Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Royal Enfield Shotgun 650 dikeluarkan – terhad 25 unit

    Royal Enfield Shotgun 650 dikeluarkan – terhad 25 unit

    Dalam satu acara khas seperti pesta untuk pemilik Royal Enfield di India yang dipanggil sebagai Motoverse, Royal Enfield telah memperkenalkan sebuah model istimewa baru iaitu Shotgun 650. Ia ditawarkan cuma 25 unit sahaja dan dijual hanya di tapak acara tersebut.

    Shotgun 650 sebenarnya adalah versi produksi bagi model yang ditunjukkan sewaktu EICMA 2021, iaitu SG650 Concept, dengan membawa inspirasi daripada dunia ubah suai dan kustom motosikal yang banyak dilakukan pada model Royal Enfield.

    Menurut pengeluar tersebut, Shotgun 650 adalah sesuatu yang berbeza berbanding Royal Enfield yang berada atas jalan sekarang, dan ia menampilkan pelbagai barangan buatan khas serta panel badan yang dicat dengan tangan.

    Penggerak model ini adalah enjin dua silinder selari 650 cc sama seperti model 650 Royal Enfield yang lain termasuk Super Metor 650, Interceptor 650 dan Continental GT. Pada model yang disebutkan, enjin tersebut mampu menghasilkan sekitar 46.8 hp pada 7,150 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,150 rpm, tetapi Royal Enfield mungkin melakukan sedikit talaan untuk menyesuaikannya dengan Shotgun 650.

    Kelengkapan lain yang boleh dilihat pada Shotgun 650 adalah termasuk cermin sisi di hujung pemegang, tempat duduk belakang yang boleh dicabut, lampu LED, panel meter gabungan analog dan digital sama seperti Super Meteor 650, brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik serta dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Toyota Hilux Champ boleh jadi kenderaan komersil, RV, camper menerusi saluran ubahsuai rasmi TMT

    Toyota Hilux Champ boleh jadi kenderaan komersil, RV, camper menerusi saluran ubahsuai rasmi TMT

    Semalam Toyota Motor Thailand baru sahaja melancarkan trak pikap Toyota Hilux Champ bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia adalah kemunculan sulung rasmi model berkenaan bagi peringkat global. Hilux Champ bukanlah model pengganti bagi trak pikap Hilux sedia ada, tetapi ia adalah model yang bukan sahaja lebih mampu milik, malah direka dengan dek belakang inovatif bagi membolehkan ia diubahsuai dengan mudah mengikut kehendak pengguna.

    Menurut Toyota, dek belakang Hilux Champ ini menampilkan banyak lubang bolt, membolehkan pengubahsuaian yang dilakukan hanya menggunakan bolt dan nat. Dan bagi lebih memudahkan pengguna menghasilkan Hilux Champ mengikut selera masing-masing, TMT turut menyediakan informasi lebih 100 bengkel-bengkel dan pengeluar aksesori di seluruh Thailand yang boleh melakukan tugas tersebut.

    Informasi berkenaan boleh didapati menerusi portal modifikasi khas yang diwujudkan dalam laman sesawang rasmi Toyota Thailand, yang bukan sahaja menunjukkan pelbagai contoh Hilux Champ yang sudah diubahsuai dalam pelbagai versi kegunaan, malah laman tersebut turut disertakan dengan peta lokasi bengkel-bengkel dan pengeluar aksesori tersebut.

    Ada pelbagai kategori disediakan bagi ubahsuai ini iaitu kabin kabinet kering, kabin dengan peti sejuk, RV (rumah bergerak atau motorhome), kenderaan untuk aktiviti berkhemah (camper), kenderaan servis bergerak atau trak makanan, serta pelbagai ubahsuai lain termasuk untuk ubahsuai rupa dan juga prestasi.

    Antara pengeluar aksesori yang terlibat dalam pengubahsuaian ini adalah TJM, Carryboy, Cube Ryder, Mongkolchai Body (MKC), MPC, ECU Shop dan pelbagai lagi.

    Bagi menggunakan portal modifikasi ini, pelanggan hanya perlu nyatakan lokasi mereka dan jenis pengubahsuaian yang mahu dilakukan. Kemudian laman berkenaan akan memberikan lokasi dan juga nombor untuk menghubungi penyedia perkhidmatan tersebut yang terdekat.

    Toyota Hilux Champ masih lagi menggunakan kerangka ladder frame Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) yang sama seperti Toyota Hilux, Fortuner dan juga Innova. Ia dijual di Thailand pada harga bermula 459,000 baht (RM61k) hingga 577,000 baht (RM77k), hanya ditawarkan dalam versi single bed dengan dua tempat duduk serta hanya memacu roda belakang.

    Toyota Motor Thailand (TMT) menawarkan lapan gred Hilux Champ untuk kegunaan komersil dan persendirian, dalam versi jarak roda pendek dan panjang, serta tiga varian enjin berbeza iaitu enjin petrol empat silinder 2.0 liter dan 2.7 liter serta enjin diesel 2.4L.

    Untuk versi petrol enjin yang ditawarkan adalah enjin 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS dan tork maksima 185 Nm dan 2TR-FE 2.7 liter berkuasa 166 PS/245 Nm. Manakala versi diesel pula, Hilux Champ menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS – versi manual lima-kelajuan diberikan talaan tork hanya 343 Nm dan versi automatik enam kelajuan pula ditala dengan tork 400 Nm.

    GALERI: Toyota Hilux Champ 2023 pasaran Thailand

     
     
  • Malaysia-Thailand setuju bina jajaran jalan baharu hubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam ke ICQS Sadao

    Malaysia-Thailand setuju bina jajaran jalan baharu hubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam ke  ICQS Sadao

    Kerajaan Malaysia dan Thailand telah bersetuju secara dasarnya untuk membina jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao. Ia adalah hasil pembincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin semalam. Anwar turut melawat ICQS Sadao semalam atas jemputan rasmi Thavisin.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek pembinaan jalan baharu tersebut akan direalisasikan dalam jangka masa terdekat. Tambahnya, jaringan jalan penghubung itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.

    “Projek jalan ini juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Regimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan Pagar Keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini.

    “Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu ini, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan. Pada masa yang sama, jalan baharu ini dijangka akan meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara,” kata Alexander menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • 3 hari terakhir untuk menang Apple iPhone 15 apabila anda membeli kereta myTukar Certified!

    3 hari terakhir untuk menang Apple iPhone 15 apabila anda membeli kereta myTukar Certified!

    Ini adalah 3 hari terakhir untuk anda menjadi salah satu daripada enam pemenang bertuah memenangi sebuah Apple iPhone 15 apabila anda membeli kereta myTukar Certified! Promosi ini akan berakhir pada 30 November 2023, jadi anda perlu membeli kereta myTukar Certified sebelum tarikh itu untuk layak dalam cabutan.

    Apa yang perlu anda lakukan untuk menang? Sebenarnya mudah sahaja – jika anda membeli kereta dalam tempoh promosi, anda akan secara automatik masuk dalam cabutan.

    Dan ya, promosi iPhone ini juga meliputi kereta di bawah jualan Black Friday Cyber Monday 2023 yang menawarkan diskaun sehingga RM13,000.

    Jadi, tunggu apa lagi? Layari inventori kereta myTukar Certified sekarang!

    3 hari terakhir untuk menang Apple iPhone 15 apabila anda membeli kereta myTukar Certified!

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Proton Exora masuk enjin diesel turbo 2.2L daripada Mazda CX-5 di Thailand – kuasa 209 hp, 440 Nm

    Proton Exora masuk enjin diesel turbo 2.2L daripada Mazda CX-5 di Thailand – kuasa 209 hp, 440 Nm

    Ini ada satu lagi hasil kreatif dari negara jiran, Thailand yang memang sudah terkenal dengan ubah suai segala macam jenis kenderaan – Proton Exora dimasukkan dengan enjin diesel turbo 2.2 liter daripada Mazda CX-5.

    Ubah suai tersebut dilakukan oleh Amorn Turbo Services, yang memuat naik gambar beberapa gambar menunjukkan ubah suai tersebut bermula dengan keseluruhan bahagian dalam enjin dibuka dan kini sudah beroperasi pada badan Exora dan diuji atas mesin dyno.

    Kuasa yang mampu dihasilkan dengan enjin CX-5 ini adalah 209 hp dan tork 440 Nm, menjadikannya lebih tinggi berbanding 138 hp dan 205 Nm yang dihasilkan oleh enjin 1.6 petrol turbo CFE asal pada Exora tersebut. Jumlah yang ditunjukkan juga adalah lebih tinggi berbanding CX-5 yang menggunakan enjin 2.2L sama dan dijual di negara kita, yang menghasilkan 188 hp dan 450 Nm.

    Pada jangkaan kami, ini bukanlah satu ubah suai yang mudah, dengan tapak enjin serta sistem pendawaian yang perlu dibuat semula, memerlukan kepakaran yang tinggi. Melalui gambar itu juga anda boleh nampak di sebalik bampar hadapannya terdapat intercooler yang besar.

     
     
  • Kereta Tahunan Eropah 2024 – 7 finalis akhir diumum

    Kereta Tahunan Eropah 2024 – 7 finalis akhir diumum

    Minggu lalu, calon bagi Kereta Tahunan Eropah 2024 telah pun didedahkan, dengan sebanyak 28 model telah disenaraipendekkan. Susulan fasa pertama pengundian, undian kini dikurangkan menjadi tujuh finalis yang akan bersaing merebut gelaran terbesar ini.

    Dalam tempoh beberapa bulan, para juri telah menentukan tujuh finalis tersebut yang bakal berebut trofi Kereta Tahunan, dengan keputusannya akan diumumkan pada 26 Februari di Geneva Motor Show. Juri bagi COTY 2024 ini terdiri daripada 59 juri dari 22 negara, dengan dua keahlian dari Rusia yang masih digantung, menurut penganjur.

    Untuk kelayakan, calon perlu menjadi model kereta baharu yang sedang dijual sekarang atau sebelum akhir tahun di lima atau lebih pasaran Eropah. Tujuh finalis yang bertanding untuk anugerah Kereta Terbaik Eropah 2024 ialah:

    Apakah pendapat anda tentang pemilihan akhir yang ditentukan oleh panel juri? Lihat senarai penuh 28 calon awal di sini.

     
     
  • VIDEO: Budak lelaki serang pemandu Grab dengan pisau di Sg Petani – perlu ada dashcam dalam kereta

    VIDEO: Budak lelaki serang pemandu Grab dengan pisau di Sg Petani – perlu ada dashcam dalam kereta

    Rakaman video yang agak mengejutkan ini telah dimuatnaik menerusi kumpulan Facebook ‘Penduduk Sungai Petani Kedah’ (dimuat naik sekali lagi oleh @sungaikelaut menerusi X), memaparkan seorang penumpang menyerang pemandu Grab. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di Sungai Petani, Kedsah.

    Menerusi sedutan video rakaman dashcam di dalam kereta berkenaan, penumpang berkenaan yang merupakan seorang budak lelaki yang dipercayai berusia sekitar 13 tahun duduk di bahagian penumpang belakang, dipandu oleh pemandu Grab yang sudah berusia. Sekitar minit ke 1:10 rakaman video itu, pemandu tersebut menghampiri destinasi dan bersedia untuk menerima bayaran.

    Beberapa saat kemudian, budak lelaki berkenaan kelihatan mengeluarkan pisau dan bertindak cuba menikam pemandu berkenaan tetapi gagal dan terus keluar dari kereta dan melarikan diri. Pemandu berkenaan kelihatan tidak mengalami kecederaan susulan serangan terbabit dan sempat merampas pisau yang digunakan itu.

    Motif serangan masih tidak dapat diketahui tetapi insiden terbabit menunjukkan betapa pentingnya kereta e-hailing perlu memasang dashcam dalaman. Kebiasaannya kereta mempunyai dashcam yang menghadap ke luar untuk menangkap rakaman kritikal sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, tetapi tidak banyak kereta e-hailing mempunyai satu untuk bahagian dalam. Jika anda menyediakan perkhidmatan e-hailing, kami sangat menyarankan agar anda memasang satu unit dashcam dalaman untuk kereta anda.

    Kemaskini 10.25 pagi : Menurut laporan Berita Harian, remaja lelaki berusia 13 tahun terbabit dikatakan tidak puas hati dimaki ketika mengambil semula wang tambang hingga menjadikannya punca bertindak di luar kawalan dengan mengacu pisau di dada kiri pemandu e-hailing terbabit. Polis berjaya menahan remaja terbabit dan merampas sebilah pisau yang dibawa remaja lelaki berkenaan dan ditinggalkan di tempat kejadian.

     
     
  • Toyota Hilux Champ dilancarkan di Thailand – bermula RM61k-RM77k, trak pikap mampu milik untuk Asia

    Toyota Hilux Champ dilancarkan di Thailand – bermula RM61k-RM77k, trak pikap mampu milik untuk Asia

    Selepas didedahkan sebagai model konsep IMV 0 di Thailand tahun lalu dan dibawa ke Indonesia (Toyota Rangga Concept), Filipina (Toyota Tamaraw Concept) dan Tokyo Moblitiy Show 2023, Toyota akhirnya melancarkan secara rasmi versi produksi trak pikap berkenaan kembali di Thailand, diberi nama sebagai Toyota Hilux Champ.

    Menurut Toyota, model ini akan dijual di Thailand pada harga bermula 459,000 baht (RM61k) hingga 577,000 baht (RM77k). Ia hanya ditawarkan dalam versi single bed dengan hanya dua tempat duduk, dan dengan rekaan bed belakang yang begitu versatil, Hilux Champ ini diperkenalkan dengan 11 jenis versi custom yang berbeza ketika dilancarkan.

    Secara asasnya Toyota Motor Thailand (TMT) menawarkan lapan gred Hilux Champ untuk kegunaan komersil dan persendirian, dalam versi jarak roda pendek dan panjang, versi dengan dek rata sepenuhnya bagi membolehkan pembeli membuat rekaan bed belakang sendiri mengikut keperluan, dan tiga varian enjin berbeza iaitu enjin petrol empat silinder 2.0 liter dan 2.7 liter serta enjin diesel 2.4L.

    Toyota Hilux Champ dilancarkan di Thailand – bermula RM61k-RM77k, trak pikap mampu milik untuk Asia

    Untuk versi petrol enjin yang ditawarkan adalah enjin 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS dan tork maksima 185 Nm dan 2TR-FE 2.7 liter berkuasa 166 PS/245 Nm. Manakala versi diesel pula, Hilux Champ menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS – versi manual lima-kelajuan diberikan talaan tork hanya 343 Nm dan versi automatik enam kelajuan pula ditala dengan tork 400 Nm. Tiada pilihan sistem 4WD ditawarkan di mana kesemua varian Hilux Champ hanya memacu roda belakang.

    Toyota ada mendedahkan spesifikasi untuk Hilux Champ pasaran Thailand dalam versi 2.4L diesel, jarak roda panjang bersama dek di belakang. Dimensi bagi varian ini adalah 5,300 mm panjang, 1,785 mm lebar, 1,735 mm tinggi dan jarak rodanya pula adalah 3,085 mm. Jadi berbanding Hilux sebenar dalam versi Double Cab, Hilux Champ ini adalah 25 mm lebih pendek, 70 mm kurang lebar, 80 mm lebih rendah, tetapi mempunyai jarak roda yang sama sepenuhnya.

    Ia juga disahkan mempunyai berat 2,790 kg, radius pusingan minimun 5.4 mm, dan mampu membawa beban maksima seberat 1 tan. Manakala untuk model jarak pendek, panjang keseluruhannya adalah 4,970 mm bersama jarak roda 2,750 mm. Hilux Champ ini juga nampaknya bukan untuk kegunaan jalan off-road yang lasak seperti Hilux biasa, menampilkan jarak kelegaan tanah seperti kereta bermula 164 mm sehingga 180 mm.

    Bahagian dek belakang Hilux Champ ini menampilkan lubang bolt pada banyak tempat, membolehkan pelbagai aksesori custom dipadankan menggunakan hanya bolt dan nat. Untuk pelanggan yang mahukan pengubahsuaian khusus, TMT boleh menawarkan informasi untuk lebih 100 pengeluar aksesori.

    Kerangka asal siri Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) ini telah dihasilkan oleh pasukan yang diterajui oleh Akio Toyoda, ketika itu bertugas sebagai CEO Toyota rantau Asia dan sekarang beliau merupakan pengerusi TMC.

    Kerangka IMV tersebut dibangunkan bersama jurutera-jurutera tempatan dengan semangat genchi-genbutsu, bersama harapan dapat menyumbang kepada ekonomi Asia bersama masyarkat Asia. Antara model yang menggunakan asas IMV ini termasuk Toyota Hilux, Fortuner dan Innova.

    Sejak pengenalan Hilux generasi ke-tujuh di Thailand pada 2004, model-model IMV ini telah diperkenalkan di lebih 180 negara seluruh dunia. Ia adalah model yang mustahak di Thailand dan Indonesia bagi digunakan dalam kehidupan seharian, sementara di Thailand sendiri sejumlah 2.7 kenderaan dari kerangka IMV ini telah dijual pada pasaran tempatan, manakala lebih empat juta dieksport keluar.

    Toyota Hilux Champ ini meneruskan legasi kerangka IMV berkenaan, dan ia diproduksi di kilang Samrong Toyota yang terletak di Wilayah Samut Prakan, Thailand.

     
     
  • Yamaha PG-1 diperkenal di Thailand – enjin 115 cc Fi

    Yamaha PG-1 diperkenal di Thailand – enjin 115 cc Fi

    Di Thailand, Yamaha membuat pra tonton awal untuk kapcai adventure baru yang dinamakan sebagai PG-1 kepada para media serta jemputan khas di sana. Model ini akan dipertontonkan kepada orang awam secara rasmi semasa acara Thailand Motor Expo yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari lagi di Bangkok.

    Motosikal ini dipacu oleh enjin satu silinder 115 cc SOHC penyejukan udara, suntikan bahan api, yang dikatakan sama seperti model Finn di sana, dan digabungkan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan. Tiada penendang kaki pada enjin ini, dan ia cuma boleh dihidupkan menggunakan butang elektrik di bahagian pemegang.

    Sebagai sebuah motosikal yang dijadikan untuk lebih lasak berbanding kapcai biasa, PG-1 dipasang dengan suspensi yang lebih tinggi, terdiri daripada fork teleskopik dengan sarung getah di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Ia kemudiannya dilengkapi dengan rim spoked 17 inci yang dibalut berbunga lebih tebal dan kasar berbanding biasa, serta pemegang dan ekzos yang lebih tinggi. Brek terdiri daripada jenis cakera di hadapan dan dram di belakang, manakala meter masih adalah unit analog dengan lampu kedudukan gear, kelajuan, tahap bahan api serta lampu amaran lain.

    Tempahan untuk PG-1 sudah dibuka di negara jiran itu dan pembeli juga boleh mendapatkan pelbagai aksesori untuk menjadikan motosikal mereka lebih ranggi dan lasak seperti pelindung enjin, pelindung tangan, rak barangan hadapan dan belakang, pelindung ekzos, fender jenis tinggi serta tempat letak nombor plet.

     
     
  • Harga BMW di Malaysia naik 1% ke 2% bermula Januari 2024, pakej servis MINI naik 0.3% ke 0.5%

    Harga BMW di Malaysia naik 1% ke 2% bermula Januari 2024, pakej servis MINI naik 0.3% ke 0.5%

    Sekiranya bercadang untuk membeli kereta BMW atau MINI, anda masih ada masa dalam satu bulan sebelum ia menjadi sedikit mahal. Ini kerana BMW Group Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka merujuk kembali harga model daripada dua jenama ini bermula 1 Januari 2024.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu memberitahu, “atas sebab kadar inflasi global dan peningkatan kos pengeluaran, kemas kini harga sekitar 2.3% (termasuk BSRI) dan 0.3% (termasuk MSRI) akan dilaksanakan untuk barisan kenderaan BMW dan MINI di Malaysia, bermula 1 Januari 2024.”

    Syarikat itu menyatakan bahawa demi mengekalkan jaminan serta program penyelenggaraan terbaik di dalam kelasnya, harga pakej BMW dan MINI Service and Repair Inclusive (BSRI/MSRI) akan berhadapan dengan peningkatan ini bermula dari tarikh yang dinyatakan, sekaligus menyumbang kepada peningkatan harga keseluruhan kereta.

    Harga BMW di Malaysia naik 1% ke 2% bermula Januari 2024, pakej servis MINI naik 0.3% ke 0.5%

    BMW Group Malaysia turut menambah bahawa dalam bagi model BMW, pembeli boleh menjangkakan kenaikan harga keseluruhan antara 1% ke 2% tidak termasuk BSRI di Malaysia. Sehingga kini, harga akhir masih belum didedahkan, tetapi kami akan menyiarkannya sebaik ia diumumkan.

    Untuk MINI pula, barisan model yang ditawarkan di Malaysia tidak akan menerima sebarang perubahan harga, tetapi peningkatan untuk kadar MSRI 2024 akan dikenakan untuk semua model MINI, dengan peningkatan yang dijangka antara 0.3% ke 0.5%.

    Terma Service and Repair Inclusive yang digunakan oleh syarikat itu merujuk kepada program servis (minyak hitam, penapis, pad brek dll) serta baik pulih. Ia sekarang secara rasminya dikenali sebagai pakej jaminan dan servis BMW, yang memberikan jaminan tanpa had batuan lima tahun dan servis lima tahun atau 100,000 km apabila dipanjangkan.

     
     
  • M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi

    M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi

    Kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, jangka masa itu akan membolehkan pihak berkuasa memastikan subsidi disampaikan dengan cara yang disasarkan kepada “mereka yang paling memerlukannya,” laporan FMT.

    “Mengetepikan isu mengenai pertindihan membolehkan kerajaan mengambil langkah yang tegas daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) di Tun Razak Exchange (TRX) hari ini.

    Tambahnya, memperkenalkan subsidi juga akan membolehkan Putrajaya mengoptimumkan sumbernya. Selain itu, kerajaan perlu mencari cara baharu untuk menguruskan sumbernya dengan lebih baik di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran, dan subsidi petrol RON 95 yang disasarkan adalah selaras dengan usaha ini.

    M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi

    Katanya lagi, sebuah negara apabila T20 menerima 53% daripada subsidi bahan api yang menyeluruh bukan satu model yang mampan dan juga bukan sebuah model yang saksama. “Satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah menangani ketidakcukupan hasil kita dengan meningkatkan kutipan cukai. Membelanjakan lebih banyak wang daripada yang kita miliki tidak pernah kondusif kepada keadaan yang dinamik dan mampan,” tambahnya.

    Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

    Jelasnya, mulai tahun depan akan memperlihatkan usaha kerajaan kepada pelaksanaan dasar dan dengan penubuhan Pangkalan Data Utama (PADU) pada Januari 2024 memberikan akses kepada data granular yang diperlukan untuk melaksanakan program bersasar seperti rasionalisasi subsidi atau reformasi kebajikan sosial.

    Sudah tentu petrol bukan satu-satunya bahan api yang akan mempunyai mekanisme subsidi yang disasarkan. Malah ia juga akan melibatkan diesel secara berperingkat, seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024. Menurut PM, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barang dan logistik, manakala pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

     
     
  • Bas percuma Pavilion Bukit Jalil kini tambah destinasi ke Astro dan Technology Park Malaysia – Rapid KL

    Perkhidmatan bas percuma ke Pavilion Bukit Jalil (PBJ) yang dikendalikan oleh Rapid KL kini telah menambah destinasi iaitu ke Astro dan Technology Park Malaysia (TPM). Bas berkenaan beroperasi dari jam 11.30 pagi hingga 8.45 malam pada Isnin hingga Jumaat.

    Menurut Rapid KL, perkhidmatan bas percuma ini menyasarkan penumpang yang bekerja di lokasi berkenaan. Selain itu, bas berkenaan juga turut singgah di stesen LRT Awan Besar. Jadi, anda yang berada di PBJ atau mahu ke pusat membeli-belah terbabit, juga boleh menaiki bas percuma ini untuk ke/dari stesen LRT Awan Besar.

    Walau bagaimana pun, waktu operasi yang melibatkan perjalanan ke/dari stesen LRT Awan Besar ke/dari PBJ ialah dari jam 8 pagi hingga 11 malam pada hari biasa, dan 8 pagi hingga 10.50 malam pada hujung minggu. Kekerapan bas adalah setiap 20 minit tetapi bergantung pada keadaan trafik di kawasan sekitar.

     
     
  • Razlan Razali keluar dari pengurusan RNF MotoGP – didesak sebab prestasi dan keputusan kewangan teruk

    Razlan Razali keluar dari pengurusan RNF MotoGP – didesak sebab prestasi dan keputusan kewangan teruk

    Selepas banyak khabar angin yang tersebar, pasukan MotoGP CryptoDATA RNF akhirnya mengesahkan bahawa Razlan Razali telah mengambil keputusan meninggalkan bahagian pengurusan pasukan. Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan, keputusan Razlan dikatakan “telah dibuat sejak satu bulan yang lalu atas tekanan yang diberikan oleh pemegang saham berikutan prestasi dan keputusan kewangan yang teruk.”

    Pasukan RNF bagaimanapun masih lagi dimiliki 60% oleh CDT Sports and Media SRL, dan 40% oleh Razlan Razali. Berita berkenaan penarikan diri Razlan ini bagaimanapun terletak di perenggan akhir siaran akhbar tersebut, sementara di atasnya terdapat pelbagai penjelasan berkaitan beberapa perkara lain pasukan itu.

    Antaranya adalah pasukan mempunyai kontrak penyertaan MotoGP sehingga tahun 2026 dan tiada sebarang notis pelanggaran atau pembatalan kontrak dibuat. Kemudiannya bagi hubungan dengan Aprilia, RNF menyatakan mereka tiada sebarang hutang dan segala bayaran yang tertangguh sudah diselesaikan sejak awal tahun ini.

    “Spekulasi berkenaan kualiti alat ganti untuk motosikal yang dibekalkan oleh Aprilia mempunyai kaitan dengan hutang ini adalah tidak betul,” kata RNF dalam siaran akhbarnya yang turut menyatakan segala aktiviti dibuat mengikut rancangan serta aturan kontrak dengan pembekal.

     
     
  • Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

    Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

    Sebelum ini ada slaid pembentangan yang menunjukkan perbezaan spesifikasi setiap varian Proton S70 yang bakal dilancarkan petang esok, 28 November 2023. Menerusi perkongsian spesifikasi lengkap yang nampak seperti dari brosur rasmi oleh pengguna laman sosial bernama Zheng Feng Yap di paultan.org Facebook Group, perincian sepenuhnya sedan segmen-C baharu Proton ini telah pun terdedah sepenuhnya.

    Untuk anda yang mahukan Proton S70 dengan harga paling murah, varian paling rendah 1.5T Executive datang dengan rim aloi 16-inci dengan tayar 205/55R16 serta perincian asas seperti lampu hadapan halogen tanpa sistem menyala sendiri, cermin sisi tanpa auto-lipat, serta tiada sistem kunci auto dan bar lampu pada penutup but belakang.

    Pada bahagian dalaman pula, model paling asas ini juga cuma diberikan panel meter analog, roda stereng urathene tanpa sebarang balutan, tempat duduk pemandu larasan manual, tiada perehat tangan tengah, pendingin hawa manual, upholsteri fabrik serta tiada pilihan mod Normal, Sport dan Comfort untuk stereng.

    Untuk sistem infotaimen pula, varian 1.5T ini masih menerima skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan hubungan telefon pintar dan Bluetooth serta empat pembesar suara, tetapi tidak diberikan kamera undur dan penderia parkir hadapan.

    Klik untuk besarkan

    Walau bagaimanapun, versi paling murah ini masih menerima penghidup enjin jarak jauh, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Eco, Sport, Comfort), liang penghembus udara kabin belakang, cruise control,lampu nyalaan siang LED dan fungsi auto pada semua cermin tingkat tetapi tanpa sistem anti-trap.

    Manakala untuk fungsi keselamatan pula, Proton S70 paling mampu milik ini masih diberikan tiga penderia undur di belakang, enam-beg udara, sistem brek dengan ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan traction, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, bantuan mula mendaki serta fungsi-fungsi kelematan aktif seperti amaran pelanggaran belakang, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan amaran buka pintu.

    Beralih kepada varian 1.5T Premium, ia mula menerima lampu hadapan LED automatik, bar lampu merentangi but belakang, cermin sisi auto-lipat, roda stereng dan tempat duduk balutan leatherette, sistem penghawa dingin automatik, cermin tingkap dengan fungsi anti-trap, kamera undur dan tambahan dua penderia parkir hadapan. Perincian lain masih lagi sama seperti 1.5T Executive.

    Varian 1.5 Flagship pula adalah varian hampir lengkap dengan semua perincian paling mahal ditawarkan. Menerusi varian ini ia ditingkat taraf dengan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17 serta sistem kunci but automatik sekiranya kunci dekat dengan kereta.

    Klik untuk besarkan

    Masuk ke kabin, ia diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, manakala pemandu menerima mod pilihan talaan stereng, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.3-inci dan tempat duduk pemandu larasan kuasa.

    Bagi sistem infotaimen, model Flagship ini menerima enam pembesar suara serta skrin sesentuh lebih besar bersaiz 12.3-inci. Skrin tersebut memberikan fungsi seperti arahan suara “Hi, Proton”, navigasi, ramalan cuaca dan streaming muzik atas talian menerusi sistem 4G dan wi-fi bina dalam.

    Aplikasi telefon pintar Proton Link juga boleh dihubungkan pada S70 yang memberikan fungsi seperti pemantau status kenderaan serta kawalan jauh pelbagai sistem pada kereta. Ia juga datang dengan sistem pemantau angin tayar dan juga kamera pemantau 360 darjah dengan paparan 3D.

    Sistem bantuan pemanduan penuh diberikan pada varian ini merangkumi fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, cruise control adapatif pintar dengan fungsi stop & go serta kawalan stereng, kawalan kekal di tengah lorong dengan amaran keluar jalan, pengenal tanda trafik jalan serta lampu tinggi pintar.

    Tidak banyak perbezaan diberikan pada varian 1.5T Flagship ini dengan varian tertinggi 1.5T Flagship X. Bagi anda yang membeli S70 paling mahal ini, ia hanya menerima tambahan perincian seperti bumbung suria, dan perakam video digital (dashcam). Proton juga menawarkan warna badan eksklusif Quartz Black hanya pada varian Flagship X ini.

    Dengan pelbagai perincian tambahan yang diberikan untuk varian lebih tinggi menjadikan S70 1.5T Executive merupakan varian paling ringan dengan berat keseluruhan ditimbang pada 1,300 kg. Manakala varian paling mahal 1.5T Flagship X pula adalah 19 kg lebih berat dengan 1,319 kg.

    Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

    Masih tiada sebarang petunjuk rasmi dari Proton berkenaan harga jualan bagi keempat-empat varian Proton S70 ini, dan ia hanya akan diketahui ketika pelancarannya esok. Namun ada penganalisis menjangkakan varian asas S70 1.5T Executive mungkin akan dijual lebih murah dari Honda City dan Toyota Vios iaitu di bawah RM85,000.

    Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton dua minggu lalu di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton S70 Flagship dan Flagship X 2023

     
     
  • JPJ keluarkan 23,748 saman memandu tanpa lesen, 17,447 cukai jalan tamat tempoh dalam operasi 14 hari

    JPJ keluarkan 23,748 saman memandu tanpa lesen, 17,447 cukai jalan tamat tempoh dalam operasi 14 hari

    Satu lagi operasi besar-besaran yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membawa kepada penemuan banyak kesalahan trafik, dengan yang paling tinggi adalah memandu tanpa lesen.

    Menurut pengarah kanan bahagian penguatkuasaan JPJ, Datuk Lokman Jamaan, 23,748 sama dikeluarkan untuk kesalahan tersebut semasa Ops Patuh Bersepadu 2023 yang diadakan di seluruh negara selama 14 hari, berakhir Jumaat lalu. Sepanjang dua minggu operasi, JPJ telah memeriksa 554,372 buah kenderaan.

    Cukai jalan tamat tempoh adalah kesalahan kedua tertinggi, dengan 17,447 saman dikeluarkan, lapor The Star. Lokman turut menambah bahawa 13,857 saman dikeluarkan untuk kesalahan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans.

    Pelbagai notis lain turut dikeluarkan termasuk kesalahan teknikal (12,191), tiada lesen vokasional (4,902) dan kenderaan melebihi muatan (2,329). Menyatakan kebanyakan pesalah adalah berumur antara 15 ke 35 tahun, Lokman turut menambah bahawa jabatan juga mengambil tindakan terhadap 4,797 warga asing atas pelbagai kesalahan trafik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025