Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pelumba Indonesia Rio Haryanto bakal menyertai Manor Racing dalam F1 dengan tajaan RM60 juta?

    Rio_F1

    Terdapat perkhabaran pasukan Formula One dari Britain, Manor Racing, telah melepaskan pelumba Will Stevens, dan bakal menggantikannya dengan pelumba dari Indonesia, Rio Haryanto. Malah Haryanto turut dikatakan akan membawa bersama wang sebanyak 10 juta pound sterling (RM60 juta) hasil tajaan syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina.

    Memetik laporan The Telegraph, Stevens yang mengalami prestasi kurang memberangsangkan sepanjang musim lalu, juga telah mengumumkan pengundurannya dari pasukan terbabit dan mahu mencari peluang baharu di Amerika Syarikat. Haryanto, 23, menyertai pasukan Campos Racing pada tahun lalu, dan telah menyertai GP2 dan menghabiskan pusingan keempat dengan mendapat tempat pertama sebanyak dua kali.

    Ini menjadikan Haryanto sebagai pelumba Indonesia pertama dalam Formula One selepas mendapat superlicense setelah berjaya dalam ujian pemanduan 300 km di Silverstone pada tahun lalu. Jejak langkah yang agak jauh berbanding pelumba Malaysia, Jazeman Jaafar, yang menyertai siri Blancpain dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan tajaan sehingga perancangannya menyertai Formula tergendala sehingga tahun 2016.

     
     
  • Mitsubishi Lancer 2004-2006 dipanggil balik – isu pengepam beg udara penumpang, 895 unit terlibat

    2006-mitsubishi-lancer-jt

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), telah mengumumkan panggilan balik (recalled) bagi sejumlah 895 unit Mitsubishi Lancer yang diproduksi dari September 2004 hingga April 2006. Ini disebabkan pengepam beg udara pada tempat duduk penumpang didapati bermasalah. Di mana ia boleh mengeluarkan serpihan besi sekiranya beg udara tersebut meletup yang boleh mengakibatkan kecederaan pada penumpang.

    “MMM mengambil inisiatif ini untuk memastikan keselamatan para pelanggan diberi keutamaan dan berasa sesal dengan perkara ini. Pengepam beg udara yang didapati bersalah itu akan digantikan dengan komponen baharu,” ujar Yang Won-Chul, CEO MMM.

    MMM akan menghantar surat pemberitahuan kepada semua pemilik Mitsubishi yang terlibat dan kos penggantian ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini.

     
     
  • Lotus Elise Cup 250 – paling laju, 200 unit setahun

    lotus-elise-cup-250-01

    Ringan dan paling laju. Itulah yang dipertaruhkan buat model baharu Lotus Elise Cup 250. Dengan penyingkiran berat sebanyak 21 kg dari model Elise terdahulu, kini Elise Cup 250 menambah lagi kuasanya sebanyak 26 hp. Kini ia hanya seberat 931 kg, Elise Cup 250 boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 248 km/j dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 4.3 saat. Secara tidak langsung merekodkan Elise Cup 250 sebagai model Elise yang paling laju.

    Model pengganti bagi Elise Cup 220, Cup 250 ini telah mengurangkan berat bateri lithium-ion sebanyak 10 kg, tempat duduk gentian karbon hanya seberat 6 kg dan rim aloi pula dikurangkan sebanyak 1.5 kg. Manakala Pek Karbon Aero (pemisah hadapan, sayap belakang, peresap belakang dan penambahan lantai sisi) telah dikurangkan beratnya sebanyak 10 kg. Jentera ini juga merupakan roadster pertama sebagai model standard dengan hard top sebagai pilihan.

    Dijanakan oleh enjin 1.8 liter supercharged bagi versi baharu, Elise Cup 250 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 243 hp pada 7,200 rpm dan tork 250 Nm antara 3,500 dan 5,500 rpm. Jentera ini pernah dipandu uji di trek Hethel dan mencatatkan masa 1 minit 34 saat, iaitu empat saat lebih pantas berbanding rekod yang pernah dicatatkan oleh Cup 220, sekali gus menjadikan Elise yang paling laju dalam barisannya. Apatah lagi ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, memantapkan lagi prestasinya.

    lotus-elise-cup-250-02

    Jentera ini turut dilengkapi dengan Pengurusan Prestasi Dinamik Lotus (DPM) yang menyalurkan mod Sport bagi menambahkan respons pendikit, mengurangkan cengkaman dan mengelakkan understeer serta membenarkan kawalan dipertingkatkan selepas sistem ini beroperasi. Ia turut ditampilkan dengan tayar hadapan 195/50 R16 (belakang 225/45 R17) bagi memberikan kawalan yang lebih tajam dan responsif, menurut Lotus.

    Cup 250 ini juga turut menggunakan suspensi ala sukan permotoran dan komponen brek dari Cup 220, termasuk palang anti-olengan hadapan boleh laras, peredam sport Bilstein dan lingkaran gegelung Eibach. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kaliper hadapan omboh-berkembar AP Racing dan omboh-tunggal Brembo bagi sistem ABS yang ditala khas dan tayar Yokohama AO48.

    Pada bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan suiz yang lebih besar bagi DPM, lampu utama dan lampu kabus belakang, yang dipasang bersama butang penghidup enjin baharu. Malah turut menampilkan Alcantara berwarna merah atau hitam sebagai standard, dengan Pek Kulit.

    Elise Cup 250 ini bakal dijual di pasaran utama kecuali Amerika Utara mulai April ini. Produksi untuk peringkat global terhad hanya 200 unit setahun sahaja.

     
     
  • Pinjaman sewa beli yang lama menyebabkan Proton hilang nilai untuk wang berbanding jenama import

    Proton-COE-press-conference-5_bm

    CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah mengakui pengeluar kereta nasional itu telah kehilangan kelebihan nilai untuk wang pada produknya berbanding jenama luar, akibat tempoh pinjaman yang dipanjangkan kepada sembilan tahun. Tempoh pinjaman yang lebih lama tersebut membolehkan pengguna membeli kereta yang lebih mahal.

    Harith memberitahu media semalam, semasa tempoh pinjaman yang lebih pendek sebelum ini, Proton mempunyai kelebihan yang besar dalam jualan – menjangkaui 60% dalam pasaran tempatan. Tetapi dengan kemampuan pengguna untuk membeli kereta yang lebih mahal sekarang, tambahan pula kegagalan untuk memenuhi pasaran segmen-B yang agak besar, Proton telah kehilangan kelebihan tersebut.

    “Kami hilang faktor nilai untuk wang tersebut kerana kemampuan untuk membeli kereta telah meluas,” kata beliau. “Kami gagal untuk menguasai segmen ini, dimana ia lebih tertumpu pada jenama.”

    Beliau juga turut kesal dengan orang ramai membeli kereta dari jenama lain walaupun dibekalkan dengan ciri keselamatan dan kelengkapan ditahap yang lebih rendah. “Kami perlu membuat analisa berkaitan hal ini. Kami telah memberikan yang terbaik dari segi prestasi, keselamatan dan kelengkapan. Enam beg udara, rating keselamatan lima-bintang dari ANCAP – semua ini sejak 2012. Kami telah melengkapkan segalanya dalam kereta kami,” katanya.

    proton-kuala-terengganu-061_BM

    Harith menambah kerana persepsi negatif terhadap Proton, pembeli tidak mahu cuba untuk memandu uji model Proton, jadi mereka tidak mengetahui sebenarnya kemampuan sebenar model terbaharu Proton seperti Preve, Suprima S dan Iriz. “Anda perlu memandu uji model-model ini, kerana ia telah terbukti, apabila anda memandu uji, peluang untuk memilih membeli Proton adalah tinggi,” kata beliau.

    Sentimen ini merupakan penggerak utama dibelakang kempen ‘ It’s in the Drive‘ Proton, menggalakkan orang ramai untuk memandu uji sendiri kereta baharu, berbanding hanya berpegang kepada perasaan prejudis yang dipendam sekian lama. Ini juga sebab mengapa Proton sekarang ini menganjurkan peraduan Pandu Uji dan Menang, yang mana setiap orang yang memandu uji Proton layak berpeluang memenangi hadiah, termasuk sebuah Suprima S jika mereka menempah kereta baharu.

    Harith berkata Proton bergelut di bawah Polisi Automotif Nasional (NAP), di mana tempoh pinjaman sewa-beli maksima ditambah dari lima tahun ke sembilan tahun. “Jika kerajaan atau Bank Negara membuat keputusan untuk memendekkan tempoh masa bayaran pinjaman maksimum ke lima tahun, anda boleh lihat perubahan drastik pada angka jumlah jualan kami. Saya agak yakin tentang perkara ini,” tambah beliau.

    “Saya berpendapat pinjaman sewa beli kereta tidak patut dipanjangkan sehingga sembilan tahun. Jika pembayaran dipanjangkan sebegitu lama, apabila anda membuat keputusan untuk menjual kereta selepas dua tahun, anda perlu membayar lebih kepada bank berbanding harga pasaran kereta tersebut sebelum dapat menukar kereta,” ujar beliau.

     
     
  • Suzuki Satria F150 2016 dilancarkan di Indonesia – 18.5 hp, 13.8 Nm, harga bermula RM6,763

    1422441_1123382811006900_2482443682945367185_n-e1455688217569

    Selepas pelancaran Honda CBR150R pada 14 Februari lalu, kini tibalah giliran Suzuki Satria F150 pula. Motosikal jenis kapchai ini dikatakan memiliki prestasi yang mengagumkan iaitu 18.5 hp dan tork 13.8 Nm, ibarat paling berkuasa dalam kelasnya.

    Satria F150 dilihat turut menampilkan sedikit peningkatan pada bahagian enjinnya untuk mendapatkan lebih kuasa. Sistem suntikan bahan api semburan-berkembar baharu menggunakan enam pengesan yang mampu menyalurkan bahan api secara lebih optimum dalam apa jua keadaan cuaca. Kadar pemampatannya juga dinaikkan iaitu dari 10.2:1 menjadi 11.5:1, secara tidak langsung memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

    Sudut injap juga kini lebih bersesuaian, dengan injap ekzos dan pengambilan udara yang lebih besar untuk mendapatkan kadar campuran udara-minyak masuk dan keluar lebih cepat, serta turut menampilkan badan injap pendikit yang lebih besar. Malah omboh diposisikan pada blok yang lebih ringan dan kecil, bagi menambahkan mekanikal enjin yang lebih efisien.

    Kapchai ini disasarkan pada golongan pelajar dan pekerja berusia muda, ia ditawarkan dengan dua versi iaitu gred standard dan gred tinggi. Bagi gred standard, harganya bermula pada 21.65 juta rupiah (RM6,763) dan menampilkan tiga pilihan warna. Sementara gred tinggi pula berharga dari 21.95 juta rupiah (RM6,863) dan ditawarkan dengan dua pilihan warna.

    Sebelum beristirahat, admin kasih TVC All New Satria F150.. Ssttt ada Aleix Espargaro naik Satria injeksi loh bro and sis… :)#AllNewSatriaF150 #NyalakanNyali #BeraniDiadu

    Posted by Suzuki Motor Indonesia on Tuesday, February 16, 2016

     
     
  • Mercedes-AMG GT naiktaraf turbo Stage 1 dari Renntech – kuasa meningkat ke 716 hp dan 889 Nm

    RENNtech-Mercedes-GT-S-1-PTBM

    Mercedes-AMG GT sememangnya sebuah jentera yang memang hangat kuasanya. Namun apabila ia menerima sentuhan Renntech bagi menala semula model tersebut, pasti ledakan kuasanya bertambah mengujakan. Bagi Renntech, proses talaan semula ini sangat menyeronokkan kerana kuasa yang dihasilkan cukup luar biasa

    Renntech telah melakukan modifikasi pada enjin 4.0 liter bi-turbo V8 bagi Mercedes-AMG GT dengan meningkatkan kit turbo bagi Stage 1 dengan roda pemampat yang lebih ringan, perumah pemampat yang baharu dan impeller yang lebih besar.

    RENNtech-Mercedes-GT-S-13-PTBM

    Ia turut disertakan dengan Pakej Prestasi R1 iaitu penapis udara aliran tinggi dan downpipe dari besi keluli tahan karat. Modifikasi ini turut melibatkan penaiktarafan ECU, yang meningkatkan kuasa sehingga 716 hp dan 889 Nm berbanding talaan Brabus sebanyak 600 hp dan 750 Nm. Peningkatan kuasa ini turut memberikan masa pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

    Bukan itu sahaja, Renntech turut membangunkan kit penambahbaikan suspensi yang menampilkan suspensi gegelung Renntech dan peredam OEM. Dengan pelarasan semula ketinggian, tinggi suspensi jentera ini menurun sebanyak 38 mm pada bahagian hadapan dan belakang.

    Sesuai dengan penambahan kuasa, kit turbo Stage 1 ditawarkan pada harga USD$11,880 (RM49,918), sementara kit suspensi pula USD$1,980 (RM8,320).

    GALERY: Mercedes-AMG GT S

     
     
  • Lencongan trafik di KESAS dari 23 Feb hingga 22 Julai

    Kesas-route_PTBM

    Kesas Sdn Bhd, telah mengeluarkan kenyataan bahawa lencongan trafik sementara akan dilakukan secara berperingkat di sepanjang Lebuhraya Shah Alam bermula dari 23 Februari hingga 22 Julai 2016.

    Lencongan ini adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih permukaan jalan. Menurut syarikat terbabit, lencongan dan penutupan lorong akan dilakukan secara berperingkat bermula dari jam 11 malam hingga 6 pagi. Pengguna lebuhraya terbabit turut dinasihatkan agar memandu lebih berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda yang disediakan di kawasan lencongan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya sasar ‘sifar jalan berlubang’

    Bad-road-2

    Kementerian Kerja Raya menyasarkan semua jalan di bawah selenggaraannya, ‘zero pothole’ atau sifar jalan berlubang, mulai tahun ini.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, usaha ke arah itu telah pun dimulakan, antaranya menggerakkan pasukan audit untuk memantau keadaan jalan dan mengarahkan konsesi yang bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan untuk segera memperbaiki kerosakan, laporan The Malay Mail.

    “Kita sudah wujudkan program ‘Rakan JKR’ iaitu pengguna sama-sama meninjau dan menyampaikan maklumat kepada kita apabila ada lubang pada jalan raya supaya syarikat konsesi boleh ambil tindakan.

    “Jika syarikat konsesi lambat mengambil tindakan, mereka boleh dikenakan tindakan, termasuk penalti atau denda disebabkan kegagalan mematuhi syarat, terma perjanjian konsesi yang ditandatangani,” katanya.

    Katanya, syarikat konsesi yang dilantik bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan jalan berada dalam keadaan yang baik, menguruskan aduan berkaitan kerosakan jalan dengan segera dan kualiti kerja mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan. Bagi memastikan kesegeraan untuk bertindak terhadap aduan berkaitan jalan berlubang, kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu bagi lubang atau kerosakan ringkas, tindakan mesti diambil dalam tempoh 24 jam.

    Manakala bagi kerosakan jalan yang sukar diselesaikan, tindakan perlu dibuat dalam tempoh 14 hari, sementara masalah kerosakan yang lain perlu dilaksanakan tidak lewat dari setahun.

    Malah pihak kementerian juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk memberi maklumat melalui Twitter, laman web Aduan JKR dan akaun Facebook.

     
     
  • Program My Taxi Proton, hargai pemandu teksi

    Proton-upgrades-customer-service-11-BM

    Proton mengambil inisiatif baharu yang akan memberi faedah untuk pemandu teksi di Malaysia. Program khas yang diberi nama ‘My Taxi’ ini direka untuk menyediakan bantuan istimewa kepada pemandu teksi yang memandu Proton.

    Program My Taxi ini disertai oleh 17 outlet Proton Edar Sdn Bhd (PESB) buat masa sekarang. Outlet-oulet ini akan memastikan pemandu teksi mendapat servis yang pantas setiap kali kunjungan mereka. Penasihat servis khas akan ditugaskan untuk menerima kunjungan mereka pada hari yang dikhaskan (hari ahad) setiap minggu untuk memastikan para pemandu teksi ini diberi keutamaan berbanding pelanggan lain.

    17 Outlet PESB yang menyertai program ini adalah:

  • Seksyen 13, Petaling Jaya
  • Jalan Chan Sow Lin
  • Puchong Jaya
  • Centre of Excellence, USJ
  • Seremban
  • Serindit, Melaka
  • Batu Pahat 2, Johor
  • Larkin, Johor
  • Plentong, Johor
  • Johor Bharu
  • Semambu, Kuantan
  • Kuala Terengganu
  • Kota Bharu
  • Alor Setar 2
  • Juru
  • Jalan Makloom, Penang
  • Ipoh
  • Selain dari servis khas yang didedikasikan untuk pemandu teksi di outlet yang terpilih, Proton juga memperkenalkan diskaun istimewa dan promosi untuk mereka. Terdapat di seluruh pusat servis Proton Edar di dalam negara, servis tambahan tersebut merangkumi:

  • Diskaun 25% untuk alat ganti
  • Caj buruh RM35 sejam berbanding RM60 untuk caj biasa
  • Servis diutamakan dan siap dalam masa dua jam- tidak termasuk kerja baik pulih lain yang diperlukan.
  • Tempoh waranti dipanjangkan iaitu dua tahun atau 150,000 km- berbanding perbatuan biasa hanya 100,000 km
  • Waranti mutu kerja enam bulan atau 10,000 km
  •  
     
  • Proton perkenal servis kereta gantian untuk pelanggan

    Proton-upgrades-customer-service-10_BM

    Proton merangka semula rangkaian servis mereka termasuk menambah servis kereta gantian untuk pelanggan. Servis ini bukanlah satu bentuk servis yang baharu kerana pengeluar yang lain juga turut melakukan perkara yang sama, tetapi ia merupakan satu berita baik untuk pelanggan Proton.

    Servis baharu ini akan menyediakan kereta gantian untuk pelanggan yang perlu meninggalkan kereta mereka di pusat servis Proton atas sebab-sebab tertentu seperti kerja-kerja servis, baik pulih, dan diagnosis yang mengambil masa agak lama. Setakat ini 74 buah kereta gantian telah disediakan di seluruh negara yang terdiri daripada model Inspira, Preve, Persona, Exora, Suprima S dan Saga.

    Walau bagaimana pun, servis ini tertakluk pada terma dan syarat. Untuk permulaan, servis ini hanya diberikan untuk pelanggan yang kereta mereka masih lagi dalam waranti pengeluar.

    Kerja-kerja diagnosis masalah juga diberikan pertimbangan untuk menerima kereta gantian tersebut jika ianya mengambil masa lebih dari tiga hari

     
     
  • Kejara sah dilaksanakan secepat mungkin – Liow

    malaysian-driving-license-001_PTBM

    Pihak kerajaan telah mengesahkan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) akan dilaksanakan secepat mungkin. Menurut laporan The Star, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Lai telah megesahkan penguatkuasaan ini adalah bagi menggalakkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang yang diperuntukkan.

    Kita akan melaksanakan Kejara kerana dengan cara ini dapat menggalakkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas, secara tidak langsung mendidik mereka berhubung keselamatan jalan raya,” ujarnya, memetik laporan The Star.

    Kejara merupakan sistem pemberian mata demirit bagi pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik, di bawah Akta Kenderaan Motor (Mata Demerit) 1997. Setiap pemandu memulakan dengan satu rekod bersih , dan kemudian mengumpulkan markah berdasarkan kesalahan trafik.

    Menurut laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebagai contoh, memandu melebihi had laju iaitu satu dari 25 km/j akan menerima enam mata demerit. Jika melakukan kesalahan yang lebih serius, seperti memandu di bawah pengaruh alkohol, sebanyak 15 mata akan diberikan.

    klik untuk besarkan imej

    Bagi pemandu golongan muda atau yang baru mendapat lesen memandu, penerimaan mata sebanyak 10 boleh memberikan kesan terhadap lesen P anda iaitu tidak dibenarkan memandu selama setahun. Rujuk carta di atas untuk info selanjutnya.

    Dalam masa yang sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyatakan sokongan sepenuhnya sistem Kejara ini.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, jabatannya bersedia untuk menjalankan kajian berhubung dengan sistem tersebut.

    “Ia merupakan cadangan yang bagus. Kami akan melakukan persediaan bagi mengkaji sistem ini lebih mendalam namun implementasinya hanya tertakluk pada kelulusan Kabinet,” ujarnya.

    Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim turut berkata, saranan KPN adalah tepat pada masanya.

    “Kita akan tengok rekod dan statistik Ops Selamat tahun ini, yang berakhir Ahad ini, dan lihat kawasan mana yang perlu diberi kepentingan.

    “Keutamaan kita adalah sentiasa mahu menyelamatkan nyawa manusia, sebanyak yang mungkin. Jadi kita mahu menghindari kemalangan maut juga sebanyak yang mungkin,” katanya.

    Malah jabatan tersebut juga mengalu-alukan pendapat dari orang ramai untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, ini termasuklah implementasi Kejara yang sedang dipertimbangkan.

    “Kita akan bekerjasama dengan lain-lain agensi, termasuk JPJ,” ujar Fuad lagi.

     
     
  • Proton sasar untuk selesaikan, baiki isu kualiti

    Proton_Suprima_S_vs_Preve_-001_PTBM

    Persepsi negatif masyarakat terhadap Proton memang telah berlaku sejak sekian lama, apatah lagi apabila ia melibatkan masalah kualiti pada model keretanya. Secara ringkasnya, istilah “QC” seakan tidak memberikan kesan. Disebabkan tidak mahu membiarkan perkara ini terus berlarutan, Proton nekad untuk memperbaiki pengurusan kualiti dan menghentikan segala tanggapan tersebut.

    CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, “Apa yang perlu kami lakukan ialah mempertingkatkan pengurusan kualiti kami. Masalahnya di sini, apabila kita mempunyai ribuan komponen untuk diperiksa dan dipilih sebelum memulakan pemasangan kereta, adakalanya kita akan terlepas pandang beberapa perkara.”

    “Ini merupakan salah satu alasan utama apabila mendapat komponen yang bermasalah. Sesetengah daripada pembekal, memang telah lama bersama kita sejak 20, 30 tahun lalu,” tambahnya.

    Harith turut berkata, “Apa yang akan kami lakukan sekarang ialah memperhebatkan lagi program pemeriksaan, jadi kami dapat tapis segala isu sebelum memulakan proses produksi. Ini sebahagian daripada peningkatan untuk bahagian operasi.

    “Kami telah memulakannya, dan kami juga sudah mempunyai ketua baharu bagi bahagian kualiti. Di mana Masazumi Ogawa yang baru menyertai kami, mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun bersama Nissan sebelum ini. Kami juga berharap dapat mempertingkatkan tahap disiplin di tempat kerja untuk memastikan pengurusan kualiti lebih baik dari sebelum ini,” ujar Harith.

     
     
  • Proton lancar servis Bantuan Bergerak, hotline 1800 888 398 sebagai talian khidmat pelanggan

    Proton-Mobile-Assist-2_BM

    Proton telah mengumumkan servis Bantuan Bergerak yang menyediakan bantuan kecemasan di mana sahaja untuk pemilik Proton yang terkandas kerana kerosakan kereta. Servis tersebut yang bermula hari ini akan menggunakan 21 unit Persona dan tiga unit Exora, yang lengkap dengan peralatan untuk melakukan pembaikan segera. Untuk peringkat awal, kereta-kereta ini akan diuruskan oleh pihak Proton Edar.

    Servis ini akan dikembangkan pada 1 April depan dengan tambahan 12 unit Exora, juga diuruskan oleh Proton Edar. Manakala sejumlah 52 unit kereta lagi akan memulakan servisnya bermula 1 Mei, kali ini diuruskan oleh outlet pengedar terpilih yang terdiri daripada pusat 4S dan 3S.

    Proton juga melancarkan semula hotline khidmat pelanggan – 1800 888 398 – yang disasarkan untuk menjadi pusat panggilan untuk memenuhi kehendak pelanggan. CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah secara berseloroh beliau mengharapkan nombor hotline tersebut akan diingati seperti nombor 755-25-25, nombor lama hotline Pizza Hut Malaysia.

    Disamping untuk memohon bantuan untuk servis Bantuan Bergerak, pelanggan juga boleh menetapkan tarikh temu janji servis menerusi talian hotline tersebut (anda boleh juga menghubungi terus pusat servis yang anda mahu untuk membuat temu janji ini). Talian ini turut menerima segala rungutan daripada pelanggan berkenaan produk dan servis Proton.

    Proton juga berjanji servis mereka akan bertambah baik sekiranya rungutan dan permintaan terus diajukan pada orang yang bertanggung jawab seperti esekutif perhubungan pelanggan dan pengurus kawasan, isu berbangkit akan dapat diketengahkan dan diselesaikan oleh pihak dalaman Proton. Servis tersebut juga akan menghubungi pelanggan yang bermasalah setiap hari sehingga masalah mereka diselesaikan.

     
     
  • Perodua Tweckbot ke Johor 19 hingga 21 Feb ini

    perodua-tweckbot-1-1_BM

    Program pemeriksaan kereta percuma Perodua Tweckbot, yang memasuki tahun ke-enam penganjurannya, bakal berada di Johor pada hujung minggu ini. Krew Tweckbot akan berada di Giant Muar, Johor pada 19 hingga 21 Februari ini, dan akan menawarkan 50-mata pemeriksaan keselamatan, yang hanya mengambil masa antara 10 dan 15 minit untuk memeriksa setiap kereta.

    Ia merupakan kesinambungan Tweckbot sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini yang dianjurkan di Giant Subang Jaya pada 29 hingga 31 Januari lalu, menyaksikan sebanyak 123 kenderaan Perodua telah diperiksa. Di samping 50-mata pemeriksaan keselamatan, para pemilik Perodua juga berpeluang mendapat diskaun sebanyak 20% bagi alat ganti dan aksesori, ia hanya boleh ditebus di pusat servis dan pengedar terpilih.

    tweckbot-2-e1455619315372_BM

    “Kami berharap para pelanggan mengambil peluang bagi menyertai program Tweckbot ini untuk memastikan keadaan kenderaan mereka selamat digunakan di jalan raya. Program adalah sebahagian daripada komitmen kami terhadap para pelanggan dengan menawarkan kualiti servis dan produk terbaik,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

    Projek Perodua Tweckbot yang telah bermula sejak tahun 2011 lalu melibatkan promosi menerusi laman media sosial di mana para pelanggan Perodua boleh mengetahui lokasi dan tarikh krew Tweckbot bakal berada untuk tujuan pemeriksaan percuma ini.

     
     
  • Proton Edar memperkenalkan servis ambil dan hantar, Servis Pantas 80-min atau kos buruh tidak dicaj

    klik untuk besarkan imej

    Dalam usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan, Proton telah memperkenalkan dua servis baharu yang bakal dilaksanakan di pusat servis Proton Edar terpilih.

    Pertama, servis mengambil dan menghantar semula kereta para pelanggan akan ditawarkan. Di mana para pemilik kereta Proton yang menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis mengikut jadual yang disediakan memiliki kelebihan untuk menggunakan servis ini. Sama ada kenderaan anda akan diambil dan/atau dihantar kembali kepada anda di rumah atau pejabat dari pusat servis Proton Edar yang terpilih. Dengan syarat jarak antara rumah/pejabat anda tidak lebih 5 km dari pusat servis Proton Edar terbabit.

    Buat setakat ini, hanya empat outlet Proton Edar yang telah memulakan program ini sejak Disember 2015 lalu, iaitu Mutiara Damansara, Bukit Maluri, Setapak dan Seksyen 13 Petaling Jaya.

    Manakala tiga lagi outlet yang akan turut melakukan servis yang sama tidak lama lagi, di sekitar Lembah Klang, iaitu Pusat Kecemerlangan Proton (COE) USJ, Proton Edar Puchong dan Sri Damansara.

    Press Conference with YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad and Dato' Abdul Harith Abdullah

    Servis kedua pula ialah Proton akan memulakan jaminan Servis Pantas (Quick Service) di kesemua 44 cawangan Proton Edar di seluruh negara. Di mana, Proton menjamin para pelanggan yang datang untuk melakukan servis minor akan dapat diselesaikan dalam tempoh tidak lebih daripada 80 minit, atau kos buruh akan diserapkan.

    “Jika kita tidak dapat menyelesaikannya dalam tempoh 80 minit, kos buruh tidak akan dicaj. Kami lebih rela rugi daripada hilang kepercayaan,” ujar CEO Proton Harith Abdullah. Hanya pelanggan yang membuat temujanji terlebih dahulu akan layak menggunakan servis ini, asalkan tiada permintaan servis tambahan termasuk pandu uji, penghawa dingin dan servis tayar.

    Untuk itu, Proton akan memastikan usaha ini berkesan dan berani mengambil risiko seandainya tidak mencapai apa yang dijanjikan. Seperti yang dinyatakan, seandainya ada pusat servis yang tidak dapat menyelesaikan kerja dalam tempoh yang ditetapkan, Proton sendiri akan memaklumkan kepada para pelanggan (berhubung kelewatan tersebut) dan bersedia menyerap semua kos tenaga kerja yang terlibat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025