Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aktiviti pemalsuan lesen masih berleluasa – JPJ

    Aktiviti pemalsuan lesen masih berleluasa – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan aktiviti pemalsuan lesen memandu yang masih berleluasa dipromosikan di laman media sosial sehingga kini. Perkara tersebut diakui sendiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ M Janagarajan.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mendapatkan lesen kenderaan, supaya tidak terjebak dengan pemalsuan lesen atau lebih popular dipanggil ‘lesen terbang’, laporan Bernama.

    “Sebenarnya ini bukan isu lesen terbang, isunya ialah pemalsuan lesen. Lesen itu bukan lesen biasa. Ia dilakukan atau dibuat oleh scammer dan lesen tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak wujud di dalam sistem JPJ.

    “Sekiranya pengguna dapat lesen yang sedemikian, mereka tidak memperoleh lesen yang betul dan ia adalah lesen palsu,” katanya sambil menambah pihaknya sudah mengenal pasti ramai yang menjadi mangsa penipuan ini dan tindakan dilakukan menerusi bahagian pelesenan memandu integriti JPJ.

    Aktiviti pemalsuan lesen masih berleluasa – JPJ

    Jelas beliau, modus operandi penipuan ini ialah mereka menawarkan iklan dalam media sosial dengan mengatakan bahawa lesen itu adalah lesen yang sah, tetapi sebenarnya lesen itu adalah lesen yang tidak sah.

    “Ada mangsa sudah membuat pembayaran dan sekiranya bernasib baik, mereka dapat lesen palsu berkenaan, tetapi ada juga mangsa mengadu akaun ditutup atau tidak wujud setelah pembayaran dibuat,” katanya.

    Janagarajan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengambil tindakan mahkamah ke atas suspek yang melakukan penipuan itu.

    “Apa yang perlu pengguna ingat, mereka yang dapat lesen palsu itu hanya boleh menggunakannya dalam tempoh sekejap sahaja dan aktiviti tidak sihat ini biasanya disedari selepas pengguna membuat pembaharuan lesen pada tahun seterusnya,” katanya.

     
     
  • VinFast mula kurangkan pekerja di Amerika Syarikat sebelum kereta pertama dihantar kepada pelanggan

    VinFast mula kurangkan pekerja di Amerika Syarikat sebelum kereta pertama dihantar kepada pelanggan

    Pembuat kereta dari Vietnam, VinFast sudahpun bertapak di Amerika Syarikat dan memperkenalkan lima model elektrik penuh (EV) ketika berlangsungnya Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas tahun lalu. Tempahan untuk model-model tertentu sudah diambil, dan dijangka ia bakal masuk ke pasaran negara tersebut pada tahun ini.

    Namun belum sempat satu pun kereta diserahkan kepada pelanggan, VinFast dilaporkan mula mengurangkan tenaga kerjanya di Amerika Syarikat dalam penstrukturan semula yang dibuat baru-baru ini, lapor Carscoops dengan memetik laporan dari Reuters.

    Sebelum ini Vinfast dilaporkan mengambil sejumlah 150 pekerja untuk divisinya di Amerika Syarikat. Penstrukturan semula yang dibuat berkenaan menyaksikan divisi VinFast AS akan dikecilkan bilangannya dan disatukan dengan divisi VinFast Kanada. Walau bagaimanapun, penstrukturan semula dan pengecilan operasi ini tidak melibatkan pekerja VinFast di ibu pejabatnya di Vietnam.

    VinFast mula kurangkan pekerja di Amerika Syarikat sebelum kereta pertama dihantar kepada pelanggan

    Sebanyak 999 unit pertama VinFast telah tiba di AS pada November lalu, dengan jadual asal ia akan diserahkan kepada pelanggan pada akhir tahun 2022. Namun penghantaran berkenaan terpaksa ditangguhkan ke Februari tahun ini kerana kesemua unit kenderaan tersebut perlu dibuat kemaskini perisian.

    VinFast turut dilaporkan sedang menunggu kelulusan untuk membuka kilang EVnya di Carolina Utara, dan dijangka bakal memerlukan seramai 7,500 pekerja menjelang Julai 2024. Kilang bernilai USD4 bilion tersebut akan melibatkan operasi pembuat panel serta pemasangan dan mengecat badan yang bakal menghasilkan 150,000 EV setahun.

     
     
  • Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Range Rover Velar diberikan facelift untuk tahun 2023, dan itu hanya melibatkan sedikit perubahan luaran dalaman sahaja. Kelengkapan teknologi juga ada yang ditambah, sementara model plug-in hybrid diberi peningkatan bateri untuk jarak EV yang lebih jauh.

    Antara perubahannya adalah rekaan gril baru, selari dengan yang ada pada Range Rover terkini. Begitu juga dengan lampu utama Pixel LED dengan DRL, dan di belakang hadir dengan lampu lebih moden dengan apron diperkemas. Dua tambahan warna baru juga diberikan — Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey.

    Di dalam, Velar menerima sistem infotainmen Pivi Pro terbaru, dengan skrin sentuh lengkung 11.4-inci terapung. Sistem ini menyokong sambungan tanpa wayar Andorid Auto dan Apple CarPlay, boleh dikemaskini over-the-air, sokongan Amazon Alexa dan paparan fungsi lain kenderaan.

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Kemaskini lain termasuklah balutan kerusi dan perincian, dengan empat warna baru kulit sintetik disediakan (Cloud, Caraway, Raven Blue dan Deep Garnet), kemasan Moonlight Chrome di stereng, konsol tengah dan corong udara, serta kemasan Technical Light Anodised atau Dark Anodised Aluminium.

    Ciri tambahan seperti Active Road Noise Cancellation juga ditambah, menjadikan Velar lebih senyap. Sistem berkenaan bergantung kepada sistem audio untuk mengurangkan bunyi bising dalam kabin sebanyak minimum empat decibel (dB). Dan sistem audio bagi varian tertinggi pula melibatkan tetapan Meridian dengan 17 pembesar suara dan 750 watts amplifikasi.

    Untuk sistem janaan, SUV plug-in hyrid P400e menampilkan enjin 2.0 liter Ingenium turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Ini dibantu juga oleh motor elektrik dengan janaan 143 PS (105 kW) dan 275 Nm, yang bekerja dengan belt-integrated starter generator (BISG), untuk memberikan janaan total 404 PS dan 640 Nm. Motor elektrik ini dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 19.2 kWh (sebelum ini 17.1 kWh), dengan jarak EV penuh naik 20% — dari 53 km kepada 64 km.

    Kapasiti lebih besar itu juga datang dengan input pengecasan pantas DC yang dipertingkatkan kepada 50 kW (sebelum ini 32 kW), dengan pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC dengan maksimum kekal 7 kW, tempoh yang 2.5 jam untuk penuh.

    Selain pilihan PHEV, barisan enjin petrol Ingenium dan diesel dengan teknologi mild-hybrid 48-volt yang termasuk ciri BiSG. Ini memberikan kelebihan ketika pecutan dan situasi Start/Stop yang lebih lancar.

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Untuk petrol, P250 datang dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 250 PS (247 hp) dan 365 Nm. Varian paling asas tiada sistem mild-hybrid, tetapi P340 dan P400 ada. Ini memanfaatkan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris yang menjana 340 PS (335 hp) dan 480 Nm (P340) dan 400 PS (395 hp) dan 550 Nm (P400).

    Bagi pilihan diesel, D200 menggunakan unit 2.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 204 PS (201 hp) dan 430 Nm; sementara D300 dengan 3.0 liter yang menjana 300 PS (296 hp) dan 650 Nm. Semua enjin digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua roda (berserta ciri Terrain Response 2).

    Tingkat kemasan yang ditawarkan adalah S, Dynamic SE, Dynamic HSE dan Autobiography. Semua model enam-silinder dan PHEV, dan juga Dynamic HSE empat-silinder dilengkapi dengan Adaptive Dynamics sebagai standard.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRH dan JWB bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan Johor bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bidaan bagi siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRH, bakal dibuka bidaan mulai 8 Februari 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 12 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 13 Februari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWB, bidaannya bakal dibuka bermula 9 Februari 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Februari 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Lorong tambahan Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Skudai: MOF bakal berbincang dengan PLUS

    Lorong tambahan Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Skudai: MOF bakal berbincang dengan PLUS

    Sehingga kini, laluan enam hingga lapan lorong Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka, dan hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu sibuk, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

    Oleh itu, Kementerian Kewangan (MOF) bakal mengadakan pertemuan bersama pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada minggu ini bagi membincangkan perkara tersebut, lapor Sinar Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan perbincangan tersebut adalah berhubung penambahan lorong daripada empat kepada enam lorong lebuh raya berkenaan membabitkan laluan antara Yong Peng hingga Skudai, yang menjadi fokus kerajaan negeri terutama dalam mengatasi kesesakan, akibat pertambahan kenderaan.

    “Ini juga adalah permintaan ramai rakyat berikutan kesesakan lalu lintas lebuh raya itu di antara Yong Peng-Skudai adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

    “Kita lihat dari Melaka ke Seremban sudah ada enam lorong, manakala dari Seremban ke Kuala Lumpur sudah ada lapan lorong.

    Lorong tambahan Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Skudai: MOF bakal berbincang dengan PLUS

    “Namun Johor cuma ada empat lorong sedangkan negeri itu memberikan sumbangan yang begitu besar kepada kekayaan dan pendapatan negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail semalam.

    Laporan Sinar Harian turut menyebut bahawa sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.

    “Pertemuan antara MOF dan PLUS itu bukanlah pengumuman berhubung pertambahan lorong di laluan lebuh raya di negeri ini akan bermula. Namun ia adalah perbincangan awal yang akan memberi pemberat kepada cadangan yang sekian lama dibuat Johor.

    “Sekiranya tidak ada perbincangan lanjut, seolah-olah perkara itu akan berlalu begitu sahaja dan tidak ada sebarang pemberat kepada cadangan yang penting untuk merealisasikan permohonan Johor itu,” tambah Ahmad Maslan.

     
     
  • Lorong Kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya PLUS ditutup pada 7-16 Feb

    Lorong Kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya PLUS ditutup pada 7-16 Feb

    PLUS Berhad (PLUS) memaklumkan lorong kiri di Terowong Meru bagi laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu ii KM260.30 hingga KM262.05 (arah selatan) ditutup secara berperingkat mulai hari ini, 7 Februari hingga 16 Februari 2023. Penutupan secara berperingkat antara jam 9 malam hingga 12 tengah hari setiap hari sepanjang tempoh tersebut adalah bagi kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan.

    Menurut PLUS, sepanjang tempoh tersebut, laluan kontra akan diaktifkan secara berkala sekiranya perlu bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

    “Justeru, pengguna yang menghala ke selatan/Ipoh/Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

    Lorong Kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya PLUS ditutup pada 7-16 Feb

    “Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

    Untuk mengelakkan kekeliruan atau pun mungkin ada yang tidak tahu, jika ke anda dari arah utara, terowong ini dipanggil Terowong Menora. Manakala jika dari arah selatan, ia dipanggil Terowong Meru.

     
     
  • Audi RS e-Tron GT 2023 dilihat sebelum pelancaran

    Audi RS e-Tron GT 2023 dilihat sebelum pelancaran

    Audi RS e-tron GT telah dilihat di Malaysia, awal sebelum dilancarkan dijangka pada suku kedua tahun ini. Unit dalam gambar ini dilihat di EQ Kuala Lumpur. PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia sebelum ini mengumukan syarikat itu akan memperkenalkan barisan model e-tron EV dan mula mengambil pendaftaran minat daripada pelanggan.

    Kereta yang dinobat sebagai pemenang anugerah World Performance Car of the Year 2022 pertama kali diperkenalkan pada 2021 dan menggunakan platform J1 yang turut digunakan untuk Porsche Tycan. Dengan dua motor elektrik dan pacuan semua roda, RS e-tron GT mempunyai output sistem keseluruhan 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan 830 Nm tork, dengan mod lonjakan kuasa yang akan memberikan sehingga 646 PS (637 hp atau 475 kW).

    Dari segi prestasi, RS e-torn GT memerlukan 3.3 saat untuk pecutan 0-100 km/j dengan laju maksimum 250 km/j. Untuk jarak, bateri 85-kWh lithium memberikan 487 km (WLTP) dan menyokong pengecasan pantas DC (CCS2). Input maksimum adalah 270 kW, yang boleh memenuhkan bateri dari 5-80% dalam masa hanya 22.5 minit. Turut disediakan adalah pengecasan AC (Type 2) sehingga 22 kW (dipertingkat daripada 11 kW).

    Audi RS e-Tron GT 2023 dilihat sebelum pelancaran

    Selain RS e-tron GT, PHSAM turut akan menawarkan e-tron GT quattro standard yang juga mempunyai tetapi dua-motor, dengan janaan 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan 630 Nm atau 530 PS (523 hp atau 390 kW) dengan lonjakan. Varian bukan RS pula memerlukan 4.1 saat untuk pecutan 0-100 km/j dengan laju maksimum 245 km/j.

    Harga untuk pasaran Malaysia bagi model ini belum diketahui. Tetapi di Jerman, e-tron GT quattro bermula dari 104,000 Euro (RM483,172), RS e-tron 142,500 Euro (RM666,184). Berapa agaknya tanda harga yang akan diletakkan untuk model ini nanti?

     
     
  • Sebuah Honda Jazz terbabas langgar lampu jalan gara-gara Mercedes-Benz E250 ‘u-turn’ ikut suka hati

    Sebuah Honda Jazz terbabas langgar lampu jalan gara-gara Mercedes-Benz E250 ‘u-turn’ ikut suka hati

    Satu video tular hasil rakaman dashcam berdurasi 30 saat yang memaparkan kemalangan yang membabitkan sebuah Honda Jazz merempuh lampu jalan selepas kenderaannya mengelak sebuah Mercedes-Benz E 250 yang membuat pusingan-U secara membabi buta di garisan berkembar di laluan berkenaan.

    Menurut perkongsian Ahmad Aliff Nasrullah menerusi Facebook, Jazz berkenaan dipandu oleh adiknya dan insiden berkenaan berlaku malam semalam di Jalan Long Yunus Kota Bharu, Kelantan. Laporan polis telah dibuat sejurus insiden tersebut dan menurut pihak polis, pemandu E 250 terbabit mempunyai rekod kes langgar lari.

    Ahmad Aliff turut berkata, selepas video ini tular di laman media sosial, pemandu E 250 berkenaan telah pun menyerah diri dan mengakui dia tidak sedar kemalangan terbabit berlaku membuatkannya meneruskan pemanduan.

    Nampak gayanya ‘menjawablah’ pemandu E 250 ni, dah lah buat pusingan-U di garisan berkembar, langgar lari pulak tu. Rasanya polis takkan terima alasan ‘tak sedar kemalangan berlaku.’ Apa pun, kita serahkan sepenuhnya pada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Diharap kita sebagai pemandu lebih peka dengan keadaan sekeliling. Jangan disebabkan kealpaan kita, orang lain yang menjadi mangsa. Jadilah seorang pemandu yang bertanggungjawab.

    Sapo2 kenal Tuan Keto ni, Edjust PM direct… Nok ajok minum air… URGENT DEH.. Lps Dio U-turn BODO td, Dio lari g2…

    Posted by Ahmad Aliff Nasrullah on Thursday, 2 February 2023

     
     
  • KL Car Free Morning pada 5 Feb 2023 ditangguh ke tarikh dimaklumkan kelak kerana perayaan Thaipusam

    KL Car Free Morning pada 5 Feb 2023 ditangguh ke tarikh dimaklumkan kelak kerana perayaan Thaipusam

    Pihak pengurusan KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan acara berkenaan tidak akan dilangsungkan pada Ahad ini, 5 Februari 2023. Ini susulan cuti perayaan Thaipusam pada tarikh terbabit, yang juga merupakan cuti umum untuk seluruh negara.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

     
     
  • Zeekr X didedah – crossover elektrik yang lebih besar daripada smart #1, harga dijangka bermula RM127k

    Zeekr X didedah – crossover elektrik yang lebih besar daripada smart #1, harga dijangka bermula RM127k

    Selepas beberapa teaser, Zeekr akhirnya mendedahkan beberapa gambar rasmi untuk model ketiga mereka, yang dinamakan sebagai Zeekr X. Penggunaan nama ini adalah di luar jangkaan ramai kerana dua model awal daripada anak syarikat Geely itu menggunakan siri nombor iaitu 001 dan 009.

    Perincian untuk Zeekr X tidak banyak buat masa ini, tetapi media dari China melaporkan bahawa crossover elektrik penuh itu akan membuat penampilan rasmi di Shanghai Auto Show pada bulan April, sebelum dijual dalam tahun ini juga – harga dijangka bermula 200,000 yuan (RM126,560).

    Dibina atas platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang juga digunakan oleh smart #1, Zeekr X mencatat ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,572 mm dan jarak roda 2,750 mm. Sementara panjang keseluruhannya adalah lebih daripada yang dijangka, jarak rodanya pula adalah sama seperti smart #1. Ia juga lebih panjang 180 mm dan lebih lebar 14 mm, tetapi tingginya kurang 64 mm.

    Berkenaan penggayaan, Zeekr X ternyata menonjol dengan bentuk DRL LED unik yang juga membawa sedikit persamaan dengan 009. DRL ini adalah sebahagian daripada tetapan lampu dua tingkat yang digunakan, dan lampu utama (dengan teknologi matriks) terletak mendatar di bawah.

    Meskipun gambar bahagian dalam masih belum ditunjuk, ada spyshot yang menampakkan papan pemuka X menggunakan rekaan minimalis, dengan rekaan berpetak, panel instrumen digital kecil serta skrin sesentuh sistem infotainmen yang besar. Konsol tengah antara tempat duduk hadapan tidak bersambung dengan papan pemuka dan ia menempatkan perehat tangan serta tempat cawan.

    Ada laporan yang mengatakan Zeekr X akan mendapat pilihan penggerak yang sama seperti smart #1, dengan tetapan motor tunggal bersama pacuan roda belakang, dan motor berkembar dengan pacuan semua roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah antara 272 PS (268 hp atau 200 kW) hingga 428 PS (422 hp atau 315 kW), sementara bateri pula berkemungkinan mempunyai kapasiti 66 kWh.

     
     
  • Rapid Bus dapat kerjasama DBKL bagi kelancaran bas perantara sepanjang LRT Laluan Ampang terganggu

    Rapid Bus dapat kerjasama DBKL bagi kelancaran bas perantara sepanjang LRT Laluan Ampang terganggu

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan bas berhenti-henti dan perantara di Lembah Klang, telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melancarkan perjalanan perkhidmatan bas. Sokongan ini telah diaktifkan sejak petang semalam.

    “Ini adalah hasil perbincangan dalam usaha membantu melancarkan perjalanan bas perantara yang menyokong perkhidmatan alternatif LRT Laluan Ampang, terutama sekali laluan di antara stesen LRT Hang Tuah dan stesen LRT Bandaraya. Sokongan yang diberikan termasuklah laluan bas khusus di waktu puncak.

    “Selain itu, DBKL juga bersetuju untuk meletakkan kon-kon di laluan lorong paling kiri di Jalan Raja Laut untuk kegunaan bas perantara LRT. Malahan DBKL juga telah bersetuju untuk hanya membenarkan bas-bas kendalian Rapid KL untuk melalui jalan Tun Perak sekiranya jalan tersebut ditutup kepada lalulintas ketika waktu puncak,” jelas Rapid Bus dalam kenyataan yang dikongsikan.

    Dalam waktu yang sama, DBKL menempatkan penguatkuasa di lampu isyarat Jalan Tun Perak dan Bulatan Dato’ Onn dengan sokongan anggota Polis Bantuan Prasarana di lokasi tersebut, serta
    membenarkan pemasangan khemah-khemah di stesen-stesen LRT yang terjejas bagi kemudahan dan keselesaan para pengguna.

    “Justeru, pihak Rapid Bus ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tambahan yang diberikan oleh pihak DBKL bagi kemudahan dan keselesaan pengguna yang terkesan akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya,” katanya lagi.

     
     
  • Belasungkawa Allahyarhamah Datuk Aishah Ahmad – Malaysia kehilangan tokoh automotif yang disegani

    Belasungkawa Allahyarhamah Datuk Aishah Ahmad – Malaysia kehilangan tokoh automotif yang disegani

    Hari ini, industri automotif Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian Datuk Aishah Ahmad, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), ke Rahmatullah. Beliau yang berusia 71 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu mengerjakan ibadah umrah di Jeddah pagi semalam dan dikebumikan di sana hari ini.

    Allahyarhamah Datuk Aishah telah berkecimpung dalam industri automotif tanahair sejak lebih 40 tahun, termasuk pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat (Kumpulan Automotif), Sime Darby Motors Division Sdn. Bhd. Atas kredibiliti dan pengalaman yang meluas dalam industri ini, beliau telah dilantik sebagai Presiden MAA sejak Januari 2000 sehingga kini.

    DRB-Hicom dalam kenyataan medianya turut berkongsikan rasa sedih di atas pemergiaan Allahyarhamah Datuk Aishah, “Beliau adalah seorang yang gigih dalam industri automotif dan telah memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran Malaysia sepanjang kerjayanya. Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan di dalam industri yang beliau sangat cintai,” kata Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM.

    Tambahnya, “Kepimpinan, visi, dan dedikasi beliau dalam menguruskan MAA telah memberi impak yang berkekalan kepada industri, dan beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri dan seluruh masyarakat.”

    Kami di paultan.org juga turut berdukacita di atas pemergian Allahyarhamah yang boleh dianggap sebagai srikandi automotif tempatan. Perjuangan dan usaha beliau di dalam memajukan industri automotif tempatan cukup dihargai. Salam takziah untuk keluarga beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.

     
     
  • Perodua Alza terbalik dikejar peronda Polis di MRR2 – bawa 11 warga asing, 1 warga tempatan di tahan

    Perodua Alza terbalik dikejar peronda Polis di MRR2 – bawa 11 warga asing, 1 warga tempatan di tahan

    Semalam tular satu video berdurasi seminit memaparkan sebuah Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya terbalik di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). Sejurus terbalik, sebuah kereta peronda polis Mitsubishi ASX tiba di tempat kejadian, seterusnya berlaku adegan kejar-mengejar antara pegawai polis dan individu dipercayai keluar dari Alza berkenaan.

    Apa yang terjadi sebenarnya ni? Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alza berkenaan sebenarnya terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan ia dikejar oleh kereta peronda berkenaan.

    “Pada 2 Febuari 2023 lebih kurang 8.00 pagi semasa Peronda Kl-Lancang JSPT Bukit Aman, Kpl Vijayan A/L Sivarajah bersama Kpl Mohd Khairul Azhar b. Zakaria sedang membuat rondaan di KM 29 Jalan KL – Lanchang menghala barat telah mengesan satu mpv jenis Perodua Alza di dalam keadaan mencurigakan. Semasa ditahan mpv tersebut tidak berhenti dan terus memecut menghala ke Tol Gombak dan merempuh palang Tol di Plaza Tol Gombak.” tulis kenyataan tersebut.

    “Hasil bantuan Gerakan JSPT Bukit Aman, mpv tersebut berjaya ditahan di Lebuhraya MRR2 menghala ke Sungai Buloh dan pemeriksaan mendapati (1) lelaki warga tempatan, (10) lelaki dan (1) wanita dipercayai warga asing berada di dalam mpv tersebut. Semakan awal dapati kesemua tangkapan warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” tulis kenyataan tersebut.

    Polis mengesahkan kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke IPD Petaling Jaya dan ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah dan warga tempatan yang ditangkap tersebut disiasat di bawah SOSMA yang diperuntukkan dibawah Seksyen 4(5) SOSMA 2012 manakala 11 warga asing disiasat dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen (pindaan) 2002 (Akta 155).

     
     
  • Jalan Yong Shook Lin di PJ ditutup setiap Jumaat-Ahad, 8 mlm-12 t/mlm untuk PJ Weekend Flea Market

    Untuk penduduk di sekitar Petaling Jaya (PJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan Jalan Yong Shook Lin di Seksyen 52 atau lebih dikenali sebagai PJ State akan ditutup untuk laluan trafik setiap hari Jumaat hingga Ahad, dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Ia akan bermula pada hujung minggu ini, 3-5 Februari 2023.

    Laluan berkenaan yang terletak berhadapan dengan Laman MBPJ akan ditutup bagi menjayakan acara mingguan PJ Weekend Flea Market @ PJ Art Lane, yang melibatkan pameran seni, jualan pakaian terpakai dan vintaj, buku, permainan dan banyak lagi.

    Justeru, semua pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan terbabit diminta untuk menggunakan laluan alternatif seperti mana yang disarankan dalam jadual di atas. Amalkan pemanduan berhemah dan selamat.

     
     
  • Volvo Car Malaysia bakal eksport model-model EV dari Shah Alam ke Vietnam dan Filipina bermula tahun ini

    Volvo Car Malaysia bakal eksport model-model EV dari Shah Alam ke Vietnam dan Filipina bermula tahun ini

    Volvo Car Malaysia (VCM) dijangka bakal mengeksport model-model elektrik penuh (EV) yang diproduksi di kilang Swedish Motor Assemblies di Shah Alam ke Vietnam dan Filipina tahun ini. VCM sememangnya telah pun mengeksport unit-unit yang dipasang di Malaysia ke Thailand, dan yang terbaharu Indonesia bermula tahun lalu.

    Buat masa sekarang, dua model EV telah dipasang di Malaysia iaitu SUV XC40 Recharge Pure Electric dan juga versi coupe C40 Recharge Pure Electric. Sejak dilancarkan pada Mac 2022, model EV XC40 berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 400 unit yang diperuntukkan untuk 2022 habis ditempah dalam masa sebulan.

    C40 turut mencatatkan prestasi yang baik dengan 100 tempahan diterima hanya dalam 10 hari selepas pelancarannya Disember lalu, semuanya dibuat secara atas talian menerusi servis pembelian atas talian baharu yang ditawarkan dalam laman web rasmi VCM. Ini membolehkan VCM berada di landasan yang betul dalam sasarannya untuk menjual 75% EV dari jumlah jualan keseluruhannya menjelang 2025, dan menjadi jenama EV penuh pada 2030.

    Volvo Car Malaysia bakal eksport model-model EV dari Shah Alam ke Vietnam dan Filipina bermula tahun ini

    Menurut VCM, dengan kemampuan kilangnya di Shah Alam untuk memasang model-model EV memberikan peluang terbaik bagi membolehkannya menerajui segmen kereta elektrik premium di Malaysia.

    “Cita-cita Volvo Car Malaysia kearah elektrik sepenuhnya di Malaysia kini semakin kukuh untuk menjadi realiti. Kilang pemasangan kami di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam cita-cita elektrifikasi kerana kami akan membawa kenderaan elektrik ke dua lagi negara ASEAN – Vietnam dan Filipina,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

    “Pengeksportan kenderaan elektrik kami yang dipasang secara tempatan merupakan salah satu usaha kami untuk memacu Malaysia menjadi hab kenderaan elektrik di rantau ASEAN,” tambahnya lagi.

    GALERI: Volvo XC40 Pure Electric CKD 2022

    GALERI: Volvo C40 Pure Electric CKD 2023

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025