Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Platform Chery Super Hybrid diperkenal di Malaysia – Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV boleh capai 1,200km setangki

    Platform Chery Super Hybrid diperkenal di Malaysia – Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV boleh capai 1,200km setangki

    Chery Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan platform Chery Super Hybrid (CSH) di Malaysia, di mana platform dengan unit rangkaian kuasa tersebut bakal diperkenalkan pada Chery Tiggo 7 PHEV CSH dan juga Tiggo 8 PHEV CSH yang dirancang untuk dilancarkan ke pasaran tempatan tak lama lagi.

    CSH merupakan sistem hibrid generasi baharu Chery yang dihasilkan menerusi penambahbaikkan dan diperhalusi dari sistem hibrid generasi sebelumnya. Antara penambahbaikkan yang dibuat adalah pemadanan enjin petrol yang lebih efisien, jarak gerak pemanduan menggunakan elektrik sepenuhnya yang lebih jauh dan juga peralihan mod sama ada dari mod EV penuh, atau hibrid yang melibatkan enjin pembakaran dalaman berfungsi lebih lancar tanpa ada rasa seperti enjin dihidupkan.

    Penggerak utama bagi sistem PHEV CSH ini adalah kotak gear khusus hibrid (DHT) tiga-kelajuan yang diintegrasikan sekali dengan dua buah motor elektrik yang bersaiz kompak. Ia digandingkan dengan enjin petrol turbo kitaran Miller yang khas dihasilkan untuk sistem hibrid ini, menampilkan kadar keberkesanan suhu yang lebih baik sehingga boleh mencapai 44.5%, seterusnya memberikan pengunaan bahan api yang lebih rendah.

    Platform Chery Super Hybrid diperkenal di Malaysia – Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV boleh capai 1,200km setangkiPlatform Chery Super Hybrid diperkenal di Malaysia – Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV boleh capai 1,200km setangki

    Selain dari menggerakkan kereta bersama-sama kotak gear DHT, enjin ini juga sebenarnya boleh mengecas semula bateri ketika sedang berjalan. Model-model PHEV dibekalkan dengan bateri keluaran CATL, yang diletakkan pada bawah lantai seakan sebuah EV sebenar.

    Bagi Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan unit rangkaian kuasa CSH yang sama. Ia menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Model pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC 6.6 kW di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC 40 kW, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut dari 10% hingga 100%.

    Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.

    Unit rangkaian kuasa CSH ini memberikan rasa pemanduan yang lebih hampir kepada sebuah EV sebenar berbanding sistem-sistem PHEV lain. Kami sudah merasai pengalaman memandu unit rangkaian kuasa CSH tersebut di China, tetapi dalam badan sedan Arizzo 8 dan juga SUV besar Tiggo 9, dan untuk lebih mengetahui lebih lanjut bagaimana sistem CSH ini berfungsi, anda boleh baca laporan pandu uji tersebut pada PAUTAN INI.

    Selain dari memberikan keberkesanan bahan api dan juga pemanduan berprestasi, pek bateri sistem CSH ini turut menampilkan perincian keselamatan yang tinggi. Bateri LPF berkenaan telah menerima pengiktirafan IP68, di mana selain ia kalis habuk dan air, ia juga boleh bertahan sehingga 95 darjah selsius.

    Sebelum ini juga bateri tersebut telah diuji di Jakarta dengan direndam dalam air laut selama lebih dari 53 jam, kemudian di pasang semula pada Tiggo 8 CSH dan masih lagi berfungsi. Manakala dalam ujian baru-baru ini China, sebuah Tiggo 9 PHEV telah melepasi ujian keselamatan yang ekstrem, termasuk ujian pelanggaran berhadapan dan bergolek, ujian disusun bertingkat sebanyak tujuh buah kereta antara satu sama lain, ujian pelanggaran sisi 55 km/j, ujian jatuhan setinggi 4.9 meter, dan pendedahan terhadap semburan garam selama 720 jam.

    Kedua-dua Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV CSH ini telahpun didedahkan di Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu, di mana spesifikasinya boleh anda baca pada PAUTAN INI untuk Tiggo 7 dan PAUTAN INI untuk Tiggo 8. Namun Chery Malaysia masih belum mengumumkan sebarang harga dan bila tarikh sebenar ia akan dilancarkan.

     
     
  • WMoto Bobbie VII versi sidecar mula dijual di Malaysia – enjin 693 cc 74 hp, berat 330 kg, harga RM48,888

    WMoto Bobbie VII versi sidecar mula dijual di Malaysia – enjin 693 cc 74 hp, berat 330 kg, harga RM48,888

    Versi cruiser biasa sudah dilancarkan Mac tahun 2023 lalu, sekarang MForce Bike Holdings Sdn Bhd memperkenalkan pula WMoto Bobbie VII versi sidecar yang dijual pada harga RM48,888 tidak termasuk insurans. Walaubagaimanapun untuk pembeli awal dalam jumlah terhad, diskaun RM2,000 diberikan.

    Kenderaan jenis ini – motosikal dengan tempat duduk tambahan di tepi (sidecar) – dapat dijual secara rasmi di Malaysia selepas MForce mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pengguna hanya perlu memiliki lesen motosikal kelas B (penuh).

    Ia digerakkan oleh enjin dua silinder selari DOHC 693 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 74 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm. Sistem pacuan masih menggunakan rantai, kepada roda belakang utama motosikal manakala berat keseluruhan pula adalah 330 kg.

    Kesemua rim spoked motosikal ini menggunakan saiz sama, termasuk pada bahagian sidecar iaitu unit 17 inci yang dibalut tayar 120/80 dan ia turut didatangkan sekali dengan tayar tambahan untuk kecemasan. Brek cakera juga disediakan pada semua roda, dengan unit di hadapan adalah lebih besar dan menggunakan angkup tiga piston.

    Di bahagian sidecar itu, selain ruang luas untuk penumpang ketiga, ia juga mempunyai ruang barangan di belakang dan dilengkapi kemudahan serta ciri keselamatan lain seperti lampu hadapan dan belakang, penghadang angin serta pemijak untuk memudahkan pengguna.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 15 liter, meter digital, soket pengecas USB serta lampu LED.

     
     
  • QJMotor SRV 250 AMT dilancarkan di Malaysia – tukar gear tanpa tarik klac, 28 hp, ABS dan TC, RM17,888

    QJMotor SRV 250 AMT dilancarkan di Malaysia – tukar gear tanpa tarik klac, 28 hp, ABS dan TC, RM17,888

    Bersama dengan Benda Napoleon Bob 250, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan satu lagi model bergaya klasik iaitu QJMotor SRV 250 AMT untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM17,888 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder V 249 cc dengan SOHC dan suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 28 hp pada 9,000 rpm dan 23 Nm pada 8,000 rpm. Menjadi keistimewaan pada SRV 250 baru ini adalah transmisinya.

    Ia menggunakan unit AMT atau dipanggil sebagai Automated Manual Transmission, yang tidak memerlukan penunggang menarik tuil klac atau tuil kaki untuk memasukkan gear. Ia boleh menukar gear secara sendiri atau dikawal secara manual dengan menekan butang di bahagian kiri pemegang.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang motosikal ini menggunakan unit cakera, tetapi operasi untuk bahagian belakang dikawal melalui tuil di sebelah kiri pemegang – tiada tuil kaki di sebelah kanan enjin. Melalui tetapan sebegini juga, platform kaki dapat dijadikan lebih lebar. Brek ABS dual-channel dan kawalan cengkaman adalah standard.

    Rim menggunakan saiz berbeza, iaitu 16 inci di hadapan dengan tayar 120/80 manakala di belakang terdapat rim 15 inci dengan tayar 150/80. Memegangnya masing-masing adalah fork teleskopik dan dua penyerap hentak. Berat keseluruhan SRV 250 AMT adalah 167 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 13.5 liter.

     
     
  • Benda Napoleon Bob 250 dilancar di M’sia – RM20,888

    Benda Napoleon Bob 250 dilancar di M’sia – RM20,888

    Selepas dipertonton kepada umum tahun lalu, Benda Napoleon Bob 250 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM20,888 tidak termasuk insurans, dalam pilihan empat warna iaitu hitam, perak, hijau dan oren. Majlis dibuat bersama pembukaan rasmi MForce Best Shop Chuan Keat Motor Trading di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    Napoleon Bob 250 adalah sebuah motosikal berkonsep bobber, dengan menyediakan kedudukan menunggang santai, satu tempat duduk serta rim 18 inci yang dibalut tayar tebal bersaiz masing-masing 130/80 di hadapan dan 160/70 di belakang.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder V 249 cc penyejukan cecair berkuasa 25 hp pada 9,000 rpm dan 25 Nm pada 5,500 rpm, yang dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem rantai.

    Bahagian suspensi Napoleon Bob 250 menampilkan keunikan tersendiri dengan di bahagian hadapannya selain terdapat fork teleskopik biasa, terdapat satu lagi sambungan penyerap melintang yang menyediakan pelarasan lantunan di kedua-dua sisi. Di belakang juga terdapat dua penyerap hentak melintang (hanya pelarasan pra beban), dengan sambungan beberapa linkage.

    Memaparkan informasi penting kepada penunggang adalah meter TFT berbentuk bulat, sementara di bahagian keselamatan ia datang dengan ABS dual-channel yang disambungkan kepada brek cakera hadapan dan belakang, serta sistem kawalan cengkaman. Berat keseluruhan Napoleon Bob 250 adalah 182 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 9.5 liter.

     
     
  • Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar RON95 dianjakkan sedikit, masih dalam penelitian – Fahmi

    Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar RON95 dianjakkan sedikit, masih dalam penelitian – Fahmi

    Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar RON95 akan dianjakkan sedikit dan buat masa ini, ia masih dalam penelitian pihak kerajaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

    Beliau turut berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu pelaksanaannya dan dasar lain mendatangkan kesan negatif kepada rakyat, laporan Bernama.

    Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata kerajaan perlu memastikan setiap dasar melalui mekanisme penyaluran yang teliti bagi mengelakkan kesan berantai atau knock-on effect kepada harga barangan dan perkhidmatan lain, sepertimana yang telah dipertimbangkan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

    “Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat. Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana, tetapi telah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95.

    “Perdana Menteri ada menyentuh hal ini dalam permukiman dengan Ahli-Ahli Parlimen sebelum ini dan beliau (Anwar) berhasrat untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada rakyat dan perkara itu sedang dihalusi,” katanya.

    Pada Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025, dengan memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi itu dikenal pasti secara tepat.

     
     
  • JPJ pertimbang wajibkan dashcam untuk kenderaan pengangkutan awam – kini hanya GPS diwajibkan

    JPJ pertimbang wajibkan dashcam untuk kenderaan pengangkutan awam – kini hanya GPS diwajibkan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) dalam semua kenderaan pengangkutan awam. Menurut Penolong Pengarah Operasi JPJ, Mohd Alifarihan Abdullah, dashcam merupakan satu cadangan yang baik memandangkan peraturan sedia ada hanya mewajibkan pemasangan sistem GPS bagi kenderaan pengangkutan awam.

    “Lesen dan syarat bagi kenderaan awam ketika ini hanyalah GPS, sebab itu cadangan untuk mewajibkan dashcam adalah satu idea yang baik. Namun buat masa ini, hanya GPS yang diwajibkan,” katanya dalam forum ‘Jalan Raya Bukan Milik Geng Basikal’ yang diadakan di Pantai Dalam semalam, laporan Malay Mail.

    Cadangan ini timbul susulan tularnya satu video baru-baru ini yang memaparkan kumpulan penunggang basikal bertengkar dengan seorang pemandu bas perantara MRT yang berlaku di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur. Di mana kumpulan penunggang basikal terbabit mendakwa pemandu bas berkenaan cuba untuk melanggar mereka.

     
     
  • BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 di Malaysia — 3.0T mild-hybrid, dari RM470k; RM25k lagi murah dari PHEV

    BMW X5 xDrive40i M Sport 2025  di Malaysia — 3.0T mild-hybrid, dari RM470k; RM25k lagi murah dari PHEV

    Selain BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dan BMW iX xDrive45 Sport 2025, BMW Group Malaysia hari ini turut memperkenalkan model SUV BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 versi pemasangan tempatan dengan harga RM469,800 atas jalan dengan jaminan dua tahun standard. Jika dengan pakej lanjutan jaminan dan servis, harganya akan menjadi RM508,200.

    Ini merupakan varian terbaru yang akan menyertai X5 xDrive50e M Sport plug-in hybrid yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada Januari 2024.

    Dari segi rekaannya, BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 menampilkan “kidney grille” dengan BMW Iconic Glow 3D serba baru. Ia disertai oleh lampu utama adaptif LED yang dipertingkatkan dengan bantuan lampu tinggi, dan kini direka 35mm lebih nipis. Untuk rekaan DRL, ia tampil dengan elemen X yang ketara. Selain itu, bahagian depannya turut diberikan rekaan apron baru serta bukaan udara bentuk segitiga.

    Dari sisi, BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 menampilkan rim aloi ringan M bersaiz 21-inci dengan rekaan V-Spoke yang digandingkan dengan angkup brek M Sport.

    BMW X5 xDrive40i M Sport 2025  di Malaysia — 3.0T mild-hybrid, dari RM470k; RM25k lagi murah dari PHEV

    Di belakang, BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 hadir dengan rekaan lampu belakang yang tirus, bentuk X 3D serta apron belakang yang diperkemas. Ciri luaran standard lain termasuk garisan luaran dan landasan bumbung dengan kemasan Satin Aluminium, kemasan kayu halus Fineline Black dengan kemasan logam berkilat tinggi, serta pakej cermin sisi luaran yang dipertingkatkan.

    Di dalam, BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 menampilkan panel instrumen BMW yang elegan dengan BMW Curved Display yang menjadi tarikan utama, dengan bahahgian paparan maklumat 12.3-inci dan paparan kawalan 14.9-inci. Penambahan jalur cahaya di bahagian penumpang hadapan serta elemen kawalan bersepadu yang terletak di bawah paparan utama memberikan sentuhan kemasan tambahan yang sofistikated.

    Sport seats disediakan sebagai ciri standard untuk pemandu dan penumpang hadapan, lengkap dengan pelarasan tempat duduk elektrik serta fungsi memori. Sementara itu, upholsteri “Sensafin”, bahan sintetik premium yang menyerupai tekstur halus kulit asli, menambahkan sentuhan premium dalam kabin sambil menawarkan keselesaan dan ketahanan — disediakan sebagai standard dalam warna hitam.

    Stereng kulit M pula menggabungkan kemewahan dan ketepatan bagi memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik dan selesa. Pelapik bumbung antrasit M melengkapkan lagi nuansa sporty dalam SAV ini.

    BMW X5 xDrive40i M Sport 2025  di Malaysia — 3.0T mild-hybrid, dari RM470k; RM25k lagi murah dari PHEV

    Bahagian konsol tengah direka semula dengan menampilkan susun atur yang kemas dengan BMW Control dan kunci dengan fungsi sentuhan yang lebih responsif. Penukaran gear kini dilakukan menggunakan suis hayun (rocker switch). Ciri standard lain untuk ruang kabin termasuklah sistem bunyi sekeliling Harman Kardon, sistem akses keselesaan, sistem penggera, sistem perjalanan & keselesaan, pendingin udara automatik empat zon, bumbung kaca panoramik, bidai suria bergelung untuk tingkap sisi belakang, alas lantai jenis velour dan tempat pengecasan tanpa wayar. Kapasiti ruang barangan ialah 650 liter dan boleh ditambah sehingga 1,870 liter.

    Untuk teknologi ketersambungan, BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 hadir dengan BMW Live Cockpit dengan Sistem Operasi 8.5 BMW. Antara kemampuan sistem ini terdiri daripada iDrive Control dan arahan suara, sentuhan skrin serta Movement Control. Ia juga berupaya mempelajari sendiri untuk mengenal pasti tabiat pemandu.

    Sistem Operasi 8.5 BMW turut menawarkan widget yang boleh dikonfigurasi pengguna bagi memaparkan maklumat masa nyata seperti navigasi dan BMW Intelligent Personal Assistant. model ini turut dilengkapi dengan paparan BMW Head-Up Display dengan warna penuh.

    Untuk sistem janaan, BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 dilengkapi sistem mild-hybrid yang menggabungkan antara sistem hibrid 48V dan enjin 3.0 liter yang menjana kuasa sebanyak 280 kW (381 hp) dan tork mencecah 540 Nm — melibatkan peningkatan kuasa sebanyak 35 kW (47 hp) dan 70 Nm tork berbanding model terdahulu. Ini kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda, membolehkan BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 memecut darim0-100 km/j dalam hanya 5.4 saat. Laju maksimum yang mampu dicapai ialah 250 km/j.

    Untuk sistem suspensi, bahagian depannya menggunakan jenis double wishbone sementara di belakang dengan jenis five-link. Ini disertai oleh Dynamic Damper Control yang membolehkan casis ditala dengan lebih tepat dan berkesan.

    Untuk lebih keselesaan, suspensi udara dua-gandar yang digunakan akan merendahkan kedudukan kenderaan 20 mm dalam mod Sport pada kelajuan 138 km/j, dan dalam pemanduan off-road, ia akan dinaikkan sebanyak 40 mm. Ketinggian juga boleh direndahkan sehingga 40 milimeter hanya dengan satu sentuhan butang untuk memudahkan angkat barangan.

    BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 didatangkan dengan rangkaian sistem bantuan pemanduan BMW yang komprehensif dan canggih sebagai ciri standard. Ini antaranya terdiri daripada Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional.

    Sistem Driving Assistant Professional menggabungkan fungsi berasaskan kamera dan radar, termasuk Steering dan Lane Control Assistant, Emergency Stop Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran sisi, Crossing-Traffic Warning di depan, Evasion Assistant, Intersection Warning dengan fungsi brek, serta fungsi amaran salah jalan.

    Sementara itu, Parking Assistant Professional memberikan kelegaan tambahan di laluan sempit. Sistem bantuan berasaskan kamera dan ultrasound-nya terdiri daripada bantuan undur, Active Park Distance Control, bantuan parkir serta Surround View System dengan Remote 3D View. Ciri parkir automatik membolehkan bantuan untuk parkir undur dan mengiring, manakala Manoeuvring Assistant membolehkannya menyimpan sehingga 10 laluan parkir yang telah ditetapkan — sepanjang sehingga 198 meter — secara automatik, yang juga boleh diaktifkan melalui telefon pintar.

    BMW X5 xDrive40i M Sport 2025  di Malaysia — 3.0T mild-hybrid, dari RM470k; RM25k lagi murah dari PHEV

    Sebagai sebahagian daripada Comfort Access System, BMW Digital Key Plus baru disertakan sebagai ciri standard, bersama dengan kunci digital telefon pintar standard, yang membolehkan kenderaan dibuka secara automatik apabila pemandu menghampiri kenderaan. Ciri yang berkaitan lainnnya termasuk Intelligent Emergency Call, Teleservices, ConnectedDrive Services, Connected Package Professional dan Smartphone Integration.

    BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 tersedia dalam pelbagai warna luaran, termasuk Mineral White, Black Sapphire, Brooklyn Grey dan Skyscraper Grey. Sementara itu, ruang dalaman hadir dengan balutan Sensafin dengan sulaman hiasan dalam warna hitam.

    BMW X5 xDrive40i M Sport

     
     
  • BMW iX facelift 2025 dilancar di Malaysia — xDrive45 dari RM426k, xDrive60 RM488k; jarak hingga 701 km

    BMW iX facelift 2025 dilancar di Malaysia — xDrive45 dari RM426k, xDrive60 RM488k; jarak hingga 701 km

    BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan model sports activity vehicle (SAV) BMW iX xDrive60 M Sport Pro dan BMW iX xDrive45 Sport untuk pasaran Malaysia, masing-masing dengan harga jualan RM487,800 dan RM425,800; harga atas jalan dengan jaminan standard selama dua tahun. Jika dengan pakej lanjutan jaminan dan servis, harga masing-masing akan menjadi RM460,700 dan RM522,700.

    Dari segi rekaan luaran, iX baru ini masih mengekalkan identiti ikoniknya, yang kini telah diberikan sentuhan yang lebih halus dan dinamik. Rekaan “kidney grille”-nya kini hadir dengan kemasan garis yang lebih jelas, serta lengkap dengan ciri BMW Iconic Glow ketika pintu dibuka dan ditutup — satu ciri yang pertama kali diperkenalkan untuk model ini.

    Bahagian lampu utama juga dari jenis LED adaptif dengan fungsi bantuan lampu tinggi serta dua lampu sudut dikedua-dua belah untuk pencahayaan yang lebih jelas. BMW iX 2025 ini juga tampil dengan pakej cermin sisi luaran yang baru.

    BMW iX facelift 2025 dilancar di Malaysia — xDrive45 dari RM426k, xDrive60 RM488k; jarak hingga 701 km

    Khusus untuk model BMW iX xDrive60 M Sport Pro, pakej M Sport Pro turut disediakan sebagai ciri standard. Ini terdiri daripada rim aerodinamik M 22-inci jenis 1025 M Multicolour 3D kemasan berkilat yang dipadankan dengan angkup brek Sport merah serta M Lights Shadowline. Pakej M Aerodynamics pula menyerlahkan lagi garis bentuk di bahagian depan dan belakang, menjadikan penampilannya lebih agresif.

    Sementara itu bagi BMW iX xDrive45 Sport pula, ia didatangkan dengan rim aerodinamik bersaiz 21-inci jenis 1012 Bicolour 3D kemasan berkilat, yang menyerlahkan profil sporty sisi kenderaan serta meningkatkan kecekapan aerodinamik.

    Di dalaman, BMW iX mengekalkan suasana kabin yang luas dan mewah. Kedua-dua varian BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dan BMW iX xDrive45 Sport 2025 dilengkapi dengan pencahayaan ambient dan bumbung kaca panoramik Sky Lounge. Sistem audio Harman Kardon dengan 18-pembesar suara berkuasa 655 watt memberikan pengalaman bunyi yang berkuasa, manakala BMW Live Cockpit Professional memberikan akses intuitif untuk mengendalikan navigasi, hiburan serta tetapan lain untuk kenderaan. Selain itu, BMW IconicSounds Electric turut memperkayakan pengalaman pemanduan dengan pelbagai audio eksklusif yang unik.

    BMW iX facelift 2025 dilancar di Malaysia — xDrive45 dari RM426k, xDrive60 RM488k; jarak hingga 701 km

    Kedua-dua model ini juga dilengkapi dengan kerusi pelbagai fungsi untuk pemandu, sistem akses keselesaan, ruang storan untuk pengecasan tanpa wayar serta sistem penyaman udara automatik dengan kawalan empat zon sebagai ciri standard. Bagi ciri ketersambungan untuk kedua-dua model ini pula, ia merangkumi panggilan kecemasan pintar, teleservis, perkhidmatan ConnectedDrive, pakej sambungan profesional dan integrasi telefon pintar sebagai ciri standard.

    Khusus untuk BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025, pakej M Sport Pro yang ditawarkan sebagai standard turut memperkenalkan pelbagai elemen reka bentuk eksklusif seperti lambang M pada panel instrumen, kerusi pelbagai fungsi M dengan kemasan balutan kerusi Sensatec M berwarna hitam dan Alcantara dalam rona Atlas Grey serta jalur M berwarna.

    Pakej ini turut merangkumi stereng kulit M dengan reka bentuk tiga jejari dan perincian Dark Silver, kemasan trim Dark Silver, serta pelapik bumbung dalaman antrasit. Bahagian perehat lengan dan panel instrumen juga dikemaskan dengan balutan Sensatec M berwarna hitam dan Alcantara Atlas Grey untuk tampil premium dengan tekstur mewah.

    Melengkapkan gaya luaran yang lebih sporty, lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang menonjolkan lagi penampilan dinamiknya. Sebagai pilihan tambahan, ruang dalaman BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 boleh dipertingkatkan dengan Interior Design Suite. Kapasiti ruang barangan pula ialah 500 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,750 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Dari segi prestasi, kedua-dua varian BMW iX 2025 ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang digabungkan bersama teknologi eDrive BMW generasi kelima serta spesifikasi teknikal terkini — memberikan output kuasa lebih tinggi dan jarak pemanduan lebih jauh.

    BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 menawarkan kuasa 400 kW (544 hp) dan tork 765 Nm, menjadikannya varian lebih berkuasa dan dinamik antara kedua-duanya. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.6 saat, untuk mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

    Jarak pemanduan elektriknya adalah sehingga 701 km mengikut kitaran WLTP, disumbangkan oleh bateri berkapasiti yang lebih besar dengan 111.5 kWh. Kadar pengecasan pantas DC dengan kapasiti maksimum 195 kW membolehkan BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dicas hanya dalam 10 minit untuk mendapatkan jarak 217 km.

    Bagi BMW iX xDrive45 Sport 2025 pula, ia hadir dengan janaan kuasa 300 kW (408 hp) dan tork 700 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 5.1 saat, dan laju maksimum 200 km/j. Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 602 km (WLTP). Dengan kapasiti bateri 100.6 kWh, kadar pengecasan turut dipertingkatkan dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 175 kW, naik 25 kW berbanding model sebelumnya (BMW iX xDrive40). Peningkatan ini membolehkan jarak sehingga 166 km diperoleh daripada pengecasan 10 minit.

    Antara kelengkapan lain untuk model iX 2025 ini termasuklah BMW Digital Key Plus untuk mengakses kenderaan dengan pantas dan selamat. Sistem berkenaan merangkumi kunci fizikal, kad penyediaan dan kad servis, bagi proses pemasangan dan pengaktifan yang mudah.

    Dengan menggunakan Kad Penyediaan, pengguna hanya perlu mendekatkannya ke telefon pintar atau mengimbas kod QR bagi mengaktifkan kunci digital. Ciri ini membolehkan sehingga 18 kunci digital dikongsi bersama pengguna lain, dengan tetapan peranan dan had tertentu seperti kelajuan atau pecutan.

    Selain itu, sistem ini turut membolehkan kawalan fungsi kenderaan dilakukan melalui aplikasi My BMW. Kad Servis pula akan membolehkan peralihan semula ke penggunaan kunci fizikal sekiranya diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan atau kecemasan.

    Bagi aspek sistem bantuan pemandu, model ini hadir standard dengan ciri Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus yang canggih.

    BMW iX facelift 2025 dilancar di Malaysia — xDrive45 dari RM426k, xDrive60 RM488k; jarak hingga 701 km

    BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dan BMW iX xDrive45 Sport 2025 ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna luaran: Black Sapphire, Mineral White, Arctic Race Blue, Aventurine Red, dan Dune Grey.

    Eksklusif untuk setiap model, BMW iX xDrive45 Sport 2025 turut tersedia dalam warna luaran Alpine White dan Sophisto Grey, dengan pilihan warna ruang dalaman Atelier Oyster, Atelier Mocha atau Atelier Black. Sementara itu, BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 pula boleh didapati dalam warna eksklusif M Carbon Black, manakala ruang dalamannya ditawarkan dalam pilihan Interior Design Suite Amido, Interior Design Suite Castanea, serta reka bentuk dalaman M Sport berwarna hitam atau Atlas Grey.

    BMW iX xDrive60 M Sport Pro

    BMW iX xDrive45 Sport

     
     
  • Kanak-kanak 11 tahun pemegang kad UNHCR pandu kereta, terbabas dalam longkang – Polis Klang

    Kanak-kanak 11 tahun pemegang kad UNHCR pandu kereta, terbabas dalam longkang – Polis Klang

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Kasa mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah memandu Proton Saga milik ibunya sejauh dua kilometer sebelum terbabas ke dalam longkan di Jalan Teluk Gong, Pelabuhan Klang.

    “Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Selatan telah memgesan kenderaan terbabit bersama pemiliknya dan tiga orang kanak-kanak yang dipercayai berada dalam kenderaan tersebut semasa kejadian. Kanak-kanak berkenaan terdiri daripada dua adik beradik yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan seorang lagi sepupu mereka warga tempatan.

    “Siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit telah dipandu oleh ibu mereka yang juga merupakan pemegang kad UNHCR dari kawasan Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang UTara menuju ke rumah kakak dua beradik berkenaan di Teluk Gong. Setelah tiba di rymah tersebut, si ibu meninggalkan anak-anak seketika untuk ke tandas dan anak lelakinya berusia 11 tahun mengambil kunci kereta lalu mengajak adik serta sepupunya pergi ke kedai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut Ramli lagi, kereta itu dipandu sejauh kira-kira 2 km sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke longkang bahu jalan. Tiada kecederaan dilaporkan dan Saga terbabit hanya mengalami kerosakan kecil sahaja.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak bertimbang rasa dan Seksyen 39 (1) akta sama kerana memandu tanpa lesen (bawah umur). Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terlibat.

    “Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar lebih peka dan berhati-hati terhadap pergerakan anak-anak. Jangan sekali-kali membiarkan kanak-kanak memandu atau menunggang sebarang kenderaan yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan diri dan orang lain,” tegasnya.

     
     
  • Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

    Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

    2025 FIA World Rally Championship / Round 08 / Rally Estonia / 17-20 July 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein

    Toyota mencapai satu lagi rekod dalam sejarah Kejohanan Rali Dunia (WRC) apabila mencatatkan kemenangan ke-100 sepanjang penyertaanya dalam kejohanan tahap tertinggi disiplin tersebut apabila menang Rally Estonia 2025 semalam, iaitu perlumbaan pusingan ke-8 untuk WRC musim ini.

    Tambah manis, kemenangan itu diraih oleh pemandu yang baru berusia 23 tahun, Oliver Solberg bersama juru arah Elliott Edmondson hanya dalam penampilan pertamanya memandu Toyota GR Yaris Rally1. Solberg yang merupakan anak kepada juara dunia WRC 2022 pasukan Subaru iaitu Petter Solberg diberikan peluang pertama oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT), selepas menunjukkan prestasi konsisten memandu jentera GR Yaris Rally2 dan kini sedang mendahului kelas WRC2.

    Solberg menampilkan pemanduan yang begitu dominan apabila mendahului hari pertama pada Jumaat dengan kelebihan 12.4 saat, menamatkan hari Sabtu dengan kelebihan 21.1 saat, dan akhirnya menamatkan Rally Estonia 2025 dengan kemenangan dengan meninggalkan juara dunia 2019, Ott Tanak yang memandu Hyundai i20 N Rally1 25.2 saat di belakang. Seorang lagi pelumba Hyundai yang juga juara dunia tahun lalu, Thierry Neuville melengkapkan podium tempat ketiga rali ini.

    Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

    2025 FIA World Rally Championship / Round 08 / Rally Estonia / 17-20 July 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein

    “Ia adalah hujung minggu yang paling menakjubkan. Saya berasa sangat gembira, selepas bertahun-tahun bermimpi dan bekerja untuk saat seperti ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Toyota kerana memberi saya peluang ini dan peluang untuk membuktikan diri dan berseronok memandu kereta yang menakjubkan ini. Terima kasih kepada pasukan ujian yang membantu saya menjadi begitu selesa,” kata Oliver Solberg.

    “Ini adalah hujung minggu yang sukar dipercayai daripada Oliver. Saya rasa saya berasa lebih gementar melihatnya berbanding dia yang sedang memandu. Ia adalah pemanduan yang sangat bersih untuk bertarung dengan beberapa pemandu yang benar-benar berpengalaman,” kata naib prinsipal pasukan TGR-WRT, Juha Kankkunen.

    “Sesiapa sahaja akan merasa sedikit tekanan apabila pemandu seperti itu memberikan tentangan yang kuat, namun dia mengendalikannya dengan sangat baik. Ia adalah satu keseronokan bagi kami untuk memberinya peluang ini dan melihatnya mengambil peluang berkenaan dengan baik, dan kejayaan ini untuk kemenangan ke-100 Toyota juga,” tambah Kankkunen yang juga juara dunia empat kali, di mana kejuaraan keempatnya pada tahun 1993 dicapai ketika bersama pasukan Toyota.

    Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

    Kali pertama Toyota menang perlumbaan dalam WRC adalah pada tahun 1973 menerusi pemandu persendirian Kanada, Walter Boyce yang menang Press-on-Regardless (POR) Rally 1973 di Amerika Syarikat, iaitu pusingan ke-11 WRC musim berkenaan dengan memandu Toyota Corolla 1600 Coupe (TE27). Kejayaan yang diraih oleh Oliver Solberg semalam membolehkannya menjadi pemandu ke-16 yang memenangi pusingan WRC dengan memandu sebuah Toyota.

    Ini bukan kali pertama Oliver Solberg memandu jentera Rally1 dalam WRC. Sebelum ini dia telah diberi peluang oleh pasukan Hyundai untuk memandu i20 N WRC di Rally Finland 2021 ketika baru berusia 19-tahun, kemudian menyertai skuad Hyundai Shell Mobis WRT dengan berkongsi jentera i20 N Rally1 bersama Dani Sordo.

    Namun dengan prestasi yang tidak konsisten serta tidak menghabiskan perlumbaan kerana kemalangan, Solberg digugurkan dari pasukan tersebut dan kembali ke kelas WRC2 pada 2023 bersama pasukan Toksport Skoda. Hampir menjadi juara WRC2 tahun lalu, Solberg diberikan peluang oleh Toyota dengan mula berlumba menggunakan jentera Toyota GR Yaris Rally2 untuk WRC2 musim ini dan kini sedang mendahului kelas berkenaan.

    Dengan keputusan ini juga Solberg dilihat telah mendahului seorang lagi prodigi Toyota iaitu Sami Pajari, juara WRC2 musim 2024. Pajari telah diberikan peluang untuk memandu GR Yaris Rally1 dalam tiga pusingan WRC musim lalu, dan diserapkan dalam pasukan kedua TGR-WRT2 untuk berlumba semusim penuh dengan jentera Rally1 tersebut musim ini. Namun sehingga kini Pajari masih belum mencapai sebarang kemenangan dalam kelas tertinggi WRC tersebut.

     
     
  • DBKL laksana semula penutupan sebahagian Jalan TAR pada setiap Ahad, 6 pagi-12 tengahmalam

    DBKL laksana semula penutupan sebahagian Jalan TAR pada setiap Ahad, 6 pagi-12 tengahmalam

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan penutupan semula sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula persimpangan Jalan Bunus 6 sehingga persimpangan Jalan Melayu pada setiap hari Ahad, dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

    Tujuan penutupan jalan ini adalah bagi memberi laluan bagi Program Santai Seni @ TAR dan sebahagian daripada inisiatif bandar raya rendah karbon.

    Turut dimaklumkan, laluan dua hala juga akan diaktifkan di Lorong TAR dari simpang Dang Wangi ke simpang Lorong TAR 7 pada setiap hari Ahad dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam selepas selesai acara Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM).

    Sehubungan itu, pengguna laluan berkenaan dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, memperlahankan kenderaan dan mematuhi arahan petugas yang bertugas.

     
     
  • Laluan Smartlane ditutup dari Kulai ke Sedenak arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan mulai hari ini

    Laluan Smartlane ditutup dari Kulai ke Sedenak arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan mulai hari ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup laluan Smartlane dari Kulai ke Sedenak di KM26.7 hingga KM33.7 (arah utara) bermula hari ini, 21 Julai 2025. Penutupan ini adalah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahan lorong di kawasan tersebut.

    Menurut PLUS, sepanjang tempoh kerja-kerja berkenaan dijalankan, dua lorong sedia ada di lokasi terlibat akan dibuka seperti biasa bagi mengekalkan aliran trafik dan meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya.

    “Sementara itu, laluan Smartlane dari Senai ke Kulai di KM19.0 hingga KM26.7 (arah utara) akan beroperasi seperti biasa. Pengguna lebuh raya digalakkan untuk merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini. Pengguna juga diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” katamya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk maklumat trafik semasa dan bantuan, pengguna boleh merujuk kepada Pembantu Maya – PUTRI, X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, atau menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.

     
     
  • PACE 2025: Mercedes-Benz melalui Hap Seng Star sedia #MyMercedesRewards, EV G580 dipamer

    PACE 2025: Mercedes-Benz melalui Hap Seng Star sedia #MyMercedesRewards, EV G580 dipamer

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 kini sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) dari jam 9 pagi hingga 7 malam, menampilkan pelbagai jenama automotif terkemuka. Salah satu kawasan pameran paling menarik perhatian adalah Mercedes-Benz, yang diuruskan oleh pengedar rasmi Hap Seng Star dan mempamerkan barisan model terkini dari jenama mewah Jerman itu.

    Menjadi tumpuan utama di kawasan Mercedes-Benz ialah model G580 elektrik sepenuhnya dengan Teknologi EQ, yang dilancarkan secara rasmi bulan lalu. Model ini merupakan versi tanpa emisi bagi SUV ikonik G-Class, di mana enjin V8 konvensional digantikan dengan empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 587 PS dan tork luar biasa 1,164 Nm.

    Prestasi ini membolehkan G580 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.7 saat. Ia turut dilengkapi dengan teknologi vektor tork dan fungsi G-Turn yang membolehkan kenderaan berpusing sehingga 720 darjah di tempat yang sama — satu ciri yang luar biasa bagi sebuah SUV.

    PACE 2025: Mercedes-Benz melalui Hap Seng Star sedia #MyMercedesRewards, EV G580 dipamer

    Ditawarkan pada harga RM958,888, G580 elektrik ini sebenarnya jauh lebih mampu milik berbanding model petrol AMG G63, hasil daripada pengecualian cukai kenderaan elektrik yang masih berjalan di Malaysia. Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih eksklusif, versi edisi terhad Edition One turut ditawarkan, dengan tambahan RM50,000 untuk kemasan khas daripada rangkaian Manufaktur.

    Turut menyerlah di reruai Mercedes-Benz ialah Mercedes-AMG SL63 4Matic+, iaitu model roadster mewah berprestasi tinggi. Ia merupakan versi petrol paling berkuasa dalam barisan SL baru, berada satu tangga di bawah model plug-in hybrid SL63S E Performance. Model ini menggunakan enjin 4.0 liter V8 biturbo dari Affalterbach yang menghasilkan 585 PS dan 800 Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+.

    Sistem pacuan ini turut boleh dikunci untuk menjadikan kereta pacuan roda belakang sepenuhnya, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik. Bumbung kain yang boleh dilipat dalam masa 15 saat serta kehadiran tempat duduk belakang kecil menjadikan SL63 bukan sahaja berkuasa tetapi juga praktikal. Harganya mencecah RM1,898,888, sejajar dengan spesifikasi dan prestij yang ditawarkan.

    PACE 2025: Mercedes-Benz melalui Hap Seng Star sedia #MyMercedesRewards, EV G580 dipamer

    Mercedes-Benz turut memperkenalkan pelbagai tawaran menarik untuk model plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik (EV) menerusi kempen MyMercedesRewards. Model seperti C350e ditawarkan dengan potongan harga sehingga RM50,000, bersama lima kali servis berjadual percuma dan lanjutan waranti Star Platinum selama satu tahun sekiranya pembelian dibuat melalui pelan pembiayaan Agility Financing.

    Model E350e pula hadir dengan ganjaran sehingga RM15,000 dan sokongan insurans kenderaan sehingga RM5,200. Bagi SUV GLC350e, pengguna boleh menikmati ganjaran sehingga RM25,000 serta bantuan insurans bernilai sehingga RM4,500.

    Dalam segmen EV pula, tawaran paling menarik tertumpu kepada EQS500, yang datang dengan ganjaran sehingga RM220,000. Jika pembeli menggunakan pelan Agility Financing, mereka turut diberikan kemudahan ICE on Demand, iaitu akses kepada kenderaan Mercedes-Benz berenjin pembakaran dalaman selama sepuluh hari setahun. EQE350+ dalam versi AMG Line juga ditawarkan dengan ganjaran sehingga RM100,000.

    PACE 2025: Mercedes-Benz melalui Hap Seng Star sedia #MyMercedesRewards, EV G580 dipamer

    Kedua-dua model ini disertakan lima kali servis berjadual percuma, lanjutan waranti Star Gold selama satu tahun serta bantuan insurans sehingga RM4,800. Tambahan pula, setiap pembelian yang dibuat melalui Agility Financing akan menerima kredit pengecasan bernilai RM300 dan manfaat MobilityPlus, iaitu kenderaan gantian percuma ketika penyelenggaraan atau pembaikan waranti dijalankan.

    Agility Financing merupakan pelan pembiayaan alternatif kepada kaedah sewaan beli tradisional. Ia menawarkan tempoh bayaran yang lebih singkat serta ansuran bulanan yang lebih rendah, sekaligus memudahkan pemilikan kenderaan Mercedes-Benz idaman. Pada akhir tempoh pembiayaan, pelanggan mempunyai fleksibiliti untuk menyelesaikan baki pinjaman, memulangkan kenderaan, atau menaik taraf kepada model baru melalui pelan yang sama.

    Mercedes-Benz bukan satu-satunya jenama yang mengambil bahagian dalam PACE 2025. Antara jenama lain yang turut serta ialah BMW dan MINI melalui Auto Bavaria, serta Audi, BYD, Denza, Hyundai, Kia, Mazda, Xpeng, GWM, GAC dan Zeekr. Tidak ketinggalan juga wakil segmen dua roda seperti BMW Motorrad, selain jenama aksesori automotif tempatan seperti Kineta dan Trapo.

     
     
  • PACE 2025: Dapatkan kit jelajah Thule bernilai RM8k dengan pembelian GWM Tank 300, Wey 80 dipamer

    PACE 2025: Dapatkan kit jelajah Thule bernilai RM8k dengan pembelian GWM Tank 300, Wey 80 dipamer

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org, dengan kerjasama Carro dan RHB Bank, kini sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC). Acara ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam hari ini, 20 Julai, dengan pelbagai tawaran menarik untuk kenderaan baru dan terpakai premium.

    Antara jenama yang turut serta tahun ini ialah Great Wall Motor (GWM), yang membawakan dua model SUV lasak mereka — Tank 300 dan Tank 500, serta pratonton MPV mewah baru mereka, Wey 80.

    Tank 300 hadir dengan enjin 2.0 liter turbo petrol empat silinder yang menghasilkan 220 PS dan 380 Nm tork, sesuai untuk pemanduan offroad. Model yang dipamerkan turut menonjolkan pelbagai aksesori dan pilihan pengubahsuaian bagi yang gemarkan gaya lebih unik dan lasak.

    Menariknya, Tank 300 didatangkan dengan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi, serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Sepanjang PACE 2025, pembeli juga akan menerima baucar kit pengembaraan Thule bernilai RM8,000.

    PACE 2025: Dapatkan kit jelajah Thule bernilai RM8k dengan pembelian GWM Tank 300, Wey 80 dipamer

    Bagi yang inginkan SUV tujuh tempat duduk yang lebih mewah tetapi masih mampu menawan laluan sukar, Tank 500 ialah pilihan terbaik. Ia dilengkapi sistem pacuan semua roda (4×4) dengan kunci differential elektronik dan mekanikal.

    Model ini menggunakan sistem hibrid yang menggabungkan enjin petrol turbo 2.0 liter dan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan tork 648 Nm. Seperti Tank 300, komponen sistem hibrid Tank 500 turut dilindungi waranti seumur hidup, manakala bateri hibrid pula diberikan jaminan lapan tahun atau 200,000 km. Selain itu, ia turut mendapat waranti enam tahun tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

    Tumpuan utama di kawasan pameran GWM adalah Wey 80, MPV mewah plug-in hybrid yang masih belum dilancarkan di Malaysia tetapi kini dipertontonkan buat kali pertama dalam versi terkini. Model tujuh tempat duduk dengan jarak roda panjang ini menampilkan reka bentuk dalaman serba moden, yang dijangka akan ditawarkan apabila versi CKD (pemasangan tempatan) tiba hujung tahun ini.

    PACE 2025: Dapatkan kit jelajah Thule bernilai RM8k dengan pembelian GWM Tank 300, Wey 80 dipamer

    Wey 80 dijangka menggunakan sistem kuasa Hi-4 seperti yang pernah dipamerkan di KLIMS, yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo dengan dua motor elektrik — satu di depan dengan 174 hp dan satu lagi di belakang dengan 181 hp — menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang mahukan prestasi serta keselesaan keluarga dalam satu pakej.

    Selain tawaran daripada jenama kenderaan, pembelian di PACE turut disertakan dengan pelbagai ganjaran. 200 tempahan pertama bagi kenderaan baru akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan penaja seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    Sebagai tambahan, semua tempahan kereta baru yang disahkan akan layak menyertai cabutan bertuah, dengan hadiah termasuk 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu dan hadiah utama berupa pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000.

     
     
  • PACE 2025: Tawaran eksklusif RM5,000 jika tempah Denza D9; menangi tiket konsert Jacky Cheung

    PACE 2025: Tawaran eksklusif RM5,000 jika tempah Denza D9; menangi tiket konsert Jacky Cheung

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org yang masih berlangsung hari ini membawakan pelbagai tawaran automotif terbaik pada 19-20 Julai 2025, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Dengan Carro dan RHB sebagai penaja bersama, acara ini terbuka kepada umum dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

    Banyak yang menarik menanti anda di PACE 2025, dan satu daripadanya ialah tawaran istimewa RM5,000 jika anda membuat tempahan Denza D9. Tawaran ini terbuka untuk 50 unit terawal, jadi jangan lepaskan peluang. Anda sah untuk menikmati tawaran ini asalkan MPV elektrik anda didaftarkan sebelum 31 Julai ini.

    Selain itu, anda juga berpeluang menjadi satu daripada 150 orang pelanggan terawal untuk mendaftarkan model D9 setiap bulan pada Julai, dan berpeluang memenangi tiket Jacky Cheung 60+ Concert Tour in Kuala Lumpur yang akan berlangsung Ogos nanti.

    PACE 2025: Tawaran eksklusif RM5,000 jika tempah Denza D9; menangi tiket konsert Jacky Cheung

    Selain Denza, antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025: Tawaran eksklusif RM5,000 jika tempah Denza D9; menangi tiket konsert Jacky Cheung

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025