Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    Bukan hanya sedan segmen-D buatan Jepun yang kini berhadapan dengan ‘kepupusan’ kerana pasaran kini lebih berminat dengan SUV, malah model dari segmen sama keluaran jenama Jerman iaitu Volkswagen Passat turut berhadapan ‘ancaman’ yang sama.

    Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang untuk Volkswagen memperkenalkan model genarasi baharu untuk Passat, namun ia hanya hadir dalam versi Variant iaitu badan jenis wagon tanpa pilihan versi sedan biasa. Model generasi kesembilan ini akan mula dijual pada suku pertama 2024.

    Menurut VW, Passat 2024 ini merupakan model pertama yang diasaskan dari platform MQB evo, secara tidak langsung menampilkan pelbagai teknologi inovatif baharu serta datang dalam pelbagai pilihan unit rangkaian kuasa.

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    Pada sebelah luar, Passat kini turut menerima muka yang selari dengan rekaan model-model terkini Volkswagen, iaitu menampilkan gril yang lebih nipis. Lampu hadapannya diberikan dua elemen LED (bersama opsyen sistem matriks IQ.Light) serta jalur LED untuk lampu nyalaan siang pada bahagian ‘kening’ yang kelihatan bersambung dengan jalur lampu pada bahagian atas gril.

    VW juga menyatakan bahawa bahagian tengah gril utama berkenaan kini lebih rendah dari model sebelum ini, dan kemudian ‘mengembang’ ke belakang bagi menyerlahkan rekaan sisi yang nampak lebih ‘berotot’. Manakala pada bampar, ia diberikan ‘mulut’ yang besar bagi memberikan imej lebih lebar, serta menampilkan liang untuk tirai udara pada kedua-dua sisi.

    Model dengan pakej penggayaan R-Line pula menerima bampar yang lebih agresif, menampilkan kemasan ‘mulut’ yang lebih lebar bersama liang tengah dengan elemen rekaan seperti batu permata. Passat 2024 juga hadir dengan pilihan pakej penggayaan lain termasuk Bussines dan Elegence.

    Passat baharu ini ditawarkan dengan rim dengan saiz sehingga 19-inci. Manakala di belakang imej lebar turut diperkukuh dengan lampu yang direka merentangi sepenuhnya. Rekaan bampar belakang pula bervariasi antara model lain dan juga versi yang datang dengan pakej R-Line.

    Secara keseluruhan rekaan Passat 2024 ini menampilkan pekali geseran hanya 0.25, lebih rendah dari model sebelum ini yang mencatatkan 0.31. Dengan platform MQB evo ini juga membolehkan Passat direka lebih besar, dengan dimensi yang panjang 4,917 mm (+144 mm), lebar 1,852 mm (+20 mm), serta jarak roda 2,841 mm (+50 mm). Tetapi tingginya masih sama iaitu 1,506 mm.

    Dengan saiz ini memberikan ruang dalaman yang lebih luas, di mana ruang kaki maksima kini membesar 50 mm kepada 947 mm dan ruang but meningkat 40 liter kepada 690 liter. Sekiranya tempat duduk belakang dilipat, ruang berkenaan adalah 140 liter lebih besar kepada 1,920 liter.

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    Bagi rekaan kabin, papan pemuka Passat baharu ini turut mengikut rekaan model-model VW terkini yang lain, tetapi tidak disertakan dengan panel sesentuh pada roda stereng. Sistem infotainmen modular matriks generasi keempat (MIB4) diberikan secara standard, terdiri dari skrin sesentuh yang datang dalam dua saiz iaitu 12.9 dan 15-inci.

    Skrin tersebut turut berfungsi sebagai panel kawalan sistem penghawa dingin bagi mengurangkan suis fizikal pada papan pemuka. Tombol gear sudah dialih ke kolum stereng seakan rekaan Mercedes-Benz, membolehkan konsol tengah Passat baharu ini menawarkan ruang storan yang lebih besar.

    Sistem MIB4 ini turut berintegrasi dengan paparan instrumen digital Passat ini yang menampilkan skrin 10.25-inci dan juga paparan head-up berwarna. Model ini juga menerima tempat duduk hadapan ergoActive dengan larasan sehingga 14-hala, bersama fungsi lain seperti pemanas, pengalir udara dan juga pengurut.

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    Bagi sistem bantuan pemandua termaju pula, sebannyak 17 fungsi disediakan termasuk cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, Travel Assist (bantuan pemanduan separa-automasi), bantuan kekal lorong, bantuan kekal lorong dan pelbagai lagi.

    Dua sistem bantuan parkir turut ditawarkan iaitu Park Assist Plus yang membantu pemandu untuk keluar dan masuk petak parkir selari, manakala Park Assist Pro pula mampu untuk merekod pemanduan 50 meter terdahulu bagi membolehkan kereta keluar dari petak parkir seperti mana ia masuk ke petak tersebut.

    Manakala untuk pengendalian, sistem Dynamic Chassis Control (DCC) sebelum ini telah dinaik taraf sebagai Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro). Bagi sistem ini, ia dipadankan dengan penyerap hentak adaptif opsyenal DCC pro yang menampilkan dua injap berbanding injap tunggal sebelum ini. Ini membolehkan tahap rebound dan tekanan dalam penyerap hentak berkenaan dapat dikawal secara lebih tepat.

    Walaupun hanya datang dalam satu bentuk badan, Passat 2024 ini ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa yang komprehensif. Ia termasuk versi petrol plug-in hybrid (eHybrid), petrol hibrid ringkas (eTSI), petrol penuh (TSI) dan juga diesel (TDI).

    Bagi versi eHybrid, ia ditawarkan dalam dua versi pacuan roda hadapan di mana kedua-duanya menerima enjin petrol turbo 1.5 liter TSI evo2 (sebelum ini hanya 1.4 liter TSI), dipadankan dengan motor elektrik HEM80evo yang bersepadu dengan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan DSG DQ400e evo.

    Bateri untuk sistem hibrid ini turut ditingkat taraf dengan bateri lithium-ion berkapasiti 19.7 kWj berbanding hanya 10.6 kWj sebelum ini. Tingkat taraf tersebut membolehkan Passat eHybrid ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak sekitar 100 km.

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    Sistem pengecas juga menerima tingkat taraf menampilkan pengecas AC onboard yang kini mampu menangani kuasa 11 kW berbanding 3.6 kW sebelum ini, membolehkan cas bateri dipenuhkan dalam masa hanya dua jam. Manakala fungsi cas pantas DC pula kini mampu mengecas sehingga 50 kW membolehkan kadar cas 10-80% dicapai dalam masa hanya 25 minit.

    Bagi versi hibrid ringkas, ini merupakan kali pertama Passat menerima unit rangkaian kuasa sedemikian. Menerusi sistem ini ia masih menggunakan enjin 1.5 liter TSI evo yang sama tetapi dipadankan dengan sistem hibrid 48-volt yang terdiri dari bateri lithium-ion dan unit motor belt starter generator (BSG).

    Passat mild hybrid ini juga hanya ditawarkan dengan pilihan pacuan roda hadapan, tetapi menerima kotak gear DSG tujuh-kelajuan. Enjin eTSI tersebut datang dengan sistem Active Cylinder Management (ACTplus) yang boleh mematikan dua dari empat silinder bagi menjimatkan bahan api, dalam masa yang sama unit BSG boleh membantu kereta ‘berlayar’ dalam kelajuan malar dengan enjin dimatikan.

    Untuk versi petrol penuh, Passat dijana oleh enjin EA888 evo4 2.0 liter empat silinder turbo. Ia digandingkan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan bersama pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda dengan sistem 4Motion bergantung pada talaan kuasa enjin.

    Manakala untuk versi diesel, ia menggunakan enjin EA288 evo 2.0 liter empat siinder turbodiesel. Versi TDI ini menerima kotak gear dan pilihan pacuan yang sama dengan Passat TSI, datang dengan tiga talaan kuasa berbeza. Semua angka kuasa spesifikasi bagi setiap unit rangkaian kuasa Passat 2024 ini boleh anda rujuk di bawah:

    eHybrid

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    – Enjin: 1.5 liter TSI evo2 turbo empat silinder petrol
    – Transmisi: Klac berkembar automatik DSG enam-kelajuan
    – Kuasa motor elektrik: 115 PS (114 hp atau 85 kW) dan 330 Nm
    – Bateri: 19.7 kWj lithium-ion
    – Pengecas AC: 11 kW
    – Pengecas pantas DC: 50 kW
    – Kuasa enjin 1: 150 PS (148 hp atau 110 kW) bermula 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm
    bermula 1,500 hingga 4,000 rpm
    – Jumlah kuasa keseluruhan 1: 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 350 Nm
    – Kuasa enjin 2: 177 PS (174 hp atau 130 kW) bermula 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork makisma 250 Nm
    bermula 1,500 hingga 4,000 rpm
    – Jumlah kuasa keseluruhan 2: 272 PS (268 hp or 200 kW) and 400 Nm

    eTSI

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    -Enjin: 1.5 liter TSI evo2 turbo empat silinder petrol
    -Transmisi: Klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan
    -Kuasa BSG: 20 PS (20 hp atau 15 kW) dan tork 25 Nm
    -Kuasa enjin: 150 PS (148 hp atau 11 kW) dan tork 250 Nm

    TSI

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    -Enjin: EA888 evo4 2.0 liter turbo empat silinder petrol
    -Transmisi: Klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan
    -Kuasa enjin 1 (FWD): 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 320 Nm
    -Kuasa enjin 2 (4Motion AWD): 265 PS (261 hp aau 195 kW) dan tork 400 Nm

    TDI

    Volkswagen Passat 2024 diperkenal – tiada sedan, hanya wagon; eHybrid, eTSI, TSI, TDI sehingga 272 PS

    -Enjin: EA288 evo 2.0 liter turbodiesel empat silinder
    -Kuasa enjin 1 (FWD): 122 PS (121 hp atau 90 kW) dan tork 320 Nm
    -Kuasa enjin 2 (FWD): 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan tork 360 Nm
    -Kuasa enjin 3 (4Motion AWD): 193 PS (190 hp atau 142 kW) dan tork 400 Nm

     
     
  • Pusat Flagship 3S Nissan di Petaling Jaya dilancarkan – tampil dengan imej baharu dengan ciri dinaiktaraf

    Pusat Flagship 3S Nissan di Petaling Jaya dilancarkan – tampil dengan imej baharu dengan ciri dinaiktaraf

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi jenama Nissan di Malaysia telah melancarkan Pusat Flagship Nissan pertama di Petaling Jaya. Direka bentuk semula dan dinaik taraf selaras dengan Konsep Runcit Nissan (NRC-NEXT) yang terkini, Pusat Flagship 3S yang menarik perhatian ini berfungsi sebagai mercu tanda kecemerlangan peruncitan automotif dan selepas jualan jenama Nissan di Malaysia.

    Konsep Runcit Nissan bertujuan untuk menginovasikan pengedar Nissan dan menyampaikan standard perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan Nissan di seluruh dunia. Ia bertumpu pada mempamerkan nilai jenama Nissan sepanjang masa pelanggan berada di pusat flagship ini, sama ada untuk memandu uji model terkini atau menghantar kereta untuk servis biasa. Setiap titik sentuh kemudahan runcit yang mematuhi konsep NRC-NEXT telah pun direka bentuk dan diperhalusi semula untuk menyampaikan keseronokan dan kepuasan kepada pelanggan.

    Dengan pelaburan bernilai lebih RM4 juta, Pusat Flagship Nissan 3S yang siap dinaik taraf di Petaling Jaya ini terserlah dengan imej bangunan yang menawan serta logo baharu anggun yang mencerminkan identiti korporat terkini Nissan. Ia membawa intipati kemewahan Jepun yang abadi ke persekitaran moden namun berfungsi untuk menerima dan mengalu-alukan pelanggan yang dihargai serta pemilik Nissan yang dihormati.

    Pusat Flagship 3S Nissan di Petaling Jaya dilancarkan – tampil dengan imej baharu dengan ciri dinaiktaraf

    Pusat Flagship Nissan 3S dengan kemudahan yang dipertingkatkan ini dirasmikan oleh Makoto
    Uchida, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Motor Co., Ltd. (NML), diiringi pengarah dan eksekutif atasan NML dan ETCM.

    “Pusat Flagship Nissan 3S Petaling Jaya baharu kami adalah bukti kerja keras dan dedikasi pasukan kami. Ia mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami apabila mereka mengunjung ke kemudahan yang indah ini.

    “Kami inginkan pelanggan kami mempunyai pengalaman membeli kenderaan yang menakjubkan dari saat mereka melangkah masuk ke bilik pameran sehingga mereka menjadi pemilik kenderaan Nissan yang bangga, dan kemudian menemui keseronokan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam perjalanan pemilikan mereka,” kata Christopher Tan, Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM.

    Makoto Uchida pula berkata, “NML berasa bangga kerana mempunyai hubungan jangka panjang lebih daripada 60 tahun dengan Tan Chong. Hari ini, kami amat berbesar hati untuk merasmikan majlis perasmian Pusat Flagship Nissan 3S dengan konsep runcit baharu ini di Petaling Jaya kerana ia menandakan komitmen kami untuk terus menggembirakan pemilik Nissan untuk tahun-tahun yang akan datang.

    “Di Nissan, visi jangka panjang kami adalah untuk memperkasakan masa depan mobiliti sebagai sebahagian daripada Nissan Ambition 2030. Kami mahu mengubah Nissan menjadi jenama mampan yang benar-benar diperlukan oleh pelanggan dan masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini, kami akan terus bekerjasama dengan pengedar dan rakan kongsi kami untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang terbaik dan paling inovatif, serta menyediakan pengalaman pelanggan Nissan yang lebih bersepadu dan dibuat khusus.”

    Dengan keluasan 43,000 kaki persegi, Pusat Flagship Nissan 3S ini mampu mempamerkan lapan unit kereta dan turut menyediakan dua ruang penghantaran kenderaan baharu dan tiga pengecas EV, terdapat juga ruang menunggu pelanggan yang luas dan lapang, sambungan internet berkelajuan tinggi, kawasan yang diperuntukkan khas untuk perbincangan peribadi, dan juga bilik permainan kanak-kanak.

    Bagi pemilik Nissan sedia ada yang kembali untuk perkhidmatan selepas jualan di Pusat Flagship, Perkhidmatan Concierge telah disediakan untuk menawarkan bantuan segera kepada pemilik di pintu masuk Pusat Servis, di samping ruang penerimaan tetamu baharu.

    Selain itu, ia turut menyediakan 25 ruang servis am yang dilengkapi dengan pengangkat, serta ruang khusus untuk penyaman udara dan perkhidmatan penjajaran roda. Selain itu, bilik individu juga diperuntukkan untuk pembaikan EV dan kenderaan yang memerlukan kerja membaik pulih yang lebih banyak.

    Kedai Flagship 3S Nissan dengan pasukan selepas jualan yang berpengalaman seramai 25 orang ini mampu menyelenggara 100 kenderaan setiap hari. Semua juruteknik di pusat servis diperakui Nissan dan disokong oleh gudang alat ganti yang dilengkapi alat ganti tulen Nissan sahaja demi ketenangan fikiran pelanggan.

     
     
  • Kia Niro 2023 di Malaysia — galeri penuh, jarak gerak 460 km, 204 PS, AEB dan ACC, harga dari RM257k

    Kia Niro 2023 di Malaysia — galeri penuh, jarak gerak 460 km, 204 PS, AEB dan ACC, harga dari RM257k

    Kia Niro menjadi EV kedua yang diperkenalkan oleh Dinamikjaya Motors, pengenar jenama Kia di sini, selepas EV6. Hanya ditawarkan dalam satu varian, Niro EV merupakan unit CBU dari Korea Selatan dan dijual dengan harga RM256,668 atas jalan, tidak termasuk insuran.

    Ia hadir dengan jaminan kilang selama lima-tahun, 150,000 km dan jaminan lapan-tahun, 160,000 km untuk bateri. Di sini, Kia Niro 2023 dipaparkan dalam sebuah galeri penuh yang menyeluruh untuk pembaca. Dari segi dimensi, Kia Nira mempunyai ukuran 4,420 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,720 mm. Ruang but yang tersedia pula ialah 475 liter, dan boleh menjadi 1,392 liter dengan kerusi barisan kedua direbahkan.

    Kia Niro 2023 di Malaysia — galeri penuh, jarak gerak 460 km, 204 PS, AEB dan ACC, harga dari RM257k

    Sistem janaan kuasa Kia Niro EV pula terdiri daripada bateri lithium-ion dengan kapasiti sebanyak 64.8 kWh yang ditempatkan di bahagian lantai. Dengan kitaran WLTP, ia mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 460 km, dengan motor elektrik di depan yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) 255 Nm tork — dengan kelajuan maksimum 167 km/j.

    Sekali cas penuh dengan input AC (Type 2) pada kadar 11 kW memerlukan masa enam jam dan 20 minit, sementara dengan DC (CCS2) pada kadar 80 kW boleh mengecas bateri dari 10-80% SoC dalam masa 49 minit.

    Kia Niro 2023 di Malaysia — galeri penuh, jarak gerak 460 km, 204 PS, AEB dan ACC, harga dari RM257k

    Disertakan sekali dalam setiap pembelian ialah kabel pengecas Type 2 tiga-pin biasa yang akan memerlukan 27 jam untuk mengecas menggunakan outlet biasa di rumah (230 V/12 A). Model ini juga menyokong vehicle-to-load (V2L) dengan output sebanyak 3.6 kW untuk menjadi sumber kuasa kepada peranti elektrik lain.

    Kelengkapan standard untuk Kia Niro 2023 ini antara lain ialah rim 17-inci, lampu utama projektor LED automatik, DLR LED, lampu kabus depan dan belakang LED, lampu belakang LED, cermin sisi larasan elektrik dengan pemanas, sunroof, landasan bumbung, pintu barangan larasan kuasa, sensor depan dan belakang, sistem tanpa kunci dan brek parkir elektronik (dengan Auto Brake Hold).

    Kia Niro 2023 di Malaysia — galeri penuh, jarak gerak 460 km, 204 PS, AEB dan ACC, harga dari RM257k

    Di dalam, tersedia dua paparan 10.25-inci, satu untuk kluster instrumen digital dan satu lagi untuk sistem infotainmen, yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Lampu suasana dengan 64-warna juga ada, serta kawalan pendingin dua zon (dengan corong belakang), pengecas telefon tanpa wayar, balutan kulit, lapan-pembesar suara dan kamera undur.

    Kerusi depan berliang dengan larasan kuasa adalah standard, dengan fungsi memori untuk pemandu. Penumpang depan juga boleh memanfaatkan fungsi Premium Relaxation yang meletakkan kerusinya dalam mod “zero-gravity”.

    Aspek keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, sistem pasif seperti ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, serta bantuan mula mendaki, peninjau tekanan tayar, pengingat penumpang belakang dan Safe Exit Assist.

    Sistem keselamatan aktif pula merangkumi High Beam Assist, Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision Avoidance Assist (AEB dengan sokongan keluar simpang), Lane Following Assist dan Smart Cruise Control (kawalan melayar adaptif) dengan fungsi Stop & Go.

     
     
  • Pusat ujian Proton terima akreditasi antabangsa

    Pusat ujian Proton terima akreditasi antabangsa

    Baru-baru ini, Proton telah menerima satu lagi pengiktirafan penting apabila kemudahan ujian dalaman syarikat atau pun dikenali sebagai Pusat Ujian Proton yang terletak di Shah Alam, menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia, sebuah jabatan di bawah naungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

    Sijil akreditasi ini telah disampai kepada Hazrin Fazail Haroon selaku Pengarah Kejuruteraan Proton oleh Shaharul Sadri Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia.

    MS ISO/IEC 17025:2017 ialah piawaian yang mengukur kecekapan makmal ujian dan penentukuran. Piawaian ini digunakan oleh makmal ujian dan penentukuran untuk membangunkan sistem pengurusan kualiti dan untuk menilai kecekapan mereka sendiri.

    Pensijilan terdiri daripada mengukur dan memastikan keputusan ujian memenuhi tahap yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan manakala keperluan dokumentasi untuk mematuhi terdiri daripada manual kualiti, prosedur operasi standard, aliran arahan kerja, dan beberapa kriteria lain.

    Pusat ujian Proton terima akreditasi antabangsa

    Memandangkan ISO 17025 ialah pentauliahan standard yang diiktiraf di peringkat global, ia bukan sahaja menyediakan bukti kebolehpercayaan keputusan serta integriti, kecekapan, dan kualiti keseluruhan Pusat Ujian Proton. Sekaligus membolehkan kemudahan itu memenuhi keperluan ujian untuk kenderaan yang dibangunkan bersama dengan Geely, malah membuka kemungkinan menjalankan ujian untuk model Geely yang lain.

    “Akreditasi yang diterima oleh Pusat Ujian Proton adalah pengiktirafan atas kerja yang dijalankan pasukan kejuruteraan dan ujian di Proton untuk meningkatkan tahap keupayaan teknikal kami supaya sejajar dengan rakan kongsi kami, Geely. Ia juga membolehkan kami mengurangkan kos pembangunan produk kami kerana tidak perlu lagi menghantar komponen untuk diuji ke luar negara serta membantu menguruskan garis masa penbangunan model dengan lebih baik.

    “Ia adalah matlamat kami untuk menerima MS ISO/IEC 17025:2017 sejak Pusat Ujian Proton ditubuhkan. Dengan akreditasi, pusat ujian kini memenuhi kedua-dua keperluan kecekapan teknikal dan keperluan sistem pengurusan yang diperlukan untuknya menyampaikan keputusan ujian secara konsisten dan penentukuran yang sah secara teknikal. Akhirnya, ini akan menghasilkan kenderaan Proton yang lebih berkualiti, yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami yang dihargai,” kata Hazrin.

     
     
  • JPJ lancar Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 – laksana SJR, snap check hingga 30 September

    JPJ lancar Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 – laksana SJR, snap check hingga 30 September

    Pada 2 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023. Di mana operasi ini akan dilaksanakan selama sebulan iaitu hingga 30 September 2023 di seluruh negara.

    Menurut JPJ, operasi ini adalah untuk membudayakan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah–kaedah di bawahnya khususnya kesalahan yang menjadi punca utama kepada kemalangan maut seperti tingkah laku berisiko tinggi dan tidak wajar yang turut membahayakan pengguna lain.

    Kick off operasi ini telah dilaksanakan di LRT Puchong Perdana, yang turut dihadiri oleh Datuk Lokman Jamaan, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, dengan strategi tindakan penguatkuasaan yang memfokuskan kepada lokasi tumpuan di bandar Shah Alam, Cyberjaya, Petaling Jaya dan Subang Jaya melibatkan pelanggaran arahan lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar.

    Sekatan Jalan Raya (SJR) dan snap check yang dilaksanakan bagi menumpukan pelbagai kesalahan utama penunggang dan pembonceng motosikal di kawasan midpoint sekitar Puchong. Hasil daripada operasi tersebut, JPJ telah memeriksa sebanyak 1,302 buah motosikal dan 691 buah motosikal telah diambil tindakan. Sebanyak 642 Notis Saman P telah dikeluarkan dan 205 motosikal yang telah disita.

    “Strategi tindakan penguatkuasaan adalah untuk mendidik masyarakat pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan dan berhemah semasa memandu serta memupuk nilai selamat untuk mengawal sikap serta mengelak risiko dan kecuaian. JPJ turut menasihati penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang & peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” kata JPJ.

    Orang awam boleh melaporkan aduan secara terus atau real time dengan menggunakan aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.

     
     
  • BYD buang lencana ‘Build Your Dreams’ pada EV Atto 3 dan Seal pasaran Eropah atas respon pelanggan

    BYD buang lencana ‘Build Your Dreams’ pada EV Atto 3 dan Seal pasaran Eropah atas respon pelanggan

    Pembuat kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD mengumumkan bahawa lencana ‘Build Your Dreams’ yang diletakkan pada bahagian belakang model SUV Atto 3 dan sedan Seal untuk pasaran Eropah akan dibuang selepas ini selepas mengambil kira respon pelanggannya di benua berkenaan.

    Menurut laporan Auto Express langkah ini turut akan melibatkan model-model sama yang dijual di pasaran United Kingdom selepas ianya mula dijual di Eropah dan UK bermula Mac lalu. BYD mula masuk ke kedua-dua pasaran tersebut dengan memperkenalkan Atto 3 dan diikuti Seal dan hatchback Dolphin.

    Eksekutif syarikat tersebut menyatakan bahawa bukan hanya pelanggan, malah penjual kereta-kereta berkenaan tidak menyukai lencana tersebut kerana ia terlalu panjang serta seolah-olah menyorot jenama BYD yang berasal dari China.

    BYD buang lencana ‘Build Your Dreams’ pada EV Atto 3 dan Seal pasaran Eropah atas respon pelanggan

    Pengumuman ini dibuat ketika pelancaran model Seal pada pasaran Eropah. Pengurus pengalaman pelanggan BYD untuk pasaran Eropah, Tim Bryant menyatakan bahawa bahagian belakang Seal akan kelihatan lebih ringkas dan bersih selepas menerima respon dari pelanggan berkenaan isu tersebut.

    “Saya berbesar hati untuk mengatakan bahawa kami telah mendengar maklum balas pelanggan dan terima kasih kepada rantaian bekalan pantas kami, lencana berkenaan akan dilucutkan pada model Seal untuk pasaran Eropah,” katanya.

    Auto Express turut menambah bahawa lencana yang sama turut telah dilucutkan dari bahagian belakang Atto 3 sedia ada bagi pasaran tersebut. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dilucutkan pada BYD Dolphin kerana slogan itu telah dicap terus pada pintu tailgate belakang, dan untuk membuangnya memerlukan kos yang tinggi.

     
     
  • Laluan Smartlane diaktifkan di dua lokasi di Lebuhraya PLUS pada 2-3 Sept, dari arah selatan menuju KL

    Laluan Smartlane diaktifkan di dua lokasi di Lebuhraya PLUS pada 2-3 Sept, dari arah selatan menuju KL

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur pada 2 hingga 3 September ini. Ia adalah sebagai inisiatif PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim percutian Hari Kebangsaan 2023 dan cuti persekolahan.

    Pengaktifan Smartlane pertama melibatkan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0 berjarak 8 km, yang dilaksanakan dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

    PLUS turut berkata, penggunaan lorong kecemasan tidak lagi dibenarkan selepas Persimpangan Bertingkat Kulai bagi trafik menuju ke Kuala Lumpur

    Laluan Smartlane diaktifkan di dua lokasi di Lebuhraya PLUS pada 2-3 Sept, dari arah selatan menuju KL

    Pengaktifan Smartlane kedua pula melibatkan Port Dickson utara ke Seremban iaitu dari KM260.0 hingga KM263.1 iaitu berjarak 3.1 km, dan waktu operasinya dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

    Mmenurut PLUS, pengaktifan Smartlane juga akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan trafik semasa dengan kerjasama dan pemantauan oleh PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan serta petugas Lebuhraya PLUS di lokasi.

    “Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” kata PLUS.

    Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan agar pemandu dan penunggang saling menghormati pengguna lebuh raya yang lain, mengamal kelajuan yang sesuai dan sentiasa berhati-hati.

     
     
  • PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

    PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

    Seperti yang kita tahu, jenama automotif Korea Selatan iaitu Kia di Malaysia kini baru sahaja diambil alih oleh Bermaz Auto (BAuto) pada April 2021. Dengan pengambilalihan ini, BAuto ini nampaknya dengan cermat mengatur semula perniagaan Kia di sini supaya ia tidak lagi ‘terduduk’ seperti sebelum ini.

    Tak banyak model yang ditawarkan buat masa sekarang dan kita boleh tengok Kia agak berjaya dalam menjual MPV Kia Carnival generasi baharu yang kita boleh lihat dengan mudah di atas jalan raya buat masa sekarang. Selain Carnival, Kia Malaysia kini hanya menawarkan satu model dengan enjin pembakaran dalaman lain iaitu SUV segmen-D Kia Sorento, dan dua model elektrik penuh iaitu EV6 GT-Line dan Kia Niro EV.

    Niro kalau kita tengok, ia mudah untuk ditafsirkan sebagai sebuah SUV. Tapi kalau anda mahu yang sesuatu yang lain dari yang lain, mungkin boleh cuba model yang kami pandu uji kali ini – Kia EV6 GT-Line, model yang membuat kemunculan sulung global pada Mac 2021, dan dilancarkan di Malaysia secara rasmi pada Jun tahun lalu.

    Kia EV6 ini diasaskan dari platform E-GMP yang dihasilkan oleh Hyundai Motor Group (HMG), sama dengan dua EV dengan lencana Hyundai yang juga ditelah dilancarkan di Malaysia iaitu Ioniq 5 dan Ioniq 6. HMG menyifatkan platform E-GMP ini adalah seperti papan luncur (skateboard) di mana bateri lithium-ion merupakan struktur lantai sepenuhnya, dan gandar hadapan dan belakang masing-masing boleh diletakkan motor, membolehkan ia menjadi model pacuan roda belakang (motor tunggal) atau pacuan semua roda (dua motor).

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik pada 2 Sept 2023 di Mini Stadium Majlis Daerah Lenggong

    Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik pada 2 Sept 2023 di Mini Stadium Majlis Daerah Lenggong

    Sempena dengan majlis perasmian Taman Angkat Amanita 2023, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada esok, 2 September 2023. Program berkenaan akan berlangsung di Mini Stadium Majlis Daerah Lenggong, dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Lenggong, Perak atau daerah sekitarnya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Lamborghini Revuelto diperkenalkan di Malaysia – 6.5L V12 PHEV, 1,015 PS, tiga e-motor, ADAS

    Lamborghini Revuelto diperkenalkan di Malaysia – 6.5L V12 PHEV, 1,015 PS, tiga e-motor, ADAS

    Jentera berprestasi tinggi, Lamborghini Revuelto, telah pun diperkenalkan di pasaran Malaysia, selepas ia dilancarkan di peringkat global pada Mac lalu. Ia merupakan model V12 siri produksi pertama yang menampilkan elektrifikasi dari pengeluar jentera mewah ini. Lamborghini turut menggambarkan Revuelto sebagai model High Performance Electric Vehicle (HPEV) dan dikeluarkan sempena dengan ulangtahun ke-60 jenama ini.

    Bahagian penjana kuasa elektriknya digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman baharu bersama unit 6.5 liter naturally aspirated V12 petrol yang mampu memberikan kuasa sehingga 825 PS pada 9,250 rpm dan tork 725 Nm pada 6,750 rpm. Dengan kod nama L545, unit V12 baharu ini mampu rev sehingga 9,500 rpm, sekaligus menjadikannya sebagai enjin 12-silinder paling padu setakat ini. Enjinnya seberat 218 kg, dan lebih ringan sebanyak 17 kg berbanding model Aventador V12.

    Ia digandingkan dengan transmisi E-DCT automatik dwi-klac lapan-kelajuan baharu, yang berorientasi melintang dan diposisikan di belakang enjin untuk memberi ruang kepada pek bateri yang diletakkan di terowong tengah.

    Lamborghini Revuelto diperkenalkan di Malaysia – 6.5L V12 PHEV, 1,015 PS, tiga e-motor, ADAS
    Untuk prestasi yang lebih padu, Revuelto turut diberikan tiga motor elektrik iaitu satu unit dengan kuasa 150 PS/150 Nm yang diletakkan pada gandar belakang, dan dua lagi unit pada gandar hadapan yang setiap satunya menghasilkan 150 PS dan 350 Nm serta menyalurkan penvektoran tork untuk roda hadapan. Secara keseluruhannya, kuasa yang terhasil untuk Revuelto ini mencecah 1,015 PS!

    Motor elektrik yang dijanakan oleh bateri 3.8 kWj boleh dicas menerusi pengecas berkuasa hingga 7 kW dan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 30 minit. Secara alternatif, ia juga boleh dicas menerusi brek regeneratif menerusi roda hadapan atau pun secara terus dari enjin pembakaran V12 dalam masa enam minit, ujar Lamborghini.

    Kemunculan rangkaian kuasa hibrid dalam Lamborghini siri-produksi ini juga menyaksikan penampilan sulung tiga mod pemanduan khusus dalam Revuelto iaitu Recharge, Hybrid dan Performance dengan kombinasi mod pilihan Citta (City), Strada, Sport dan Corsa, untuk 12 larasan yang boleh dipilih menerusi dua rotary selector pada roda stereng rekaan baharu.

    Citta, atau mod City sesuai untuk pemanduan elektrik sepenuhnya, dan apabila bateri lithium-ion perlu dicas dan fasiliti pengecasan tiada, mod penjana kuasa Recharge boleh membantu mengisi semula kuasa bateri. Menerusi mod Citta ini, sistem kawalan kestabilan, transmisi dan suspensi diberikan keselesaan paling maksimum, dan output bagi penjana kuasa dihadkan hingga 180 PS.

    Bagi mod Strada, ia memastikan enjin pembakaran V12 sentiasa dan terus mengecas bateri, dan gandar pacuan elektrik hadapan menyokong penvektoran tork untuk kekal stabil dalam kelajuan lebuhraya. Output bagi penjana kuasa untuk mod ini sekitar 886 PS. Sementara itu, mod Sport menyalurkan sehingga 907 PS, ketika V12 sentiasa mengecas ketiga-tiga mod Recharge, Hybrid dan Performance, dengan suspensi dan aerodinamik dilaraskan untuk mempertingkatkan ketangkasan jentera.

    Puncak prestasi bagi Revuelto ini dijelmakan dalam mod Corsa, dengan hamburan 1,015 PS sepenuhnya dalam mod Performance dan sistem hibrid akan dikonfigurasi untuk memaksimumkan penghantaran prestasi pacuan elektrik dari segi penvektoran tork termasuk AWD, kata Lamborghini.

    Lamborghini Revuelto diperkenalkan di Malaysia – 6.5L V12 PHEV, 1,015 PS, tiga e-motor, ADAS

    Mod Corsa Recharge memungkinkan untuk memaksimumkan pengecasan dalam mod pemacu yang lebih agresif, dan membenarkan penyahaktifan kawalan kestabilan serta memanggil kawalan pelancar daributang tengah dalam pengawal rotari kiri. Pada potensi prestasi maksimumnya, Revuelto mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 2.5 saat dan kelajuan maksimum cecah lebih 350 km/j.

    Aerodinamik aktif ditampilkan pada Revuelto ini dan ia menawarkan peningkatan sehingga 61% bagi kecekapan dan 66% untuk downforce dalam situasi high-load berbanding yang diberikan pada Aventador Ultimae. Ia bekerjasama dengan suspensi semi-aktif untuk menguruskan perubahan beban yang melibatkan suspensi dan operasi wing belakang dalam masa sebenar (real time).

    Revuelto ini diberikan roda bersaiz 21- atau 22-inci bergantung pada spesifikasi, dan dibaluti tayar Bridgestone Potenza Sport yang dibangunkan untuk model ini. Fitmen standard untuk set tayar run-flat ini berukuran 265/35R20 untuk hadapan dan 345/30R21 di belakang, atau 345/30R21 an 355/25R22 bagi pilihan berdiameter lebih besar. Manakala brek seramik-karbon dengan kaliper monoblock 10-piston di hadapan dan empat-piston kaliper di belakang turut diberikan.

    Revuelto turut menjadi model Lamborghini yang pertama diperkenalkan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), merangkumi amaran ketibaan lorong, amaran penukaran losong, kawalan kelajuan adaptif dan kepekaan trafik lintasan belakang serta lampu utama adaptif.

    Di dalamnya, set infotainmen diberikan dengan tiga paparan iaitu kluster instrumen 12.3-inci, paparan sentral 8.4-inci dan paparan 9.1-inci. Ia turut berfungsi untuk sistem infotainmen yang menerima kemaskini over-the-air, dan aplikasi Lamborghini Unica membolehkan pemandu untuk terus memantau keadaan kereta dari segi aspek tahap bahan api, pengecasan bateri, kuasa elektrik dan juga posisi ketika diparkir.

    Kabin bagi Revuelto menggunakan tema ala spaceship berbentuk-Y seperti mana yang terlihat dari bahagian atas luarannya. Bahagian papan pemukanya umpama memberikan ‘pengalaman ibarat juruterbang’ dengan rekaan yang tidak begitu sarat tetapi kekal elegan dan canggih. Untuk ruangnya, Revuelto menawarkan lebih 26 mm untuk ruang kepala dan ruang kakinya juga lebih panjang sebanyak 84 mm berbanding Aventador Ultimae.

    Material yang digunakan untuk kabin Revuelto ini termasuk fabrik Corsa-Tex yang diperbuat daripada gentian mikro Dinamica dan ia boleh digabungkan dengan kulit, dengan 70 pilihan warna ditawarkan. Bagi bahagian luarannya, sebanyak 400 pilihan warna ditawarkan untuk Revuelto ini. Berkenaan dengan harganya, Lamborghini Malaysia tidak mengumumkan sebarang perincian mengenainya, tetapi difahamkan, ia bermula RM2.5 juta tidak termasuk cukai, atau dari RM6.5 juta termasuk cukai.

     
     
  • Prolintas agih 1957 nasi lemak percuma sempena Merdeka di AKLEH, GCE, LKSA, SILK, SUKE, DASH

    Prolintas agih 1957 nasi lemak percuma sempena Merdeka di AKLEH, GCE, LKSA, SILK, SUKE, DASH

    Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 yang berlangsung semalam, Projek
    Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) telah mengagihkan sejumlah 1,957 nasi lemak percuma kepada pengguna yang melalui beberapa plaza tol di enam lebuh raya kendaliannya.

    Menurut Ketua Divisyen Komunikasi Korporat PROLINTAS, Badri Ibrahim, agihan itu dijalankan mulai jam 8 pagi bagi pengguna lebuh raya yang keluar meraikan kemerdekaan negara di sekitar Lembah Klang.

    “Nasi lemak diedarkan di setiap lebuh raya kendalian PROLINTAS. Lokasi agihan ialah Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Plaza Tol Sungai Ramal, Lebuhraya Kajang SILK.

    “Agihan sama turut dijalankan di Plaza Tol Alam Damai (arah Sri Petaling) dan Plaza Tol Ampang (arah Ulu Kelang), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) serta Plaza Tol Kota Damansara (arah Kuala Lumpur), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH),” katanya.

    Sementara itu, lebih 1,000 nasi lemak diagihkan di Kawasan Rehat Elmina, Lebuhraya GCE menjadikan jumlah keseluruhan agihan 3,000 nasi lemak.

    “Aktiviti ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan terutama dalam kalangan pengguna lebuh raya. Pemberian 1,957 nasi lemak itu sempena tahun bersejarah kemerdekaan negara, selain sebagai simbolik perpaduan dan hidangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya,” tambah Badri.

    Dalam masa yang sama, Prolintas turut menganjurkan Pertandingan Menghias Premis Jualan di Kawasan Rehat Elmina di Lebuhraya GCE. Di mana para peniaga telah menghias premis jualan dengan barangan terpakai dengan tema kemerdekaan bagi menggalakkan aktiviti kitar semula dan kelestarian.

     
     
  • Bukan sengaja, pemandu Grab leka baca mesej punca penunggang basikal dilanggar dari belakang – polis

    Bukan sengaja, pemandu Grab leka baca mesej punca penunggang basikal dilanggar dari belakang – polis

    Baru-baru ini tular satu video memaparkan sekumpulan penunggang basikal dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta, menyebabkan dua dari mereka tercampak ke hadapan.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan bahawa kejadian ini berlaku di Jalan Dengkil, Kota Warisan pada pagi Ahad lalu, dan ia terjadi kerana pemandu kereta berkenaan yang juga seorang pemandu e-hailing terleka ketika memeriksa mesej dari aplikasi Grab di telefon pintar.

    Jelasnya dalam laporan Kosmo, ketika kejadian ini berlaku pemandu kereta berkenaan berada di laluan kiri dari arah Kajang dan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    “Pemandu kereta dikesan terlanggar belakang sebuah basikal, menyebabkan seorang lagi penunggang basikal melanggar seorang lagi penunggang basikal lain.

    “Ketika memeriksa mesej, pemandu kereta telah terlanggar belakang sebuah basikal dan kemudian basikal itu terlajak ke hadapan dan terlanggar seorang lagi penunggang basikal yang lain,” katanya.

    Wan Kamarul memberitahu bahawa kereta yang terbabit dalam insiden ini mengalami kerosakan di bahagian bampar dan bonet hadapan, manakala basikal penunggang rosak di bahagian tayar serta rim belakang. Beliau turut mengesahkan bahawa pemandu kereta serta seorang penunggang basikal telah membuat laporan polis dan mereka sudah diambil rakaman percakapan.

    Video berdurasi 22 saat yang dirakam dari dashcam kereta yang melanggar penunggang basikal itu tular di media sosial terutamanya di Facebook pada Selasa lalu. Disebabkan basikal-basikal tersebut ditunggang hampir ke tengah lorong kiri jalan berkenaan dan kereta yang melanggar langsung tidak mengelak, ramai yang membuat andaian bahawa kemalangan ini disengajakan oleh pemandu kereta terlibat.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VLG dan PRA dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Kuala Lumpur (KL) dan Pulau Pinang dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari KL, VLG, mula dibuka bidaan hari ini 1 September 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 September 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRA, bakal dibuka bidaan mulai esok 2 September 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 September 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Sept 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Sept 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual September 2023 bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Klik untuk besarkan

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Namun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain.

    Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Subaru Car Challenge kini kembali – peluang menang lawatan ke S’pura, bersaing untuk XV serba baharu

    Subaru Car Challenge kini kembali – peluang menang lawatan ke S’pura, bersaing untuk XV serba baharu

    Motor Image membawa kembali Subaru Car Challenge selepas ia ‘menyepikan diri’ sejak 2019, kali ini dengan hadiah yang lebih menarik untuk dimenangi. Acara ini bakal berlangsung pada 16 September ini, dari jam 9 pagi hingga 4 petang di Plaza Arkadia, dan anda mempunyai masa sehingga 1 September ini untuk mendaftarkan diri menerusi pautan ini.

    Jika anda tidak pernah mendengar tentang Subaru Car Challenge, ia merupakan cabaran ketahanan di mana para peserta dikehendaki meletakkan telapak tangan mereka pada kenderaan Subaru selama mana yang mungkin. Subaru Car Challenge peringkat Malaysia ini bakal menyaksikan 800 warga Malaysia berusia antara 20 hingga 50 tahun bersaing sesama sendiri pada empat kereta yang disediakan -setiap sebuah dengan 20 pelekat tapak tangan – selama enam jam.

    Peserta yang tidak dapat melekapkan tapak tangan mereka pada kereta tersebut secara automatik akan tersingkir sehinggalah hanya lima peserta yang kekal. Lima peserta terakhir ini akan dihadiahkan dengan tikat perjalanan dua hala bersama penginapan selama empat hari tiga malam di Singapura.

    Subaru Car Challenge kini kembali – peluang menang lawatan ke S’pura, bersaing untuk XV serba baharu

    Malah lima peserta ini secara tidak langsung akan mewakili Malaysia di Tan Chong Car Challenge 2023 di negara berkenaan, berentap dengan peserta lain dari negara seperti Kemboja, Singapura, Vietnam, Hong Kong, Filipina, Taiwan dan Thailand.

    Tan Chong Car Challenge 2023 dijadualkan bakal berlangsung dari 4-5 November 2023 di Ngee Ann City di Singapura. Kaedah cabaran masih sama iaitu peserta perlu melekapkan tapak tangan mereka pada kereta terbabit selama mana yang mungkin, dan hadiah utama yang menanti pemenang ialag sebuah Subaru XV 2.0i-P EyeSight serba baharu.

    Jika anda tidak berminat untuk menyertai cabaran ini, anda masih boleh ke Plaza Arkadia bagi menyaksikan peserta yang mengambil bahagian untuk Subaru Car Challenge. Selain itu, Motor Image juga bakal menganjurkan sesi pandu uji beberapa model Subaru sepanjang acara ini berlangsung.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025