Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mahindra BE 6 Batman Edition – ‘Batmobile’ produksi rasmi, dihasilkan hanya 300 unit di India, RM134k

    Mahindra BE 6 Batman Edition – ‘Batmobile’ produksi rasmi, dihasilkan hanya 300 unit di India, RM134k

    Selain dari Ironman, Batman adalah satu lagi watak superhero yang tidak ‘dikurniakan’ kuasa luar biasa, sebaliknya super power yang digunakan untuk melawan penjahat adalah kekayaan yang membolehkan ia mencipta pelbagai senjata dan keperluan untuk berlawan. Namun Batman tidak mempunyai sut yang boleh terbang seperti Ironman, tetapi ia bergerak ke sana-sini dengan pelbagai kenderaan unik, dan antara yang paling utama adalah kereta yang digelar Batmobile.

    Dalam kebanyakkan filem-filem Batman, Batmobile biasanya adalah kereta rekaan khas yang tidak diasaskan dari model-model produksi, jadi agak sukar nak hasilkan replika Batmobile yang boleh dipandu setiap hari seperti beberapa replika kereta Hollywood yang lain seperti mesin masa Back To The Future atau KITT dari siri Knight Rider. Tapi untuk peminat Batman, ini mungkin jawapannya – pembuat SUV dari India iaitu Mahindra memperkenalkan model edisi terhad yang digelar sebagai Mahindra BE 6 Batman Edition.

    Menurut Mahindra, model ini dihasilkan dengan kerjasama pemilik watak Batman iaitu Warner Bros menerusi Warner Bros Discovery Global Consumer Products (WBDGCP), dan ia merupakan SUV pertama dalam dunia yang ditawarkan secara komersil yang diinspirasikan dari Batman! Malah ia dihasilkan dalam jumlah yang benar-benar terhad iaitu hanya 300 unit.

    Mahindra BE 6 Batman Edition – ‘Batmobile’ produksi rasmi, dihasilkan hanya 300 unit di India, RM134k

    Model istimewa ini diasaskan dari Mahindra BE 6, dengan unit rangkaian kuasa sama dibekalkan 285 PS (210 kW) dan tork maksima 380 Nm, bersama bateri 79 kWj. Apa yang membuatkan ia istimewa adalah pelbagai perincian unik dipadankan pada bahagian luaran dan dalaman.

    Badan Mahindra BE 6 ini dilayangkan dengan warna hitam satin, bersama pelekat-pelekat grafik Batman istimewa pada pintu dan bumbung. Kemudian ia turut diberikan emblem-emblem dengan logo Batman dari siri trilogi The Dark Knight pada penutup hab rim aloi 20-inci, fender hadapan, bampar belakang, cermin tingkap dan juga cermin belakang.

    Selain itu ia juga diberikan lencana ‘BE 6 × The Dark Knight’ di belakang, pelekat Batman Edition pada panel pelindung pintu belakang, dan juga lampu puddle yang memancarkan logo Batman The Dark Knight ke permukaan tanah apabila pintu dibuka.

    Perincian-perincian istimewa turut boleh ditemui pada bahagian-bahagian tersorok termasuk serlahan cat berwarna emas diberikan pada komponen suspensi dan juga pada angkup brek yang hanya boleh dilihat pada celah-celah liang rim yang kecil.

    Pada bahagian dalaman Mahindra BE 6 Batman Edition ini menerima balutan upholsteri gabungan kulit dan sued dengan serlahan benang emas dan label menampilkan logo Batman The Dark Knight. Manakala pada panel paparan instrumen yang dibalut kulit berwarna charcoal turut menerima kemasan berwarna emas yang seakan mengelilingi kokpit pemandu.

    Serlahan-serlahan emas turut diberikan pada roda stereng, suis brek parking elektronik dan juga pada kemasan cecincin suis putar kawalan skrin infotainmen. Papan pemuka ‘Batmobile’ ini dilengkapkan dengan plak Batman Edition juga berwarna emas yang tercatat nombor siri unik SUV edisi terhad ini.

    Selain itu SUV ini juga menampilkan logo Batman pada butang Boost, animasi grafik logo Batman pada panel paparan instrumen digital, loga Batman pada panel papan pemuka sebelah penumpang dan juga tali pemegang pintu yang diinspirasikan dari kereta lumba juga diberikan logo Batman. Apa yang paling menarik, Mahindra turut menghasilkan bunyi enjin pada sebelah luar yang diinspirasikan dari Batman.

    Mahindra BE 6 Batman Edition ini dijual pada harga 27.79 lakh, atau 277,900 rupees (RM133,940). Penghantaran pertama kepada pembeli yang telah menempahnya akan bermula di India pada 20 September ini, iaitu tarikh yang sama dengan Hari Batman Antarabangsa.

     
     
  • Bengkel simpan 36,000 liter diesel haram diserbu — beli RM2.15, dijual RM2.45 seliter di pasaran gelap

    Bengkel simpan 36,000 liter diesel haram diserbu — beli RM2.15, dijual RM2.45 seliter di pasaran gelap

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Perak semalam telah menyerbu sebuah bengkel di Simpang, Taiping yang disyaki telah menyimpan diesel secara haram. Tindakan tersebut adalah sebahagian daripada Ops Tiris 2025, lapor Bernama.

    “Seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang mendakwa dirinya sebagai pemandu lori gagal menunjukkan sebarang dokumen, lesen serta permit oleh pihak berkuasa untuk menyimpan barangan terkawal apabila diminta berbuat demikian.

    “Oleh sebab itu, tindakan telah diambil untuk menyita sebanyak 36,000 liter bahan api yang dipercayai diesel, dua buah lori, sebuah tangki serta 22 kontena perantara bersama pam, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM292,840,” jelas Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau menambah, modus operadi sindiket tersebut adalah untuk mendapatkan diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori yang mencuri diesel daripada majikan masing-masing, dan diesel berkenaan dibeli dengan harga RM2.15 seliter sebelum dijual semula di pasaran gelap dengan harga sekitar RM2.45 seliter.

    Beberapa hari lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan percubaan untuk menyeludup 10,200 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM30,600 di kompleks pemeriksaan kastam dan imigresn di Bukit Kayu Hitam. AKPS percaya bahan api itu akan dijual hingga ke pasaran Myanmar.

     
     
  • Kad Touch ‘n Go Hot Wheels – edisi terhad, RM25

    Kad Touch ‘n Go Hot Wheels – edisi terhad, RM25

    Touch ‘n Go dan Hot Wheels sekali lagi bekerjasama untuk menghasilkan kad NFC edisi terhad – ia sudahpun mula dijual hari ini (15 Ogos 2025) dan hanya boleh didapati di semua rangkaian pasaraya Jaya Grocer Semenanjung Malaysia dengan harga RM25.

    Tidak seperti versi tahun lalu yang diumum hanya ditawarkan sebanyak 2,000 keping, versi terbaharu ini cuma diberitahu ditawarkan “dalam kuantiti yang sangat terhad”.

    Kad edisi terhad terbaharu ini masih siasaskan dari kad dengan cip NFC terkini Touch n’ Go yang boleh ditambah nilai menggunakan aplikasi Touch n’ Go e-wallet, datang dengan rekaan grafik baharu menampilkan latar belakang dan grafik hitam-emas di hadapan bersama grafik kereta berwarna merah, manakala di belakang menampilkan tema hitam-emas sepenuhnya.

     
     
  • Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

    Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

    Risalah rasmi bagi model Zeekr 7X untuk pasaran Malaysia sudah dimuat naik di laman web rasmi jenama itu. Ini sekali gus mengesahkan senarai spesifikasi dan kelengkapan yang bakal ditawarkan oleh SUV elektrik itu di sini, yang dijangka akan dilancarkan dalam suku ketiga ini.

    Zeekr 7X pertama kali dipertontonkan di sini dalam acara Malaysia Autoshow (MAS) pada Mei, sebelum tampil sekali lagi dalam acara Premium Auto Car Expo (PACE) bulan lalu. Seperti yang diketahui sebelum ini, SUV elektrik pertama jenama itu di sini akan ditawarkan dalam tiga varian (dengan harga jangkaan), termasuk varian paling asas RWD Standard Range (RM182,000), varian pertengahan RWD Long Range (RM195,000) dan yang paling lengkap, AWD Performance (RM230,000).

    Zeekr 7X mempunyai ukuran dimensi 4,825 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,666 mm tinggi dan jarak roda 2,925 mm. EV dengan binaan 800-volt ini akan bersaing dengan Tesla Model Y (dari RM195,450 hingga RM242,450) dan BYD Sealion 7 (dari RM187,710 hingga RM203,710) — dimensinya lebih besar daripada model Tesla tersebut, tetapi sedikit lebih kecil berbanding model BYD.

    Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

    Berikut adalah senarai spesifikasi bagi setiap varian:

      Zeekr 7X RWD Standard Range

    • Output motor elektrik: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm; RWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 6 saat
    • Bateri: 75 kWh lithium iron phosphate (LFP)
    • Jarak (WLTP): 480 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-100% dalam 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 450 kW; 10-80% dalam 10.5 minit
    • Output Vehicle-to-load (V2L): 3.3 kW
    • Zeekr 7X RWD Long Range

    • Output motor elektrik: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm; RWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 6 saat
    • Bateri: 100 kWh nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 615 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-100% dalam 5.5 jam
    • Pengecasan DC: 420 kW; 10-80% dalam 16 minit
    • Output Vehicle-to-load (V2L): 3.3 kW
    • Zeekr 7X AWD Performance

    • Output motor elektrik: 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm; AWD
    • Pecutan 0-100 km/h: 3.8 saat
    • Bateri: 100 kWh nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 543 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-100% dalam 5.5 jam
    • Pengecasan DC: 420 kW; 10-80% dalam 16 minit
    • Output Vehicle-to-load (V2L): 3.3 kW

    Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

    Untuk kelengkapan, varian paling asas datang dengan suspensi jenis double wishbone di depan dan multi-link di belakang, serta rim 19-inci. Lampu utama, DRL dan lampu belakang LED adalah standard, serta lampu ambient RGB dinamik.

    Ciri lain yang ada termasuklah pintu tanpa bingkai, pintu belakang larasan kuasa, bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari larasan kuasa, stereng balutan kulit larasan manual, balutan kerusi kulit, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori, kerusi belakang larasan kuasa dengan larasan 10-darjah untuk penyandar, kluster instrumen digital 13.02-inci, skrin sentuh infotainmen 16-inci dengan paparan 3.5K mini-LED, sistem bunyi dengan 10-pembesar suara, kawalan pendingin tiga zon serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Naik ke varian RWD Long Range, ia menerima tambahan seperti stereng dengan larasan kuasa, kerusi depan dengan liang udara dan fungsi urut, head-up display AR dengan ruang pancaran 36.21-inci, sistem bunyi Zeekr Sound 21-pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar 50-watt.

    Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

    Untuk varian paling lengkap, AWD Performance menerima peningkatan rim 20-inci dan suspensi udara kebuk tunggal dengan penyerap hentak kawalan berterusan (CCD). Bahagian luarannya juga menerima Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain yang menampilkan 1,831 LED di panel depan di bawah lampu utama.

    Ciri mewah lain termasuk pintu larasan elektrik yang unik untuk 7X, kerusi balutan kulit Nappa serta pelindung matahari larasan kuasa untuk tingkap sisi di belakang. Semua varian menggunakan cip Qualcomm 8295, dan mempunyai 36 ruang storan di dalam kabin, termasuk dua di bawah kerusi belakang.

    Ciri keselamatan dan alat bantuan pemandu adalah sama untuk semua varian, termasuk: tujuh beg udara, kawalan melayar adaptif dengan kawalan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, penukaran lorong automatik, AEB dengan amaran serta penghindaran perlanggaran depan, brek parkir kecemasan, amaran bukaan pintu, peninjau titik buta, sokongan penghindaran langgar belakang, amaran lintasan trafik di depan dan belakang, peninjau pemandu, bantuan parkir automatik dan kamera 360-darjah.

    Ada lima pilihan warna badan, terdiri daripada Crystal White, Onyx Black, Tech Grey dan Forest Green yang ditawarkan untuk semua varian, manakala Brooke Blue yang dipadankan dengan bumbung warna perak hanya khusus untuk AWD Performance. Berdasarkan risalah berkenaan, Crystal White adalah pilihan standard, dan warna lain akan dikenakan kos tambahan.

    Untuk ruang dalaman, tema warna hitam adalah penawaran standard, dengan varian paling tinggi diberi pilihan kombinasi putih dan ungu. Risalah berkenaan juga turut menyenaraikan pilihan untuk rim 21-inci dengan kos tambahan, tetapi tidak dinyatakan berapa.

    Dengan harga jangkaan, serta senarai spesifikasi dan kelengkapan yang diumumkan ini, adakah Zeekr 7X pilihan yang berbaloi untuk Malaysia?

    Zeekr 7X di PACE 2025

     
     
  • Beberapa jalan di Petaling Jaya bakal ditutup berkala pada 16-17 Ogos ini sempena PJ Half Marathon 2025

    Beberapa jalan di Petaling Jaya bakal ditutup berkala pada 16-17 Ogos ini sempena PJ Half Marathon 2025

    Bagi penduduk sekitar Petaling Jaya atau pun yang berada di daerah berkenaan, ingin dimaklumkan bahawa terdapat penutupan beberapa jalan pada Sabtu dan Ahad ini, 16 hingga 17 Ogos bagi kelancaran acara larian PJ Half Marathon 2025.

    Bermula Sabtu ini, laluan yang terlibat dengan penutupan ialah Jalan Yong Shook Lin (berhadapan Laman MBPJ) bermula jam 6 petang sehingga 12 tengahari pada 17 Ogos, yang juga merupakan tempat pelepasan flag-off. Anda dinasihati menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Barat untuk menuju ke Seksyen 14 dan Taman Sea serta Jalan 222 untuk ke Bandar Petaling Jaya.

    Manakala pada Ahad pula, sebanyak 33 jalan akan ditutup secara berkala oleh polis bermula jam 3.30 pagi gingga 9 pagi bagi kelancaran acara. Laluan yang terbabit ialah Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Timur, Jalan Utara, Jalan Changgai 6/22, Jalan Gasing, Jalan Templer, Jalan Selangor, Jalan Pasar 1/21, Jalan Railway 2/28, dan Jalan 2/27.

    Beberapa jalan di Petaling Jaya bakal ditutup berkala pada 16-17 Ogos ini sempena PJ Half Marathon 2025

    Laluan lain yang turut terlibat dengan penutupan berkala ialah Jalan Penchala, Jalan P.P Narayanan, Jalan 229, Jalan Baiduri SS1/22, Jalan SS1/36, Jalan SS2/24, Jalan 19/8, Jalan Harapan, Jalan 19/1, Jalan 21/1, Jalan 20/13, Jalan 20/14, Jalan 14/47, Jalan 14/48, Jalan 51A/223, Jalan Dato Rais Jamil 15, Jalan Semangat, Jalan Universiti, Jalan Kemajuan, Jalan 12/15 dan Persiaran Barat.

    Jadi, untuk anda yang merancang ke PJ pada Ahad ini, mungkin boleh tangguhkan perancangan itu atau pun ubah jadual ke sana selepas jam 1 tengahari bagi mengelakkan anda mungkin tersekat dalam kesesakan trafik akibat penutupan jalan. Atau pun jika perancangan tidak boleh diubah (atau memang anda tinggal di kawasan sekitar), sila patuhi arahan polis trafik dan kakitangan MBPJ untuk kelancaran perjalanan.

    PJ Half Marathon 2025 untuk penganjuran kali ke-35 ini melibatkan empat kategori iaitu 30 km, 21 km, 10 km dan 5 km. Bagi para peserta, race kit boleh diambil pada hari ini dan esok di Dewan Sivik MBPJ dari jam 11 pagi hingga 6 petang. Selamat maju jaya untuk semua peserta…berlarilah ikut pace masing-masing, asalkan sampai ke garisan penamat dengan selamat dan elak melepasi cut of time (COT) yang ditetapkan.

     
     
  • Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

    Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

    Dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu, Audi Q7 2025 tiba dengan varian tunggal S line 3.0 TFSI quattro yang merupakan versi pemasangan tempatan (CKD), malah menjadi model pertama dari jenama ini yang dipasang di Malaysia serta Asia Tenggara.

    Ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM462,422 tanpa insurans dengan waranti standard dua-tahun, waranti tanpa had perbatuan, meningkat ke RM482,422 dengan pakej waranti Audi lima-tahun serta pakej selenggara.

    Ternyata harganya lebih kompetitif berbanding model persaingnya yang juga versi CKD iaitu Mercedes-Benz GLE450 AMG Line pada harga RM529,000 atas jalan, dan BMW X5 xDrive40i M Sport yang dilancarkan bulan lalu, bermula dari RM470,000 (RM508,000 dengan waranti lanjutan dan servis). Sementara itu, Volkswagen Touareg R-Line pula berharga dari RM385,000 setakat Januari.

    Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

    Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro dilengkapi enjin 3.0 liter turbo TFSI V6 yang menghasilkan 340 PS dari 5,200 rpm hingga 6,400 rpm – sama seperti Touareg – namun dengan sistem elektrifikasi hibrid ringkas yang memberikan tambahan tork 50 Nm, menjadikan jumlah keseluruhan 500 Nm dari 1,370 rpm hingga 4,500 rpm. Kuasa tambahan ini datang daripada sistem hibrid ringkas 48 voltan yang menggabungkan belt-driven starter-generator, membolehkan kereta ini meluncur dengan enjin dimatikan sehingga 40 saat pada kelajuan antara 55 km/j hingga 160 km/j.

    Hamburan kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Rangkaian kuasa hibrid ringkas ini membolehkan Q7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Spesifikasi pasaran Malaysia untuk Q7 hadir dengan pakej S line yang merangkumi reka bentuk pengambilan udara yang lebih sporty, diffuser belakang dan kemasan badan sama warna, bersama pakej black styling plus dengan kemasan hitam bagi gril, cermin sisi dan komponen lain. Ia turut diberikan rim aloi dua tona 22-inci Audi Sport jejari-V yang dibaluti tayar bersaiz 285/35R22.

    Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

    Di bahagian dalam, ia menerima paparan instrumen Audi Virtual Cockpit berukuran 12.3-inci berfungsi sebagai panel instrumen pemandu dan boleh memaparkan pengguna jalan raya di sekitar kenderaan dalam bentuk 3D, manakala skrin sentuh sentral bahagian atas berukuran 10.1-inci menyediakan fungsi infotainmen melalui antara muka pengguna MIB 3. Di bawahnya terdapat paparan berukuran 8.6-inci untuk fungsi kenderaan terpilih serta kawalan pendingin hawa.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk stereng bawah rata (flat-bottomed steering wheel) dan tempat duduk sport laras kuasa yang dibaluti kulit quilted Valcona. Tempat duduk ini turut dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan, memori, serta pelarasan sokongan lumbar berkuasa.

    Kabin Q7 ini boleh memuatkan tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3, dan ruang bagasi berkapasiti 780 liter dengan barisan ketiga dibaringkan, yang boleh diperluaskan sehingga 1,908 liter apabila barisan kedua dan ketiga dibaring sepenuhnya.

    Ciri kelengkapan standard yang turut diberikan termasuklah paparan utama, pintu bukaan-lembut, tirai suria untuk pintu belakang, navigasi Audi Connect, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi 3D premium Bang & Olufsen dengan 19-speaker, sistem kamera 360-darjah, bantuan parkir, suspensi udara adaptif talaan-sport, stereng roda belakang dan tailgate kuasa bebas tangan.

    Bagi kelengkapan keselamatan aktif pula, Q7 menerima brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, evasive steering assist, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, AEB, amaran membuka pintu dan lampu tinggi adaptif.

    Untuk warna luarannya pula, Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro pemasangan tempatan (CKD) ditawarkan dengan pilihan Waitomo Blue, Daytona Grey, Mythos Black, dan Glacier White.

     
     
  • Acura RSX Prototype didedah – kini SUV EV prestasi tinggi, bukan lagi kereta sport berkaitan Honda Integra

    Acura RSX Prototype didedah – kini SUV EV prestasi tinggi, bukan lagi kereta sport berkaitan Honda Integra

    Kita di Malaysia mungkin tak kenal apa itu Acura RSX. Namun kalau disebut nama ini di Amerika Syarikat, Acura RSX merupakan coupe tiga pintu yang merupakan kembar kepada Honda Integra generasi ke-empat (DC5) yang diperkenalkan pada 2001 dan dihentikan pengeluarannya pada 2006 tanpa sebarang pengganti.

    Dan ketika berlangsungnya Monterey Car Week di California, Amerika Syarikat minggu ini, Acura telahpun mendedahkan Acura RSX Prototype, iaitu model generasi kedua Acura RSX yang dijadualkan akan mula masuk ke pasaran pada separa kedua 2026. Dan seperti model-model ‘prototaip’ Honda/Acura sebelum ini, rupa yang hampir sama sepenuhnya akan dibawa ke versi produksi kelak.

    Seperti yang anda boleh lihat, RSX kini bukan lagi kereta sport coupe-tiga pintu, namun ia kini adalah sebuah SUV dan Acura mengesahkan ia adalah model prestasi tinggi yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya. Namun untuk peminat kereta sport Acura di sana tidaklah kecewa kerana divisi mewah Honda tersebut telahpun memperkenalkan Acura Integra pada 2022 yang merupakan kembar Civic Si, dan juga Acura Integra Type S pada 2023 yang menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Civic Type R.

    Acura RSX Prototype didedah – kini SUV EV prestasi tinggi, bukan lagi kereta sport berkaitan Honda Integra

    Masih belum banyak perincian berkenaan RSX generasi baharu ini dedahkan. Menurut Acura RSX ini merupakan model produksi pertama yang akan diasaskan dari platform EV global Honda (dikenali sebagai platform EV 0 Series Honda) yang dibangunkan sendiri pengeluar automotif Jepun itu.

    Menurut Acura rekaan dengan bayangan badan sisi menampilkan bumbung landai ke belakang yang sporty seperti sebuah coupe ini dapat dihasilkan kerana kelebihan yang diberikan oleh platform EV baharu Honda itu sendiri. Pada bahagian muka, RSX generasi baharu ini masih menggunakan rekaan Diamond Pentagon yang berevolusi untuk disesuaikan pada sebuah EV – tiada gril untuk radiator pada sebelah atas, manakala lampu LED utama diletak pada bampar dan jalur lampu LED yang ‘sepet’ di atas hanyalah lampu nyalaan siang.

    Ia juga diberikan lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang yang diinspirasikan dari Acura/Honda NSX generasi kedua, bersama skrip ‘ACURA’ pada penutup but belakang juga kini menggunakan bentuk tulisan baharu.

    Acura RSX Prototype didedah – kini SUV EV prestasi tinggi, bukan lagi kereta sport berkaitan Honda Integra

    SUV ini disahkan akan dilengkapi dengan dua motor elektrik berkuasa masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda, suspensi hadapan jenis double wishbone yang akan diberikan talaan sporty, pusat graviti yang rendah, datang standard dengan sistem brek Brembo serta teknologi-teknologi bantuan pemanduan ‘tertinggi dalam kelasnya’, dakwa Acura.

    Selain itu Acura RSX ini akan menerima Asimo OS untuk mengoperasikan sistem infotainmen, iaitu sistem operasi global baharu Honda yang direka membolehkan ia “belajar kecenderungan dan sifat ketika memandu pemilik kenderaan bagi memberikan pengalaman dalam kereta yang ultra-personal”.

    SUV EV ini juga disahkan boleh digunakan seperti ‘powerbank gergasi bergerak’ di mana baterinya turut boleh digunakan untuk mengoperasikan perlatan elektrik lain.

    “Penggayaan dramatik Acura RSX Prototype kami ini menunjukkan bahawa ia bukan hanya EV baharu, tetapi model Acura serba baharu yang menarik,” kata Lance Woelfer, naib presiden Jualan Auto American Honda Motor Co., Inc. “RSX akan menyampaikan DNA hampir empat dekad ‘Acura Precision Crafted Performance’ dengan reka bentuk yang menarik dan canggih,” tambahnya.

    “Acura RSX mempunyai gaya coupe sporty yang menunjukkan prestasi yang datang daripada aerodinamik yang sangat baik. Bermula daripada RSX serba baharu ini, kami akan mentakrifkan semula jenama Acura di sekitar kecantikan malar-segar dan rasa berteknologi tinggi yang penting untuk prestasi dan jenama unik,” kata Yasutake Tsuchida, Pengarah Kreatif Acura dan naib presiden American Honda R&D pula.

    Acura RSX generasi kedua ini akan diproduksi bersama Acura Integra di kilang Marysville Auto Plant dengan komponen-komponen yang dibuat dari seluruh dunia. Dengan proses pemasangan yang akan dibuat tersebut Honda bakal memperlihatkan sistem produksi yang fleksibel di mana ia boleh menghasilkan model-model EV, hibrid dan juga enjin pembakaran dalaman sepenuhnya menggunakan barisan pemasangan yang sama.

     
     
  • JPJ sita empat kenderaan dipandu warga Singapura dalam Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing di JB

    JPJ sita empat kenderaan dipandu warga Singapura dalam Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing  di JB

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan dan menyita empat kenderaan dipandu warga Singapura dalam Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing sejak 9 Ogos 2025 di Johor Bahru. Kenderaan tersebut dikesan menawarkan perkhidmatan e-hailing tanpa lesen, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam, serta tiada cukai jalan Malaysia. Antara kenderaan yang ditahan dan disita ialah Toyota Alphard, Toyota Vellfire, van Toyota Hiace dan Honda Spada, laporan Berita Harian.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, ketika operasi dilakukan, empat kenderaan dipandu empat lelaki warga Singapura berusia antara 30-an hingga 40-an itu sedang membawa penumpang republik berkenaan dan juga negara lain melalui laluan Singapura atas tujuan melancong di negara ini.

    “Mereka ini tiada permit dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan di Malaysia. Bayangkan kos tambang perjalanan dari Singapura ke negara ini dari serendah SGD180 (RM590) hingga ribuan dolar Singapura. Sebagai contoh, dari republik itu ke JB Sentral dikenakan caj SGD180 (RM590) bagi seorang penumpang untuk perjalanan sehala dan SGD200 (RM655) jika ke Legoland, manakala ada yang ke Ipoh, Perak mereka kenakan caj SGD1,200 (RM3,935) bagi setiap perjalanan.

    “Tindakan mereka ini akan menjadi buruk sekiranya berlaku kemalangan dalam Malaysia, ia membabitkan penumpang luar dan kita tidak mahu ada pihak menjalankan perkhidmatan e-hailing tanpa lesen sah kerana mahu memastikan jalan raya kita selamat dengan pemandu, pelancong dan penumpang yang sah,” katanya.

    JPJ sita empat kenderaan dipandu warga Singapura dalam Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing  di JB

    Aedy Fadly turut berkata, pihaknya akan melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dan membanteras pihak yang tidak bertanggungjawab itu daripada terus mengambil kesempatan melakukan pelanggaran undang-undang negara.

    Tambahnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 80 dan siasatan mengikut Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana mengadakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah di negera ini.

    “JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya. Siasatan terperinci akan dijalankan bagi membanteras pihak tidak bertanggungjawab, manakala Ops Khas seumpama ini akan diteruskan bagi menjaga integriti sistem pengangkutan negara dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.

     
     
  • Triumph Thruxton 400 diperkenalkan di India – gaya cafe racer dengan kuasa yang bertambah, 398 cc

    Triumph Thruxton 400 diperkenalkan di India – gaya cafe racer dengan kuasa yang bertambah, 398 cc

    Triumph mengembangkan lagi penawaran motosikal kelas permulaan mereka dengan pengenalan Thruxton 400, yang kini sudah dilancarkan di pasaran India. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini membawa penggayaan cafe racer, tetapi kali ini dengan penggerak yang lebih kecil, seperti Speed 400 dan Scrambler 400.

    Secara asasnya, enjin siri TR satu silinder itu masih sama, dengan kapasiti 398 cc dan padanan transmisi enam kelajuan, tetapi sedikit pelarasan dibuat untuk meningkatkan kuasanya menjadi 42 PS (berbanding 40 PS pada Speed dan Scrambler 400) pada 9,000 rpm, sementara tork masih kekal 37.5 Nm pada 6,500 rpm.

    Ditambah dengan fairing separuh sebagai perumah lampu, Thruxton 400 ini mencatat berat 183 kg, menjadikannya empat kilogram lebih berat berbanding Speed 400 dan dua kilogram lebih ringan berbanding Scrambler 400. Tangki bahan api masih mempunyai bentuk sama dan berkapasiti 13 liter.

    Selain penambahan fairing, Thruxton 400 juga diberikan perkakasan yang bersesuaian dengan penampilannya termasuk cermin sisi di bahagian hujung pemegang serta penutup tempat duduk belakang yang dicat warna sama dengan panel badan lain. Kedudukan menunggang juga dijadikan lebih agresif dengan penggunaan pemegang jenis clip-on serta peletak kaki yang lebih ke belakang.

    Bahagian lain kebanyakannya adalah sama dengan Speed 400, termasuk suspensi, yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup Bybre empat piston di hadapan, cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang serta rim aluminium 17 inci.

    Thruxton 400 menggunakan sistem pendikit ride-by-wire dan datang dengan sistem elektronik lain termasuk ABS dual-channel serta kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Paparan meter menggunakan unit gabungan analog dan LCD.

     
     
  • Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Syarikat e-hailing Bolt yang berpangkalan di Estonia melancarkan perkhidmatan terbarunya, Bolt Business, di Malaysia. Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu syarikat menguruskan perjalanan pekerja dengan lebih cekap dan sistematik.

    Melalui platform ini, Bolt Business menawarkan ruang pengurusan perjalanan berpusat, lengkap dengan alat pelaporan automatik tanpa sebarang yuran pendaftaran. Ia direka bagi menghapuskan keperluan proses tuntutan manual bagi perjalanan yang dilakukan oleh pekerja untuk tujuan kerja harian, mesyuarat atau tugasan operasi di lapangan.

    Dengan satu akaun sahaja, syarikat boleh menetapkan had perjalanan, menetapkan pusat kos, memantau penggunaan serta mengakses laporan masa sebenar. Ciri-ciri ini membolehkan pasukan kewangan dan sumber manusia menyusun semula pengurusan perbelanjaan, mengurangkan penggunaan kertas dan membuat keputusan berdasarkan data berkenaan mobiliti syarikat.

    Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Selain itu, integrasi dengan platform pihak ketiga seperti Zoho, SAP Concur, Rydoo dan Expensify turut disediakan, membolehkan Bolt Business disepadukan dengan mudah ke dalam sistem pengurusan perbelanjaan sedia ada.

    Menurut Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi, Bolt Business dibangunkan untuk memudahkan urusan perjalanan syarikat dan pekerja. Beliau berkata ramai pihak masih bergelut dengan tuntutan yang rumit dan proses manual untuk sesuatu yang sepatutnya semudah perjalanan menaiki kenderaan.

    Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Dengan pelancaran ini, beliau berkata lagi, syarikat diberikan penyelesaian yang lebih bijak dan telus dalam pengurusan perjalanan, sambil membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada rakan pemandu tempatan. Beliau turut menegaskan bahawa langkah ini bukan sahaja memajukan mobiliti perniagaan, malah mencerminkan komitmen berterusan Bolt terhadap pasaran Malaysia.

    Bolt yang dilesenkan sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mula beroperasi di Lembah Klang sejak pelancarannya pada November 2024. Dalam tempoh hanya tiga bulan, platform itu mencatatkan peningkatan sebanyak 540% dalam bilangan rakan pemandu, manakala jumlah penumpang berdaftar meningkat sebanyak 280%

     
     
  • PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    Ini bukanlah kali pertama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar penelitian lebih mendalam dilakukan terhadap cara menangani keselamatan jalan raya yang melibatkan pemandu warga emas berusia 61 tahun ke atas, memandangkan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan golongan itu akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh enam tahun.

    Menurut pihak polis, berdasarkan data kemalangan jalan raya yang direkodkan, seramai 19,812 pemandu dalam lingkungan umur tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya antara tahun 2019 hingga 2014. Daripada jumlah itu, 6,733 direkodkan meninggal dunia, manakala 2,132 mengalami kecederaan parah dan 10,947 cedera ringan.

    Maka disebabkan statistik itulah yang mendorong pihak polis untuk menggesa agar satu kajian dilakukan bagi melihat bagaimana isu keselamatan jalan raya dalam kalangan pemandu warga emas dapat ditangani, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

    Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menjelaskan bahawa tujuan cadangan ini bukanlah untuk menghalang warga emas daripada memandu, tetapi untuk mewujudkan satu mekanisme bagi menilai tahap kesihatan pengguna jalan raya berusia supaya keselamatan di jalan raya terjamin untuk semua pihak.

    PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    Beliau menambah bahawa pendekatan itu perlu diseimbangkan dengan penilaian terhadap tahap kesihatan dan keupayaan memandu seseorang, dan bukan semata-mata berdasarkan faktor umur. “Umur bukanlah halangan untuk memandu dengan berhemah, namun JSPT percaya bahawa aspek keselamatan yang melibatkan pemandu warga emas perlu diambil kira,” katanya.

    Tambahnya, adalah wajar bagi semua pihak berkepentingan menjalankan kajian menyeluruh mengenai isu ini sebelum sebarang keputusan dibuat, terutamanya oleh Kementerian Pengangkutan. “Kami faham bahawa untuk menghentikan golongan ini daripada memandu bukanlah perkara mudah kerana faktor budaya di Malaysia. Ada yang menggunakan kenderaan untuk ke surau, mengambil cucu dari sekolah dan sebagainya,” ujarnya.

    Gesaan terbaharu untuk meneliti perkara ini susulan cadangan yang dibuat oleh JSPT pada tahun 2021, apabila ia mencadangkan supaya syarat khas dikenakan bagi mengehadkan pengeluaran Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas serta mewajibkan mereka menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat untuk memandu.

    PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    Antara cadangan yang dikemukakan adalah pemandu warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen sekiranya mereka mendapat pengesahan daripada doktor bahawa mereka layak memandu dari segi mental dan fizikal, serta tempoh pembaharuan lesen bagi pemandu warga emas perlu dipendekkan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan susulan diambil, walaupun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menyuarakan perkara yang sama tahun lalu, iaitu mencadangkan agar warga emas berusia 65 tahun ke atas menjalani penilaian kecekapan dan kesihatan sebelum lesen mereka boleh diperbaharui.

    Perkara ini akhirnya menimbulkan khabar angin bahawa pemeriksaan fizikal akan diwajibkan kepada pemandu warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui LMM, sehingga mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, dan tiada syarat tambahan dikenakan kepada pemandu warga emas semasa proses pembaharuan LMM mereka.

     
     
  • Kamera AwAS diselenggara dengan kos keseluruhan hampir RM15.5 juta dalam setahun – Menteri MoT

    Kamera AwAS diselenggara dengan kos keseluruhan hampir RM15.5 juta dalam setahun – Menteri MoT

    Kerajaan membelanjakan sebanyak RM15,491,876.58 setahun bagi kos keseluruhan penyelenggaraan sistem Automated Awareness Safety System (AwAS), kata Menteri Pengangkutan (MoT) Anthony Loke. Di mana kos tersebut merangkumi perkhidmatan dan penyelenggaraan kamera, sistem back office dan cetakan saman AwAS.

    “Berdasarkan kajian yang telah dijalankan pihak MIROS bagi tempoh 2014 hingga 2018, impak pemasangan kamera Awas telah meningkatkan kadar pematuhan (Perception Of Being Caught – POBC) sehingga 99% di lokasi-lokasi yang dipasang dan dikuatkuasakan dengan kamera AwAS,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat semalam yang ingin mengetahui jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi pelaksanaan dan penyelenggaraan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan dengan kos yang telah dibelanjakan.

    Selain itu, Mohd Hasnizan juga ingin mengetahui sejauh mana impaknya benar-benar berkesan dalam mengurangkan kesalahan lalu lintas sama ada hanya terhad di lokasi pemasangan atau memberi kesan menyeluruh.

    Pada awal Januari lalu, Loke berkata kamera AwAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini. Di mana pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

     
     
  • Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025 telahpun melabuhkan tirainya hujung minggu lalu, dengan edisi ketiga acara berkenaan yang diadakan dari 8-10 Ogos di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu merekodkan seramai 100,000 pengunjung.

    Bagi edisi tahun ini, TASKL menyajikan lebih banyak jentera-jentera ubahsuai terkini yang dibawa dari Jepun, serta menampilkan lebih banyak gerai-gerai jualan yang menampilkan pelbagai barangan eksklusif, peralatan prestasi dan komponen alat ganti dan juga kereta-kereta skala kecil ditawarkan pada harga istimewa.

    Antara kereta ubahsuai yang menarik pengunjung ke acara ini termasuk penampilan dua buah jentera dari Liberty Walk yang membuat penampilan sulungnya di luar Jepun iaitu Ferrari F40 yang penuh kontroversi dengan dipadankan kit badan lebar LB Walk, dan juga Super Silhouette ER34 iaitu Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an.

    Selain dari penampilan dua jentara ini, reruai Liberty Walk di TASKL 2025 ini juga diserbu oleh pengunjung untuk membeli pelbagai barangan eksklusif jenama itu, serta mendapatkan tandatangan pengasasnya Wataru Kato dan anaknya Hyuma Kato.

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Pakar ubahsuai enjin rotary sensasi, RE Amemiya turut membawa ‘demo car’ terbaharunya iaitu Matsukiyo Kizami 3ROTOR NA-7 yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu. Kereta yang diasaskan dari Mazda RX-7 FD3S berkenaan kini menerima muka dan bahagian belakang baharu rekaan RE Amemiya, dan ia menerima enjin wankel rotary dengan tiga rotor menghasilkan kapasiti 1.962 liter, dan mampu menghembuskan 435 hp tanpa sebarang pengecas turbo. Reruai RE Amemiya ini turut diserikan dengan penampilan Ken Amemiya, iaitu anak pengasas syarikat, Isami Amemiya.

    Pengasas badan penala Top Secret, Smokey Nagata juga turun ke MITEC buat tahun ketiga berturut-turut sempena TASKL. Tahun ini beliau hadir dengan membawa antara jentera paling sukar pernah dihasilkan sendiri olehnya iaitu Top Secret VR32 Stealth Nissan GT-R, iaitu Nissan Skyline GT-R R32 yang disumbatkan dengan enjin VR38DETT V6 3.8 liter berkuasa 1,072 hp bersama kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua Attesa ET-S dari Nissan GT-R R35, lengkap dengan dengan bahagian dalaman yang juga diambil dari R35.

    Antara jentera ubahsuai baharu lain yang dibawa terus dari Jepun termasuk Crewch Delusion GT-R R356C yang merupakan Nissan GT-R dengan rupa diinpirasikan dari model konsep Nissan Hyper Force serta model edisi terhad GT-R50 Italdesign, dan juga ‘Rolls Royce Jepun’ iaitu Toyota Century yang diubahsuai oleh Aless dan diberi nama Aless Century Complete WL, di mana enjin V8 5.0 liter sedan mewah tersebut kini bernafas dengan kuasa 518 hp.

    Selain itu ‘Father of the modern GT-R’ Hiroshi Tamura turut datang ke TASKL buat kali kedua. Malah pelumba lagenda Jepun ‘dari jalanan ke litar lumba’ Manabu ‘Max’ Orido turut membuat penampilan di TASKL 2025 bersama anak perempuannya, Maaya Orido yang kini juga telah bergelar pelumba serta duta untuk jenama Alpharex.

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Ikon-ikon JDM lain yang turut membuat penampilan ke TASKL tahun ini termasuk drifter lagenda dan juga pengasas jenama kit badan dan peralatan prestasi Vertex iaitu Takahiro Ueno, pengasas KUHL Racing Takahiro Kataoka dan juga presiden ALESS Takamasa Ueyama.

    “Daripada senyuman lebar, gelak tawa, keterujaan dan paparan tenaga yang luar biasa oleh pengunjung di pameran itu, yang kemudiannya dicerminkan dalam beribu-ribu siaran media sosial yang menggambarkan detik gembira bertemu dengan legenda talaan mereka dan melihat barisan kereta yang luar biasa, kerja keras yang kami lakukan telah membuahkan hasil!” kata Jason Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Pemegang Lesen Rasmi Tunggal Tokyo Auto Salon di Malaysia. TASKL diadakan dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon, dan Persatuan Salon Auto Tokyo.

    “Kejayaan mana-mana acara bukan semata-mata meninggalkan anda berdasarkan angka, dan malah lebih gembira kerana mereka berpuas hati. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang datang ke acara ini, sokongan berterusan dan semangat anda yang berkongsi adalah yang menyemarakkan acara ini sambil kami berusaha untuk menjadikannya lebih besar, lebih baik dan lebih menarik setiap tahun,” tambah Jason.

    GALERI: Gambar rasmi TASKL 2025

     
     
  • Terowong SMART tawar Pas Perjalanan Tanpa Had RM68 sebulan mulai 16 Ogos hingga 16 September

    Terowong SMART tawar Pas Perjalanan Tanpa Had RM68 sebulan mulai 16 Ogos hingga 16 September

    Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), selaku pengendali Terowong SMART telah melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had (2P2TH) SMART atau Merdeka Unlimited Travel Pass (MUTP) bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semalam.

    Menurut ALR, tawaran MUTP ini berkuatkuasa selama sebulan iaitu dari 16 Ogos hingga 16 September 2025 dengan bayaran hanya sekali bernilai RM68. Di mana tawaran ini memberikan penjimatan sehingga RM64 iaitu hampir 50% bagi yang menggunakan Tol SMART setiap hari.

    “MUTP merupakan penzahiran rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pengguna tegar Terowong SMART yang telah turut sama-sama mempromosi aspirasi mobiliti bandar yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha ALR menyokong aspirasi Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menyediakan infrastruktur tol yang mesra rakyat dan inklusif,” kata ALR menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Menteri KKR pula berkata, “Melalui program MUTP ini, pengguna yang menggunakan SMART untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari (44 kali sebulan), akan menikmati penjimatan sehingga RM64, memandangkan purata bayaran tol bulanan boleh mencecah RM132. Selain itu, ia memberi akses pantas ke pusat bandar melalui lebuh raya yang menampung purata 19,000 kenderaan sehari, sambil menyokong operasi satu-satunya terowong dwi-fungsi di dunia yang menggabungkan laluan trafik dan saliran banjir.

    “Inisiatif ini membuktikan bagaimana pemain industri, khususnya di sektor infrastruktur, mampu mengambil pendekatan proaktif dalam membantu rakyat mengurus kos kehidupan harian, terutamanya di kawasan bandar.”

    Tambah beliau, perkhidmatan Terowong SMART adalah antara kemudahan kejuruteraan terbaik negara yang memberi impak besar dalam pengurusan banjir dan meningkatkan mobiliti bandar. Ia bukan sekadar projek infrastruktur, malah menjadi lambang inovasi tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Antaranya UN Habitat Scroll of Honour Award, British Construction Industry Award; ASEAN Outstanding Engineering Achievement Award serta disenaraikan oleh CNN sebagai antara ‘Most Impressive Tunnels in the World’.

    “Saya yakin bahawa apabila infrastruktur diurus secara holistik – dari aspek kejuruteraan, nilai sosial, dan tadbir urus – hasilnya akan memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara, seterusnya mengukuhkan semangat keterjaminan dan kelestarian seperti yang dihasratkan dalam Malaysia MADANI,” katanya.

    Bagi pengguna Terowong SMART yang ingin mendapatkan kad MUTP, ia boleh dibeli di lokasi di bawah ini:

    • Lorong tol Lebuhraya SMART (12 lorong) dari KL (Arah Utara) dan Sg. Besi (Arah Selatan)
    • Kaunter Jualan Plaza Tol SMART
    • Kawasan Rehat & Rawat (RSA) Lebuhraya KESAS – Kinrara dan Awan Besar
    • Kaunter Jualan Plaza Tol KESAS – Kemuning, Sunway, Awan Besar Barat dan Awan Besar Timur
    • Kaunter Jualan Lebuhraya SPRINT – Plaza Tol Bukit Kiara
    • Kaunter Jualan Lebuhraya LDP – Kawasan Rehat Petaling Jaya Utara (Hentian Sebelah)
     
     
  • Proton sudah hantar 2,000 unit X50 facelift 2025 kepada pelanggan tak sampai sebulan dilancarkan

    Proton sudah hantar 2,000 unit X50 facelift 2025 kepada pelanggan tak sampai sebulan dilancarkan

    Ketika mengumumkan kerjasama strategik untuk mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go pada Proton X50 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton turut memberitahu bahawa X50 facelift 2025 kini sudahpun terjual sebanyak 2,000 unit tak sampai sebulan selepas ia dilancarkan pada 24 Julai lalu.

    Sebelum ini Proton telahpun menyatakan bahawa 999 unit X50 facelift ini telahpun diserahkan kepada pelanggan pada akhir bulan lalu, atau tak sampai lima hari bekerja selepas ia dilancarkan. Dalam pengumuman berkenaan prestasi jualannya bagi Julai yang dikeluarkan semalam, Proton menyatakan bahawa tempahan bagi X50 2025 ini telahpun mencapai lima digit, dengan sasaran 5,000 unit akan disiapkan menjelang akhir bulan ini.

    Proton X50 facelift 2025 ini ditawarkan dalam tiga varian, dijual pada harga atas jalan bermula RM89,800 untuk varian 1.5TD Executive, diikuti RM101,800 untuk varian 1.5TD Premium, manakala varian tertinggi 1.5TD Flagship berharga RM113,300

    Ketika pelancarannya Proton turut menawarkan harga pengenalan dengan rebat tunai sebanyak RM4,000 untuk 10,000 unit terawal, menjadikan harga jualan hanya RM85,800 untuk Executive, RM97,800 untuk Premium dan RM109,300 untuk Flagship sebelum 31 Oktober 2025.

    Selain menerima rombakan besar dari segi rupa pada bahagian luaran dan dalaman, X50 facelift ini juga menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin i-GT 1.5TD empat-silinder berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga selinder turbo sebelum ini. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan bahan apinya juga 4.7% lebih jimat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025