Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • EVx 2023: BYD Dolphin dipertonton secara eksklusif di Setia City Convention Centre sebelum dilancarkan

    EVx 2023: BYD Dolphin dipertonton secara eksklusif di Setia City Convention Centre sebelum dilancarkan

    Kurang dari seminggu lagi, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) bakal melancarkan model Dolphin di pasaran tempatan, yang direncana bakal berlangsung pada 27 Julai ini. Namun, demi menghangatkan lagi bahang kemunculannya di Malaysia, BYD SDM secara eksklusif mempertontonkan Dolphin di khalayak ramai menerusi acara EVx 2023 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.

    Model hatchback lima-pintu elektrik yang dipamerkan ini adalah sama dengan unit yang dikesan sedang diuji di jalan raya baru-baru ini. Ia dilitupi balutan penyamaran berwarna biru dan terpapar pelekat “A New Wave Is Coming” pada bahagian sisinya. Keseluruhan cerminnya ditutup dengan lapisan hitam, jadi memang tak nampaklah bahagian kabinnya.

    Buat masa ini, BYD SDM masih belum mendedahkan spesifikasi penuh bagi Dolphin pasaran Malaysia. Namun ia akan menawarkan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) berdasarkan kelihatan penderia berhampiran cermin pandang belakang. Ia juga diberikan tayar Linglong Comfort Master yang membaluti roda 17-inci.

    EVx 2023: BYD Dolphin dipertonton secara eksklusif di Setia City Convention Centre sebelum dilancarkan

    Model EV kedua dari BYD yang dipasarkan di Malaysia selepas Atto 3 ini berukuran 4,150 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Sebagai perbandingan di dalam segmen hatchback, Honda City Hatchback pula berukuran 4,345 mm panjang, 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,600 mm. Menjadikannya lebih panjang berbanding Dolphin.

    Terdapat perkhabaran menyatakan bahawa Dolphin bakal ditawarkan dengan harga di bawah RM100,000 dan sekaligus menjadikannya sebagai EV paling murah di pasaran Malaysia. Sebelum ini, pesaingnya, Neta V yang ditawarkan pada harga RM99,800 menjadi EV termurah dalam pasaran. Dolphin telah pun dijual di Thailand dengan harga bermula 699,999 (RM92,975) untuk varian Standard Range, sementara model spesifikasi penuh Extended Range berharga 859,999 baht (RM114,205).

    Di Thailand, Standard Range menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 12.3 saat.

    Sementara itu, Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.

    Kalau nak tahu spesifikasi penuh, varian dan harga yang ditawarkan untuk Dolphin ini, kena nantikan pelancarannya minggu hadapan. Walau bagaimana pun BYD SDM telah membuka pendaftaran minat (ROI) bagi mana-mana individu yang mahu memandu uji EV ini menerusi acara khas yang akan dianjurkan pada 28 hingga 30 Julai ini bertempat di kawasan parkir terbuka di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

    Bagi yang mempunyai masa terluang hari ini atau esok, jangan lepaskan peluang berkunjung ke acara EVx 2023 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam. Acara tahunan yang membariskan model-model EV di pasaran Malaysia adalah anjuran Paultan.org, berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma!

    GALERI: BYD Dolphin yang dipertontonkan di Bangkok Internation Motor Show 2023

     
     
  • smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

    smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

    smart #1, sebuah model kereta elektrik yang mewakili era baru jenama itu selepas ambil alih 50:50 kepentingan syarikat berkenaan oleh Geely pada 2019, kini dipertontonkan kepada umum buat pertama kali di Malaysia di acara EVx 2023 anjuran paultan.org yang berlangsung hujung minggu ini di Pusat Persidangan Setia City.

    Model smart #1 ini adalah hasil pertama usahasama tersebut, dengan pemilik Jermannya bertenggungjawab terhadap rekaan, manakala pemilik China pula menyediakan aspek binaan dan kejuruteraan untuk produk yang akan mereka keluarkan selepas ini. Maka, tiada lagi model-model ikonik seperti smart ForTwo dan ForFour; yang ada kini ialah era baru smart, dengan arah tuju juga berbeza.

    smart kini menjadi jenama yang hanya akan mengeluarkan EV semata-mata. Dan di Malaysia, pengedarannya dikendalikan oleh Pro-NET Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat Proton. Dan, imej yang anda lihat ini adalah dari sesi preview media Selasa lalu yang diiringi sekali sesi pandu uji ringkasnya di litar ujian Proton di Shah Alam. Ketika ini, hanya gambar luaran yang boleh ditunjukkan, manakala hebahan gambar dalaman EV ini akan menyusul kelak.

    smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

    Model smart menggunakan Sustainable Electric Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely, sebuah platform EV modular yang turut dimanfaatkan oleh model lain seperti Lotus Eletre, Zeekr 001 dan Polestar — ia menjadi teras kepada banyak EV premium yang lain.

    Dari segi rekaan, smart #1 ini dihasratkan sebagai ialah sebuah SUV, dengan pendekatan rekaan yang dirasakan mampu memenuhi kehendak pelanggan smart di pasaran umum. SUV yang dimaksudkan ini tentulah dalam erti kata yang banyak digunakan oleh model-model EV pengeluar lain: lebih cenderung sebagai sebuah hatchback dengan saiz besar daripada kebiasaan.

    Ukuran dimensinya adalah seperti berikut: 1,822 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm. Sebagai latar, jika dibandingkan dengan Honda HR-V, #1 ini lebih lebar 32 mm dan jarak rodanya lebih panjang 140 mm, walaupun ia sebenarnya lebih pendek daripada HR-V. #1 juga lebih tinggi 46 mm dengan ketinggian 1,636 mm. smart #1 juga menggunakan saiz rim yang lebih besar, 19-inci.

    Dari segi rekaan, smart #1 tampil dengan wajah depan tertutup seperti kebiasaan EV yang ada hari ini, diserikan dengan jalur dan lampu LED untuk menjadikan imejnya futuristik. Lampu yang ada di wajah depan ini juga boleh dinyala mengikut rentak muzik yang dimainkan.

    Sentuhan rekaan lain pada smart #1 tak kalah menarik: tingkap tanpa bingkai, pemegang pintu yang tersembunyi serta kesan bumbung terapung yang lebih jelas kelihatan — dengan bahagian kaca yang luas di situ. Tidak ketinggalan, rekaan kuncinya, dengan fungsi kunci/buka automatik.

    Model dalam gambar ini ialah dari varian #1 Premium, yang dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.

    Dengan kadar pengecasan AC tersebut, keadaan bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa tiga jam — jangka masa yang cepat juga mengambil kira ini adalah daripada AC. Di Malaysia ketika ini, hanya mdoel seperti Audi Q8 e-tron/e-tron GT dari varian 55 quattro dan Porsche Taycan yang menyediakan pengecasan 22 kW. EV premium lain bahkan tetap menyediakan kadar 11 kW, sementara EV biasa datang dengan kemampuan 7 kW sahaja.

    Antara kelengkapan yang ada model ini ialah lampu utama adaptif LED Matrix; lampu isyarat sequential; lampu di bahagian gril, pintu, logo; lampu di cermin sisi, rim aloi 19-inci Rotor dengan tayar 235/45; bumbung panoramik; landasan bumbung; dan pintu belakang bebas operasi tangan.

    smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

    Walaupun gambar bahagian dalam belum boleh ditunjukkan di sini, kokpitnya hadir dalam rekaan T yang besar dan bersambung dengan konsol di tengah, dengan skrin 12.8-inci. Untuk pemandu, kluster instrumen 9.2-inci tersedia, serta head-up display (HUD) 10-inci. Ada juga sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara 640W.

    Kerusi juga balutan kulit, dengan larasan elektrik untuk kerusi depan dengan memori, pendingin hawa dua-zon, penapis udara N95, dan tidak ketinggalan 64-warna lampu suasana ala Mercedes-Benz. Untuk ruang, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, ia mampu menyediakan ruang barangan antara 323 liter hingga 411 liter, atau 986 liter jika kerusi tersebut dilipat penuh. Ruang dalam hud depan pula ada 115 liter.

    Apa pandangan anda tentang smart #1 ini?

     
     
  • Selangor sasar tambah 1,000 unit pengecas EV menjelang akhir 2023 dengan kerjasama pihak swasta

    Selangor sasar tambah 1,000 unit pengecas EV menjelang akhir 2023 dengan kerjasama pihak swasta

    Memandangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang kian meningkat, kerajaan Selangor merancang untuk menyediakan 1,000 unit pengecas EV di negeri tersebut menjelang akhir tahun ini. Di mana pengecas EV terbabit akan ditempatkan di 12 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

    Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian yang berkata, buat masa ini terdapat 102 pengecas EV di seluruh negeri ini dan perbincangan sedang giat dijalankan untuk memperbanyakkan lagi kemudahan itu, laporan Harian Metro.

    “Selangor menyasarkan untuk membangunkan 1,000 pengecas EV di kawasan PBT terutamanya di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Kajang serta Ampang Jaya.

    “Usaha sedang digiatkan untuk mencapai sasaran itu dan kita juga sudah mengadakan bengkel untuk semua 12 PBT bagi pelaksanaan dan proses kutipan caj yang akan diselaraskan dengan menggunakan aplikasi,” katanya.

    Jelas beliau, untuk merealisasikan rancangan pembangunan pengecas EV tersebut, ia akan dijalankan dengan kerjasama pihak swasta tanpa membabitkan peruntukan kerajaan negeri.

    “Pembangunan lebih banyak pengecas EV adalah penting dalam usaha kerajaan negeri mengurangkan pengeluaran karbon sehingga 45% pada 2030 dan sifar karbon pada 2050. Kita kena mulakan daripada sekarang jika ingin mencapai sasaran pengurangan pengeluaran karbon,” katanya.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

    Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

    Hyundai Sime Darby Motor (HSDM) hari ini secara rasminya melancarkan model EV ketiga Hyundai untuk pasaran Malaysia iaitu Ioniq 6, selepas menawarkan Kona Electric pada 2021 dan Ioniq 5 sejak Mac tahun lalu. Model baharu ini dilancarkan di Pusat Konvensyen Setia City, yang juga tempat di mana Electric Vehicle Expo (EVx) 2023 yang dianjurkan oleh paultan.org bermula esok, 22 Julai hingga 23 Julai 2023.

    Ioniq 6 pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam dua varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM289,888 untuk model asas Max RWD yang hanya digerakkan dengan satu motor elektrik, diikuti varian Max AWD berharga RM319,888 yang menerima dua motor elektrik.

    Model ini juga diberikan jaminan standard dua tahun atau 50,000 km serta jaminan bateri EV lapan-tahun atau 160,000 km. Pakej lanjutan jaminan dan servis ditawarkan dengan kos tambahan RM10,000, dan menjadikan tempoh jaminan lima-tahun atau 100,000 km, dan termasuk penyelenggaraan untuk tiga tahun atau 50,000 km. Jaminan bateri EV kekal sama.

    Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

    Kedua-dua varian Ioniq 6 ini datang dengan bateri 77.4 kWj. Bagi model dengan motor elektrik tunggal, motor berkenaan diletak pada gandar belakang untuk memacu roda belakang dengan kuasa 228 PS (168 kW) dan tork maksima 350 Nm . Ini membolehkan ia bergerak sejauh 614 km dalam kitaran WLTP, serta mencatatkan masa 7.4 saat untuk pecutan 0-100 km/j.

    Manakala bagi model dua motor elektrik, motor-motor berkenaan masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 320 PS (239 kW) dan tork maksima 605 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j lebih pantas dalam masa 5.1 saat, namun menawarkan jarak gerak lebih pendek iaitu 519 km dalam kitaran WLTP.

    Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 ini turut diasaskan dari platform E-GMP yang sama. Platform berkenaan menampilkan asas sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia menyokong pengecasan 350 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dari 10 hingga 80% dalam masa hanya 18 minit, dan 73 minit jika menggunakan pengecas DC 50 kW. Manakala dengan pengecas AC 11 kW, bateri boleh dipenuhkan dari 0 hingga 100% dalam masa 7.1 jam.

    Berbanding Ioniq 5 yang tampil sebagai sebuah SUV yang nampak seperti hatchback, Ioniq 6 pula dihasilkan sebagai sebuah fastback dengan bentuk unik menampilkan rekaan but belakang seakan Porsche Panamera. Dengan garis-garis bahu dan bumbung yang lengkung seakan menggelembung, rintangan angin pada Ioniq 6 ini menghasilkan pekali seretan hanya 0.21 Cd, iaitu paling rendah berbanding model-model Hyundai lain.

    Selain itu, ia juga menerima rekaan bampar yang tirus, dan dilengkapi sirip udara aktif, penutup ruang roda, kamera digital yang nipis bagi menggantikan cermin sisi, spoiler but belakang, bahagian bawah kenderaan yang tertutup sepenuhnya serta sirip angin di beberapa bahagian lain bagi membantu mendapatkan rintangan angin yang rendah tersebut – kesemua ini adalah standard Ioniq 6 pasaran Malaysia.

    Kedua-dua varian Ioniq 6 ini turut menerima lampu hadapan dual LED dengan sistem lampu pintar bersama elemen rekaan Parametric Pixels pada lampu nyalaan siang LED hadapan, lampu LED belakang dan juga penderia bawah di hadapan. Namun hanya model Max AWD yang diberikan bumbung suria.

    Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

    Model Max RWD dibekalkan dengan set rim aloi Aero 18-inci bersama tayar 225/55 R18, manakala varian Max AWD pula datang dengan set rim aloi Performance 20-inci dengan tayar 245/40 R20.

    Dari segi saiz, fastback ini dihasilkan dengan panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm. Berbanding Ioniq 5 yang seakan hatchback, Ioniq 6 ini adalah 220 mm lebih panjang dengan jarak roda 50 mm lebih jauh, tetapi 10 mm kurang lebar serta 110 mm lebih rendah dari Ioniq 5.

    Dalam kabin, Ioniq 6 menampilkan papan pemuka dengan rekaan mendatar, bersama tempat duduk khas yang direka 30% lebih nipis kerana lantainya yang tebal untuk menempatkan bateri. Perincian dalaman untuk kedua-dua varian pasaran Malaysia ini adalah sama.

    Ia menerima skrin berkembar masing-masing berukuran 12.3inci – satu sebagai paparan instrumen pemandu dan satu lagi untuk infotainmen – bersama sokongan Android Auto, Apple CarPlay serta Bluetooth yang boleh disambung dengan beberapa peranti dalam masa sama.

    Ioniq 6 pasaran Malaysia ini juga dibekalkan dengan sistem audio Bose dilengkapi lapan pembesar suara, sistem pendingin hawa automatik dua zon, pengecas tanpa wayar, empat port USB Type C, lampu suasana kabin 64 warna, upholsteri kulit, tempat duduk hadapan Premium Relaxion dengan larasan kuasa dengan dan sokongan lumbar, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40 dan pintu tailgate belakang berkuasa.

    Pemandu pula akan menerima perincian seperti penukar gear shift-by-wire, pedal untuk kawalan regenerative braking pada roda stereng, paparan head-up, sistem kunci pintar dengan butang pemula, kamera pemantau sekeliling, empat mod pemanduan (Eco, Normal, Sport dan Snow), dan pengelap cermin automatik.

    Bagi sistem keselamatan, Ioniq 6 hadir standard dengan tujuh beg udara, bantuan mula mendaki, brek parkir elektronik, sistem pemantau tekanan angin tayar, dan juga pengingat penumpang belakang.

    Sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense juga diberikan dengan fungsi termasuk bantuan titik buta, bantuan kekal lorong, bantuan pengelak pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan had kelajuan manual dan pengelak pelanggaran ketika parkir.

    Ioniq 6 ini juga diberikan sistem bantuan parkir pintar jarak jauh yang membolehkan anda menggerakkan kereta ini ke hadapan atau belakang menggunakan kunci kawalan jauh dari luar, membantu untuk anda masuk/keluar dari kereta pada petak parkir yang sempit.

    Ia juga dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L), membolehkan ia bertindak seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa ke peralatan elektik lain.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Hyundai Ioniq 6 pasaran Malaysia ini iaitu Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte. Menurut pengarah urusan HSDM Low Yuan Lung, 30 pembeli Ioniq 6 terawal di Malaysia akan diberikan kad keahlian Shell Recharge Gold bagi mendapatkan kadar bayaran istimewa untuk sistem pengecasan yang disediakan oleh syarikat tersebut.

    Hyundai Ioniq 6 ini akan terus dipamerkan di Pusat Konvensyen Setia City ini sepanjang berlangsungnya EVx 2023 sehingga hujung minggu ini.

    GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max AWD 2023

    GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max RWD 2023

    GALERI: Pilihan warna Hyundai Ioniq 6 2023 pasaran Malaysia

     
     
  • Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi duduki Top 5 jualan kenderaan di Malaysia bagi 1H 2023

    Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi duduki Top 5 jualan kenderaan di Malaysia bagi 1H 2023

    Bagi tempoh enam bulan pertama 2023, jualan kenderaan di Malaysia telah mencecah 366,037 unit, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Ia meningkat sebanyak 10.3% setakat ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Berdasarkan data MAA, Perodua masih mendahului pasaran dengan keseluruhan jualan kenderaan bagi 1H (separuh pertama) 2023 mencecah 144,690 unit, dengan perkongsian pasaran sebanyak 39.5%. Kedua-dua angka tersebut adalah lebih tinggi berbanding 1H 2022, apabila Perodua menjual 127,343 unit kenderaan dengan perkongsian pasaran mencecah 38.4%.

    Sementara itu, Proton pula menduduki tangga kedua dengan rekod jualan sebanyak 76,012 unit, naik 32.4% berbanding 57,402 unit pada 1H 2022. Perkongsian pasaran bagi pengeluar kereta nasional ini juga meningkat sebanyak 3.5% setakat ini mencapai 20.8% bagi 1H 2023. Di tangga ketiga pula diduduki oleh Toyota dengan 48,145 unit dan perkongsian pasaran 13.2%, juga lebih tinggi berbanding yang dicapai pada tempoh yang sama tahun lalu, namun peratusan perkongsian pasaran menyusut 0.5%.

    Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi duduki Top 5 jualan kenderaan di Malaysia bagi 1H 2023

    Satu lagi jenama dari Jepun yang menduduki Top 5 ialah Honda, yang berada di tangga ke-empat dengan 33,727 unit. Untuk 1H 2023, Honda mencatatkan penyusutan sebanyak hampir 15% berbanding dengan yang diperoleh pada 1H 2022, dan perkongsian pasaran juga turun sebanyak 2.8% menjadi 9.2% bagi separuh pertama 2023.

    Manakala Mitsubishi pula berada di kedudukan klima dengan 11,811 unit dan perkongsian pasaran 3.2%. Sama seperti Honda, angka jualan Mitsubishi juga turun berbanding 1H 2022, dengan 12,621 unit dan perkongsian pasaran 3.8%. Selain itu, syarikat-syarikat kenderaan yang lain menyumbangkan sebanyak 51,652 unit jualan bagi 1H 2023.

    Perlu diingatkan bahawa jumlah jualan kenderaan itu adalah termasuk kedua-dua kenderaan penumpang dan kenderaan komersil – tiga daripada lima teratas (Perodua, Proton dan Honda) tidak menawarkan kenderaan komersil. Selain itu, kedudukan lima teratas pada 1H 2023 tidak berubah daripada 1H 2022.

     
     
  • Triumph Tiger 900 Aragon Edition GT dan Rally diperkenal sebagai menyambut kemenangan dalam rali

    Triumph Tiger 900 Aragon Edition GT dan Rally diperkenal sebagai menyambut kemenangan dalam rali

    Sebagai menyambut kemenangan Ivan Cervantes dalam Rali Aragon tahun lepas menggunakan Tiger 900, Triumph telah mengeluarkan model istimewa Tiger 900 Aragon Edition, yang ditawarkan dalam versi GT dan juga Rally. Di dalam siaran akhbar tidak dinyatakan sama ada jumlahnya terhad atau tidak, tetapi model istimewa ini diberitahu cuma akan dijual pada tahun ini sahaja.

    Tiada perubahan teknikal yang diberi pada Tiger 900 Aragon Edition, tetapi ia dijadikan istimewa dengan grafik serta warna khas, iaitu gabungan Diablo Red/Matt Phantom Black dan Crystal White untuk GT dan Matt Phantom Black/Matt Graphite dan Crystal White untuk Rally. Melengkapkan penampilannya adalah balutan tempat duduk khas.

    Kemudiannya, besi pelindung enjin diberikan standard pada kedua-dua model Aragon Edition ini, sementara versi Rally mendapat tambahan pelindung tangki minyak bagi menampakkannya lebih motosikal rali. Fork hadapan GT menggunakan unit Marzocchi 45 mm dengan pelarasan RSU elektronik, sementara Rally pula mendapat fork Showa 45 mm dengan pelarasan penuh.

    Bahagian lain semuanya sama seperti model Tiger 900 yang digunakan sebagai asas, termasuk enjin iaitu unit tiga silinder DOHC bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 93.9 hp pada 8,750 rpm dan tork 87 Nm pada 7,250 rpm.

    Tiger GT dibuat lebih untuk penggunaan atas jalan biasa, manakala Rally dijadikan lebih lasak, dan perbezaan utama keduanya dapat dilihat pada bahagian rim dengan GT menggunakan unit aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang sementara Rally menggunakan padanan rim spoked 21 inci dan 17 inci.

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition

    GALERI: Triumph Tiger 900 Rally Aragon Edition

     
     
  • Tempahan Tesla Model Y cecah 10,000 unit cuma berita palsu, angka sebenar belum didedah – Tesla Malaysia

    Tempahan Tesla Model Y cecah 10,000 unit cuma berita palsu, angka sebenar belum didedah – Tesla Malaysia

    Selepas dilancarkan secara rasmi, tersebar berita bahawa model pertama Tesla yang dijual secara rasmi oleh Tesla Malaysia iaitu SUV EV Tesla Model Y telah pun ditempah sebanyak 10,000 ribu unit. Apa yang menghairankan, angka berkenaan tidak disebut secara rasmi oleh Tesla ketika berlangsungnya majlis pelancaran yang dibuat di Pavilion KL semalam.

    Dalam satu laporan akhbar New Straits Times, Tesla Malaysia telah pun mengesahkan bahawa angka tempahan yang tersebar tersebut adalah berita palsu.

    “Angka sebenar tempahan masih tidak didedahkan, namun Tesla memberi jaminan kepada orang ramai bahawa minat terhadap Model Y adalah kukuh dan menghargai sokongan daripada komuniti pelanggan kami yang semakin meningkat di Malaysia,” kata Pengarah wilayah Tesla Isabel Fan kepada akhbar berkenaan dan menafikan angka tempahan yang tersebar itu.

    Tempahan Tesla Model Y cecah 10,000 unit cuma berita palsu, angka sebenar belum didedah – Tesla Malaysia

    Tesla Model Y mula keluar dalam konfigurator Tesla Malaysia pada 14 Julai, beberapa hari sebelum ia dilancarkan. Tempahannya mula dibuka pada hari yang sama dengan bayaran deposit RM1,000 (tidak boleh dikembalikan), dan penghantaran terawal akan bermula awal 2024.

    Model Y ditawarkan dalam tiga varian di Malaysia bermula dengan Tesla Model Y RWD dijual pada harga bermula RM199,000, diikuti Tesla Model Y Long Range AWD dijual pada harga RM246,000 dan varian tertinggi Tesla Model Y Performance AWD dijual pada harga RM288,000.

    Ketiga-tiga varian berkenaan didedahkan ketika pelancarannya semalam dan ia akan terus dipamerkan di Pavilion KL sehingga 31 Oktober nanti.

     
     
  • MINI Cooper Electric 2024 – bahagian dalam didedah

    MINI Cooper Electric 2024 – bahagian dalam didedah

    Sebelum Cooper ELectric serba baru didedahkan secara rasmi 27 Julai ini, MINI terlebih dahulu menunjukkan bahagian dalamnya, yang dikatakan masih mendapat inspirasi daripada model klasik. Ia menggunakan gabungan rekaan retro dan moden, dengan yang paling menonjol adalah skrin sesentuh berbentuk bulat di bahagian tengah papan pemuka.

    Ia tidak begitu berbeza dengan unit yang terdapat pada model sekarang, tetapi lebih besar – diameter 240 mm atau 9.4 inci – dan perumah kelilingnya adalah sangat nipis. Skrin sesentuh ini juga adalah bahagian utama yang digunakan untuk akses hampir semua fungsi kenderaan termasuk kawalan pendingin hawa.

    Untuk mengikuti konsep Mini klasik, meter kelajuan dipaparkan pada bahagian tengah bulatan skrin (bersama baki jarak gerak) dan disebabkan itu tiada panel instrumen di sebalik stereng. Walaubagaimanapun, bagi memastikan pemandu tidak perlu kerap menoleh, MINI turut menyediakan panel paparan head-up display di hadapan pemandu.

    MINI Cooper Electric 2024 – bahagian dalam didedah

    Dengan butang kawalan pendingin hawa yang kini sudah tiada, barisan suis tambahan yang disediakan dapat diletakkan lebih tinggi ke atas dan direka menjadi lebih ringkas. Pada bahagian lain di kabin, terdapat balutan fabrik serta jalur LED pada papan pemuka, pemegang cawan, dua soket USB-C serta ruang simpanan lain.

    Bahagian luar model baru ini sudah didedah, dengan menyaksikan rekaan yang masih mudah dikenali, tetapi perubahan besar adalah pada bahagian belakang yang mempunyai lampu LED berbentuk segi tiga dan disambungkan pada bahagian tengah dengan panel hitam.

    Perincian teknikal yang didedahkan setakat ini cuma MINI Cooper Electric akan datang dalam dua varian iaitu E dan SE, dengan masing-masing menggunakan motor elektrik 180 hp/bateri 40.7 kWh dan 215 hp/54.2 kWh.

     
     
  • Laluan kontra diaktifkan di KM123.10-KM124.70 arah Kuantan di Lebuhraya KL-Karak selama tiga bulan

    Laluan kontra diaktifkan di KM123.10-KM124.70 arah Kuantan di Lebuhraya KL-Karak selama tiga bulan

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengumumkan pengaktifan laluan kontra di Lebuhraya KLK membabitkan laluan dari KM 123.10 hingga KM 124.70 arah Kuantan selama tiga bulan sejak 20 Julai lalu. Pengaktifan laluan kontra itu bertujuan meminimumkan gangguan aliran trafik utama berikutan kerja projek tebatan banjir di LPT1.

    Selain itu, ia juga disebabkan beberapa skop kerja kritikal bagi projek tebatan banjir berkenaan. Ia membabitkan penambakan laluan utama dan kawasan sekitarnya, menaikkan tahap ketinggian laluan utama, penambahbaikan menyeluruh kepada laluan air sedia ada, dan pembinaan saluran air tambahan di kawasan tersebut.

    Menurut Pengerusi Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, projek tebatan banjir ini bertujuan menangani peningkatan paras sungai dan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini menjejaskan laluan utama LPT1. Skop kerja ini akan membabitkan 14 lokasi yang dikenalpasti di laluan utama di dalam Right of Way (RoW) lebuh raya terbabit.

    “Pihak ANIH komited untuk memastikan tahap keselamatan dan keselesaan para pengguna menjadi keutamaan sepanjang projek ini. Oleh itu, pengaktifan laluan kontra ini bertujuan untuk mengurangkan gangguan trafik kepada para pengguna. Sungguhpun membabitkan penutupan penuh lebuh raya dari KM123.10 hingga ke KM124.70 ke Kuantan, namun pengaktifan lorong ini akan diubah mengikut kesesuaian dan keperluan trafik semasa,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Laluan kontra diaktifkan di KM123.10-KM124.70 arah Kuantan di Lebuhraya KL-Karak selama tiga bulan

    Tambahnya, keseluruhan projek tebatan banjir dijangka mengambil masa selama empat tahun meliputi kerja-kerja menaikkan paras permukaan jalan sedia ada berdasarkan paras banjir tertinggi yang direkodkan di LPT1. Ia turut membabitkan pembinaan selenggaraan tambahan di kawasan terjejas untuk mengelakkan air daripada masuk ke laluan utama.

    Justeru, para pengguna dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan mematuhi papan tanda arah serta arahan petugas di lokasi.

    Semalam, Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir untuk dilaksanakan dengan kadar segera di 14 lokasi sepanjang jajaran LPT1 menelan kos perbelanjaan sebanyak RM200 juta.

    Nanta berkata sebanyak empat kejadian banjir telah berlaku di sepanjang LPT1 sejak ia dibuka pada tahun 2004. Di mana kejadian banjir tersebut berlaku pada 2007, 2014 dan dua kali pada 2021 iaitu pada bulan Januari dan Disember yang menyebabkan lebuhraya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari.

    “Sebanyak 10 lokasi banjir telah dikenalpasti iaitu di KM84.7, KM112, KM113, KM114, KM115, KM116, KM117, KM 24, KM126 dan KM198. Manakala empat lagi lokasi berisiko dinaiki air juga telah dikenalpasti iaitu di KM156, KM178, KM242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor,” tambah Nanta.

    Beliau turut berkata, buat masa ini, kerja tanah di dua pakej iaitu di KM117 dan KM124 sedang giat dijalankan di tapak berkenaan dan dijangka siap pada Oktober 2024.

     
     
  • Tesla Supercharger di M’sia — 12 lokasi; kerjasama Pavilion, Gamuda, Sunway, Quill, MRCB, Levn

    Tesla Supercharger di M’sia — 12 lokasi; kerjasama Pavilion, Gamuda, Sunway, Quill, MRCB, Levn

    Sebagai sebahagian daripada kemasukan Tesla ke pasaran Malaysia, syarikat itu akan melabur terhadap penyediaan rangkaian stesen pengecas pantas Supercharger di beberapa lokasi strategik di negara ini. Sebelum ini ada 10 lokasi yang dikenal pasti, tetapi seperti yang ditunjukkan ketika pelancarannya semalam, angka berkenaan naik kepada 12 lokasi.

    Lokasi pertama stesen Supercharger ini sudah pun diketahui, iaitu di B1 kawasan parkir Pavilion KL yang meliputi lapan Supercharger V3 dengan kapasiti pengecasan pantas DC sehingga 250 kW.

    Selain itu, beberapa lokasi lain yang dinyatakan sebelum ini termasuk lima di Lembah Klang, Dengkil dan Petaling Jaya di Selangor, dan di Bukit Jalil serta dua lokasi lagi di KL. Dua yang lain akan berada di Ipoh dan Perai, sementara di selatan akan ada dua lokasi juga, iaitu di Negeri Sembilan dan Iskandar Puteri, Johor.

    Tesla Supercharger di M’sia — 12 lokasi; kerjasama Pavilion, Gamuda, Sunway, Quill, MRCB, Levn

    Kemungkinan lebih tepat tentang lokasi yang dimaksudkan boleh dilihat kepada pemaju hartanah yang bekerjasama dengan Tesla — diumumkan sebelum ini yang syarikat itu akan bekerjasama dengan Gamuda, Sunway, MRCB dan Quill, dengan yang terakhir ini merupakan dua lokasi tambahan yang terbaru daripada senarai awalnya.

    Syarikat itu juga menamakan Levn Capital sebagai rakan usahasama, sekaligus memberi petunjuk kepada lokasi Supercharger di Negeri Sembilan. Ia juga membangunkan Pedas RSA, R&R pertama yang dikendalikan oleh pihak swasta di negara ini.

    Terletak di KM 241 Lebuhraya PLUS, Pedas RSA akan termasuk juga hab pengecasan EV untuk kegunaan pengecasan pantas massa, pembangunan flagship pertama di bawah program Electric Vehicle Charging Corridor (EVCCTM).

    Berkaitan kadar bayaran untuk pengecasan Supercharger ini, masih belum ada sebarang angka yang diumumkan, memandangkan stesen di Paviliun KL juga masih belum mula beroperasi. Bagaimanapun, formula untuk kadar yang akan dikenakan boleh dilihat di lokasi Tesla sudah menawarkan stesen ini, seperti di Singapura.

    Supercharge ini hanyalah untuk kegunaan kenderaan Tesla sahaja, dengan sekurang-kurangnya 30% daripada penegcas yang dibangunannya akan dibuka untuk EV jenama lain. Dengan keperluan awal syarikat ini untuk membangunkan 50 unit pengecas pantas DC, ia akan melibatkan 15 unit yang akan dibuka kepada umum, walaupun masih belum dinyatakan bila perkara ini akan dilaksanakan.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia naik 10.3% cecah 366,037 unit bagi 1H 2023 – sasaran tahunan dinaikkan ke 725k

    Jualan kenderaan di M’sia naik 10.3% cecah 366,037 unit bagi 1H 2023 – sasaran tahunan dinaikkan ke 725k

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi separuh pertama (1H) tahun 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 10.3%, mencecah 366,037 unit. Ini bermakna pasaran kenderaan baharu bukan sahaja kembali ke tahap pra-pandemik, malah sebenarnya lebih tinggi berbanding sebelum ini. Dengan rekod bagi 1H 2023 untuk jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah lebih cemerlang berbanding jualan yang tercatat pada 2022 iaitu 720,658 unit.

    Menerusi taklimat oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, prestasi separuh pertama yang kukuh dikaitkan dengan tempahan yang diterima semasa tempoh pengecualian cukai jualan Penjana tahun lepas, yang sebahagian besarnya didaftarkan sebelum 31 Mac. Sebilangan besar tempahan ini juga telah dibawa dan didaftarkan dari April hingga Jun 2023.

    Jualan yang mantap didorong terutamanya kenderaan buatan negara. Pada 1H2023, peneraju pasaran Perodua dan Proton di tempat kedua menjual 220,702 unit, meningkat sebanyak 19% setakat ini. Sebaliknya, jualan kenderaan penumpang bukan nasional turun 3% kepada 105,959 unit. Ini bermakna pada masa ini, Perodua dan Proton menguasai sekitar 68% daripada jumlah pasaran kenderaan penumpang, iaitu 5% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

    Jualan kenderaan di M’sia naik 10.3% cecah 366,037 unit bagi 1H 2023 – sasaran tahunan dinaikkan ke 725k

    Selain Penjana, MAA turut berkata bahawa ekonomi domestik yang berdaya tahan (KDNK berkembang sebanyak 5.6% pada S1 2023), pelancaran model baharu, harga yang kompetitif dan persekitaran rantaian bekalan industri yang bertambah baik turut menyumbang kepada peningkatan TIV. Jumlah pengeluaran juga meningkat seiring dengan jualan – meningkat 44,602 unit atau 14% tahun setakat ini untuk mencapai 362,535 unit.

    Dengan keadaan yang bertambah baik, MAA telah memutuskan untuk menyemak semula ramalan TIV bagi keseluruhan tahun 2023 kepada 725,000 unit. Ini merupakan peningkatan 75,000 unit daripada unjuran 2023 sebelumnya iaitu 650,000 unit yang diumumkan pada Januari. Jika sasaran 725k tercapai, ia mampu mengetepikan rekod tertinggi sepanjang masa yang dicatatkan pada tahun lalu.

    Jualan kenderaan di M’sia naik 10.3% cecah 366,037 unit bagi 1H 2023 – sasaran tahunan dinaikkan ke 725k

    Antara sebab yang disebut untuk peningkatan unjuran TIV ialah prospek ekonomi Malaysia yang stabil (KDNK dijangka berkembang 4-5% untuk tahun penuh 2023, didorong oleh permintaan domestik), pelancaran model baharu, penerusan strategi promosi agresif dan perkhidmatan tambah ahli MAA, penambahbaikan dalam persekitaran rantaian bekalan industri automotif, dan keputusan Bank Negara untuk mengekalkan OPR baru-baru ini pada 3%.

    Walau bagaimana pun, sikap berhati-hati dalam soal berbelanja oleh pengguna, ditambah pula dengan kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup dan kelemahan Ringgit berbanding mata wang asing utama mungkin mampu menjadi faktor yang mampu mengganggu sasaran rekod berkenaan. Selain itu. Ketidakpastian tentang persekitaran ekonomi domestik dan global mungkin juga memainkan peranan dalam jualan kereta.

     
     
  • JPJ nafi pemandu warga emas 65 tahun ke atas perlu jalani pemeriksaan mata, kesihatan mulai 2024

    JPJ nafi pemandu warga emas 65 tahun ke atas perlu jalani pemeriksaan mata, kesihatan mulai 2024

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan khabar angin yang tular menerusi aplikasi Whatsapp berkenaan yang menyatakan warga emas berusia 65 tahun dan keatas wajib menjalani pemeriksaan mata dan pemeriksaan kesihatan bermula tahun 2024.

    Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, JPJ berkata pembaharuan lesen memandu bagi warga emas adalah seperti biasa.

    “Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat supaya tidak tertipu,” kata JPJ.

    Untuk anda semua, jika ada sebarang info yang tidak pasti dan bukannya bersumberkan daripada pihak yang sahih (seperti JPJ dan PDRM), janganlah mudah terperdaya dan terus menyebarkan info tersebut kepada orang lain. Tak pasti, jangan kongsi!

     
     
  • MAA sahkan Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) akan kembali dianjurkan tahun hadapan

    MAA sahkan Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) akan kembali dianjurkan tahun hadapan

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengesahkan bahawa Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) bakal kembali diadakan pada tahun hadapan.

    Perkara ini disebut oleh presidennya Mohd Shamsor Mohd Zain yang juga pengarah pemasaran di UMW Toyota Motor dalam sesi pembentangan prestasi pasaran automotif Malaysia untuk separa 2023 semalam. Beliau mengesahkan bahawa KLIMS 2024 bakal berlangsung tahun hadapan, namun butiran lanjut berkenaan tarikh, tempat dan sebagainya masih belum diperincikan.

    MAA sahkan Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) akan kembali dianjurkan tahun hadapan

    Hasrat penganjuran semula KLIMS ini telah disebut oleh presiden MAA sebelum ini, Allahyarhamah Datuk Aishah Ahmad dalam sesi pembentangan prestasi pasaran automotif tempatan untuk 2022 pada awal tahun ini. Kali terakhir MAA menganjurkan KLIMS adalah pada 2018.

    Motor show, mungkin 2024. Saya harap anda semua (media) akan menyokong kami,” kata Aishah pada Januari lalu ketika ditanya adakah satu lagi edisi KLIMS akan dilangsungkan.

     
     
  • GWM Cannon Ultra 2023 – pengedar di Malaysia dedah harga bermula RM128k, 2.0L Turbodiesel, 8AT, AEB

    GWM Cannon Ultra 2023 – pengedar di Malaysia dedah harga bermula RM128k,  2.0L Turbodiesel, 8AT, AEB

    Mac lalu Great Wall Motor Malaysia telah pun mendedahkan spesifikasi awalan untuk trak pikap yang bakal dijual di pasaran Malaysia iaitu GWM Cannon P12. Sesi pratonton untuk model ini juga telah dibuat pada bulan yang sama, namun bila tarikh ia akan dilancarkan dan dijual di sini masih belum dimuktamadkan.

    Walau bagaimanapun, nampaknya sudah ada pengedar tempatan yang mendedahkan harga trak pikap ini. Dalam hantaran media sosial yang dibuat oleh pengedar berkenaan, GWM Cannon P12 yang ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Ultra ini akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM127,800. Ia dilindungi waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, GWM akan membawa dua model Cannon ke pasaran Malaysia iaitu P11 dan P12. Kedua-dua model ini menampilkan badan jenis Double Cab, namun P11 adalah lebih kepada trak komersil manakala P12 pula datang dengan spesifikasi untuk kegunaan persendirian harian.

    GWM Cannon Ultra 2023 – pengedar di Malaysia dedah harga bermula RM128k,  2.0L Turbodiesel, 8AT, AEB

    Jadi untuk penampilan sebelah luar, Cannon P12 Ultra ini menerima gril hadapan dengan elemen melintang yang disalut krom bersama lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang LED, berbanding P11 yang diberikan gril dengan elemen batu berlian bersama lampu hadapan dengan bentuk sedikit berbeza, tanpa lampu nyalaan siang.

    Kedua-dua versi Cannon ini dibekalkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin turbodiesel empat silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF bersama sistem pacuan empat roda.

    Konfigurasi suspensi juga sama antara P11 dan P12, dengan bahagian hadapan menggunakan double wishbone manakala di belakang menggunakan spring dedaun. Walaubagaimanapun, P12 mendapat stereng kuasa elektrik dan rim 18 inci (tayar 265/60), berbanding P11 yang cuma menggunakan stereng hidraulik dan rim 17 inci (tayar 245/70).

    GWM Cannon Ultra 2023 – pengedar di Malaysia dedah harga bermula RM128k,  2.0L Turbodiesel, 8AT, AEB

    Perincian lain yang turut dibekalkan pada Cannon P12 termasuk differential boleh kunci pada gandar belakang, pelbagai mod pemanduan, lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, pemijak kaki belakang, upholsteri kulit, tempat duduk larasan kuasa, penukar gear di stereng, panel instrumen digital tujuh inci, skrin sesentuh sembilan inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), pendingin hawa automatik (dengan corong di belakang) serta sistem tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, P12 dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, sistem pengenalan tanda jalan dan ciri pemanduan autonomous Tahap 2 yang merangkumi sistem Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring Assist dan Autonomous Emergency Braking (AEB).

    GALERI: GWM Cannon P12

    GALERI: GWM Cannon P11

     
     
  • Yamaha BWS tiba di Taiwan – gaya lasak, enjin 125 cc

    Yamaha BWS tiba di Taiwan – gaya lasak, enjin 125 cc

    Yamaha mempunyai banyak model khas untuk pasaran Taiwan dan satu yang terbaru adalah BWS 125 ini. Ia membawa gaya skuter lasak seperti Honda ADV 160, serta rekaan yang lebih mengutamakan kepada utiliti supaya ia boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti.

    Seperti yang boleh anda lihat, hanya beberapa panel kecil pada skuter ini mempunyai warna, sementara bahagian lain dibiarkan tanpa cat. Sesuai dengan motosikal jenis seperti ini, Yamaha juga telah menyediakan beberapa tapak skru khas jika ada pemilik yang mahu menambah barangan seperti besi pelindung badan ataupun tapak untuk beg.

    BWS dipacu oleh enjin satu silinder empat strok, 125 cc Blue Core VVA dengan sistem penyejukan cecair serta transmisi automatik, namun jumlah kuasanya tidak didedahkan. Rimnya cuma bersaiz 12 inci di hadapan dan belakang, namun dipasang dengan tayar berbunga lebih kasar sesuai dengan karekternya.

    Memegang skuter ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara brek pula kedua-dua bahagian hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera. Tangki bahan api berkapasiti 6.1 liter.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada BWS 125 adalah termasuk lampu hadapan dan belakang LED, pengecas USB serta meter jenis digital. Pemilik juga boleh menambah pelbagai aksesori pada skuter ini, untuk menjadikannya lebih bersesuaian dengan penggunaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025