Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis kini buru pesalah trafik warga asing di pintu sempadan negara, tuntut bayaran saman tertunggak

    Polis kini buru pesalah trafik warga asing di pintu sempadan negara, tuntut bayaran saman tertunggak

    Bagi memburu warga-warga asing yang mempunyai saman trafik tertunggak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalankan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing di setiap pintu sempadan Malaysia untuk mengelakkan mereka meninggalkan negara ini tanpa menjelaskan saman yang dikenakan.

    Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM (JSPT), DCP Dato’ Mohd Nasri Omar dalam laporan Utusan Malaysia, tumpuan operasi tersebut bukan hanya di pintu-pintu sempadan, malah ia turut dilakukan oleh JSPT melalui operasi sekatan jalan raya di seluruh negara.

    “Daripada 23,247 saman yang dianggarkan bernilai RM6.97 juta bagi tahun 2022 hingga Ogos lalu, kira-kira 3,881 notis saman yang telah diselesaikan.

    “Pelbagai usaha dilakukan antaranya menugaskan pegawai dan anggota trafik di pintu sempadan negara bagi membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya melibatkan warga asing.

    Polis kini buru pesalah trafik warga asing di pintu sempadan negara, tuntut bayaran saman tertunggak

    “Sekiranya kita (JSPT) dapat mengesan, mereka (pesalah jalan raya) akan diberikan amaran bagi melangsaikan tunggakan saman,” katanya.

    Mohd Nasri turut menjelaskan warga asing yang melakukan kesalahan trafik ini turut boleh dikesan melalui nombor pendaftaran kereta dan maklumat pasport yang didaftarkan di kaunter Jabatan Imigresen. Menurut beliau lagi, warga asing boleh menjelaskan tunggakan saman mereka dipintu masuk negara (imigresen) dan juga menggunakan aplikasi MyBayar PDRM.

    Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini menyatakan bahawa polis merekodkan 4,862 saman trafik terhadap pemandu warga asing sejak Januari sehingga Ogos tahun ini. Beliau menjelaskan daripada jumlah itu sebanyak 2,720 saman yang direkodkan adalah K170A iaitu notis di kenderaan, manakala sebanyak 2,142 saman pula adalah K257 iaitu notis yang diserahkan secara langsung kepada pesalah trafik.

    Polis kini buru pesalah trafik warga asing di pintu sempadan negara, tuntut bayaran saman tertunggak

    “Setakat ini 71 peratus saman atau 1,703 saman sudah diselesaikan pesalah trafik manakala baki sebanyak 3,159 saman masih belum diselesaikan,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Ayob menjelaskan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing sudahpun bermula lebih seminggu lalu bagi mengutip jumlah saman yang belum diselesaikan tersebut.

    “Pemandu warga asing ini kita hanya keluarkan saman (kesalahan lalu lintas) dan kalau ada kesalahan lain seperti tiada dokumen, itu kita akan ambil tindakan,” katanya.

    Menurutnya lagi sepanjang tahun lalu sebanyak 18,385 saman terhadap pemandu warga asing dikeluarkan iaitu sebanyak 15,221 saman K170A dan 3,164 saman K257. Beliau turut menambah hanya enam peratus daripada keseluruhan saman K170A yang diselesaikan pesalah trafik warga asing manakala 40 peratus saman K257 diselesaikan pesalah terbabit.

     
     
  • Aplikasi MyJPJ bakal menyediakan semua urusan berkaitan JPJ sepenuhnya menjelang 2025

    Aplikasi MyJPJ bakal menyediakan semua urusan berkaitan JPJ sepenuhnya menjelang 2025

    Semua urusan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM), akan disediakan menerusi aplikasi MyJPJ, dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada 2025.

    Buat setakat ini, pengguna MyJPJ hanya boleh mengakses beberapa perkhidmatan, termasuk menyemak lesen memandu dan cukai jalan, semakan saman trafik dan semakan mata demerit, serta nombor pendaftaran kenderaan terkini.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Rospiagos Taha, sasaran berkenaan adalah selaras dengan hasrat jabatan berkenaan ke arah pendigitalan sepenuhnya, namun ia bergantung kepada kekuatan sistem dibangunkan dalam aplikasi MyJPJ, Bernama.

    Tambahnya, buat masa ini, sistem berkenaan masih dalam proses interim dan sedang melaksanakan projek perintis bagi urusan pembaharuan LKM dan lesen memandu dalam kalangan warga JPJ bagi menilai tahap kestabilan sistem yang dibangunkan menerusi aplikasi itu.

     
     
  • Toyota rangkul juara pengeluar WRC 2023; tahun ketiga berturut-turut, gelaran ketujuh keseluruhan!

    Toyota rangkul juara pengeluar WRC 2023; tahun ketiga berturut-turut, gelaran ketujuh keseluruhan!

    Toyota telahpun mengesahkan gelaran juara kategori pengeluar untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2023 di Rally Chile hujung minggu lalu walaupun masih ada dua pusingan berbaki untuk musim ini. Ini membolehkan gergasi automotif Jepun berkenaan mempertahankan gelaran tersebut sejak 2021, dan yang ketujuh termasuk yang dirangkul pada 1993, 1994, 1999, dan 2018!

    Rally Chile 2023 yang berlangsung bermula pada 28 September dan berakhir pada 1 Oktober lalu merupakan pusingan ke-11 dalam kalender WRC musim ini. Ia dimenangi oleh pemandu Ford dari Estonia, Ott Tänak dan diikuti oleh pelumba Belgium yang memandu untuk pasukan Hyundai, Thierry Neuville.

    Ketiga-tiga kereta pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing (TGR-WRT) berjaya menamatkan Rally Chile dalam kelompok lima teratas dengan kedudukan terbaik dicapai oleh pemandu Wales, Elfyn Evans yang menduduki tangga ketiga. Juara WRC tahun lalu, Kalle Rovanperä menamatkan rali ini di kedudukan keempat diikuti pemandu dan satu-satunya pemandu Toyota dari Jepun Takamoto Katsuta di tempat kelima.

    Rovanperä dan Evans menambah kutipan mata dengan menamatkan SS Power Stage dalam kedudukan 1-2, membolehkan Toyota kekal di tempat pertama dalam kategori keseluruhan, dan secara matematik tiada pasukan lain boleh memintas jumlah mata berkenaan dalam dua lagi pusingan yang akan berlangsung di Central Europe Rally bulan ini dan Rally Japan November nanti.

    Toyota rangkul juara pengeluar WRC 2023; tahun ketiga berturut-turut, gelaran ketujuh keseluruhan!

    Gelaran juara dunia untuk WRC 2023 belum lagi dapat disahkan, namun ia turut akan menjadi milik Toyota kerana dua pemandu pasukan tersebut kini berada di kedudukan pertama dan kedua dengan Rovanperä mengutip 217 mata, diikuti Evans dengan 186 mata. Neuville berada di tempat ketiga dengan kutipan mata agak jauh tertinggal iaitu 155 mata.

    “Saya sangat gembira dengan bagaimana rali ini berakhir untuk kami. Ia bukanlah yang paling mudah kerana hari Sabtu adalah hari yang sangat mencabar, dan pagi ini kami fikir sukar untuk menaiki podium. Tetapi ia menunjukkan bahawa dalam rali anda hanya perlu bersabar dan teruskan sehingga akhir, kerana ia sentiasa boleh membawa kejutan. Saya sangat berbangga dengan pasukan dan krew untuk semua kerja yang telah kami lakukan sepanjang musim ini,” kata prinsipal pasukan TGR-WRT, Jari-Matti Latvala

    “Memenangi gelaran pengeluar dua pusingan sebelum akhir musim adalah yang paling awal kami pernah capai dengan TGR-WRT. Persaingan adalah sukar dan kemampuan kereta hampir sama, tetapi saya fikir kami telah membuat perbezaan atas faktor ketahanan kami dan membawa pulang kereta tanpa masalah, seperti yang kami lakukan di sini. Kini kami teruja untuk melihat mana antara dua krew kami yang bertarung untuk gelaran pemandu dan juruarah akan berjaya dalam dua pusingan terakhir,” tambahnya lagi.

     
     
  • Pusat 3S Isuzu Temerloh telah dilancarkan

    Pusat 3S Isuzu Temerloh telah dilancarkan

    Isuzu Malaysia baru sahaja melancarkan pembukaan cawangan Pusat 3S Isuzu Temerloh, Pahang, yang telah dipertingkatkan. Pusat 3S yang dikendalikan oleh Pacific Motor Sdn Bhd ini menampilkan identiti korporat Isuzu Malaysia yang terbaharu serta menyediakan kemudahan jualan dan lepas jualan untuk memenuhi keperluan pelanggan Isuzu yang jumlahnya semakin bertambah di sekitar kawasan berkenaan.

    Dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe, yang turut berkata pihaknya yakin dengan adanya kemudahan baharu tersebut yang sarat dengan ciri moden dan lengkap ini mampu memenuhi keperluan pelanggan, baik yang sedia ada atau untuk tahun-tahun ke hadapan.

    “Isuzu telah menembusi pasaran Malaysia dengan cara tersendiri, tidak hanya berkaitan jualan tetapi juga dalam membangun reputasi kami sebagai sebuah jenama yang mementingkan penawaran kenderaan berkualiti tinggi, yang boleh diharap serta inovatif.

    “Pembukaan kemudahan baharu yang dipertingkatkan seperti di Pusat 3S Isuzu Temerloh ini akan memperkukuhkan lagi sasaran kami untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan dengan jaminan untuk menepati setiap daripada jangkaan mereka,” kata Okazoe.

    Pusat 3S Isuzu Temerloh telah dilancarkan

    Pusat 3S Isuzu Temerloh meliputi kawasan seluas 7,000 meter persegi, membolehkannya memuatkan semua lori dan trak Isuzu yang datang untuk penyelenggaraan. Ia juga menyediakan enam ruang servis yang ada mampu mempercepatkan kitaran temujanji pelanggan, sekaligus membolehkan mereka mendapat semula kenderaan dengan cepat dan berlapang fikiran kerana mengetahui kenderaan Isuzu mereka sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.

    Fasiliti baharu ini turut menyediakan ruang menunggu yang selesa, lengkap dengan hidangan ringan sambil pelanggan boleh juga mendekati model Isuzu D-Max terbaharu dalam ruang pameran nyaman berpenghawa dingin serta memanfaatkan panel maklumat digital yang mesra alam. Bagi mereka yang mencari lori untuk membantu perniagaan pula, perunding berpengalaman sentiasa bersedia membantu.

    Pahang kekal menjadi lokasi strategik dan penting untuk Isuzu Malaysia dalam membantu trak Isuzu mendominasi 72% pasaran sejak Januari hingga Julai tahun ini, menjadikannya negeri No. 1 bagi perkongsian pasaran oleh syarikat. Jualan bagi model generasi ketiga Isuzu D- Max meningkat naik sebanyak 7.2% antara Januari dan Ogos tahun ini, menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak 24.4%.

    Pusat 3S Isuzu Temerloh terletak di Bangunan Tanjung Keramat, Batu 1 Jalan Mentakab dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

     
     
  • Kereta lumba Toyota Vios NGC102 2023 untuk Vios Challenge didedah – 1.5L NA, 5MT, LSD, rollcage DLL

    Kereta lumba Toyota Vios NGC102 2023 untuk Vios Challenge didedah – 1.5L NA, 5MT, LSD, rollcage DLL

    Selepas dilancarkan untuk pasaran Malaysia Mac lalu, Toyota Vios generasi keempat yang dikenali dengan kod casis NGC102 kini sudahpun dijelmakan sebagai kereta lumba untuk siri perlumbaan one make Vios Challenge dalam Festival Pelumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia.

    Kereta ini membuat kemunculan sulungnya di Litar Antarabangsa Sepang hari ini sempena pusingan ketiga (yang juga terakhir) Vios Challenge Malaysia musim ke-enam. Ia sudahpun digunakan oleh sembilan pelumba selebriti yang berlumba dalam kategori Promotional untuk pusingan kali ini, dan bakal digunakan untuk semua peserta bagi semua kategori untuk Vios Challenge musim ke-7 tahun hadapan.

    Seperti kereta lumba generasi NCP150 sebelumnya, versi terbaharu ini turut diasaskan dari model produksi yang keluar dari kilang UMW Toyota di Bukit Raja, Shah Alam. Ia turut masih dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder Dual VVTi dengan isi perut yang masih standard, menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm

    Kereta lumba Toyota Vios NGC102 2023 untuk Vios Challenge didedah – 1.5L NA, 5MT, LSD, rollcage DLL

    Enjin tersebut disempurnakan dengan set ekzos perlumbaan lengkap dari merangkumi manifold, bahagian tengah, sehingga ke bahagian muffler.

    Namun istimewa untuk kereta lumba ini, ia tidak datang dengan transmisi CVT seperti model di bilik pameran kerana ia telah pun digantikan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Kotak gear ini digandingkan dengan set klac perlumbaan dan juga unit bagi memberikan cengkaman roda hadapan yang lebih baik ketika mengambil selekoh.

    Walau bagaimanapun, sembilan buah kereta lumba baharu yang digunakan oleh pelumba selebriti ini masih menggunakan kotak gear CVT dengan pedal penukar gear, dan ia kekal akan digunakan untuk kategori Promotional untuk musim depan, berbeza dengan kategori lain yang akan mengunakan kotak gear manual.

    Kereta lumba Toyota Vios NGC102 2023 untuk Vios Challenge didedah – 1.5L NA, 5MT, LSD, rollcage DLL

    Seperti yang diketahui, Vios NGC102 ini menggunakan kerangka baharu sepenuhnya, iaitu platform Daihasu New Global Architecture (DNGA) bagi menggantikan kerangka lama. Ia secara tidak langsung menjadikan kereta baharu ini lebih ringan, lebih tegar, trek roda yang lebih lebar dan juga faktor aerodinamik yang lebih baik.

    Walaupun kuasa enjin 2NR-VE ini lebih rendah dari 2NR-FE sebelumnya, kereta lumba baharu ini didakwa lebih pantas kerana menggunakan kerangka asas yang jauh lebih baik.

    “Penambahbaikkan pada casis ini secara dramatik mempertingkatkan pengendalian, menjadikan kereta ini lebih melekat di selekoh, lebih responsif terhadap input pemandu, dan mampu mencatatkan masa lap lebih pantas,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Kereta lumba ini turut menerima penambahbaikkan lain termasuk menggunakan set suspensi boleh laras, tower bar hadapan dan pad brek perlumbaan (masih menggunakan angkup asal). Versi yang digunakan pada kereta lumba kategori selebriti ini diasaskan dari Vios G, jadi ia dilihat menggunakan brek cakera di belakang bersama sistem brek parkir elektrik.

    Namun pada kenyataan media yang dikeluarkan, kereta lumba untuk kategori lain kelak akan diasaskan dari varian E, mungkin ia akan terus menggunakan brek dram di belakang bersama tuil brek manual. Untuk roda pula, ia dipadankan dengan set rim Enkei Tuning SC58 15-inci 7jj yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes TR1 bersaiz 195/55R15 yang sama boleh anda beli di kedai.

    Seperti biasa, ia turut menerima kelengkapan perlumbaan lain termasuk rollcage enam-point, tempat duduk bucket perlumbaan dengan tali pinggang keselamatan enam-point, sistem pemutus litar elektrik, pemadam api (kesemuanya menerima kelulusan FIA), sistem kamera perakam digital dan juga roda stereng perlumbaan tiga jejari berdiameter 350 mm.

    UMW Toyota mengumumkan kereta lumba ini sudahpun boleh dibeli sebelum bermulanya Vios Challenge musim ke-7, dijual pada harga insentif khas. Urusan pembelian kereta lumba ini dibuat oleh unit pengurusan perlumbaan UMWT, dan anda boleh menghubungi Janet di talian 016-3673300.

    GALERI: Gambar rasmi kereta lumba Toyota Vios NGC102

     
     
  • Polis keluarkan 4,862 saman trafik terhadap pemandu warga asing antara Januari-Ogos 2023 – Timbalan KPN

    Polis keluarkan 4,862 saman trafik terhadap pemandu warga asing antara Januari-Ogos 2023 – Timbalan KPN

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan sebanyak 4,862 saman ke atas pemandu warga asing sejak Januari sehingga Ogos 2023.

    Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang turut berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,720 saman membabitkan K170A iaitu notis yang diletakkan terus di kenderaan. Manakala 2,142 saman melibatkan K257 iaitu notis yang diserahkan secara langsung kepada pesalah trafik.

    Tambahnya, 1,703 saman sudah berjaya diselesaikan pesalah trafik terbabit manakala baki 3,159 saman belum diselesaikan, laporan Bernama.

    Beliau turut berkata, sejak minggu lalu, pihak PDRM juga telah mula melaksanakan Op Saman Tertunggak Warga Asing di Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak.

    “Operasi itu memfokuskan kepada warga asing yang terbabit kesalahan trafik dan tidak bayar saman. Pemandu warga asing ini kita hanya keluarkan saman (kesalahan lalu-lintas) dan kalau ada kesalahan lain seperti tiada dokumen, itu kita akan ambil tindakan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ayob berkata, sebanyak 18,385 saman ke atas pemandu warga asing dikeluarkan sepanjang tahun 2022 membabitkan 15,221 saman K170A dan 3,164 saman K257.

    Katanya, hanya 6% daripada keseluruhan saman K170A yang diselesaikan pesalah trafik warga asing manakala 40% saman K257 diselesaikan pesalah terbabit.

     
     
  • BMW R1300GS diperkenal – rombakan menyeluruh termasuk gaya, enjin, suspensi dan casis, 145 hp

    BMW R1300GS diperkenal – rombakan menyeluruh termasuk gaya, enjin, suspensi dan casis, 145 hp

    BMW R1300 GS akhirnya didedahkan secara rasmi dan menurut BMW Motorrad, ia adalah satu rekaan semula yang menyeluruh bagi motosikal mereka yang paling laris di dunia. Selain bentuk yang sangat berbeza, model baru ini juga melibatkan perubahan pada bahagian enjin, suspensi serta casisnya.

    Masih lagi menggunakan tetapan boxer-twin, enjin R1300 GS ini sekarang lebih kompak dengan kedudukan kotak gear diubah ke bawah enjin dan menggunakan tetapan camshaft baru. Enjin berkapasiti 1,300 cc ini mampu menghasilkan 145 hp pada 7,750 rpm dan tork 145 Nm pada 6,500 rpm, menjadikannya sebagai enjin boxer BMW paling berkuasa setakat ini.

    Berat R1300 GS adalah 12 kg lebih ringan berbanding R1250 GS, dengan mencatat jumlah keseluruhan 237 kg berbanding 249 kg bagi R1250 GS. Antara yang menjadi penyumbang kepada pengurangan berat ini adalah tangki bahan api aluminium serta rekaan suspensi serba baru.

    Di hadapan, R1300 GS menggunakan tetapan suspensi Evo Telelever, sementara di belakang pula Evo Paralever. Apabila digabungkan dengan kerangka yang lebih tegar dan rekaan aluminium tempa menggantikan trellis bagi subframe belakang, stabiliti serta pengendalian GS baru ini menjadi lebih baik.

    Sistem suspensi elektronik Dynamic Suspension Adjustment (DSA) disediakan sebagai pilihan tambahan, dan apabila dibandingkan dengan Dynamic ESA sebelum ini, ia menggabungkan pelarasan dinamik serapan hadapan dan belakang bersama pelarasan kadar spring. Pelarasan ini dapat dilakukan secara automatik sepanjang masa, termasuk apabila motosikal ditunggang sendirian, berdua ataupun dengan barang.

    Turut disediakan sebagai pilihan tambahan adalah kawalan tinggi adaptif serta suspensi sport. Melalui kawalan tinggi adaptif, penunggang akan mendapat pelarasan tinggi motosikal automatik bergantung kepada keadaan tunggangan, manakala suspensi sport pula memberikan tambahan jarak gerak sebanyak 20 mm di hadapan dan belakang – untuk yang mahu lebih keyakinan membelasah di jalan offroad.

    BMW R1300GS diperkenal – rombakan menyeluruh termasuk gaya, enjin, suspensi dan casis, 145 hp

    Penunggang boleh memilih empat mod tunggangan pada R1300 GS, iaitu Road, Rain, Eco dan Enduro. Penyampaian kuasa setiap mod adalah berbeza, dengan Road dan Rain adalah lebih lembut, Eco lebih ke arah penjimatan bahan api sementara Enduro menghasilkan penyampaian kuasa paling optium untuk tunggangan offroad.

    Pada bahagian reka bentuk, paling menarik perhatian adalah lampu hadapan, yang menggunakan unit LED matriks serta pencahayaan LED berbentuk X. Lampu penunjuk arah diletakkan pada penghadang tangan, sementara lampu belakang menggunakan unit bersepadu yang menggabungkan lampu serta penunjuk arah dalam satu unit. Pakej Headlight Pro memberikan fungsi lampu membelok.

    Sistem bantuan tunggangan yang dipanggil sebagai Riding Assistant pada motosikal ini juga agak lengkap dengan termasuk Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW) serta Lane Change Warning (SWW). Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat mengecas telefon dengan soket USB dan soket 12V, sistem kunci pintar Keyless Ride, cruise control dan bateri lithium ion.

    Selain versi asas, R1300 GS juga ditawarkan dalam versi Triple Black, GS Trophy serta Option 719 Tramuntana, dengan masing-masing mempunyai kemasan dan kelengkapan yang berbeza.

     
     
  • MRT, LRT untuk stesen terpilih beroperasi lebih awal pada 31/9, 1/10; tambang percuma untuk waktu terhad

    Khas untuk peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023, bagi memudahkan perjalanan ke lokasi acara larian ini, anda bakal diberikan tambang percuma bila menggunakan perkhidmatan LRT Laluan Ampang, Sri Petaling dan Kelana Jaya (KJ) dan MRT Laluan Kajang dan Putrajaya.

    Menurut Rapid Rail Sdn Bhd, perkhidmatan kedua-dua rel berkenaan akan beroperasi mulai jam 3.30 pagi pada Sabtu (30 September) dan mulai 1.30 pagi pada Ahad (1 Oktober), dengan selang perjalanan setiap 15 minit bagi LRT dan 20 minit untuk MRT.

    Manakala kadar tambang percuma akan diberikan dari jam 3.30 pagi hingga 6 pagi pada 30 September dan dari 1.30 pagi hingga 6 pagi pada 1 Oktober. Selepas jam 6 pagi, kadar tambang seperti biasa akan dikenakan.

    “Tren-tren kami hanya akan mengambil dan menurunkan para peserta di stesen-stesen yang terlibat sahaja. Stesen-stesen yang tidak terlibat hanya akan dibuka selepas jam 6 pagi iaitu mengikut waktu operasi biasa.

    “Ingin kami tekankan bahawa bayaran parkir adalah tertakluk kepada kadar semasa yang telah ditetapkan oleh pihak operator,” kata Rapid Rail dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Memandangkan banyak jalan di sekitar KL akan ditutup pada Sabtu dan Ahad ini, jadi lebih elok sekiranya anda menggunakan pengangkutan awam jika ada urusan di pusat bandaraya, terutamanya bagi peserta KLSCM 2023. Selain KLSCM 2023, pada hari yang sama juga Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 juga akan melabuhkan tirainya di KL dan melibatkan penutupan jalan.

     
     
  • Honda Prologue – spesifikasi SUV EV didedah, 288 hp/451 Nm untuk 2-motor AWD, jarak gerak 480 km

    Honda Prologue – spesifikasi SUV EV didedah, 288 hp/451 Nm untuk 2-motor AWD, jarak gerak 480 km

    Selepas hampir setahun rupa sebenarnya didedahkan, Honda kini mengumumkan pula spesifikasi sebenar SUV elektrik penuh (EV) Honda Prologue, iaitu produk pertama hasil kerjasama jenama Jepun itu bersama gergasi automotif Amerika Syarikat, General Motors.

    Seperti yang diketahui sebelum ini Prologue dihasilkan menerusi platform EV modular GM bersama teknologi bateri Ultium juga dari GM. Walau bagaimanapun, hanya versi AWD dengan dua motor elektrik diumumkan angka kuasa buat masa sekarang iaitu 288 hp dan tork maksima 451 Nm. Jumlah bekalan kuasa untuk versi motor tunggal yang hanya memacu roda hadapan hanya akan diumumkan selepas ini.

    Menurut Honda, kedua-dua versi berkenaan akan dibekalkan dengan bateri yang dianggar berkapasiti 85 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 480 km dengan sekali cas. Ia boleh dicas semula dengan pengecas pantas DC sehingga 155 kW, dan dengan cas selama 10 minit membolehkan jarak gerak bertambah sehingga 104 km.

    Honda Prologue – spesifikasi SUV EV didedah, 288 hp/451 Nm untuk 2-motor AWD, jarak gerak 480 km

    Seperti yang sudah didedahkan sebelum ini, Prologue dihasilkan dengan dimensi panjang 4,877 mm, lebar 1,989 mm, tinggi 1,643 mm dan jarak roda 3,094 mm. Jika dibandingkan dengan CR-V generasi keenam, ia adalah 183 mm lebih panjang, 125 mm lebih lebar, 38 mm lebih rendah serta mempunyai jarak roda 394 mm lebih jauh.

    Ia menyediakan ruang but dengan kapasiti 713 liter, dan sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40), Prologue memberikan ruang storan sehingga 1,633 liter. Tiga varian Prologue ditawarkan di Amerika Syarikat iaitu EX, Touring and Elite. Model EX dan Touring diberikan rim 19-inci dengan tayar 255/60ZR19, manakala varian Elite disarung dengan rim 21-inci bersama tayar 275/45R21.

    Manakala kesemua varian menerima kelengkapan standard seperti sistem bantuan pemandua Honda Sensing, lapan beg-udara, paparan instrumen pemandu dengan skrin 11-inci, skrin sesentuh utama 11.3-inci dengan Google terbina dalam, Android Auto dan Apple Carplay hubungan tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, empat port pengecas USB-C 3.0 A 45-watt (dua di hadapan dan bernyala, dua di belakang) dan pemanas untuk tempat duduk hadapan. Perisian-perisian utama untuk Prologue ini pula boleh dikemaskini secara over-the-air (OTA).

    Honda Prologue – spesifikasi SUV EV didedah, 288 hp/451 Nm untuk 2-motor AWD, jarak gerak 480 km

    Bagi varian EX, ia menerima upholsteri fabrik dengan serlahan kontra pada jahitan, tempat duduk hadapan larasan kuasa dan sistem pendingin hawa dua-zon. Varian Touring pula ditambah dengan upholsteri kulit, fungsi memori pada larasan tempat duduk pemandu, roda stereng balutan kulit, cermin pandang belakang auto-malap serta bantuan parkir hadapan dan belakang.

    Varian Touring dan Elite disertakan dengan bumbung suria panaromik yang boleh dibuka bersama pelindung cahaya yang boleh disorok, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan akses tanpa sentuh, serta sistem audio premium 12-pembesar suara dari Bose.

    Manakala hanya varian tertinggi Elite menerima tempat duduk dengan balutan kulit berliang dan pengalir udara di hadapan, pemanas roda stereng, paparan head-up serta mod pemanduan Sport.

    Honda Prologue – spesifikasi SUV EV didedah, 288 hp/451 Nm untuk 2-motor AWD, jarak gerak 480 km

    Ingat lagi skuter Motocompo yang disertakan pada Honda City hatchback generasi pertama? Motocompacto iaitu skuter elektrik EV yang boleh dilipat diletak pada ruang kargo 713 liter Prologue ini, tetapi ia tidak ditawarkan sebagai opsyen.

    Dengan Google Maps yang telah terbina bersama sistem infotainmen SUV ini membolehkan anda merancang perjalanan kerana sistem tersebut membolehkan ia memberikan cadangan stesen pengecas yang boleh disinggah dan juga masa mengecas yang diperlukan. Ia juga mempunyai sistem pra-kondisi yang mampu memberikan keadaan optimum pada bateri untuk mengurangkan masa menegcas sebelum sampai ke stesen pengecas pantas DC yang telah dipilih.

    Tempahan untuk Honda Prologue ini akan dibuka di Amerika Syarikat lewat tahun ini, dan penghantaran kepada pelanggan akan dibuat pada awal 2024. Honda menyatakan bahawa ia akan dijual pada harga bermula “dalam julat atas US$40,000 (RM187,600)”.

    GALERI: Honda Prologue

     
     
  • Bajet 2024: MAA cadang insentif baru perlu liputi semua kenderaan elektrikfikasi, bukan hanya BEV

    Bajet 2024: MAA cadang insentif baru perlu liputi semua kenderaan elektrikfikasi, bukan hanya BEV

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencadangkan bahawa insentif elektrifikasi yang bakal diberikan di bawah Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober nanti, perlu meliputi semua jenis kenderaan elektrifikasi (xEV) berbanding hanya untuk EV bateri (BEV) untuk merancakkan lagi usaha perluasan penggunaan EV di negara ini.

    Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain memaklumkan xEV, yang terdiri daripada kenderaan hibrid elektrik (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik fuel-cell (FCEV) juga merupakan pelanjutan kepada BEV, dan akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada segmen tersebut.

    “Pendekatan berperingkat, bermula dari HEV, adalah cara berkesan untuk beralih kepada kenderaan dengan enjin konvensional. Hibrid merupakan langkah pertama bagi penggunaa lebih meluas kenderaan elektrikfikasi,” ujarnya kepada Bernama.

    Bajet 2024: MAA cadang insentif baru perlu liputi semua kenderaan elektrikfikasi, bukan hanya BEV

    Beliau juga berkata, MAA berharap bahawa insentif sedia ada berupa rebat RM2,500 dan juga pengecualian cukai jalan bagi EV akan diperluas kepada xEV lain bagi kategoti kenderaan penumpang dan komersial. MAA juga mencadangkan yang pelepasan cukai pendapatan peribadi perlu diberikan ke atas pembelian xEV, begitu juga dengan pemasangan panel solat di rumah. “Ia akan menyokong lagi campuran tenaga yang digunakan, dan menjadikan tenaga boleh diperbaharui akan menyumbang 17% daripada keseluruhan sumber tenaga menjelang 2040,” katanya.

    Berkaitan pengecualian duti import dan eksais, MAA menghargai langkah kerajaan untuk melanjutkan pengecualian tersebut bagi tempoh dua tahun, bagi BEV CBU sehingga 2025 dan BEV CKD sehingga 2027, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

    Bagaimanapun, persatuan itu merasakan tempoh insentif berkenaan yang diberikan untuk perniagaan adalah agak singkat. Beliau menjelaskan, industri automotif sangat bergantung kepada modal, dan perancangan perniagaan biasanya dalam jangka masa panjang.

    Bajet 2024: MAA cadang insentif baru perlu liputi semua kenderaan elektrikfikasi, bukan hanya BEV

    “Tempoh insentif yang diberikan untuk syarikat automotif haruslah dalam jangka masa panjang, dan kami alu-alukan perundingan dengan pihak berkepentingan dan MAA untuk menentukan jangka masa insentif yang sesuai. Ini akan membolehkan kedua-dua pengedar tempatan dan syarikat induk luar negara untuk mengkaji, menyediakan dan merangka pelan pelaburan jangka panjang yang menyeluruh untuk pasaran Malaysia,” tambahnya.

    Dasar jangka panjang juga akan membantu membangunkan keyakinan pelabur luar, jelasnya. “Dasar jangka pendek atau yang mengejut sifatnya akan menyukarkan syarikat untuk merangka pelan dan menilai kebolehlaksanaan perniagaan, terutama dalam memperkenalkan teknologi baru dan kenderaan lebih canggih untuk pasaran tempatan,” jelasnya.

     
     
  • BMW i5 G60E – spesifikasi didedah dalam laman web BMW Malaysia, varian eDrive40 dan M60 xDrive

    BMW i5 G60E – spesifikasi didedah dalam laman web BMW Malaysia, varian eDrive40 dan M60 xDrive

    Empat bulan selepas BMW i5 didedahkan kali pertama kepada dunia, kini BMW Malaysia mendedahkan perincian awal untuk sedan elektrik tersebut. Pendaftaran minat telah dibuka sebelum ini, dan sekarang kita dapat menjangkakan apa yang akan tiba di pasaran tempatan.

    Berkenaan varian, ada dua yang diletakkan dalam senarai iaitu eDrive40 dan versi prestasi M60 xDrive. Kedua-duanya menggunakan bateri lithium ion tetapi eDrive40 datang dengan tetapan motor elektrik tunggal untuk memacu roda belakang sementara M60 xDrive menggunakan tetapan dua motor dan pacuan empat roda.

    Setiap penggerak ini mempunyai jumlah kuasa berbeza, tetapi ia boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih. Berikut adalah perincian setiap varian i5.

    BMW i5 eDrive40

  • Kuasa motor elektrik: 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 400 Nm
  • Kuasa motor elektrik dalam My Mode Sport dan fungsi Sport Boost/Launch Control diaktifkan: 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 430 Nm
  • Kapasiti bateri: 81.2 kWh
  • Jarak gerak: 497 hingga 582 km
  • 0-100 km/j: Enam saat
  • Laju maksimum: 193 km/j
  • BMW i5 G60E – spesifikasi didedah dalam laman web BMW Malaysia, varian eDrive40 dan M60 xDrive

    BMW i5 M60 xDrive

  • Kuasa motor elektrik: 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan 795 Nm
  • Kuasa motor elektrik dalam My Mode Sport dan fungsi Sport Boost/Launch Control diaktifkan: 601 PS (593 hp or 442 kW) dan 820 Nm
  • Kapasiti bateri: 81.2 kWh
  • Jarak gerak: 455 ke 516 km
  • 0-100 km/j: 3.8 saat
  • Laju maksimum: 230 km/j
  • BMW i5 G60E – spesifikasi didedah dalam laman web BMW Malaysia, varian eDrive40 dan M60 xDrive

    Untuk pengecasan, Kedua-dua i5 ini boleh menerima input AC maksimum sehingga 11 kW, dengan cas penuh dari kosong boleh dilakukan dalam masa empat jam 15 minit untuk eDrive40 dan empat jam 25 minit untuk M60 xDrive. Kapasiti mengecas DC maksimum kedua-duanya adalah sama, iaitu 205 kW, dengan tahap 10-80% dapat dicapai dalam masa cuma 30 minit.

    Pada bahagian penetapan spesifikasi, pengguna boleh memilih pelbagai pakej penampilan, warna, rim, balutan dalam serta kemasan untuk kereta ini. Di bawah lagi, antara kelengkapan yang tertulis adalah gril kidney Iconic Glow, Dynamic Light Carpet, bumbung panoramik, BMW Interaction Bar, sistem bunyi Bowers & Wilkins 18 pembesar suara, BMW Curved Display dengan BMW Live Cockpit Professional, permainan AirConsole dan Driving Assistant Professional.

    BMW i5 eDrive 40 G60

    BMW i5 M60 xDrive G60

     
     
  • Penyelidik jangka sebahagian kumpulan M40 mungkin tak layak terima subsidi bersasar untuk bahan api

    Penyelidik jangka sebahagian kumpulan M40 mungkin tak layak terima subsidi bersasar untuk bahan api

    Sebahagian dari mereka yang tergolong dalam kumpulan M40 dijangka tidak akan menerima subsidi bersasar untuk bahan api yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama lagi, dan boleh menyebabkan kuasa membeli golongan berkenaan berkurang, kata bahagian penyelidikan Kenanga Investment Bank iaitu Kenanga Research.

    Perkara ini disebut dalam laporan Kenangan Research yang diterbitkan Rabu lalu, di mana ia juga menjangkakan kerajaan akan mengumumkan subsidi bersasar ini pada pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober nanti, manakala pelaksanaanya akan menggantikan sistem harga siling sedia ada dan bakal mula digunakan pada 2024.

    Laporan itu menyatakan sebab utama langkah tersebut bakal dilaksanakan oleh kerajaan adalah kerana beban kewangan yang tidak mampan jika subsidi diberikan menerusi kaedah harga siling sedia ada, di mana 35% dari RM77.3 bilion subsidi bahan api ini telah dimanfaatkan oleh kumpulan T20 yang lebih kaya pada 2022.

    kerajaan berhasrat untuk mengenal pasti penerima menggunakan kriteria ‘pendapatan boleh guna bersih’, dengan sasaran untuk mengecualikan sebahagian besar demografi T20 menggunakan pangkalan data sosio-ekonomi Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan berintegrasi dengan data dari pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tulis laporan itu lagi.

    Penyelidik jangka sebahagian kumpulan M40 mungkin tak layak terima subsidi bersasar untuk bahan api

    Walau bagaimanapun, Kenanga Research percaya bahawa sebahagian besar kumpulan M40 berkemungkinan masih akan terlepas dari menerima sistem subsidi bahan api yang disasarkan, mungkin mengakibatkan pendapatan boleh guna yang lebih rendah dan mengurangkan kuasa perbelanjaan bagi kumpulan itu.

    Namun, laporan ini menambah bahawa kumpulan B40 akan terus menikmati bahan api bersubsidi sepenuhnya, dan oleh itu mereka tidak akan menghadapi sebarang pengurangan dalam kuasa perbelanjaan. “Selain itu, kumpulan itu akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan, termasuk pemberian wang tunai,” tambah Kenanga Research.

    Rangka masa rancangan pelaksanaan program subsidi bersasar yang disebut dalam laporan penyelidikan ini adalah selari dengan itu apa yang dinyatakan oleh menteri ekonomi Rafizi Ramli, yang sebelum ini ada menyebut bahawa kerajaan dijangka akan melaksanakannya pada awal tahun depan.

    Mekanisme program ini masih belum diperincikan, tetapi kerajaan berkata ia sedang meneroka pelbagai cara untuk melaksanakan subsidi bersasar tersebut, termasuk menggunakan sistem ID dan yang terbaru, ia mungkin akan menggunakan aplikasi MySejahtera.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VLJ dan QAB_H dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VLJ, mula dibuka bidaan hari ini, 29 September 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 3 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 4 Oktober 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QAB_H, bidaannya pula dibuka mulai esok, 30 September dan akan berakhir jam 10 malam pada 4 Oktober 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 5 Oktober 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Ducati Panigale V4 SP2 dilancar untuk pasaran M’sia – pelbagai naik taraf barangan prestasi, RM300k

    Ducati Panigale V4 SP2 dilancar untuk pasaran M’sia – pelbagai naik taraf barangan prestasi, RM300k

    Satu lagi model Ducati Panigale V4 tiba di Malaysia, dan kali ini adalah versi prestasi V4 SP2. Selain tampil dengan warna inspirasi daripada motosikal lumba ‘winter test’ Ducati, model ini juga mendapat pelbagai tambahan aksesori prestasi seperti panel gentian karbon, peletak kaki jenis lumba serta brek lebih kuat.

    Dengan setiap pembelian, pemilik juga akan menerima kit barangan untuk kegunaan litar, yang termasuk penutup tapak cermin sisi billet, panel khas untuk menutup tempat nombor plet selepas ia dicabut serta pelindung klac gentian karbon jenis terbuka.

    Untuk bahagian enjin, ia masih dipacu oleh unit Desmosedici Stradale V4 1,103 cc, yang berkuasa 215.5 hp pada 13,000 rpm. Empat mod tunggangan disediakan dan peralihan kuasa dari enjin ke transmisi diperkuat dengan klac jenis kering STM-EVO SBK.

    Sementara V4 SP2 pasaran Eropah menerima rim gentian karbon dan brek Stylema R di hadapan, model pasaran Malaysia pula dilengkapi rim Marchesini magnesium yang diperkuat, serta sepasang angkup Stylema untuk mencengkam cakera terapung 330 mm di hadapan.

    Memegang roda V4 SP2 ini adalah suspensi kawalan elektronik yang terdiri daripada fork Ohlins NPX25/30 di hadapan, dan monoshock Ohlins TTX36 di belakang. Membantu lagi pengendalian adalah steering damper Ohlins. Suspensi ini menggunakan sistem kawalan Ohlins Smart EC 2.0 with OBTI (Objective Based Tuning Interface).

    Berat keseluruhan V4 SP2 adalah 194.5 kg, dan ia turut dilengkapi dengan modul GPS secara standard, yang membolehkan pengaktifan fungsi catatan masa pusingan dalam litar. Harga yang ditetapkan untuk Panigale V4 SP2 adalah RM299,900 tidak termasuk insurans.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025