fungsi mengurut – panel kawalannya berada di bahagian tengah. Menjadikan bunyi audio lebih sedap pada model ini adalah pakej penebat Acoustic Comfort dan penumpang juga boleh menikmati lampu suasana di bahagian bumbung.

    GALERI: Mercedes-Benz GLS450 4Matic facelift 2024 X167 di Malaysia

    GALERI: Mercedes-Maybach GLS600 4Matic 2024 di Malaysia

     
     
  • Mercedes-Benz CLE300 Coupe 4Matic 2024 di Malaysia — enjin 2.0T mild-hybrid, 259 PS/400 Nm; dari RM526k

    Mercedes-Benz CLE300 Coupe 4Matic 2024 di Malaysia — enjin 2.0T <em>mild-hybrid</em>, 259 PS/400 Nm; dari RM526k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini mempertontonkan model Mercedes-Benz CLE serba baru untuk pasaran tempatan. Mula diperkenalkan untuk pasaran global Julai tahun lalu, model ini ditawarkan dalam varian berbumbung (C236) — dipasaran luar turut ada versi cabriolet (A236) — CLE300 4Matic Coupe dijangka akan dijual sekitar harga RM526,000, atas jalann tidak termasuk insurans.

    Model ini menggunakan enjin M256 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menghasilkan sebanyak 259 PS (255 hp atau 190 kW) pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 2,000-3,200 rpm. Ia turut disertai dengan ciri sistem mild-hybrid 48-volt EQ Boost yang memanfaatkan integrated starter generator (ISG) yang menyediakan tujahan sementara sebanyak 23 PS (23 hp atau 17 kW) dan 205 kW.

    Sebagai tambahan, ISG berkenaan membolehkan operasi fungsi Start/Stop yang lebih lancar serta memberikan dorongan dalam kelajuan enjin yang rendah. Digandingkan dengan transmisi automatic 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic, ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    Mercedes-Benz CLE300 Coupe 4Matic 2024 di Malaysia — enjin 2.0T <em>mild-hybrid</em>, 259 PS/400 Nm; dari RM526k

    Bagi ukuran dimensinya, CLE serba baru ini 4,850 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,428 mm tinggi dan jarak roda 2,865 mm. Sebagai perbandingan, model C-Class W206 yang dijual di sini adalah lebih pendek sekitar 100 mm dan kurang 40 mm lebarnya, walaupun jarak roda yang sama ukuran. CLE terbaru ini juga hampir sama saiznya dengan model E-Class C238 Coupe yang pernah ada dalam senarai penawaran MBM di sini.

    CLE ini mengambil imej dan rekabentuk umum yang mirip C-Class semasa, dan tampil dengan rekaan gril bentuk hexagonal dan lampu utama yang lebih ketara. Garis bumbung yang melandai menjadi kelebihan ruang dalamannya, begitu juga dengan rekaan lampu belakang yang khas dengan elemen grafik yang bersambung ke bahagian kemasan but.

    Mercedes-Benz CLE300 Coupe 4Matic 2024 di Malaysia — enjin 2.0T <em>mild-hybrid</em>, 259 PS/400 Nm; dari RM526k

    Di dalam, ia mempunyai konfigurasi tempat duduk 2+2 yang mirip C-Class, ada paparan menegak skrin di tengah dengan saiz 11.9-inci. Ia menjadi antaramuka bagi Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang juga mengisi kluster instrumen digital 12.3-inci dan head-up display — sokongan Android Auto dan Apple CarPlay juga disediakan.

    Untuk pasaran tempatan, CLE datang lengkap dengan lampu utama Digital Light dengan fungsi Adaptive Highbeam Assist Plus, yang menurut MBM adalah yang pertama kali ditawarkan untuk pasaran tempatan. Pakej AMG Line juga adalah standard, dengan rekaan bampar yang lebih agresif, dan disempurnakan oleh pakej Night yang hadir dengan kemasan hitam berkilat untuk bahagian gril dan juga rim AMG 19-inci dan juga spoiler AMG.

    Mercedes-Benz CLE300 Coupe 4Matic 2024 di Malaysia — enjin 2.0T <em>mild-hybrid</em>, 259 PS/400 Nm; dari RM526k

    Kelengkapan lain termasuklah bumbung panoramik, MBUX Interior Assistant, perincian logam bagi kemasan dalaman, kerusi balutan kulit, konsol tengah dengan penyudah fabrik campuran dengan kemasan logam, kerusi depan berpendingin dan fungsi memori, sistem bunyi Burmester 3D, lampu ambient, Keyless-Go, fungsi bebas operasi tangan dan Easy-Entry (untuk kerusi belakang).

    CLE ini juga menerima Driving Assistance Package Plus, yang antara lain terdiri daripada ciri Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Emergency Stop Assist, Active Brake Assist, sokongan belokan evasif, Active Blind Spot Assist, Pre-Safe, Pre-Safe Impulse Side, Memory Parking Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic dan kamera 360-darjah.

     
     
  • Mercedes-AMG S63 E Performance kini di Malaysia – bermula RM2.24 juta, V8 PHEV 802 PS/1,430 Nm!

    Mercedes-AMG S63 E Performance kini di Malaysia – bermula RM2.24 juta, V8 PHEV 802 PS/1,430 Nm!

    Selepas lebih setahun diperkenalkan pada peringkat global, versi paling berkuasa untuk Mercedes-Benz S-Class W223 iaitu Mercedes-AMG S63 E Performance kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia. Membuat kemunculan bersama beberapa koleksi Mercedes-Benz Dream Cars 2024 hari ini dalam acara ‘Luxury Like No Other’ yang berlangsung di Bangsar, sedan prestasi tinggi berkenaan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM2,238,888, termasuk cukai jualan 10%.

    Setiap pembelian Mercedes-AMG S63 E Performance ini juga akan menerima waranti bateri bervoltan tinggi selama enam-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Dengan “E Performance” di belakang nama model ini, sudah tentu ia turut menerima sistem plug-in hybrid (PHEV) berprestasi tinggi dari Mercedes-AMG. Namun tidak seperti C 63 S E Performance yang kini menggunakan enjin 2.0L empat-silinder, S63 E Performance ini masih kekal menggunakan enjin V8.

    Mercedes-AMG S63 E Performance kini di Malaysia – bermula RM2.24 juta, V8 PHEV 802 PS/1,430 Nm!

    Ini menjadikan AMG S 63 generasi baharu ini sebagai S-Class paling berkuasa pernah dihasilkan – menjana 802 PS (791 hp atau 590 kW) tork maksima 1,430 Nm secara keseluruhan, membolehkan sedan besar dengan berat 2,595 kg ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat. Model pasaran Malaysia datang standard dengan AMG Driver’s Package, bagi membolehkan ia mencatatkan kelajuan maksimum 290 km/j.

    Kuasa tak masuk akal yang dibekalkan pada sedan empat pintu bersaiz besar ini dihasilkan menerusi sistem hibrid P3 Mercedes-AMG yang rumit. Ia bermula dengan enjin petrol V8 yang dipadankan, atau lebih spesifik enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo jenis twin scroll, berupaya menghasilkan kuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) bermula 5,500 hingga 6,500 rpm serta tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan pada casis menerusi cagak-cagak aktif.

    Enjin V8 tersebut turut menerima unit starter-generator yang dipacu dengan tali sawat (RSG) yang berfungsi untuk menghidupkan enjin dan mengecas semula bateri hibrid, dihubungkan kepada sistem elektrik 400-volt kereta ini. Manakala kuasa dari enjin dipindahkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G, dan juga sistem pacuan semua roda dengan agihan tork bervariasi penuh AMG Performance 4Matic+ yang menggunakan klac start-off basah pelbagai lapisan.

    Mercedes-AMG S63 E Performance kini di Malaysia – bermula RM2.24 juta, V8 PHEV 802 PS/1,430 Nm!

    Selain menerima kuasa dari enjin petrol, sistem hibrid P3 ini juga menampilkan satu motor elektrik yang diletak pada gandar belakang. Motor berkenaan menghasilkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) secara berterusan, tetapi mampu memberikan tujahan sebesar 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork maksima 320 Nm selama 10 saat apabila diperlukan.

    Motor tersebut bukan terus memacu roda, sebaliknya mempunyai kotak gear dua-kelajuan tersendiri. Kotak gear tersebut akan berfungsi secara automatik, atau secara spesifiknya gear kedua akan digunakan pada bila kelajuan mencecah 140 km/j setelah motor mencapai kelajuan maksima iaitu sekitar 13,500 rpm.

    Walaupun enjin petrol dan motor elektrik ini terpisah, ia sebenarnya masih berhubung menerusi sistem pacuan semua roda menerusi syaf propeller dan klac tambahan yang terletak di belakang kotak gear automatik. Dengan konfigurasi ini, kuasa gabungan dari enjin dan juga motor elektrik turut boleh dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan sekiranya diperlukan, contohnya ketika roda belakang langsung tiada cengkaman.

    Motor elektrik pada sistem ini menerima kuasa elektrik dari bateri berprestasi tinggi (HPB) dari AMG yang digelar HPB 150. Bateri berkenaan terdiri dari 1,200 sel untuk membekalkan kuasa berkapasiti 13.1 kWj – lebih berkuasa dari bateri HPB 80 pada model-model E Performance lain yang dibekalkan dengan jumlah sel lebih sedikit serta hanya berkapasiti 6.1 kWj.

    Sel-sel bateri tersebut turut disejukkan secara individu bagi memastikan ia sentiasa berada pada suhu operasi sekitar 45 darjah selsius. Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan pengecas AC (penghubung Type 2) dengan input maksimum 3.7 kW. Walau bagaimanapun, jarak gerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol hanyalah sejauh 31 km dengan satu cas penuh bateri.

    Dengan sistem elektrikal dan mekanikal yang rumit membolehkan model ini menawarkan tujuh mod pemanduan berbeza yang boleh dipilih menerusi sistem AMG Dynamic Select. Ia termasuk mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Slippery dan Individual. Tak cukup dengan tujuh mod pemanduan ini, anda turut boleh bermain dengan empat tahap pemulihan tenaga (Level 0 hingga 3) dan juga tiga pilihan mod sistem AMG Dynamics (Basic, Advanced dan Pro).

    Mercedes-AMG S63 E Performance kini di Malaysia – bermula RM2.24 juta, V8 PHEV 802 PS/1,430 Nm!

    Mercedes-AMG S63 E Performance pasaran Malaysia ini juga datang dengan sistem suspensi adaptif dengan penyerap hentak udara AMG Ride Control+ bersama AMG Active Ride Control yang menampilkan kawalan olengan aktif dan sistem stereng untuk gandar belakang secara standard.

    Pada sebelah luar, model pasaran Malaysia ini menampilkan perincian-perincian standard termasuk lampu hadapan Digital Light bersama Adaptive High-beam Assist Plus serta lampu suasana yang memancarkan logo jenama, serta gril hadapan AMG dalam kemasan gelap.

    Ia turut diberikan terus pakej penggayaan AMG Carbon Package yang menampilkan beberapa kemasan gentian karbon dan AMG Night Package yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada cermin sisi dan perapi-perapi hitam krom termasuk pada tip ekzos. Model ini turut datang dengan bumbung suria panaromik, rim forged AMG 21-inci bersama sistem brek komposit berprestasi tinggi AMG.

    Seperti biasa, kabin model-model AMG akan menampilkan rupa asas yang sama seperti model biasa tetapi diberikan perincian-perincian yang lebih berciri perlumbaan. S63 ini menerima roda stereng AMG Performance balutan kilit Nappa, kemasan kayu poplar liang terbuka antrasit, konsol tengah dengan kemasan akhir yang nampak seperti kristal hitam, panel bendul pintu AMG serta karpet kaki AMG dengan serlahan jahitan benang merah.

    Ia juga menerima paparan instrumen AMG dan juga sistem hibrid yang berfungsi sekali bersama sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menerusi skrin 12.3-inci untuk pemandu, skrin tengah OLED 12.8-inci, dan turut dihubungkan pada tablet MBUX kabin belakang untuk sistem hiburan MBUX yang didatangkan bersama dua fon kepala tanpa wayar.

    Selain itu S63 E Performance pasaran Malaysia ini juga menerima paparan head-up untuk pemandu, lampu suasana kabin aktif, sistem bunyi surround 3D Burmester, pakej Air Balance dan juga pengecas telefon pintar untuk kabin hadapan dan belakang.

    Manakala untuk keselamatan, Mercedes-AMG S63 E Performance ini diberikan sistem penuh bantuan pemanduan termasuk sistem Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist dan Active Lane Keeping Assist, serta sistem Active Parking Assist bersama Parktronic dan Parking Package yang lengkap dengan kamera 360-darjah.

     
     
  • Daftar untuk Kad Subsidi Diesel Caltex dan nikmati rebat pembelian diesel untuk perniagaan anda!

    Daftar untuk Kad Subsidi Diesel Caltex dan nikmati rebat pembelian diesel untuk perniagaan anda!

    Bulan ini, kerajaan telah memperkenalkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 untuk membolehkan perniagaan terus menikmati pembelian diesel dengan subsidi. Jika perniagaan anda layak menyertai program ini, maka anda boleh mendaftar untuk Kad Subsidi Diesel Caltex, supaya pembelian bahan api diesel anda akan jadi lebih mudah.

    Caltex menawarkan tiga kad bagi membantu anda menguruskan subsidi. Pilih Kad Debit Subsidi Diesel Caltex dengan akaun prabayar atau Kad Kredit Subsidi Diesel Caltex dengan terma kredit 30-hari. Tidak kira yang mana satu pilihan anda, anda boleh menyemak akaun pada bila-bila masa, dan di mana saja menggunakan aplikasi mudah alih Caltex StarCard Online.

    Selain itu, anda juga boleh memohon untuk Kad Tunai Subsidi Diesel Caltex yang memberikan harga rebat serta-merta, membolehkan anda membayar untuk diesel tersebut menggunakan tunai selepas ditolak jumlah subsidi. Kad ini juga akan membolehkan anda memperoleh mata ganjaran dengan setiap transaksi. Untuk ini, baki kuota subsidi akan ditunjukkan dalam setiap resit pembelian.

    Keahlian untuk Kad Subsidi Diesel Caltex adalah percuma — tiada yuran tahunan, yuran langganan atau yuran penggantian kad dikenakan ketika memohon. Untuk maklumat lanjut dan untuk memohon kad anda, layari laman rasmi Caltex Business Solutions.

     
     
  • Had laju diturun dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan pada 8-14 April sempena Aidilfitri

    Had laju diturun dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan pada 8-14 April sempena Aidilfitri

    Selaras dengan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024, proses pewartaan telah dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi penurunan sementara had laju daripada 90km/j kepada 80km/j di semua Jalan Persekutuan di Malaysia. Pewartaan ini berkuat kuasa mulai 8 hingga 14 April 2024.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, KKR turut berkata pengurangan sementara had laju selama seminggu ini merupakan antara langkah-langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

    “KKR juga telah memaklumkan kepada pihak konsesi jalan persekutuan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali bagi kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan. Bagi lebuhraya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuhraya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan sehingga 17 April 2024.

    “Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutama di jalan persekutuan,” menurut kenyataan terbabit.

     
     
  • Xiaomi SU7 habis dijual untuk tahun 2024 di China hanya dalam masa 24 jam – harga dari RM142k

    Xiaomi SU7 habis dijual untuk tahun 2024 di China hanya dalam masa 24 jam – harga dari RM142k

    Xiaomi SU7 yang baru sahaja diperkenalkan di China 28 Mac lalu nampaknya cukup popular kerana dalam masa 24 jam sahaja, lebih 90,000 tempahan telah diterima. Menurut laporan CarNewsChina dan Reuters, kuota untuk tahun ini sudah habis dan mereka yang sudah membuat tempahan dan meletakkan deposit (5,000 yuan/RM3,284) perlu menunggu antara empat ke tujuh bulan sebelum menerima kenderaan. Penghantaran akan bermula hujung April.

    SU7 dijual pada harga antara 215,900 ke 299,900 yuan (sekitar RM142k ke RM197k) dan ini meletakkannya lebih murah berbanding Tesla Model 3 yang mempunyai saiz lebih kecil dan ditawarkan pada harga bermula 245,900 yuan (sekitar RM162k).

    Tiga varian ditawarkan di China iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max. Varian asas dan pertengahan datang dengan motor elektrik di belakang yang berkuasa 299 PS (295 hp atau 220 kW) dan tork 400 Nm.

    Xiaomi SU7 habis dijual untuk tahun 2024 di China hanya dalam masa 24 jam – harga dari RM142k

    Kemudiannya, varian asas juga menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 73.6 kWh, membolehkan ia bergerak sehingga 700 km (CLTC) dan mengambil masa 25 minit untuk naik dari 10 ke 80% apabila dicas menggunakan sumber DC.

    Untuk SU7 Pro pula, ia menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC), dengan kapasiti 94.3 kWh dan menyediakan jarak gerak 830 km (CLTC). Apabila dicas menggunakan sumber DC, baterinya akan naik dari 10 ke 80% dalam masa 30 minit.

    Menurut Xiaomi, dua varian permulaan ini boleh memberikan jarak gerak 350 km apabila dicas selama 15 minit menggunakan pengecas pantas DC dan mempunyai laju maksimum sama, iaitu 210 km/j. Pecutan 0-100 km/j varian asas adalah lebih pantas, iaitu 5.28 saat, sementara SU7 Pro mencatat masa 5.7 saat.

    Varian paling tinggi, SU7 Max menampilkan sistem pacuan semua roda, serta tetapan dua motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 673 PS (664 hp atau 495 kW) dan tork 838 Nm. Motor elektrik belakang varian ini lebih berkuasa, iaitu 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan 500 Nm, manakala yang dihadapan menyediakan 299 PS (295 hp atau 220 kW) dan 338 Nm.

    Memberi tenaga kepada motor ini adalah bateri NMC dengan kapasiti 101 kWh dan ia boleh membawa kenderaan untuk memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 2.78 saat sebelum mencecah laju maksimum 265 km/j. Jarak gerak pula berkurang menjadi 800 km.

    Permintaan untuk EV pertama Xiaomi ini cukup tinggi sehingga ada laporan mengatakan, mereka yang dapat membuat tempahan telah mula menjual semula tempahan tersebut pada harga lebih tinggi, sehingga 100,000 yuan (sekitar RM66k) dan ini belum lagi termasuk dengan harga kereta.

     
     
  • Petronas bakal bantu bangunkan semula Litar Pasir Gudang impak dari TMJ dan JDT Racing Team

    Petronas bakal bantu bangunkan semula Litar Pasir Gudang impak dari TMJ dan JDT Racing Team

    Syarikat pengeluar petroleum nasional, Petronas bakal menjalinkan kerjasama menyeluruh dengan Johor Darul Takzim (JDT) Racing Team, bukan hanya melibatkan jentera perlumbaan tetapi akan menjadi penajaan di skala yang lebih besar termasuk membangunkan semula Litar Pasir Gudang yang terletak di Johor.

    Menurut Prinsipal Pasukan JDT Racing Team Steven Tan dalam laporan Flash Sukan, Petronas berminat dengan kerjasama tersebut kerana yakin dengan impak yang dibawa oleh pasukannya dan juga pemilik pasukan itu iaitu Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail.

    “Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.

    “Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” katanya.

    Steven turut menegsahkan bahawa kerjasama berkenaan turut melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang yang bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.

    Petronas bakal bantu bangunkan semula Litar Pasir Gudang impak dari TMJ dan JDT Racing Team

    “Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelasnya.

    Litar Pasir Gudang merupakan litar ikonik yang pernah melahirkan ramai pelumba antarabangsa di kalangan anak jati Johor. Ia juga pernah menganjurkan perlumbaan yang menarik penyertaan pelumba luar seperti Johor Race Series, Asia Festival of Speed (AFOS) serta pernah menjadi menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada tahun 1998.

    Litar berkenaan dikhabarkan hanya akan ditutup sementara pada 2016 untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia terbiar selepas itu tanpa tanda-tanda bakal dibuka semula.

    Laporan berita bulan lalu menyatakan bahawa kerajaan Johor sememangnya berminat untuk membangunkan semula litar berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah mengesahkan bahawa beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

     
     
  • BMW iX2 EV dibuka tempahan di M’sia — 313hp/494 Nm dual-motor xDrive30, 449 km jarak; RM297k

    BMW iX2 EV dibuka tempahan di M’sia — 313hp/494 Nm dual-motor xDrive30, 449 km jarak; RM297k

    BMW Malaysia kini mula mengambil tempahan bagi EV BMW iX2, yang dijual dalam varian xDrive30 untuk pasaran tempatan. Harganya bermula dari RM282,800, dan jika termasuk dengan pakej BMW Service and Repair yang disertakan sekali jaminan dan pakej servis lima-tahun akan melibatkan pertambahan RM14,200, menjadikan harganya RM297,000.

    Sistem janaan iX2 xDrive30 ini melibatkan dua motor elektrik untuk menjadikan pacuan semua roda, dengan output keseluruhan 313 hp dan 494 Nm tork. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam 5.6 saat, dan had laju dihadkan secara elektronik pada 180 km/j.

    Baterinya menggunakan unit 66.5 kWh menyediakan jarak 449 km mengikut kitaran WLTP, dan boleh dicas DC pantas sehingga 130 kW, membolehkan baterinya dicas 10-80% dalam masa 29 minit. Pengecas AC pula boleh menampung sehingga 11 kW, yang memerlukan masa enam jam 30 minit untuk pengecasan penuh.

    BMW iX2 EV dibuka tempahan di M’sia — 313hp/494 Nm dual-motor xDrive30, 449 km jarak; RM297k

    Di dalam, kulit vegan buatan Veganza membaluti kerusi dan ruang dalam dengan jahitan kontras biru — dalam pelbagai pilihan dan kombinasi warna kulit. Sistem infotainmen pula menggunakan BMW Operating System 9, yang mana ciri iDrive dilengkapi dengan Intelligent Personal Assistant dan sistem kawalan QuickSelect yang menggunakan asas Android Open Source Project (AOSP).

    Ini membolehkan capaian lebih pantas melalui skrin utama kepada fungsi yang kerap digunakan termasuk BMW Maps, serta Proactive Care pula menawarkan maklumat berkaitan keperluan servis kenderaan untuk rujukan pemandu.

    Ciri bantuan pemandu standard untuk iX2 termasuk Active Guard Basis, Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus. Active Guard Basis melinatka ciri Lane Departure, Front Collision dan Left Turning Warnings
    dengan kendalian aktif stereng dan brek, maklumat had laju serta Evasion Aid.

    BMW iX2 EV dibuka tempahan di M’sia — 313hp/494 Nm dual-motor xDrive30, 449 km jarak; RM297k

    Driving Assistant Plus pula menyertakan ciri seperti Active Cruise Control, Steering and Lane Control Assistant, Speed Limit Info and Assist, serta Lane Departure Warning dengan kendalian aktif. Parking Assistant Plus pula terdiri daripada ciri bantuan dari kamera dan ultrasound dengan pandangan parkir standard dan 3D jarak jauh, serta termasuk sekali Attentiveness Assistant.

    Tujuh pilihan warna ditawarkan untuk BMW iX2 xDrive30 di Malaysia — Alpine White, Black Sapphire, Skyscraper Grey, Cape York Green, Fire Red, M Portimau Blue dan M Brooklyn Grey. Pembeli akan menikmati jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, dan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri, Bantuan Tepi Jalan BMW dan talian bebas tol kemalangan, serta BMW Service Online.

     
     
  • Tiada kerja penyelenggaraan, penutupan lorong di lebuhraya hingga 17 April sempena Aidilfitri – Menteri

    Tiada kerja penyelenggaraan, penutupan lorong di lebuhraya hingga 17 April sempena Aidilfitri – Menteri

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan, mulai semalam (1 April) sehingga 17 April 2024, semua kerja-kerja penyelenggaraan di lebuhraya termasuk membabitkan penutupan lorong akan dihentikan sementara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    “Cuma untuk kerja-kerja kecemasan, kita akan benarkan sekiranya ada keperluan. Rancang perjalanan anda sepanjang musim perayaan nanti,” katanya menerusi Facebook rasminya.

    Pada hujung Mac lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan agar semua syarikat konsesi lebuhraya untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan dan membaik pulih jalan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum Aidilfitri. Di mana langkah ini penting kerana kementerian mahu menjamin keselesaan pengguna jalan raya dalam merancang perjalanan pulang ke destinasi dituju sempena menyambut Aidilfitri.

     
     
  • Bangkok 2024: Honri Boma EV dilancarkan – jarak gerak hingga 200 km, Alphard mini dari RM65k di Thai

    Bangkok 2024: Honri Boma EV dilancarkan – jarak gerak hingga 200 km, Alphard mini dari RM65k di Thai

    Jika anda mahukan kenderaan yang macam Toyota Alphard tetapi ingin yang lebih kecil, mungkin MPV ini boleh menarik perhatian anda. Honri Boma EV, kenderaan elektrik (EV) mini yang sedang dipamerkan di Bangkok International Motor Show dan akan dijual di Thailand oleh Hai Thua New Energy Vehicle dengan harga sekitar 500,000 baht (lebih kurang RM65k).

    Honri, atau Hongri Automobile Group, memasarkan Boma EV di bawah jenama Weiao (Viauto) di China, di mana ia dijual pada harga antara 39,900 hingga 51,900 yuan (sekitar RM26k hingga RM34k). Dengan kapasiti empat penumpang, Boma EV berukuran 3,517 mm panjang, 1,495 mm lebar, 1,660 mm tinggi dan jarak rodanya sepanjang 2,495 mm , serta ground clearance pula 130 mm.

    Boma EV dilengkapi dengan motor elektrik pemasangan hadapan pada kadar 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 84 Nm, cukup membolehkannya mencapai kelajuan maksimum hingga 100 km/j. Ia juga diberikan dua pek bateri nickel manganese cobalt (NMC), dengan pilihan pertama kapasiti tenaga cecah 11.9 kWH.

    Manakala pilihan kedua pula, kapasiti tenaga 18.5 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 200 km. Maklumat pengecasan tidak didedahkan secara terperinci, namun dilaporkan bahawa model standard mengambil masa sekitar tujuh jam untuk pengecasan penuh, sementara bagi model lebih tinggi pula memerlukan 10 jam untuk cas penuh. Tiada pengecas pantas DC dinyatakan.

    Thailand bakal menerima Boma EV dengan versi jarak gerak 200 km, yang didatangkan dengan waranti kenderaan tiga-tahun/100,000 km dan waranti bateri lapan-tahun/120,000 km. Pada masa hadapan, varian baharu dengan jarak gerak 300 km juga akan dimasukkan di pasaran sana.

    Jika anda tidak begitu berminat dengan gril yang diinspirasikan dari Alphamd, Boma EV turut diberikan dengan bahagian hadapan tertutup yang lebih besar dengan disambung ke port pengecasan dan lampu hadapan halogen yang disertai kemasan krom yang menyerlah. Di dalamnya, rekaannya sekadar ringkas dengan kluster instrumen digital 5-inci yang disertai unit utama skrin sesentuh 10.25-inci.

    Versi Pro bagi Boma EV yang dijual di China menerima dua unit skrin yang terdiri daripada panel instrumen 7-inci dan skrin sesentuh sentral 9-inci, bersama dengan kawalan bagi sistem pendingin hawa, dan model asas turut menerima tiga-larasan asas. Untuk keselamatan, versi di Thailand menerima ABS, EBD dan brek kecemasan sendiri.

     
     
  • Asia Cross Country Rally 2024 – laluan sah dari Surat Thani, Thailand ke Kuala Lumpur sejauh 2,000 km!

    Asia Cross Country Rally 2024 – laluan sah dari Surat Thani, Thailand ke Kuala Lumpur sejauh 2,000 km!

    Selepas Asia Cross Country Rally (AXCR) untuk edisi 2024 disahkan bakal berlangsung dari Thailand menuju ke Malaysia hujung tahun lalu, hari ini menerusi satu hantaran yang dibuat oleh laman Facebook rasmi perlumbaan tersebut sudahpun mengeluarkan peta laluan sebenar rali rentas negara berkenaan.

    Ia bukanlah peta yang terperinci, namun sudah cukup untuk menggambarkan perjalanan rali tersebut yang akan berlangsung bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024. Perlumbaan selama enam hari dengan perjalanan sejauh 2,000 km berkenaan akan dibahagikan kepada enam Leg.

    Bagi Leg 1 dan Leg 2, ia akan berlangsung sepenuhnya di Thailand melibatkan pengembaraan dan SS yang akan bermula di Surat Thani menuju ke Trang. Para peserta akan mula menuju ke Malaysia pada Leg 4 dengan menuju ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Perlis dan ia diteruskan sehingga ke Pulau Pinang. Manakala Leg 5 dan Leg 6 akan membabitkan perjalanan melalui Ipoh sebelum tiba ke garis penamat di Kuala Lumpur.

    Asia Cross Country Rally 2024 – laluan sah dari Surat Thani, Thailand ke Kuala Lumpur sejauh 2,000 km!

    Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi sebahagian dari laluan perlumbaan rali tersebut di mana kita merupakan antara negara pertama menyertai penganjurannya bermula pada edisi pertama pada 1996 sehingga tahun 2000. Kali terakhir Malaysia terlibat sebagai salah satu lokasi rali ini adalah 20-tahun lalu iaitu pada tahun 2003.

    Dalam hantaran yang sama, AXCR turut berkongsi peta laluan bagi edisi 2003 di mana ia melibatkan perjalanan sejauh 3,000 km yang bermula dari Bangkok dan berakhir di Kuala Lumpur.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Asia Cross Country Rally 2024 – laluan sah dari Surat Thani, Thailand ke Kuala Lumpur sejauh 2,000 km!

    Selain dari penganjurannya yang kembali semula ke Malaysia, AXCR tahun ini turut akan ‘dipanaskan’ dengan penyertaan tiga jentera pasukan Malaysia, di mana dua daripadanya dipandu oleh pelumba negara yang pernah berlumba dalam Safari Rally di Kenya untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Saladin Mazlan dan Karamjit Singh, dan sebuah lagi akan dipandu oleh atlit sukan permotoran wanita negara iaitu Leona Chin.

    Manakala untuk kategori motosikal, pasukan negara akan diwakili oleh Tommy Lee – pelumba touring car yang bukan sahaja hebat di litar, malah kini aktif dengan pengembaraan motosikal rentas negara.

     
     
  • JPJ keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 8-9 April dan 13-14 April 2024 sempena Aidilfitri

    JPJ keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 8-9 April dan 13-14 April 2024 sempena Aidilfitri

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan info grafik berhubung larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia bakal dilaksanakan sepanjang tempoh empat hari iaitu 8 hingga 9 April (sebelum perayaan) dan 13 hingga 14 April 2024 (selepas perayaan).

    Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, kenderaan berat ini dikategorikan kepada tiga iaitu trak tunda yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), lori kontena dan kren bergerak serta lori pembancuh simen. Bagi setiap kategori ini, ia mempunyai masa yang dihadkan penggunaannya. Bagi kategori satu iaitu lori pembawa kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda kenderaan motor dan lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kg.

    Selain itu, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, traktor, pengangkut simen, besi keluli, batu pasir, tanah dan bahan binaan lain seperti bijih timah dan arang batu turut berada dalam kategori satu yang mana tempoh larangannya ialah sepanjang empat hari berkenaan.

    Bagi kategori kedua pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya.

    Seterusnya bagi kategori ketiga membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

     
     
  • Projek pelebaran Lebuhraya PLUS diteruskan hingga Ayer Hitam; tiada kos tambahan – Ahmad Maslan

    Projek pelebaran Lebuhraya PLUS diteruskan hingga Ayer Hitam; tiada kos tambahan – Ahmad Maslan

    Projek pembesaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) oleh PLUS Malaysia akan dilanjutkan ke susur keluar Ayer Hitam, berbanding rancangan asalnya berakhir di Simpang Renggam, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, lapor Bernama.

    Penambahan 17 km bagi projek pelebaran lebuhraya itu kini akan menjadikan keseluruhannya mencecah 37 km, dan ia juga diperluaskan daripada empat lorong kepada enam lorong dari Sedenak ke Simpang Renggam. Ahmad Maslan turut berkata peruntukan RM931 juta yang diberikan kerajaan mencukupi sehingga ke lokasi baharu berkenaan.

    “Kami kini dalam proses kajian nilai untuk melanjutkan pelebaran laluan berkenaan dengan peruntukan yang begitu besar, dan projek itu akan dimulakan tahun ini,” katanya baru-baru ini.

    Projek pelebaran lebuhraya itu pada mulanya diumumkan meliputi jarak 21.8 km dalam fasa pertama, dan projek pelebaran itu adalah meliputi laluan dari Senai Utara ke Sedenak yang akan disiapkan dalam tempoh 36 bulan. Fasa kedua adalah dari Sedenak ke Machap, dan akan bermula pada awal 2025.

     
     
  • Bangkok 2024: Mitsubishi Pajero Sport facelift – enjin baru 4N16 dari Triton 184 PS/430 Nm, kotak gear 6AT

    Bangkok 2024: Mitsubishi Pajero Sport facelift – enjin baru 4N16 dari Triton 184 PS/430 Nm, kotak gear 6AT

    Bulan lalu Mitsubishi telahpun membuat pendedahan sulung global untuk versi facelift terbaharu SUV bagi Pajero Sport sedia ada di Thailand. Menerusi kunjungan rakan-rakan kami ke Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 baru-baru ini, kami dapat sediakan galeri lebih terperinci model tersebut untuk anda.

    Seperti yang diketahui, Pajero Sport merupakan SUV yang diasaskan dari casis ladder frame yang dikongsi bersama trak pikap Mitsubishi Triton. Namun berbanding Triton yang kini sudahpun diperkenalkan dalam versi generasi serba baharu, Pajero Sport generasi sedia ada yang mula diperkenalkan sejak 2015 ini nampaknya masih kekal dalam pasaran mungkin dalam tempoh lebih lama.

    Model yang dipamerkan di BIMS 2024 ini merupakan dari varian tertinggi 2.4 Elite 4WD 6AT yang dijual pada harga 1,689,000 baht (RM222k). Selain dari varian ini, Pajero Sport facelift turut ditawarkan dalam tiga varian lebih rendah lain iaitu 2.4 Prime 2WD 6AT dijual pada harga 1,389,000 baht (RM182k), 2.4 Ultra 2WD 6AT berharga 1,529,000 baht (RM201k) dan 2.4 Elite 2WD 6AT berharga 1,579,000 baht (RM207k).

    Bangkok 2024: Mitsubishi Pajero Sport facelift – enjin baru 4N16 dari Triton 184 PS/430 Nm, kotak gear 6AT

    Model facelift ini kini menerima enjin MIVEC DOHC turbodiesel 4N16 2.4 liter empat silinder yang sama seperti Triton generasi baharu bagi menggantikan enjin 4N15 pada model sebelum ini. Namun enjin baharu ini hanya hadir dalam talaan kuasa 184 PS dan tork 430 Nm, berbanding Triton yang turut menerima versi 204 PS/470 Nm.

    Kotak gear lapan kelajuan automatik model sebelum ini juga tidak lagi digunakan, kerana enjin baharu ini turut digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan baharu. Bagi varian-varian 4WD, sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II dan datang dengan empat mod off-road baharu iaitu Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock.

    Selain itu, nisbah gear akhir pada Pajero Sport 2024 turut diubah dari 3.692 sebelum ini kepada 4.090. Jarak kelegaan tanah juga dipertingkat dari hanya 217 mm sebelum ini kepada 222 mm.

    Bangkok 2024: Mitsubishi Pajero Sport facelift – enjin baru 4N16 dari Triton 184 PS/430 Nm, kotak gear 6AT

    Perubahan ketara pada bahagian luar untuk Pajero Sport 2024 ini adalah bahagian gril dan bampar hadapan serta rim aloi 18-inci rekaan baharu. Bagi varian dengan kemasan paling sporty iaitu Elite, ia menerima kemasan-kemasan luaran termasuk gril hadapan berwarna hitam berkilat, manakala varian lain menerima gril hadapan dalam kemasan hitam-perak.

    Antara perincian standard lain diberikan termasuk lampu hadapan automatik projektor Bi-LED dengan larasan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu kombinasi belakang LED, pengelap cermin automatik, pintu tailgate bantuan kuasa dan pelbagai lagi.

    Untuk bahagian dalaman, Pajero Sport 2024 ini menerima roda stereng baharu yang sama dengan Triton generasi baharu. Khas untuk varian Ultra dan Elite, ia kini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin lapan-inci. Dua varian ini juga menerima upholsteri balutan kulit hitam-merah, berbanding kulit hitam sepenuhnya pada varian Prime.

    Bangkok 2024: Mitsubishi Pajero Sport facelift – enjin baru 4N16 dari Triton 184 PS/430 Nm, kotak gear 6AT

    Bagi sistem infotainmen, Pajero Sport baharu ini dibekalkan dengan skrin sesentuh utama 8-inci yang boleh memainkan DVD, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (hanya pada Ultra dan Elite), sistem navigasi, dihubungkan kepada enam pembesar suara.

    Pajero Sport pasaran Thailand ini merupakan model dengan tiga baris tempat duduk. Jadi penumpang belakang turut menerima skrin tersendiri yang dilipat pada bahagian bumbung bersaiz 12.1-inci. Skrin ini boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh, diberikan input HDMI dan USB serta datang dengan dua set fon kepala infra-merah.

    Kabin belakang turut diberikan liang udara penghawa dingin, dengan tempat duduk baris kedua boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dan tempat duduk baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 50:50.

    Perincian standard lain yang diberikan pada Pajero Sport 2024 ini termasuk tempat duduk hadapan kawalan elektrik lapan-hala, cermin pandang belakang auto-malap, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik dua-zon, pedal penukar gear, brek parkir elektrik dengan auto hold dan pelbagai lagi.

    Untuk keselamatan, kesemua varian menerima bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, kamera pemantau sekeliling, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik, isyarat berhenti kecemasan dan penderia undur. Varian asas Prime hanya menerima dua-beg udara, sementara varian Ultra dan Elite pula diberika tujuh-beg udara.

    Dua varian lebih tinggi ini juga menerima lebih sistem bantuan pemanduan seperti sistem amaran titik buta, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan sistem cruise control adaptif.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025