Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota GR Supercars Australia didedah – berlumba tahun depan selepas model produksi dihentikan jualan

    Toyota GR Supercars Australia didedah – berlumba tahun depan selepas model produksi dihentikan jualan

    2026 TOYOTA GR SUPRA CONTENT CAPTURE AND SHAKEDOWN, MELBOURNE, AUSTRALIA.
    WORLD COPYRIGHT: RACE PROJECT
    RPC16379.CR3

    Toyota Australia telahpun mendedahkan kereta lumba GR Supra yang bakal digunakan untuk siri perlumbaan Repco Supercars Championship bermula musim 2026. GR Supra masih dipilih untuk mewakili Toyota dalam siri perlumbaan touring car ikonik di negara itu walaupun jualannya di negara tersebut sudah diumumkan telah ditamatkan baru-baru ini.

    Kereta lumba ini dibina berasaskan undang-undang Gen3 Supercars Australia, di mana pembangunannya dibuat dengan rakan kerjasama homologasi iaitu Walkinshaw Andretti United (WAU). Jadi ia diasaskan dari casis spaceframe yang sama dibekalkan kepada pengeluar-pengeluar lain yang menyertai perlumbaan ini termasuk Ford dan Chevrolet, namun ia digerakkan oleh unit rangkaian kuasa binaan Toyota sendiri.

    Setiap jentera Supercars Gen3 ini perlu dikuaskan oleh enjin V8, jadi enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo asal tidak dapat digunakan, dan Toyota telah memilih enjin V8 2UR-GSE dari perut model produksi seperti Lexus IS 500 F Sport Performance, Lexus LC 500, Lexus GS F dan Lexus RC F untuk disumbat ke dalam GR Supra Supercars ini.

    Toyota GR Supercars Australia didedah – berlumba tahun depan selepas model produksi dihentikan jualan

    2025 SUPERCARS CHAMPIONSHIP.
    WALKINSHAW ANDRETTI UNITED, LIVERY REVEAL, DRIVER PORTRAITS.
    MELBOURNE, VICTORIA, AUSTRALIA.
    WORLD COPYRIGHT: RACE PROJECT
    RPC12625.CR3

    Dan bagi meningkatkan kuasanya, kapasiti 5.0 liter asal enjin 2UR-GSE tersebut telah dinaikkan kepada 5.2 liter (syarat homologasi membenarkan kapasiti dari 5.0 hingga 5.7 liter) dengan menggunakan omboh berukuran 94mm × 94mm (gerek X lejang) menjadikan ia sebuah enjin square berbanding enjin jenis strok pendek atau oversquare pada versi asal. Sistem pemasaan injap bervariasi (VVT) masih lagi berfungsi dan ia juga kekal sebagai enjin normally aspirated (NA) tanpa desakan pengecas turbo.

    Manakala untuk badan, rekaannya telah dihasilkan oleh pasukan pereka Toyota Australia di mana ia menampilkan banyak inspirasi rekaan dari model konsep asal Supra A90 iaitu Toyota FT-1. Ia termasuk pada bahagian ‘hidung’ dan lekuk pada bonet hadapan. Bentuk badan kereta lumba ini juga kelihatan sedikit berbeza dengan model produksi jalan raya GR Supra.

    Sebanyak enam-unit GR Supra Supercars ini telah dihasilkan, di mana dua daripadanya akan digunakan sendiri oleh WAU untuk berlumba sebagai pasukan dan dipandu oleh Chaz Mostert serta Ryan Wood. Manakala empat unit lagi akan berlumba di bawah pasukan Brad Jones Racing (BJR) di mana barisan pemandu mereka akan diumumkan hampir dengan pembukaan musim 2026 nanti.

    Toyota GR Supercars Australia didedah – berlumba tahun depan selepas model produksi dihentikan jualan

    2026 TOYOTA GR SUPRA CONTENT CAPTURE AND SHAKEDOWN, MELBOURNE, AUSTRALIA.
    WORLD COPYRIGHT: RACE PROJECT
    RPC16929.CR3

    “Menyertai sukan permotoran, seperti yang dilakukan Toyota di seluruh dunia, merupakan bahagian penting dalam pembangunan kereta jalan raya kami, dan pengalaman serta pengetahuan yang kami perolehi adalah teras kepada jenama Toyota Gazoo Racing dan kereta berprestasi GR kami, yang merupakan ruang yang sentiasa berkembang dan berkembang pesat untuk kami di Australia, dengan pembangunan yang lebih menarik akan datang,” kata Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia Sean Hanley.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Toyota yang membantu menjadikan GR Supra Supercar satu realiti, dan kepada Supercars, Walkinshaw Andretti United dan Brad Jones Racing kerana bekerjasama dengan Toyota untuk penyertaan bersejarah ini ke dalam Kejuaraan Supercars,” tambahnya.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 4-6 Sept dalam Program Madani Rakyat 2025 Kedah di Baling

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 4-6 Sept dalam Program Madani Rakyat 2025 Kedah di Baling

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Kedah bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 4 hingga 6 September 2025. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Madani Rakyat 2025 Kedah.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang di lokasi acara iaitu di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Baling atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Sept – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 4-10 Sept – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 4 hingga 10 September 2025, harga runcit bagi semua bahan api utama di negara ini dikekalkan seperti minggu sebelumnya. Di mana harga runcit petrol RON97 dikekalkan pada RM3.16 seliter. Manakala RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia masih berharga RM2.88 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak tetap dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Manakala pada 26 Ogos, Menteri MoF II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada masa ini, kerajaan berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan bagi subsidi petrol RON95 bersasar, dengan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan yang relevan. Ini termasuk meneroka pelbagai mekanisme pelaksanaan, seperti menguji penggunaan MyKad, e-dompet, dan aplikasi syarikat minyak, bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cekap serta tidak menyulitkan rakyat.”

     
     
  • Geely sah masuk pasaran Afrika Selatan; Coolray tiba separa ke-2 2026, bersaing terus dengan Proton X50?

    Geely sah masuk pasaran Afrika Selatan; Coolray tiba separa ke-2 2026, bersaing terus dengan Proton X50?

    Geely Auto telah mengesahkan bahawa ia akan rasmi masuk semula ke pasaran Afrika Selatan selepas ia meninggalkan pasaran tersebut sekitar satu dekad lalu. Menurut laporan Cars.co.za, Geely merancang untuk menyediakan 40 pengedar di negara tersebut di mana 35 pengedar telahpun dilantik, dan ia bakal menjual model-model kenderaan tenaga baharu (NEV) dan juga model-model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya.

    Menurut portal itu lagi, berdasarkan rancangan pelancaran produk yang telah dibentangkan oleh Geely Auto untuk pasaran Afrika Selatan, Geely akan melancarkan dua model pertamanya di sana pada bulan hadapan iaitu SUV EV segmen-C Geely EX5 iaitu kembar kepada Proton eMas 7, bersama kembar dalam versi plug-in hybrid (PHEV) yang kini dikenali di China sebagai Geely Galaxy Starship 7.

    Selepas itu pada separa pertama 2026, Geely akan melancarkan pula model EV kompak Geometry E22H, atau dikenali sebagai Geely Star Wish untuk pasaran seperti Thailand, yang juga merupakan kembar kepada Proton eMas 5 di Malaysia. Geely turut akan melancarkan trak pikap EV Riddara RD6 pada pasaran tersebut juga pada separa pertama 2026.

    Bagi model dengan enjin pembakaran dalaman pula, dua model dirancang akan dilancarkan pada separa kedua 2026 di sana. Dua model tersebut adalah SUV segmen-C Geely Coolray iaitu kembar kepada Proton X50, dan juga SUV bersaiz besar Geely Monjaro.

    Cars.co.za turut melaporkan bahawa Geely mensasarkan untuk menjual sebanyak 13,000 unit kenderaan di Afrika Selatan pada 2026, 15,000 unit pada 2027 dan juga 20,000 unit pada 2028 dengan 80 pengedar ketika itu.

    Nampaknya Afrika Selatan menjadi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang menjadi titik pertembungan antara Proton dan Geely. Buat masa sekarang Proton menjual empat model iaitu Saga, X50, X70 dan X90. Jadi dengan perancangan dari Geely ini nampaknya Proton X50 bakal berhadapan terus dengan Geely Coolray. Dan buat masa sekarang Coolray hanya dijual di pasaran-pasaran pemanduan sebelah kiri (LHD) – agaknya dari kilang mana yang akan memasang Coolray dalam versi RHD kelak?

    Bagi eMas 7, ia telahpun dieksport ke beberapa pasaran seperti Nepal dan Trinidad 7 Tobago, dan beberapa pasaran lain turut sudah dirancang. Namun sehingga kini pasaran Afrika Selatan masih belum diumum sebagai destinasi eksport seterusnya.

     
     
  • Tayar UHP Hankook Ventus evo dan Dynapro HT2 SUV dilancarkan di Malaysia – didakwa tahan lebih lama

    Tayar UHP Hankook Ventus evo dan Dynapro HT2 SUV dilancarkan di Malaysia – didakwa tahan lebih lama

    Hankook Tire Malaysia baru-baru ini melancarkan dua tayar baharu ke pasaran tempatan iaitu Ventus evo dan juga Dynapro HT2. Ventus evo merupakan tayar prestasi ultra-tinggi (UHP), manakala Dynapro HT2 pula adalah tayar SUV premium untuk pemandu yang mahukan keselesaan dan tahan lama.

    “Ventus evo berdiri di puncak rangkaian UHP kami, direka bentuk untuk pemandu yang mahukan ketepatan, kawalan dan keyakinan pada setiap selekoh. Sementara itu, Dynapro HT2, direka untuk memenuhi keperluan SUV premium yang semakin meningkat, memberikan keselesaan, keselamatan dan kestabilan tanpa kompromi. Bersama-sama, ia adalah simbol komitmen Hankook untuk memajukan mobiliti melalui teknologi tinggi,” kata pengarah urusan Hankook Tyre Malaysia Oh Hyun Nam.

    “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita semua telah menyaksikan betapa pantasnya pasaran Malaysia berkembang. Pemandu di sini lebih sofistikated, lebih cerewet dan semakin sedar tentang pilihan premium. Di peringkat global, Hankook sudah pun menjadi jenama teratas, dipercayai oleh pengeluar kereta terkemuka dan berjuta-juta pemandu,” kata Oh kepada pengedar pada majlis pelancaran itu.

    “Di Malaysia, misi kami jelas. Kami menyasarkan untuk mengukuhkan imej premium itu, untuk berkembang bersama anda, dan untuk menjadikan Hankook sebagai pilihan pertama untuk prestasi, teknologi dan kebolehpercayaan,” tambahnya.

    Ventus evo dan Ventus evo SUV didakwa mempunyai bentuk bunga dengan aliran melintang yang sangat baik. Dengan mengawal perubahan bentuk blok bagi menambahbaik hubungan dengan jalan, prestasi brek ketika jalan basah adalah 7% lebih baik dari model terdahulu, bersama pengendalian ketika basah yang meningkat sebanyak 4%.

    Kompaun bunga baharu juga menyumbang kepada cengkaman yang meningkat. Prestasi brek ketika kering kini 6% lebih baik dengan rekaan serong yang memberikan sudut tayar yang kurang bersegi membolehkan tekanan hubungan dapat diagih dengan lebih baik.

    Ventus evo juga diberikan corak kekukuhan yang dioptimakan, khususnya pada bahagian blok luar, untuk cengkaman ketika kering yang lebih baik. Profil sisi direka rata bagi memberikan tahap kekerasan lebih baik ketika mengambil selekoh, seterusnya memberikan kestabilan lebih baik.

    Tayar UHP Hankook Ventus evo dan Dynapro HT2 SUV dilancarkan di Malaysia – didakwa tahan lebih lama

    Walaupun kebanyakkan tayar UHP kebiasaannya memang cepat haus kerana material kompaun lebih lembut diberikan bagi memberikan prestasi lebih baik, Hankook mendakwa bahawa Ventus evo baharu ini kini memberikan jarak gerak 32% lebih baik dari versi terdahulu. Ketahanan lebih baik ini dapat dicapai menerusi bentuk tayar yang dioptimakan serta struktur yang direka agar tekanan hubungan dengan jalan dapat diagihkan lebih seimbang pada setiap permukaan bunga tayar.

    Manakala untuk Dynapro HT2, ia menjanjikan keselesaan dan ketahanan sepanjang masa yang ditakrifkan semula. Menurut Hankook, dengan alur halus yang diperbanyakkan dapat memberikan cengkaman lebih baik pada permukaan salji, manakala kompaun hidrofili yang digunakan bersama rekaan alur utama yang fokus untuk membuang air memberikan prestasi lebih baik pada jalan yang basah.

    Tayar Dynapro HT2 ini juga diberikan penjujukan pelbagai-pic bagi mengurangkan bunyi tayar seterusnya memberikan pemanduan yang lebih senyap, bersama blok bunga yang lebih keras bagi mengelakkan kehausan yang tidak rata. Hankook turut mendakwa bunga tayar Dynapro HT2 ini boleh bertahan 13% lebih lama menerusi profil yang direka bersegi dan rata.

     
     
  • Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

    Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

    Setelah diperkenalkan di Malaysia menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024, akhirnya SUV premium Mazda CX-80 2025 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Untuk pengetahuan anda, Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang memperkenalkan CX-80, namun terpaksa menunggu hampir setahun untuk melancarkannya.

    CX-80 2025 ini model kedua Mazda daripada kumpulan produk mewah Large Product Group yang mentakrifkan semula pemanduan yang berfokuskan tujuan, penuh gaya, dan berhubung secara menyeluruh. SUV premium ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, yang dipasang di Hofu Plant, Prefektur Yamaguchi

    Untuk pasaran tempatan, hanya satu varian Sahaja yang dilancarkan iaitu 2.5G PHEV AWD High Plus yang ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM331,610 tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun, program penyelenggaraan percuma lima-tahun yang meliputi semua penyelenggaraan berjadual termasuk buruh, alat ganti, dan pelincir serta waranti bateri voltan tinggi (HV) sehingga lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana terdahulu).

    Sebagai SUV premium dengan enam-tempat duduk, CX-80 ini disasarkan bersaing dengan BMW X5, Audi Q7, Mercedes-Benz GLE dan Hyundai Santa Fe generasi kelima.

    Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

    Berukuran 4,995 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,710 mm tinggi, CX-80 adalah 250 mm lebih panjang dan and 24 mm lebih tinggi berbanding CX-60, sementara jarak rodanya mencecah 3,120 mm juga lebih panjang sebanyak 250 mm. Jika dibandingkan dengan GLE, model SUV Jepun ini adalah 71 mm lebih panjang, 120 mm lebih sempit dan 87 mm lebih rendah, tetapi jarak rodanya 125 mm lebih panjang.

    CX-80 2025 ini diberikan sistem 2.5L e-Skyactiv PHEV yang menggabungkan enjin petrol 2.5L Skyactiv-G dengan hamburan kuasa 189 hp pada 6,000 rpm dan tork 261 Nm pada 4,000 rpm bersama motor elektrik berkuasa tinggi berkuasa 172 hp pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm pada 4,000 rpm. Sekaligus memberikan keseluruhan kuasa mencecah 323 hp pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.

    Penjana kuasa ini juga digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan EAT dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 195 km/j. Bagi pemanduan elektrik penuh, motor elektrik yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 17.8 kWh mampu memberikan jarak geraknya hingga 65 km. Manakala penggunaan bahan apinya pula dikatakan sekitar 1.6 liter bagi setiap 100 km.

    Dibina atas platform Large Architecture dengan pacuan semua-roda (AWD), ia menawarkan keseimbangan ketepatan, kestabilan, dan keselesaan. Ia turut digandingkan dengan sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang bersama sistem i-ACTIV AWD serta Kinematic Posture Control.

    Penampilan CX-80 ini agak mirip dengan CX-60, cuma bahagian belakang SUV premium ini kelihatan agak besar. Dibentuk dengan konsep Graceful Toughness, CX-80 ini juga menerapkan falsafah Jinba-Ittai Mazda dengan bentuk memanjang, jarak roda panjang, overhang pendek serta kabin tirus mencerminkan prestasi dan keanggunan. Pendekatan seni bina ini meningkatkan pengalaman ruang premium untuk susun atur tiga barisan tempat duduk dan masih mengekalkan estetika anggun yang sinonim dengan Mazda.

    Bahagian hadapan menampilkan muncung panjang, gril berukir, serta lampu utama LED adaptif yang menonjolkan konfigurasi enjin hadapan dengan pacuan roda belakang. Lampu signitur berbentuk-L di hadapan dan belakang melengkapkan identiti premium CX-80 manakala lampu utama LED adaptif yang nipis digabungkan secara harmoni ke fascia berukir, manakala kemasan krom halus menyerlahkan komitmen Mazda terhadap pertukangan mewah.

    Bagi bahagian gril, ia dilingkari krom yang besar dan fender hadapannya yang menyerlah. Manakala tingkap belakangnya juga lebih besar memberikan pandangan yang lebih luas untuk penumpang yang duduk di barisan ketiga. Melengkapkan lagi gayanya dengan diberikan roda aloi rona hitam bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar profil 235/50/R20, bumbung suria panoramik dengan Sliding & Tilt Glass, pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh, kunci automatik walkaway serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

    Ruang dalamanya juga lebih besar, juga seperti CX-60, dengan papan pemuka mendatar yang kemas, kawalan ergonomik, serta konfigurasi tiga baris tempat duduk luas memberikan keselesaan untuk semua penumpang. Material premium, tekstur mewah, dan pencahayaan ambien mencipta suasana tenang serta mesra.

    Jika unit yang dipamerkan di KLIMS 2024, tempat duduknya dibaluti material kulit rona putih, namun untuk versi yang dipasarkan di sini diberikan material kulit Nappa rona Tan (coklat elegan). Ia masih menampilkan kerusi kapten individu di barisan kedua dengan konsol tengah penuh yang menambah gaya serta fungsi. Barisan ketiga pula dilengkapi tempat duduk luas untuk dua penumpang. Ia juga dilengkapi ruang simpanan bersepadu, pemegang cawan tersembunyi, kawalan pendingin hawa, serta port pengecasan memudahkan keselesaan sepanjang perjalanan.

    Ciri kelengkapan lain untuk bahagian kabin termasuklah paparan meter digital 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, Active Driving Display (Head-up Display atau HUD). Paparan ini juga dipadankan dengan Driver Personalization System yang mengenal pasti pemandu secara automatik dan melaraskan lebih 250 tetapan (tempat duduk, stereng, cermin, paparan HUD).

    Selain itu, ia turut dilengkapi 360˚ View Monitor dengan teknologi See-Through View, Apple CarPlay tanpa wayar & Android Auto berwayar, pad pengecasan tanpa wayar , sistem audio premium Bose bersama 12-pembesar suara, cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan auto-kelam, roda stereng balutan kulit dengan suis kawalan audio dan bebas tangan Bluetooth, pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan (Normal, Sport, Off-Road, EV), tombol gear balutan kulit, pendingin hawa hadapan dua zon automatik dengan corong udara di belakang, enam unit port USB (Type C), 360° View Monitor, cruise control dan Stop/Start Idling Technology (i-Stop).

    Untuk aspek keselamatan, ia iberikan tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), cagak ISOFIX dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).

    CX-80 yang menerima penarafan lima- bintang Euro NCAP 2024 ini dilengkapi sistem i-Activsense yang merangkum Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Hadapan dan Belakang, Sistem Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Bantuan kekal Lorong (LAS) dengan Bantuan kekal Jalan, Kepekaan Perhatian Pemandu dengan fungsi Pemantauan Pemandu, Sokongan Brek Pintas (SBS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go dan Sokongan Trafik dan Kelajuan Santai (CTS).

    Untuk pilihan warnanya, ia diberikan rona eksklusif iaitu Melting Copper, Artisan Red, Rhodium White, Jet Black dan Platinum Quartz.


     
     
  • Mazda CX-60 2025 dilancarkan di Malaysia – varian 2.5 High, RWD, 191 PS/261 Nm; CBU, bermula RM200k

    Mazda CX-60 2025 dilancarkan di Malaysia – varian 2.5 High, RWD, 191 PS/261 Nm; CBU, bermula RM200k

    Setelah tempahannya dibuka sejak awal Jun yang lalu, akhirnya Bermaz Motor selaku pengedar rasmi Mazda di Malaysia melancarkan SUV Crossover CX-60 2025 untuk pasaran tempatan. Hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja, 2.5 High, model ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk dari Jepun. Ia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM200,510 tanpa insuran.

    Merupakan model pertama dalam kumpulan Mazda Large Product, CX-60 2025 ini dibangunkan di bawah platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture yang direka untuk menampung elektrifikasi masa hadapan dan memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat. Platform canggih ini menyokong teknologi inovatif yang meningkatkan dinamik pemanduan sambil mengukuhkan komitmen Mazda terhadap kelestarian.

    Ia diberikan enjin SKYACTIV®-G 2.5 liter Naturally-aspirated empat-silinder dengan output 191 PS (189 hp atau 141 kW) pada 6,000 rpm dan tork 261 Nm pada 3,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi baharu automatik lapan-kelajuan torque converter untuk memberikan kuasa pecutan yang responsif seperti mana yang diingini oleh pemandu. Menurut Mazda, transmisi baharu ini juga memberikan pecutan tepat pada masanya tanpa perlu mengubah atau mengurangkan pendikitan.

    Mazda CX-60 2025 dilancarkan di Malaysia – varian 2.5 High, RWD, 191 PS/261 Nm; CBU, bermula RM200k

    SUV crossover ini mampu mencapai kelajuan maksima hingga 203 km/j dan penjimatan bahan apinya didakwa sekitar 7.3 liter bagi setiap 100 km. Bagi memantapkan lagi pengendaliannya, CX-60 dilengkapi dengan Kinematic Posture Control (KPC), iaitu sistem kawalan brek yang akan menstabilkan semula kenderaan di selekoh tajam. Di mana ia mengoptimumkan prestasi suspensi untuk pergerakan badan yang lancar dan pengendalian stabil, walaupun pada kelajuan tinggi.

    Suspensi belakangnya direka untuk mengurangkan daya angkat, menurunkan badan semasa membrek bagi kestabilan yang lebih baik. Dengan mengawal postur kenderaan di bawah G-Force yang tinggi, KPC meningkatkan ketepatan kawalan, keyakinan pemandu dan prestasi keseluruhan. Gabungan teknologi ini memastikan CX-60 memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik namun terkawal, sama ada di jalan berturap mahupun di laluan lasak.

    Dari segi dimensi, CX-60 berukuran antara 4,740 hingga 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi, dengan jarak roda 2,870 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding CX-5 yang berukuran 4,575 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm, manakala jarak kelegaan tanah (ground clearance) SUV ini mencecah 175 mm.

    Dihasilkan di bawah konsep rekaan Noble Toughness, CX-60 menyerlahkan kekuatan melalui rekaan dinamik yang indah, melambangkan kecerdikan dan keanggunan sebagai evolusi lanjut falsafah rekaan Kodo Mazda. Falsafah rekaan Kodo Mazda benar-benar terserlah pada SUV ini, di mana struktur badannya kelihatan lebih tegap dengan imej garisan yang jelas dan berotot, direka untuk mencengkam jalan dengan penuh keyakinan.

    Mazda CX-60 2025 dilancarkan di Malaysia – varian 2.5 High, RWD, 191 PS/261 Nm; CBU, bermula RM200k

    Ia ditampilkan dengan gril hadapan dengan aspek baharu termasuk profil yang lebih tinggi, ditambah pula dengan lampu hadapan LED baharu dengan Signature Illumination yang disertakan sekali fungsi automatik bagi tahap pencahayaan dan on/off, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED. Pertama kali Mazda memperkenalkan gaya lampu bertindan menegak dan pencahayaan signitur berbentuk-L yang unik untuk bahagian hadapan dan belakang.

    Ciri kelengkapan luaran untuk CX-60 ini termasuklah rim aloi pelbagai-jejari rona perak metalik bersaiz 20-inci dibaluti tayar profil 235/50/R20, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan, bumbung suria panoramik dengan Sliding & Tilt Glass, pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh, kunci automatik walkaway serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Untuk bahagian dalamnya pula, bentangan susun atur rekaannya tidak sarat dan masih menerapkan imej Mazda seperti mana kebanyakan model baharunya. Walau bagaimana pun, ia lebih diperkemaskan supaya kelihatan lebih segar dan elegan. Untuk bahagian papan pemuka dan konsol tengahnya, ia dilapisi balutan material kulit soft touch dengan jahitan kontras, sedikit sebanyak menampakkan ciri lebih sofistikated dan mewah.

    Mazda CX-60 2025 dilancarkan di Malaysia – varian 2.5 High, RWD, 191 PS/261 Nm; CBU, bermula RM200k

    Bagi ciri kelengkapan kabinnya, ia diberikan paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci, butang start/stop enjin, brek parkir elektronik (EPB), Active Driving Display dengan paparan yang dipancarkan ke cermin hadapan, tempat duduk hadapan kawalan elektrik 10-hala dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, upholsteri kulit hitam, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3-inci bersama sokongan Apple Carplay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar, sistem bunyi BOSE® dengan 12-pembesar suara dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Selain itu, ciri lain termasuk cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan auto-kelam, roda stereng balutan kulit dengfan suis kawalan audio dan bebas tangan Bluetooth, pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan (Normal, Sport), tombol gear balutan kulit, pendingin hawa hadapan dua zon automatik dengan corong udara di belakang, empat unit port USB (Type C), 360° View Monitor, cruise control dan Stop/Start Idling Technology (i-Stop).

    Bagi aspek keselamatan, CX-60 2025 diberikan tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), cagak ISOFIX dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).

    CX-60 2025 juga dilengkapi ciri keselamatan termaju yang merangkumi Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Hadapan dan Belakang, Sistem Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Bantuan kekal Lorong (LAS) dengan Bantuan kekal Jalan, Kepekaan Perhatian Pemandu dengan fungsi Pemantauan Pemandu, Sokongan Brek Pintas (SBS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go dan Sokongan Trafik dan Kelajuan Santai (CTS).

    Lima pilihan warna badan ditawarkan untuk CX-60 ini iaitu Soul Red Crystal, Jet Black, Zircon Sand, Platinum Quartz dan Rhodium White.

    Untuk memberikan ketenangan minda tambahan kepada pelanggan, Mazda CX-60 didatangkan dengan waranti pengeluar lima-tahun dan program penyelenggaraan percuma lima-tahun. Ini merangkumi semua penyelenggaraan yang diperlukan, tenaga kerja, alat ganti, dan pelincir. Kedua-dua perlindungan waranti dan penyelenggaraan ini sah selama lima-tahun atau 100,000km, yang mana tiba dahulu.



     
     
  • Petronas ‘From Track To You’ – rebut peluang untuk berbual secara maya dengan George Russell, atau jumpa Kimi Antonelli di Malaysia secara langsung!

    Petronas ‘<em>From Track To You</em>’ – rebut peluang untuk berbual secara maya dengan George Russell, atau jumpa Kimi Antonelli di Malaysia secara langsung!

    Jika anda peminat Formula 1, lebih-lebih lagi yang menyokong pasukan Mercedes-AMG Petronas, ini peluang yang mungkin hanya akan datang sekali seumur hidup – Petronas kini melancarkan kempen From Track To You yang akan menawarkan anda peluang untuk beramah mesra dengan dua pemandu pasukan tersebut iaitu George Russell dan juga Kimi Antonelli!

    Anda yang menyertai kempen ini akan ditawarkan peluang untuk mengambil bahagian dalam salah satu sesi iaitu sama ada untuk berbual secara maya dengan George Russell, atau berjumpa sendiri dengan Kimi Antonelli di Malaysia.

    Untuk menyertai kempen From Track To You ini sangat mudah. Langkah pertama yang perlu anda buat adalah menjadi ahli Mesra Reward – jika belum bergelar ahli, anda perlu mendaftar terlebih dahulu. Selepas itu anda perlu berbelanja dengan jumlah minimum RM50 untuk mengisi petrol Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive atau Petronas Primax 97 dengan Pro-Race dengan memasukkan nombor telefon di pam atau menggunakan aplikasi Setel.

    Selepas itu masuk ke laman sesawang From Track To You dan masukkan maklumat berkaitan diri anda, pilih sesi yang anda berminat untuk sertai serta senaraikan sebab mengapa anda mahu jumpa pemandu-pemandu utama pasukan Mercedes-AMG Petronas tersebut. Dan jika ada soalan untuk mereka, anda turut boleh sertakan soalan tersebut sebelum menghantar penyertaan itu.

    Kempen ini akan berjalan sehingga 18 September 2025, jadi jika anda berminat pastikan anda hantarkan penyertaan sebelum tarikh tutup. Untuk lebih perincian anda boleh rujuk pada PAUTAN INI.

     
     
  • GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

    GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

    Versi lebih sporty untuk EV comel Ora Good Cat iaitu Ora Good Cat GT telahpun membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi penyertaannya ketika perarakan sambutan Hari Kemerdekaan di Putrajaya hujung minggu lalu. Kehadiran model berkenaan sebelum ini telah dibayangkan oleh Great Wall Motor (GWM) Malaysia menerusi teaser yang disiarkan ketika prebiu SUV Tank 500 HEV pada April lalu.

    Dalam perarakan tempoh hari, penampilan Good Cat GT itu dibuat tanpa sebarang pelekat penyamaran, menyerlahkan perincian-perincian spesifiknya yang lebih agresif berbanding varian biasa. Ia termasuk bampar hadapan yang berlainan dengan tirai udara sisi yang lebih menyerlah, ditambah dengan skirt sisi dan juga panel pelindung pada setiap ruang roda – di mana semua perincian yang disebutkan ini menerima kemasan seakan gentian karbon.

    Selain itu ia juga diberikan spoiler bumbung ‘GT’ yang lebih besar, kemasan seperti diffuser di bawah bampar belakang dan dilengkapkan dengan set rim aloi dua tona berdiameter 18-inci. Unit yang dibawa untuk menyertai perarakan ini menerima warna badan Aqua Grey, iaitu salah satu dari dua warna yang ditawarkan untuk Ora Good Cat GT pasaran Thailand.

    GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

    Varian ini juga menerima banyak serlahan warna kuning, termasuk pada bahagian dalaman seperti pada papan pemuka, panel pintu dan juga pada tempat duduk termasuk sulaman logo GT pada perehat kepala. Bahagian dalaman Good Cat GT ini juga diberikan upholsteri gandingan sued dan kulit pada tempat duduk.

    Juga dapat dilihat Good Cat GT ini juga menerima penukar gear yang terletak pada kolum stereng berbanding suis putar yang diletakkan pada konsol tengah untuk model Good Cat yang dijual pada pasaran Malaysia sekarang. Menurut laporan Headlightmag, tuil penukar gear baharu ini adalah perincian untuk model kemaskini Good Cat bagi model tahun 2024, diberikan pada semua varian yang dijual pada pasaran tersebut.

    GWM Malaysia masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi untuk Ora Good GT pasaran Malaysia ini. Namun kami jangkakan ia bakal menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti model pasaran Thailand dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 171 PS (126 kW) dan tork maksima 250 Nm. Ia lebih berkuasa dari versi biasa yang hanya dibekalkan dengan motor menjana 143 PS/210 Nm.

    GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

    Di Thailand sama Ora Good Cat biasa atau GT kedua-duanya menerima bateri baharu litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 57.7 kWj. Ini membolehkan varian biasa bergerak sejauh 480 km menerusi kitaran ujian NEDC, manakala varian GT yang lebih berkuasa menyediakan jarak lebih pendek iaitu 460 km NEDC. Varian GT juga diberikan mod Launch Control yang tidak terdapat pada Good Cat biasa.

    Manakala di Malaysia buat masa sekarang, Ora Good Cat ditawarkan dalam dua varian iaitu 400 Pro dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM114,500 yang diberikan bateri LFP 47.8 kWj (jarak gerak 400 km NEDC), serta varian 500 Ultra 500 dijual pada harga RM144,500 diberikan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 63.1 kWj (jarak gerak 500 km NEDC).

    Jadi boleh dijangka Ora Good Cat GT kelak akan dijual pada harga lebih tinggi kerana varian tersebut dijual lebih mahal berbanding varian biasa di Thailand, iaitu 1.099 million baht (sekitar RM144k), sementara Good Cat varian biasa pula berharga antara 799,000 dan 899,000 baht (RM105k dan RM118k).

    GALERI: Ora Good Cat GT di Perarakan Hari Kemerdekaan 2025

     
     
  • Puspakom ketatkan empat prosedur pemeriksaan berkala – arahan dari JPJ, bermula 1 Sept 2025

    Puspakom ketatkan empat prosedur pemeriksaan berkala – arahan dari JPJ, bermula 1 Sept 2025

    Puspakom telah mengumumkan bahawa atas arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), prosedur pemeriksaan berkala mandatori yang dijalankan pada kenderaan komersil kini lebih ketat. Prosedur berkenaan akan mula digunakan secara berperingkat bermula hari ini, 1 September 2025, dan membabitkan empat perkara utama.

    Perkara pertama adalah berkenaan keberkesanan sistem brek. Menurut Puspakom ia akan membuat pemeriksaan penuh terhadap semua komponen sistem brek, termasuk ujian penuh keberkesanan brek. Sekiranya salah satu item pengujian menggunakan peralatan atau pemeriksaan secara visual gagal, semua item berkaitan akan turut diperiksa semula semasa pemeriksaan Berkala Semula.

    Yang kedua pula adalah ujian brek kenderaan treler. Garis panduan baharu ini menyatakan bahawa semua gandar bagi semua jenis treler perlu diuji, dan bacaan kecekapan keseluruhan brek turut diambil kira bagi menentukan tahap kecekapan brek.

    Aspek yang ketiga pula adalah pemeriksaan semula tayar kenderaan. Puspakom menyatakan sekiranya kenderaan yang hadir untuk pemeriksaan Berkala Semula, semua tayar akan diperiksa semula tanpa mengira punca kegagalan pemeriksaan terdahulu. Langkah ini dibuat bagi mengatasi amalan pemilik kenderaan yang hanya menyewa tayar baharu atas tujuan hanya untuk lulus satu-satu pemeriksaan.

    Manakala yang terakhir adalah pemeriksaan visual kenderaan. Untuk aspek ini Puspakom menjelaskan bahawa beberapa item pemeriksaan melibatkan komponen yang sebelum ini digugurkan bagi Pemeriksaan Berkala, akan dilaksanakan semula. Item-item tersebut adalah termasuk penutup/bol/nat shaf gandar, bol ‘U’ badan, Cross Member, papan lantai, tempat duduk pemandu dan penumpang, bekas limpahan pengadun (untuk lori simen), keadaan badan/cat badan, panel pintu dan kebocoran minyak pada enjin.

    Sekiranya berlaku kegagalan pada mana-mana item yang berfungsi secara berpasangan dalam satu sistem, pemeriksaan semula perlu dibuat ke atas semua item yang berkaitan pada Pemeriksaan Berkala Semula. Puspakom juga menambah bahawa pemeriksaan terhadap kebolehfungsian gandar bogie juga kini diwajibkan.

    “Kami faham bahawa perubahan ini mungkin memerlukan sedikit pelarasan untuk pelanggan, namun, adalah penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” kata Puspakom dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Chery 05 facelift 2025 – teaser pasaran Malaysia di siar; gugur nama Omoda, DCT, suspensi multilink!

    Chery 05 facelift 2025 – teaser pasaran Malaysia di siar; gugur nama Omoda, DCT, suspensi multilink!

    Chery C5 2025 (Omoda 5 facelift) pasaran Indonesia

    Chery Malaysia telahpun menyiarkan teaser bagi Chery 05 2025, iaitu versi facelift bagi SUV segmen-C Omoda 5. Dan seperti boleh anda baca, model ini tidak lagi menggunakan nama ‘Omoda’ kerana jenama itu telah diletakkan di bawah sub-jenamanya iaitu Omoda | Jaecoo pada pasaran tempatan. Beberapa perincian bagi model tingkat taraf ini turut telah diumumkan dan nampaknya bukan hanya disegarkan dari segi rupa, malah turut menerima rombakan dari segi mekanikal.

    Chery 05 pasaran Malaysia ini menerima rupa yang sama dengan versi yang telah didedahkan di Rusia pada September tahun lalu, dan ia turut telah dilancarkan pada pasaran Indonesia pada Jun lalu dan dikenali sebagai Chery C5 di sana. Ia menerima muka baharu yang menampilkan jalur grafik LED lampu nyalaan siang sama seperti versi EV Omoda E5, bersama bampar baharu yang direka bagi membentuk elemen-X pada bahagian muka, dengan gril pada bahagian bawah direka lebih besar.

    Manakala pada gril utama, ia bukan sahaja kini sedikit lebih kecil, malah elemen rekaan sebelum ini telah diganti dengan elemen rekaan batu permata yang hadir dalam kemasan hitam-warna badan. Walau bagaimanapun, tulisan ‘OMODA’ pada bar sambungan antara lampu nyalaan siang hadapan masih lagi dikekalkan, tidak seperti model pasaran Australia di mana ia sudahpun menerima skrip ‘CHERY’ pada tempay yang sama. Chery Malaysia turut mengesahkan bahawa 05 2025 turut menerima rim 18-inci dengan rekaan baharu.

    Chery 05 facelift 2025 – teaser pasaran Malaysia di siar; gugur nama Omoda, DCT, suspensi multilink!

    Chery C5 2025 (Omoda 5 facelift) pasaran Indonesia

    Chery 05 ini masih lagi akan digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm. Namun ia tidak lagi akan diberikan kotak gear CVT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Chery Malaysia juga mengesahkan bahawa tetapan suspensi belakang torsion beam pada model sedia ada akan digantikan dengan konfigurasi multilink yang lebih bebas dan jitu.

    Bahagian dalaman Chery 05 ini masih lagi sama dengan Omoda 5 sebelum ini. Ia menerima rekaan liang penghembus penghawa dingin yang seolah-oleh merentagi sepenuhnya papan pemuka, skrin berkembar masing-masing berukuran 10.25-inci (atau digelar sebagai skrin 20.5-inci bersepadu oleh Chery) untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh serta menerima sokongang fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Dijangkakan Chery 05 ini masih akan ditawarkan dalam dua varian di Malaysia sama seperti Omoda 5 sebelum ini. Antara perincian yang telah disahkan oleh Chery Malaysia termasuk upholsteri kulit sintetik, tempat duduk berliang, sistem pendingin hawa dua hala, fungsi arahan suara, sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Chery 05 facelift 2025 – teaser pasaran Malaysia di siar; gugur nama Omoda, DCT, suspensi multilink!Chery C5 2025 (Omoda 5 facelift) pasaran Indonesia

    Manakala untuk keselamatan pula, Chery 05 pasaran Malaysia disahkan akan menerima enam-beg udara, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan automatik Tahap 2 dan sistem kamera pemantau sekeliling 540 darjah.

    Chery 05 2025 ini disahkan akan dilancar di Malaysia pada bulan ini juga. Pelanggan yang berminat boleh mendaftarkan minat masing-masing secara atas talian pada PAUTAN INI, bagi berpeluang untuk menjadi yang terawal memandu uji SUV segmen-C yang disegarkan tersebut.

    GALERI: Chery C5 2025 (Omoda 5 facelift) pasaran Indonesia di GIIAS 2025

     
     
  • KLIA mula uji sistem pengurusan akses kenderaan -lorong masa terhad untuk ambil/hantar penumpang

    KLIA mula uji sistem pengurusan akses kenderaan -lorong masa terhad untuk ambil/hantar penumpang

    Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah memulakan ujian bagi perlaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) baharu bermula hari ini, 1 Spetember 2025. Sistem ini disasarkan untuk melancarkan aliran trafik dan juga akses ke terminal di lapangan terbang tersebut.

    Menurut Malaysia Airport Holdings (MAHB), sistem ini akan diuji di Terminal 1 di Aras 5 (pelepasan menghantar penumpang) dan Aras 3 (ketibaan mengambil penumpang), akan bermula pada 1 Sept hingga 31 Nov, 2025. VAMS turut akan akan diuji di Terminal 2 bermula 15 September hingga 30 November.

    Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan bahawa sistem yang memperkenalkan tempoh masuk dan keluar melalui pintu penghalang ini direka untuk mengurangkan kesesakan berpunca daripada perhentian tidak dibenarkan atau berpanjangan di kawasan tepi jalan.

    Dengan menggunakan sistem ini, pengguna yang mahu masuk ke laluan menurunkan dan mengambil penumpang perlu menggunakan kad Touch ‘n Go (dengan kredit minima RM30) atau kad kredit, dan kenderaan-kenderaan tersebut akan diberikan tempoh selama 10 minit untuk penghantaran dan pengambilan semasa masuk, dengan bayaran penalti akan dikenakan sekiranya melebihi tempoh berkenaan.

    Semasa fasa percubaan, MAHB berkata bahawa tiada bayaran penalti akan dikenakan, kerana ketika itu ia akan memberikan tumpuan terhadap pemerhatian corak trafik dan tingkah laku pemandu. Pemerhatian tersebut akan membantu menentukan tempoh tangguh yang optimum dan struktur yuran penalti untuk pelaksanaan penuh kelak.

    Walaupun sistem ini dijangka akan menambah baik aliran trafik di kawasan tersebut, namun ia mungkin akan menyebabkan kesesakan di bahagian lain yang berdekatan pula, terutama pada untuk mereka yang datang untuk mengambil penumpang. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, pemandu kenderaan seharusnya merancang waktu dengan penumpang terlebih dahulu untuk menunggu di laluan yang ditetapkan pada masa yang telah dijanjikan bagi mengelakkan sebarang kesesakan berlaku.

     
     
  • Lancia dilihat sedang uji kereta rali Ypsilon HF Integrale – bakal kembali ke WRC pada musim 2027?

    Mei tahun lalu, jenama ikonik Itali iaitu Lancia yang kini bernaung di bawah kumpulan Stellantis secara rasmi ‘menghidupkan kembali’ sayap perlumbaannya iaitu Lancia Corse HF. Pengenalan semula pasukan lumba yang pernah mendominasi Kejohanan Rali Dunia (WRC) tersebut dibuat menerusi model hot-hatch elektrik penuh Ypsilon HF dan juga jentera rali sebenar yang menerima homolagasi FIA dalam kelas Rally4, iaitu Ypsilon Rally4 HF yang dijana enjin pembakaran dalaman dengan sesaran 1.2 liter tiga-silinder turbo berkuasa 212 hp dan memacu roda hadapan.

    Nampaknya Stellantis benar-benar mahu Lancia kembali ke era kegemilangannya – beberapa saluran peminat rali di laman YouTube kini telah menyiarkan video bahawa Lancia Corse HF kini sedang menguji kereta rali yang lebih berkuasa! Kereta berkenaan diuji oleh pemandu rali Perancis, Yoann Bonato di atas permukaan tar.

    Berdasarkan kit aerodinamik, Lancia Ypsilon HF Integrale (nama ‘HF Integrale’ itu jelas terpampang di lekat pada bahagian pintu) mungkin adalah dalam spesifikasi Rally2, iaitu jentera yang layak bertanding dalam kategori WRC2, dan juga kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) serta banyak kejohanan rali peringkat nasional lain di benua tersebut.

    Berdasarkan peringkat pembangunannya sekarang, berkemungkinan jentera ini akan menerima homologasi dari FIA setahun dari sekarang iaitu lewat 2026 – ambil Toyota GR Yaris Rally2 sebagai contoh di mana versi konsepnya didedah pada November 2022, manakala homolagasi rasmi diterima dari FIA hanya pada 1 Januari 2024.

    Jadi ini yang menarik – jentera Rally1 yang kini digunakan dalam kategori tertinggi WRC kini sudah menghampiri penghujungnya kerana FIA akan memperkenalkan kelas baharu yang setakat ini dikenali sebagai WRC27 bermula musim 2027. Undang-undang teknikal rasmi bagi WRC27 ini masih lagi belum diumum secara rasmi, namun secara ringkasnya ia akan mengadunkan undang-undang Rally1 dan juga Rally2 yang lebih murah bagi menarik lebih ramai pasukan dan pengeluar menyertai kejohanan tersebut.

    Lancia dilihat sedang uji kereta rali Ypsilon HF Integrale – bakal kembali ke WRC pada musim 2027?

    Lancia Ypsilon Rally4 HF

    Untuk jentera-jentera WRC27, setiap pengeluar yang bertanding masih perlu menggunakan rekaan casis spaceframe standard dengan blueprint dikeluarkan oleh FIA seperti undang-undang Rally1 sedia ada, manakala ‘kulit’ luar boleh dihasilkan sama ada menggunakan rekaan kereta kereta produksi ataupun kereta konsep.

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia bakal menggunakan enjin, kotak gear dan juga sistem pacuan semua roda yang sama seperti pada jentera Rally2 sedia ada. Ini bermakna kereta-kereta rali WRC27 tersebut nanti bakal digerakkan oleh enjin 1.6 liter turbo dengan dengan unit resrictor 32 mm bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 ps, bersama kotak gear sequential dengan tuil penukar gear (pedal pada stereng tidak dibenarkan) lima-kelajuan, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa tanpa differential tengah, dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif (kekal 50:50 setiap masa).

    Jentera-jentera WRC27 ini juga bakal disyaratkan untuk boleh dijual pada harga maksima €345,000 (sekitar RM1.7 juta) dalam spesifikasi tarmac, atau sedikit lebih mahal dari harga jentera Rally2 buat masa sekarang. Dan bermula 2027 juga, tiada lagi kategori WRC2 akan dipertandingkan dalam WRC, di mana jentera dalam kelas Rally2 layak bertanding dengan jentera WRC27 untuk merebut gelaran juara dunia WRC.

    Jadi sekiranya Lancia Ypsilon HF Integrale ini dihasilkan sebagai jentera Rally2, ia tetap akan layak untuk menyertai kategori tertinggi dalam WRC selepas menerima homolagasi dari FIA bermula pada musim 2027 nanti. Dan tak mustahil jentera yang sedang diuji ini sebenarnya jentera rali yang sememangnya dibangunkan dengan undang-undang WRC27 untuk digunakan oleh ‘Lancia Corse HF World Rally Team’ yang mungkin akan membuat kemunculan sulung di Rallye Monte Carlo 2027!

    Lancia mula menyertai WRC sejak tahun 1973. Ia terkenal dengan pelbagai jentera rali yang berjaya seperti Lancia Stratos, Lancia Rally 037 Group B, Lancia Delta S4 Group B dan juga Lancia Delta HF Integrale Group A. Selepas dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar sebanyak 10-kali dan merangkul lima juara dunia kategori pemandu, skuad dari Itali tersebut akhirnya mengundur diri dari WRC pada penghujung musim 1992. Sehingga kini Lancia belum mengumumkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan kereta rali yang sedang diuji ini.

     
     
  • Diskaun saman trafik bagi pengguna MyDigital ID; 31 Ogos-16 Sept, sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

    Diskaun saman trafik bagi pengguna MyDigital ID; 31 Ogos-16 Sept, sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

    Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MyDigital ID melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan dengan tawaran pengurangan saman trafik PDRM sebanyak 50%.

    Kempen ini berlangsung mulai hari ini, 31 Ogos sehingga 16 September 2025. Ia hanya sah untuk pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID, sekaligus memastikan kemudahan ini khusus kepada rakyat Malaysia.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, “Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat.

    Diskaun saman trafik bagi pengguna MyDigital ID; 31 Ogos-16 Sept, sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

    “Tawaran pengurangan saman ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini, serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan moden.”

    Tambahnya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara, di samping memberi penghargaan kepada rakyat dengan peluang menyelesaikan saman trafik secara lebih mudah, cepat dan selamat. MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang sah dan dilindungi, memastikan akses yang lebih terjamin, sekali gus mengurangkan risiko penipuan identiti serta penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman emalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

     
     
  • JPJ Selangor bekerjasama dengan Prolintas dalam Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Elmina

    JPJ Selangor bekerjasama dengan Prolintas dalam Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Elmina

    Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor diundang oleh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) untuk menjayakan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Elmina Utara, Lebuhraya Guthrie (GCE).

    Program ini turut dihadiri Muhamad Hilmi Muhammad Sauki selaku Pengurus Operasi Prolintas dan juga Tuan Mohamad Zamzuariemie Mohamad Noor dari JPJ Selangor yang berbesar hati menyampaikan Pocket Talk Keselamatan kepada 40 orang kakitangan Prolintas.

    Menurut JPJ Selangor, fokus advokasi kali ini menjuruskan kepada penunggang dan pembonceng motosikal serta penumpang bas ekspres dan bas persiaran. Aspek penekanan yang diberikan adalah berkaitan arahan penggunaan laluan lorong motosikal, pematuhan arahan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas, sembilan kesalahan utama jalan raya serta perkongsian tip keselamatan jalan raya.

    Kaedah advokasi yang digunakan ialah pengedaran risalah keselamatan jalan raya, pemberian beg cenderahati, pemberian dan pertukaran topi keledar dan juga sesi perkongsian maklumat keselamatan jalan raya.

    “Sikap dan pemanduan secara berhemah merupakan elemen penting yang perlu diamalkan oleh pemandu serta pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di negara ini. JPJ Negeri Selangor menyambut baik semua program yang diadakan oleh pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia,” kata JPJ Selangor.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025